Tuesday, October 1, 2019

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

                   Oleh

Prof Madya Dr. Abdul Halim Ramli

Abstrak

Kemajuan Barat dan kemunduran dunia Islam membawa lahirnya gerakan pembaharuan sistem pendidikan umat Islam. Kemunduran sistem pendidikan umat Islam menurut Syekh Muhamad Abduh dan Sayyid Ahmad Khan adalah  salah satu faktor kepada kemunduran umat Islam dalam pelbagai bidang. Justeru itu, kedua-dua pemikir ini telah menyarankan betapa perlunya sistem pendidikan umat Islam dibangunkan kembali dengan membawa masuk ilmu-ilmu yang menjadi kekuatan tamadun Barat seperti sains dan teknologi ke dalam sistem pendidikan umat Islam. Syekh Muhamad Abduh telah berusaha melakukan pembaharuan sistem pendidikan Universiti al-Azhar, Mesir, manakala Sayyid Ahmad Khan di India yang membawa penubuhan M.A.O.C di Aligarh.  Hasil gerakan mereka telah membawa masuk ilmu moden ke dalam sistem pendidikan umat Islam tetapi kekurangan mereka ialah tidak berusaha mengislamisasikan ilmu-ilmu moden tersebut. Kekurangan tersebut telah cuba diatasi oleh tokoh-tokoh pembaharu sistem pendidikan umat Islam selepas  mereka seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas, Ismail al-Faruqi dan lain-lain lagi melalui gerakan Islamisasi ilmu.



PENDAHULUAN

Reformasi sistem pendidikan umat Islam berkait rapat dengan kesan penjajahan Barat terhadap dunia Islam, kesan modenisasi dan dualisme di dalam sistem pendidikan muslim (Mohamed 1993: 12-22). Kesan dari penjajahan tersebut telah mewujudkan gerakan-gerakan pembaharuan di dalam sistem pendidikan umat Islam. Gerakan-gerakan pembaharuan tersebut adalah sebagai reaksi terhadap kemodenan dunia Barat dan kemunduran umat Islam terutama dalam bidang sains dan teknologi. Kebanyakkan negara-negara Muslim pada abad ke 20 M telah mengadoptasi sistem pendidikan Barat  sama ada pada peringkat universiti, kolej dan sekolah. Umat Islam berharap melalui sistem pendidikan moden, mereka akan dapat menyerap teknologi moden dan menikmati kemajuan yang dibawanya. Mereka juga merasakan melalui  teknologi moden, mereka berupaya untuk mendapatkan semula kekuasaan dan prestij di dunia . Sikap tersebut merupakan gejala baru dan meluas di negara Muslim terutama ketika negara Muslim memasuki abad moden. Oleh itu, dalam zaman tersebut telah memperlihatkan lahirnya beberapa tokoh pembaharu dan modenis Islam yang cuba melakukan reformasi terhadap sistem pendidikan umat Islam dalam rangka memajukan ummah dan mengeluarkan mereka dari kemundurannya.


PEMBAHARUAN  SISTEM PENDIDIKAN: PENDEKATAN ABDUH


Usaha-usaha Abduh untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan umat Islam mempunyai kaitannya dengan gerakan pembaharuan yang dilakukan oleh Syed Jamaluddin al-Afghani. Syed Jamaluddin al-Afghani (1839-1897M) merupakan diantara modenis muslim yang pertama dan asli, telah menyeru umat Islam supaya memperkembang dan menyuburkan disiplin-disiplin falsafah dan ilmiah dengan memperluaskan kurikulum institusi pendidikan umat Islam dan melakukan reformasi pendidikan secara umum. Tujuan utamanya adalah untuk memperkuatkan dunia Islam untuk menghadapi Barat. Al-Afghani juga melalui penulisan dan pidato-pidatonya telah mengutarakan pandangannya bahawa tidak ada satupun dalam prinsip-prinsip dasar Islam yang tidak sesuai dengan akal atau ilmu (sains)  . Al-Afghani telah menentang ulamak-ulamak yang rigid yang mendakwa bahawa al-Qur’an bertentangan dengan fakta-fakta saintifik. Beliau berhujah bahawa al-Qur’an mengandungi rujukan-rujukan kepada penemuan saintifik yang hanya dapat dicapai oleh pengetahuan manusia apabila mereka mencarinya di dalam al-Qur’an  .

