Friday, June 27, 2008

Dunia....

Saidina Ali seperti yang dipetik dalam kitab Nahjul Balaghah telah berkhutbah:

"Sesungguhnya dunia ini tidak diciptakan untuk menjadi tempat tinggal selamanya untuk kalian. Tetapi diciptakan sebagai sebuah jalan perlintasan dengan tujuan agar anda semua mendapat bekal dari amal kebaikan untuk tempat abadi (di akhirat). Bersiap-siaplah untuk berangkat dari sini dan jagalah bebanmu untuk berangkat"
"Ingatlah bahawa dunia ini adalah tempat persinggahan, sebuah jalan perlintasan manusia siang dan malam. Hari akhirat adalah tempat tinggal menetap yang abadi. Kerana itu, saat melintasi jalan ini siapkanlah bekal kalian untuk tempat berikutnya yang akan menjadi tempat tinggal kalian untuk selamanya. Janganlah berangkat dengan beban dosa dan kejahatan di hadapan Yang Maha Esa, yang mengetahui segala sesuatu tentang kalian. Singkirkanlah segala cinta-cita jahat dari fikiranmu sebelum kematian memindahkanmu dari lingkungan persekitaran. Ingatlah bahawa kalian dicuba di dunia ini dan diciptakan untuk mendapat sebuah tempat tinggal tetap di akhirat. Ketika seorang manusia meninggal dunia, orang akan bertanya apa yang ditinggalkannya sebagai warisan, manakala para malaikat ingin mengetahui apa yang telah ia kumpulkan untuk bekalan di akhirat. Semoga Allah memberi rahmatNya kepada kalian, kumpulkanlah sesuatu yang menguntungkan bagi tempat yang kalian akan diami, semoga ia menjadi simpanan di mata Allah agar diberikan kembali kepada kalian di saat kedatangan kalian..."
"Ingatlah bahawa dunia yang mulai kau serakahi, sasaran ketertarikanmu yang kadang-kadang menjengkelkanmu dan kadang-kadang menyenangkanmu, bukanlah kediaman yang kekal, bukan pula tempat tinggalmu yang tetap. Engkau diciptakan bukan untuk dunia ini. Engkau tidak diundang untuk tinggal di dunia ini selamanya. Ketahuilah bahawa anda tidak akan hidup selamanya di dalamnya. Jika sesuatu dari dunia ini menipumu dengan rayuannya, dia juga memperingat dan memberitahu akan bahaya yang tersembunyi dalam lipatannya. Engkau harus memperhatikan peringatan yang telah ia berikan dan janganlah tergoda oleh tipuan dan pujuk rayunya. Peringatannya harus mencegahmu dari sikap tamak dan terlalu rakus untuk memilikinya..." (Dipetik dari buku Ibrahim Amini, Hijrah Menuju Allah, 2001, hal. 121-122).

Wednesday, June 25, 2008

Hati

Semua orang inginkan kebahagiaan sama ada seorang Muslim atau sebaliknya. Dari kacamata manusia, kebahagiaan diukur dari pelbagai pandangan. Ada yang melihat kebahagiaan apabila ia memperolehi kemewahan dan kekayaan harta benda. Tetapi ramai antara manusia yang diberikan Allah kemewahan hidup tetapi hidup mereka menderita. Mereka hidup keseorangan, kesepian, kekosongan, keluh kesah dan sebagainya. Logiknya semakin banyak harta kekayaan yang diperolehi, maka semakin senang dan jiwa semakin tenang, tetapi sebaliknya. Dengan sebab itu, Islam mendefinisikan kebahagiaan bukan terletak kepada banyaknya harta atau sebagainya tetapi terletak kepada ketenangan yang wujud dalam jiwa atau hatinya. Hatilah tempat letaknya kebahagiaan. Kebahagiaan akan terwujud dalam diri insani apabila ia memiliki hati yang bersih, suci dan tenang. Justeru itu, kita perlu mengetahui tentang hakikat hati, sama ada sakit atau sihat. Hati yang dimaksudkan di sini bukannya hati fizikal, tetapi hati yang bersifat rohani atau non-fizikal di mana semua laku perbuatan manusia sama ada zahir atau batin terwujud. Hati ini yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran yang boleh memahami dan berfikir (al-Hajj:46), tempat letaknya keimanan (al-Mujaadalah:22), kafir atau enggan menerima kebenaran (An Nahl:108) dan lain-lain. Pendeknya, dari hatilah lahirnya keimanan, kedamaian, ketaatan, memahami kebenaran dan dari hati juga lahirnya kekafiran, dosa, penyelewengan, kejahatan, kesombongan, pemberontakan dan lain-lain sifat mazmumah. Ringkasnya, hatilah yang mengawal darjat kemanusiaan yang terdapat dalam diri manusia itu.
Hati ada masanya sihat dan ada masanya sakit ibarat tubuh badan manusia jua. Dengan sebab itu Allah telah berfirman yang bermaksud:

di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang bersih (bi qalbin salim)” (Asy Syuaraa’:88-89).
di dalam hati mereka terdapat penyakit, dan Allah menambah penyakit mereka” (Al-Baqarah:10).

Hati yang lalai tentang kewujudan Allah, tidak memperdulikan firman-firmanNya, hidup dalam keingkaran, kesesatan dan dosa adalah hati yang buta dan gelap. Apabila hati manusia berada dalam keadaan itu, maka ia akan dibangkitkan di akhirat dalam keadaan buta serta dilemparkan ke dalam neraka menerima azab dari Allah. Firman Allah yang bermaksud:

Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat. Allah berfirman: “Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya dan begitu (pula) pada hari ini kamupun dilupakan”(Thaahaa:124-126).
Persoalannya bagaimana hati boleh menjadi buta atau berada dalam kegelapan?. Jawapannya menurut Ibrahim Amini (2001:52-53) ialah hati mempunyai dunianya sendiri yang di dalamnya terdapat cahaya dan kegelapan, wujudnya kesucian atau keburukan/kekotoran, ia juga boleh melihat dan juga mampu menjadi tuli dan buta.
Kegelapan hati penerangnya adalah keimanan kepada Allah, hari akhirat, keimanan kepada Nabi, keislaman, pematuhan kepada syariat, ketaqwaan, kebaikan. Kegelapan hati adalah akibat kemungkaran, kesombongan, kekafiran. Rasulullah diutuskan oleh Allah dengan misi mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju alam terang benderang dan keimanan seperti yang difirmankan oleh Allah:

“(Ini adalah) kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya terang dengan izin Tuhan mereka, (Yaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” (Ibrahim:1).
Hati yang kotor dan gelap jangan dibiarkan. Hati perlu dicuci melalui tazkiyatul nafs, iaitu dengan membersihkan hati dari perbuatan yang keji dan menghindari dosa-dosa. Seterusnya hati hendaklah didorong terus menerus melakukan amal soleh dan kebajikan. Bisikan syaitan dhendaklah ditentang, manakala bisikan malaikat disambut dan dibugarkan menjadi amalan soleh.

