Wednesday, September 17, 2014

Tanah Rizab Melayu


Saya tertarik dengan hasil kajian yang dibuat oleh Dr. Mohd Hasrol Haffiz Aliasak et al. yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, 17 September 2014 mengenai Tanah Rizab Melayu yang kini menyusut kepada 12 peratus atau 1.57 juta hektar pada tahun 2009. Sedangkan keluasan tanah Rizab Melayu pada tahun 1931 adalah sebanyak 23.92 peratus atau 3.1 juta hektar. Keadaan ini bercanggah dengan salah satu dari amanat raja-raja Melayu semasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang mahukan tanah Rizab Melayu perlu disimpan sebanyak 50 peratus (Utusan Malaysia, 17 September 2014).
Walaupun banyak faktor diberikan kenapa peratusan keluasan tanah rizab Melayu semakin menyusut seperti yang telah didedahkan oleh banyak kajian yang dibuat oleh para penyelidik, namun tidak banyak usaha yang efektif untuk meningkatkan peratusan tersebut. Orang Melayu seolah-olah lupa dengan sejarah dan falsafah kewujudan tanah rizab melayu yang telah diwujudkan pada zaman penjajahan British hasil daripada kebimbangan Raja-raja Melayu khususnya Sultan Perak, iaitu Sultan Idris terhadap pelupusan tanah dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kawalan (Utusan Malaysia, 17 September 2014). Kebimbangan tersebut wujud kerana terdapat dalam kalangan orang Melayu dalam jangka masa 1930-an menggadaikan tanah mereka kepada kepada kaum bukan Melayu disebabkan faktor ekonomi seperti masalah penanam padi, peladang dan nelayan yang dibelenggu hutang. Bagi tujuan untuk melangsaikan hutang, orang Melayu akan menjual tanah mereka. Masalah lain termasuklah masalah kurangnya kemudahan kredit, peladangan tradisi, pengeluaran pertanian yang rendah, pemasaran yang lemah, infrastruktur yang kurang, masalah pengangkutan, eksploitasi orang tengah, lemah pengurusan dan kemiskinan yang dikaitkan dengan masalah orang Melayu[1].
Justeru itu, Enakmen Tanah Rizab Melayu telah diwujudkan pada tahun 1913. Enakmen ini diperkenalkan bagi menghalang penukaran tanah tradisional Melayu kepada orang bukan  Melayu dan untuk memastikan kawasan penanaman padi dapat dikekalkan serta orang Melayu akan terus terlibat dengan aktiviti penanaman padi. Enakmen ini juga bertujuan untuk menghalang orang Melayu membuat keuntungan yang cepat melalui penjualan tanah  bagi tujuan perladangan dan kegiatan perdagangan yang lain. Ia juga menghalang orang Melayu yang berhutang menjual tanah mereka kepada pemberi pinjaman.[2] Cadangan awal tanah rizab Melayu hanya bermula di negeri-negeri Melayu Bersekutu seperti Perak, Selangor, N. Sembilan dan Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 kemudiannya telah dipinda dan diganti dengan Enakmen Rizab Melayu 1933 yang berkuat kuasa pada 15 Disember 1933 (Mohamad Said Abdul Kadir, 1987). Pindaan ini dibuat bagi menyediakan perlindungan kepada kepentingan orang Melayu terhadap tanah mereka. Di bawah Enakmen ini, Menteri Besar mempunyai kuasa melalui kelulusan dari Majlis Raja Melayu di negeri tersebut mengisytiharkan tanah dengan sempadan tertentu sebagai Tanah Rizab Melayu. Walau bagaimanapun, Menteri Besar juga mempunyai kuasa melalui kelulusan Majlis Raja Negeri membatalkan pengisytiharan Tanah Rizab Melayu yang telah dibuat melalui notis, sama ada keseluruhan atau sebahagiannya atau mengubah pengehadan sempadan Tanah Rizab Melayu.[3] Di bawah Seksyen 7, Enakmen Rizab Melayu telah menetapkan bahawa tanah-tanah ini tidak boleh dipindah milik, dijual, diberi pajak atau melalui cara lain kepada orang atau badan yang bukan Melayu. Melalui peraturan yang ketat ini dapat memastikan tanah-tanah tersebut akan tetap dimiliki oleh orang Melayu sahaja dan tidak jatuh ke tangan kaum bukan Melayu.[4]
Selepas tamat Perang Dunia Pertama, imigran asing telah membuka dan membangunkan tanah serta sumber alam di negara ini. Justeru untuk melindungi orang Melayu daripada persaingan dan kekuatan ekonomi kaum lain yang semakin berkembang tersebut, maka Enakmen Rizab Melayu telah digunakan bagi mengasingkan tanah di kawasan tertentu sebagai tanah rizab Melayu. Di bawah Enakmen Tanah Rizab Melayu itu ialah Residen Negeri melalui kelulusan dari Majlis Raja (Ruler-in-Council) berkuasa mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai Tanah Rizab Melayu[5] dan mengubah suai batas serta sempadan Tanah Rizab Melayu dan memasukkan sebarang tanah yang sebelum ini berada di luar Tanah Rizab Melayu. Tanah yang dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu tidak boleh dijual atau digadai kepada orang bukan Melayu. Umpamanya, dalam Enekmen Tanah Rizab Melayu Kelantan Tahun 1930 Seksyen  6 menyatakan “No State Land include in a Malay Reservation shall be sold, leased or otherwise dispose of (otherwise than by Temporary Occupation Licence for a period not exceeding one year) to any person not being a Malay, save as provided in this Enactment” (Government of Kelantan, Enactment No.18 of 1930, The Malay Reservations Enactment, 1930).
Walau bagaimanapun, terdapat juga kes yang berkaitan dengan tanah milik orang Melayu yang berada dalam lingkungan rizab Melayu telah  dilelong kepada kaum bukan Melayu bagi melangsaikan hutang mereka, iaitu kepada golongan Chettiar. Di Kota Star, Kedah terdapat tanah rizab Melayu telah dilelong kepada bukan Melayu bagi melangsaikan hutang kepada Chettiar. Contohnya, Civil Case No. 274/51, Land Office, Kota Star, Kedah. antara A.K.R.M.M.K Meyappa Chettiar (Plantiff) vs. Ahmad Yusof (Defendant). Presiden Majlis Negeri telah membenarkan tanah milik Ahmad Yusof di bawah rizab Melayu dilelong di kalangan bukan Melayu mengikut Perkara 12 Undang-undang 34/51. Begitu juga tanah bendang Haji Musa yang berstatus tanah rizab Melayu yang terletak di Mukim Bukit Raya, Kota Star telah diluluskan untuk dilelong bagi melangsaikan hutang kepada  S.S.T. Palaniappa Chetty yang berjumlah $300 (Lihat Fail No. 371-1352, Departmental Papers, DL 250/52, Arkib Negara Malaysia). 