Reformasi dan cita-cita al-Afghani kemudiannya telah diteruskan oleh anak muridnya, iaitu Muhamad Abduh (1849-1905M). Menurut Fazlur Rahman, kenyataan bahawa Islam tidak bertentangan dengan akal dan ilmu pengetahuan adalah menjadi tugas Abduh untuk membuktikan dan melaksanakan kenyataan tersebut (Rahman 1968). Al-Afghani dan Abduh bertemu ketika al-Afghani mengajar di Universiti al-Azhar, Mesir. Al-Afghani telah mengajar mata pelajaran teologi dan falsafah yang dianggap sebagai bidaah di Azhar pada waktu tersebut. Abduh kemudiannya telah tertarik dengan pengajaran yang disampaikan oleh al-Afghani terutama dalam bidang falsafah, walaupun pada awalnya dia merasa gusar terhadap ilmu tersebut, namun guru sufinya, iaitu syekh Darwisy telah menghapuskan kegusarannya dengan menjamin bahawa falsafah dan ilmu pengetahuan merupakan jalan yang paling selamat untuk mengenal dan menyembah Tuhan .
Penjajahan British di Mesir telah mendedahkan negara Mesir kepada pengaruh-pengaruh Eropah sama ada ianya diperkenalkan secara beransur-ansur oleh kerajaan Mesir atau Ottoman ataupun kesan dari paksaan kuasa Eropah dan melalui kerja-kerja para missionari Kristian melalui bidang pendidikan . Kesan langsung dari penjajahan tersebut ialah wujudnya dua sistem pendidikan, iaitu sistem pendidikan tradisional dan sistem pendidikan sekular yang menghasilkan dua bentuk manusia terpelajar yang mempunyai perbezaan pandangan yang terbentuk hasil dari dua sistem pendidikan yang berbeza . Abduh amat perihatin terhadap permasalahan ini dan berusaha membuat perubahan segera bagi mengatasi permasalahan tersebut. Abduh tidak merasa gembira dengan sistem pendidikan al-Azhar, lantaran itu, beliau mula melaungkan satu reformasi segera perlu dilakukan terhadap al-Azhar  .
Perubahan yang ingin dilakukan oleh Abduh lebih ditumpukan ke dalam sistem pendidikan. Ini disebabkan Abduh melihat bidang pendidikan merupakan saluran yang efektif bagi membuat sebarang perubahan di dalam masyarakat. Menurut Tibawi, sumbangan Abduh yang pertama di dalam bidang pendidikan ialah dengan menghasilkan artikel-artikel ketika beliau masih lagi menjadi seorang pelajar. Abduh mengajak umat Islam supaya mempelajari segala cabang ilmu pengetahuan sains, metamatik, logik yang boleh digunakan di dalam kehidupan pada zaman moden. Abduh melihat rahsia kelebihan atau kekuatan negara Eropah terletak kepada pendidikan dan sains. Oleh itu, beliau menyeru supaya dilakukan kerja-kerja penterjemahan terhadap buku-buku yang berkaitan dengan fizik, kimia, perubatan dan sains ke dalam bahasa Arab, disamping buku berkaitan dengan politik dan sejarah peradaban .
Bagi Abduh, pembaharuan yang dilakukan terhadap sistem pendidikan tinggi Muslim dan penghuraian doktrin Islam (umpamanya dalam permasalahan teologi) walaupun tidak dalam bentuk pemikiran moden, sekurang-kurangnya ia hendaklah lebih diterima oleh manusia moden berbanding dari rumusan zaman klasik Islam. Melalui tulisannya yang disiarkan di dalam surat khabar al-Ahram pada tahun 1876 M, Abduh menegaskan bahawa tanggungjawab pengajian bukan hanya sekadar mempelajari karya teologi klasik Arab bagi mempertahankan keimanan, tetapi juga harus mempelajari sains moden, sejarah dan agama Barat. Abduh kemudiannya berusaha untuk melaksanakan pembaharuan di dalam pentadbiran al-Azhar . Namun demikian,usahanya untuk memperluaskan kurikulum al-Azhar telah mendapat tentangan dari ulamak yang berfikiran konservatif. Abduh telah menulis surat kepada Cromer, pentadbir Kolonial British, bahawa reformasi yang ingin dilakukan terhadap al-Azhar bergantung kepada pembaharuan sistem sekolah-sekolah kerajaan. Jika sekiranya reformasi itu berjaya dilakukan, penyatuan sistem pendidikan akan menjadi kenyataan .
Abduh telah mengkritik dikotomi sistem pendidikan tradisional dan juga sekular.Dualiti sistem pendidikan yang wujud di negara umat Islam, adalah kesan dari konsep sekularisasi. Abduh mengesyurkan penyatuan sistem pendidikan di Mesir adalah melalui pembangunan Dar al-Ulum. Abduh melihat al-Azhar sebagai sebuah universiti yang mengalami kemerosotan spiritual dan pendidikan ,yang perlu kepada reformasi segera tanpa menghiraukan tentangan yang diberikan oleh ulamak yang berfikiran konservatif . Abduh dalam usahanya untuk melaksanakan idea pembaharuan telah dilantik menganggotai sebuah jawatankuasa untuk membuat pembaharuan di al-Azhar. Bagaimanapun, pada permulaannya hanya pembaharuan pentadbiran saja diterima, manakala pembaharuan dalam sistem pendidikan telah ditolak. Penolakan tersebut disebabkan pengaruh luaran atau tentangan  dari ulamak konservatif yang melihat sains moden sebagai boleh meruntuhkan asas-asas agama dan keyakinan orang-orang Islam .

Pembaharuan pendidikan yang ingin dilakukan oleh Abduh, walaupun pada mulanya tidak berjaya dilakukan, tetapi akhirnya reformasi yang diperjuangkannya telah mendapat dokongan dari golongan muda. Kesannya, sedikit demi sedikit pihak yang berautoriti di al-Azhar telah menerima dan mengiktiraf metode pengajaran dan memperkenalkan mata pelajaran sejarah, geografi dan elemen-elemen dari sains fizik . Menurut Fazlur Rahman, Abduh bukan sahaja memperjuangkan untuk memperkenalkan pengajian Barat ke dalam al-Azhar, tetapi juga membangkitkan kembali pengajian klasik Islam, terutama karya-karya teologi golongan Muktazilah yang telah dipulaukan semenjak beberapa abad lampau yang dianggap bercanggah dengan fahaman umum .
Seruan Abduh tentang keperluan memperkenalkan sains moden di al-Azhar diasaskan kepada hujah al-Ghazali dan lain-lain, bahawa mempelajari lojik dan disiplin ilmu yang berkaitan dengannya adalah menjadi satu kewajiban dalam usaha untuk mempertahankan Islam . Menurut al-Ghazali, mantik merupakan salah satu cabang falsafah yang mempunyai hubungannya dengan agama. Oleh kerana itu, ia boleh dipelajari . Demikian juga ditegaskan oleh Ibn Rushd, bahawa mantik adalah wajib digunakan di dalam memahami pekara-pekara yang wujud atau al-mawjudat . Abduh berhujah bahawa sains amat penting bagi kehidupan pada zaman moden dan ia merupakan satu alat pertahanan untuk menentang serangan dan penghinaan, disamping ia juga adalah asas kebahagiaan, kekayaan dan kekuatan umat Islam . Bagi Abduh, tidak wujud konflik antara agama dengan sains, bahkan al-Qur’an sendiri telah memerintahkan manusia supaya menceburkan diri dalam pengkajian saintifik .
Sikap Abduh yang lebih mengarah kepada penggunaan akal adalah satu keinginannya untuk memajukan perkembangan sains di kalangan orang-orang Islam . Bagaimanapun penggunaan akal bagi Abduh tidaklah secara mutlak. Akal digunakan untuk menginterprestasikan wahyu dan akal mestilah tunduk kepada pertunjuk wahyu dan tidak boleh mengatasinya . Usaha Abduh untuk menerangkan kepercayaan Islam secara rasionalistik dapat dilihat melalui karyanya Risalah al-Tawhid.Melalui buku ini, Abduh cuba untuk memaparkan bahawa Islam adalah agama rasional dan menerima kemodenan .Melalui buku ini juga, Abduh cuba menegaskan bahawa perintah-perintah agama adalah diasaskan kepada dasar-dasar rasional yang kukuh.Akal dan agama dibariskan secara sejajar di dalam al-Qur’an . Intisari Islam menurut Abduh adalah kepercayaan kepada keesaan Tuhan seperti yang ditetapkan oleh akal dan didukung oleh al-Qur’an. Sikap taqlid adalah tidak bersesuaian dengan ajaran al-Qur’an yang dengan tegas telah memerintahkan kita supaya merenung keajaiban ciptaan-Nya dan mengingatkan orang-orang beriman supaya bersikap kritis terhadap kepercayaan generasi pendahulu mereka .