Tuesday, June 24, 2008

Meneladani kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz

Di sebalik pergolakan politik yang berlaku pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah yang melahirkan banyak aliran pemikiran telah lahir seorang khalifah Islam yang soleh dan wara’ cuba melakukan pembaharuan melalui gaya pemerintahannya yang mengamalkan kesederhanaan dan mengutamakan rakyat. Nama lengkapnya ialah Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Abil Ash. Panggilannya adalah Abu Hafs yang menggambarkan, beliau seorang khalifah yang adil, dan soleh. Baginda seorang khalifah kelima dari Bani Umiyyah, dilahirkan pada 61 H di Mesir. Menjadi khalifah pada tahun 99 H selepas kematian sulaiman bin Abdul Malik. Sebelum baginda dilantik sebagai khalifah, beliau seorang yang kaya raya dan hidup dalam kemewahan tetapi apabila dilantik menjadi khalifah, beliau telah meninggalkan semua harta kesenangannya. Beliau amat sederhana dalam soal makanan dan pakaian. Apabila sampai ke rumah setelah beliau dibiahkan sebagai kahlifah, beliau sangat sedih sekali. Salah seorang pembantunya telah bertanya kepada Khalifah Umar kenapa beliau bersedih. Khalifah Umar menjawab “orang seperti saya sewajarnya bersedih, saya ingin memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mereka menulis surat dan menuntut dari aku”.
Setelah diangkat sebagai khalifah, beliau berpidato di hadapan rakyat, katanya “wahai para manusia, sesungguhnya tidak ada lagi kitab suci setelah al-Quran dan tidak ada lagi Nabi setelah Nabi Muhammad SAW. Tugas saya adalah bukan untuk mewajibkan tetapi adalah sebagai pelaksana. Seseorang yang melarikan diri dari pemimpin yang zalim, dia tidak bersalah. Ketahuilah ketaatan kepada makhluk itu tidak diperbolehkan apabila sampai melanggar Pencipta”. Beliau telah menggumpulkan ahli fekah yang ada di Madinah dan meminta mereka untuk menulis suatu kezaliman yang mereka lihat atau merampas hak orang lain”. Bagi meningkatkan nilai integrity di kalangan pegawai kerajaan, beliau telah menaikan gaji para pegawai sehingga sampai 300 dinar agar mereka tidak mengharapkan bantuan dari rakyat dan memecat pegawainya yang korup.
Anas bin Malik telah menyatakan bahawa beliau belum pernah melihat seseorang yang solatnya yang lebih menyerupai solat Rasulullah melainkan Umar bin Abdul Aziz. Beliau seorang yang amat merendah diri dan tidak sombong dengan kedudukan yang dimilikinya. Diriwayatkan pada satu malam beliau telah masuk ke dalam masjid dan hampir memijak seorang yang sedang duduk. Orang itu berkata, “apakah anda buta?, Umar menjawab, “tidak”. Para pengawalnya ingin memukul orang tersebut tetapi Khalifah Umar melarangnya. Beliau berkata, “dia hanya bertanya kepadaku dan saya menjawabnya”.
Ibn Qudaimah mencatatkan satu riwayat yang panjang dari Atha’ yang bertanya kepada Fathimah bt Abdil Malik mengenai kebiasaan Umar bin Abdul Aziz (setelah beliau meninggal dunia). Fathimah telah menyebutkan, “Sesungguhnya Umar telah mengorbankan jiwa dan raganya untuk melayani rakyat, di mana di sepanjang hari beliau duduk menguruskan urusan rakyat. Apabila sampai waktu petang, urusannya itu masih belum selesai , maka beliau melanjutkannya sehingga waktu malam. Pada satu petang, di mana ketika itu beliau sudah selesai mengerjakan segala tugasnya maka beliau segera mengambil lampu miliknya dan menyalakannya, lalu beliau solat sunat sebanyak dua rakaat. Setelah itu beliau menundukkan kepala di atas tangannya dan air matanya kelihatan terus mengalir membasahi pipinya seraya menangis dengan tersedu-sedu. Kemudian aku datang meghampirinya sambil menenangkan kegundahan hatinya. Akan tetapi pada malam itu beliau tetap menangis sampai datang waktu subuh, manakala pada hari esoknya beliau berpuasa. Fathimah berkata, Wahai Amirul mukminin, sebaik-baiknya engkau menghentikan urusan kamu sebelum malam tiba, maka Umar menjawab, Ya!, maka biarkanlah aku menyelesaikan kewajibanku dan kamu menyelesaikan kewajiban kamu”. Selanjutnya aku berkata kepadanya, aku berharap engkau menerima nasihatku ini”. Mendengar hal itu maka beliau menjawab, “kalau begitu baiklah aku ceritakan kepadamu kenapa aku melakukan sesuatu sebagaimana yang kamu lihat dari diriku, di mana aku ini telah diserahi tugas untuk menguruskan urusan umat ini dengan baik sama ada yang kecil atau besar, yang hitam atau yang merah. Setelah itu aku harus memikirkan orang hilang yang tidak diketahui jejaknya, orang fakir yang sangat memerlukan bantuan, tawanan yang melarikan diri dan aku harus mengetahui di mana mereka berada…. Aku menyedari bahawa kesemua perkara tersebut akan dipertanggungjawabkan ke atas aku oleh Allah dan Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, maka aku merasa takut seandainya Allah tidak memaafkan aku dan Nabi Muhammad SAW tidak menerima penjelasanku. Aku merasa khuatir sekali dengan keselamatan diriku dan kekhuatiran inilah yang menyebabkan kedua mataku menangis dan hatiku merasa kesedihan yang sangat mendalam. Semakin aku mengingati perkara tersebut maka semakin sedih hatiku. Aku telah menceritakan semuanya kepadamu, maka berikanlah nasihatmu kepada aku atau tinggalkan aku serta pergi dariku” (Ibn Qudamah).
Apabila Khalifah Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia, Raja Romawi amat bersedih dengan kamatian beliau. Apabila ditanya oleh Muhammad bin Ma’bad yang ketika itu sedang mengadap raja Romawi kenapa beliau bersedih, maka Raja Romawi tersebut menyatakan, “seandainya ada orang yang boleh menghidupkan orang mati setelah Isa putra Maryam, nescaya aku akan memintanya untuk menghidupkan kembali Umar bin Abdul Aziz. Menurutnya lagi, “aku tidak kagum dengan seorang pendita yang mengunci pintunya dan menolak dunia, lalu dia menjadikan dirinya sebagai pendita (rahib) dan hanya beribadah, tetapi aku sangat kagum dengan seseorang di mana dunia berada di bawah telapak kedua kakinya, tetapi dia menolaknya dan mengkyusu’kan dirinya dalam beribadah (Ibn Qudamah).

Monday, June 23, 2008

Perpaduan

Tulisan Dr. Asri, Mufti Perlis yang bertajuk “apa salahnya mereka duduk semeja?” yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22 Jun 2008 sepatutnya disambut dengan tindakan yang positif oleh pimpinan politik di Negara ini bagi merapatkan perpaduan ummah. Dalam tulisan itu, Dr. Mohd Asri telah menyarankan agar keempat-empat tokoh utama negara duduk semeja untuk berbincang atas semangat ukhuwah Islamiyyah tentang masa depan umat Islam di negara ini khususnya dan juga masa depan rakyat keseluruhannya. Mereka ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr. Asri tidak merayu agar mereka merungkai pandangan politik mereka, atau membubarkankan parti mereka, sebaliknya hadir berbincang atas arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al- Nisa’: ayat 114).
Kita harus menyedari sekiranya umat Islam, khususnya orang Melayu dibiarkan berpecah belah disebabkan fahaman politik yang berbeza, dikhuatiri umat ini akan menjadi lemah dan hilang kekuatan serta kekuasaan di bumi mereka sendiri. Kita perlu belajar dari sejarah, betapa pepecahan dari permasalahan politik telah menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan akhirnya tamadun yang memberi cahaya kepada manusia sejagat beransur-ansur menjadi malap serta akhirnya Negara umat Islam dijajah oleh bangsa asing. Perpaduan ummah yang dibentuk dan diperkasa oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat telah menjadikan umat Islam kuat sehingga akhirnya akhirnya dapat meruntuhkan beberapa pemerintahan yang hebat sebelum Islam walaupun bilangan umat Islam adalah kecil. Umpamanya, empayar Romawi yang gagah akhirnya hancur lebur apabila berhadapan dengan tamadun Islam yang dibina atas dasar Islam dan perpaduan. Amir Syakib Arsalan (1899-1946) telah mengatakan “kelahirannya sebagai kesatuan dengan mempersatukan ras-ras dan suku Arab yang bercerai-berai mengangkat mereka dari kebiadaban ke peradaban, dari syirik kepada mengabdikan diri kepada Allah. Dengan kekuatan yang dinamik ini, mereka mengubah diri mereka sendiri sebagai tuan-tuan bagi separuh dunia dalam jangka waktu setengah abad sahaja.
Bagaimanapun, zaman pasca Sahabat, umat Islam telah mula memperlihatkan bibit-bibit perpecahan umat Islam. Perpecahan umat Islam yang terawal adalah disebabkan persoalan politik. Seorang orientalis Barat bernama D’Ohson telah menyebutkan: “sekiranya pengikut-pengikut Muhammad menurut ajaran nabinya dan mencontohi sifat-sifat Khalifah pada masa permulaan tentulah kerajaan mereka menjadi lebih luas dan lebih tahan lama dari kerajaan Romawi, tetapi keserakahan orang Umaiyyah…semangat individualisnya menyebabkan runtuhnya bangunan yang mengkagumkan yang didirikan dengan semangat kepahlawanan dan kesetiaan orang Islam pada mula-mula itu”. Pemerintahan Bani Ummaiyah menurut Afzalur Rahman telah menyebabkan kesatuan agama dan Negara pecah, walaupn kerajaan ini tetap menerima agama sebagai dasar Negara dan menerima syariat sebagai konstitusi tetapi bukan hanya memperalatkan syariah dengan pura-pura menempatkan syariah sebagai dasar hukum pemerintahan mereka, malah mereka memperalatkan Negara untuk memperolehi kekuasaan peribadi. Kezaliman dan penindasan yang berterusan telah melahirkan penentangan yang berpanjangan dari golongan Syiah yang berjuang menegakkan aspirasi politik dan keagamaan mereka. Perpecahan dalam persoalan politik akhirnya menjalar dalam persoalan teologi atau keagamaan dengan lahirnya berbagai aliran yang berbeza fahaman seperti Khawarij, Murjiah, Qadariah, Muktazilah dan lain-lain. Setiap fahaman ini mempunyai fahaman mereka sendiri, dan setengahnya telah melancarkan peperangan atas nama jihad kepada pihak lain. Seperti golongan Khawarij yang berpendapat bahawa pelaku dosa besar tidak boleh disebut Muslim. Justeru itu, mereka telah melancarkan perang jihad kepada pemerintah yang berkuasa dan masyarakat umum. Manakala sebahagian pemimpin umat yang soleh di Madinah yang tidak berdaya menetang pemerintah Umaiyyah perlahan-lahan menyokong pemerintahan Umaiyyah dan mengatakan bahawa iman dalam hati sahaja sudah cukup bagi digelar sebagai seorang Muslim. Bagi mereka “keputusan hanya hak Allah”. Kenyataan ini bermakna kekuasaan politik adalah sesuatu yang diputuskan oleh kehendak Allah dan tidak boleh ditentang. Kelompok ini kemudiannya dikenali sebagai Murjiah (Afzalur Rahman).
Pepecahan memang akan menatijahkan keruntuhan sama ada cepat atau lambat. Dengan sebab itu terlalu banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menyeru umat bersatu padu dan mengecam pepecahan.
“Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agamanya dan mereka menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah (terserah) kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat” (al-Quran, al-An’am: 159).
Menurut Ibnu Katsir ayat tersebut adalah berbentuk umum bagi setiap orang yang memecah belahkan agama Allah dan menentangnya (al-Qardawi, 1995: 28).
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa yang memisahkan diri dari jemaah sejengkal, kemudian dia mati, maka matinya adalah jahilliyah” (Muttafaq alaih).
“Tidaklah beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” (Mutaftafaq alaih).
“Jauhkanlah diri kamu sekelian dari tindakan merosak hubungan persaudaraan kerana tindakan sedemikian adalah pencukur (agama)” (Hadis Riwayat at-Tarmizi).
Pepecahan umat yang berterusan selepas zaman pasca Sahabat dan mengabaikan ajaran Islam supaya bersatu padu akhirnya menyebabkan mereka dihukum. Kota Baghdad telah diserang oleh tentera Jenghiz Khan selama tiga hari yang menyaksikan bandar ini dibakar, dirompak dan penduduknya dibunuh dengan kejam. Serangan tentera Tartar ke atas Baghdad telah membawa keruntuhan pemerintahan Bani Abbasiah dan memusnahkan segala kemajuan keilmuan yang dibina bertahun-tahun pada zaman Abbasiah dan zaman sebelumnya hanya dalam masa tiga hari sahaja!.
Ibnu Khaldun telah memberi amaran bahawa kehancuran sesebuah negara atau pemerintahan akan berlaku apabila hilangnya dari umat ini kekuatan dan semangat perpaduan masyarakatnya. Pemerintahan Abbasiah runtuh disebabkan Bani Abbas bertindak keras terhadap Bani Hashim dan membunuh serta mengasingkan keturunan Abu Talib. Akibatnya, solidariti sosial (perpaduan) Abdi Manaf lenyap dan hancur. Orang-orang Arab kemudiannya bangun menentang Bani Abbas dan akhirnya membawa kehancuran kerajaan Abbasiah di tangan tentera Tatar (Ibn Khaldun, Muqaddimah).
Peristiwa sejarah yang dipaparkan di atas adalah untuk kita renungkan dan mengambil iktibar bahawa betapa perlunya kita bersatu padu. Hari ini kita memerlukan seorang pemimpin yang berjiwa besar dan mampu untuk menyatupadukan umat Islam, khususnya orang Melayu di negara ini. Masih belum terlambat lagi bagi pimpinan politik Melayu di negara ini mengenepikan kemarahan, kebencian, ketidakpuasan hati dan fahaman politik dan kepompong pemikiran mereka bagi menyatukan bangsa mereka sendiri supaya kita nanti tidak menjadi bangsa dagang di bumi sendiri. Agak mendukacitakan apabila melihat perkembangan politik di negara ini yang dihiasi dengan kemabukan sesetengah pihak untuk merebut kuasa tetapi apabila sudah mendapat kuasa tidak mampu membangunkan ummah mereka supaya menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Banyak masa dan tenaga mereka digunakan untuk mewujudkan pertentangan antara satu sama lain dan politiking yang meleret-leret sedangkan pemikiran, kekuatan dan semangat yang dimiliki sewajarnya digunakan secara optimum untuk memperkasa ummah sehingga ummah ini menjadi kuat dan berdaulat.

