Thursday, January 29, 2015

Pembangunan Harta Wakaf (Siri 3)


Pengalaman Kuwait

Sejarah wakaf di Kuwait bermula pada tahun 1695 apabila masjid di bina di atas tanah yang diwakafkan. Apabila Kuwait mencapai kemerdekaan pada tahun 1962, Menteri Awqaf telah diwujudkan (Habib Ahmad, 2004). Sistem pentadbiran wakafnya ditadbir di peringkat pusat iaitu di bawah satu Kementerian yang dikenali sebagai Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama. Wakaf di Kuwait tidak hanya terhad kepada masjid-masjid, tetapi diperluaskan kepada makanan, bantuan kepada fakir miskin/orang yang tidak berkemampuan/bantuan kepada persatuan-persatuan Islam dan pusat Islam, membina hospital dan pusat-pusat perubatan, memberi bantuan biasiswa kepada pelajar-pelajar, penerbitan dan pengagihan buku-buku, wakaf al-Qur’an dan lain-lain samada untuk masyarakat tempatan atau negara-negara lain. Pada tahun 1993, satu dikri telah dikeluarkan oleh Amir Kuwait bagi menubuhkan Yayasan Wakaf Am Kuwait atau Kuwait Awqaf Public Foundation (KAPF) yang mempunyai tujuan khusus untuk wakaf dan pembagunan projek-projek wakaf untuk masyarakat. KAPF ini dianggotai oleh Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam sebagai pengerusi, Ketua Setiausaha KAPF sebagai ahli, Pengarah Bahagian Zakat dan lain-lain ahli yang dilantik. Ahli lembaga ini adalah mempunyai autoriti untuk membuat apa-apa keputusan yang sesuai, membuat polisi umum bagi mengurus dan melaburkan wang wakaf dan lain-lain tanggungjawab yang ditentukan oleh kerajaan. Dikri Amir Kuwait telah meletakkan tiga tanggungjawab dasar KAPF, iaitu:

a. Memberi galakkan kepada masyarakat untuk berwakaf dengan merancang program-program dan aktiviti-aktiviti, di dalam negeri atau luar negara bagi meningkatkan kegiatan berwakaf.

b. Pelaburan dan penambahan hasil harta wakaf melalui pengawalan, pelaburan dan pembangunan aset wakaf melalui polisi bebas rasiko bagi menambahkan hasil.

c. Membelanjakan hasil dan membangunkan masyarakat supaya harta wakaf tersebut menjadi satu kebajikan dan membiayai projek-projek pembangunan seperti yang dikehendaki oleh wakif.

Dalam usaha merealisasikan, tanggungjawab tersebut KAPF telah membentuk pelan strategiknya selama 5 tahun iaitu dari tahun 2003 hingga 2007. Hasil dari pelbagai kampen yang dijalankan oleh KAPF melalui media seperti TV, radio, pengiklanan, khutbah jumaat dan lain-lain, terdapat peningkatan wakaf baru, iaitu dari 591,195 KD (1995), meningkat kepada 3,229,657 KD (1999) dan 1,671 016 KD (2002). Dalam aspek pelaburan dan penambahan hasil harta wakaf, aktiviti KAPF berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti kriteria syariah bagi meminimakan faktor rasiko untuk mengawal modal wakaf, kriteria ekonomi iaitu menyediakan kajian terhadap kebolehlaksanaan sesuatu projek, kriteria geografi berasaskan kepada kepelbagaian lokasi pelaburan, kepelbagaian instrument pelaburan dan kepelbagaian sektor pelaburan. Dengan menggunakan kriteria tersebut, KAPF telah berjaya memperolehi kedudukan kewangan yang baik dimana 70.4% daripada harta wakafnya menjana pendapatan.

Dalam usaha KAPF membelanja dan membangunkan masyarakat melalui harta wakaf, KAPF sentiasa mempastikannya mengikut kehendak syariah dan mengikut tujuan pewakif melalui pengesahan atau nasihat Lembaga Syariah KAPF. KAPF juga mewujudkan satu bahagian yang dinamakan sebagai Bahagian Tabung Wakaf yang bersifat autonomi. Ia diwujudkan berasaskan kepada falsafah untuk membangun satu konsep wakaf yang berdaya maju. Bahagian ini merupakan mekanisme yang amat penting dan mempunyai kepentingan strategik dalam proses membangunkan wakaf dan melaksanakan misi KAPF. Bahagian ini diuruskan oleh lembaga pengarah yang mempunyai tanggungjawab menentukan polisi, pelan dan program-program bagi mencapai matlamatnya. Bidang yang di bawah urusan Tabung Wakaf ialah tabung wakaf al-Qur’an dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, tabung wakaf pengurusan masjid-masjid, tabung wakaf orang kurang upaya dan istimewa, tabung wakaf alam sekitar, tabung wakaf pembangunan saintifik, budaya dan pemikiran, pembangunan kesihatan, pembangunan keluarga dan komuniti, kerjasama Islam dan lain-lain.

Walau bagaimanapun pada 26.05.2001, Lembaga Hal-ehwal Wakaf, telah mengurangkan bilangan tabung ini dari 10 kepada 4 sahaja, iaitu tabung wakaf untuk al-Qur’an dan ilmu-ilmu al-Qur’an, tabung wakaf pengurusan masjid-masjid, tabung wakaf untuk kegiatan saintifik dan pembangunan sosial dan tabung wakaf untuk pembangunan kesihatan. Sumber kewangan Tabung Wakaf diperolehi melalui peruntukan-peruntukan yang diberi kepadanya secara tahunan, pendapatanpendapatan yang dijana melalui aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Wakaf, sumbangan dan derma yang tidak bertentangan dengan kehendak wakaf (Ghanim A. Alshaheen, 2004).

Projek-projek yang dijalankan oleh KAPF telah memberi faedah yang berkesan kepada masyarakat. Antara projek yang dijalankan ialah memberi bantuan kewangan kepada pelajar miskin. Di mana pada tahun 2002, KAPF telah membelanjakan KD 603 676 untuk tujuan tersebut. KAPF juga memberi bantuan kepada Pusat Autistik Kuwait. Pada tahun 2002 sebanyak KD 234 276 telah diperuntukkan kepada pusat ini. Aktiviti-aktiviti amal lain yang dilakukan oleh KAPF yang mematuhi syarat-syarat waqif ialah, penyediaan minuman percuma di tempat awam, memberi bantuan makanan kepada orang susah, memberi bantuan pakaian kepada keluarga yang susah, menyediakan makanan di bulan Ramadan untuk keluarga yang susah dan memerlukan dan lain-lain lagi. Pada tahun 2002, KAPF telah membelanjakan KD 211 100 untuk tujan kebajikan dan KD 100 000 untuk fasiliti awam (Ghanim A. Alshaheen, 2004).

Pengalaman Pakistan

Wakaf di Pakistan seperti di negara-negara lain juga mempunyai sejarah yang panjang. Secara tradisinya, harta wakaf diuruskan oleh organisasi sukarela tempatan dan para ulamak. Apabila wujudnya kelemahan dalam urusan wakaf tersebut, maka kerajaan Pakistan telah mengubal Ordinan Harta Wakaf 1959.

Dari segi praktikalnya, pengurusan harta wakaf diletakkan di bawah pentadbiran setiap wilayah dan diberikan kuasa autonomi untuk mengurusnya (Habib Ahmad,2004). Di wilayah Islamabad, harta wakaf ditadbir oleh Bahagian Wakaf yang dibahagikan kepada dua unit, iaitu unit masjid dan unit makam. Di Islamabad terdapat 251 masjid di mana 90 buah masjid diurus oleh Bahagian Wakaf. Unit Makam pula mengurus 5 buah makam dan 1 bithak (tempat berzikir/bermeditasi).

