Wednesday, October 15, 2008

Pada pandangan saya.....

Masalah perkauman di Negara dijangkakan akan terus dibangkitkan oleh mana-mana pihak di Negara ini. Ini berasaskan realiti masyarakat Malaysia yang majmuk. Lebih-lebih lagi isu perkauman selalunya menjadi modal politik yang amat berkesan untuk meraih sokongan terhadap kepimpinan atau parti berkenaan. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan sehinggalah hari ini, isu perkauman sering menjadi modal politik ketika berkempen sama ada dalam pilihanraya umum atau pemilihan pucuk pimpinan parti politik tertentu. Peristiwa 13 Mei tahun 1969 mengikut analisa pengkaji adalah disebabkan isu perkauman yang tidak terkawal dalam kempen-kempen pilihan raya pada tahun tersebut yang dimainkan oleh parti-parti politik ketika itu.

Selalunya untuk meraih sokongan pengundi dari kaum mereka, maka isu perkauman akan dimainkan. Di samping beralihnya sokongan dari satu parti politik kepada satu politik yang lain juga berkait rapat dengan isu perkauman. Walaupun kadang kala terdapat parti politik yang menyeru supaya ahli politik dan semua pihak tidak memainkan isu perkauman, tetapi hakikatnya ia juga tidak dapat mengelakkan dari memainkan isu perkauman. Terdapat juga parti politik yang mendakwa ia bukan berupa parti perkauman tetapi jika kita diteliti apakah parti tersebut juga benar-benar bebas dari sifat perkauman. Apakah semua kaum diberi layanan yang sama dalam saf kepimpinan?. Apakah pemilihan pucuk pimpinan dibuat atas dasar meritokrasi semata-mata di mana tidak ada sekelumitpun dipengaruhi oleh isu kaum?. Saya rasa ia masih berada dalam tahap idealisme dan retorika saja. Ada yang berhujah mengatakan bahawa isu perkauman lahir disebabkan wujudnya parti politik yang berasaskan kaum. Persoalannya benarkah begitu dan adakah satu kajian telah dilakukan bagi menunjukkan apabila masyarakat Malaysia bersatu di bawah satu parti politik yang tidak bersifat perkauman maka mereka sudah lagi tidak bersifat perkauman dan melihat diri mereka semata-mata sebagai bangsa Malaysia ?.

Saya bersetuju dengan kenyataan Razali Ibrahim (Utusan Malaysia, 14 Oktober 2008) yang menyebutkan isu perkauman sering kali dibangkitkan oleh ahli-ahli politik dan bukannya rakyat. Ia dibangkitkan bagi meraih sokongan dan populariti. Ahli politik lebih mudah memainkan isu perkauman daripada memberikan alternative dan jalan penyelesaian kepada rakyat bagaimana kita boleh hidup bersatu padu dan harmoni serta menunjukkan contoh teladan yang baik bahawa mereka adalah pimpin supra-communal yang berkhidmat kepada rakyat tanpa dipengaruhi oleh sentimen kaum. Acap kali pimpin telajak dalam ucapan mereka dengan memberi pandangan yang kontraversi berhubung dengan sesuatu kaum bagi mempopularkan dirinya. Apabila ucapannya menyinggung perasaan sesuatu kaum, maka kaum yang tersinggung itu akan bertindak balas membidas kembali kenyataannya itu. Akhirnya, isu perkauman terus meleret-leret dibahaskan, dipersoal dan menjadi polimik yang tak kunjung padam.

Adalah sudah menjadi fitrah manusia sayang kepada bangsanya. Nabi Muhamad S.A.W juga sayang kepada bangsanya sehingga Baginda bersabda: “Kepimpinan itu adalah daripada kaum Quraisy”. Dan Sabdanya juga “Dahulukan Quraisy dan jangan mendahului mereka” (lihat al-Mawardy, syarat pelantikan khalifah). Menyanyangi bangsa dalam konteks yang positif adalah penting bagi mengangkat martabat bangsa itu setanding dengan kaum-kaum lain. Sesuatu bangsa akan menjadi maju apabila mereka terikat dengan kuat dengan bangsanya seperti yang disebutkan oleh Ibn Khaldun sebagai asabiyah. Jepun juga menjadi maju kerana masyarakatnya berpegang kuat kepada sifat sayangkan bangsanya. Apa yang ditentang oleh Islam dan kemanusiaan ialah faham perkauman melampau sehingga membawa kezaliman kepada kaum lain. Kezaliman kepada kaum lain disebabkan kejahilan, prejudis melampau, hilangnya sifat toleransi, hilangnya muafakat, tidak lagi wujud perasaan hormat menghormati, tidak meraikan perbezaan dan tidak bersatu di atas nilai-nilai yang dikongsi bersama.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...