Thursday, November 13, 2008

Materialisme

Menurut kamus Oxford Advanced Learner’s, materialisme bererti teori-teori atau kepercayaan bahawa material sahaja yang wujud. Manakala menurut Encyllopedia Britanica (hal. 1056), materialisme dari sudut falsafah bererti pandangan bahawa semua fakta atau hakikat termasuk hakikat yang berkaitan dengan pemikiran manusia, kecenderungan dan sebab akibat sejarah manusia adalah semuanya bergantung kepada proses fizikal atau benda. J.J.C Smart menyatakan materialisme adalah satu teori yang menganggap bahawa tiada sesuatupun yang berlaku di dunia ini melainkan seluruhnya ditentukan oleh fizik (benda). Beliau lebih ekstrim lagi menolak di dalam alam ini wujudnya apa yang dipanggil non-fizikal (metafizik) dan undang-undang non-fizikal (Robert Paul, 1976:288).
Perkembangan Materialisme dari sudut falsafah sudah wujud pada zaman Yunani lagi. Ahli falsafah Yunani yang mengembangkan materialism ialah Democritus dari Abdera yang hidup sekitar tahun 460 S.M hingga 360 S.M. Beliau dianggap sebagai Bapa Materialisme oleh William A.Shakian (1968:17). Bagaimanapun mengikut pengkaji falsafah, kebanyakan ahli falsafah Yunani sebelum Socrates, Plato dan Aristotle adalah terdiri daripada mereka yang materialis kerana mereka berpendapat sebab sesuatu benda itu mestilah sejenis dengan hakikat atau essensi benda itu sendiri. Oleh kerana itu, hanya material atau benda sahaja satu-satunya yang wujud, tiada metafizik atau Tuhan yang menjadikan segala sesuatu yang terdapat dalam alam ini. Ahli Falsafah Yunani bernama Thales menyebutkan bahawa air adalah asal segala sesuatu yang wujud di dunia ini. Eximendes anak murid Thales pula berpendapat bahawa asal segala sesuatu adalah udara, manakala Herecalitos merujukan segala sesuatu itu daripada api. Leucippus pula berpendapat yang wujud itu bukannya zat yang tunggal tetapi terdiri daripada berbagai-bagai elemen yang diistilahkannya sebagai atom-atom yang wujud tetapi tidak dapat dilihat. Beliau dalam menerangkan sesuatu kejadian lebih merujukan kepada gerakan atom-atom yang menurutnya merupakan sebab sebenar sesuatu kejadian. Sehinggakan jiwa baginya adalah dalam bentuk atom benda, yang sangat kecil, terlalu halus, sangat lembut dan terlalu aktif. Democritus dari Abdera telah melanjutkan pandangan Leucippus dengan berpendapat bahawa kewujudan atau alam ini mengandungi banyak zarah-zarah atom yang sangat kecil, yang tidak boleh dilihat atau dirasa dan mempunyai saiz-saiz tertentu. Ia tidak boleh dipecah-pecahkan lagi. Setiap atom tidak dijadikan, tidak musnah dan tidak berubah serta mempunyai jumlah yang tidak terbilang. Ia boleh bergerak-gerak dan hasil dari gerakannya itu berhubung dengan atom-atom yang lain dengan membentuk bentuk yang berbagai-bagai. Hasilnya terjadilah kejadian benda-benda lain. Jika ia diceraikan maka benda itu akan binasa.