Kebanyakan pendapatan harta wakaf datangnya dari sumbangan orang ramai yang menziarahi makam-makam tersebut. Pada tahun 2002-2003, pendapatan dari makam-makam tersebut ialah sebanyak Rs.9.873 juta. Kebanyakkan dari pendapatan tersebut digunakan untuk membayar gaji pekerja-pekerja masjid. Di wilayah Punjab, pentadbiran harta wakafnya diletakkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Agama dan Wakaf. Jumlah keseluruhan harta wakaf yang ditadbir oleh Bahagian ini ialah meliputi tanah seluas 76,130 ekar. Pendapatan daripada harta wakaf pada tahun 2002-2003 adalah sebanyak Rs 356.665 juta. 30% dari hasil pendapatannya datang dari sewaan tanah wakaf untuk pertanian dan lain-lain tujuan dan 54.5% bersumberkan dari kutipan tabung sumbangan orang ramai yang datang ke makam-makam (Habib Ahmad, 2004).

Kajian Habib Ahmad (2004) terhadap pengurusan wakaf di Pakistan dan di Negara-negara lain telah merumuskan bahawa harta wakaf yang mempunyai tujuan yang khusus untuk aktiviti keagamaan seperti pembinaan masjid tidak banyak boleh dibangunkan dan berperanan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, pembangunan komuniti dan sosial. Pendapatan dari harta tersebut hanya sebahagian kecil disalurkan untuk tujuan kebajikan sosial. Justeru, beliau mengesyorkan untuk menambahkan bilangan harta wakaf hendaklah dilakukan pembaharuan dalam undang-undang wakaf agar dapat menghasilkan satu model alternatif wakaf yang bukan semata-mata berasaskan kepada tanah/hartanah wakaf.

Pengalaman India

Diskripsi awal tentang wakaf di India ditemui dalam buku yang bertajuk Inshai-Mahru yang ditulis oleh Aynul Mulk Mutani. Perkembangan wakafnya bermula pada zaman Kesultanan Delhi yang ditubuhkan pada tahun 1206 M apabila pemerintah Delhi mewujudkan harta wakaf. Selepas itu, lebih banyak harta wakaf diwujudkan oleh orang-orang Islam terutama dalam bentuk masjid, makam, madrasah dan lain-lain. India mempunyai harta wakaf yang paling banyak dan bertaburan di seluruh negara yang kebanyakkannya diwarisi dari masa lampau.

Kajian yang dibuat oleh Prof. S. Khalid Raseed merekodkan terdapat 100,000 harta wakaf di India yang berdaftar dengan kerajaan India (Hasanuddin Ahmad, Ahmedullah Khan, 1997). Bagaimanapun kajian Haque (2003) mencatatkan terdapat 297,970 harta wakaf yang berdaftar di India, tetapi bilangan yang sebenar dipercayai melebihi 300,000. Kajian IRTI (2000) menganggarkan nilai harta wakaf di India adalah sebanyak US$2,690 juta, kebanyakannya dalam bentuk masjid, makam/tanah kubur dan tidak banyak dalam bentuk wakaf umum yang boleh menjana pendapatan. Kebanyakkan daripada harta wakafnya diuruskan secara persendirian, manakala Lembaga Wakaf Negeri-Negeri hanya mengurus sebahagian kecil df˙i harta tersebut. (Habib Ahmad, 2004).

Pembangunan harta wakafnya banyak dimainkan oleh Lembaga Wakaf Negeri-Negeri sama seperti yang dijalankan di Pakistan. Sebagai contoh, di negeri Karnataka, terdapat 20,939 harta wakaf yang berdaftar dengan Lembaga Wakaf tetapi Lembaga hanya mengurus secara langsung 42 institusi wakaf, manakala yang selebihnya diurus oleh Mutawalli wakaf. Program Jamabandi telah diadakan oleh Lembaga Wakaf Karnataka bagi memberi peluang kepada Mutawalli membentangkan akaun tahunan wakaf mereka di samping bertukar-tukar pandangan bagi menyelesaikan masalah yang wujud. Disamping itu diadakan konfrensi Mutawalli di beberapa daerah bagi menjelaskan peranan mereka sebagai Mutawalli dan menerangkan program-program yang diadakan oleh Lembaga Wakaf.

Pada tahun 1989 hingga 1990, lembaga telah memberi bantuan sebanyak Rs 70 lakhs kepada 600 institusi wakaf di Kartanaka. Program pembangunan harta wakaf merupakan aktiviti utama Lembaga. Pembangunan harta wakaf di kawasan bandar bermatlamatkan supaya institusi wakaf dapat berdikari dalam soal kewangan mereka. Ia juga bertujuan untuk mempertingkatkan potensi harta wakaf supaya dapat menyumbang dan membiayai kegiatan kebajikan dan sosial yang memberi faedah kepada masyarakat yang memerlukan. Majlis Wakaf Pusat telah memberi banyak pinjaman bagi membiayai banyak projek pembanguan wakaf di Kartanaka. Antara projek yang berjaya dilaksanakan ialah pembinaan 12 pusat perniagaan, antaranya shopping complex Hazrath Hameed Shah di Cubbanpet, Banglore, Pasar raya Hazrat Madar Shah di Facing Ashoka Road di Tumkur dan lain-lain. Disamping itu, Lembaga Wakaf Kartanaka telah membina Pusat Perubatan percuma khususnya untuk masyarakat muslim yang miskin yang mempunyai 20 katil, bank darah dan makmal. Salah satu peranan utama Pusat Perubatan ini adalah mengerakkan program imunisasi dimana ambulan dari pusat ini akan melawat beberapa daerah untuk memberi sutikan imunisasi, vitamin dan lain-lain bantuan perubatan khususnya untuk golongan kanak-kanak dan wanita. Banyak institusi wakaf di negeri ini juga menyediakan kelas jahitan secara percuma untuk golongan wanita muslim, menyediakan biasiswa, menganjurkan upacara perkahwinan secara beramai-ramai dan mendirikan hostel untuk para pelajar (Hasanuddin Ahmad, Ahmedullah Khan, 1997).

Di negeri Punjab, pada tahun 1988-1990 terdapat 35,148 harta wakaf yang berdaftar di bawah Lembaga Wakaf Punjab. 99% daripada harta wakaf di negeri ini secara langsung diurus oleh Lembaga Wakaf. Mengikut Akta Wakaf, Mutawalli wakaf dikehendaki menyumbang 7% kepada Tabung Wakaf. Tabung Wakaf ini digunakan untuk tujuan membiayai kos penyelengaraan, ubah suai, bil elektrik dan bil air masjid-masjid dan membayar gaji pekerja yang berkaitan. Lembaga Wakaf Punjab juga mengurus secara langsung Islamia High School, di Malerkotla, menyediakan fasiliti pendidikan untuk pelajar muslim termasuk biasiswa. Pada tahun 1990-1991, Lembaga Wakaf Punjab menjadikan pembangunan pendidikan sebagai aktiviti utamanya dengan membina 2 sekolah menengah, 3 sekolah tinggi, 8 sekolah rendah, 8 pusat latihan vokasional dan 7 pusat computer terutama untuk kemudahan masyarakat luar bandar yang miskin (Hasanuddin Ahmad, Ahmedullah Khan, 1997).

Peranan Islamic Development Bank (IDB)

IDB dalam usahanya untuk membangunkan potensi harta wakaf telah menubuhkan Awqaf Properties Investment Fund (APIF) yang ditubuhkan pada tahun 2001. Penubuhan tabung ini dengan misi untuk mempromosi, membangunkan harta wakaf di seluruh dunia serta membangkitkan kesedaran umat Islam terhadap kepentingan wakaf. Matlamat utamanya adalah pelaburan dalam hartanah wakaf yang mempunyai kepentingan sosial dan ekonomi. Modal permulaan APIF adalah sebanyak US$ 55 juta hasil sumbangan menteri-menteri wakaf, institusi wakaf, institusi kewangan Islam termasuk IDB sendiri (APIF Annual Report, 1423H (2002-2003).