Tuesday, June 17, 2008

TERIMA KASIH ABAH...

Setahu saya abah tidak mempunyai pendidikan tinggi. Mungkin sampai darjah enam sahaja. Pernah belajar di sebuah pondok di Jerantut, Pahang tetapi tidak lama belajar di sana. Kerana kemiskinan keluarganya. Abah memang sejak dari muda lagi sudah hidup susah. Berusaha untuk memperbaiki kehidupan keluarga dengan berniaga kecil-kecilan. Pada mulanya perniagaannya maju, tetapi setelah emak meninggal dunia, peniagaannya mengalami kemerosotan dan diambil alih oleh rakan niaganya. Selepas itu abah menoreh getah. Setiap kali dijual, hasilnya dibagi dua.
Emak meninggal dunia kita saya berusia lima tahun. Saya masih ingat, emak membasuh kain di tepi sungai berhampiran rumah, tiba-tiba jatuh sakit dan terus lumpuh separuh badan. Tidak lama kemudian, emak meninggal dunia. Meninggalkan kami empat beradik. Adik yang masih kecil baru berusia 5 bulan. Saya tidak dapat mengigat bagaimana wajah emak. Orang lain mengatakan, emak seorang yang kurus, berkulit cerah dan seorang yang tegas. Apa yang saya ingat, ketika orang kampong mengusung jenazah emak untuk dibawa ke tanah perkuburan, sedangkan saya sibuk bermain-main dengan kawan-kawan. Saya tidak memahami erti kesedihan dan kehilangan seorang ibu ketika itu.
Selepas emak meninggal, abah berkahwin sekali lagi. Adik yang masih kecil dipelihara oleh emak saudara. Kakak pula dipelihara oleh nenek. Saya dan abang yang tua dijaga oleh ayah dan emak tiri. Kami berpindak ke tempat baru, untuk memulakan penghidupan yang baru bersama adik beradik tiri yang lain. Abah memulakan sekali lagi perniagaan jual beli getah. Sekali lagi perniagaannya gagal. Kami berpindah sekali lagi ke pekan Batu Kikir. Memulakan perniagaan runcit. Sama seperti perniagaan yang lalu, pada mulanya berkembang maju tetapi kemudian terpaksa tutup kedai kerana ramai yang berhutang tetapi tidak membayar hutang mereka. Sifat abah mudah mempercayai orang lain dan dia tidak gemar menuntut hutang dari orang lain. Abah benar-benar kecewa, dia membawa diri ke Kelantan dalam beberapa hari sehingga kami tidak tahu di mana abah. Kemudian abah tak sampai hati meninggalkan kami semua, abah kemudiannya kembali ke rumah.
Kami empat orang adik beradik memang tidak pernah hidup satu bumbung dan hidup terpisah-pisah. Bila cuti sekolah, kesempatan itu saya gunakan untuk tinggal dengan nenek dan emak saudara. Saat tinggal dengan nenek adalah saat yang tidak saya lupakan. Nenek amat menyayangi kami. Beliaulah pengganti emak. Ke mana dia pergi, dia akan membawa saya bersama. Setiap malam tidur bersama nenek. Setiap waktu tengah hari, nenek akan memangil-manggil saya untuk makan bersama. Tinggal di kampong bersama nenek pada musim cuti sekolah, saya gunakan sepenuh masa untuk bermain. Mandi sungai, memanjat pokok, melestik burung, memancing, menjebak burung dan lain-lain aktiviti anak kampong adalah rutin harian. Terlalu singkat masa berlalu. Akhirnya cuti sekolah berakhir. Seperti biasa, saya amat berat meninggalkan rumah nenek. Abah akan datang menjemput saya dengan motorsikal lamanya. Saya tidak mahu balik bersama abah. Saya tidak suka tinggal bersama emak tiri dengan adik tiri yang lain. Pada masa tersebut, tinggal bersama mereka satu penyiksaan buat saya. Abah selalu menyuruh saya bersabar dan memujuk saya supaya terus tinggal bersamanya. Kadang-kadang saya mencemburui keluarga orang lain, ada ayah dan emak sendiri. Sedangkan saya tidak ada emak untuk menumpang kasih. Saya selalu menyanyi lagu “ratapan si anak tiri”. Saya memang memahami seni kata lagu itu. Lagu itu memang menyentuh perasaan saya sehingga hari ini.
Apabila mendengar deruan motorsikal abah, saya terus melarikan diri. Saya tak mahu pulang bersama ayah. Saya bertekad hendak tinggal terus bersama nenek. Abah memang tidak mahu saya tinggal dengan nenek. Susah senang biarlah dia bersama anaknya. Anak abah yang lain, dijaga oleh nenek dan ibu saudara yang lain. Bukan abah suka menyerahkan anaknya kepada orang lain untuk dijaga. Tetapi keadaan pada masa tersebut memaksa abah membuat keputusan yang perit ditanggung oleh abah sendiri. Saya selalu melihat abah menangis. Anak-anak yang lain memang tidak pernah melihat apa yang dideritai oleh abah. Abah selalu meluahkan perasaannya kepada saya. Ada masanya, saya memberitahu abah apa yang berlaku di rumah ketika abah tiada. Abah suruh saya bersabar. Kadang kala abah jadi serba salah.
Apabila abah sampai ke rumah nenek, saya memudik ke hulu sungai untuk pergi ke rumah ibu saudara, iaitu kira-kira satu batu dari rumah nenek. Abah mengejar saya. Abah memaksa saya pulang bersamanya. Tetapi saya tidak mahu. Saya meluru memanjat pokok manggis di atas bukit. Saya mengugut abah, kalau abah memaksa saya balik, saya akan terjun dari pokok. Abah turut memanjat pokok tersebut untuk memujuk saya. Abak kata, kalau saya terjun, dia akan terjun bersama sambil menangis. Pada mulanya memang saya hendak terjun tetapi saya tidak sampai hati melihat abah hendak terjun sama. Saya akur dan berjanji akan ikut balik bersamanya. Semua orang menangis melihat apa yang berlaku. Masing-masing memberi kata peransang untuk saya menghadapi cabaran hidup dan bersempati ke atas apa yang berlaku.
Kegagalan perniagaan abah buat kali ketiga membuatkan abah putus asa untuk meneruskan perniagaan lagi. Abah mengambil keputusan berpindah ke sebuah kampong baru. Abah dengan kudratnya meneroka tanah tersebut. Abah sendiri yang menebang pokok dengan menggunakan kapak di atas tanah seluas dua ekar. Di situ abah membina rumah sementara beratapkan rimbia dan berdindingkan buluh untuk kami berteduh sementara waktu. Abah memang tidak mempunyai duit untuk membuat rumah yang selesa untuk kami diami. Abah memang tidak punya apa-apa lagi. Hanya ada sebuah basikal tua. Dengan basikal itulah abah mengayuh seawal 4 empat pagi untuk menoreh getah sejauh 20 KM dari rumah. Kadang-kadang, saya memboceng bersama abah untuk ke sekolah. Terasa sakit dipunggung kerana duduk di atas besi basikal hadapan. Akhirnya saya menaiki bas untuk ke sekolah. Saya merasa kasihan melihat kesungguhan abah untuk menyara kehidupan keluarga. Ada masanya, beberapa hari abah masuk hutan bersama kawannya untuk menajur ikan, mengetah burung, memburu pelanduk, kijang, rusa, landak dan seladang. Hasil tangkapan itulah bekanlan makanan kami untuk seminggu. Sayuran pula dari daunan pucuk ubi, keledek dan daunan yang terdapat di sekeliling rumah yang boleh dimakan. Ada masanya bila musim hujan, berhari-hari abah tidak pergi menoreh. Ada kalanya bekalan beras habis. Kami terpaksa meminjam beras orang lain. Sayalah yang selalu disuruh abah untuk pergi ke kedai untuk berhutang. Ada masanya taukeh kedai tersebut enggan memberikan hutang kepada kami kerana hutang dahulu belum habis dibayar lagi.
Pada hujung minggu kadang kala saya mengikut abah menoreh. Di sini saya berlajar mengenai erti kesusahan. Abah selalu memberi motivasi kepada saya supaya belajar bersungguh-sungguh. Menjadi orang yang berjaya dalam hidup. Berkali-kali abah mengatakan dia tidak mahu saya menjadi orang susah sepertinya. Memang abah tidak pernah mengajar atau melihat buku sekolah saya. Tetapi abah memberi inspirasi untuk saya Berjaya dalam pelajaran melalui pengalaman kesusahan hidup kami. Saya bukanlah murid yang pintar. Sepanjang sekolah rendah, saya hanya berada dalam kelas C tidak pernah dapat A dalam peperiksaan. Kesusahan dan kematian ibu pada masa usia saya masih kecil sebenarnya satu perancangan Allah yang mengandungi hikmah bagi mengatur plot hidup saya yang mengandungi kebaikan pada masa hadapan. Kesusahan membuatkan saya boleh berdikari, cekal menghadapi cabaran dan memahami kasih sayang abah serta kerinduan belaian kasih seorang ibu. Kesusahan itulah yang menjadikan saya seorang yang ingin mengubah keadaan hidup. Kesusahan itu juga menjadikan saya seorang yang suka membaca. Kesusahan itu kadang kala juga menjadikan saya merasa rendah diri dan pendiam.
Saya ‘”merangkak” mencipta kejayaan walaupun tidaklah secemerlang orang lain. Dengan kejayaan yang manima, saya Berjaya melanjutkan pengajian ke university. Abah adalah seorang yang paling gembira dengan kejayaan saya. Namun abah tidak ada duit yang cukup untuk membiayai perbelanjaan saya di university. Nasib baik dapat biasiswa. Duit itulah saya gunakan secara berjimat cermat semasa berlajar. Pada musim cuti semester, saya akan buat apa saja kerja kampong untuk mencari wang bagi digunakan waktu belajar. Saya akan terima berapa saja duit yang diberi oleh abah. Kadang kala abah tidak ada duit langsung, kerana abah sejak kebelakangan sering sakit. Abah memang semenjak dari muda lagi sudah menghadapi sakit perut yang kronik. Tetapi abah tak pergi hospital membuat pemeriksaan lanjut mengenai sakitnya itu. Abah hanya bergantung kepada ubat kedai Cina dan kampong. Setiap kali ingin balik ke university selepas cuti semester saya akan menangis. Tiada orang lain yang mengetahui saya menangis. Menangis mengenangkan kesusahan abah. Saya tahu abah ingin anaknya senang seperti anak orang lain, tetapi abah tak mampu. Apa yang mampu abah lakukan ialah doa yang tidak putus-putus untuk kejayaan anaknya. Setiap kali jumpa abah, abah sering bercerita kepada saya bahawa dia bermimpi menaiki lift ke atas tanpa henti-henti. Saya tahu abah sangat mengharapkan saya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Sebulan sekali saya akan menulis surat kepada abah menerangkan keadaan saya di university. Saya sentiasa mendoakan abah. Setiap kali sembahyang dari dahulu hingga kini saya tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan untuk emak dan abah. Abah meninggal dunia ketika saya baru beberapa bulan bekerja. Abah masuk hospital beberapa bulan lamanya kerana sakit perutnya yang sudah bertahun-tahun dialami itu sudah memasuki fasal kronik dan perlu dibuat pembedahan. Namun setelah tiga bulan selepas pembedahan, abah pergi untuk selama-lamanya, belumpun sempat untuk saya memberikan kesenangan kepada abah. Saya tidak pernah melupakan pengorbanan abah. Kejayaan hidup yang diraih hari ini adalah hasil doa abah yang tidak pernah putus-putus kepada anaknya. Terima kasih abah!.. Kesusahan hidupmu adalah 'buku' motivasi untuk mengubah hidup anakmu yang paling berkesan. Semoga ruhnya berada dalam naungan rahmat dari Allah dan bersama-sama ruh para Solehin. Amin.