Faham Materialism yang dikembang dan dianuti oleh ahli falsafah Yunani ini kemudiannya telah mempengaruhi perkembangan falsafah dan tamadun Barat. Ahli falsafah Barat yang pertama menganut materialism ialah Thomes Hobbes (1588-1679M). Karya pertamnya ialah The Leviathan. Melalui karya ini beliau cuba mengkritik dengan tegas institusi gereja. Beliau berpendapat, gereja hendaklah berada di bawah kekuasaan Negara. Raja adalah penentu agama Negara. Beliau pernah menjadi pembimbing kepada Raja Charles ii di Perancis, tetapi oleh kerana beliau terkenal sebagai seorang atheis dan freethinker menyebabkan kedudukannya di Perancis tidak setabil lalu kembali ke England dengan mengabiskan masa menulis buku-buku dan gembira dengan reputasi sebagai Bapa golongan atheis. Beliau berpendapat yang wujud adalah benda dan setiap yang berubah atau berlakunya perubahan adalah disebabkan gerakan. Mental atau roh adalah dihasilkan oleh benda di mana ia akan binasa sekiaranya asas benda itu binasa. Fahaman materialism yang dianutinya membawanya menerima agama jika ia bersifat praktikal dan menolak teologi sebagai ilmu tuhan. Hobbes juga berpendapat bahawa manusia adalah sama seperti haiwan di mana tubuh terjadi hasil gerakan, keinginannya adalah berupa kekuatan fizikal. Oleh kerana nature manusia adalah sama seperti haiwan di dalam membunuh dan dibunuh, di mana yang kuat akan mengatasi yang lemah mengikut undang-undang semula jadi. Oleh itu, apa saja yang bersesuaian dengan undang-undang semulajadi (nature law) adalah dianggap moral. Pandangan ini membawa Hobbes berpendapat bahawa manusia itu secara semulajadinya bersifat mementingkan diri sendiri dan egoistic dan tidak lebih dari itu. Menurutnya, manusia hanya mengasihi dirinya sendiri, dia hanya mengambil tahu tentang orang lain jika tuannya memberikan kepadanya kesenangan atau mengikut kemahuannya. Sifat egoistic yang terdapat dalam diri manusia di bawa oleh Hobbes ke dalam teori politiknya. Beliau berpendapat bahawa kerajaan itu adalah satu kontrak, dan dia hendaklah memaksa manusia memasuki kontrak tersebut. Alasannya kerana manusia itu ada sifat ego. Pelaksanaan politik oleh kerajaan merupakan suatu permainan ke atas kuasa ego yang terkumpul itu. Hobbes membangunkan teori tentang social contract yang mempengaruhi beberapa ahli falsafah politik zaman moden seperti Immanuel Kant dan lain-lain. Teori politik Hobbes adalah pengaruh dari pemikiran materialismenya yang cenderung kepada pemerintahan dictator, mementingkan diri sendiri dan hanya mengambil tahu keadaan orang lain jika hal itu boleh mendatangkan keuntungan kepada dirinya.
Turut menganut fahaman materilisme ialah Isaac Newton. Beliau dikelompokan sebagai ahli falsafah yang menggunakan metode saintifik. Newton dilahirkan pada tahun kematian Galileo Galilei . Beliau membangunkan falsafahnya dengan menyatukan penerangan yang berbentuk matematik dengan mechanical pada data-data yang boleh didapati dalam pengalaman setiap hari. Beliau menggunakan metode analitik (mengeluarkan kesimpulan daripada uji kaji dan penyelidikan) sebelum menggunakan metode sintesis (meramalkan sesuatu fenomena yang akan berlaku dengan diberi sebab-sebabnya). Newton mengambil secara umum idea-idea ahli falsafah materialism Yunani iaitu Epiqurus. Epiqurus berpendapat, dunia material adalah terdiri daripada zarah-zarah yang bergerak di dalam ruang kosong. Menurutnya lagi, pergerakan matahari yang abadi melintasi langit daripada timu ke barat. Matahari itu bukannya tuhan tetapi ianya adalah semata-mata himpunan atom-atom. Matahari itu mungkin juga mengelilingi bumi dan mungkin juga berpecah-pecah dan atomnya terpisah-pisah pada setiap malam, jadi dengan sebab itu ia adalah matahari baru yang dapat kita lihat pada waktu pagi pada esok harinya. Newton dari satu sudut cuba menerangkan bagaimana system solar berfungsi secara mechine di dalam bentuk gravity dan kekuatan mechine (Maurice Cornfort, 1972:33). Penemuan yang dibuat oleh Newton ini menyebabkan ia terkenal sebagai pengasas teori gravity hingga ke hari ini.
