Thursday, July 31, 2008

Kadang kala sukar untuk kita memahami pemikiran dan percaturan ahli politik. Pandangan dan pendekatan mereka kadang kala sukar diramal. Setiap keputusan yang hendak dibuat, mesti dilakukan dengan berhati-hati sambil melihat apakah kepentingan setiap keputusan itu kepada parti politik yang mereka wakili dan tidak merugikan mereka. Setiap keputusan yang dibuat juga mesti dihalusi terlebih dahulu, diperbincangkan pada peringkat parti, kepimpinan, mencari konsensus dari semua peringkat kepimpinan sebelum ia diterima. Mereka sentiasa berada dalam keadaan waspada sama ada tawaran dari pihak lawan adakah merupakan satu perangkap atau strategi untuk melemah, memecah atau memberi kemenangan antara dua pihak. Justeru, mereka kadang kala berada dalam keadaan mempersoalkan, mengukur keikhlasan pihak lawan dan menguji kejujuran mereka supaya keputusan yang hendak dibuat adalah benar-benar menguntungan perjuangan mereka. Premis ini mungkin ada benarnya melihat kepada perkembangan semasa isu muqabalah dan kerjasama UMNO-PAS . Tetapi bagi seorang yang bukan ahli politik, kerajasama antara UMNO dan PAS sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu dan menjadi kenyataan demi kepentingan Islam dan ummah di negara ini. Walaupun apa alasan sekalipun, perpaduan adalah tuntutan agama. Sukar sangatkah untuk kita duduk semeja untuk membicara dan menyelesaikan masalah umat sedangkan kita boleh bertoleransi, berbincang dan meraikan perbezaan pandangan dan dasar perjuangan dengan mereka yang bukan Islam sedangkan kita sesama Muslim sering berantakan!.

Wednesday, July 30, 2008

Kepimpinan

Dalam tradisi Timur terdapat satu kesamaan nilai mengenai kepimpinan, iaitu ia tidak boleh dipisahkan dari nilai akhlak. Pemimpin mesti bersifat adil, krasmatik dan melaksanakan tanggungjawab yang dipikul ke atasnya. Misalnya, menurut perspektif Konfusius, raja yang baik ialah raja yang “dengan sikap pemurahnya, dia memenangi (hati) semua; dengan keluhurannya rakyat menyakininya, dengan keadilannya semua orang gembira “(Lun Yu). Raja adalah seorang yang pintar, cekap melaksanakan tanggungjawab serta bertindak sempurna terhadap Tian, leluhur, ibu bapa, para pegawai, pembantu dan rakyat jelata. Menurut Meng Tzu pula (seorang ahli falsafah China klasik, anak murid Konfusius), apabila peribadi raja sempurna, maka seluruh di bawah langit beralih tunduk kepadanya. Dengan itu, dapatlah dia memikul mandat yang dianugerahkan kepadanya. Sebaliknya raja-raja yang tidak mempunyai sifat –sifat kesempurnaan yang tidak mampu bertindak “sejajar dengan namanya” atau cheng ming, maka raja tersebut tidak akan dapat berpaut kepada tian ming (mandat dari langit) walaupun mandat itu amat hampir dengannya (Abdul Rahman Hj.Ismail, 2001). Manakala dari perspektif Islam, seorang pemimpin yang hendak dilantik itu mestilah seorang yang mempunyai sifat keadilan, mempunyai ilmu yang tinggi, sempurna pancaindera, tidak mempunyai kecacatan anggota yang boleh menghalangnya dari pergerakan, mempunyai idea yang boleh memimpin rakyat, mempunyai keberanian serta kekuatan dan berketurunan mulia (al-Mawardiy, 1993). Dalam tamadun India, pemerintah dinasti Maurya terkenal iaitu Asoka telah melaksanakan pendekatan Buddha dalam petadbirannya. Beliau telah menyebarkan ajaran-ajaran dharma yang menekankan nilai-nilai moral seperti mengawal nafsu, mengamalkan sikap toleransi terhadap agama lain, mengelakkan perbuatan membunuh binatang, bertimbang rasa dan membantu orang miskin. Asoka berpendapat menjadi tanggungjawab raja menjaga kebajikan rakyat, justeru itu, beliau melihat “semua manusia adalah anak raja” (Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, 2001).

Friday, July 25, 2008

Anugerah AMIN

Malam tadi saya telah menghadiri Majlis Anugerah Media Islam Negara (AMIN) kali kedua di PICC, Putrajaya. Ini pertama kali saya menghadiri rancangan RTM yang disiarkan secara langsung di RTM. Saya telah tersenarai dalam tiga calon pilihan peringkat akhir dalam kategori Media Cetak iaitu Penulis Buku Karya Islam Terbaik dengan buku bertajuk Memahami Islamisasi Ilmu: Dari Pemikiran Prof. Ismail Raqi al-Faruqi. terbitan UPENA, UiTM. Walaupun tidak memenangi anugerah tersebut, namun saya tetap berbangga dapat menghasilkan sebuah buku Islam yang kemudiannya dinilai oleh barisan Profesor yang mengadili kategori tersebut. Semoga buku yang dihasilkan dapat memberi manfaat dan sumbangan bermakna kepada perkembangan pendidikan Islam di negara ini. Saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada UPENA kerana kesungguhannya mencalonkan nama saya dan dorongan inspirasi dari Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang turut hadir dalam anugerah tersebut. Saya sedang menunggu kelahiran buku keenam saya yang akan diterbitkan oleh UPENA yang bertajuk Perpaduan Kaum di Malaysia: Sejarah dan Asas Perpaduan. Buku ini saya tulis selama setahun semasa menghabiskan cuti Sabatikal dari Februari 2007 sehingga Januari 2008. Semoga kelahiran buku ini dapat dimanfaatkan oleh semua.

