Saturday, January 31, 2009

Palestine

(Palestine tahun 1946)


Malam tadi saya telah menghadiri majlis bersama Palestine yang dianjurkan bersama antara ISMA Negeri Sembilan dan Masjid Sikamat. Majlis penerangan mengenai isu Palestine telah dihadiri bersama oleh pelajar-pelajar Palestine yang menuntut di negara ini. Dalam majlis tersebut, wakil Palestine (yang merupakan seorang pelajar PhD di UPM) telah memberikan ucapannya dengan panjang lebar mengenai situasi di Palestine. Penerangannya itu telah dapat memberikan keinsafan kepada umat Islam di negara itu betapa mereka perlu mendokong perjuangan rakyat Palestine yang diterajui oleh Hamas bagi mempertahankan bumi Palestine dari dijajah dan dimusnahkan oleh Israel, kerana di situlah terletaknya Masjidil Aqsa yang merupakan salah satu dari tiga masjid yang paling mulia dalam Islam. Allah sendiri telah menyebutkan dalam permulaan ayat surah al-Israa' bahawa Allah bukan sahaja memberkati Masjidil Aqsa bahkan termasuk di sekitarnya. Tambahan lagi Palestine adalah bumi kelahiran para Nabi yang mempunyai hubungan langsung dan signifikan dengan ajaran Islam. Dari sudut sejarah, Palestine telah dapat dibuka pada zaman Khalifah Umar al-Khatab yang membebaskan daripada Byzantium yang beragama Kristian. Walaupun Saidina Umar dapat membuka mengembalikan Palestine ke tangan agama Allah, tetapi usaha awal telah dilakukan oleh Rasulullah, diteruskan pada zaman Abu Bakar dan disempurnakan oleh Saidina Umar al-Khatab. Apabila Jerusalam telah jatuh ke tangan tentera Islam, ketua paderi Kristian enggan menyerahkan kunci kota kepada khalifah melainkan secara peribadi kepada Khalifah Umar. Saidina Umar telah pergi ke Jerusalem dan telah menandatangani perjanjian yang memperlihatkan tolak ansur dan menterjemahkan Islam sebagai agama kedamaian. Perjanjian tersebut berbunyi:

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, perjanjian ini diperakukan oleh Umar, hamba Allah dan putera bagi orang beriman kepada rakyat Aelia. Beliau memperakui keselamatan bagi penduduk dan harta benda, gereja dan salibnya yang kecil dan yang besar dan bagi penganut agama Kristian. Gereja-gereja mereka tidak boleh dirampas atau dimusnahkan. Begitu juga, bahan-bahan atau kawasan mereka, salib atau sebarang harta benda mereka tidak boleh dikurang dengan apa cara sekalipun. Mereka tidak boleh dipaksa dalam sebarang hal yang bersabit dengan agama mereka dan mereka tidak boleh dicederakan...".



Perjanjian ini memperlihatkan jaminan kedamaian, kebebasan beragama dan perlindungan yang diberikan oleh Islam semasa mereka memerintah bumi Palestine tidak semasa mereka dijajah oleh kuasa imperialis Rom atau Byzantium. Selepas itu, ramai daripada penduduknya telah menganut agama Islam, manakala yang beragama Kristian bebas mengamalkan agama mereka secara aman dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada tempat suci mereka.


Bagaimanapun peta dunia Arab telah berubah apabila negara Israel diwujudkan hasil konspirasi dan perancangan strategi Zionisme yang melibatkan negara-negara Barat melalui tipu daya yang menjijikan. Tanah dan wilayah orang Islam semakin mengecil dan mereka dipecah belah menjadi dua wilayah Ghaza dan Tebing Barat.


