Tuesday, October 20, 2009

Alam sekitar

Islam telah menggariskan etikanya sendiri berhubung alam sekitar. Etika alam sekitar Islam bermula dari prinsip tauhid, iaitu batu asas Islam. Tauhid menjelaskan keEsaan Tuhan, iaitu pengakuan bahawa hanya ada satu Pencipta Alam dan ia bersifat Maha Suci. Allah adalah satu-satunya sumber bagi semua nilai, dengan tauhid alam akan dikendalikan di atas dasar moral dan etika dengan alam adalah berintegrasi. Prinsip kedua etika alam sekitar Islam adalah konsep khalifah. Konsep ini mengajarkan bahawa manusia adalah pemegang amanah yang bertanggungjawab menjaga panorama luas ciptaan Allah. Manusia boleh menggunakan alam untuk kepentingannya, tetapi ia tidak mempunyai hak mutlak kepada semua perkara. Manusia akan dipertanggungjawabkan apabila berlakunya penyalahgunaan amanah ini dan akan mendapat pembalasan di dunia dan akhirat. Manusia telah menerima alam sebagai amanah dari Allah dan ia merupakan satu perjanjian antara manusia dengan Allah. Allah telah meletakkan kepercayaan kepada manusia untuk mentadbir alam. Manusia adalah sumbu dan pusat alam, ia menjadi penguasa dan pemelihara alam. Hak manusia menguasai alam hanyalah dengan kebaikan bukannya memberontak menentang Allah. Prinsip ketiga alam sekitar Islam dikawal oleh konsep halal dan haram. Jika sesuatu perkara yang dilakukan boleh merosakkan manusia dan persekitarannya maka tindakan tersebut adalah haram. Manakala halal adalah semua perkara yang boleh membawa manfaat kepada manusia dan persekitarannya. Misalnya, semua Mazhab dalam Islam telah mengharamkan pembuangan sampah di jalan raya ataupun ke dalam sungai. Rasulullah sendiri telah mengarahkan penduduk Madinah supaya membuang sampah ke dalam satu lubang yang digali untuk tujuan tersebut (Mohd Dani Muhamad, 2006:170). Prinsip keempat alam sekitar Islam adalah keadilan, kesederhanaan, keseimbangan dan keselarasan. Islam sangat mementingkan sifat keadilan, kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua perkara yang dilakukan. Melalui konsep ini, keseimbangan alam sekitar akan dapat dicapai. Ia juga dapat menyelamatkan umat Islam dari penyakit konsumerisme yang membabi buta dan penodaan yang tidak berperikemanusiaan terhadap sumber-sumber alam (lihat Ziauddin Sadar, 1985:235-247, S.Parvez Manzoor:155-160). Ringkasnya, alam sekitar mesti digunakan mengikut piawaian etika. Pencurian, penipuan, monopoli, pengelompokan kekayaan, pemerasan, egoisme dan ketidakadilan terhadap keperluan orang lain adalah dilarang keras oleh al-Quran (al-Quran, al-Isra’:26). Alam sekitar adalah amanah Allah dan sebelum manusia mati, ia harus mengembalikan amanah tersebut sepertimana mereka menerimanya (al-Faruqi, 1992:57-59).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...