Wednesday, July 23, 2008

Muzakarah UMNO-PAS

Beberapa hari kebelakangan ini, akhbar utama negara telah menyiarkan berita yang menyebutkan kepimpinan PAS dan UMNO telah memulakan muzakarah mengenai beberapa isu yang berhubung kepentingan dan kedudukan Islam dan orang Melayu di negara ini. Muzakarah tersebut adalah satu pendekatan atau tindakan yang amat-amat dialu-alukan terutama ketika orang dan kepimpinan Melayu menghadapi saat yang mencabar terutama selepas PRU ke-12. Muzakarah ini perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi mencari titik persamaan walaupun kedua-dua parti politik orang Melayu ini mempunyai sedikit perbezaan pendekatan dan fahaman. Perbezaan itu tidak seharusnya menjadi jurang pemisah sehingga wujudnya pertentangan yang berpanjangan yang merugikan orang Islam di negara ini. Diharapkan muzakarah ini menjadi titik permulaan menyatukan umat Islam di negara ini yang semestinya akan membawa banyak kebaikan ke atas umat Islam dan negara ini. Apatah lagi kedua-dua parti ini mendakwa memperjuangkan ajaran Islam, di mana perpaduan dan solidariti itu adalah tunjang dan kekuatan ummah yang banyak kali diperingatkan oleh Allah di dalam al-Quran dan Hadis. Kita mengharapkan usaha ini mendapat dokongan daripada penyokong kedua parti politik tersebut dan rakyat Malaysia seluruhnya. Finaktisme akan hanya melebarkan lagi pepecahan ummah dan tidak akan dapat membantu untuk memartabatkan Islam sebagai ajaran yang menjadi paksi pembangunan negara. Kedua-dua pihak harus bekerja keras untuk mengeluarkan ummah dari kelemahan menuju kekuatan, dari kemiskinan menuju kemakmuran, dari kekacauan menuju ke sistematik, dari kediktatoran menuju syura, dari pepecahan menuju kesatuan, dari perbalahan menuju integrasi dan saling membantu seperti yang diharapkan oleh Yusuf al-Qardhawi terhadap kebangkitan Islam moden. Menurut al-Qardhawi (1999:251), kebangkitan Islam mampu melakukan banyak perkara jika ia memanfaatkan potensinya untuk bekerja dan bukannya berdebat, untuk memberi dan bukan untuk menunjuk-nunjuk, untuk memperkuat bukan untuk meruntuhkan, untuk menyatu bukan untuk memisahkan, menyibukkan para penganutnya dengan prinsip-prinsip pokok bukan perkara yang bersifat sampingan (juz’ie), sibuk dengan masalah-masalah dasar bukan pertikaian-pertikaian perkara furu’ (cabang).
Dari perspektif sejarah, permuafakatan PAS-UMNO bukan perkara yang mustahil. Perkara ini pernah berlaku pada zaman Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua apabila beliau berjaya memperluaskan lagi gabungan Perikatan (kemudian Barisan Nasional) dengan membawa masuk PAS ke dalam gabungan Perikatan. Tujuan utama pergabungan dengan PAS ketika itu adalah untuk mengurangkan “politiking” dan menyatukan orang Melayu. Dengan wujudnya perpaduan, beliau dapat menumpukan seluruh perhatian kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua (RMK) dan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat serta menyelesaikan masalah ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum. Peristiwa penting tersebut berlaku pada bulan Jun 1972, apabila Tun Abdul Razak dalam satu ucapannya selaku Presiden UMNO telah mempelawa untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang. Pada bulan Julai, di Muktamar PAS, Datuk Asri telah menyambut baik tawaran tersebut dan kongres telah bersetuju secara undi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kerja Pusat PAS untuk mengusahakan Pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di semua peringkat. Sebanyak empat kali perbincangan diadakan sebelum persetujuan membentuk kerajaan campuran secara prinsip diumumkan pada bulan September. Kongres luar biasa PAS telah memberi kebenaran rasmi kepada perjanjian kerajaan campuran pada bulan Disember dan Tun Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan campuran yang berkuatkuasa dari 1 Januari 1973 (Milne dan Muazy, 1982:236). Kemasukan PAS ke dalam Perikatan ketika itu lanjutan dari kemusnahan yang berlaku akibat peristiwa 13 Mei 1969. Menurut Chamil Wariya (1978:67), Datuk Asri Haji Muda telah mengambil keputusan untuk membawa PAS menyertai BN kerana tersentuh dengan apa yang berlaku di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969. Menurut Datuk Asri, beberapa hari selepas trajedi itu, beliau telah dibawa oleh Tun Razak untuk mengelilingi kawasan-kawasan yang terjejas dengan peristiwa tersebut. Beliau merasa hiba melihat apa yang berlaku.

Wednesday, July 16, 2008

Komitmen menulis blog

Minggu ini saya tidak mempunyai banyak masa yang terluang untuk menghasilkan penulisan untuk dimuatkan dalam blog. Sejak blog ini diwujudkan, komitmen untuk menulis semakin tinggi. Setiap hari memikirkan apa isu yang hendak digarap bagi tatapan pembaca. Setakat hari ini, saya merasa puas kerana apa yang saya tulis dalam blog ini menjadi bacaan dan rujukan dari semua peringkat. Tujuan utama saya menulis dalam blog adalah untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu atau apa yang saya tahu kepada semua, mungkin terdapat kekurangan dalam penulisan saya. Minggu ini, saya menghadiri kursus metodologi penyelidikan PhD di ILQam, Shah Alam. Kursus yang menyiapkan bakal-bakal pelajar PhD dengan ilmu asas untuk membuat penyelidikan dengan baik dan betul. Kursus ini memang banyak membantu saya memahami dengan lebih lanjut keadah penyelidikan yang akan saya gunakan nanti semasa menyambung pelajaran di peringkat PhD di UM. Dalam kesibukan berkursus, saya mencari masa untuk meninjau-ninjau blog untuk dikemas kini. Semoga apa yang dihasilkan memberi manfaat kepada semua dan saya amat mengalu-alukan pandangan dari semua untuk memperbaiki kelemahan blog ini. SELAMAT MEMBACA!.