Meskupun Abduh telah memberikan sumbangannya di dalam memodenisasikan al-Azhar, tetapi bagi Fazlur Rahman, kesan pembaharuan Abduh tersebut hanyalah di dalam mengorganisasikan semula al-Azhar (seperti mewujudkan tiga fakulti, iaitu syariah, fakuliti Usuluddin dan fakulti Bahasa Arab), memperbaiki sistem peperiksaan dan memperkenalkan subjek-subjek baru, terutama di dalam isi kandungan ilmu-ilmu Islam seperti teologi dan falsafah . Hasil daripada pembaharuan Abduh, akhirnya ilmu-ilmu dari disiplin moden seperti sains dan ilmu-ilmu Islam tradisional seperti teologi telah wujud secara berasingan atau dualisme dan bukannya secara intergrasi. Keadaan ini sebenarnya telah mengekalkan dikotomi atau pembelahan sistem pendidikan di Mesir pada abad ke 19 M , walaupun dari perspektif lain disiplin-disiplin ilmu moden telah diterima dan dijadikan kurikulum  di universiti al-Azhar sendiri.

Abduh sebenarnya menyedari kesan sistem pendidikan yang bersifat dualisme boleh mewujudkan sebuah masyarakat yang berpecah. Dengan sebab itu, dalam keghairahannya untuk memperkenalkan disiplin moden ke dalam kurikulum al-Azhar, beliau tidak melupakan kepentingan latihan moral dan kerohanian di peringkat pendidikan tinggi, yang tanpa keduanya disiplin moden boleh diarahkan kepada tujuan yang salah . Bagaimanapun, dalam usaha Abduh untuk mengintergrasikan ilmu-ilmu tradisional dan ilmu-ilmu moden ke dalam satu sistem pendidikan, Abduh tidak berusaha untuk mengesyurkan satu penilaian kritis terhadap ilmu-ilmu moden Barat dari perspektif Islam. Oleh kerana itu, Abduh tidak membangunkan satu keperluan untuk mengislamisasikan disiplin-disiplin moden tersebut .
Walaupun Abduh mengikut Fazlur Rahman tidak mengutarakan idea-idea baru ke dalam kumpulan idea-idea tradisional Islam, namun beliau telah memberikan dua sumbangan kepada golongan pra-moden, iaitu penekanan umum ke atas peranan akal dalam Islam, dimana agama dan akal bukan sahaja berkerja dalam lapangan yang berbeza, juga tidak bertentangan dan ia harus berkerjasama secara positif untuk memajukan manusia. Kedua, menyatakan kembali idea-idea dasar Islam sehingga membuka pintu kepada pengaruh idea-idea baru dan usaha untuk mencari ilmu pengetahuan moden .

Abduh sebenarnya telah memulakan asas pertama ke arah Islamisasi ilmu walaupun tidak dilaksanakan sepenuhnya pada zamannya. Ini disebabkan beberapa faktor, antaranya faktor masyarakat dan situasi zamannya. Lebih-lebih lagi, menurut Fazlur Rahman, penggabungan fahaman Barat ke dalam nilai-nilai Islam telah mengalami satu proses yang panjang. Modenis-modenis awal tidak mampu melakukan lebih dari sekadar menyediakan dasar bagi perkembangan berikutnya . Penumpuan Abduh ketika itu hanyalah lebih ke arah membawa masuk ilmu-ilmu moden ke dalam sistem pendidikan tradisional Islam dari menumpukan pandangannya ke arah mengislamisasikan disiplin-disiplin moden tersebut. 

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN: PENDEKATAN SAYYID AHMAD KHAN

Pembaharuan sistem pendidikan turut berlaku di benua kecil India. Ia dimulakan oleh Sayyid Ahmad Khan (1817-1898 M) yang merupakan tokoh gerakan modenis India yang pertama (Gibb 1972: 58). Penglibatan aktif Sayyid Ahmad Khan di dalam bidang pendidikan adalah bertujuan untuk memajukan kedudukan politik, sosio-ekonomi umat Islam di India yang ketinggalan di dalam pelbagai bidang berbanding dengan masyarakat Hindu. Usaha tersebut perlu dilakukan terutama setelah berlakunya rusuhan kaum diantara orang-orang Islam dengan masyarakat Hindi pada tahun 1857 M.. Rusuhan kaum tersebut telah menimbulkan perasaan membalas dendam terhadap orang Islam oleh Masyarakat Hindu dengan wujudnya satu polisi yang mengenepikan orang-orang Islam daripada memegang jawatan-jawatan penting kerajaan . Sayyid Ahmad di dalam ucapannya di Konfren Pendidikan Islam yang diadakan pada 27.12.1886, telah menyebutkan bahawa pendidikan yang terbaik harus diberikan kepada umat Islam supaya “membolehkan mereka melawat berbagai negara dan destinasi…dan untuk mengembangkan perdagangan dan mendirikan pusat perdagangan di bawah nama syarikat Islam dan Hindu di London, Edinburgh, Dublin, Brusesels dan sebagainya”  .

Dalam usaha Sayyid Ahmad membangunkan pemikiran dan kehidupan umat Islam di India, beliau telah membina sebuah sekolah di Ghazipur bagi melaksanakan idea-ideanya. Sekolah tersebut telah menggunakan lima bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Urdu, Parsi, Arab dan Sanskrit. Di Ghazipur juga, Sayyid Ahmad telah mengasaskan Scientific Society dengan peranannya untuk menterjemahkan karya-karya bahasa Inggeris ke dalam bahasa Urdu seperti buku Mill dan Senior tentang Political Economy, buku History of India karya Elphinstone dan lain-lain lagi . Apabila Sayyid Ahmad berpindah ke Aligarh tahun 1864 M, beliau telah memindahkan pusat persatuan masyarakat saintifik yang diasaskannya ke sana dan mendirikan bangunan pada 1866 M untuk menjalankan aktiviti persatuan tersebut. Di sini telah diadakan beberapa ceramah bebas yang disampaikan oleh penceramah Inggeris. Disamping itu, persatuan tersebut telah menerbitkan majalah berkala yang menyentuh persoalan sosial, etika, saintifik dan politik di dalam kedua-dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Urdu  .

