Friday, October 31, 2008

Yoga boleh memesongkan aqidah umat Islam

Mengikut laporan akhbar Berita Harian, Khamis 30 Oktober 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah membuat keputusan mengenai senaman Yoga yang boleh memesongkan akidah umat Islam. Keputusan itu akan diumumkan pada masa terdekat. Tindakan ini adalah amat tepat kerana Yoga bukan semata-mata senaman fizikal tetapi salah satu aliran falsafah Hinduisme atau mempunyai hubungan yang rapat dengan ajaran Hindu. Yoga boleh menjejaskan aqidah umat Islam terutama apabila mengikuti amalan meditasi yang diajarkan melalui amalan Yoga tersebut. Berikut beberapa maklumat tentang Yoga:
Yoga bermaksud disiplin spritual ataupun aplikasi. Ia lebih memberi penekanan kepada latihan minda dan badan fizikal sebagai jalan untuk bersekutu dengan tuhan dan boleh mencapai moksa (pembebasan). Pengikut-pengikut fahaman ini dinamakan Yogi. Teks utama aliran ini ialah Yoga Sutra yang dihasilkan oleh Pantajali (200/400 S.M - 150 S.M/450 S.M). Tuhan dalam aliran ini dilambangkan dengan kata OM dan dianggap boleh membantu mensucikan jiwa. Terdapat beberapa peringkat yoga, iaitu: 1) Yama atau kawalan diri dengan mengamalkan lima moral iaitu tanpa kekerasan, kebenaran, tidak mencuri, kesucian dan tidak tamak. 2) Niyama atau pemerhatian dengan mengamalkan hidup zuhud 3) Asana atau posisi tubuh, 4) Prayanama atau kawalan penafasan, 5) Pratyahara atau mengawal perasaan, 6) Dharana (mengawal minda), 7) Dyana (meditasi) dan 8) Samadhi atau menditasi mendalam dimana seluruh anggota tubuh hilang dari penglihatan (lihat Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, 2001).

Wednesday, October 22, 2008

PEMIKIRAN FALSAFAH KLASIK CINA: ALIRAN DAN AJARANNYA

SIRI (1)


Pendahuluan

Secara umumnya sistem kepercayaan, falsafah atau pemikiran Cina banyak dipengaruhi oleh latar belakang geografi , ekonomi dan nilai pertanian Cina. Latarbelakang tempat dan keadaan persekitaran turut mempengaruhi bentuk aliran pemikiran yang berkembang dalam sesuatu tamadun. Umpamanya, pemikiran falsafah Greek lebih menekankan aspek pemikiran spekulatif, alam semulajadi dan metafizik, manakala pemikiran Cina pula lebih menekankan aspek sosiopolitik, etika dan lebih bersifat praktikal. Ahli falsafah Cina banyak memberikan tumpuan mereka kepada persoalan tentang penyesuaian manusia terhadap alam semulajadi dan amat menekankan hal ehwal manusia. Bagi mereka, manusia adalah menjadi kayu pengukur dan tanpa nilai kemanusiaan, falsafah hilang pengertiaan asasnya dan tidak dapat menjustifikasikan kewujudannya. Persoalan metafizik hanya menjadi pemerhatian ahli falsafah Cina setelah kedatangan Buddhaisme ke Cina (Shariff, 1994). Dalam world view China, dua sphere tidak dapat dipisahkan dan kosmos yang dapat dilihat adalah satu, ia adalah langit, bumi dan manusia. Langit di atas, manakala bumi di bawah. Manusia diwakili oleh Maharaja yang bertindak sebagai perantaraan antara langit dengan bumi. Terdapat 100 aliran falsafah di Cina, bagaimanapun banyak yang tidak dapat diketahui disebabkan dasar pemusnahan buku yang dilakukan pada zaman dinasti Chin. Antara aliran falsafah yang dominan ialah Konfusianisme, Taoisme, Legalisme, Mohisme, Yang-Yin dan Ming-Chia.

ALIRAN FALSAFAH DOMINAN CHINA

Konfusianisme

Ia diasaskan oleh Kung-Fu-Tze yang dilahirkan pada tahun 551 S.M. di Tsou dan berasal dari keturunan bangsawan. Beliau menerima pendidikan dalam bidang muzik, penulisan dan ritual. Sewaktu berumur 20 tahun beliau menjadi seorang guru dan mengajar murid-murid cara berkelakuan baik. Beliau dan murid-muridnya sering mengembara dari wilayah ke satu wilayah yang lain. Beliau yakin melalui sistem pendidikan akan wujudnya kesetaraan sejati antara manusia. Beliau merupakan orang pertama dalam sejarah China yang mengajar jumlah pelajar yang ramai iaitu 7000 orang, dan 10 orang dari mereka menjadi pemikir dan sarjana yang terkenal. Beliau merupakan seorang ahli pendidik yang mahukan pengikut-pengikutnya menjadi “rounded man” yang boleh digunakan oleh negara dan masyarakat. Justeru itu, beliau mengajar bermacam-macam jenis ilmu pengetahuan. Falsafahnya mahu mendidik manusia melalui saluran pendidikan bagi menghasilkan manusia yang sempurna yang disebut sebagai Junzi. Junzi merupakan seseorang yang memiliki sepenuhnya hikmah ren. Dalam kitab Lun Yu, Kung Fu Tze telah memberikan beberapa cara untuk menjadi Junzi (budiman). Antara cara untuk menjadi seorang Junzi ialah:

1. tidak merasa resah, pilu atau takut
2. bekerja dengan tegas dan bersungguh-sungguh, tidak membuat kesalahan, melayani orang lain dengan bahasa yang baik dan teliti sesuai dengan adat
3. membantu orang lain untuk menjayakan pekara yang baik dan tidak membantu orang lain untuk menjayakan pekara yang jahat

Manakala sifat Junzi menurut Kung Fu Tze ialah seseorang yang hidup aman damai, tidak sombong dan tidak menghina orang lain.
Kung Fu Tze mahu menginterprestasikan khazanah warisan silam kepada anak-anak muridnya, dengan sebab itu beliau berkata sesungguhnya beliau hanyalah seorang transmitter dan bukannya originator.
Kung Fu Tze merupakan pengasas kepada aliran Konfusianisme atau Ju Chia adalah merupakan satu aliran pemikiran falsafah atau agama. Schwartz (1971) menyatakan bahawa Konfusianisme mempunyai kedudukan yang unik dalam sejarah China. Doktrinnya dianggap sebagai official philosophy di negara China. Banyak pandangan sarjana tentang Konfusianisme sama ada ianya merupakan sebagai satu agama atau aliran pemikiran falsafah atau etika. Osman Bakar (1997) menyimpulkan, konfusianisme boleh dianggap sebagai satu agama, kerana agama adalah juga falsafah seperti yang dirujuk kepada pemikiran Falsafah al-Farabi, al-Kindi dan lain-lain. Bagaimanapun, Yves Regun (2000) berpendapat bahawa Konfusianisme hanyalah satu falsafah tentang kehidupan yang berpaksikan kepada konsep ren. Konfusius menurutnya tidak mendirikan satu agama.
Didsbury (1994) pula melihat falsafah Konfusianisme tidak berminat dalam soal metafizik, pemikir mereka seperti Konfisius, Mencius (371 S.M-289 S.M) dan lain-lain lebih berminat membincangkan soal sosial, politik dan pendidikan. Mereka lebih peka kepada persoalan etika dan hal-hal praktikal berhubung dengan penyusunan masyarakat berdasarkan kepada prinsip moral yang sesuai. Dengan sebab itu, amat sukar mengkaji pandangan Konfusianisme dalam masalah metafizik, Ketuhanan dan kehidupan selepas mati. Perkara inilah menurut Wang Gungwu (1997) yang membezakan Konfusianisme dengan agama lain, kerana ia amat sedikit menekankan kepada kehidupan spiritual dan menjauhkan diri dari perbincangan mengenai kehidupan selepas mati tetapi lebih banyak menumpukan kepada dunia, sosial, keluarga dan moral. Apabila ditanya tentang kematian oleh muridnya, Konfisius menjawab “jika kita tidak tahu tentang kehidupan, bagaimana pula kita tahu tentang kematian”. Begitu juga beliau pernah berkata “kamu tidak mampu untuk berkhidmat kepada manusia, jadi bagaimana kamu hendak berkhidmat kepada ruh?”.
Prof. Y. King (1997) berpendapat Konfusianisme telah membangunkan satu bentuk etika yang bersifat kemanusiaan dalam dunia yang manusia-sentrik. Bagi Konfusianisme keperihatian yang asas adalah kehidupan sosial pada masa kini dan sekarang. Persoalan bagaimana untuk mengharmoniskan kehidupan di dunia adalah asas teoritikal dan praktikal yang perlu diselesaikan. Konfusianisme memfokuskan kepada hubungan organik antara individu dan masyarakat yang dilihat sebagai saling bertautan dan tidak dapat dipisahkan. Beliau mahu satu masyarakat yang dipimpin atau diatur dengan baik. Asas negara, masyarakat dan individu yang betul adalah “let ruler to be ruler, the minister minister, the father father and the son son “. Konfusius mahu masyarakat berjalan mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing . Mengikut Konfusius segala sesuatu hendaklah bertindak mengikut nama (zhengming) atau kedudukan masing-masing. Perlaksanaan tanggungjawab dan peranan tersebut haruslah pula diasaskan kepada nilai kebaikan (yi) dan nilai kemanusiaan yang berpaksikan kepada kasih sayang (ren). Manusia yang mempunyai ren atau kasih sayang ialah “one who, desiring to sustain himself, sustains others, and desiring to develop himself, develop others”.
Dalam menjalankan hubungan dengan orang lain, Konfusius mengajarkan supaya seseorang itu menggunakan ukuran diri sendiri sebelum membuat kebaikan atau kejahatan kepada orang lain. Justeru itu, Konfusius mengingatkan “do not to do others what you do not wish yourself”. Konfusius juga berpegang kepada konsep ming atau takdir. Seseorang yang mengetahui ming, bermakna dia mengetahui pekara-pekara yang tidak tidak dapat dielakkan di dunia ini. Dengan itu, dia akan bebas dari kebimbangan dan duka nastapa, dan dia akan memperolehi kegembiraan. Kata Konfusius; “the superior man is always happy, the small man sad
Pemikiran etika Konfusianisme dapat digali melalui kitab-kitab yang dikarangnya seperti kitab Madah, Muzik, Adat, kitab Tentang Perubahan maupun melalui susunan anak-anak murid beliau seperti Kitab Analect atau Lun Yu, The Great Learning dan lain-lain. Mengikut Schwartz (1985), kitab Analect banyak mengandungi oder sosio-politik yang normatif, perlakuan-perlakuan yang baik, ritual, perayaan dan etika. Aturan etika Konfusianisme adalah berpaksikan kepada Tian (Heaven) atau Dao .Penekananya yang utama adalah konsep terhadap keluarga, social propriety dan solidariti.
Konfusianisme menekankan lima bentuk hubungan atau wulun iaitu antara pemerintah dengan rakyat, ayah dengan anak, abang dengan adik, sahabat dengan sahabat dan suami dengan isteri. Bagi Konfusianisme, dari keluarga akan berkembang menjadi masyarakat, seterusnya negara dan dunia. Kesemua konsep etika yang dikembangkannya diasaskan kepada ren atau kemanusiaan. Bagi Konfusius, nilai hubungan antara anak dengan bapa, ialah bapa harus berbaik hati dan anak harus berkewajiban terhadap orang tua, Hubungan suami isteri ialah suami harus jujur terhadap isteri dan isteri harus tunduk dan patuh dengan suami, hubungan saudara tua dengan saudara muda, iaitu yang tua harus bermurah hati dan membantu, manakala yang muda harus tunduk dan hormat. Hubungan raja dengan rakyat, ialah rakyat mesti bersifat kemanusiaan dan rakyat harus taat. Hubungan antara sahabat ialah kejujuran menjadi pendoman.
Dalam persoalan pemerintahan negara, Konfusianisme mengemukakan konsep pemerintahan berdasarkan akhlak kemanusiaan. Konfusius menekankan pemerintahan berdasarkan zhen ming (nama yang betul), pendidikan akhlak, kepimpinan teladan, mengawal keinginan nafsu, mematuhi prinsip social dan undang-undang negara, meringankan hukuman dan memperkasa system pendidikan (Ubaidullah Mohd Nasir, 2000). Pemerintah yang menggunakan kekerasan dalam pemerintahannya adalah seorang yang gagal sebagai pemerintah. Menurut Konfusius; “tugas kamu adalah untuk metnadbir, bukannya untuk membunuh” (Lun Yu). Pemerintah yang memerintah melalui contoh teladan yang baik (de) dan akhlak terpuji akan dapat mengawal diri mereka sendiri dan rakyat (Ross, 2000) serta dapat mempengaruhi rakyat dan menanamkan kesetiaan rakyat kepada pemerintah. Kata Konfusius:

“jikalau kelakuan pemerintah itu mulia, maka rakyat akan menurut arahannya tanpa paksaan; jikalau kelakuan seseorang pemerintah tidak suci walaupun mengarahkan rakyatnya membuat sesuatu tetapi rakyatnya juga tidak akan menurutnya” (Lun Yu).

“jikalau kelakuan seseorang itu adil dan jujur, maka dia tidak akan menghadapi sebarang masalah ke atas pemerintahannya; jikalau tidak boleh menyempurnakan kelakuan sendiri, bagaimana hendak membetulkan kelakuan rakyat” (Lun Yu).

Kung Fu Tze juga mengigatkan pemerintah supaya berhati-hati memilih pegawainya iaitu dengan tidak mengambil mereka yang hanya pandai bermain lidah dan berpewatakan memikat dan mengampu.
Kung Fu Tze melihat peranan pendidikan adalah untuk membentuk cendikiawan dan Jun Zi. Peranan Jun Zi ialah mempelajari ilmu, memperbaiki diri dan mentadbir manusia. Peranan Shi (bakal Jun Zi) adalah pembantu kepada Jun Zi dan penglibatan dalam pelajaran serta kerja-kerja lain. Dalam proses pembelajaran ada empat ciri utama yang ditekankan oleh Kung Fu Tze iaitu banyak mendengar, banyak melihat, banyak bertanya dan banyak mengenali. Beliau turut menekankan sifat jujur dalam pembelajaran, beliau berkata dalam Lun Yu “ketahui katakan ketahui, tidak ketahui katakan tidak ketahui, itu adalah ilmu pengetahuan” (Ubaidullah Mohd Nasir, 2000). Orang budiman (Jun Zi) menurut Kung Fu Tze adalah mereka yang hidup aman damai, tidak sombong dan tidak menghina orang. Orang yang hina, sombong dan menghina orang hidup mereka tidak akan senang (Lun Yu).