JANGAN BERSEDIH

Membaca buku La Tahzan atau Jangan Bersedih karya Dr. Aidh Abdullah al-Qarni sengguh memotivasikan. Buku ini mempunyai perbezaan dengan mana-mana buku motivasi terutama dari Barat, kerana ia mengasaskan perbincangannya kepada dalil-dalil al-Quran dan Hadis serta kata-kata sahabat Nabi dan tokoh ulama Islam yang menjadi sumber ketenangan abadi Muslim. Membaca buku ini membuatkan kita merasa optimistic terhadap kehidupan. Ia mendorong untuk kita terus menjalani kehidupan dengan berfikiran positif, proaktif, menempuhi segala cabaran hidup dengan berani dan tenang. Buku ini juga mengajak kita menempuhi kehidupan nyata dengan membebaskan diri kita dari kesedihan, keresahan, kemarahan, kedengkian dan kebencian. Kesedihan memang mengekori kehidupan manusia. Manusia bersedih akibat dari berbagai perkara yang membelenggu kehidupan mereka. Kesedihan membelenggu insan kesan dari sesuatu perkara yang sudah berlaku ke atas diri mereka seperti kekecewaan, kegagalan dan kesakitan. Banyak manusia bersedih akibat dari kegagalan. Seperti kegagalan hidup berumahtangga, kegagalan dalam pelajaran dan kerjaya, kecewa tentang situasi kehidupan yang ada, kecewa kerana tidak mendapat apa yang dihajati, berduka cita kerana fitnah, kata nista orang lain, pengkianatan orang lain, himpitan hidup, kemiskinan, kecewa tentang kebaikan yang dinafikan dan berbagai sebab lain lagi. Sewajarnyanya kegagalan dan kekecewaan tidak usah dibiarkan membelenggu kehidupan kita sehingga kita terus berduka. Bukankah dalam kesakitan ada benih kesihatan, dalam kedukaan ada benih kegembiraan dan dalam kegagalan ada benih kejayaan?.
Buku ini mengajak kita jangan bersedih kerana ia tidak mendatangkan manfaat kepada kita. Bersedih menurut Dr. Aidh adalah dilarang dalam agama sepertimana Firman Allah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan kebenaran), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu)” (Al-Quran, Ali Imran:139).
Bersedih menurut Dr. Aidh akan memadamkan semangat, melemahkan azam dan menjadikan badan tidak berdaya. Ia adalah perbuatan yang disenangi oleh Syaitan, kerana Syaitan sentiasa berusaha membisikan kepada manusia supaya sentiasa bersedih. Rasulullah S.A.W mengajarkan kita supaya selalu berdoa iaitu “Ya Allah!, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesedihan dan dukacita”.
Bagaimanapun kesedihan orang mukmin yang positif adalah kesedihan terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Sementara orang yang derhaka kepada Allah, mereka sentiasa leka dan tidak pernah merasai kesedihan di atas dosa-dosa yang mereka lakukan. Kesedihan yang menimpa orang soleh adalah berupa penyesalan terhadap kebaikan-kebaikan yang dilewatkan, kegagalan mereka mencapai kedudukan yang tinggi dan keinsafan bahawa mereka telah melakukan kesalahan.
Islam menyuruh kita bergembira menikmati kehidupan yang ada walau apa pun situasi dan kondisinya. Islam menyuruh kita ketawa dalam batasan yang dibenarkan dan tidak melampau. Bukankah banyak ahli terapi jiwa menggunakan metode ketawa untuk menjadikan manusia semakin sihat, bahagia dan bertenaga?. Menurut Dr. Aidh, ketawa mempunyai pengaruh yang sangat kuat untuk membuatkan jiwa merasa gembira dan hati bahagia. Abu darda’ sempat berkata: “sesungguhnya aku ketawa untuk membahagiakan hatiku. Dan Baginda Rasul SAW sendiri sekali-sekala tertawa hingga nampak gerahamnya”.
Buangkan kesedihan yang menyelubungi diri kita dengan senyuman!. Senyuman itu merupakan satu sedekah. Menurut Ahmad Amin; “orang yang mudah tersenyum dalam mengharungi kehidupan ini bukan sahaja orang yang paling mampu membahagiakan dirinya sendiri, tetapi juga orang yang paling mampu melakukan sesuatu, orang yang sanggup memikul tanggungjawab, orang yang paling tahan menghadapi kesusahan dan menyelesaikan masalah dan orang yang paling bersungguh-sungguh mengusahakan perkara yang mendatangkan manfaat bagi dirinya dan orang lain” (Dr. Aidh, 2006:72).
Senyuman adalah pancaran keadaan hati seseorang. Menurut Dr. Aidh lagi, senyuman tidak ada harganya kalau ia tidak terbit dari keikhlasan dan tabiat semulajadinya. Setiap bunga tersenyum, sungai dan laut juga tersenyum. Langit, bintang-bintang dan burung-burung semuanya tersenyum. Manusia sesuai dengan fitrah semuala jadinya adalah makhluk yang suka tersenyum.
Orang yang mudah tersenyum apabila berhadap dengan kesusahan, dia akan berusaha untuk mengalahkan kesusahannya itu. Dia melihat kesusahan itu dengan senyuman. Dia menyelidiki punca kesusahan itu dengan senyuman. Dan dia berusaha mengatasi kesusahan itu dengan senyuman. Berbeza dengan orang yang sering berdukacita. Setiap kali dia menemui kesusahan, ia segera ingin meninggalkannya dan melihatnya sebagai sesuatu yang sangat besar dan menyusahkan dirinya.