Tuesday, July 15, 2008

CABARAN PEMBENTUKAN AKHLAK

PENDAHULUAN
Usaha untuk membina tamadun manusia perlu satu pendekatan yang holistik dan sepadu. Tamadun manusia tidak boleh hanya dibina di atas kecemerlangan tamadun kebendaan semata-mata tetapi metilah diiringi dengan kemajuan spiritual dan akhlak. Menurut Arnold Toynbee: “agama adalah nadi dan inti kehidupan. Ia adalah cahaya penerang jiwa. Manusia tidak lepas dari agama. Idealogi-idealogi tidak mampu menjadi alternative kepada agama, kerana idealogi memberi sifat finatiksime dan kebencian. Sedangkan agama memberi kita rasa cinta dan kerja sama. Idealogi itu mungkin dapat memberi kita sepotong roti, akan tetapi ia merampas daripada kita ketenteraman hati dan kebebasan jiwa”.
Bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang telah mencapai kehalusan tatasusila dan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh anggota masyarakatnya. Justeru untuk membina tamadun manusia mestilah dalam seluruh program pembangunannya tidak mengkesampingkan nilai akhlak. Ini diperkuatkan dengan ingatan Ibn Khaldun dalam Kitab Muqadimmahnya yang menyebut kemusnahan sesuatu tamadun ditandai dengan beberapa perkara, iaitu banyaknya kemewahan, kehidupan penuh dengan hiburan dan perhiasan, kehidupan cara homoseks di kota-kota, politik wang, kerana mereka yan memimpin tidak mampu lagi mendapat kesetiaan dengan sifat-sifat utama yang dibuktikan dan mengajak orang lain kepada perjuangan, maka berlakulah politik wang. Dengan itu moral masyarakat akan menuju kepada kemerosotan.
Kemusnahan dan kemerosotan sesebuah masyarakat atau ketamadunan akibat dari rosaknya akhlak masyarakat. Ini telah disebutkan oleh Dr. Gustave Le Bon yang mengembalikan sebab-sebab kerosakan suatu bangsa apabila berlakunya dekadensi atau kerosakan moral yang membudaya pada bangsa itu (Muqdad Yaljan, 1986). Begitu jugalah pendapat Edward Gippon yang menganalisis faktor utama keruntuhan empayar Romawi adalah akibat tenggelamnya manusia pada waktu itu dalam kejahatan, kemewahan yang berlebih-lebihan, kemalasan, pengkhianatan, perselisihan untuk mendapatkan kedudukan dan sebab-sebab moral yang lain (Muqdad Yaljan, 1986).
Walaupun dalam Islam peranan akhlak sangat penting dalam semua perkara termasuk dalam persoalan pembangunan, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya, namun dalam usaha masyarakat Islam di negara ini untuk membentuk masyarakat yang berakhlak ia sering berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya:
Pendidikan
Kita sudah pun memahami akan matlamat pendidikan dalam Islam adalah untuk membentuk manusia yang berbudi mulia dan berakhlak sempurna sehingga dalam perjalanan hidupnya ia akan terus melakukan kebaikan dan jauh dari melakukan kemaksiatan. Di Malaysia, pendidikan Islam telah menjadi pendidikan yang wajib dari semua peringkat persekolahan dari tadika sehinggalah ke institusi pengajian tinggi. Tetapi malangnya, ia tidak cukup ampuh menghalang dari berlakunya keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang rata-rata melibatkan kaum remaja. Ketidakmampuan ini disebabkan pelbagai factor, antaranya system pendidikan yang terlalu cepat diorientasikan dengan keperluan peperiksaan. Hakikat bahawa sistem pendidikan negara ini terlalu berorientasikan peperiksaan telah diakui sendiri oleh Datuk Seri Hishammuddiin Tun Hussein dengan mengatakan; “ Saya akui sistem pendidikan kita sekarang yang berorientasikan peperiksaan, membebankan pelajar dan guru. Oleh itu, kita mahu melahirkan satu pendekatan pendidikan yang tidak terlalu terikat dengan sistem peperiksaan yang menjadi amalan sekian lama,'' (Utusan Malaysia, Isnin 6.3.2006). Akibatnya, Walaupun para pelajar telah mempelajari subjek agama di sekolah, tetapi ia lebih menjurus untuk lulus peperiksaan dari matlamat pembentukan akhlak.
Untuk menyelesaikan masalah ini, penghayatan terhadap falsafah pendidikan negara yang mementingkan aspek persepaduan dan perseimbangan antara jasmani, rohani, emosi dan kognatif hendaklah selalu dihayati oleh para pendidik dan pengurus pendidikan di negara ini. Mereka harus menginsafi bahawa proses pendidikan menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah untuk meresapkan adab/akhlak atau perlakuan yang betul ke dalam diri individu sehingga terpancarnya keadilan atau adab yang membolehkan seseorang itu mengenal pasti kedudukan sesuatu perkara pada tempatnya yang betul. Oleh kerana itu, sistem pendidikan harus berfungsi sebagai mekanisme yang menjalankan tugas sebagai agen tazkiyah (penyucian) jiwa bagi melahirkan warganegara yang berakhlak (Abdul Halim Ramli, 1994). Proses pendidikan harus bermula bukan sahaja untuk mengajar pelajar bagi mengenali sesuatu perkara itu sebagai akhlak yang baik atau buruk, tetapi mencakupi usaha untuk membiasakan sehingga boleh memaksa pelajar untuk mengamalkan perbuatan berakhlak. Ini berasakan kepada tindakan Rasulullah yang telah membiasakan kepada anak-anak yang tinggal di rumah baginda untuk melakukan beberapa prinsip-prinsip akhlak seperti etika makan. Begitu juga Rasulullah menyuruh ibu bapa agar membiasakan anak-anak mereka melakukan kewajiban-kewajiban agama seperti solat ketika berumur tujuh tahun. Walaupun metode pembiasaan mempunyai pengaruh eduktif kepada pembentukan peribadi pelajar tetapi ia harus diteruskan dengan metode yang lain seperti penjelasan tentang nilai-nilai akhlak dan pembentukan keimanan yang kuat sebagai asas untuk mereka mengharungi kehidupan dalam persekitaran yang mencabar (Muqdad Yaljan, 1986).
Institusi Keluarga
Umum mengetahui peranan pembentukan akhlak masyarakat tidak hanya terletak kepada institusi formal semata-mata tanpa diiringi dan dibantu oleh institusi keluarga. Institusi keluarga yang diterajui oleh bapa dan ibu wajib memainkan peranan yang utama dalam membentuk akhlak anak-anaknya, kerana masyarakat sebenarnya adalah jelmaan dari set-set keluarga. Keruntuhan akhlak masyarakat Barat umpamanya berpunca dari runtuhnya institusi keluarga mereka yang telah gagal melahirkan manusia yang beradab. Hakikat ini dinyatakan oleh Ferdinand Lundberg apabila beliau membuat kesimpulan bahawa institusi keluarga sekarang mendekati titik kemusnahan yang menyeluruh (Tofler, 1970). Kalau di Barat institusi keluarga mereka sudah tidak dapat diharapkan lagi untuk melahirkan manusia yang berakhlak, bagaimana pula realiti institusi keluarga di negara ini?. Satu kesimpulan yang umum dapat dibuat ialah institusi keluarga di negara ini sedang bergerak mengikut trend di Barat. Keadaan ini disebabkan pelbagai faktor, antaranya kesan dari pembangunan kebendaan dan pengaruh globalisasi yang melahirkan manusia yang tidak mengambil berat soal-soal agama dan bersifat kebendaan. Akibatnya, terdapat ibu bapa yang tidak menghiraukan sangat soal pendidikan agama dan akhlak kepada anak-anak mereka. Mereka beranggapan faktor utama kebahagiaan itu terletak kepada kemewahan hidup. Justeru itu, mereka lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan mempunyai sedikit masa dengan anak-anak. Anak-anak yang terabai ini kemudiannya mencari keseronokan di luar rumah, lebih mendampingi rakan sebaya mereka lantas dipengaruhi oleh persekitarannya yang dominan dan akhirnya terjebak dalam krisis moral. Kadar penceraian yang semakin meningkat, bertambahnya kes-kes penderaan terhadap isteri, kes khalwat yang meningkat, anak lari dari rumah, penyalahgunaan dadah yang saban tahun terus meningkat. Kesemua gejala tersebut adalah di antara indikator-indikator berlakunya keruntuhan dalam institusi keluarga di negara ini. Rumah tangga sudah tidak lagi menjadi tempat aman bagi keluarga untuk menikmati kebahagiaan dan kedamaian hidup. Rumah tangga tidak lagi menjadi ‘syurga’ tetapi ‘neraka’ yang akhirnya melahirkan gejala sosial yang telah disebutkan. Keharmonian rumah tangga terletak di atas tanggungjawab kaum lelaki, tetapi malangnya kaum lelaki yang sepatutnya berperanan sebagai ketua rumah tangga sedang mengalami krisis kredibiliti, ramai yang dirosakkan oleh najis dadah, suka berfoya-foya, kaki pukul dan dilanda dengan krisis moral yang lain. Apakah lelaki begini mampu mengetuai sebuah rumah tangga yang berperanan sebagai bapa dan suami bagi mendidik anak dan isterinya menjadi seorang yang berakhlak?.