Di samping menggunakan bentuk pembiayaan yang diperakui oleh syariah, APIF pada tahun 2005 telah memperkenalkan panduan pelaburan BOT, sebagai panduan dalam penyertaan pelaburan hartanah wakafnya bersama organisasi-organisasi wakaf yang lain. Semenjak tahun 2006, APIF telah meluluskan 8 projek yang keseluruhannya berjumlah sebanyak US$63.88 juta di 8 buah negara. Secara kumulatif, APIF telah meluluskan 39 projek di lapan buah negara anggota dan 1 projek di negara bukan anggota yang berjumlah US$198.93 juta. Lebih dari 75% pembiayaan projeknya diasaskan kepada leasing mode of financing (IDB Annual report 1426H).

RUMUSAN DAN KESIMPULAN

 Artikel ini membuktikan harta wakaf mampu berperanan di dalam masyarakat Islam sama ada mereka sebagai masyarakat majoriti atau minoriti. Namun kejayaan dan keberkesanan institusi wakaf banyak bergantung kepada pengurusan wakaf yang dinamik dan sistem perundangan wakaf yang memberi ruang luas kepada pembangunan harta wakaf tersebut. Walau bagaimanapun, harta wakaf yang boleh menyumbang kepada pembangunan adalah dalam bentuk wakaf umum. Masih banyak harta wakaf yang terdapat di negara-negara umat Islam yang masih belum dibangunkan kerana ciri khususnya, lokasi, kekurangan dana, pentadbiran dan pengurusan yang lemah dan lain-lain masalah yang menghambat pembangunannya. Terdapat kecenderungan di sesetengah negara Islam memperkembangkan potensi wakaf tunai kerana ciri dinamik, mudah diurus, partisipasi masyarakat yang lebih meluas dan penjanaan pendapatan melalui aktiviti pelaburan yang mudah dihalakan untuk tujuan yang lebih meluas. Kejayaan sesebuah negara membangunkan potensi wakafnya, kerana peranan yang dimainkan oleh badan/yayasan atau lembaga wakaf/mutawalli/nazir yangmemberikan perhatian khusus kepada aktiviti-aktiviti dan program-program pembangunan harta wakaf.

Pembangunan harta wakaf berkait rapat dengan sumber pembiayaannya sama ada sumber tersebut dating dari orang ramai atau penggunaan instrumen atau mod kewangan Islam. Pengalaman WARESS di Singapura boleh dijadikan model bagaimana ia mampu menggunakan instrumen kewangan Islam dan pengurusan profesional untuk membangunkan harta wakaf walaupun ia hanya mempunyai 100 harta wakaf di seluruh Singapura dimana 65 diurus secara langsung oleh MUIS dan bakinya diurus oleh pemegang amanah yang dilantik oleh MUIS (jumlah aset harta wakafnya dianggarkan berjumlah S$250 juta). Pengalaman Bangladesh dalam memperkenalkan Wakaf Tunai yang dikendalikan secara profesional oleh SIBL dan Bank Islam sebagai satu sektor baru dalam sistem perbankannya juga harus dicontohi dan dikembangkan di Malaysia. Perbankan Islam di Malaysia perlu mewujudkan sector voluntary iaitu sektor non-formal bank yang memberi tumpuan khusus kepada penawaran dan pembangunan wakaf tunai melalui prinsip mudarabah bagi memperluas dan memperkembangkan wakaf di negara ini, supaya manfaatnya bertambah meluas bukan sahaja dari perspektif keagamaan, kebajikan tetapi turut menyumbangkan kepada pembangunan ekonomi umat Islam. Dengan mengambil semangat dari pelaksanaan wakaf tunai di Bangladesh, artikel ini mencadangkan supaya kajian dibuat untuk melihat kemungkinan penubuhan dan pelaksanaan Bank Wakaf di Malaysia. Bagi mencapai tujuan-tujuan di atas, dicadangkan supaya ditubuhkan satu Pusat Kajian Wakaf Malaysia (IKWAM) yang dikendalikan oleh pihak universiti dengan kerjasama pihak-pihak lain yang berkaitan seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji serta Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, bagi membuat penyelidikan berkaitan wakaf dengan mengembelingkan semua kepakaran bagi menyediakan input-input berguna untuk pembangunan harta wakaf di negara ini khasnya dan negara-negara yang lain amnya.

NOTA

Artikel ini merupakan Kertas Kerja yang telah dibentangkan di Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama UiTM Johor, UTM, UM, UIAM, YPEIM, IKIM, JAKIM dan YADIM, The Legend Hotel, Kuala Lumpur, 12-14 September 2006.

RUJUKAN

Awqaf Propeties Investment Fund, Annual Report 1423H.

Al-Auqaf Fi Daulah al-Arabiah 1998, Artikel Pelajar Universiti Al-Azhar.

Dian Masyita, Muhammad Tasrif, Abdi Suryadinata Telaga. 2005. A Dynamic Model for Cash Waqf Management as One of The Alternative Instruments for The Poverty Alleviation in Indonesia. The 23th International Conference of The System Dynamics Society Massachussets Institute of Technology (MIT), Boston, July 17-21, 2005.

Fazlur Rahman Kamsani dan DTZ Debenham Tie Leung. 2005. Islamic Real Estate Finance and Middle East Opportunities. Presentation at REDAS Seminar ‘Construction and Property Prospects 2005, Orchard Hotel, Singapore, 11 Jan 2005.

Ghanim A. Alshaheen (Dr.). 2004. Kuwait Awqaf Public Foundation’s Experience. Kertas Kerja Seminar Pembentukan Muamalah Dan ekonomi Berteraskan Islam, Anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, IKIM dan Johor Corperation, pada 12-13 Oktober 2004.

Habib Ahmad. 2004. Role of Zakaf and Awqaf in Poverty Alleviation. Jeddah, Islamic Development Bank.

Hasanuddin Ahmed, Ahmedullah Khan. 1997. Strategies To Develop Waqf Administration in India. Jeddah, Islamic Development Bank.

Husnayadi Herlisa SH MH. 2004. Aspek Hukum Pendaftaran Tanah Wakaf. Dalam Banjamasin Post. Jumaat, 9 Julai 2004.

Islamic Development Bank Annual Report, 1426H.

M.A.Mannan. 2001. Sertifikat Wakaf Tunai: sebuah Inovasi Instrumen Keuangan Islam (trj). CIBER, Gedung Rektorat Kampus Baru UI Depok.

______________. 1999. Fiqh Issues in the Revival of Awqaf. Paper presented at the Harvard

Forum on Islamic Finance and Economic, Harvard University, October 1, 1999

Majalah Al-Ahkam al-Syari’ah 1995, Maktabah wahbah Misr

Majalah Al-Ahkam Wa Adilah 1995, Maktabah wahbah Misr

Mohd Daud Bakar. Amalan Institusi Wakaf Di beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan dalam Konsep Dan Perlaksanaan Wakaf Di Malaysia, Nik Mustapha Nik Hassan (Pnyt.). Kuala Lumpur, IKIM.

Mohd Ridzuan Awang 1987, Konsep Undang-Undang Tanah Islam – Pendekatan Perbandingan. Kuala Lumpur : Al Rahmaniah

Monzer Kahf (Prof.Dr.) 1998. Financing The Development of Awqaf Property. Seminar On Development of Awqaf. IRTI. Kuala Lumpur, March 2-4, 1998.

Mustafa E.Nasution. 2002. Wakaf Tunai: Strategi Untuk Memyejahterakan dan Melepas Ketergantungan Ekonomi. Kertas Kerja Pemberdayaan Ekonomi Umat Melalui Wakaf Produktif, IIIT, Ditjen Bimas Islam dan Penyelengaraan haji, Deparment Agama RI pada 7-8 Januari 2002, Batam.

