Thursday, October 22, 2009

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan

Pada minggu lepas (pagi Rabu), iaitu sekitar pukul 3.15 pagi, rumah saya telah diceroboh masuk oleh tiga perompak yang bersenjatakan parang dan bertopeng. Dari loghat bahasanya, saya dapat mengagak bahawa mereka bukan rakyat tempatan. Mereka masuk melalui pintu dapur dengan memotong pintu grill lalu memecah masuk bilik tidur dengan menggunakan tong gas. Dentuman kuat dari hentakan kuat tong gas telah mengejutkan kami sekeluarga dari tidur. Sekonyong-konyong terpacu tiga orang berpakaian serba hitam bertopeng mengarahkan kami supaya diam dan menyerahkan segala barang kemas dan wang. Rompakan tersebut hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit.

Isteri merayu supaya anak-anak kami tidak diapa-apakan. Sedang kedua belah tangan dan kaki saya diikat. Tidak ada apa-apa yang dapat kami lakukan, melainkan berdoa kepada Allah supaya mereka tidak melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan.

Mujur saya dan isteri dapat bertenang menghadapi situasi yang mencemaskan tersebut.

Bagaimanapun, isteri mengalami sedekit trauma dan phobia terutama pada waktu malam.

Saya bersyukur kepada Allah, kerana anak dan isteri selamat, walaupun mengalami sedikit kerugian harta benda. Apa yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Semoga orang lain tidak mengalami apa yang kami rasai.

Kepada perompak tersebut, di dunia ini mungkin kamu terselamat. Tetapi kamu tidak akan selamat dari azab Allah. Hidup kamu akan diekori oleh penderitaan dan ketakutan, walaupun kamu bisa hidup mewah, hasil dari rompakan hasil keringat orang lain!.

Tuesday, October 20, 2009

Alam sekitar

Islam telah menggariskan etikanya sendiri berhubung alam sekitar. Etika alam sekitar Islam bermula dari prinsip tauhid, iaitu batu asas Islam. Tauhid menjelaskan keEsaan Tuhan, iaitu pengakuan bahawa hanya ada satu Pencipta Alam dan ia bersifat Maha Suci. Allah adalah satu-satunya sumber bagi semua nilai, dengan tauhid alam akan dikendalikan di atas dasar moral dan etika dengan alam adalah berintegrasi. Prinsip kedua etika alam sekitar Islam adalah konsep khalifah. Konsep ini mengajarkan bahawa manusia adalah pemegang amanah yang bertanggungjawab menjaga panorama luas ciptaan Allah. Manusia boleh menggunakan alam untuk kepentingannya, tetapi ia tidak mempunyai hak mutlak kepada semua perkara. Manusia akan dipertanggungjawabkan apabila berlakunya penyalahgunaan amanah ini dan akan mendapat pembalasan di dunia dan akhirat. Manusia telah menerima alam sebagai amanah dari Allah dan ia merupakan satu perjanjian antara manusia dengan Allah. Allah telah meletakkan kepercayaan kepada manusia untuk mentadbir alam. Manusia adalah sumbu dan pusat alam, ia menjadi penguasa dan pemelihara alam. Hak manusia menguasai alam hanyalah dengan kebaikan bukannya memberontak menentang Allah. Prinsip ketiga alam sekitar Islam dikawal oleh konsep halal dan haram. Jika sesuatu perkara yang dilakukan boleh merosakkan manusia dan persekitarannya maka tindakan tersebut adalah haram. Manakala halal adalah semua perkara yang boleh membawa manfaat kepada manusia dan persekitarannya. Misalnya, semua Mazhab dalam Islam telah mengharamkan pembuangan sampah di jalan raya ataupun ke dalam sungai. Rasulullah sendiri telah mengarahkan penduduk Madinah supaya membuang sampah ke dalam satu lubang yang digali untuk tujuan tersebut (Mohd Dani Muhamad, 2006:170). Prinsip keempat alam sekitar Islam adalah keadilan, kesederhanaan, keseimbangan dan keselarasan. Islam sangat mementingkan sifat keadilan, kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua perkara yang dilakukan. Melalui konsep ini, keseimbangan alam sekitar akan dapat dicapai. Ia juga dapat menyelamatkan umat Islam dari penyakit konsumerisme yang membabi buta dan penodaan yang tidak berperikemanusiaan terhadap sumber-sumber alam (lihat Ziauddin Sadar, 1985:235-247, S.Parvez Manzoor:155-160). Ringkasnya, alam sekitar mesti digunakan mengikut piawaian etika. Pencurian, penipuan, monopoli, pengelompokan kekayaan, pemerasan, egoisme dan ketidakadilan terhadap keperluan orang lain adalah dilarang keras oleh al-Quran (al-Quran, al-Isra’:26). Alam sekitar adalah amanah Allah dan sebelum manusia mati, ia harus mengembalikan amanah tersebut sepertimana mereka menerimanya (al-Faruqi, 1992:57-59).

Hobi baru

Cuti belajar selama tiga tahun memberi kesempatan kepada saya untuk tinggal di rumah sendiri (Vila Suria, Taman Warisan Puteri, Seremban) setelah sekian lama menyewa dan tinggal di kuaters kerajaan. Masa yang terluang, terutama di sebelah petang digunakan untuk 'berkomunikasi' dengan bunga-bungaan yang menjadi hobi baru sejak cuti belajar. Melihat kehijauan dedaunan dapat menghilangkan 'tension' rutin harian mengadap komputer dan menulis tesis.
