Bagi melahirkan generasi yang berakhlak, peranan institusi keluarga amat penting ke arah mencapai matlamat tersebut. Institusi keluarga perlu diperkasa semula melalui pelbagai strategi sama ada dilakukan oleh pihak kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan agama dan sosial. Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga perlu diberi latihan secukupnya bagi mendedahkan mereka kepada tanggungjawab suami isteri serta ilmu dalam mengurus rumah tangga. Di Malaysia banyak pusat latihan telah ditubuhkan, tetapi tidak ada satu pun pusat latihan yang khusus ditubuhkan untuk memberi latihan bagi memperkasa pengurusan rumah tangga sama ada untuk mereka yang hendak mendirikan rumah tangga atau sudah berumahtangga. Latihan ini amat penting dilakukan bagi menyediakan suasana rumah tangga yang mampu membentuk keperibadian manusia unggul. Golongan wanita juga perlu membuat muhasabah peranan mereka yang utama pada hari ini sama ada untuk berpartisipasi secara aktif dalam kegiatan luar rumah dengan mengabaikan tanggungjawab asasi mereka sebagai ibu dan isteri atau mengutamakan kedua-duanya atau menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga bagi mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna. Apa pun zamannya, golongan wanita tidak boleh melupakan hakikat bahawa mereka adalah mahaguru pertama kepada anak-anaknya. Tanggungjawab mereka yang asasi adalah membentuk generasi yang berakhlak dan berilmu pengetahuan.
Media Massa
Pembentukan akhlak masyarakat menghadapi cabaran dari pengaruh media-massa yang memberi kesan negative kepada akhlak masyarakat, khususnya golongan remaja. Dengan bermotifkan keuntungan, sesetengah media massa seolah-olah tidak menghiraukan langsung bahawa program-program, tulisan, rancangan-rancangan yang disajikan dan bahan-bahan yang dipaparkan kepada golongan massa membawa wujudnya sikap hedonisme, budaya permissive atau kebebasan yang bercanggah dengan agama dan budaya masyarakat. Iklan-iklan yang disiarkan langsung tidak menggambarkan budaya masyarakat Melayu-Islam tetapi lebih mempromosikan nilai hidup Barat yang serba bebas. Filem-filem yang ditayangkan ada kalanya lebih mempromosi budaya Barat dari mengangkat martabat akal, keilmuan dan kemanusiaan. Pengaruh media massa amat hebat sehingga banyak perlakuan golongan remaja dicorakkan oleh media massa. Budaya hip-hop, rock, punk dan lain-lain antara contoh budaya popular yang dipromosikan melalui media massa. Akibatnya golongan remaja hari semakin terhakis jati diri mereka, mengalami krisis identiti dan menjadi golongan peniru yang produktif.
Untuk membentuk masyarakat yang berakhlak, media massa haruslah berperanan bersama dengan pihak-pihak lain bagi membentuk memupuk dan mempromosikan nilai-nilai akhlak yang mulia. Pengamal media haruslah bersedia mengkritik dan mendedahkan setiap perlakuan yang menyimpang dari nilai-nilai keagamaan dan budaya masyarakat. Setiap paparan dan rancangan yang disiarkan haruslah mengambil kira kesannya kepada masyarakat sama ada jangka panjang atau pendek dan tidak hanya memikirkan keuntungan atau populariti. Mereka boleh mencontohi rancangan yang popular di Barat tetapi dalam masa yang sama ia harus bertunjangkan kepada nilai keagamaan dan budaya masyarakat negara ini serta diadun dengan kreativiti tinggi bagi menarik perhatian massa. Pihak yang berwajib hendaklah lebih tegas mengawal kemasukan dan penyebaran unsur-unsur lucah sama ada dalam bentuk novel, cerpen, CD, VCD dan lain-lain ke dalam pasaran terbuka atau gelap.
Pembangunan
Tidak dinafikan pembangunan adalah sesuatu yang amat penting bagi mewujudkan masyarakat dan negara yang maju. Malaysia selepas mencapai kemerdekaan telah menumpukan perhatian untuk membangunkan ekonominya bagi mewujudkan pembangunan sosial, keseimbangan antara kaum dan meningkatkan pendapatan rakyat. Kesan dari pembangunan yang pesat telah menyebabkan berlakunya proses urbanisasi, industrilisasi dan penghijrahan masyarakat dari luar bandar ke bandar. Kesan positif dari pembangunan ini memang tidak dinafikan, tetapi kesan negatifnya tetap ada, antaranya berlaku peningkatan gejala sosial di dalam masyarakat. Krisis moral ini berlaku apabila sesetengah pihak hanya melihat pembangunan itu dari perspektif kebendaan semata-mata atau bertujuan untuk memaksimakan keuntungan. Mereka yang didorong dengan motif mencari keuntungan tidak langsung peka kepada soal pembentukan akhlak masyarakat.. Apa tidaknya, peniaga yang dahagakan keuntungan yang berlipat kali ganda telah mengadaikan prinsip moral menjual VCD lucah dan membuka kelab-kelab hiburan yang menghidangkan arak secara berleluasa, wanita GRO dan tempat pengedaran pil ekstasi. Akibatnya, ia menjadi pusat keruntuhan akhlak. Ia telah meruntuhkan usaha-usaha pihak lain termasuk kerajaan untuk membina masyarakat yang berakhlak mulia.
Untuk menyelesaikan masalah di atas, kita harus kembali kepada konsep pembangunan Islam yang holistik, iaitu meliputi aspek-aspek moral, spiritual dan material. Pembangunan harus berorientasikan kepada peningkatan martabat manusia sampai ke tingkat yang setinggi-tingginya dalam semua dimensi. Aspek-aspek moral dan material, ekonomi dan sosial serta spiritual dan fizikal tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Yang menjadi fokus utama dalam pembangunan adalah manusianya bukan hanya dinilai dari sudut peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi sebagai indikator pembangunan (Khurshid Ahmad, 1982). Melalui pendekatan pembangunan Islam yang holistik, berorientasikan nilai dan pelbagai dimensi itu diharapkan ia mampu membentuk akhlak masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut materialnya tetapi turut maju dalam aspek akhlaknya. Kemajuan yang hanya menekankan satu dimensi adalah kemajuan yang tempang, yang akhirnya akan merosakkan kemajuan kebendaan. Penumpuan yang keterlaluan kepada aspek kebendaan hanya menjadikan manusia sebagai binatang ekonomi seperti mana yang wujud dalam kapitalisme. Ekonomisme merupakan dasar falsafah kapitalis Barat yang membawa manusia menyembah kebendaan. Hal ini tepat apa yang disebutkan oleh Ali Shariati; “Keperluan material yang ditumbuhkan setiap hari secara beransur-ansur semakin membesar menyebabkan manusia menjadi penyembah konsumsi” (Ali Shariati, 1980).