MUIS Annual Report 2004.

MUIS 2003, Khutbah Wakaf di Singapura.

Nik Mustafa Nik Hassan 1999 (penyunting), Konsep dan perlaksanaan wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: IKIM.

Paradigma Baru Wakaf di Indonesia. 2005. Direktorat Pengembangan Zakat dan Wakaf, Direktorat Jenderal Bimbingan Masyarakat Islam dan Penyelenggaraan Haji, Jakarta.

PMERAM, 2000. Waziratul Auqaf baina Al-Azhar wa Mujtami’ Misr.

Shamsiah Abdul Karim 2004, Wakaf Administration & Management In Singapore, Seminar Pembentukan Sistem Muamalah dan ekonomi berteraskan Islam.

Strategi Pengembangan Wakaf Tunai di Indonesia. 2004. Direktorat Pengembangan Zakat dan Wakaf, Direktorat Jenderal Bimbingan Masyarakat Islam dan Penyelenggaraan Haji, Jakarta.

Syed Khalid Rashid (Prof. Dr,). 2004. Certain Problems In The Administration Of Awqaf And What Future Hold For Waqf. Kertas Kerja Seminar Pembentukan Muamalah Dan ekonomi Berteraskan Islam, Anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, IKIM dan Johor Corperation, pada 12-13 Oktober 2004.

http://www.islamic-world.net/economic/waqf/waqaf_mainpage.html

http://www.islamic-world.net/economic/waqf/economic_mainpage.html

http://www.geocities.com/alazhar_mirc/index.htm

http://kuwait auqaf. Com

http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Egypt

http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Qatar

http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Jordon

http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Turki

http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/South Africa

The Independent, Independent-bangladesh.com

www.Bangladeshjournal.com

www.siblbd.com

www.tabungwakaf.com

www.Singstat.gov.sg

www.muis.gov.sg

www.dompetdhuafa.org

 

Monday, January 19, 2015

Pembangunan Harta Wakaf: Pengalaman Indonesia dan Bangladesh (Siri 2)


Pengalaman Indonesia

Pengalaman wakaf Singapura yang menampakkan ciri-ciri dinamik, kurang bermasalah dan membawa kesan yang memberangsangkan kepada kebajikan umat Islam dan perkembangan Islam di sana, tetapi keadaan ini berbeza di Indonesia. Perkembangan wakaf di Indonesia masih mencari paradigma baru, membuat pembaharuan ke atas undang-undang wakaf, mencari bentuk pengurusan dan pembangunan harta wakaf yang benar-benar memberi kesan kepada umat Islam di sana yang rata-rata masih berada dalam putaran ganas kemiskinan. Walaupun wakaf sudah lama dikenali oleh masyarakat Islam Indonesia, tetapi yang lazim melakukan wakaf adalah segelintiran golongan yang berharta yang banyak mewakafkan harta dalam bentuk harta yang tidak bergerak.

Sementara sebahagian besar masyarakat tidak mampu berpartisipasi dalam kegiatan wakaf kerana keterbatasan harta mereka. Oleh kerana itu, manfaat dari harta wakaf masih relative kecil bahkan banyak kegiatan wakaf yang tidak dapat dimanfaatkan secara optima, apatah lagi untuk membangunkannya. Hal ini menyebabkan tidak nampak peranan wakaf dalam perkembangan ekonomi Indonesia. Antara sebab menyebabkan perkara ini menurut Mustafa E. Nasution (2002) ialah, masalah yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan wakaf, masyarakat yang masih mengutamakan sistem ekonomi non syariah, belum wujudnya undang-undang wakaf yang menyeluruh dan berbagai masalah yang berkaitan dengan fiqh wakaf.

Apabila kita menyoroti perkembangan wakaf di Indonesia, terdapat tiga periode pengurusan wakaf Indonesia, iaitu periode tradisional, periode semi-profesional dan profesional. Pada periode tradisional, hampir kebanyakan wakaf diperuntukkan untuk kepentingan pembangunan fizikal seperti pembinaan masjid, musolla, pasentren, tanah perkuburan dan yayasan. Kewujudannya belum dapat memberi sumbangan sosial yang lebih luas dan hanya bersifat pengunaan.  Keadaan ini disebabkan oleh beberapa faktor, pertama, ikrar wakaf. Masyarakat Indonesia masih ramai yang menggunakan pernyataan lisan dalam berwakaf tanpa disertai dengan bukti bertulis sehingga banyak harta wakaf yang hilang setelah diurus oleh beberapa generasi. Kedua, harta yang diwakafkan lebih banyak melibatkan harta-harta tak alih yang tidak dapat dibangunkan secara maksima. Ketiga, tidak menerima konsep istibdal kerana majoriti umat Islam di Indonesia yang berpegang kepada mazhab Syafie yang berpendapat harta wakaf tidak boleh ditukar dengan apa alasan sekalipun

Pada periode ini juga, menyaksikan pengurusan harta wakaf selalu diuruskan oleh nazir wakaf yang terdiri dari tokoh-tokoh masyarakat yang dihormati seperti kyai, ustaz, ulamak dan lain-lain. Kebanyakan nazir wakaf tersebut tidak mempunyai keupayaan untuk mengurus harta wakaf sehingga harta tersebut tidak dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat. Disamping itu, pengurusan wakaf di Indonesia menghadapi masalah undang-undang wakaf yang masih belum dapat diselesaikan. Belum wujud ketegasan hukum berkaitan dengan penyelewengan harta wakaf yang dilakukan oleh nazir wakaf sama ada oleh orang perseorangan, yayasan dan sebagainya.

Undang-undang wakaf yang wujud adalah sangat terbatas yang berkaitan dengan wakaf tanah hak milik seperti UU No.5, tahun 1960 tentang undang-undang pokok Agraria, PP No.28 tahun 1977. Undang-undang yang berkaitan dengan wakaf wang (cash waqf), surat-surat berharga dan lain-lain bentuk wakaf belum diwujudkan sedangakan ia menjadi variable ekonomi yang cukup penting (Strategi Pengembangan Wakaf Tunai di Indonesia, 2004).

Pengertian wakaf menurut PP No.28 tahun 1977 ialah “perbuatan hokum seseorang atau badan hukum yang memisahkan sebahagian dari harta kekayaannya berupa tanah milik dan melembagakannya selamanya untuk kepentingan peribadatan atau keperluan umum lainya sesuai ajaran agama Islam” (Hunayadi Herlisa SH MH, Banjarmasin Post, 9 Julai 2004). Dari definisi ini, jelas wakaf di Indonesia hanya terhad kepada tanah sedangkan wakaf itu dalam Islam boleh berupa harta alih dan harta tak alih. Walaupun pendaftaran tanah wakaf merupakan sesuatu yang perlu dilakukan oleh nazir melalui PP No 28/1977 dan PP No 24/1997, tetapi terdapat beberapa halangan dalam pendaftaran tanah wakaf seperti ketiadaan surat atau geran tanah yang menyulitkan pendaftaran tersebut dilakukan dan terdapat anggapan bahawa walaupun tanpa geran/sijil, hukum wakaf tetap berjalan atau diteruskan melalui pembuktian lisan sahaja atau keterangan dari orang lain (Hunyadi Herlisa SH Mh, Banjamasin Post, Julai 2004).