Friday, October 16, 2009

Penguasaan Ilmu

Penguasaan Ilmu Pengetahuan

Islam merupakan satu agama dan tamadun yang diasaskan dan dibina di atas dasar ilmu. Wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah berkaitan dengan suruhan membaca[1]. Pertama, suruhan membaca apa yang terkandung dalam teks wahyu Allah (al-Quran dan Hadis). Kedua, suruhan membaca apa yang terkandung dalam ayatullah[2] atau ciptaan Allah atau alam tabie dengan mengkaji law of nature atau hukum alam[3] dan hukum sosial melalui penyelidikan, pemerhatian dan pencerapan bagi membangunkan pelbagai disiplin ilmu. Di dalam al-Quran terdapat kira-kira 750 ayat (berbanding 250 ayat hukum) yang menggesa umat Islam memahami alam, iaitu dengan cara memikirkannya melalui penggunaan taakulan supaya sains menjadi aspek penting dalam kehidupan (Mohammad Ilyas, 2003:12). Menurut Malik Ben Nabi, kalimat “Iqra’” dalam surah al-Alaq memperlihatkan Islam telah meletakkan posisi akal pada tahap tertentu yang mewujudkan kebebasan berfikir dan memberi kesempatan berkembangnya ilmu melalui pendekatan pendidikan yang berbagai (Ali al-Quraisyiy, 1996:36). Bagaimanapun, dalam penerokaan ilmu, Islam telah menggabungkan ilmu dengan iman. Menurut al-Qardawi, iman menjaga ilmu dari penyelewengan dan membentenginya dari kejahatan dan kerosakan. Ilmu yang dibimbing oleh iman akan memakmur, membangun, membersih, membahagia dan berkhidmat untuk manusia (al-Qardawi, 1999:184-185).
Suruhan Islam terhadap penerokaan ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah atau ilmu wahyu atau ilmu keduniaan, bukan sekadar mengetahui dan mempelajari tetapi sampai ke tahap “menguasai” secara mendalam bidang ilmu tersebut sehingga menghasilkan “kekuasaan” atau “kekuatan”[4]. Tanpa penguasaan secara menyeluruh ilmu pengetahuan pula, tidak mungkin sesorang Muslim itu dapat melakukan penyucian (mengislamisasikan ilmu) di dalam bidang yang ia ketahui. Apa yang mereka berupaya lakukan hanyalah sekadar menciplak atau menterjemahkan sebahagian kecil dari keseluruhan ilmu yang mereka perolehi (al-Faruqi 1982: 7-8).
Di samping itu, umat Islam harus bersikap terbuka menerima pelbagai jenis ilmu yang datang dari luar tamadunnya dengan membuat penyesuaian agar sesuai dengan pandangan alam Islam (world view). Sepertimana yang dicontohkan oleh ilmuan Islam lampau yang berjaya meletakkan tamadun Islam sebagai paksi ketamadunan dunia. Umpamanya al-Kindi dalam pendahuluan karyanya Fi al-Falsafah al-Ula telah mengatakan "kita perlu menerima kebenaran dengan sepenuh hati, walaupun dari mana sumbernya, tidak ada yang lebih berharga bagi pencari kebenaran daripada kebenaran itu sendiri". Bagaimanapun al-Kindi menekankan bertapa perlunya kebenaran yang diambil dari sumber asing itu harus disesuaikan dengan norma, bahasa dan zaman umat Islam sendiri, dengan erti kata lain dengan tidak menerima bulat-bulat ilmu-ilmu tersebut tanpa membuat sebarang tapisan. Pandangan al-Kindi ini banyak dipetik oleh pengkaji sejarah falsafah Islam, antaranya Nasr (1969), Walzer (1962) dan Majid Fakhry (1989) (Abdul Halim Ramli, 1997:98). Begitu juga Ibnu Rusyd, seorang tokoh falsafah Islam yang terkemuka juga ada menyebutkan: “melihat dan merujuk kepada apa yang ada pada orang lain adalah satu kefarduan syar’i”, tetapi beliau menasihati kita agar melihat dengan pandangan yang kritis, yang boleh membezakan antara yang mendatangkan manfaat dengan yang boleh mendatangkan kemudaratan. Kata beliau: “Kita melihat apa yang mereka katakan dan apa yang dituliskan, kiranya bertepatan dengan kebenaran kita terima dan kita bergembira serta berterima kasih kepada mereka, tetapi kiranya berlawanan dengan kebenaran kita hendaklah berwaspada darinya” (Mahmoud Hamdi Zaqzuq, 2006).
Nota Hujung

[1] Lihat al-Quran, al-Alaq:1-5.
[2] Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar” (al-Quran, Fushshilat:53).
[3] Hukum alam dalam Islam bukanlah merupakan sebagai hukum yang bebas atau yang berjalan dengan sendirinya. Hukum tersebut adalah refleksi kebijaksanaan Allah dan juga pewujudan kehendakNya. Seluruh alam adalah Muslim kerana mereka tunduk sepenuh dirinya kepada kehendak Allah (Seyyed Hossein Nasr, 1994:48-49).
[4] Allah mencabar manusia agar dapat menembusi penjuru langit dan bumi. Manusia tidak akan dapat menembusi kedua-duanya melainkan dengan kekuatan, yakni kekuatan ilmu dan keizinan dari Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Hai jamaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya melainkan dengan kekuatan” (al-Quran, surah ar-Rahman:33).

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...