Sayyid Ahmad merasakan beliau perlu melawat England bagi mengkaji secara dekat kemajuan Barat. Beliau telah pergi ke England bersama-sama Syed Mahmud setelah beliau menjual perpustakaannya bagi mendapatkan wang untuk pembiayaannya ke sana . Lawatan Sayyid Ahmad ke England pada tahun 1869 M, telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya terutama kekagumannya terhadap kemodenan England dan sistem pendidikannya. Segala pengalamannya semasa melawat England telah ditulis dan diterbitkan di dalam majalah Tahdhib al-Akhlaq pada 15hb.Oktober 1869 M . Majalah Tahdhib al-akhlaq telah diasaskan oleh Sayyid Ahmad bertujuan untuk menggalakkan umat Islam di India untuk mengadop sesuatu yang terbaik dari sesuatu tamadun bagi mengangkat martabat umat Islam di India . Semasa lawatan itu juga, Sayyid Ahmad telah melawat Universiti Cambridge dan meneliti sistem universiti tersebut secara bersungguh-sungguh. Beliau telah menyimpulkan bahawa sistem yang sama perlu dilaksanakan di India terutama untuk mengangkat kedudukan masyarakatnya yang ketinggalan di dalam pelbagai bidang . Lawatan itu juga telah menyakinkan Sayyid Ahmad bahawa satu-satunya jalan untuk memajukan orang-orang Islam adalah dengan melengkapkan mereka dengan pendidikan Barat melalui sistem pendidikan moden mereka .

Setelah pulang ke India, Sayyid Ahmad kemudiannya telah menubuhkan beberapa jawatankuasa, diantaranya Committee striving after education progress of the Muslim, dimana Sayyid Ahmad dilantik sebagai setiausahanya. Jawatankuasa ini cuba mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan pelajar-pelajar Muslim terlalu sedikit memasuki kolej-kolej kerajaan. Selepas itu, satu lagi jawatankuasa ditubuhkan bagi merancang untuk mendapatkan dana bagi mendirikan sebuah kolej untuk orang-orang Islam di India yang dikenali sebagai fund comitee for the foundation of a Muslim college  .

Hasil dari kempen dan usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan oleh Sayyid Ahmad, maka pada 21hb. Dis. 1873 M, satu keputusan telah dibuat untuk mendirikan sebuah sekolah rendah sebagai asas sebelum sebuah kolej Muslim dapat didirikan. Sekolah rendah tersebut kemudiannya telah dibuka pada 24.5.1875 M. Setelah bantuan dan derma dari orang ramai mencukupi, kolej yang diimpikan oleh Sayyid Ahmad telah dapat didirikan pada 8.1.1877 M yang dirasmikan oleh Waizurai Lord Lytton. Kolej tersebut dinamakan sebagai Muhammadan Anglo Oriental College (M.A.O) dan memulakan pengajiannya pada 1.1.1878 M di Aligarh, dengan mempunyai dua jabatan, iaitu jabatan pengajian Ingeris dan jabatan Pengajian Timur. Jabatan Pengajian  Timur diajarkan ilmu sains moden yang menggunakan bahasa Urdu disamping mempelajari kebudayaan Parsi dan Arab. Bagaimanapun Jabatan ini kemudiannya telah ditutup kerana terlalu sedikit pelajar yang memasukinya. Jabatan Pengajian Ingeris pula diajarkan mata pelajaran bahasa Ingeris, politik, ekonomi, sejarah, falsafah, metamatik, kimia dan fizik. Disamping itu, para pelajar diwajibkan mempelajari bahasa Ingeris, teologi, menunaikan sembahyang lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan  .

Visi Sayyid Ahmad terhadap M.A.O.C amat tinggi.Visinya telah dinyatakannya di dalam majalah tahdhib al-Akhlaq, terbitan tahun 1872 M. Sayyid Ahmad mahukan kolej tersebut menjadi sebuah universiti Oxford dan Cambridge dari sudut bagunannya, mempunyai masjid, peralatan kolej yang moden, mempunyai hospital, kuaters pensyarah dan pekerja, kolam mandi dan sebagainya . Impian tersebut telah dilaksanakannya dengan mewujudkan kurikulum yang sama seperti yang dilaksanakan oleh Universiti Cambridge dengan dibuat beberapa perubahan seperti ditambah dengan subjek teologi Islam disamping ditekankan subjek sains dan sains sosial. Sayyid Ahmad juga menekankan supaya M.A.O.C menggunakan buku-buku yang digunakan oleh universiti Cambridge dan Oxford .

Sayyid Ahmad Khan tidak merasa puas hati dengan pembaharuan yang telah dilakukannya.Impiannya yang lebih besar adalah untuk melihat M.A.O.C menjadi sebuah universiti, dimana para pelajar dari merata tempat akan dapat memasuki universiti tersebut. Walaupun Sayyid Ahmad tidak sempat melihat impiannya terlakasana semasa hayatnya, namun pada tahun 1920 M, kolej tersebut akhirnya telah dinaik taraf sebagai sebuah universiti . Menurut Gibb, penubuhan kolej Muslim di Aligarh oleh Sayyid Ahmad adalah bertujuan untuk menggabungkan pendidikan agama dengan pengajian saintifik moden dan untuk membuktikan kebenaran pandangan Sayyid Ahmad tentang “persesuaian Islam dengan alam” . Pandangan tersebut membawa erti bahawa prinsip-prinsip Islam harus ditafsirkan kembali agar sesuai dengan hukum-hukum alam sepertimana yang ditemui oleh sains moden .