Pada periode semi profesional pula, pengurusan wakaf di Indonesia walaupun tidak banyak berbeza seperti periode tradisional, namun wujud usaha-usaha untuk membuat pembangunan terhadap wakaf secara produktif walaupun belum maksima. Sebagai contoh masjid-masjid yang terletak di kawasan strategik dibangunkan bersamanya bangunan yang boleh digunakan untuk aktiviti pertemuan orang ramai, perkahwinan dan seminar seperti masjid Sunda Kelapa, masjid Pondok Indah, masjid At-Taqwa Pasar Minggu, masjid Ni’matul ittihad Pondok yang semuanya berada di Jakarta. Selain itu, tanah-tanah wakaf dibangunkan aktiviti pertanian, kedai-kedai, koperasi, kilang padi, bengkel dan sebagainya dimana hasil dari kegiatan ini disalurkan untuk pengembangan aktiviti pendidikan terutama untuk Pesantren walaupun dalam bentuk yang masih tradisional, contohnya, Pondok Pesantren Moden As-Salam Gontor, Ponorogo. Pengembangan wakaf untuk tujuan kesihatan seperti yang dilakukan oleh Yayasan Wakaf Sultan Agung, Semarang dan untuk tujuan pengembangan wacana pemikiran Islam dilakukan oleh Yayasan Wakaf Paramadina (Strategik Pengembangan Wakaf di Indonesia, 2004).

Pada periode profesional pula, pengurusan wakaf di Indonesia memasuki tahap baru yang lebih dinamik serta diurus dengan lebih profesional dan produktif. Pengurusannya yang lebih profesional meliputi aspek pengurusan, nazir wakaf dan bentuk harta wakaf yang bukan sahaja berupa harta tak alih tetapi juga meliputi harta alih dengan dukungan dari political will pihak pemerintah Indonesia.

Pada tahap ini, telah dikembangkan satu bentuk wakaf baru yang sedang dipopularkan di Indonesia, iaitu wakaf tunai/wang/al-nuqud yang mengambil model apa yang telah dikembangkan di Bangladesh oleh Prof. M.A. Manan yang mengasaskan Social Investment Bank Ltd. (SIBL) yang matlamat utamanya adalah untuk membantu golongan miskin dengan menggunakan pendekatan kemanusiaan terhadap kredit, tanpa riba dan pembahagian keuntungan dan kerugian berdasarkan kemanusiaan. SIBL juga telah memperkenalkan produk Sijil Wakaf Tunai yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah perbankan iaitu dengan mengumpulkan dana dari golongan kaya dan hasil keuntungannya akan disalurkan kepada rakyat yang miskin.

Rangka kerja wakaf tunai ialah dimana seseorang menyumbangkan sebahagian dari wangnya dengan membeli sijil wakaf tunai melalui nazir wakaf. Sijil tersebut boleh dibeli di atas nama keluarganya atau seseorang walaupun telah meninggal dunia dengan tujuan tertentu seperti program bantuan kepada fakir miskin, kebajikan, pendidikan dan lain-lain. Nazir wakaf yang mengelola wakaf tunai tersebut kemudian melaburkannya ke dalam berbagai portfolio seperti bank syariah dalam atau luar negeri, perniagaan tertentu dan lain-lain aktiviti yang diperakui oleh syariah dan membawa keuntungan yang tinggi. Keuntungan dari aktiviti pelaburan tersebut akan digunakan untuk tujuan di atas (Dian Masyita et al, 2005).

Wakaf tunai ini juga boleh dikembangkan untuk tujuan pembiayaan pembangunan harta-harta wakaf terutama dalam sektor hartanah secara percuma kecuali kos untuk menguruskan pinjaman. Wakaf tunai boleh dijadikan sebagai pinjaman untuk membangunkan harta-harta wakaf yang datangnya dari sumbangan individu, institusi dan kerajaan. Wakaf tunai juga boleh menerima sumbangan yang khusus bagi membangunkan harta wakaf yang tertentu seperti mendirikan bangunan, peralatan, perabot dan lain-lain atau untuk membiayai pembangunan pendidikan dan institusi kesihatan (Monzer Kahf,1998).

Pengwujudan dan pemarkasaan wakaf tunai ini di Indonesia telah dikembangkan oleh Dompet Dhuafa Republika yang merupakan sebuah lembaga bukan bermotif keuntungan yang diasaskan pada awal tahun 1993 oleh sekumpulan wartawan iaitu Parni Hadi, Haidar Bagir, S. Sinansari Ecip dan Eri Sudewo. Lembaga ini mempunyai misi kemanusiaan membantu golongan dhuafa melalui pengwujudan dana ZISWAF (Zakat, Infaq, Shadaqah, Wakaf). Dompet Dhuafa ini kemudian telah diterima sebagai lembaga amil zakat oleh Menteri Agama Indonesia pada tahun 2001 (www.dompetdhuafa.org).

Kemudian diperkenalkan pula satu bentuk wakaf baru lanjutan dari wakaf tunai yang dinamakan sebagai wakaf investasi yang diwujudkan oleh Dompet Dhuafa melalui penubuhan Tabung Wakaf Indonesia. Dompet Dhuafa berperanan sebagai Nazir Wakaf sesuai dengan undang-undang Nombor 41/2004 iaitu membenarkan satu badan profesional yang berperanan mengembang dan membangunkan secara optima potensi wakaf (www.tabungwakaf.com).

Tabung Wakaf Indonesia mempunyai visi membangkitkan peranan wakaf sebagai pengerak dan pembangkit ekonomi umat dengan sasaran seluruh lapisan masyarakat yang memiliki kemampuan untuk berwakaf. Tabung Wakaf Indonesia merupakan projek perintis awal ke arah penubuhan Bank Wakaf Indonesia, sebagai mekanisme yang memudahkan umat Islam Indonesia untuk berwakaf dan pengembangan dana wakaf untuk kemudahan sosial dan pelaburan dalam sektor yang produktif berasaskan syariah. Seterusnya manfaat dari pelaburan tersebut akan disalurkan untuk kemaslahan ummah, wakif (sebagai sedekah jariah), ma’wquf alaih (penerima wakaf-meningkatakan kualiti hidup khususnya dhuafa) dan rakan kongsi nazir wakaf (mafaat secara tidak langsung)(www.tabungwakaf.com).

Walaupun wakaf tunai telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia kurang mendapat sambutan berbanding wakaf harta tak alih seperti tanah. Menurut Pengarah Tabung Wakaf Indonesia, Herman Budianto, proses sosialisasi wakaf tunai masih belum menampakkan hasil kerana kurang kefahaman masyarakat Indonesia mengenainya. Semenjak dilancarkan pada bulan Julai 2005, Tabung Wakaf Indonesia (TWI) hanya baru mengumpulkan wang tunai sebanyak Rp 100 juta sedangkan matlamatnya untuk mengumpul Rp 2 Miliar. Oleh kerana kurang kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenainya, TWI telah melancarkan kempen dan pemasaran mengenainya dan berusaha untuk menjadi satu unit yang terpisah dari zakat. Wakaf wang yang dikumpulkan, sebahagiannya akan disalurkan kepada kegiatan sosial dan amal di daerah yang berkaitan dan 10% dari hasil pelaburannya untuk membiayai kos operasi. Dana wakaf tersebut akan dilaburkan dalam bank syariah (Republika, 19 Oktober 2005).

Ketiadaan Peraturan Pemerintah (PP) yang jelas mengenai pengelolaan atau pengurusan wakaf di Indonesia telah menyebabkan perluasan Tabung Wakaf Indonesia ke seluruh Indonesia terutama di wilayah yang berpendapatan tinggi seperti Surabaya, Bandung, Kalimantan Timur dan Batam tidak berjalan lancar. Walaupun undang-undang No. 41 tahun 2004 ada menyebutkan tentang undang-undang wakaf tetapi masih terlalu umum. Pengembangan Tabung Wakaf Indonesia memerlukan satu Peraturan Pemerintah yang jelas mengenai siapakah yang layak mengeluarkan sijil (sertifikasi) wakaf supaya mendapat kepercayaan dari pewakif (Republika, 2 Februari 2006).

