Friday, December 12, 2008

Saya mula menulis melalui blog mulai April 2008. Ia diinspirasikan oleh Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang sudah terkenal sebagai salah seorang blogger yang popular. Saya terhutang budi dengannya, kerana melalui galakannya saya memberanikan diri menulis melalui blog. Dengan itu, ia menjadi medium yang paling mudah untuk menyalurkan ilmu atau pengalaman yang ditempuhi untuk dikongsi bersama oleh semua pembaca dan rakan maya. Saya tidak mengetahui latarbelakang pembaca blog saya, melainkan beberapa orang yang saya kenali. Bentuk penulisan blog saya adalah pelbagai. Ada masanya penulisan saya berbentuk ilmiah bagi menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan kelayak pembaca khususnya pelajar dari IPT. Melalui cara ini, ilmu yang saya ketahui akan dapat dikembangkan, seterusnya menjadi ilmu yang bermanfaat kepada semua. Ada masanya pula, penulisan saya berbentuk santai tetapi saya selitkan dengan unsur-unsur agama, motivasi, pengajaran dan nasihat sebagai satu instrumen dakwah.
Ada ketikanya saya kekeringan idea untuk menulis dan mengatur idea supaya menjadi satu tulisan yang baik. Blog perlu dikemas kini selalu. Dengan sebab itu, ia memerlukan komitmen untuk menulisnya. Ia memerlukan penelitian terhadap isu-isu semasa dan berfikir. Menulis blog membolehkan saya terus berfikir dan meningkatkan skill penulisan. Tiada siapa yang menyuruh kita menulis. Kepuasan blogger ialah apabila tulisannya dibaca dan dirujuk. Saya berdoa kepada Allah supaya diberikan idea, ilham dan kesungguhan untuk menghasilkan satu tulisan yang baik.

Thursday, December 4, 2008

Segamat yang banyak berjasa....

