Saturday, August 1, 2009

Dilema Melayu: Perspektif Dr. Burhannuddin al-Helmy

Minggu ini, banyak dari masa dihabiskan mencari bahan di Arkib Negara. Berada di sini tidak sedar masa berlalu dengan cepat kerana keghairahan mencari maklumat yang diperlukan. Sememangnya Arkib Negara adalah 'lubuk maklumat' masa silam bagi pengkaji sejarah kerana ia membekalkan berbagai maklumat Sumber Pertama yang tidak didapati di mana-mana perpustakaan. Apa yang diperlukan adalah ketekunan dan kesabaran pengkaji mencari dan terus mencari maklumat tersebut, seterusnya menganalisis dan menstruktur kembali sumber tersebut berdasarkan tajuk dan skop kajian.

Apa yang hendak saya kongsikan kepada pembaca ialah ucapan yang dibuat oleh Dr. Buhannuddin al-Helmy yang pernah mengetuai PKMM@MNP seterusnya memimpin PAS dalam tahun 1956. Ucapan ini dibuat pada 8 April 1955, iaitu semasa membuka Kongres Pemuda Melayu yang diadakan pada awal April 1955. Kongres Pemuda Melayu ini dianjurkan oleh Golongan Kiri, walaupun demikian ia turut dihadiri oleh ahli-ahli UMNO yang mengingkari arahan Tunku Abdul Rahman supaya memboikot Kongres tersebut. Kongres ini kemudiannya telah mengeluarkan usul, antaranya membantah penggunaan prinsip jus soli dalam soal kerakyatan dan pembentukan barisan kebangsaan Melayu yang berdasarkan konsep satu negara, bahasa dan bangsa.

Dalam ucapan awalnya, Dr. Burhannuddin telah mengimbau kedudukan orang Melayu sejak tahun 1931 sehingga 1941, menurutnya tidak banyak bezanya, walaupun telah mengalami beberapa peristiwa sejarah termasuk penjajahan Jepun. Dr. Burhanunddin telah memperihalkan sikap orang Melayu ketika itu dengan kata-kata "memadai saya katakan bahawa pada masa-masa itu kita jual menjual, sakit menyakiti, balas membalas dendam di antara satu sama lain, di antara satu golongan dengan golongan lain yang bertinggi rendah dan hina menghina dalam masyarakat kaum kita". Keadaan ini terus menerus berlaku sehingga darurat diperkenalkan pada tahun 1948. Keadaan yang berlaku tersebut menurut Dr. Burhannuddin disebabkan tidak wujudnya keinsafan dan penyatuan di kalangan orang Melayu yang menyebabkan bukan sahaja beribu-ribu orang kita telah ditangkap dan ditahan tetapi telah lebih dahsyat lagi ialah perbuatan saling menganiaya, fitnah memfitnah, tekanan dan ugutan yang hanya menguntungkan penjajah British. Perbuatan tersebut pada umumnya dilakukan oleh orang Melayu sendiri yang tidak kuat agamnya, tidak mempunyai rasa kemanusiaan, tidak mempunyai rasa kebangsaan dan cinta kepada bangsa dan tanahairnya.
Keadaan tersebut adalah gambaran sikap bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Ke-dua, persoalannya apakah sikap bangsa Melayu selepas Perang Dunia Ke-dua telah banyak berubah?. Dr. Buhannuddin dengan nada kecewa menjawab bahawa keadaan bangsa Melayu tidak banyak berubah. Namun rasa keinsafan, perasaan ingin mahu memelihara hak dan faedah bersama, menjaga kebajikan dan kemajuan tanah air sudah mula timbul di kalangan orang Melayu pada zahirnya. Tetapi pada batinnya belum dapat diduga, belum boleh diketahui berapa dalam, tebal dan betapa kuatnya perasaan tersebut.
Dr. Burhannuddin melahirkan rasa bimbang dan ragu akan kekukuhan persatuan dan keinsafan yang telah disebutkan itu. Orang Melayu menurutnya, masih terlalu suka bertengkar atas perkara-perkara kecil yang boleh menjatuhkan budi dan akhlak. Memanjang-manjangkan soal yang boleh selesai dengan sepatah dua kata saja dan sekali dua berunding atau bermesyuarat sahaja. Orang Melayu lebih suka berpolitik sesama sendiri lebih dari berpolitik menentang penjajah. Dr. Burhannuddin mengemukakan persoalan kenapa orang Melayu tidak suka membicarakan soal-soal yang lebih besar dan lebih mementingkan soal yang kecil-kecil (remeh temeh). Soal besar yang dimaksudkan oleh Dr. Burhannuddin ialah menentukan arah dan ada matlamat yang hendak dituju. Maka "soal kecil menurun lurah dan mendaki gunung cita-cita itu adalah akan jadi kerja biasa jua dalam perjuangan".
Bagi memutuskan soal besar yang mempunyai kepentingan kepada survival masa depan bangsa Melayu menurut Dr. Burhannuddin, ialah melalui persatuan atau perpaduan bangsa Melayu yang kukuh dan juga berpegang kepada kebenaran-berani kerana benar-sebab soal tersebut menjadi hak orang Melayu sebagai satu bangsa yang berhak menentukan nasib baik dan buruk bangsanya sendiri. Tetapi untuk mewujudkan persatuan dan kesefahaman yang kuat sangat payah jika tidak ada pengertian, kesedaran dan keinsafan yang sebenarnya.
Di akhir ucapannya itu, Dr. Burhannuddin memberi nasihatnya kepada generasi pemuda Melayu ketika itu yang perlu dihayati sehingga kini. Katanya:
"Jiwa pemuda selalu gembira dan meluap-luap lebih-lebih lagi mana-mana yang lama terpendam, geram terkongkong, tertekan dan sebagainya, datang hadir ke sini dengan niat yang ikhlas dan cita-cita yang suci sebagai seorang pemuda pemudi bangsa Melayu yang bebas yang betul-betul mendukung hasrat pusaka bangsa Melayu dan meletakkan dahulu soal-soal perseorangan, parti dan sentimennya. Berpendirian sebagai seorang pemuda Melayu yang bertanggungjawab terhadap bangsa, nusa dan agama. Menebus dan membela hak-hak keadilan pusaka Melayu...".
(Sumber: Majalah Belia, 1955, Arkib Negara Malaysia)

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...