Secara umumnya, pembangunan dan pengembangan wakaf di Indonesia mula menuju kepada satu pradigma baru wakaf. Walau bagaimanapun, dalam menuju perubahan paradigma tersebut ia berhadapan dengan beberapa cabaran. Antara cabarannya ialah bagaimana untuk mensosialisasikan bentuk wakaf tunai ke dalam masyarakat Islam Indonesia, sedangkan bentuk wakaf tersebut telah berjaya dilaksanakan di Mesir, Moroco, Kuwait, Turki, Bangladesh, Qatar dan negara-negara lain. Rata-rata masyarakat Indonesia masih popular dengan wakaf tanah dan bangunan yang digunakan untuk tempat ibadah dan pendidikan.Sedangkan manfaat wakaf tunai lebih luas lagi peranannya dalam masyarakat.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) hanya mengeluarkan fatwa mengharuskan wakaf tunai pada 11 Mei 2002. Cabaran lain ialah meningkatkan nilai profesionalisme nazir wakaf, kerana masih ramai nazir wakaf yang tidak mempunyai kemampuan untuk mengurus harta wakaf sehingga ia mampu dikembangkan potensinya secara maksima. Cabaran lain ialah keperluan untuk menubuhkan sebuah Badan Wakaf Nasional/Indonesia yang berperanan untuk mengerakkan dana-dana wakaf, mengkoordinasi nazir-nazir wakaf dan membangunkan harta wakaf yang diamanahkan kepadanya samada berupa harta alih atau tak alih (Pardigma Baru Wakaf di Indonesia, 2004, Mustafa E.Nasution, 2002).

Pengalaman Bangladesh

Negara Bangladesh mempunyai senario sosio-ekonomi yang hampir sama dengan Indonesia. Mempunyai penduduk kira-kira 120 juta orang, iaitu negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu 717 orang per km persegi. Pendapatan per kapitanya pada tahun 2004 adalah di bawah US$440, di mana rata-rata masyarakatnya masih berada dalam kemiskinan. Senario ini melatarbelakangi pengenalan Sijil Wakaf Tunai di Bangladesh dengan peranan penting dimainkan oleh Social Investment Bank Limited (SIBL).

Sijil Wakaf Tunai yang menjadi produk SIBL merupakan produk yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah perbankan. SIBL telah menyediakan tiga sektor dalam sistem perbankannya iaitu Formal Banking Sector, Non Formal Banking Sector dan Voluntary Banking Sector. Sijil Wakaf Tunai termasuk di dalam sektor voluntary bank.

Wakaf Tunai SIBL memberikan peluang yang unik kepada umat Islam di Bangladesh terutama dari golongan yang berpendapatan tinggi untuk membuat pelaburan dalam bidang keagamaan, pendidikan dan perkhidmatan sosial.

Pendapatan yang dapat dijana melalui wakaf tunai tersebut digunakan mengikut berbagai tujuan sama seperti tujuan harta wakaf. Wakaf tunai yang ditawarkan adalah merupakan satu wakaf yang selaras dengan kehendak syariah di mana bank mengurus wakaf tunai bagi pihak waqif. Wakaf tunai tersebut adalah berkekalan (menjadi deposit yang berkekalan dan tidak boleh dikeluarkan) dan para waqif mempunyai kebebasan memilih tujuan-tujuan wakaf mereka sendiri atau tujuan-tujuan tertentu yang telah dikenal pasti oleh bank (www.siblbd.com).

Selain SIBL menawarkan sijil wakaf tunai, Islami Bank Bangladesh (Ltd) atau IBBL turut menawarkan wakaf tunai yang dikenali sebagai Mudaraba Waqf Cash Deposit Account (MWCDA). Melalui skim ini, simpanan boleh dilakukan oleh golongan yang berkemampuan bagi digunakan untuk tujuan wakaf. Wang tersebut akan dijana bagi digunakan untuk tujuan-tujuan kebajikan seperti pendidikan, kerja-kerja kemanusiaan, dakwah, sosial dan sebagainya. Deposit wakaf tunai tersebut menjadi wakaf dengan menggunakan prinsip mudarabah di mana bank akan mengurus wang tersebut bagi pihak waqif. Untuk menyertai skim ini, seseorang itu dikehendaki mendepositkan wangnya paling minimum sebanyak 50 ribu taka dengan bank yang akan mengeluarkan satu resit wakaf. Pihak bank akan melabur atau menjana wang tersebut melalui prinsip mudarabah dengan keuntungannya akan digunakan untuk tujuan-tujuan kebajikan atau tujuan yang telah ditentukan oleh waqif (The Bangladesh Journal, Julai 2, 2004).

Pada tahun 2005, IBBL telah mengagihkan 85% dari pendapatan pelaburan melalui Tabung Mudarabah ke dalam skim-skim mudarabah yang diwujudkannya dimana 11.22% diagihkan ke dalam Mudaraba Waqf Cash Deposit Account (The Independent, Independent-bangladesh.com). Manfaat dari pengenalan Sijil Wakaf Tunai ini di Bangladesh akan dapat menyelesaikan isu pembangunan harta wakaf yang sering menghadapi masalah untuk mendapatkan dana bagi membangunkannya seperti membina premis perniagaan untuk disewakan bagi menjana pendapatan untuk membiayai kegiatan-kegiatan kebajikan yang dibenarkan oleh Syariah. Di samping itu, Sijil wakaf tunai juga dapat mengubah kebiasaan lama di mana orang yang berwakaf hanya melibatkan orang-orang kaya atau yang mempunyai harta sahaja.

Sijil Wakaf Tunai yang diwujudkan oleh SIBL dibuat dalam sekitar US$21 yang mampu dibeli oleh sebahagian besar masyarakat Islam. Melaluinya ia dapat menjadi satu alat penyusunan semula masyarakat dan pembangunan di mana majoriti umat Islam akan dapat berpartisipasi dalam usaha-usaha tersebut. Sijil Wakaf Tunai ini amat penting disosialisasikan ke dalam masyarakat Islam Bangladesh kerana pada tahun 1986, terdapat 150,593 wakaf tanah yang digunakan untuk bermacam-macam tujuan. Pada tahun 1983, terdapat 131,641 masjid dimana 123,000 adalah berasal dari tanah wakaf. Sijil wakaf Tunai ini juga boleh berperanan untuk memobalisasi dana bagi mengembangkan potensi harta wakaf tersebut di Bangladesh (M.A. Mannan, 2001).

Friday, January 9, 2015

PEMBANGUNAN HARTA WAKAF (Siri 1)


PENDAHULUAN

Artikel ini ditulis untuk membincangkan secara umum pembangunan harta wakaf di beberapa negara terpilih. Ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada umum tentang pendekatan dan program-program pembangunan hartawakaf di negara-negara tersebut. Pendedahan ini memberikan kita peluang untuk melihat apakah strategi-strategi, halangan dan pendekatan yang digunakan oleh negara tersebut bagi memantapkan pembangunan harta wakaf di negara mereka. Harta wakaf tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut kerohanian atau keagamaan semata-mata tetapi juga mesti dilihat dari perspektif yang lebih meluas. Malah, peranan wakaf juga perlu dilihat dari aspek potensinya kepada ummah terutama dalam hubungannya dengan pembasmian kemiskinan, penjanaan ekonomi umat Islam, kebajikan, pendemokrasian pendidikan,meningkatkan taraf hidup, meningkatkan syiar agama dan lain-lain tujuan. Di negara-negara Islam hari ini, terdapat kecenderungan baru untuk membangunkan harta wakaf dengan mewujudkan model-model dan pendekatan pembangunan harta wakaf yang berciri dinamik bagi menterjemahkan peranannya yang sangat penting dan menyeluruh.