Thursday, June 12, 2008

Merapatkan jurang antara Islam dan Barat melalui Dialog Peradaban

Konflik antara tamadun ataupun antara dunia Barat dan dunia bukan Barat terutama dunia Islam tidak seharusnya dibiarkan menjadi konfrantasi berpanjangan yang boleh menghancurkan kemanusiaan. Perhubungan yang lebih membina harus dipupuk, kerana mahu tidak mahu Barat terpaksa hidup berdampingan dan bergandingan dengan dunia bukan Barat (Mohamad Abu Bakar, 1997). Dalam konteks pembinaan hubungan yang membina dan mewujudkan persefahaman maka aliran dialog peradaban antara tamadun harus dibudayakan untuk mencari jalan penyelesaian antara dua pihak. Kita tidak boleh melanjutkan persepsi sesetengah sarjana Barat yang melihat “Barat adalah Barat, Timur adalah Timur, kedua-duanya tidak boleh dipertemukan”, kerana perspektif sedemikian hanya membawa persengketaan fizikal yang tidak berkesudahan dan membawa kehancuran sesebuah tamadun. Kedua-dua pihak, khususnya Islam dan Barat harus melupakan persengketaan masa silam dan saling memahami antara satu sama lain.
Barat harus membebaskan dirinya daripada memahami Islam secara sempit, bias, jahil, prejudis dan melihat Islam sebagai satu agama yang tidak bertoleransi serta musuh mereka. Martin Luther pernah menulis di dalam bukunya Secular Authority dengan mengatakan “It is a Christian act, and act of love, confidently to kill, rob and pillage the enemy. Such happenings must be considered as sent of God, that he may now and then cleanse the land and drive out knaves” (dipetik oleh Ken and Visakha Kawasaki, Tolerance in Buddhism, http://home.earthink.net). Kristian Barat memanggil orang Islam dengan berbagai panggilan yang menghinakan seperti pagans, paynims, bahkan idolters. Marmaduke Pickthall seorang berbangsa Inggeris yang dilahirkan di London pada tahun 1875, pada mulanya beliau seorang orientalis Barat yang kemudiannya telah memeluk agama Islam (lihat biografi ringkas beliau yang ditulis oleh Abu Ali Hadhrami, Marmaduke Pichthall: A Servant of Islam dalam www.cyberistan.org/islam) dalam tulisan beliau yang bertajuk "Tolerance in Islam" telah mengkritik pandangan ramai penulis Barat yang melihat Islam sebagai satu agama yang tidak ada sifat toleransi. Beliau mengimbas kembali sejarah Eropah, di mana tidak ada seorang Islampun yang yang dibenarkan hidup di Spain, Sicilly atau Apulia apabila negara tersebut jatuh kepada kerajaan Kristian. Begitu juga yang berlaku kepada umat Islam di Greece apabila berlaku pemberontakan hebat tahun 1821 yang menyaksikan umat Islam dibunuh dan masjid dimusnahkan. Begitu juga yang berlaku di Semenanjung Balkan apabila umat Islam secara sistematik dibunuh dan dihapuskan. Tetapi tidak sedemikian keadaannya apabila umat Islam berkuasa seperti di Spain semasa berada di bawah pemerintahan Ummayah dan zaman Abbasiah yang diperintah oleh khalifah Islam. Masyarakat bukan Islam seperti Kristian dan Yahudi mempunyai status yang sama dengan orang Islam. Mereka dibenarkan memasuki universiti dan sekolah-sekolah Islam. Apabila orang Moor (Islam) dihalau keluar dari Spain dan orang Kristian menguasai negera tersebut, bukan sahaja orang Islam ditindas bahkan orang Yahudi turut ditindas yang menyebabkan mereka terpaksa berhijrah ke negara lain seperti Morocco dan ke negara-negara jajahan Turki yang lain (lihat Marmaduke Picthall, Tolerance in Islam, www.cyberistan.org).
Dialog antara tamadun harus bermula daripada premis dialog antara agama-agama kerana selalunya akar atau punca daripada pertentangan tersebut adalah berpunca dari agama, apabila agama dijadikan justifikasi moral untuk membenarkan segala tindakan kekerasan seperti yang dipaparkan oleh A.N.Witson dalam bukunya Against Religion: Why We Should try to Live It (1992). Bagaimanapun pandangan A. N Witson tersebut adalah padangan yang pesemis yang perlu dipersoalkan kerana pandangan ini muncul apabila penganut agama ‘mengecewakan’ agamanya sendiri dengan melakukan pelbagai tindakan yang menyalahi kepercayaan agamanya sendiri (Shahrom TM Sulaiman, 2004).
Menurut Dr.Ghazali Basri, dialog antara agama bermaksud kesediaan dan keupayaan satu-satu kelompok agama itu memberi respons terhadap sebarang masalah atau perkara berbangkit sama ada ia melibatkan kelompoknya sendiri ataupun orang lain. Dalam memberikan respons itu ia hendaklah mengambil kira kepentingan bersama, menerusi rundingan dan persetujuan. Dalam hal-hal yang tidak dapat dipersetujui bersama hendaklah ada sikap berlapang dada dan saling menghormati (Ghazali Basri, 2006). Bagaimanapun, menurut Dr. Ghazali Basri, cabaran yang paling besar dihadapi dalam dialog antara agama ialah sikap eksklusif. Bersikap eksklusif bermaksud mengklaim bahawa agamanya yang benar dan menafikan kebenaran yang ada pada agama orang lain. Bersikap eksklusif memang fitrah manusia beragama, apa yang penting ialah sikap ini tidak keterlaluan sehingga menimbulkan curiga dan hilang kepercayaan berdasarkan pertimbangan rasional bukan dogmatik. Cabaran kedua ialah sikap inklusif iaitu mahu menyamakan semua agama bukan sahaja di segi bentuknya bahkan juga di segi essensinya. Cabaran seterusnya datangnya dari dalam kelompok agama masing-masing disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan dan maklumat yang benar. Mereka melihat keterlibatan Muslim dalam dialog antara agama bererti mereka mahu mengadaikan agamanya atau tidak mendatangkan sebarang faedah. Cabaran terakhir ialah kurangnya kesedaran terhadap kepentingan keharmonian hidup beragama di kalangan umat terbanyak (Ghazali Basri, 2006).
Manakala dialog peradaban Islam-Barat sering digagalkan oleh golongan minoriti dari kedua-dua peradaban yang bersifat ekstrem yang melihat penyelesaian konflik Islam-Barat harus diselesaikan melalui keganasan, cacian, penghinaan dan peperangan yang berterusan. Akibat dari gejala ini, proses dialog peradaban Islam-Barat bertukar menjadi suasana yang menimbulkan kemarahan dan tindakan buruk lain. Seperti tindakan pengarang akhbar negara Denmark yang menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad S.A.W telah menimbulkan kemarahan satu bilion umat Islam. Penghinaan ini menurut Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hanya dilakukan oleh golongan minoriti, manakala golongan majoriti dari kedua-dua peradaban ini pada umumnya adalah lebih bersifat sederhana dan berbudaya serta lebih bersifat toleransi (www.bharian.com.my). Di samping itu, kegagalan dialog peradaban mengikut Dr. Chandran Muzaffar disebabkan sikap Barat yang tidak terbuka. Sikap terbuka Barat hanya ditekankan dalam soal berkaitan Islam dengan menyatakan ia kolot dan sebagainya. Barat masih berpegang kepada dominasi kekuasaannya. Dialog peradaban memerlukan kedua-dua tamadun bersifat lebih terbuka (www.bharian.com.my). Kegagalan dialog peradaban juga disebabkan masih menebalnya Islamophobia Barat di mana kerajaan dan media Barat telah menggantikan phobia mereka yang mendalam kepada Islam selepas runtuhnya komunisme. Barat merasa angkuh terhadap demokrasi liberal dan sistem pasaran bebas anutan mereka yang dianggap terbaik untuk manusia. Akibatnya, sistem multilateral pada peringkat antarabangsa menemui kegagalan dan apa yang berlaku, hubungan dilakukan mengikut ‘hukum rimba’, iaitu siapa yang kuat, dialah berkuasa. Kegagalan sistem multilateral ini menyebabkan umat Islam hilang kepercayaannya kepada keadilan orde antarabangsa lantas menggunakan metodologi ekstrem bagi mendapatkan keadilan dalam isu membabitkan kepentingan umat Islam(Berita Harian, Sabtu 11.01.2006).