Penubuhan sebuah negara Yahudi ini mula diilhamkan melalui Kongres Pertama Yahudi yang berlangsung di Basle, Switzerland pada tahun 1897. Pada tahun 1906, Kongres Yahudi kelima telah memutuskan bahawa tanah air Yahudi mesti didirikan di Palestine. Pada tahun 1917-1918, British telah berjaya merampas Palestine dari pemerintah Uthmaniyyah, Turki dengan bantuan negara Arab jua kerana British telah menjanjikan akan membebaskan negara mereka dari pemerintahan Turki selepas perang berakhir. Tetapi itu adalah tipu helah semata-mata. Sebaliknya British telah memeteri perjanjian sulit Sykes-Pigot pada tahun 1917 yang mahu memecah belahkan negara Arab sesama kuasa koloni Perancis dan Rusia. Kemudian Dekelarasi Balfour dihasilkan pada tahun yang sama yang menyebutkankan bahawa British telah berjanji untuk mewujudkan sebuah negara Israel di bumi Palestine. Di bawah kuasa British, pendatang-pendatang Yahudi telah dibawa masuk secara beramai-ramai dan menduduki secara haram tanah orang Arab. Pada tahun 1948, sebelum British meninggalkan Palestine, mereka telah berjaya mewujudkan sebuah negara Yahudi dengan hanya menyerahkan Semenanjung Ghaza dan Tebing Barat kepada orang Islam.


Bermula dari detik tersebut bermulanya konflik Palestine-Israel, terutama apabila Israel melihat Palestine sebagai ancaman utama ke atas kewujudan negara Israel dan perancangan mereka untuk merampas Baitulmuqadis dan meruntuhkan masjidil Aqsa bagi membina kuil suci mereka yang telah runtuh yang mereka dakwa dibina di atas tapak Masjidil Aqsa. Israel terus menerus melakukan kekejaman termasuk perancangan sulit mereka membunuh pemimpin Islam Palestine. Perancangan mereka telah berjaya membunuh beberapa pemimpin Hamas seperti Syekh Ahmad Yasin pada 21 Mac 2004, Dr. Abdul Aziz al-Rantisi pada 17 April 2004, dan Yasser Arafat, Presiden PLO yang mati diracun pada 11.11.2004.


Apabila kepimpinan Palestine berjaya dikuasai oleh Hamas melalui proses demokrasi pada tahun 2006, negara-negara Barat termasuk Amerika telah menghentikan bantuan mereka ke Palestine dan menyekat segala bantuan kepada penduduk Gaza. Ini kerana Hamas merupakan sebuah parti politik bertunjangkan Islam yang didakwa menjadi ancaman utama kepada Israel dan dituduh sebagai sebuah gerakan teroris oleh Barat. Israel menggunakan kekuatan kecanggihan teknologi ketenteraan mereka yang dibantu oleh Amerika untuk melumpuhkan Hamas dan menakluk Semenanjung Gaza. Tetapi usaha mereka itu tidak berhasil kerana diberi tentangan yang hebat oleh Hamas. Rancangan untuk menyerang Gaza sudah dibuat sejak dari tahun 2007 lagi. Pada 27 Disember 2008, Israel telah menyerang dan mengebom Ghaza dengan dahsyat sekali menggunakan bom fosforus sehingga membunuh 1300 rakyat Palestine, kebanyakannya adalah kanak-kanak dan golongan wanita. Pada 21 Januari 2009, Israel mengumumkan tenteranya keluar dari Ghaza dan mengumumkan gencatan senjata dari sebelah pihak.