KESIMPULAN
Dalam keghairahan mengejar kemajuan, kita jangan alpa tentang peri pentingnya peranan dan pemupukan nilai akhlak dalam masyarakat. Akhlak adalah pengukur kepada kemajuan, kerana ia berperanan penting melahirkan manusia yang mengamalkan nilai-nilai hidup yang baik serta berperanan mencetus kemajuan. Pembentukan nilai akhlak harus menjadi agenda nasional dan perlu kesepaduan usaha dari semua pihak. Untuk membina masyarakat yang berakhlak kita perlu suasana yang konstruktif kepada nilai itu berkembang dan berusaha untuk menyekat suasana yang boleh mengikis nilai-nilai akhlak. Kita harus mengingati selalu kata-kata seorang penyair Mesir, Syauqi Bey yang berkata; "Sesungguhnya bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu".
RUJUKAN
Ali Shariati, 1980. Marxism and other Western Fallacies. Berkeley: Mizan Press.
Khurshid Ahmad, 1982. “Islam and the chellenge of economic development” dalam Islam in transition, Muslim perspectives (ed) John. J. Donohue dan John L. Esposito. New York: Oxford University Press.
Muqdad Yaljan. 1986. Peranan pendidikan akhlak Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.


Tuesday, July 8, 2008

Dakwah

Menurut almarhum Prof Ismail al-Faruqi, dakwah merupakan perlaksanaan terhadap perintah Tuhan (Al-Faruqi, 1982:33), iaitu menyeru manusia ke arah ajaran Islam yang meliputi semua persoalan kehidupan. Dakwah juga merupakan satu usaha untuk mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai, membawa berita yang baik tentang nikmat dunia dan nikmat syurga , memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan kesengsaraannya. Melaksanakan tugas dakwah merupakan puncak kebaikan dan kebahagiaan (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187), sepertimana Firman Tuhan yang bermaksud:

"Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah?" (Al-Qur'an, Fusilat 41:33).

Memandangkan bahawa kepatuhan kepada Tuhan merupakan intisari Islam, maka memenuhi perintah Tuhan dalam menyeru manusia ke jalan-Nya merupakan perkara yang paling hampir kepada intisari itu. Dakwah adalah tanggungjawab yang dipikul oleh semua orang Islam dengan penuh bangga dan tabah (al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187) menyebarkan Islam kepada orang lain supaya orang lain juga dapat berkongsi bersama dengan intisari Islam tersebut (Al-Faruqi, 1987:167). Dakwah merupakan satu usaha untuk mengingati semula fitrah kejadian manusia yang muslim , dimana setiap manusia telah dibekalkan dengan fakulti yang membolehkannya menyedari kewujudan Tuhan dan kehendak-Nya (Ibid., 168).

Dakwah adalah satu usaha "memberi hadiah" yang paling berharga kepada orang lain, kerana ia berupa menyampaikan kebenaran kepada orang yang diseru dan menjemput orang supaya menggunakan kebenaran itu (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187). Dakwah merupakan seruan kepada kebebasan, iaitu kebebasan dari semua tuhan-tuhan, berhala dan kuasa tirani (kezaliman) ( Al-Faruqi, 1987:169). Dakwah juga bermakna mengajak orang lain berbincang secara rasional, kritikal dan intelektual bagi menegakkan kebenaran agama Islam yang merupakan agama yang terakhir dan pembaharu definitif bagi seluruh agama Nabi-Nabi Allah sebelum Islam, khususnya agama Yahudi dan Kristian. Dakwaan-dakwaan Islam merupakan penegasan-penegasan yang bertentangan dengan dakwaan yang dibuat oleh agama lain. Oleh itu, orang lain dijemput untuk berhujah dan orang Islam secara epistemologinya adalah bertanggungjawab untuk membuktikan kebenaran dakwaan Islam dan mendapatkan persetujuan dari lawanya. Dakwaan kebenaran agama tanpa membenarkannya untuk dibincangkan secara intelektualisme akan hanya mendedahkan agama kepada relativisme, iaitu benar bagi penganut-penganutnya sahaja dan dakwaan yang bertentangan mungkin benar bagi orang lain (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187-188).

Al-Faruqi telah menggariskan beberapa ciri dakwah Islam.
Ciri dakwah Islam yang pertama ialah, tiada paksaan. Metodologi ini diasaskan kepada Firman Tuhan yang bermaksud: "Tiada paksaan dalam agama" ( Al-Qur'an, al-Baqarah 2:256). Seruan terhadap Islam merupakan satu jemputan dan objektifnya hanya dapat dicapai melalui kerelaan orang yang diseru itu. Oleh kerana objektif dakwah adalah untuk menyakinkan orang yang diseru bahawa Allah adalah Pencipta, Penguasa, Tuhan dan Hakim, maka suatu pertimbangan yang dipaksakan merupakan suatu kontradiksi, melanggar tatasusila dan tarafnya hampir sama dengan perbuatan membunuh. Seruan terhadap Islam harus dilakukan secara bujukan atau dengan cara yang baik. Jika golongan sasar masih tidak mahu menerimanya, maka mereka harus dibiarkan mengikut pilihannya, atau terus berusaha berdakwah kepada mereka dan akhirnya menyerahkan perkara tersebut kepada Tuhan (Al-Faruqi, 1982:33). Dakwah Islam bukan berbentuk paksaan diasaskan kepada keunikan kejadian manusia, sepertimana Firman Tuhan yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?", Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui" (Al-Qur'an, al-Baqarah 2: 30).

Perlantikan manusia sebagai khalifah adalah disebabkan mereka mempunyai kebebasan sehingga mereka dapat melaksanakan tanggungjawabnya bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Oleh itu, pemaksaan merupakan perlanggaran terhadap kebebasan dan tanggungjawabnya serta bertentangan pula dengan fitrah semulajadinya (Al-Faruqi, 1982:34).