Wednesday, June 11, 2008

CATATAT UMRAH (4): Tawaf

Kami berada di Mekah selama 6 hari. Aktiviti rutin harian selepas menunaikan solat subuh adalah menunaikan ibadat Umrah. Setiap orang mempunyai waktu mereka sendiri yang direncanakan untuk melaksanakan ibadat Umrah berdasarkan keselesaan dan keikhlasan masing-masing. Tidak perlu memaksa diri melakukannya dalam saat keletihan atau mengikut kemampuan orang lain. Seorang jemaah telah bertanya kepada saya, berapa kali saya telah melakukan umrah kerana ada orang lain dalam satu hari telah melakukan umrah sebanyak 4 kali. Saya menyatakan kepadanya tidak perlu kita ikut orang lain, buatlah dengan keikhlasan dan berdasarkan kemampuan sendiri. Umrah bukan sahaja perlu kepada kekuatan fizikal kerana ia melibatkan aktiviti pergerakan seperti pergi ke miqat, tawaf, saie dan kemudiannya bertahalul tetapi perlu kepada penghayatan terhadap segala aktiviti umrah yang dilakukan. Tawaf bukan semata-mata mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali tetapi perlu dengan kehadiran hati untuk memahami matlamat tawaf tersebut bagi meningkatkan tahap ubudiyah kepada Allah dan menjaga hubungan sesama manusia. Kadang kala kerana ingin mendapatkan fadhilat, kita telah menyakitkan orang lain. Umpamanya, mencium Hajar aswad adalah satu perkara yang sunat. Dari Ibnu Umar r.a, katanya: “Saya melihat Rasulullah saw waktu baginda datang ke Mekah, beliau menyentuh hajar aswad waktu mula-mula akan tawaf dan berlari tiga keliling dari jumlah tujuh keliling” (Riwayat Bukhari). Dari Umar r.a. katanya: “Bahawasanya dia datang mendekati Hajar aswad lalu dia menciumnya. Katanya “Sesungguhnya aku tahu bahawa engkau ini batu yang tidak memberi mudharat dan tidak pula memberi manfaat. Jikalau tidaklah kerana saya melihat Nabi saw mencium engkau, nescaya saya tidak akan menciummu pula” (Riwayat Bukhari). Tetapi dalam usaha melakukan perkara sunat, jangan sampai membuat perkara yang haram seperti bertolak-tolakan dan menyakiti orang lain. Saya mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencium Hajar Aswad, tetapi apabila saya memerhatikan suasana sering bertolak-tolakan dan berasak-asakan untuk mencium Hajar Aswad, saya tidak sampai hati melakukan perkara yang sama di depan rumah Allah, sedangkan ibadat yang kita lakukan mempunyai matlamat untuk mendidik umat Islam menjadi orang yang berdisiplin dan berakhlak mulia. Oleh itu, memadai saja dengan melambaikan tangan ke arahnya dengan mengucap zikir yang diajarkan.
Pahala mengerjakan Umrah seperti yang disebutkan oleh Hadis Nabi ialah dapat menghapuskan segala dosa. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw bersabda: (pahala) satu kali Umrah sampai Umrah (berikutnya dapat) menghapuskan dosa yang terjadi antara keduanya. Dan Haji yang mabrur tiada balasannya melainkan syurga (Hadis Riwayat Bukhari). Persoalannya ialah berapa kalikah Rasulullah melakukan ibadat Umrah?. Jawapan adalah 4 kali berasaskan keterangan dari Qatadah ra, katanya dia bertanya kepada Anas: “Nabi saw mengerjakan Umrah ketika kaum musrikin menghalangi baginda. Dan pada tahun berikutnya “Umrah Hudaibiyyah, Umrah dalam bulan Dzul Qaidah dan Umrah waktu baginda mengerjakan haji” (HR Bukhari).
Keadaan jemaah yang melakukan tawaf Umrah atau sunat pada musim Umrah tidaklah sepadat musim haji terutama selepas selesai molantar jamrah. Pada musim haji 2006, kerajaan Arab Saudi telah mengistiharkan haji pada tahun tersebut adalah haji akbar. Oleh kerana itu, kemasukan jemaah haji ke Mekah adalah sangat luar biasa ramainya. Selepas melontar 11 Zulhijjah, saya bersama rakan sebilik telah berpakat untuk kembali ke Mekah dari Mina untuk menyempurnakan tawaf dan saie rukun haji. Kami dinasihati oleh pegawai Tabung Haji jangan balik dahulu ke Mekah kerana pada waktu tersebut keadaan di Masjidil haram amat sesak. Kami mengambil keputusan untuk pergi juga dan berjalan kaki lebih kurang 3 KM sebelum menyewa sebuah Van dan terpaksa berhimpit-himpit dengan jemaah haji dari Syria. Keadaan di Kaabah pada waktu tersebut amat sesak sekali dengan ribuan manusia sedang berhimpit-himpit mengerjakan tawaf dan saie. Oleh kerana keputusan telah dibuat, saya dengan dorongan kuat isteri mencekalkan diri mengharungi jua lautan manusia dan akhirnya berjaya menamatkan tawaf dan saie dan berdoa kepada Allah agar menerima ibadat yang kami lakukan.
Setelah selesai tawaf, kami memasuki Hijir Ismail untuk solat sunat dan berdoa di dalamnya. Keadaan di Hijr Ismail memang sentiasa padat dengan manusia. Cuma kita perlu bersabar sedikit untuk mencari sedikit ruang untuk bersolat di dalamnya. Saya memerhatikan di sekeliling Kaabah, ramai jemaah terutama dari India, Pakistan dan Iran berpusu-pusu mendakap Kaabah terutama di Multazam dan sudut Yamani. Berhubung persoalan ini keterangan dari dari Umar r.a dapat membatu kita, katanya; “saya tidak pernah melihat Nabi saw menyentuh Kaabah selain dua dua sudut Yamani (HR bukhari).