Walaupun, Gaza dengan hebat sekali diserang oleh Israel tetapi mereka gagal menakluk Gaza. Hamas tetap terus wujud dan akan memberi tentangan hebat kepada Yahudi. Bagi mereka, Israel perlu dihapuskan. Yahudi tidak boleh dipercayai. Justeru, perjanjian damai yang ingin mereka wujudkan adalah tipu helah semata-mata. Walaupun Israel berjaya menghancurkan infrastruktur Gaza, tetapi mereka tidak mampu membunuh semangat jihad rakyat Palestine. Semangat jihad itu akan terus subur dalam dada-dada rakyat Palestine walaupun fizikal mereka menderita. Bagi rakyat Palestine, Gaza adalah simbol kekuatan Islam. Sekiranya Gaza jatuh, maruah umat Islam akan tercemar. Mereka berikrar, bendera Palestine akan terus berkibar. Mereka tidak akan membiarkannya dirampas dan dihina oleh Yahudi. Walaupun mereka serba kekurangan, keimanan dan semangat jihad mereka telah membolehkan mereka mendapat pertolongan dari Allah. Allah telah menghantar "tentera yang tidak dapat dilihat" untuk menolong perjuangan mereka. Banyak kisah yang diceritakan oleh wakil Palestine malam tadi yang membuktikan bahawa "tentera yang tidak dapat dilihat" membantu perjuangan mereka. Bantuan tersebut akan memperkukuhkan semangat perjuangan, tekad dan jihad mereka. Mereka akan terus berjuang menentang Yahudi dan para sekutu mereka sehingga hari kiamat. Mereka menyakini janji Allah adalah benar. Mereka menyakini firman Allah yang menyebutkan bahawa bilangan yang kecil (yang beriman) adalah mampu meruntuhkan kekuatan bilangan yang besar (kufur). Mereka memahami firman Allah yang bermaksud:


"Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan?) " (Qaaf: 36).


Rakyat Palestine mengharapkan sokongan dan dokongan umat Islam sejagat dari segi spiritual dan material. Bersama kita membantu mereka!.



Thursday, January 22, 2009

Bidang kajian PhD saya adalah hubungan etnik. Kajian ini memerlukan saya membaca dan menyemak buku-buku sejarah dan dokumen-dokumen berkaitannya. Dalam memahami apa yang telah berlaku dalam sejarah negara terutama yang menyentuh hubungan kaum saya telah membaca beberapa buah buku, antaranya memoir yang telah ditulis oleh beberapa orang aktivis politik perjuang kemerdekaan sama ada dari aliran kiri atau kanan. Di kalangan aktivis politik beraliran kiri, saya telah membaca memoir yang ditulis oleh Shamsiah Fakeh (yang mengetuai AWAS cabang PKMM dan kemudiannya menjadi ahli PKM) dan Memoir yang ditulis oleh Abdul Majid Salleh (juga aktivis PKMM dan banyak bergerak dalam kesatuan buruh sebelum kemerdekaan). Kedua-dua buah buku ini (terbitan UKM) amat menarik untuk dibaca untuk memahami sejarah perjuangan politik mereka untuk memerdekakan negara tanpa berkompromi dengan penjajah Inggeris. Menurut Abdul Majid Salleh, dasar perjuangan PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya atau MNP) ialah tidak meminta-minta atau menadah tangan mengharap belas kasihan dari British untuk memberi kemerdekaan kepada kita. Kita menuntut kemerdekaan menerusi politik....kita bukan mahu pemerintahan Inggeris yang adil, juga kita tidak mengharapkan pemerintahan demokrasi. Hanya apa yang kita mahu ialah Merdeka. Merdeka total dan bukannya Merdeka di bawah pengaruh British sebagaimana merdeka yang diperoleh Kanada, India, Austrralia dan negara lain (hal.74). Di akhir memoirnya beliau menulis dan membuat kesimpulan yang sinis, katanya " Sejarah sentiasa mengikut kita dari belakang. Itulah manusia dan alamnya. Ramainya manusia menari di hadapan orang buta. Ramai manusia memberi penilaian kepada ahli perjuang. Tetapi mereka sendiri bukannya ahli perjuangan. Ramai orang alim sejarah, tetapi mereka sendiri tidak mengukir sejarah. Adakah sama orang yang melihat akan orang yang karam di dalam ombak yang beralun temalun dari pantai landai dengan orang yang karam bersama-sama ombak di tengah-tengah lautan samudera?. Dalam memoirnya itu beliau telah menghasilkan beberapa buah sajak yang merakamkan suka duka perjuangannya, harapan, kritikan terhadap anak bangsanya, rakamannya terhadap sejarah negara, ideologi perjuanganya. Antara petikan sajaknya yang memberi pesan kepada anak merdeka:
Di akhir kalam aku bermadah
kepada anak-anakku,
cucu-cucuku dan keturunanku
Ingatlah kamu sekelian!
Kalau kamu kaya raya
jangan sombong jangan bongkak
jangan ingke jangan bangga
Kalau kamu papa kedana
jangan menadah tangan meminta-minta
adat dunia memang begitu
miskin kaya silih berganti
Dunia lapang dijadikan Tuhan
ke mana kita pergi di situ dunia Allah SWT belaka
apabila kaya ataupun miskin
serah diri kepada Allah SWT
Allah SWT saja tempat mengadu
Allah SWT yang kekal abadi
yang lain akan hancur luluh
akan lenyap ranap
akan jadi fatamogana....
(Sebahagian dari petikan sajak dalam Memoirnya (2004), Penerbit UKM).