Keselarasan Etika Konfusianisme dengan Islam

Banyak pengkaji menyimpulkan, terdapat keselarasan etika Konfusianisme dengan Islam. Prof.Tu Weiming (1997) berpendapat idea tentang kerajaan yang rahmah dan pertautan yang intim antara moral dengan kepimpinan adalah dikongsi oleh kedua-dua tradisi tersebut. Mereka juga berkongsi idea tentang perbezaan yang mendasar antara manusia dengan makhluk lain dan antara tamadun dengan babarianisme. Mereka turut berkongsi pandangan dari sudut pengagihan keadilan, kepimpinan dan persamaan. Dr.Ubaidullah Mohd Nasir (2000) turut menyimpulkan bahawa memang wujud persamaan di antara etika Konfusianisme dengan Islam dalam beberapa aspek seperti aspek pendidikan, kepimpinan, hubungan sesama manusia, kasih sayang dan hidup yang berlandaskan adat. Kung Fu Tze sendiri pernah menegaskan bahawa dia bukannya originator tetapi hanyalah sebagai “pemindah” kebijaksanaan silam kepada masyarakatnya. Beliau turut mengakui kewujudan ramai ahli hikmah di sebelah Barat. Schwartz (1971) menyimpulkan sumbangan Kung Fu Tze adalah sebagai presever kepada monumen klasik, contoh dan pengasas kepada zaman keemasan China dan beau idea of humanity.
Lee Cheuk Yin (1997) menyatakan, dalam sejarah China sudah wujud penulis-penulis Cina yang beragama Islam menulis tentang keselarasan antara etika konfusianisme dengan nilai-nilai Islam seperti yang dilakukan oleh Wang Daiyu (1573-1619 M) melalui bukunya Zhenjiao Zhenquan. Buku ini cuba mencari persamaan dalam aspek etika seperti konsep Yang dan Yin, hubungan suami isteri,bertanggungjawab, hubungan antara sahabat sambil merujuk kepada buku Konfusianisme iaitu analect. Penulis China Muslim lain seperti Jin Tianzhu melalui bukunya Qingzhan Shiyi (18M) menegaskan bahawa tidak wujud kontradiksi antara etika Konfusianisme dengan etika Islam bahkan kedua-duanya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ringkasnya, penulis muslim China yang awal adalah sumber yang penting untuk memahami kewujudan hubungan yang harmonis antara Islam dan Konfusianisme. Ini membuktikan kedua-dua agama ini boleh wujud secara harmonis dan saling memahami.


Friday, October 17, 2008

Semalam dalam satu kenyataan khas yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat ke-215 dan dibacakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah menyebutkan beberapa perkara berkaitan dengan kontrak sosial. Antaranya, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain. Bagaimanapun, kandungan kontrak sosial tersebut telah dipertikai oleh pihak tertentu sehingga ia menjadi kegusaran dan keresahan rakyat. Majlis Raja-Raja berpendapat, sebab berlakunya perkara tersebut ialah kedangkalan pihak berkenaan terhadap latarbelakang sejarah, mengapa peruntukan itu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini serta kepentingan politik sempit. Jika gejala tersebut tidak ditangani, ia boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara. Majlis Raja-Raja telah memberi ingatan supaya kontrak sosial tersebut tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan, lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia asas utama pembentukan Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu memperingatkan supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar. Majlis Raja-Raja menegaskan bahawa institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlaku kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku. Majlis Raja-Raja juga meminta orang Melayu bersatu padu mempertahankan kandungan kontrak sosial tersebut dan memperjuangkan agenda yang lebih penting dan utama daripada kepentingan politik atau kelompok. Majlis Raja-Raja juga berharap supaya kaum bukan Melayu tidak perlu khuatir dan bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (Lihat kenyataan akhbar Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Berita Harian, 17 Oktober 2008). Dengan adanya kenyataan Khas yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja mengenai Kontrak Sosial ini, kita berharap tidak ada mana-mana pihak lagi yang cuba mempertikaikannya atau cuba untuk membentuk gagasan 'Malaysia Baru' sebagai satu percubaan untuk merungkai persetujuan antara kaum sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Keharmonian antara kaum akan wujud apabila semua pihak menghormati kandungan kontrak sosial dan tidak mengungkit-ungkitnya kembali. Kita berharap semua pihak menumpukan perhatian ke arah usaha memajukan negara ini dari asyik mencari titik perbezaaan, tidak menghabiskan masa dengan polimik, jatuh menjatuhkan dan pedebatan. Mereka sepatutnya menggunakan kekuatan intelek dan tenaga yang ada bagi menyediakan solusi praktikal menyelesaikan masalah agama, bangsa dan negara.