Selalunya tanah yang dilelong tersebut akan dibeli oleh orang bukan Melayu kerana mereka dapat membeli dengan harga yang tinggi dan mereka berhak mengeluarkannya daripada status Tanah Rizab Melayu. Menurut Dr. Mahathir Mohamad, di Kedah beribu-ribu relung tanah padi telah jatuh ke tangan bukan Melayu disebabkan peruntukan tersebut. Undang-undang tersebut tidak secara keseluruhannya menyekat tanah-tanah yang bernilai tinggi daripada dikeluarkan dan ditukar menjadi kepunyaan orang bukan Melayu. Undang-undang ini telah mengusir orang Melayu ke tanah-tanah yang tidak bernilai, sementara orang bukan Melayu terutama orang Eropah telah mengambil alih tanah-tanah yang mempunyai bijih dan dapat ditanam dengan getah.[6] Hakikat tersebut turut diakui oleh Raja Mohar bin Raja Badiozaman apabila beliau menyebutkan:
The Malay Reservation Enactment has undoubtedly been an effective measures in securing for the Malays their interest in land. But this security is not permanent or irrevocable. There is always the threat that an area declared a Malay Reserve may be de-reserved either wholly or in part by the Government of the State. So that the protection or privilege which the Government gives to the Malays with one hand, can be taken away by other. There have been a number of occasions in the past when lands declared to be a Malay Reservation were found to contain rich tin deposits and thee Reservation oder was revoked to allow foreign mining companies to exploit the land...[7]
Sememangnya semenjak dari pengwujudan Tanah Rizab Melayu pada tahun 1913 walaupun bertujuan menghalang dari penukaran tanah kepada kaum bukan Melayu namun pelaksanaannya masih menimbulkan kritikan.  Sebelum merdeka, kritikan yang selalu ditimbulkan ialah mengenai kesan tanah rizab Melayu terhadap pengecilan saiz tanah orang Melayu dan mengasingkan orang Melayu ke kawasan mundur dengan kegiatan tradisional yang kurang produktif. Umpamanya, Tunku Abdul Rahman ketika berucap pada 26 Ogos 1951 telah mengkritik dasar British tersebut yang menyebabkan orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar telah lari jauh ke hulu-hulu dan ke tepi hutan. UMNO pada pandangannya perlu memperjuangkan supaya tanah di bandar-bandar mesti diperuntukkan kepada orang Melayu. Menurut Tunku:

Yang saya maksudkan dengan “Tanah Reserve” untuk Melayu itu bukanlah seperti settlement malahan saya kehendaki ialah mana-mana tanah kosong di dalam bandar yang masih menjadi hak kerajaan hendaklah disimpankan untuk Melayu. Saya bercakap atas perkara ini ialah untuk menjaga taraf Melayu dan semangat Melayu supaya boleh dikatakan yang Melayu berhak di dalam negeri ini”[8].
Kini walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan, namun isu yang berhubung Tanah Rizab Melayu masih berbangkit. Sebelum merdeka, kita menyalahkan British yang menjadi faktor tanah rizab Melayu jatuh ke tangan orang lain dan menyebabkan orang Melayu duduk di luar bandar. Namun kini setelah Malaysia merdeka selama 57 tahun, tanah rizab Melayu masih lagi menjadi kebimbangan orang Melayu. Antara kebimbangan orang Melayu ialah fakta berlakunya penyusutan berkali-kali ganda tidak hanya sebuah negeri sahaja malah peratusan keluasan tanah rizab Melayu seperti di negeri Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan lebih 50 peratus daripada jumlah asal yang diisytiharkan Tanah Rizab Melayu (Tanah Rizab Melayu hilang?, Utusan Malaysia, 17 September 2014). Justeru itu,  setiap pemimpin Melayu harus mengingati semula ucapan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1951 yang mengesa supaya tanah rizab Melayu dipelihara dan tanah kosong yang berada di bandar disimpan untuk orang Melayu.

 



[1] Dato’ Nik Abdul Rashid bin Nik Abdul Majid, “ Malay Reservation Land: Concepts”, Seminar Tanah Rizab Melayu-Perspektif Pembangunan, 28 September 1993, Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, Malaysia.
[2]James V. Jesudason, Ethnicity and the Economy: The State, Chinese Business and Multinational in Malaysia, Singapore: Oxford University Press, 1989, hlm. 38.
[3] Dalam Enekmen Tanah Rizab Melayu Kelantan, 1930 menyebutkan dalam Seksyen 4,  subseksyen (iii) His Highness the Sultan in Council may also by notification
(a)   alter the bounderies of any Malay Reservation; or
(b)   Revoke any notification made under sub-section (i) wither as to the whole or any part of the area therein reffered to; or
(c)    Include in any Malay Reservation any land excluded therefrom
(Lihat Government of Kelantan, Enactment No.18 of 1930, The Malay Reservations Enactment, 1930).
[4] Lihat Raja Mohar bin Raja Badiozaman, “Malay Land Reservation & Alienation”, INTISARI, Vol.1, No.2, hlm. 20-21.
[5] Ibid. hlm. 20.
[6] Dr. Mahathir Mohamad, Dilema Melayu, hlm. 89-90.
[7] Raja Mohar bin Raja Badiozaman, “Malay Land Reservation & Alienation”, INTISARI, Vol.1, No.2, hlm. 23.
[8] Lihat ucapan Tunku Abdul Rahman yang pertama setelah dilantik sebagai Yang Di Pertua baru UMNO  pada 26 Ogos 1951 dlm. Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa, hlm. 317.

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...