Ciri dakwah kedua ialah rasionaliti, iaitu ajakan untuk berfikir, berdebat, berhujah dan menilai sesuatu perkara. Ini disebabkan hak untuk berfikir merupakan milik semua orang dan tidak ada manusia yang boleh menghalang hak tersebut. Sekirannya dakwah Islam tidak mengambil kira asas tersebut, maka dakwah dengan sendirinya akan rosak (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:188). Dakwah tidak boleh dilakukan melalui dasar luahan emosi dan Psychopathic induction,iaitu pengaburan kesedaran manusia melalui alat mistik atau kimia yang membawa kepada ketidakbebasan memilih secara sedar ( Al-Faruqi, 1982:35). Ini disebabkan dakwah berusaha untuk mencari persetujuan yang ikhlas mengenai apa yang didakwahkannya. Jika kesedaran orang yang didakwahkan itu dilemahkan, maka dakwah yang dilakukan akan kehilangan kesedaran dan kehilangan taakulannya. Dakwah bukannya kerja silap mata atau tarikan terhadap emosi sehingga tindak balasnya bersifat perasaan dan bukannya pernilaian. Dakwah adalah satu proses kritis tentang daya fikir. Ia tidak bersifat dogmatik, seruannya sentiasa terbuka kepada bukti-bukti dan alternatif yang baru. Ia menerima penemuan-penemuan baru dalam sains kemanusiaan atau persekitaran manusia. Oleh itu, pendakwah-pendakwah Islam bukanlah wakil kepada sistem autoritarian atau kuku besi, tetapi mengajak berfikir secara bersama antara pendakwah dengan golongan sasar dalam usaha untuk memahami dan menghargai wahyu Tuhan ( Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:189).

Ciri dakwah Islam yang ketiga ialah universalisme. Semua manusia sama ada Muslim atau Non-Muslim merupakan objek kepada dakwah Islam (Ibid). Ini berasaskan kepada hakikat bahawa semua manusia adalah makhluk Tuhan, sama di sisi Tuhan dan mempunyai kewajiban yang sama untuk melaksanakan kehendak Tuhan dalam ruang dan waktu. Dakwah kepada Muslim adalah sebagai usaha mengarahkan mereka kepada jalan yang benar, manakala bagi Non-Muslim pula adalah untuk mengajak mereka bersama-sama ke arah menerima pola Ketuhanan yang agung (Islam) (Al-Faruqi, 1982:35).

Ciri Dakwah Islam yang keempat adalah Anamnesis. Iaitu mengajak manusia untuk kembali kepada fitrahnya dan mengakui Allah adalah Tuhan mereka. Oleh itu, dakwah bukannya satu perkara yang baru. Manakala Juru dakwah harus bertindak melebihi fungsi "bidan" yang tugasnya hanya sekadar merawat tetapi mesti berfungsi seperti fungsi para nabi, iaitu untuk mengendali dan mengarahkan intelek mad'u atau orang yang diseru ke arah apa yang telah diketahuinya semenjak ia dilahirkan lagi, iaitu fitrah ( Ibid., 37).

Ciri dakwah yang terakhir ialah ecumenical par excellence, iaitu perbincangan atau dailog antara agama mengenai kebenaran agama berdasarkan analisa dan kritikan terhadap teks wahyu agama masing-masing bagi memastikan sejauhmana berlakunya penyelewengan dari din al-fitrah (Ibid.,38). Oleh itu, dakwah merupakan ecumenical par excellence kerana ia melihat hubungan antara muslim dengan non-muslim sebagai satu hubungan domestik antara karabat. Menurut al-Faruqi, orang-orang Islam datang kepada Non-Muslim dan berkata: "Kita adalah satu; kita dari satu keluarga di hadapan Tuhan, dan Tuhan telah menganugerahkan kepada kamu kebenaran yang tidak sahaja ada di dalam diri kamu tetapi juga ada di dalam tradisi agama kamu yang de jure atau sah, kerana sumbernya ialah dari Tuhan" (Ibid).

Friday, July 4, 2008

Padamkan segera 'api fitnah' kerana Allah sedang memerhatikan kita.....

Nabi Muhamamd SAW telah menegaskan bahawa fitnah itu adalah lebih besar dosanya dari membunuh. Kenapa Nabi mengajar umatnya bertindak tegas menentang penyakit fitnah ini dari merebak dan membudaya dalam masyarakat?. Ini kerana fitnah akan menyemarakkan lagi api persengketaan, kebencian, kezaliman, perpecahan, pemulauan, penganiayaan dan akhirnya kehancuran. Justeru itu, Nabi meletakkan dosa fitnah lebih besar dosanya dari membunuh kerana dilihat dari aspek kesannya yang amat besar dan parah kepada masyarakat, Negara dan ummah itu sendiri.
Kalau kita lihat dari perspektif sejarah, fitnahlah yang membawa Saidina Usman yang termasuk 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga mati dibunuh secara zalim. Kematian Saidina Usman r.a. akibat fitnah itu pernah dibayangi oleh Rasulullah dan baginda sentiasa bermunajat agar diberi kekuatan kepada Saidina Usman bagi menghadapi fitnah tersebut. Gelora politik yang berlaku pada 6 tahun terakhir pemerintahan beliau adalah akibat gerakan yang dilakukan oleh Abdullah bin Saba’ bagi menggulingkan pemerintahan Saidina Usman dengan menaburkan fitnah bahawa Saidina Usman mengamalkan nepotisme iaitu memberi keutamaan kepada kaum keluarganya dalam pemerintahannya. Sedangkan apa yang dilakukan oleh Saidina Usman ialah melantik orang yang sebenarnya mempunyai kelayakan memegang jawatan tersebut. Akhirnya Saidina Usman telah dibunuh ketika beliau sedang membaca al-Quran di rumahnya pada pagi Hari Raya Idil Adha ketika berumur 82 tahun. Fitnah juga yang menyebabkan lahirnya beberapa siri pemberontakan pada zaman Saidina Ali seperti peperangan Siffin yang melibatkan Muawiyyah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Sidina Ali memecat pegawai-pegawai yang dilantik pada zaman Saidina Usman. Implikasi dari peperangan ini telah melahirkan golongan Khawarij dan pengumuman pemecatan Ali oleh Abu Musa melalui helah politik yang licik. Akhirnya, Saidina Ali turut mati dibunuh di Khufah ketika beliau keluar rumah bagi menunaikan solat subuh pada 17 Ramadan tahun 40 H. Beliau meninggal dunia ketika berusia 63 tahun akibat dari libasan pedang Abdul Rahman ibn Muljam, seorang tokoh Khawarij. Saidina Ali seorang penyair dan pernah bersyair yang mempunyai maksud yang cukup mendalam untuk kita fikirkan:

janganlah kamu melakukan penganiayaan jika kamu mampu berlaku (adil), kerana tindakan penganiayaan itu akan berakhir dengan penyesalan.
Anda tidur sementara orang yang dianiaya tetap terjaga. Ia memohon agar kamu celaka (musnah) dan mata Allah tidak pernah tidur
” (dipetik oleh Syelh Muhammad Said Mursi, 2007:22).
Kerana fitnah juga, telah melemahkan kekuasaan kerajaan Melayu-Islam Melaka runtuh di tangan kuasa Portugis. Keadaan ini berlaku di akhir pemerintahan Melaka iaitu semasa di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang memeprlihatkan berlaku pertelagahan dan perebutan jawatan dan kuasa di kalangan istana mengenai siapa yang layak menjadi bendahara selepas kematian Tun Perak dan adiknya Tun Perpatih Putih. Orang Melayu mahukan anak Tun Perak menjadi bendahara tetapi atas desakan ibunda Sultan, Tun Mutahir telah dilantik menjadi bendahara yang bergelar Seri Maharaja. Beliau adalah dari keturunan Tamil dan seorang saudagar yang kaya tetapi mempunyai sifat angkuh dan mahu dirinya dihormati. Jawatan bendahara telah digunakan untuk memperkayakan diri dan kerabatnya. Beliau amat berkuasa sedangkan Sultan Mahmud Syah banyak menghabiskan masa lapangnya dengan mengusik isteri pembesar kerajaan. Akhirnya Tun Mutahir dan ahli keluarga beliau telah ditangkap dan dihukum bunuh oleh Sultan apabila tersebar khabar angin (fitnah ini wujud apabila hubungan antara Sultan dengan Tun Mutahir menjadi meruncing apabila Tun Mutahir menolak pinangan Sultan terhadap anaknya, Tun Fatimah) yang menyatakan Tun Mutahir bersama saudagar-saudagar Tamil ingin membunuh Sultan (Mohd. Dahlan Mansoer, 1979). Suasana politik yang tidak stabil tersebut telah membawa ketegangan antara komuniti dan pihak pemerintah (Luis Filipe, 1989) dan menjadi penyebab kepada kelemahan kepimpinan Kesultanan Melaka yang akhirnya menyaksikan Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511 M.

Akhirnya, hayati hadis-hadis di bawah untuk menjadi pengajaran kita….

Sesuatu yang paling kutakuti atas umatku ialah apabila harta benda di kalangan mereka sudah banyak, kemudian mereka saling menghasad dan saling bunuh membunuh (HR Ibnu Abid Dunya).
“Dengki itu dapat menghapuskan semua kebaikan sebagaimana apai makan kayu bakar “(HR Abu Daud dan Ibn Majah).
“Janganlah kamu memperlihatkan kegembiraan pada saudaramu (yang terkena musibah), kelak Allah akan melepaskan saudaramu itu (dari kesulitan) dan memberikan cubaan (bencana) pada dirimu” (HR Tarmizi).
"Barangsiapa menutupi aib seorang muslim, Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat” (HR Muslim).
“Tidaklah seorang muslim melihat aurat (cacat) saudaranya lalu menutupinya, kecuali ia pasti akan masuk syurga” (At-Tabrani).

“Wahai manusia! Sesiapa yang melakukan sesuatu keburukan ini dan merahsiakannya, maka ia adalah dalam perlindungan Allah dan sesiapa yang mendedahkannya, maka kami akan menghukumnya”.

Ingatlah!, hentikan segera api fitnah yang makin marak kerana Allah sedang memerhatikan kita…..

Thursday, July 3, 2008

Tuhan

Konsep megenai Tuhan merupakan aspek yang terpenting di dalam kehidupan, pemikiran dan tindakan Muslim. Kesedaran tentang kewujudan dan kehadiran Tuhan mengisi kesedaran Muslim setiap masa dan ketika. Oleh kerana konsep ini merupakan teras kepada kehidupan Muslim, ia sentiasa menjadi isu perdebatan di kalangan umat Islam. Perdebatan hebat pernah berlaku di dalam sejarah Islam, iaitu di antara ahli-ahli falsafah Muslim seperti Ibn Sina, Ibn Rushd dan lain-lain dengan ahli-ahli teologi Muslim seperti al-Ghazali mengenai penglibatan Tuhan di dalam keteraturan atau orderliness alam ini. Menurut Prof Ismail al-Faruqi, ahli falsafah Muslim melihat alam sebagai kosmos di mana setiap perkara berlaku disebabkan adanya sebab dan tiap-tiap sebab pula membawa akibat yang tertentu. Bagi ahli teologi pula, mereka telah menolak hukum kausaliti atau sebab-akibat yang menyebabkan keteraturan alam ini. Menurut pandangan ahli teologi, penyandaran tentang keteraturan alam ini kepada hukum kausaliti akan hanya menjadikan Tuhan sebagai deus otiosus atau Tuhan yang pencen.
Hukum kausaliti mengimplikasikan bahawa setelah Tuhan menciptakan alam dan menetapkan mekanisme yang diperlukan agar alam dan segala isinya bergerak secara teratur menurut hukum kausaliti, maka Tuhan tidak lagi campurtangan di dalam alam ini, kerana semuanya telah ditentukan melalui hukum kausaliti tersebut. Ahli teologi mendakwa konsep Tuhan seperti yang diajarkan oleh ahli falsafah Muslim, mengimplikasikan tiga perkara, iaitu pertama; Tuhan sebagai tidak mengetahui apa yang terjadi, kedua; Tuhan tidak mampu mengawal kejadian dan ketiga; wujud tuhan lain selain Allah. Sebagai menggantikan hukum kausaliti tersebut, ahli teologi Muslim telah mengembangkan satu doktrin baru yang dikenali sebagai Occasionalism (al-Faruqi, 1992:1-2).
Doktrin occasionalism ini pula telah mengimplikasikan bahawa segala sesuatu dan peristiwa yang berlaku di alam ini secara substansinya adalah bersifat terputus-putus. Di mana tidak ada kaitan antara sesuatu perkara yang berlaku dengan perkara yang lain, melainkan melalui kehendak Tuhan. Jika A mempunyai kaitan dengan B, hubungan ini terjadi tidak secara semulajadi, tetapi kerana Tuhan mengkehendakinya demikian. Semua perkara yang berlaku di alam ini adalah merupakan kehendak Tuhan. Dengan demikian, doktrin occasionalism seperti yang dianuti oleh ahli teologi menolak keperluan terhadap hukum kausaliti atau sebab-musabab (Osman Bakar, 1994:96). Al-Faruqi tidak menyetujui beberapa pandangan ahli falsafah Muslim tentang hukum kausaliti yang menyebabkan Tuhan sebagai deus otiosus. Baginya, Tuhan adalah Yang Hidup dan Aktif, tindakan-Nya terdapat di dalam semua perkara yang berlaku meskipun sesuatu itu terjadi melalui mekanisme hukum kausal yang sesuai dengan sesuatu yang terjadi itu. Tegas al-Faruqi lagi; "Tuhan kita benar-benar ada dan aktif di setiap saat dan tempat. Dia-lah satu-satunya Perlaku Hakiki dari segala peristiwa, sebab bagi semua kewujudan" (al-Faruqi, 1992:52).
Tuhan merupakan Wujud yang wajib, tetapi kewujudan Tuhan tidak menyerupai segala sesuatu yang diketahui oleh manusia, sama ada benda atau yang lain-lain.Tuhan adalah "keseluruhannya yang lain" (al-Faruqi, 1969:339) dari apa yang difikir, digambar atau dianggap oleh manusia sebagai Tuhan.Apa yang ditanggapi oleh manusia sebagai Tuhan, bukanlah Tuhan. Justeru itu, Tuhan adalah mutlak transenden atau suci sama ada secara metafizik atau aksiologi. Sesuatu yang selain Allah adalah makhluk-Nya. Allah adalah Pencipta, melalui perintah-Nya, segala sesuatu dan peristiwa terjadi (al-Qur’an, 36:78-83) Allah adalah sumber kebaikan dan keindahan, kehendak-Nya merupakan hukum alam (law of nature) atau hukum moral (al-Faruqi, 1990:37). Kehendak Tuhan adalah yang paling tinggi dan kebaikan yang final. Tuhan adalah Pembuat kepada sistem alam dan Tuan kepada moral, tanpa Tuhan, sistem alam tidak akan wujud dan menjadi mungkin. Tuhan adalah Satu, Dia tidak mempunyai pembantu dan pasangan, tidak ada tuhan-tuhan, kuasa alam dan manusia yang diboleh anggap sebagai Tuhan, meresap atau bersekutu dalam apa saja cara dengan Tuhan. Tiada Tuhan melainkan Allah adalah prinsip pertama dan utama dalam seluruh teologi Islam (al-Faruqi, 1969:339).