Tuesday, June 10, 2008

CATATAT UMRAH (3): Perjalanan ke Mekah

Tiga hari berada di Madinah terasa amat singkat. Dalam keadaan itu, kami dibawa menziarahi beberapa tempat yang signifikan dengan sejarah perkembangan Islam. Sudah tentu, masjid Quba’ menjadi distinasi yang perlu diziarahi. Masjid Quba’ adalah masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah ketika sampai ke Madinah dalam peristiwa hijrah Rasulullah. Pada zaman Rasulullah, binaan masjid Quba’ hanyalah dibina dari batang dan daunan tamar. Dalam Islam, aspek penting kepada kewujudan masjid adalah pengimarahannya yang menterjemahkan keluasan din al-Islam. Pembinaan ukhuwah Islamiyyah dapat diperkukuhkan melalui institusi masjid. Aspek ini yang selalu diabaikan oleh umat Islam hari ini. Ketika di Madinah atau Mekah jarang untuk kita berbual dari jemaah dari Negara lain atau bersalaman dengan mereka. Masjid Quba hari ini, tidaklah mempunyai keindahan senibinanya yang mengkagumkan. Tetapi kewujudannya merupakan asas pembentukan sebuah Negara Islam di Madinah pada zaman Rasulullah. Justeru itu, Rasulullah telah menyebutkan bahawa bersembahyang di dalamnya (sama ada solat wajib atau sunat) diberi ganjaran seperti pahala mengerjakan satu umrah. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “sesiapa yang keluar sehingga sampai ke Masjid ini yakni Masjid Quba, maka ia bersolat di dalamnya adalah seperti ia mengerjakan satu umrah” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasaie, dalam bab kelebihan masjid Quba’). Sekiranya kita mempunyai banyak waktu di Madinah, bolehlah setiap hari kita mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid di sana bagi mendapat fadhilat yang disebutkan.
Kami juga dibawa menziarahi masjid Qiblatain (masjid dua Kiblat). Masjid ini menjadi asas penting kepada perubahan arah kiblat umat Islam dari Baitul Muqadis ke Kaabah, Mekah. Umat Islam telah menjadikan Baitul Muqadis sebagai kiblat mereka selama enam atau tujuh belas bulan lamanya. Rasulullah sangat teringin solat menghadap ke kaabah. Maka turunlah ayat yang menyebutkan “sesungguhnya Kami tahu engkau menghadapkan mukamu ke langit berulang-ulang”, maka selepas itu Nabi s.a.w telah solat menghadap ke Kaabah dan dikuti oleh para sahabat yang lain yang serta merta mengalih arah kiblat mereka ke Kaabah. Maka binaan masji Qiblatin ini mempunyai dua arah qiblat satu ke Baitul muqadis dan satu ke Kaabah. Satu lagi tempat sejarah yang perlu dizirahi ialah bukit Uhud yang menjadi bukti pengorbanan umat Islam zaman Rasulullah mempertahankan Islam. Ramai juga para jemaah terutama dari Iran yang mendaki bukit Uhud ini yang sudah terhakis dek kerana ramai yang mendakinya bagi menghayati peristiwa bersejarah tersebut. Kemudian menziarahi perkuburan para Syuhada’ Uhud di mana terletaknya makam Saidina Hamzah yang syahid terkorban dalam peperangan tersebut. Beri salamlah kepada mereka seperti yang diajarkan oleh Rasulullah iaitu “assalamualaikum ahl diyar minal mu’minin wal muslimin….”. Di persekitaran bukit Uhud terdapat ramai perniaga kecilan berniaga yang diambil kesempatan oleh para jemaah untuk membeli barangan tertentu. Nampaknya persekitaran Uhud hari ini sudah banyak berubah bagi member keselesaan kepada pengunjungnya.
Di sebelahan Masjid Nabawi terletaknya perkuburan Baqi yang menjadi tempat perkuburan para sahabat Rasulullah termasuk saidina Usman bin Affan. Maka berilah salam kepada mereka mengikut bacaan yang ditulis dipapan tanda perkuburan Baqi. Saya memerhatikan ramai jemaah dari Iran yang menangis apabila menzirahi perkuburan Baqi’. Selepas solat Zuhor, rombongan kami akan berangkat ke Mekah. Sebelum itu, saya dan isteri melakukan ziarah wida’ ke makam Rasulullah. Saya mengintai ruang yang kosong di Raudah al-Jannah. Alhamdulillah, tidak menghampakan kerana ada ruang yang kosong di hadapan mimbar Rasulullah untuk solat sunat dan berdoa. Seterusnya menuju makam Rasulullah mengucapkan doa dan salam perpisahan kepada Rasulullah, berdoa semoga dapat menzirahi makam baginda pada tahun-tahun yang akan datang. Tiga hari di Madinah, hati, pemikiran dan fizikal kita amat dekat dengan Rasulullah. Dengan sebab itu, perbanyakkanlah bersalawat ke atas baginda terutama ketika berada di Madinah kerana fadhilat selawat amat besar di mana satu kali kita berselawat ke atas Nabi, Allah akan berselawat (mendoakan) kita sebanyak 10 kali. Seperti yang disebutkan dalam Hadis yang bermaksud: “barangsiapa berselawat atas ku sekali, mensalawat Allah ke atasnya sepuluh rahmat”. Tidak mati melainkan disukakannya dengan syurga, Hadis “siapa bersalawat ke atasku 1000 kali tidak akan mati melainkan disukannya dengan syurga”. Tidak disentuh oleh api neraka :“Barangsiapa salawat atas ku sekali, nescaya mensalawat Allah atasnya 10 X. Dan barangsiapa salawat atasku 10X, nescaya mensalawat Allah atasnya 100X. Dan barangsiapa mensalawat atasku 100X, mensalawat Allah ke atasnya 1000X. Dan barangsiapa mensalawat atasku 1000X, nescaya dia tidak akan disentuh api neraka”. Selawat juga menghampirkan kita dengan Rasulullah seperti Hadis “bahawsanya yang terlebih aula (utama) manusia denganku, ialah orang yang terlebih banyak bersalawat padaku”. Selawat juga menghapuskan dosa, seperti Hadis “bersalawat atasku itu menghapuskan dan menghilangkan dosa seperti air memadamkan api”, “Barangsiapa yang bersalawat atasku pada tiap-tiap hari jumaat sebanyak 40 kali, menghapus oleh Allah segala dosanya”.

Selepas solat Zuhor, rombongan kami berangkat ke Mekah. Namun kira-kira 300 meter dari hotel penginapan, bas kami tiba-tiba gearnya rosak dan perlu ditukar dengan bas yang lain. Dalam cuaca panas kami terpaksa bersabar menunggu ketibaan bas yang baru. Kami bersyukur kerana bas ini tidak rosak tidi pertengahan jalan antara Madinah dengan Mekah dalam cuaca yang panas. Ini adalah pengalaman kali kedua bas yang dinaiki rosak. Pada musim haji yang lalu, bas saya juga rosak di pertengahan jalan antara Mekah dengan Madinah. Kami terpaksa menunggu hampir 3 jam bagi menunggu bas yang baru. Tetapi bersyukur kerana cuaca pada masa itu adalah sejuk. Semuanya adalah ujian dan cabaran yang perlu ditempuhi dan perlu bersabar. Seorang penjual al-Quran telah mengatakan kepada saya bahawa apa yang berlaku ini ada hikmahnya, kadangkala apa yang kita fikirkan buruk sebenarnya ada kebaikannya di sisi Allah. Saya membenarkan kata-katanya. Dia berdoa mudah-mudahan, Allah menerima ibadah umrah yang dilakukan. Kami sampai ke Masjid Bir Ali untuk berniat ihram di Miqat iaitu kira-kira 10 KM dari kota Madinah. Perjalanan ke Mekah memakan masa hampir 8 jam. Kami sampai ke Mekah kira-kira 12 malam. Kemudian terus bergegas ke Masjidil haram untuk menyempurnakan ibadat Umrah. Selesai Umrah kira-kira 2 pagi dan terus berada di depan Kaabah menunggu ketibaan waktu subuh. Ruang yang ada digunakan untuk melakukan solat sunat. Alhamdulillah, walaupun letih, Allah memberi kekuatan kepada kami untuk menyempurnakan ibadah kepadaNya.

Monday, June 9, 2008

CATATAN UMRAH (2): Menuju Tazkiyatul Nafs

Kami berada di Madinah selama 3 hari berbanding pada musim haji selama 8 hari. Pada musim haji para jemaah dapat menunaikan 40 waktu solat berjemaah yang disebutkan fadhilatnya oleh Nabi melalui hadisnya yang bermaksud: “Barangsiapa yang bersolat di masjidku 40 waktu solat tanpa putus, maka ditulis padanya pembebasan dari neraka, bebas dari azab dan bebas dari sifat nifaq” (Hadis riwayat Ahmad, Hadis ini dikategorikan sebagai hadis daif). Walaupun tidak dapat memenuhi 40 kali solat berjemaah di masjid Nabawi, para jemaah masih dapat fadhilat lain seperti yang disebutkan oleh hadis Nabi iaitu solat di masjid Nabawi adalah lebih afdal dari 1000 kali solat di masjid lain kecuali masjidil Haram (Riwayat Bukhari). Madinah hari ini telah mengalami proses pembangunan dan penyusunan semula bandarnya. Dataran Masjid Nabawi telah diperluaskan lagi dan hiasi dengan lampu yang indah. Keindahan penoramanya terserlah terutama pada waktu malam. Di sekeliling Masjidil haram, deretan hotel-hotel baru dan kedai-kedai yang tersusun. Madinah merupakan sebuah bandar yang aman, bersih dan masyarakatnya yang berbudi bahasa tinggi dan ahlul ibadah. Allah telah menjadikan kota Madinah sebagai tanah haram seperti hadis Nabi; “Dari Anas r.a. Nabi s.a.w bersabda: “kota Madinah haram (kota suci) dari batas situ ke situ. Pohonnya tidak boleh ditebang dan tidak boleh melakukan kejahatan di dalamnya. Barangsiapa melakukan kejahatan, ia akan mendapat kutukan Allah, kutukan malaikat dan manusia seluruhnya (Riwayat Bukhari). Hadis ini sepatutnya menjadi pendoman kepada sesiapa sahaja yang tinggal dan menziarahi kota Madinah. Di jalan-jalan masuk ke Madinah terdapat malaikat mengawasinya seperti keterangan hadis Nabi yang bermaksud; “Di jalan-jalan masuk ke Madinah ada malaikat. Kerana itu tidak dapat masuk ke dalamnya penyakit taun (penyakit menular) dan tidak pula Dajjal (Riwayat Bukhari). Nabi Muhammad telah memohon kepada Allah supaya diturunkan keberakatan di Madinah sebagaimana Allah munurukan keberkatan di Mekah seperti hadis Nabi “wahai Allah! Turunkanlah berkah berganda di Madinah sebagaimana telah Engkau turunkan di Mekah (Riwayat Bukhari).
Selama tiga hari di Madinah, rutin harian adalah solat berjemaah di masjid Nabawi. Selalunya satu jam atau 45 minit sebelum masuk waktu sudah berada di sana. Di Madinah, para jemaah menunggu ketibaan waktu solat berbanding di tanah air. Inilah keberkatan masjid Nabawi dan masjidil Haram yang dijadikan oleh Allah di mana semua muslim berebut-rebut untuk bersolat di dalamnya. Berada di dalamnya hati sungguh tenang dan khusyuk. Kita merasa amat mudah melakukan solat-solat sunat yang berkesinambungan, mulut dan hati tak putus-putus berzikir, berselawat ke atas nabi dan membaca al-Quran. Selang antara waktu maghrib dan Insya’, kelihatan golongan penghafaz al-Quran melakukan tasmi’ (menyemak bacaan) dengan para guru mereka, para Syekh menyampaikan kuliah ilmu di ruang-ruang tertentu berdasarkan kitab tertentu di atas kerusi khas yang di kelilingi oleh jemaah yang hadir. Mereka mengupas persoalan ilmu yang diselang selikan dengan dalil-dalil al-Quran dan Hadis. Tidak ada gelak ketawa dalam perbahasan mereka, semuanya dilakukan dengan serius. Pendeknya, masjidl Nabawi benar-benar diimarahkan dengan suasana ilmu, ukhuwah dan ibadah. Bagaimanapun komunikasi antara jemaah Arab dengan bukan Arab (seperti orang Melayu, India dan lain-lain) jarang berlaku, mungkin disebabkan faktor bahasa yang menjadi penghalang. Setiap hari, selewat-lewatnya pukul 3.20 am telah berada di masjid Nabawi. Mengisi waktu sebelum masuk waktu subuh dengan solat-solat sunat, berdoa dan membaca al-Quran. Tubuh kita amat ringan melakukannya tanpa dipaksa-paksa, tidak seperti di rumah sendiri yang amat berat untuk bangun awal bagi menunaikan solat subuh. Bersolat menjelang waktu subuh di masjidl Nabawi dan Masjidlil Haram adalah saat indah yang tidak dapat dilahirkan dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi solat di depan Kaabah adalah saat yang amat indah dan hampir dengan Allah. Apabila pulang ke tanah air, saat itulah yang tidak dapat dilupakan, menghidupkan kerinduan hati kepada riadah al-Jannah, maqam Rasulullah dan Baitullah. “Ya Allah, engkau istiqamahkan hambamu ini melakukan perkara-perkara kebaikan yang hamba lakukan di tanah suciMu di sini. Ya Allah jadikanlah hamba mencintai masjidMu dan istiqamah melakukan solat berjemaah, Ya Allah Enkau pemurahkan rezeki hamba untuk hamba kembali lagi ke sana, mendakap BaitullahMu”. Beberapa hari sesudah kembali ke tanah air, isteri saya berkata: "hati saya sayu apabila teringatkan solat di depan Kaabah, rindu dan insaAllah kita berazam ke sana lagi pada tahun-tahun mendatang".