Tanggal 12 disember adalah hari terakhir saya di UiTM Johor sebelum bercuti dan berpindah bagi meneruskan pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya selama tiga tahun. Diam tak diam, sudah hampir 17 tahun saya berkhidmat di UiTM Segamat. Segamat banyak berjasa kepada saya. Anak-anak saya membesar di Segamat. Segamat menghadiahkan ketenangan hidup kepada kami sekeluarga. Jauh dari hiruk pikuk, pencemaran alam dan kesibukan kota raya. Di UiTM Segamat, kami bersama-sama rakan yang lain seperti sebuah keluarga besar. Memahami erti persahabatan dan mengambil tahu hal ehwal antara satu sama lain. Kami tidak hidup secara individualistic dan sentiasa berhubung antara satu sama lain dan dengan masyarakat sekitar. Segamat bukan sahaja sebuah daerah yang terkenal dengan keenakan durian tetapi cuacanya yang segar. Segamat juga banyak menyumbang kepada perkembangan kerjaya saya sebagai seorang pensyarah. Saya amat terhutang budi dengannya….
Melaui Segamat saya mula belajar menghasilkan penulisan artikel yang mula diterbitkan dalam Majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Tamadun dan majalah-majalah yang lain pada tahun 1990an. Apabila tulisan saya diterbitkan, saya amat teruja dan membacanya berulang-ulang kali. Dari penulisan artikel, saya memberanikan diri menulis buku. Buku pertama saya adalah “Pemikiran Islam Ismail al-Faruqi” yang merupakan hasil kajian ilmiah saya semasa menyambung pengajian di peringkat Sarjana di UKM. Buku ini diterbitkan dengan menggunakan modal sendiri. Saya menghabiskan kira-kira RM6000 untuk menerbitkan buku ini. Menerbitkan buku ilmiah memang tidak mendatangkan pulangan keuntungan dalam bentuk wang ringgit. Kebanyakan buku ini saya hadiahkan kepada perpusatakaan di universit-unversiti tempatan dan orang perseorangan. Bagi seorang penulis, kepuasan menghasilkan sebuah buku bukan dalam bentuk pulangan wang ringgit tetapi merasa puas apabila orang lain membaca buku kita dan menjadi rujukan dari generasi ke satu generasi. Saya menulis buku bukan kerana untuk orang menyanjung saya atau menjadi popular. Saya menulis buku untuk menyebarkan dan berkongsi apa yang saya tahu dengan masyarakat. Saya menghasilkan buku sebagai meneladani kegigighan ilmuwan silam yang menghasilkan karya-karya besar yang terus menerus menjadi rujukan sehingga kini. Saya terikat kata-kata Syed Jamaluddin al-Afghani, antara lain dia berkata bahawa orang berilmu hendaklah menjadi seperti lilin di mana-mana dia berada, dia haruslah menerangi hidup orang lain dan lingkungannya dengan ilmunya. Penulisan adalah satu wadah merealisasikan kata-kata di atas. Penulisan adalah satu jihad intelektual. Kerana ia menuntut pengorbanan, keazaman dan kesungguhan. Sebuah karya tidak akan dapat dihasilkan oleh mereka yang mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan intelektual yang tinggi tetapi tidak mempunyai sifat-sifat yang saya sebutkan.
Kajian saya ke atas pemikiran Prof. Ismail al-Faruqi banyak memberi kesan ke atas perkembangan intelek saya. Saya mengkagumi beliau semenjak dari bangku sekolah lagi. Beliau tokoh yang cukup terkenal pada dekad 80-an terutama dalam kerja-kerja Islamisasi ilmu. Pemikiran beliau banyak memberi kesan ke atas perkembangan sistem pendidikan Islam yang holistik dan moden. Serta menyumbang kepada kebangkitan Islam zaman moden bukan bukan dalam bentuk retorika tetapi menyediakan solusi praktikal ke atas permasalahan ummat Islam semasa. Beliau tokoh yang cukup prolifik menghasikan penulisan dalam pelbagai bidang termasuk minatnya yang mendalam mengkaji tamadun dan agama-agama non-Islam seperti Kristian dan Judaisme. Pengetahuan beliau yang mendalam dalam bidang perbandingan agama, menjadikan beliau seorang tokoh yang digeruni oleh ilmuwan Barat dan Yahudi terutama keupayaannya membongkar kelemahan dan penyelewengan agama-agama tersebut berdasarkan fakta-fakta dari agama itu sendiri tanpa menghina mereka. Kajian terhadap pemikiran beliau banyak membantu saya meningkatkan kefahaman terhadap Islam secara menyeluruh, rasional, memperkasa bahasa dan menimbulkan minat yang mendalam terhadap kegiatan penulisan sebagai medium dakwah. Keperitan saya memahami tulisan-tulisan al-Faruqi yang menggunakan gaya bahasa Inggeris yang tinggi dan sarat dengan istilah-istilah falsafah membentuk satu sikap kesabaran dalam diri saya. Ia menyuntik minat penerokaan lebih mendalam sesuatu disiplin ilmu walaupun kita tidak pernah mempelajari sebelum ini. Ia menanam satu sikap “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”.
II
Buku kedua yang saya hasilkan ialah Tamadun Asia. Buku ini pada asalnya merupakan nota-nota kuliah atau syarahan saya kepada pelajar. Tetapi nota-nota ini saya pertingkatkan dari masa ke semasa sehingga sempurna menjadi sebuah buku yang lengkap. Hampir dua tahun saya menyempurnakannya secara konsisten di sebalik kesibukan sebagai seorang pensyarah dan Koordinator. Di masa-masa yang terluang saya gunakan mencari bahan-bahan dan menambah fakta-fakta. Ia mengambil masa hampir dua tahun sebelum diterbitkan oleh UPENA. Ia telah mengalami berbagai proses penerbitan, bermula dari penilaian dari penilai luar, penyunting kandungan dan pembetulan manuskrip dari aspek ejaan, istilah, rujukan dan lain-lain. Tempoh yang panjang diambil dalam menerbitkan sesuatu karya memang tidak dapat dielakkan. Kerana UPENA bukan penerbit yang bermotifkan keuntungan tetapi menjaga kualiti penerbitannya setanding dengan penerbit Universiti lain. Saya sabar menanti kelahiran buku ini. Sebagai seorang penulis, saat yang paling dinantikan adalah berjayanya manuskrip tersebut menjadi sebuah buku yang sempurna. Itulah saat yang paling mengembirakan dan satu kepuasan yang hanya dirasai oleh penulis tersebut. Penulisan buku ini membawa minat saya mempelajari dan mendalami sejarah dan tamadun Asia seperti Jepun, China dan India. Setengah orang berpendapat bahawa mempelajari sejarah dan tamadun adalah membosankan kerana ia menceritakan apa yang telah berlaku dan tidak nampak signifikannya kepada kehidupan hari ini. Pendapat ini adalah tidak benar, kerana masyarakat yang maju adalah masyarakat yang bangga dengan sejarah mereka serta menjadikan kelemahan silam sebagai teladan dan kegemilangan silam sebagai motivasi serta kekuatan untuk memacu kegemilangan tamadun mereka pada masa hadapan. Bak kata Konfusius, belajar sejarah ibarat “menarik panah” iaitu kita melihat kebelakang sebelum panah tersebut memacu ke hadapan. Kata-kata hikmah ini membawa maksud, kalau kita ingin maju kehadapan, kita harus melihat ke belakang iaitu memahami sejarah Negara dan bangsa kita sendiri. Tamadun bukan hanya dibentuk oleh nilai-nilai kebendaan tetapi dibangunkan melalui penghayatan serta aplikasi dari nilai-nilai agama, etika, falsafah, pemikiran, pandangan hidup dan nilai-nilai murni oleh sesebuah masyarakat. Perit lelah menghasilkan buku ini terubat apabila pelajar-pelajar saya menjadikan buku ini sebagai rujukan utama mereka. Buku ini walaupun tidak sehebat buku-buku yang dihasilkan oleh penulis lain, tetapi saya tetap berbangga kerana melaluinya saya telah dipilih sebagai Penulis Terbaik Keseluruhan (Penulis Tunggal) dalam Majlis Sanggar Buku yang dianjurkan UPENA, UiTM pada tahun 2005.