Monday, January 19, 2009

Setiap hari di awal pagi selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya akan menumpukan kepada pembacaan dan penulisan tesis saya. Walaupun saya dinasihatkan oleh penyelia supaya menggunakan masa satu tahun untuk mengumpul bahan, tetapi saya tidak menunggu selama itu untuk memulakan penulisan. Kadang kala saya merasa cemas, timbul dalam kotak pemikiran apakah saya mampu menyempunakan kajian ini ataupun apakah saya berada di atas landasan yang betul untuk menyiapkan kajian tersebut. Tambahan pula bidang kajian ini adalah bidang baru yang bukan dari disiplin asal saya. Kadang kala disibukkan pula dengan urusan-urusan lain yang menganggu proses pembelajaran. Apapun keadaannya saya perlu mendispilinkan diri, mengurus waktu dengan baik dan bermohon kepada Allah supaya memudahkan urusan ini. Saya agak bernasib baik kerana tidak memulakan tesis saya dengan kosong. Sebelum ini saya sudahpun mula menulis dan membuat kajian berkaitan tajuk yang hendak diselidiki.
Selepas hampir sebulan bercuti, rasa rindu pula kepada kawan-kawan di Segamat. Sekali sekala melawati blog kawan-kawan khususnya blog Prof. Muhd Kamil melihat perkembangan perjalanan hidupnya dan berita dari UiTM Segamat. Setiap waktu maghrib dan Insyaa' ke Masjid berhampiran mendengar kuliah-kuliah ilmu untuk menambahkan pengetahuan sambil beriktikaf.
Isteri dan anak-anak sudah mula ceria ke sekolah. Beransur-ansur menyesuaikan diri dengan suasana baru.
Hari sabtu yang lepas, saya menerima berita yang kesahnya pernah saya tulis dalam blog ini kembali ke rahmatullah. Beliau seorang pengidap down sindrom yang hidup dengan penuh kasih sayang dari ibunya yang sekarang ini uzur dan tua. Tetapi Allah mentakdirkan dirinya dahulu dipanggil oleh Allah sebelum ibunya walaupun beliau sebelum ini tidak pernah sakit. Itulah perancangan Allah Yang Maha Mengetahui dan bersifat Pengasih dan Penyayang. Sebelum ajalnya datang, beliau menyuruh ibunya solat, ketika itulah dia mengadap Allah untuk selama-lamanya tanpa ibu di sisi. Mungkin dia tidak mahu ibunya kesedihan...selepas ini si ibu tua tidak lagi rungsing memikirkan nasibnya selepas ketiadaannya kerana Allah terlebih dahulu menjemputnya kembali. al-Fatihah untuk Allahyarham.

Thursday, January 15, 2009

Memulakan penghidupan baru di Seremban...