Tuhan juga tidak berada di ruang dan waktu, tetapi dil uarnya. Kategori-kategori ruang, waktu dan hukum kausaliti yang terdapat di dalam alam tidak dapat diterapkan ke atas Tuhan, kerana Dia menciptakan semua perkara tersebut, manakala alam yang diciptakan oleh Tuhan tertakluk kepada kategori-kategori ruang dan waktu serta hukum kausaliti. Wujudnya alam adalah hasil dari kehendak-Nya, dengan sebab itu alam adalah ex nihilo iaitu dijadikan dari tiada kepada ada. Tuhan dan makhluk berbeza dari sudut ontologi (kewujudan). Kedua-duanya tidak boleh mengambil tempat salah satu daripada kedua-duanya, iaitu Tuhan tidak boleh dimakhlukkan atau diletakan pada tempat makhluk, manakala makhluk pula tidak boleh dipertuhankan atau diangkat menjadi Tuhan. Setiap sesuatu yang berlaku di alam ini berlaku akibat dari perintah, perbuatan, reka bentuk dan effesensi Tuhan. Dengan sebab itu, kosmos yang mengelilingi manusia bukannya sebagai satu dead realm atau alam yang tidak mempunyai peraturan, dimana perubahan dan hukum kausaliti berlaku secara sewenang-wenangnya atau membuta tuli, tetapi ia bergerak hasil dari perintah Tuhan dan penuh dengan matlamat-matlamat yang telah ditetapkan (al-Faruqi, 1980:11-12).
Tuhan bukan sahaja sebab yang pertama setiap perkara atau kejadian, tetapi juga adalah Final End (Tujuan Akhir), iaitu tujuan akhir dimana semua rangkaian finalistik mengarah dan berhenti. Konsep bahawa Tuhan adalah sebab yang pertama dan Sebab yang akhir di dalam setiap kejadian, mengimplikasikan bahawa setiap sesuatu yang berlaku di alam ini adalah akibat dari inisiatif dan kehendak Tuhan. Tidak ada sesuatu perkara atau sesuatu kejadianpun yang terdapat di alam ini berlaku di luar dari insiatif Tuhan, rangkaian sebab-akibat yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan perintah Tuhan (al-Faruqi, 1990:38) Perkara ini dijelaskan oleh al-Faruqi (al-Faruqi, 1992:2-3) :

God is the final end, i.e, the end at which all finalistic nexues aim and come to rest. Everything is sought for another which in turn is sought for a third and so on, and hence demands the nexus or chain to continue until a final is reached which is an end-in-itself. God is such an end, an end for all other ends, a chains of ends. He is the ultimate object of all desire. As such it is He who makes every other good; for unless the final end is posited, every link in the chain is undone. The final end is the axiological ground of all chains or nexuses of ends and Life.

Tuesday, July 1, 2008

Ilmu adalah lebih baik dari harta

Satu riwayat Kamil bin Ziyad seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Qudamah al-Maqdisi bahawa Saidina Ali telah berkata kepada Kamil bin Ziyad (Sanadnya dhaif) berkenaan dengan kelebihan ilmu yang boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Ilmu itu adalah lebih baik dari harta, kerana ilmu itu akan menjagamu sementara harta, kamu yang harus menjaganya

2. Ilmu itu bertambah atau berkembang kerana diamalkan, sementara harta itu berkurangan kerana dibelanjakan

3. Ilmu itu sebagai hakim, sementara harta itu yang dihukumi

4. Ilmu itu mendorong pemiliknya untuk melakukan ketaatan dalam hidupnya dan memberikan akibat yang baik setelah pemiliknya meninggal dunia, sementara penyimpan harta itu 'sudah mati ketika ia masih hidup'

5. Para ulama' atau ilmuwan akan tetap dikenang sepanjang tahun, sehingga meskipun orang berilmu itu sudah tiada, namun ilmunya masih tetap hidup dalam hati-hati manusia

6. Ilmu itu tempatnya dalam dada (iaitu dalam hati kerana ia adalah tempat wadah ilmu) di mana seandainya ia diselewengkan nescaya ia akan menyimpang dengan menjadikan agama sebagai alat memperolehi dunia, mempamirkan nikmat Allah di hadapan hambaa-hambaNya, mengingkari ketentuan kitabNya, menentang para pembela kebenaran dan meremehkan kebenaran dalam hidupnya, sehingga hatinya dipenuhi dengan keraguan serta diliputi kesamaran dari segenap penjuru, terlena dengan kelazatan dunia, tunduk kepada keinginan hawa nafsu. Tidak henti-henti mengumpul harta kekayaan melalui berbagai cara sehingga tidak ubah seperti bintang ternak bahkan lebih hina daripada binatang
7. Ilmu itu akan hilang seiring dengan kematian para pembawanya (Ulama'). Saidina Ali telah berdoa, "Ya Allah janganlah Engkau kosongkan bumi ini dari penegak kebenaran, supaya hujah dan penjelasan Allah tidak sirna. Mereka itu sedikit sekali jumlahnya, tetapi kedudukan mereka sangat agung di hadapan Allah. Melalui merekalah Allah menegakkan hujahNya, di mana mereka mampu mengalahkan para penentangnya dan menanamkan hujah tersebut dalam hati orang-orang yang diliputi keraguan dan melalui merekalah terserlah hakikat sesuatu sehingga mereka menganggap hina apa yang dibingungkan oleh orang-orang yang hidup dalam kemewahan dan melupakan sesuatu yang dirindukan oleh orang-orang bodoh yang selalu menjadikan dunia yang menyebarkan bau busuk itu sebagai harapan yang paling tinggi dan sering menjadi kerinduan mereka. semoga Allah mengampuni aku dan juga mengampunimu. Jika kamu mahu maka perbuatlah!.

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...