Bagi mencapai tujuan tersebut, Sayyid Ahmad telah menggunakan pendekatan ta’wil dalam menafsirkan ayat-ayat al-Qur’an bagi menyelaraskan sesuatu ayat dengan fakta sains moden. Pendekatan tersebut digunakan oleh Sayyid Ahmad berdasarkan pendekatan Fakhr al-din Razi dan al-Zamakhshari yang menggunakan ta’wil terhadap sesuatu ayat al-Qur’an. Ta’wil atau menggunakan dalil-dalil akal hanya perlu dilakukan jika tafsiran sesuatu ayat secara zahir atau literal seakan-akan bertentangan dengan “kekuasaan Tuhan dan hikmah”. Sayyid Ahmad telah mempertahankan pendekatan ta’wil yang digunakan dalam tafsirnya. Menurutnya, beliau menggunakan pendekatan tersebut berasaskan alasan kukuh, penuh kehormatan terhadap Tuhan dan kebenaran Islam. Baginya, kebenaran adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan kebenaran.oleh kerana itu, tidak ada sebarang perbezaan antara kebenaran Tuhan, kebenaran al-Qur’an dan sains . Melalui pendekatan inilah, Sayyid Ahmad ingin membentuk satu teologi moden yang selaras dengan sains moden atau mengharmonikan sains moden, sains tabii dan falsafah kontemporari dengan doktrin Islam .

Di dalam tafsiranya mengenai prinsip-prinsip tafsiran al-Qur’an, Sayyid Ahmad telah menegaskan empat tesis utama dimana ilmu kalam modennya diasaskan. Pertama, Tuhan adalah benar dan perkataan-Nya (wahyu) adalah benar; tidak ada sains yang memalsukan kebenaran; sains dapat menggambarkan kebenaran. Kedua, diantara kerja Tuhan (seperti alam) dan perkataan Tuhan (wahyu) tidak ada pertentangan. Ketiga, undang-undang alam atau law of nature adalah manifestasi janji Tuhan, kedua-duanya tidak ada pertentangan. Keempat, sama ada manusia diciptakan untuk agama atau agama diciptakan untuk manusia, manusia mesti mempunyai sesuatu yang tidak dipunyai oleh haiwan untuk memikul tugas agama iaitu akal .

Pembaharuan pendidikan dan teologi yang dilakukan oleh Sayyid Ahmad sekurang-kurangnya telah menimbulkan dua pandangan yang berbeza. Pandangan yang pertama adalah mengkagumi apa yang telah dilakukan oleh Sayyid Ahmad. Sepertimana yang telah disimpulkan oleh Baljon, bahawa kolej M.A.O. di Aligarh merupakan puncak kerjaya hidup Sayyid Ahmad. Ia adalah simbol ketabahan, satu usaha yang mengkagumkan dan pandangan yang jauh kehadapan. Kolej tersebut adalah tempat golongan elite muda muslim “menghirup” kebudayaan Barat dan ilmu pengetahuan . Beberapa penulis Barat telah mengkategorikan pemikirannya sebagai “liberal”,”progresif” dan “membebaskan dari kejahilan” . A.H.Hali pula menobatkan Sayyid Ahmad sebagai “Tokoh Pendidik Agong” . B.A.Dar pula melihat Sayyid Ahmad sebagai “he was the first man in modern India who realised the necessity for a new interpretation of Islam that was liberal, modern and progressive”  .

Pandangan yang kedua pula ialah mengkritik pembaharuan yang telah dilakukan oleh Sayyid Ahmad, kerana apa yang ingin dilakukan oleh Sayyid Ahmad adalah satu usaha unntuk mencontohi sistem pendidikan Barat, walaupun dengan memberi peluang kepada pelajarnya untuk mempelajari sedikit sebanyak sejarah dan agama mereka bersama-sama dengan ilmu-ilmu Barat. Sistem  pendidikan tersebut tidak cuba mengintergrasikan dua sistem pendidikan (tradisional dan Moden). Sistem tersebut hanya mendapat kejayaan besar di kalangan mereka yang mahukan anak-anak mereka mendapat peluang pekerjaan di dalam berbagai lapangan hidup, tetapi dicurigai oleh golongan tradisional Islam yang merasakan ianya tidak berbuat apa-apa untuk mengekalkan warisan yang sebenar .
Begum Ruknuddin Hasaan pula menyifatkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Sayyid Ahmad di dalam bidang pendidikan adalah lebih ke arah penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan atasan atau aristocrat . Ausaf Ali disamping memberi sanjungannya kepada Sayyid Ahmad sebagai “Pemikir Sosial Agong”, turut mengkritik  penyelesaian Sayyid Ahmad terhadap masalah dan nasib umat Islam di India adalah dengan mengikut pemikiran, masyarakat dan budaya Barat serta bertindak mengikut arahan dan model politik serta ekonomi British. Sayyid Ahmad tidak menghiraukan nasib golongan bawahan muslim di India, kerana ia lebih mempertahankan kepentingan golongan atasan  atau elite muslim .

KELAHIRAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

Secara umumnya negara-negara umat Islam telah memperolehi kemerdekaan dari kuasa koloni Barat bermula selepas tamatnya perang dunia kedua, iaitu antara tahun 1947 hingga 1963 M.. Zaman Pasca-Kolonialisme Barat menyaksikan berbagai senario yang wujud dalam sistem pendidikan negara umat Islam. Senario tersebut sekurang-kurangnya dapat diringkaskan kepada empat senario:
Senario pertama ialah penerusan sistem pendidikan Barat (yang dikenali sebagai sistem pendidikan moden) bagi maksud untuk melatih tenaga kerja bagi berkhidmat dengan kerajaan. Sementara sistem pendidikan tradisional Islam, kecuali yang telah diubah suai telah mengalami kemerosotan yang amat ketara disebabkan kemunculan sistem pendidikan moden yang menumpukan kepada usaha untuk mengeluarkan tenaga professional yang mengambil alih peranan yang pernah dimainkan sistem pendidikan tradisional .
Senario kedua ialah dualisme atau pencabangan sistem pendidikan yang telah sedia wujud pada zaman penjajahan, bukan sahaja diwarisi oleh umat Islam, bahkan diperkukuhkan lagi atas alasan untuk mencapai pembangunan dan kemajuan. Sebagai contoh, Universiti al-Azhar yang merupakan lambang pendidikan tradisional Islam telah mengalami perubahan radikal pada tahun 1961 M hasil dari perubahan yang dibuat oleh Jamal Abdul Naseer, Presiden Mesir ketika itu. Sebelum itu, perubahan yang berlaku antara 1911-1939 M, telah membawa masuk beberapa subjek moden seperti kimia, fizik, sejarah, geografi dan metamatik ke dalam al-Azhar sebagai subjek tambahan disamping subjek-subjek keagamaan. Hasil reformasi yang dilakukan pada tahun 1961 M itu, al-Azhar telah meluaskan lagi dualisme pendidikan dengan wujudnya beberapa fakulti baru yang berorentasikan disiplin moden seperti fakulti perubatan, kejuruteraan, pertanian, sains dan pendidikan. Para pelajar dari fakulti pengajian Islam tidak diwajibkan mengambil subjek-subjek dari fakulti yang berorentasikan disiplin moden, manakala pelajar dari fakulti disiplin moden hanya diwajibkan mengambil beberapa subjek dari fakulti Pengajian Islam. Model yang telah dikembangkan oleh al-Azhar ini kemudiannya telah diikuti oleh kebanyakkan negara Muslim .
Senario ketiga ialah masalah sekularisasi ilmu pengetahuan dalam pendidikan moden, dimana berbagai cabang ilmu pengetahuan bukan sahaja terpisah dari nilai-nilai agama tetapi juga telah melahirkan dikotomi atau pemilahan cabang ilmu yang menyebabkan ilmu terpisah diantara satu sama lain, tidak seperti pandangan tradisional Islam yang melihat berbagai cabang pokok ilmu saling berkait mulai dari akar sampai ke dahan-dahannya. Sistem pendidikan yang sekular tersebut telah memberi kesan yang besar kepada dunia Islam. Kesan itu timbul bukan sahaja disebabkan ramai pelajar Muslim berlajar di negara Barat, tetapi juga disebabkan wujudnya lembaga-lembaga pendidikan moden di dunia Islam. Lembaga-lembaga ini berperanan besar dalam mengembangkan sistem nilai dunia Barat  dan mengkritik pandangan dunia Islam . Kesan ini telah dikritik hebat oleh Mawdudi dengan menyifatkan lembaga-lembaga pendidikan tersebut sebagai “rumah penyembelihan” untuk generasi muda .  Bagaimanapun aspek positif dari sistem pendidikan Barat memang ada terutama dalam merangsang perkembangan kemajuan sains dan teknologi sepertimana yang berlaku dalam tamadun Barat moden.
Senario yang keempat ialah wujudnya sistem pendidikan tradisional yang hanya menumpukan kepada pengetahuan agama semata-mata dan tidak menunjukkan minat kepada cabang-cabang pengetahuan yang baru yang telah muncul di Barat. Produk yang keluar dari sistem pendidikan ini tidak dilengkapi dengan pengetahuan moden ataupun kaedah untuk menghadapi cabaran tamadun moden yang tidak bertuhan . Senario ini dijelaskan oleh Prof.I.H.Qureshi dalam mengkritik pendidikan tradisional Islam di Pakistan, katanya :

“They (the leaders of traditional education) have neglected modern knowledge to an extent that there is no scope left for a dialogue between those who have received a modern education and graduates of the seminaries… The seminaries are doing useful work in the preservation of the classical theological learning and providing ill-paid, ill-educated and ill-informed imams of the mosques. It is quite obvious that such education cannot help the growth of religious consciousness”.

Senario di atas adalah merupakan kelemahan dalam sistem pendidikan negara umat Islam pasca-kolonialisme. Kelemahan-kelemahan tersebut telah disedari oleh sarjana, ulamak dan intelektual Muslim. Berbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Terdapat percubaan untuk mengatasi dualisme sistem pendidikan dengan mewujudkan satu sistem pendidikan secara intergrasi atau melalui gabungan sistem pendidikan tradisional dengan sistem pendidikan Barat seperti yang diimplimentasikan oleh Sayyid Ahmad dan diikuti oleh al-Azhar dan beberapa institusi pendidikan tinggi negara umat Islam. Percubaan itu kadang kala boleh membawa kepada penghapusan sistem pendidikan tradisional secara total atau menurunkan martabatnya sehingga orang akan memandang rendah kepada sistem itu. Oleh itu, jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini ialah memulihkan sistem pendidikan moden yang telah disekularkan oleh Barat atau diteruskan oleh umat Islam sendiri  adalah melalui usaha Islamisasi ilmu dan sistem pendidikan.
Banyak usaha telah dilakukan bagi menyelesaikan kemelut tersebut, antaranya dengan mewujudkan beberapa institusi seperti World Center for Islamic Education di Universiti Umm al-Qurra, Mekah, Akademi Islam di Cambridge dan lain-lain. Melalui penulisan pula diterbitkan beberapa jurnal antaranya Muslim Education, Islamic Science dan The American Journal of Islamic Sosial Science. Beberapa organisasi di negara Islam seperti Rabitah telah menganjurkan konfren dan seminar pendidikan Islam antarabangsa seperti di Mekah (31 Mac- 8 April, 1977), Islamabad (15- 20 Mac, 1980), Dhaka (1981), Jakarta (23 – 28 Ogos, 1982) dan sebagainya. Seminar-seminar tersebut bukan sahaja menumpukan perbincangan ke atas masalah-masalah pendidikan tetapi juga menyediakan panduan bagi strategi-strategi pendidikan pada masa hadapan  .
Masalah-masalah seperti dualisme, dikotomi dan sekularisme dalam sistem pendidikan umat Islam perlu kepada pemulihan segera. Situasi ini telah membawa sarjana dan ulamak Islam kepada satu kesimpulan, iaitu ilmu dan sistem pendidikan perlu diislamisasikan. Dalam Persidangan Dunia Pertama mengenai Pendidikan Islam yang diadakan di Mekah, tahun 1977 M yang dihadiri oleh ramai cendikiawan Muslim dari seluruh dunia, Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mengutarakan gagasan pengislaman ilmu buat pertama kalinya dalam sejarah pendidikan Islam moden melalui kertas kerjanya yang bertajuk Preliminary thoughts on the nature of knowledge and the defination and aims of educations . Bagaimanapun, apa yang didifinisikan oleh al-Attas mengenai Islamisasi ilmu telah dibentangkannya lebih awal dalam karyanya yang bertajuk Preliminary statement on a general theory of the Islamization of Malay-Indonesian Archipelago pada tahun 1969 M . Pengislaman ilmu bagi al-Attas ialah  :