Blog ini sudah sebulan lebih tidak diselenggara. Baru seminggu dapat sambungan internet setelah berpindah ke Seremban bermula pertengahan Disember lalu. Kini menumpukan perhatian untuk menyempurnakan thesis PhD. Hampir sebulan memulakan hidup baru di tempat yang baru dan memasuki semula alam sebagai pelajar sudah tentu banyak cabaran yang bakal ditempuhi dan perlu diselesaikan mengikut kebijaksanaan dan rahmat dari Allah. Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dari Segamat ke Seremban supaya dekat dengan akses ilmu dan memudahkan saya mencari maklumat yang diperlukan bagi menyempurnakan kajian. Berjumpa dengan penyelia PhD saya iaitu Prof. Dr. Redzuan pertama kali di rumah kediamannya di Sungai Ramal, Kajang. Beliau memberikan beberapa nasihat dan panduan untuk saya. Beliau amat sibuk kerana menyelia 40 orang pelajar post graduate.
Saya mengambil keputusan untuk membawa bersama keluarga berpindah ke Seremban. Dengan itu, akan memudahkan saya menumpukan perhatian kepada belajar. Saya dan keluarga pada mulanya amat gembira tinggal di rumah kami sendiri di Seremban yang telah dibeli sejak tahun 2002. Inilah pertama kali dapat tinggal di rumah sendiri setelah berkhidmat selama 18 tahun. Bagaimanapun minggu pertama sesi persekolahan semuanya berubah. Keghairahan untuk memulakan hidup baru di Seremban bermula dengan kesedihan dan kesuraman. Hari pertama memulakan persekolahan saya nampak anak-anak dan isteri tidak ceria. Nampak kemurungan di wajah mereka. Semua merasakan kehidupan di Jementah lagi baik. Tiada kesesakan jalan raya, suasana yang tenang dan tidak tergesa-gesa. Maklumlah mereka terpaksa memulakan penghidupan yang baru, tiada kawan dan gurupun tidak mengenali mereka, tidak seperti di Jementah.
Paling tertekan adalah Isteri saya yang terpaksa pergi awal ke sekolah, kerana jarak rumah kami dari sekolah iaitu 30 KM. Pergi balik sejauh 60 KM. Sekolahnya terletak di daerah PD. Terpancar di wajahnya keletihan dan tidak ceria setiap kali balik dari sekolah. Kemurungannya bertambah apabila rayuannya untuk bertukar ke daerah Seremban ditolak oleh Jabatan. Setiap kali balik dari sekolah saya memberi kata-kata perangsang kepadanya dan saya mengambil keputusan untuk menghantar beliau ke sekolah setiap hari. Terlintas dari pemikirannya untuk membatalkan semula perpindahannya dan kembali mengajar ke sekolah lama. Tetapi saya membantah. Saya menyatakan kepadanya, apabila kita telah buat sesuatu keputusan, jangan pandang ke belakang lagi. Apa yang penting ialah mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
Saya dan isteri tidak berputus asa sambil berdoakan kepada Allah dan bersolat hajat setiap malam supaya membuka hati pihak berkenaan mempertimbangkan rayuan kami. Kami menyakini bahawa Allahlah yang Maha Mendengar dan menentukan segala-galanya. Dialah 'kabel' kita Yang Maha Besar. Akhirnya, Allah telah melorongkan dan memudahkan kami berjumpa sendiri dengan Tuan Pengarah Pelajaran Negeri. Tidak disangka-sangka kedatangan kami disambut dengan amat baik sekali. Saya tidak menyangka beliau sudi mendengar masalah isteri walaupun amat sibuk dengan aturcaranya sendiri.Beliau berjanji untuk mempertimbangkan rayuan isteri dan akhirnya semalam isteri telah menerima surat dari jabatan untuk ditukarkan ke Seremban, di sebuah sekolah yang tidak jauh dari rumah.
Minggu pertama kehidupan kami di Seremban, bermula dengan cabaran dan masalah. Minggu kedua, permasalahan mula dapat dileraikan dengan berkat doa, usaha dan solat malam bermunajat kepadaNya. Dialah sebaik-baik tempat kita mengandu dan mengantungkan pengharapan....Allahu latiful ibade yarzuqul mayasaa', hasbullah nimal wakil.... Dialah 'kabel' kita Yang Maha Memahami'

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...