Monday, December 1, 2008

Pagi tadi sebelum bertolak ke tempat kerja, isteri saya baru balik dari pasar tidak sabar-sabar menceritakan bahawa wanita tua yang mundar mandir di sebuah kedai seakan-akan ingin membeli sesuatu tetapi hanya memandang orang lain membeli belah. Isteri saya dengan perasaan rasa kasihan menghampiri wanita tersebut. Wanita itu sebenarnya tidak mempunyai wang. Beliau sudah kematian suami dan tidak mempunyai anak. Beliau hanya mempunyai seorang anak tiri. Anak itulah yang diharapkan mengirimkan kepadanya wang. Tetapi kadang kala menghampakan, kerana anak tirinya itupun tidak mempunyai kerja yang tetap. Setiap kali berjumpa wanita tersebut, isteri saya akan menghulurkan sedikit sumbangan kepadanya.
Ada seorang wanita lagi di tempat saya tinggal hidup melarat. Sekali sekala kalibatnya dapat saya lihat di sebuah stesyen minyak bekerja sebagai tukang sapu. Setiap kali saya mengisi minyak, wanita tua tersebut akan menghampiri saya meminta simpati. Saya bersimpati dengan kesusahan hidupnya. Wanita tersebut setiap hari berjalan kaki sekitar 2KM dari rumahnya untuk bekerja di stesyen minyak tersebut. Tetapi sejak kebelakangan ini, wanita tersebut tidak lagi bekerja di situ. Mungkin dia tidak diperlukan lagi. Setiap kali dia berjumpa saya, dia tanpa segan silu meminta duit dari saya. Saya pula tidak pernah menghampakannya...mungkin kerana desakan hidup, dia sanggup berbuat demikian.
Dua minggu lepas, selepas membeli ikan dan sayuran di pasar Jementah, saya didatangi oleh seorang pak cik tua yang kelihatan uzur dan bertongkat serta bercakap dengan loghat Kedah. Pak cik tua tersebut ingin menumpang kereta saya ke Muar, kerana beliau tidak mempunyai wang lagi. Saya bertanya latarbelakang dirinya. Dia menceritakan kepada saya, dia hidup sebatang kara. Dia pernah beristeri dan mempunyai seorang anak, tetapi sudah bercerai. Dia pun tidak tahu di mana anaknya tinggal. Dia kini uzur menghidapi penyakit kencing manis. Saya bersimpati kepadanya. dan memberinya wang kepadanya. Saya tahu beliau tidak menipu...
Kisah-kisah yang saya paparkan di atas bukanlah untuk memaparkan kebaikan saya. Tetapi watak-watak yang diwujudkan adalah untuk menguji iman dan sifat ihsan kita. kisah tersebut kalau dibuat kajian tentu mengandungi banyak 'rahsia' Allah di dalamnya. Betapa bersyukurnya kita diberi oleh Allah dengan nikmat rezeki yang melempah ruah. Di luar sana, terlalu ramai manusia yang susah yang tidak bernasib baik seperti kehidupan yang kita nikmati. Kita mempunyai deretan kereta dan duit yang mencukupi. Tetapi berapa peratuskah yang kita infaqkan di jalan Allah. Di dalam rezeki yang Allah lempahkan kepada kita, sebenarnya ada hak orang lain yang perlu kita berikan kepada mereka. Watak-watak manusia di atas di wujudkan untuk menguji kita sama ada kita bersifat bangkhil atau sebaliknya. Ataupun untuk memberi tahu kita bahawa dulu kita juga susah seperti mereka. Tetapi apabila kita senang, kita merasa sombong dan lupa dengan kesusahan orang lain. Kadang kala menghina mereka pula dengan mengemburkan kata-kata nistaan...

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...