KEPENTINGAN PEMBANGUNAN HARTA WAKAF

Pembangunan harta wakaf mempunyai matlamat untuk mengembalikan kebaikannya kepada masyarakat dengan motif utamanya adalah untuk kebajikan (wakaf am) dan juga memberi manfaat kepada ahli keluarga atau waris orang yang mewakafkan harta (wakif) tersebut (wakaf khas). Harta wakaf sudah tidak dinafikan lagi mempunyai potensi besar untuk membangunkan ekonomi umat slam dan dapat membiayai kegiatan sosial serta kebudayaan masyarakat Islam. Ia juga mampu menyediakan peluang-peluang pendidikan, membiayai kegiatan penyelidikan, memperbanyakkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan perbelanjaan pengurusan yang ditanggung oleh kerajaan dan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan (M.A. Mannan, 2001).

Potensi tersebut hanya dapat dicapai apabila harta wakaf ditadbir dan diurus secara profesional dan amanah dengan menggunakan pendekatan-pendekatan semasa dan berkesan yang berpaksikan kepada hukum syarak. Tetapi malangnya potensi ini belum dapat digembeling sepenuhnya bagi memberi manfaat kepada umat Islam akibat dari pelbagai masalah seperti pengurusan yang lemah, penyelewengan, kekurangan dana, isu-isu fiqh wakaf dan kekurangan inisiatif. Menurut Prof Dr. Syed Khalid Rashid (2004), kelemahan pengurusan wakaf semacam sudah sinonim dengan pentadbiran wakaf. Sudah sampai waktunya pengembelingan potensi wakaf perlu dilakukan sepenuhnya bagi memberikan kesan yang positif kepada umat Islam sama ada mereka sebagai golongan minoriti atau majoriti di dunia hari ini.

Menurut Shaikh Zarqa, setiap apa yang berkaitan dengan wakaf adalah merupakan persoalan ijtihad dan kesemua ulamak sebulat suara berpendapat bahawa tujuan wakaf mestilah membawa kepada kebaikan (birr) (Monzer Kahf, 1999). Oleh kerana ia bersifat ijtihadi, maka ia bersifat fleksibel, terbuka kepada penafsiran-penafsiran baru, dinamik dan futuristik yang boleh dikembangkan potensinya sesuai dengan keperluan zaman dan meningkatkan ekonomi umat. Ia berbeza dengan zakat yang secara jelas dan berulang-ulang disebutkan dalam al-Qur’an dan Hadis sehingga zakat ditempatkan sebagai salah satu aspek ajaran slam yang qath’iyyud-dalalah (hukum Islam yang bersumberkan dalil yang jelas dan mutlak). Namun begitu, bentuk operasi zakat masih boleh mengalami berbagai pembaharuan supaya ia lebih maju dan berkesan. Sedangkan dasar hukum wakaf sangat sedikit disebutkan dalam al-Qur’an dan Hadis bagi memberi peluang kepada ruang ijtihad yang sangat luas yang sesuai dengan realiti yang ada (Paradigma Baru Wakaf di Indonesia, 2005). Menurut Dr.Monzer Kahf

“…..We must revise our classical Fiqh in areas that promote the establishment of new endowments and improve the benefits derived from existing one. Many Muslim socities and communities are rich in inherited endowment properties, but need to improve their capital benefit ratios “ (Monzer Kahf, 1999).

Pembangunan harta wakaf amat perlu dilakukan kerana harta wakaf tidak sepatutnya dibiarkan beku tanpa memberi sebarang nilai tambah. Ia merupakan tugas dan tanggungjawab nazir atau mutawwali wakaf untuk memperkembangkan harta tersebut supaya memberi manfaat kepada benifisari dan masyarakat Islam (Mohd Daud Bakar, 1999). Pembangunan, pengembangan dan pelaburan harta wakaf boleh menggunakan instrumen kewangan yang diguna pakai dalam sistem kewangan Islam semasa. Mengikut Dr. Monzer Kahf (1998) terdapat beberapa bentuk pendekatan kewangan Islam yang boleh diguna pakai khususnya oleh nazir wakaf bagi mencapai matlamat tersebut, antaranya Murabahah, Istisna’, Ijarah, Mudharabah, Syarikat al-milk dan lain-lain. Contohnya melalui kontrak dalam bentuk Murabahah memerlukan nazir wakaf bertindak sebagai pengusaha yang mengurus proses-proses pelaburan, membeli peralatan-peralatan dan kelengkapan yang perlu melalui kontrak Murabahah, sementara bank Islam menyediakan sumber pembiayaan. Pengurus wakaf menjadi peminjam/pemiutang kepada institusi bank dan hutang ini akan dibayar melalui pembangunan harta wakaf. (Monzer Kahf, 1998). Pelaburan dan pengembangan harta wakaf boleh dilakukan melalui pelaburan dalam pasaran saham secara langsung atau pelaburan melalui amanah saham atau melalui pelaburan di skim perbankan Islam melalui instrumen sistem kewangan Islam (Mohd Daud Bakar, 1999).

Kajian Habib Ahmad (2004) merumuskan bahawa institusi wakaf boleh diperkasakan melalui peningkatan kualiti dan kuantiti wakaf. Antaranya dengan membuat pelaburan dalam membangunkan harta tersebut bagi meningkatkan pulangan hasilnya. Contohnya, kajian Islamic Research and Traning Institute (IRTI) (2000) terhadap 46 sample harta wakaf di Kuwait yang berada di bawah pentadbiran KAWF, hanya 28 telah dibangunkan, manakala 18 darinya tidak dibangunkan. Sedangkan jika sekiranya dibuat pelaburan sebanyak US$2.8 juta untuk membangunkan keseluruhan harta wakaf tersebut ia boleh menjana pendapatan tahunan sebanyak US$0.46 juta. Kajian yang sama dibuat di India, dimana 32 harta wakaf yang dijadikan sample, hanya 2 dibangunkan, manakala 30 tidak dibangunkan. Sekirannya dibangunkan ia boleh menjana pendapatan sebanyak US$126.547 (Habib Ahmad, 2004).

PENGALAMAN SINGAPURA DALAM MEMBANGUNKAN HARTA WAKAF

Mengikut bancian tahun 2000, orang Melayu di Singapura hanya berjumlah 453.600 orang atau mewakili 13.9 % dari jumlah komposisi kaum di Singapura,dimana 99.6% adalah beragama Islam (lihat www.Singstat.gov.sg). Data ini jelas menunjukkan umat Islam di sana adalah golongan minoriti dan tinggal di sebuah negara sekular. Bagaimanapun, kedudukannya itu tidak menghalang umat Islam di Singapura membangunkan harta wakaf secara inovatif bagi memenuhi kepentingan mereka. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah ditubuhkan pada tahun 1968 di bawah Administration of Muslim Law Act (AMLA) memainkan peranan yang utama di dalam mengurus dan membangunkan harta wakaf. Di bawah AMLA semua harta wakaf samada diwujudkan sebelum atau selepas 1hb. Julai 1968 hendaklah didaftarkan di bawah MUIS (Seksyen 64 (1)).

Pendaftaran harta wakaf tersebut mestilah dibuat dalam masa 6 bulan oleh mutawalli wakaf (pemegang amanah/pengurus wakaf) tersebut setelah wakaf itu dibuat (Seksyen 64(8)). Sekiranya gagal berbuat demikian maka ia boleh dikenakan denda tidak melebihi $5,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali (Seksyen 64 (11)). Di bawah MUIS, Pengurusan dan pembangunan harta wakaf di letakkan di bawah The Assets Management Cluster yang mempunyai empat bahagian iaitu Zakat & Wakaf Strategic Unit, Disbursement & Empowerment Strategic Unit, Halal Certification Strategic Unit dan Haji Service Strategic Unit.