“selepas proses penyaringan sepertimana yang dimaksudkan, ilmu yang bebas daripada unsur-unsur dan konsep-konsep penting kemudiannya dicerna semula dengan unsur-unsur dan konsep-konsep penting Islam, yang dari segi sifat asas  untuk mendifinisikan fitrah sebenarnya mengenai ilmu itu dengan sifat fungsi sejadi dan tujuannya dan yang demikian menjadikan ilmu itu sebagai ilmu yang benar. Kita tidak dapat menerima ilmu yang ada pada hari ini seperti adanya, dan mengharapkan untuk mengislamkannya hanya dengan ‘mengetut’ dan ‘memindahkan semula’ ke dalam sains-sains dan prinsip-prinsip Islam. Keadah ini hanya akan menghasilkan sesuatu yang tidak langsung bermanfaat ataupun yang kita ingini”.
Al-Attas dalam kertas kerja dan bukunya itu, telah menyentuh dengan panjang lebar berkaitan dengan konsep-konsep penting yang berkaitan dengan sifat dan tujuan ilmu dari pandangan Islam. Islamisasi perlu dilakukan kerana ilmu yang telah disebarkan ke seluruh dunia bukanlah “ilmu yang benar”, tetapi telah disalut dan dibauri oleh sifar dan peribadi budaya kebudayaan Barat. Kebudayaan Barat yang dihasilkan melalui ilmu-ilmu mereka telah menimbulkan kekeliruan-kekeliruan, keraguan dan kelam kabut kepada tiga hiraki alam semulajadi iaitu, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan galian. Unsur-unsur dari kebudayaan Barat yang secular tersebut perlu dikenal pasti, disaring dan dipisahkan dari induknya (peradaban Barat), kerana ilmu-ilmu tersebut bukanlah “ilmu yang benar”  .
Selepas proses penyaringan dilakukan, maka proses selanjutnya adalah melakukan perumusan dan penyepaduan unsur-unsur dan konsep-konsep yang penting yang dapat menghasilkan satu gubahan yang mengandungi teras ilmu bagi digunakan oleh semua peringkat pengajian. Teras ilmu bagi al-Attas hendaklah mengandungi ramuan-ramuan yang berkaitan dengan sifat semulajadi manusia, sifat agama dan penglibatan manusia dalamnya, ilmu, kebijaksanaan dan keadilan berhubung dengan manusia dan agamanya serta sifat amalan yang benar. Semua ini hendaklah dirujuk kepada konsep tauhid, wahyu, syariah, sirah Rasulullah, tasawwuf, falsafah Islam, etika dan bahasa Arab  .
Sementara al-Attas meletakkan asas yang penting ke arah proses Islamisasi ilmu secara umum melalui rumusannya mengenai sifat ilmu, tafsirannya dan tujuan pendidikan Islam, Jaafar Sheikh Idris pula merupakan ilmuan pertama yang menyerang sains sosial Barat. Di dalam konvensyen Persatuan Sains Sosial Muslim yang diadakan pada tahun 1975 M, beliau berhujah penggunaan perkataan “Muslim” dalam Persatuan Sains Sosial tersebut boleh bermaksud  that this group was committed to certain philosophical assumptions which distinguish them from other sosial scientis  .
Lima tahun selepas persidangan mengenai pendidikan Islam Mekah diadakan, maka pada tahun 1982 M, satu seminar mengenai pengislaman ilmu telah dianjurkan oleh Universiti Islamabad dan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa yang telah diadakan di Islamabad. Seminar tersebut telah dihadiri oleh 50 sarjana Islam dari seluruh dunia  . Dua essei dalam seminar tersebut yang menyentuh mengenai pengislaman ilmu kemudiannya telah dimuatkan ke dalam buku al-Faruqi yang bertajuk Islamization of knowledge: general principlesand workplan yang menjadi rujukan asas dalam kerja-kerja pengislaman ilmu. Menurut Mohamed (1993), gagasan pengislaman ilmu yang dibentangkan oleh al-Faruqi merupakan sintesisnya terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan oleh al-Attas dan Idris. Menurut Mohamed lagi, apa yang membezakan al-Faruqi dengan tokoh-tokoh pencetus idea Islamisasi dan golongan revivalis lampau ialah al-Faruqi telah menyediakan satu blue-print yang praktikal bagi mengatasi dikotomi pendidikan umat Islam . Menurut Sadar pula, gagasan Islamisasi ilmu yang dijalankan oleh al-Faruqi adalah hasil usaha beberapa tahun bersama-sama dengan perdebatan dan perbincangan beberapa seminar antarabangsa yang dikelolakan oleh al-Faruqi. Islamisasi ilmu mengemukakan satu proses langkah demi langkah untuk mengislamkan ilmu .
Rangka kerja yang digariskan oleh al-Faruqi merupakan satu teori umum yang menjadi garis panduan kepada sesiapa sahaja yang ingin menterjemahkan visi tersebut ke dalam reality pendidikan umat Islam. Sumbangan al-Faruqi bagi Manzoor  terletak diatas kejayaannya untuk mendapat sokongan dari beberapa institusi pendidikan Muslim dalam menterjemahkan visi teori dan rencana kerjanya ke dalam realiti yang konkrit. Antara institusi yang aktif membantu ke arah Islamisasi ilmu ialah Association of Muslim Sosial Scientists (AMSS) yang ditubuhkan pada tahun 1972 M. Beberapa orang tokoh pendahulu gerakan ini seperti Abdul Hamid Abu Sulaiman, Anis Ahmad, Mahmood Rashdan merupakan sarjana yang aktif dalam gerakan ilmu, khususnya dalam menganjurkan forum antarabangsa mengenai sains sosial dari sudut pandangan Islam. International Institute of Islamic Thought (IIIT) ditubuhkan lanjutan dari penubuhan AMSS, telah melibatkan diri secara langsung dalam menuju ke arah Islamisasi ilmu dengan menganjurkan berbagai konfrensi, seminar dan simposium antarabangsa. Antaranya konfren antarabangsa kedua mengenai Islamisasi ilmu yang diadakan di Islamabad, Pakistan hasil kerja sama dengan Universiti Islam Antarabangsa, Islamabad. Kemudiannya, IIIT telah menganjurkan konfren antarabangsa ketiga pemikiran Islam yang diadakan di Kuala Lumpur, pada tahun 1984 M. Bagi menyebarkan gagasan tersebut, IIIT kemudiannya telah menerbitkan jurnal sendiri, iaitu American Journal of Islamic Sosial Sciences hasil kerjasama dengan AMSS, al-Muslim al-Mu’asir dan al-Ummah. Jurnal ini menjadi forum intelektual di dalam membincang dan membahasakan secara serius pembangunan metodologi dan pembangunan kembali pemikiran Islam .
Di samping itu, gagasan pengislaman ilmu al-Faruqi telah mendapat dokongan yang kuat khususnya sarjana Islam seperti Abu Sulayman, Iyas Ba-Yunus, Akbar S.ahmad, Merryl Wyn Davies, Jaafar Sheikh Idris, Muhammad Kamal Hassan, Mona Abul-Fadl, Osman Bakar, Abubaker A.Bagader, Louay Safi, Muhammad Arif, A.Rashid Moten dan lain-lain lagi. Para pendukung gerakan ini terdiri dari para Jurutera, Doktor, Pendidik, ahli falsafah dan saintis sains sosial. Kumpulan ini berkongsi keyakinan terhadap keperluan perubahan dan pembaharuan pemikiran Islam adalah melalui reformulasi dan mengetegahkan pemikiran sosial moden melalui perspektif Islam. Pendekatan ini merupakan satu pendekatan yang paling efektif berbanding tindakan melalui politik untuk mengeluarkan ummah dari kelemahannya dan memperkukuhkan kebangkitan Islam di dalam sejarah.