Wednesday, October 15, 2008

Pada pandangan saya.....

Masalah perkauman di Negara dijangkakan akan terus dibangkitkan oleh mana-mana pihak di Negara ini. Ini berasaskan realiti masyarakat Malaysia yang majmuk. Lebih-lebih lagi isu perkauman selalunya menjadi modal politik yang amat berkesan untuk meraih sokongan terhadap kepimpinan atau parti berkenaan. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan sehinggalah hari ini, isu perkauman sering menjadi modal politik ketika berkempen sama ada dalam pilihanraya umum atau pemilihan pucuk pimpinan parti politik tertentu. Peristiwa 13 Mei tahun 1969 mengikut analisa pengkaji adalah disebabkan isu perkauman yang tidak terkawal dalam kempen-kempen pilihan raya pada tahun tersebut yang dimainkan oleh parti-parti politik ketika itu.

Selalunya untuk meraih sokongan pengundi dari kaum mereka, maka isu perkauman akan dimainkan. Di samping beralihnya sokongan dari satu parti politik kepada satu politik yang lain juga berkait rapat dengan isu perkauman. Walaupun kadang kala terdapat parti politik yang menyeru supaya ahli politik dan semua pihak tidak memainkan isu perkauman, tetapi hakikatnya ia juga tidak dapat mengelakkan dari memainkan isu perkauman. Terdapat juga parti politik yang mendakwa ia bukan berupa parti perkauman tetapi jika kita diteliti apakah parti tersebut juga benar-benar bebas dari sifat perkauman. Apakah semua kaum diberi layanan yang sama dalam saf kepimpinan?. Apakah pemilihan pucuk pimpinan dibuat atas dasar meritokrasi semata-mata di mana tidak ada sekelumitpun dipengaruhi oleh isu kaum?. Saya rasa ia masih berada dalam tahap idealisme dan retorika saja. Ada yang berhujah mengatakan bahawa isu perkauman lahir disebabkan wujudnya parti politik yang berasaskan kaum. Persoalannya benarkah begitu dan adakah satu kajian telah dilakukan bagi menunjukkan apabila masyarakat Malaysia bersatu di bawah satu parti politik yang tidak bersifat perkauman maka mereka sudah lagi tidak bersifat perkauman dan melihat diri mereka semata-mata sebagai bangsa Malaysia ?.

Saya bersetuju dengan kenyataan Razali Ibrahim (Utusan Malaysia, 14 Oktober 2008) yang menyebutkan isu perkauman sering kali dibangkitkan oleh ahli-ahli politik dan bukannya rakyat. Ia dibangkitkan bagi meraih sokongan dan populariti. Ahli politik lebih mudah memainkan isu perkauman daripada memberikan alternative dan jalan penyelesaian kepada rakyat bagaimana kita boleh hidup bersatu padu dan harmoni serta menunjukkan contoh teladan yang baik bahawa mereka adalah pimpin supra-communal yang berkhidmat kepada rakyat tanpa dipengaruhi oleh sentimen kaum. Acap kali pimpin telajak dalam ucapan mereka dengan memberi pandangan yang kontraversi berhubung dengan sesuatu kaum bagi mempopularkan dirinya. Apabila ucapannya menyinggung perasaan sesuatu kaum, maka kaum yang tersinggung itu akan bertindak balas membidas kembali kenyataannya itu. Akhirnya, isu perkauman terus meleret-leret dibahaskan, dipersoal dan menjadi polimik yang tak kunjung padam.

Adalah sudah menjadi fitrah manusia sayang kepada bangsanya. Nabi Muhamad S.A.W juga sayang kepada bangsanya sehingga Baginda bersabda: “Kepimpinan itu adalah daripada kaum Quraisy”. Dan Sabdanya juga “Dahulukan Quraisy dan jangan mendahului mereka” (lihat al-Mawardy, syarat pelantikan khalifah). Menyanyangi bangsa dalam konteks yang positif adalah penting bagi mengangkat martabat bangsa itu setanding dengan kaum-kaum lain. Sesuatu bangsa akan menjadi maju apabila mereka terikat dengan kuat dengan bangsanya seperti yang disebutkan oleh Ibn Khaldun sebagai asabiyah. Jepun juga menjadi maju kerana masyarakatnya berpegang kuat kepada sifat sayangkan bangsanya. Apa yang ditentang oleh Islam dan kemanusiaan ialah faham perkauman melampau sehingga membawa kezaliman kepada kaum lain. Kezaliman kepada kaum lain disebabkan kejahilan, prejudis melampau, hilangnya sifat toleransi, hilangnya muafakat, tidak lagi wujud perasaan hormat menghormati, tidak meraikan perbezaan dan tidak bersatu di atas nilai-nilai yang dikongsi bersama.