Friday, June 6, 2008

CATATAT UMRAH (1) : Menuju Tazkiyatul Nafs

Pada 24 Mei hingga 3 Jun yang lalu, saya telah mengerjakan umrah bersama isteri. Ini adalah kali kedua kami ke Mekah setelah pada tahun Disember 2006 menyempurnakan ibadat fardu haji. Saya masih ingat lagi, setelah selesai mengerjakan tawaf wida’ semasa menunaikan ibadat haji, saya telah berdoa kepada Allah supaya kedatangan kami Baitullah al-Haram bukan kali terakhir. Saya panjatkan doa moga Allah sentiasa menanamkan ke dalam diri ini perasaan cinta dan rindu kepada Masjidilharam. Alhamdulillah doa tersebut dimakbulkan Allah dan kami sekali lagi telah diizinkan Allah menjadi tetamu-Nya. Kalau dahulu, semasa menunaikan ibadat haji pada tahun 2006/2007, cuaca di Mekah dan Madinah adalah sejuk tetapi kali ini Allah memberikan kami peluang merasakan suasana yang berbeza iaitu cuaca panas melebihi 40 darjah celcius. Di Madinah cuacanya lebih panas berbanding Mekah. Tiupan angin panasnya adalah satu cabaran untuk terus beristiqamah beribadah di masjid nabawi. Lebih-lebih lagi setelah keletihan perjalanan lebih kurang 5 jam ke Keraci, Pakistan (transit 1 jam), disambung 4 jam ke Jeddah dan lebih kurang 6/7 jam ke Madinah. Sampai ke lapang terbang Jeddah, seperti yang disangka kami beratur panjang beberapa jam berhadapan dengan kerenah pegawai imigresen Arab Saudi. Dalam kotak pemikiran saya berlegar persoalan sampai bilakah system pengurusan mereka akan berubah dan menyenangkan jemaah haji dan umrah yang datang ke Negara mereka. Ramai yang tidak menyenangi system mereka, tetapi terpaksa akur kerana itu adalah satu cabaran yang perlu semua orang tempuhi. Bagi saya dengan isteri yang sudah ada pengalaman sedemikian, kami masih mampu menghadapi situasi sedemikian dalam kepenatan. Tetapi merasa kasihan melihat makcik-makcik yang sudah lanjut usia terpaksa berdiri lama dan beratur panjang. Namun demikian mereka amat cekal menghadapi ujian pertama tersebut bagi menjadi tetamu Allah. Dalam keadaan ini, saya bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan pergi ke sini dalam usia yang masih muda, bertenaga dan mempunyai tahap kesihatan yang baik. Tetapi itu belum cukup kerana ia juga memerlukan keikhlasan, kesabaran, pemikiran yang positif dan matlamat yang jelas untuk mencari keredaan Allah bukan tujuan lain. Doa adalah senjata mukmin, maka doa kepada Allah yang berterusan telah memberikan kekuatan, kesihatan yang baik, kesabaran, kemudahan perjalanan, rahmatNya untuk saya dan isteri meneruskan musafir ini bagi mencari keredaanNya dan tazkiyatul nafs (penyucian jiwa). Di sebalik kepanasan cuaca Madinah, saya merintih kepada Allah “Ya Allah!, ini baru cuaca dunia bagaimana nanti di akhirat, di padang mashsyarMu yang tidak ada sebarang perlindungan melainkan perlindunganMu jua, ya Allah! berikan aku kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi ujianMu”. Saya memahami bahawa Allah menjanjikan pahala yang besar bagi sesiapa yang beribadah di masjid Nabawi dan Masjidilharam. Tetapi sebelum Allah memberikan rahmatNya, Allah pasti menguji kita. Dia tidak memberi sesuatu yang berharga dengan mudah tanpa menguji keimanan kita. Ramai orang kecundang dengan ujian itu. Ramai yang mengeluh dan tidak sabar dengan sedikit ujian Allah!.
Kami tiba ke Madinah pada waktu subuh, selepas solat subuh, sekitar pukul 6 pagi, saya bergegas bersama isteri menziarahi ke Makam Nabi, makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Memberi salam kepada baginda dan menyampaikan salam-salam yang dikirim oleh sahabat di tanah air. Selepas itu mencari ruang di raudah al jannah untuk sembahyang sunat tahiyatul masjid dan bermunajat kepada Allah. Dalam doa, saya bisikan kesyukuran kepadaa Allah yang tidak terhingga kerana memberi kami rezeki, kelapangan, dorongan dan iltizam untuk kami sekali lagi berada di bumi Madinah dan merasa nikmat kelazatan bermunajat di raudah al-Jannah dan masjidil Nabawi. Di samping mendoakan kesejehteraan dan kebahagiaan untuk semua yang memesan hajat masing-masing. Ramai jemaah berpusu-pusu untuk mengintai ruang untuk bersolat dan berdoa di dalamnya. Raudah al-Jannah terletak di antara mimbar Rasulullah dengan rumah baginda (makam Nabi) seperti yang disebutkan oleh Hadis riwayat Bukhari dalam bab keistimewaan Madinah. Fadhilat Raudah adalah sebuah kebun dari kebunan syurga yang diturunkan rahmat , kebahagiaan dan syurga bagi mereka yang beribadah di dalamnya ((Sulaiman Soleh, 15). Melihat ganjaran dan keistimewaan raudah maka tidak hairahlah ramai jemaah yang berpusu-pusu dan berasak-asak untuk beribadah di dalamnya. Semasa musim haji, keadaan berasak-asak di raudah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Pada musim haji 2006, pengalaman yang mencabar ialah saya terpaksa berpaut di tiang Raudah dari Asar sehingga Maghrib kerana rempuhan dari jemaah haji lain sehingga tidak lekang berdoa “Ya Allah, pemudahkan urusanku dan jangan menyusahkan”. Akhirnya saya mendapat sedikit ruang untuk solat dan saya isi waktu tersebut dengan membaca al-Quran. Tetapi pada musim umrah, walaupun masih ramai jemaah tetapi tidaklah seteruk musim haji yang membolehkan sesiapa saja untuk mendapatkan tempat di Raudah dengan sedikit kesabaran. Ada yang mendapat peluang, terus duduk di situ dengan lama tanpa memberi ruang kepada orang lain. Dalam hati saya berbisik “mereka mementingkan diri sendiri. Berilah peluang yang sama kepada orang lain, cukuplah sekadar bersolat sunat dan berdoa, kemudian beredarlah”. Sekirannya ingin membaca al-Quran dan berzikir boleh dilakukan dalam mana-mana bahagian Masjid Nabawi. Selalunya selepas solat subuh, dibuka peluang untuk golongan wanita untuk meziarahi makam Rasulullah dan raudah melalui tabir dan jalan khusus yang disediakan. Kedengaran suara jemaah wanita yang riuh rendah menghampiri makam Rasulullah. Mungkin ruang untuk mereka menziarahi raudah dan makam Nabi sangat terhad yang menyebabkan mereka saling berasak-asakan untuk solat di ruang tersebut. Terdapat sesetengah jemaah dek kerana keghairahan mencari fadhilat terlupa menjaga adab untuk menziarahi makam Rasulullah dan berada di Masjid Nabawi.

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...