KESIMPULAN

Pembaharuan sistem pendidikan yang telah dilakukan oleh Abduh dan Sayyid Ahmad sebenarnya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memajukan umat Islam. Dalam usaha mereka mencapai matlamat tersebut, kedua-duanya telah menggunakan pendekatan pendidikan bagi membangunkan pemikiran umat Islam. Mereka menekankan terhadap keperluan umat Islam mempelajari ilmu-ilmu moden yang dikembangkan oleh Barat. Mereka berusaha unntuk mengubah persepsi masyarakat Islam terhadap ilmu-ilmu moden dengan menekankan prinsip ajaran Islam yang tidak bertentangan dengan kemodenan. Perjuangan mereka telah berjaya membawa masuk ilmu-ilmu moden ke dalam sistem pendidikan tradisional umat Islam, disamping memperbaharui metodologi pendidikan tradisional dan mengekalkan ilmu-ilmu tradisional di dalam kurikulum pendidikan. Kedua-dua mereka menyedari kelemahan sistem pendidikan dualisme yang sedia wujud dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Pembaharuan sistem pendidikan pada zaman dan situasi mereka adalah lebih ke arah “memodenkan sistem pendidikan tradisional Islam” agar lebih sesuai dengan perkembangan dan tuntutan zaman dari “megislamisasikan ilmu-ilmu moden”.Oleh kerana itu, kedua-dua tokoh tersebut sering kali dilabelkan sebagai tokoh apolegetik yang cuba untuk melakukan penyesuaian dengan sistem Barat. Kelemahan yang wujud dalam gerakan pembaharuan sistem pendidikan umat Islam oleh kedua-dua tokoh tersebut telah diatasi oleh Syed Naquib al-Attas, Prof.Ismail al-Faruqi dan lain-lain lagi yang dibantu oleh organisasi-organisasi yang tersusun bagi melaksanakan kerja-kerja pengislaman ilmu-ilmu moden. Pengislaman ilmu kemudiannya menjadi agenda utama pemikir-pemikir Islam yang kemudiannya membawa kepada penubuhan institusi pengajian tinggi yang mendukung gagasan pengislaman ilmu.


RUJUKAN

Al-Attas, S.M.N. (ed). 1979. Aims and objectives of Islamic educations. Jeddah: King Abdul Aziz University.

Al-Faruqi, Ismail Ragi. 1982. Islamization of knowledge: general principles and workplan. Virginia: International Institute of Islamic Thought.

Ahmad, Aziz. 1964. Studies in Islamic culture in the Indian environment. Oxford: Clavendon Press.

Akhtar Hashmi,S.M.A.. 1989. Muslim response to Western education. N.Delhi: Commonwelth Publishers.

Ali, Aushraf. 1994. The Idea of an Islamic social science: Hamdard Islamicus. 16(2):17-53.

Ali, Muhammad Mumtaz (ed.). 1995. The conceptual and methodological issues in Islamic research: a few milestones. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Ghazali, Abu Hamid. 1972. Al-Munqidh min al-dalal. Mahmud. Abd al-Halim (pnyt.). cet.4. Qaherah: Dar al-Kutub al-Hadithah.

Badawi, Zaki. 1985. The reformers of Egypt. London: The Muslim Institute.

Baljon, J.M.S.. 1970. The reforms and religious ideas of Sir Sayyid Ahmad Khan. Lahore: SH.Muhammad Ashraf.

Dar, Bashir Ahmad. 1957. Religious thought of Sayyid Ahmad Khan. Lahore: Institute of Islamic Culture.

Fakhry, Majid. 1989. Sejarah falsafah Islam. Terjemahan. K.lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gibb, H.A.R.. 1972. Modern trends in Islam. N.York: Octagon Books.

Husin, S.S. dan Ashraf, S.A. (ed.). 1989. Krisis dalam pendidikan Islam. Terjemahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussain, M.Hadi. 1978. Syed Ahmad Khan. Lahore: Institute of Islamic Culture.

Ibn.Rushd, Abu Walid. 1968. Fasal al-Maqal. Albert Nasir Nadir (pnyt.). cet 2. Beirut: Dar al-Mashriq.

Ismail Abd Rahman et al. (pnyt.).1993. Isu-isu pendidikan Islam di Malaysia: cabaran dan harapan. Kuala terengganu: KUZA.

Mohamed Yasien. 1991. Knowledge in Islam and the Muslim education: Muslim Education Quarterly. 8(4):3-21.

Mohamed, Yasien. 1993. Islamization of knowledge: a comprative analysis of Faruqi and Rahman: Muslim Education Quatterly. 11(1):27-38.

Abul-Fadl, Mona. 1992. Where east meets west: the west on the agenda of Islamic revival. Virginia: International Institute of Islamic Thought.

Osman Bakar. 1994. Tauhid dan sains: esai-esai tentang sejarah dan filsafat Islam. Terjemahan. Bandung: Pustaka Hidayah.

Rahman, Fazlur. 1968. Islam. New York: Anchor Books.

Rahman, Fazlur. 1982. Islam and modernity. London: the University of Chicago Press.

Sardar, Ziauddin. 1995. Masa hadapan Islam: bentuk idea yang akan datang. Terjemahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tibawi, A.L.. 1972. Islamic education: Its traditions and modernization into Arab National sistem. London: Luzac and Company Ltd..

Troll, C.W.. 1979. Sayyid Ahmad Khan: a reinterpretation of Muslim theology. Karachi: Oxford University Press.








No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...