Sebagai pemegang amanah atau mutawwali, MUIS mempunyai peranan untuk mengurus harta wakaf dengan baik, mempunyai kecekapan dalam mengurus dana-dana wakaf dan memaksimakan pontensi wakaf untuk faedah benefisari. Sebagai pemegang amanah, fungsi biasa MUIS adalah dalam bentuk pengemaskinian rekod wakaf, pendokumenan harta wakaf, menjaga akaun dan melakukan audit ke atas harta wakaf, perlantikan mutawwali wakaf serta mentadbir dan menguruskan harta wakaf di Singapura. Dalam soal pembangunan atau pengembangan harta wakaf bagi menjana dana atau memastikan harta wakaf tersebut dapat dibangunkan potensinya, maka satu anak syarikat telah ditubuhkan yang dikenali sebagai WARESS Investment Pte Ltd. Dengan penubuhan WARESS ini, terdapat pemisahan peranan kedua-duanya, iaitu MUIS hanya berperanan dalam bentuk yang telah disebutkan, manakala WARESS lebih berperanan dalam bentuk komersial. Pemisahan peranan ini telah memberikan banyak faedah, antaranya MUIS dapat memberikan tumpuan khusus kepada fungsi terasnya manakala WARESS memberikan penumpuan dalam aspek komersial. Ia juga akan meningkatkan keanjalan, keberkesanan dan kecekapan mengurus dan membangunkan harta wakaf di Singapura. Pemisahan ini juga menjadi penghadang kepada pemegang amanah wakaf dari sebarang risiko perniagaan dan boleh juga meningkatkan keuntungan

WARESS telah ditubuhkan pada 26 September 2001 dan memulakan operasinya pada bulan Januari 2002. Pengurusannya terdiri dari ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Besar dan Pengurus Operasi. Perniagaan utamanya adalah hartanah dan pengurusan projek,pengurusan sewaan dan pemasaran serta pelaburan hartanah. Dalam aspek pengurusan projek, peranan WARESS adalah untuk mengurus semua projek-projek yang dijalankan oleh MUIS termasuk rekabentuk, kontrak, pengurusan projek dan belanjawan. Manakala dalam pengurusan harta pula, peranan WARESS pula ialah mengurus semua harta-harta yang dimiliki oleh MUIS termasuk 69 buah masjid di Singapura. Semenjak dari penubuhannya, WARESS telah Berjaya membina 27 buah masjid, 25 projek penempatan komersial dan madrasah. WARESS juga terlibat dalam pengubahsuaian dan penjagaan masjid, mengurus Warisan Melayu (Malay Heritage) serta mengistibdalkan tanah-tanah wakaf yang kecil dan tidak ekonomikal kepada tanah atau bangunan yang berpotensi.

WARESS sentiasa mempastikan semua aktiviti hartanahnya adalah menepati kehendak syariah. Bentuk aset yang diakui oleh syariah adalah seperti perumahan/apartmen, ruang pejabat, taman industri/perniagaan dan kedai runcit. Bertitik tolak dari asas ini, WARESS membangunkan kegiatan hartanah dan pelaburannya. Salah satu dari kejayaan besar WARESS adalah menerbitkan S$25 juta Bon Musyarakah bagi membeli sebuah bangunan di 11 Beach Road bagi menggantikan 20 tanah wakaf MUIS yang berada di kawasan yang tidak berpotensi dan berada di luar zon perdana pembangunan. Majlis Fatwa Singapura telah membenarkan penukaran tanah wakaf yang tidak berpotensi kepada wakaf yang lebih berpotensi tinggi dilakukan. Bon ini merupakan bon Islam pertama diwujudkan di Singapura bagi membeli bangunan pejabat 6 tingkat yang berharga S$31.5 juta atau S$919 kaki persegi. Bon ini menggunakan dua prinsip iaitu Musyarakah (partnership) dan Ijarah (leasing). MUIS telah mengadakan perjanjian perkongsian dengan pihak pelabur bon untuk membeli bangunan tersebut dengan berkongsi untung dan rugi. Pihak MUIS menyumbang sebanyak S$9 juta, manakala pihak pelabur bon sebanyak S$25 juta, iaitu sumbangan modal dan perkongsian untung mengikut ratio 26.5% (MUIS) dan 73.5% (pelabur) (Fazlur Rahman Kamsani, DTZ Debenham Tie Leung, 2005).

Kejayaan tersebut diteruskan melalui penerbitan bon S$35 juta-Bencoolen Street (semuannya telah dilanggan oleh pelabur institusi) dengan menggunakan konsep yang sama. Penerbitan bon ini dilakukan bagi membangunkan kembali sebuah masjid lama untuk dijadikan sebuah kompleks mixed-use yang mengandungi sebuah masjid yang moden, 3 tingkat bangunan komersial dan 12 tingkat apartmen yang mengandungi 84 unit apartment yang lengkap dengan berbagai kemudahan. Terdapat tiga pihak yang terlibat dalam perjanjian Musyarakah ini iaitu MUIS, Dana Wakaf dan WARESS sendiri. Masjid dan 3 tingkat bangunan komersial adalah dipunyai oleh Dana Wakaf, iaitu bernilai S$8.44 juta (11.9%) manakala 12 tingkat apartment dipunyai oleh MUIS dan diurus oleh WAREES bernilai S$62.62 Juta (88.1%). Sumbangan modal adalah dari tiga pihak ialah MUIS sebanyak S$35 juta (88.8%), Dana Wakaf sebanyak S$4.719 juta (11.9%), iaitu S$4.2 juta nilai tanah dan ekuiti S$519,000 dan WAREES menyumbang kepada pengurusan sumber dan S$1.00 nominal cash.

WAREES yang mewakili MUIS telah mengadakan perjanjian Ijarah dengan Ascott bagi menguruskan apartment tersebut selama 10 tahun dengan jaminan pendapatan serendah S$1.3 juta pada tahun pertama dan S$1.8 juta untuk tahun kedua sehingga 10 tahun dengan perkongsian untung. Keuntungan dari Ijarah ini akan dibayar kepada pelabur bon sebanyak S$1,060,500 atau 3.3% setahun (Fazlur Rahman Kamsani, DTZ Debenham Tie Leung, 2005). WAREES juga terlibat sebagai pemaju bagi membangunkan tanah-tanah wakaf. Contoh kejayaan besar WAREES ialah membangunkan projek perumahan mewah The Chancery Residence. Pembangunan ini hasil kerjasama WARESS dengan pemegang amanah wakaf, iaitu Wakaf Yahya Lukmanji Saif. Keseluruhan dari 34 unit rumah ini telah habis dijual bagi menjana keuntungan dan mengembangkan aset wakaf MUIS. Projek mutakhir WAREES adalah membina semula sekolah wakaf Madrasah al-Maarif yang dipindahkan dari tapak asalnya tanah wakaf di Ipoh Lane ke lorong 39 Geylang dengan membangunkan sebuah madrasah yang mempunyai kemudahan fasiliti yang lengkap setinggi 8 tingkat. Bangunan baru ini hampir siap dibina dan akan digunakan pada tahun 2007. (www.muis.gov.sg).

Secara keseluruhannya, hasil dari pendekatan dan pengurusan yang professional, pada tahun 2004, Tabung Wakaf MUIS memperolehi pendapatan sebanyak S$6,886,523, S$9,486,653 (2003) dan S$4,584,408 (2000) melalui hasil sewaan (sumber utama), sumbangan orang ramai, dividen dan lain-lain sumber. Pada tahun 2004, S$804,340 telah diagihkan kepada benefisiari tempatan iaitu 48% untuk masjid, 34% pendidikan, 11% Madrasah, 2% untuk golongan yang susah, 2% organisasi dan 3% lain-lain (MUIS Annual Report 2004). Pada bulan Ogos 2006, Presiden MUIS telah mengumumkan pendapatan sewaan dari harta wakaf telah meningkat sebanyak 11%. Pengagihan dari pendapatan harta wakaf tahun 2006 adalah sebanyak S$1,230,840 meningkat dari S$1,131,620 pada tahun 2005. 90% (S$1,102,565) dari pendapatan ini diagihkan kepada benefisiari tempatan manakala 10% (S$128,275) kepada benefisiari luar (www.muis.gov.sg).

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...