Tuesday, October 14, 2008

Menurut laporan muka hadapan Akhbar Utusan Malaysia hari ini (14 Oktober 2008) Bank Negara Malaysia telah menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai ratusan juta ringgit. Laporan ini tidak memeranjatkan, kerana saya sudah menduga ia akan berlaku juga. Saya mengenali nama salah satu syarikat yang diserbu itu melalui isteri saya beberapa bulan dahulu. Ramai dari kenalan isteri yang telah memasuki pelaburan itu yang menjamin keuntungan lumayan. Tidak kurang juga yang terlalu ghairah untuk mendapat pulangan pelaburan yang lumayan telah meningkat jumlah pelaburannya, ada yang meningkatakan nilai pelaburan mereka sampai puluhan dan ratusan ribu Ringgit. Mereka ini bukan terdiri daripada orang yang tidak berpelajaran tetapi yang saya kenal semuanya berpelajaran tinggi. Tetapi dek kerana keghairahan dan terpengaruh kepada mereka yang telah masuk lebih awal mendapat pulangan keuntungan yang lumayan dan konsistan, lebih-lebih lagi ada yang sudah menggunakan kenderaan mewah, pertimbangan rasional dan ilmu diketepikan. Pernah juga golongan ini cuba mempengaruhi isteri, tetapi saya dan isteri tetap tidak mempercayainya kerana skim pelaburan yang mengambil deposit daripada orang ramai adalah haram di sisi undang-undang kecuali mendapat lesen dari dari BNM. Sudah terlalu banyak media memaparkan nasib pelabur skim cepat kaya ini dan ramai dilaporkan telah mengalami kerugiaan. Dan sudah berkali-kali juga pihak berkuasa menegaskan supaya orang ramai berhati-hati dengan skim pelaburan internet tetapi masih kedapatan juga terutama orang Melayu yang tidak belajar dari sejarah dan mengambil iktibar dari apa yang terlah berlaku dahulu. Apa yang berlaku adalah pertanda betapa sesetengah ahli masyarakat kita telah dihingapi oleh sindrom ghairah untuk menjadi kaya tanpa melalui usaha yang bersungguh-sungguh atau menggunakan jalan pintas untuk menjadi kaya. Islam sudah lama mengingatkan pemeluknya supaya menghindari kegiatan perniagaan yang mempunyai unsur penipuan, kesamaran atau ketidakpastian, perjudian dan spekulasi atau mengambil keuntungan secara yang tidak munasabah. Saya bersimpati dengan mangsa skim ini, semoga mereka bersabar di atas apa yang berlaku dan membuat muhasabah diri serta dijadikan iktibar oleh orang lain. Ingatlah... tiada jalan mudah untuk menjadi senang......

Thursday, October 9, 2008

Hak Keistimewaan Melayu/Bumiputera

Saya telah memberi satu tugasan kepada sekumpulan pelajar untuk meninjau persepsi kaum bukan Melayu terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Sekumpulan pelajar tersebut telah menemubual beberapa orang responden bukan Melayu mengenai perkara tersebut berhubung kedudukan Islam sebagai agama rasmi, DEB, bahasa Melayu, kebebasan beragama dan lain-lain isu lagi. Dari hasil temubual yang telah dilakukan, saya dapat merumuskan beberapa perkara. Antaranya, kesemua responden mahukan kesaksamaan hak dalam aspek agama, kepimpinan negara, ekonomi dan mahukan hak keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu/Bumiputera dikaji kembali. Bagaimanpun, kesemua responden bersetuju dengan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan atau rasmi yang menjadi alat perpaduan antara kaum. Tinjauan rambang ini memperkukuhkan hipotesis bahawa generasi muda yang lahir pasca merdeka terutamanya bersifat kritis terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan tidak menyenanginya. Tidak pasti kenapa persepsi ini semakin mengakar di kalangan mereka. Apakah kerana kejahilan tentang fakta sejarah, kejahilan mengenai kandungan Perlembagaan atau pengaruh globalisasi yang menglobalkan faham liberalisme dan faham kesaksamaan atau apa?. Isu ini dibangkitkan bukan untuk mengundang polimik yang akhirnya nanti menjadi terlalu emosi sehingga terlupa fakta sebenar.


