Friday, March 26, 2010

Catatan Umrah 2010: Transit sehari di Karachi

Pada tanggal 13 Mac hingga 23 Mac 2010, saya bersama isteri sekali lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk mengerjakan ibadah umrah. Kali ini, saya bersama rombongan seramai 131 orang telah transit sehari di Karachi, Pakistan. Kesempatan yang ada dibawa melawat beberapa tempat bersejarah di Karachi sambil membeli belah terutama barangan kulit yang jauh lebih murah berbanding di negara ini. Karachi adalah bandar yang terlalu sesak dengan manusia, hampir 26 juta manusia mendiami bandar ini. Hampir menyamai jumlah populasi Malaysia. Kesesakan bandar ini ditambah dengan sistem perbandaran yang tidak teratur, hiruk pikuk dengan manusia dan masyarakatnya yang masih tidak menjaga kebersihan. Di sebuah bazaar yang sempat kami lawat, sampah sarap terdapat di sana sini tanpa dikutip. Kami berjalan dalam timbunan sampah sarap di celah-celah bangunan hingga sampah sarap bergantungan di dinding-dinding bangunan bazar tersebut.Kami sempat juga dibawa melawat masjid al-Tooba yang siap dibina pada tahun 1969, hasil rekaan arkitek terkenal Pakistan Dr. Babar Hameed. Keunikan masjid ini ialah binaannya yang tidak bertiang, dibuat dari batu-batu jed dan suara imam boleh didengar di keseluruhan masjid tanpa menggunakan pembesar suara. Masjid ini boleh menampung kira-kira 5000 orang jemaah dalam satu-satu masa. Kami juga dibawa melawat makam pengasas negara Pakistan. Makamnya terletak di satu kawasan yang luas dikunjungi oleh ramai rakyat Pakistan. Berada sehari di Karachi agak merimaskan kerana mereka suka meminta tips dalam setiap urusan yang hendak dibuat. Hatta masuk tandaspun mereka minta tips. Mereka amat suka berurusan dengan menggunakan ringgit Malaysia berbanding mata wang mereka sendiri.










Tuesday, March 9, 2010

Perkara 153: Kritikan Orang Melayu Dalam Tahun 1958

Pengwujudan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan melalui Perkara 153 dengan justifikasi bagi membantu meningkatkan sosioekonomi orang Melayu merupakan satu dasar yang difahami oleh kaum bukan Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Sebahagian dari kaum bukan Melayu tidak membantah hak istimewa tersebut diberikan kepada orang Melayu tanpa limitasi masa dan biarlah orang Melayu menentukan sendiri sama ada mereka memerlukan perlindungan tersebut atau sebaliknya. Mereka berpendapat kaum bukan Melayu seharusnya menawarkan pertolongan yang jujur bagi membangunkan ekonomi orang Melayu sehingga mereka boleh berdiri di atas kaki mereka sendiri dan bersaing dengan kaum lain berasaskan kepada peluang yang sama rata. Sehingga akhirnya orang Melayu berfikiran bahawa kedudukan hak istimewa tersebut tidak diperlukan oleh mereka lagi . Sebahagian dari kaum bukan Melayu walaupun mengiktiraf kedudukan hak istimewa orang Melayu tetapi dalam masa yang sama, mereka mahukan hak istimewa tersebut tidak diberikan selama-lamanya kepada orang Melayu. Mereka mengharapkan peruntukan tersebut tidak membawa kepada ketidak adilan kepada kaum bukan Melayu dan menjejaskan hak sivil mereka. Perkara ini disebutkan oleh S.M. Yong di Dewan Undangan Persekutuan pada 10 Julai 1957. Katanya;

I agree that economically and financially the Malays are not as strong as the non-Malays. The greater part of the wealth of this country are in the hands of the Europeans, next the Chinese and the Indians-which is very true. I think all the Chinese will agree that a greater share of the privileges must go to the Malays until they reach parity of wealth with the non-Malays. The Reid Constitutional Report suggested that this should not be written into the permanent part of the Constitution, but should be provided in another chapter at the end of the Constitution. If this provision is put in the permanent part of Constitution it will tarnish the fair name of our country... .


Bagaimanapun orang Melayu telah membantah dengan hebatnya limitasi masa hak istimewa orang Melayu diwujudkan seperti yang telah dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Reid.. Dalam masa yang sama, orang Melayu berharap kedudukan hak istimewa orang Melayu yang dijamin dan diterima dalam Perlembagaan 1957 mestilah dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan dengan bersungguh-sungguh agar mencapai objektif emansipasi ekonomi orang Melayu . Sementara itu, Dato’ Onn yang memimpin Parti Negara telah menyerang UMNO dengan tuduhan bahawa hak istimewa orang Melayu telah dihapuskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tuduhan tersebut telah dikeluarkan oleh Dato’ Onn di Muar sehingga memaksa Tuan Sulaiman bin Dato’ Abdul Rahman, Menteri Dalam Negeri dan Kehakiman mengadakan satu rapat umum di Muar Club pada 4 Oktober 1958 yang dihadiri oleh kira-kira 3000 orang Melayu bagi memberi penjelasan kepada orang Melayu di Muar dan Batu Pahat bahawa tuduhan Dato’ Onn tersebut adalah tidak berasas sama sekali. Tuan Sulaiman telah memberi penjelasan bahawa hak istimewa orang Melayu telah dilindungi oleh Sultan-Sultan Melayu (Berita Harian, 8 Oktober 1958).
Begitu juga PAS yang tegas memperjuangkan supaya Melayu dijadikan sebagai rupa bangsa Persekutuan (terutama dalam era kepimpinan Dr. Buhanuddin al-Helmy) telah mengadakan rapat umum pada 13 November 1958 di Raub, Pahang yang dihadiri lebih dari 500 orang yang berteriak “Hidup Melayu” dan “Hidup Agama”. Ustaz Othman Abdullah, pemimpin PAS telah menempelak Dato’ Razak kerana sikapnya yang tidak mahu menerima Melayu sebagai rupa bangsa Persekutuan (1). Ustaz Othman telah menuduh Dato’ Razak hendak menegakkan “Malayang” dan melenyapkan hak istimewa orang Melayu. Perkara ini diasaskan kepada kecuaian kerajaan melayani permintaan tanah dari orang Melayu tetapi sebaliknya lebih mengutamakan permohonan tanah dari kaum bukan Melayu. Menurut Ustaz Othman “kalau orang Melayu minta tanah, empat tahun kemudian masih belum terjawab. Tetapi kalau orang-orang bukan Melayu meminta tanah, sebulan sahaja sudah didapati tanah yang diminta itu” (Berita Harian, 14 November 1958).



Nota.


(1) Tun Abdul Razak dalam ucapannya di Dewan Negara pada 10 Disember 1959 telah memberi jawapannya kenapa Melayu tidak dijadikan sebagai rupa bangsa Persekutuan seperti yang dituntut dan diperjuangkan oleh PAS sejak sebelum merdeka lagi dengan menyatakan bahawa dalam Perlembagaan bukan tidak ada kebangsaan, tetapi kebangsaan yang digunakan ialah “Kebangsaan Rakyat Persekutuan Tanah Melayu” yang tidak mengurangkan kedaulatan atau kemuliaan rupa bangsa atau rakyat yang ada di Negara ini (Lihat, Federation of Malay, Parlimentary Debates, Dewan Negara (Senate) Official Report, Vol. 1, No. 5, Kuala Lumpur: Government Press, 1960, hlm.167-168).

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...