Dalam keadaan mencari-cari jawapan dari persoalan di atas, saya terjumpa satu markalah yang dikeluarkan oleh Biro Tatanegara yang memuatkan dua kenyataan tokoh, iaitu Tun Tan Siew Sin (salah seorang pengasas MCA dan Presiden MCA) dan Tun V.T. Sambanthan (bekas Presiden MIC) yang saya nukilkan di bawah (dipetik dari buku Tan Sri Hj.Khalid Awang Osman, Malaysia-An Anthology):


Menurut Tan Sie Sin dalam akhbar tempatan bertajuk "Tun Tan Answer Critics on Special Privileges" dalam ucapan pada 30 April 1969. Katanya (diterjemahkan dalam bahasa Melayu): "


"Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkansyarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara, berbanding keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih bukan diiktiraf sebagai rakyat setelah hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah di negeri-negeri Melayu. Dan sebagai membalas kemurahan hati Orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa Orang Melayu dan sekali gus mempertahankan kepentingan-kepentingan sah masyarakat kaum lain".


Ucapan Tun V.T. Sambathan di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965, katanya:


"Pada tahun 1955 kita telah memenagi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi selanjutnya mendapat kemerdekaan dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman?. Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu?. Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? jika kita lihat di serata negara Asia dan asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Dan lihat kepada sudara kita kaum Cina mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.......Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata,"Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka setiap peluang untuk menjadi warganegara. Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa Melayu ribuan orang India, cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. di manakah anda boleh jumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain dari bangsa Melayu?. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang?. di manakah dalam sejarah dunia? saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami?. saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. tetapi saya amat gembira di sini" (Dipetik dari buku Tan Sri Hj. Khalid Osman, Malaysia-An Anthology, hal.60).

Tuesday, October 7, 2008

Buku Terbaru Yang Akan Terbit

Sebagai seorang penulis, saat yang paling indah dan bermakna ialah apabila melihat manuskrip yang dihasilkan, zahir menjadi sebuah buku yang diterbitkan. Untuk menghasilkan sebuah buku bukan tugas yang mudah. Ia dihasilkan melalui kerahan keringat, membaca beratus-ratus buah buku, jurnal, majalah, meneliti laman-laman web dan apa sahaja maklumat yang boleh digunakan bagi menambahkan fakta dan huraian yang berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam manuskrip tersebut. Penulisan sebuah buku menuntut pengorbanan masa, pembacaan yang tekun dan aktif berfikir di samping jiwa yang tenang bagi membolehkan idea dibangunkan menjadi jalinan idea yang bertautan dan berkesinambungan sehingga melahirkan sebuah buku yang boleh memberi manfaat kepada kelayak pembaca. Saat yang mengembirakan bagi seorang penulis apabila maklumat yang diperlukan dengan mudah diperolehi seakan-akan 'bekejaran' mendatangi penulis. Buku saya yang bakal terbit pada bulan Oktober ini, Insyaallah adalah berkaitan dengan Hubungan Kaum di Malaysia, Sejarah dan asas Perpaduan yang dihasilkan khusus untuk menjadi rujukan kepada pelajar IPTA dan semua pihak yang meminati isu hubungan kaum di negara ini. Buku ini telah disiapkan dalam masa satu tahun dan telah disunting oleh Penyunting luar dalam bidang berkaitan dan disemak baca sehingga pruf keempat. Memang banyak tenaga, masa dan fikiran telah dikorbankan bagi menghasilkan buku ini . Buku ini mengandungi 372 halaman dikategorikan sebagai bacaan ilmiah. Ia diharapkan dapat dijadikan rujukan oleh berbagai pihak dan menjadi ilmu yang bermanfaat.


Sinopsis buku:


Buku ini membicarakan hubungan kaum di Malaysia yang dilihat dari aspek sejarah, asas serta pendekatan perpaduan yang telah digunakan oleh kerajaan dalam memperkukuhkan hubungan dan perpaduan antara kaum. Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk dari aspek kaum, budaya dan agama penduduknya. Kemajmukan ini sudahpun terbentuk sebelum dari kedatangan penjajahan Barat ke negara ini. Ciri, sifat dan proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini mempunyai perbezaan dengan masyarakat majmuk yang terbentuk sebelum kedatangan penjajah Barat. Buku ini akan melihat dari aspek sejarah bagaimana proses pembentukan masyarakat majmuk tersebut berlaku melewati beberapa tahap sejarah negara. Buku ini juga turut membincangkan hubungan kaum pada zaman penjajahan Inggeris kerana ia memberi kesan kepada pola hubungan antara kaum selepas Malaysia mencapai kemerdekaan,
Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pimpinan tiga kaum terbesar di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India mula membincangkan keperluan perpaduan kaum diperkukuhkan. Permuafakatan antara kaum sebagai asas kepada perpaduan mula diterjemahkan melalui kerjasama politik antara kaum. Orang Melayu telah menerima kemasukan kaum lain ke negara ini sebagai warganegara setelah berlakunya tawar menawar yang dikenali sebagai ‘Persetujuan Bersejarah Tahun 1955’. Apabila Perlembagaan Persekutuan Tahun 1957 terbentuk, persetujuan bersejarah tersebut diperkukuhkan di dalam Perlembagaan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial. Buku ini akan membincangkan perkembangan pemuafakatan politik antara kaum yang diterjemahkan melalui satu pakatan politik iaitu Parti Perikatan sebelum ditukar kepada Barisan Nasional oleh Tun Abdul Razak. Pembentukan pakatan politik ini, walaupun dianggotai oleh parti-parti politik yang berasas kepada kaum tertentu tetapi mampu mencapai kerjasama dan kesefahaman dalam perkara dasar negara walaupun kadangkala terpaksa berhadapan dengan tuntutan kaum masing-masing. Selepas kemerdekaan negara, kerajaan telah merangka beberapa dasar untuk memperkukuhkan hubungan antara kaum terutama selepas berlakunya trajedi berdarah 13 Mei 1969. Buku ini akan membincangkan dasar-dasar tersebut bagi menjadi panduan kepada kita bertapa perlunya hubungan kaum diperkukuhkan di negara ini.
Perlembagaan negara menyediakan asas undang-undang dan panduan bagi negara, bagaimana untuk mengurus sebuah negara yang paling majmuk di dunia. Melalui buku ini, pembaca akan dapat memahami sejarah dan proses pembentukan Perlembagaan negara. Kontrak Sosial seperti yang selalu diperdebatkan oleh semua pihak harus dilihat dari kacamata perlembagaan dan undang-undang itu sendiri bagi mendapat tafsiran yang tepat mengenainya. Untuk itu, buku ini akan membincangkan kandungan Kontrak Sosial tersebut untuk difahami dan dihayati oleh semua pihak. Pemahaman yang sejelas-jelasnya mengenai Kontak Sosial tersebut adalah asas kepada perpaduan antara kaum. Buku ini turut membincangkan hak asasi dalam Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kesaksamaan dan kebebasan di dalam perkara-perkara tertentu. Kebebasan itu juga adalah tidak mutlak kerana ia mempunyai sempadan-sempadannya sendiri yang dinyatakankan dalam Perlembagaan.
Buku ini turut membincangkan bagaimana dimensi ekonomi diguna untuk mewujudkan perpaduan antara kaum. Trajedi 13 Mei dilihat oleh kerajaan, sebagai kesan daripada ketidaksamaan pencapaian ekonomi antara kaum, khususnya orang Melayu. Ketidaksamaan ini mempunyai akarnya dengan polisi dan dasar ekonomi yang dilaksanakan semasa zaman penjajahan Inggeris. Selepas peristiwa 13 Mei, kerajaan telah membetulkan ketidakseimbangan itu dengan merangka dasar pembangunan ekonomi sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Kesemua dasar tersebut bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. Dengan itu, perpaduan antara kaum akan dapat dicapai.
Agama sering dilihat terutama oleh Barat sebagai punca kepada keganasan dan kezaliman antara agama dan kaum. Bagaimanapun, di dalam buku ini agama akan dilihat sebagai mempunyai peranan dalam mewujudkan keamanan dan perpaduan. Islam yang sering dimomokan oleh Barat sebagai agama keganasan sebenarnya adalah agama yang menaja keamanan. Sejak berabad-abad lamanya orang Melayu memeluk agama Islam, tetapi tidak pernah terjadi dalam sejarah mereka, agama digunakan untuk menghalalkan kezaliman ke atas penganut agama lain. Buku ini juga mengupas nilai keamanan universal yang dikongsi oleh semua agama. Agama Timur seperti yang dikupas dalam buku ini sebenarnya menyumbang kepada perpaduan kaum sekiranya nilai-nilai tersebut diamalkan dan difahami oleh penganut agama masing-masing. Konsep Islam Hadhari yang mengandungi 10 prinsip, merupakan pendekatan pembangunan yang holistik. Prinsip-prinsip tersebut dihuraikan di dalam buku ini dan dilihat peranannya dalam memupuk perpaduan serta nilainya adalah dikongsi bersama.
Buku ini diakhiri dengan perbincangan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh semua pihak dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum. Cabaran-cabaran tersebut perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan bagi membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu padu pada masa hadapan. Hendak atau tidak, kita hari ini perlu menyediakan asas dan kerangka kepada satu bentuk bangsa Malaysia yang hendak kita lahirkan pada masa hadapan, kerana masa depan bangsa Malaysia bergantung sepenuhnya kepada apa yang kita lakukan hari ini.
Akhir sekali, buku ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha kerajaan dan semua pihak untuk mewujudkan perpaduan antara kaum. Buku ini dihasilkan untuk pembacaan semua peringkat masyarakat, khususnya untuk pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil subjek Hubungan Etnik. Buku ini membolehkan mereka memahami sejarah pembentukan masyarakat majmuk dan asas perpaduan antara kaum di negara ini. Dengan memahami dan menghayati perkara tersebut, diharapkan kita menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu pada hari ini, masa depan dan selama-lamanya.

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...