Ahli sains Barat yang menganut faham materialism cuba menerangkan system alam termasuk manusia dari perspektif mechanism atau bersifat benda. Mereka juga cuba untuk memasukan manusia ke dalam system mechanistic seperti yang dibuat oleh Harvey seorang ahli biologi. Beliau cuba memperlihatkan mechanism di dalam system peredaran darah manusia. Beliau menyatakan bahawa jantung itu seperti pam yang mengepam darah keluar dari jantung melalui saluran arteri dan kemudian darah itu mengalir balik melalui saluran pembuluh darah. Kebanyakan golongan mechanistic yang radikal menyatakan manusia ini bukan hanya merupakan satu proses fizikal tetapi diri manusia itu adalah mesin. Umpamanya, Rene Descartes, ahli falsafah Perancis abad ke 17M, telah menyatakan bahawa semua haiwan adalah mesin yang lengkap disebut automata, tetapi manusia berbeza dengan haiwan kerana ia mempunyai jiwa. Manakala pada abad ke 18M, Lamettrie yang merupakan pengikut Descartes menulis buku man and mechine dengan radikal menyebutkan bahawa manusia adalah sebuah mesin yang kompleks.
Pentakrifan seperti yang dikemukan oleh ahli falsafah dan sains Barat memperlihatkan manusia dan segala aktivitinya seolah-olah berdiri sendiri, bergerak dan hidup seperti mesin yang tidak ada ruang peranan Tuhan menentu, mengatur dan mengarah kehidupan manusia. Begitu juga dengan kejadian dan fenomena alam, semuanya berlaku akibat hukum benda atau sebab-akibat dan bukannya hasil dari perencanaan kebijaksanaan Tuhan.
Pada abad ke 18 dan 19M, materialism memasuki fasal yang lebih radikal bahkan mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan ilmu, sains dan tamadun Barat moden. Kelahiran teori evolusi yang dikembangkan oleh Charles Robert Darwin (1809-1882M), seorang ahli biologi British telah mempengaruhi beberapa pemikiran falsafah Barat seperti Herbert Spencer (teorinya mengenai evolusi social), Hegel (evolusi kosmik) dan Friedrich Nietzsche yang menyesuaikan teori evolusi Darwin dengan etika. Bahkan Karl Marx telah mengambil idea-idea Darwin dalam falsafahnya mengenai sosio-politik. Karl Marx dalam suratnya kepada Engel telah menyatakan bahawa karya Darwin amat penting baginya dan dijadikan asas dalam pemikirannya mengenai pertentangan kelas dalam sejarah (Raymond William, 1980:93). Teori evolusi Darwin bertunjangkan kepada konsep strunggle for fittes, strunggle for survival dan strunggle for existence dimanifestasikan oleh Karl Marx dalam teorinya mengenai sejarah di mana sejarah mengikut Marx adalah ditentukan oleh pertentangan kelas di antara golongan berjouis dengan golongan pekerja. Teori yang dibangunkan oleh Karl Marx ini dikenali sebagai historical materialism. Teori evolusi Darwin adalah tunjang kepada sains Barat moden dan tamadun Barat hari ini. Menolak teori ini bermakna meruntuhkan asas sains barat. Oleh kerana itu, barat mempertahankan teori ini walaupun banyak kritikan dilemparkan kepada teori ini. Teori ini adalah symbol penolakan barat terhadap penerangan agama mengenai kejadian makhluk di alam ini yang tidak dianggap saintifik.
Teori evolusi Darwin mengajarkan bahawa semua makhluk yang wujud di alam ini dipengaruhi oleh berbagai-bagai proses alamiah, berevolusi dan berkembang dengan sangat sederhana menjadi beberapa jenis makhluk baru yang kompleks. Makhluk baru ini berevolusi juga menjadi jenis-jenis baru yang bertambah kompleks lagi dan kemudian dalam jangka waktu beratus-ratus tahun terjadi jenis-jenis makhluk yang paling kompleks seperti kera dan akhirnya menjadi manusia (Sulaiman Nordin, 1981:33). Hipotesis yang dibuat oleh Darwin, sekaligus memperlihatkan penafian yang mutlak konsep penciptaan manusia dan makhluk seluruhnya oleh Tuhan sama ada dari perspektif Islam atau agama-agama lain. Teori evolusi Darwin merupakan kemuncak daripada pandangan materialisme tentang metafizik. Menurut Nasr (1968:74), teori evolusi ini telah memberikan manusia satu formula untuk membolehkannya menerangkan segala apa sahaja, dari paras yang paling rendah tanpa merujuk kepada akibat yang lebih tinggi, dengan itu ia telah berjaya menumpukan segala cabang ilmu kepada materialisme. Lebih-lebih lagi Darwin sendiri telah menyifatkan dirinya sebagai seorang agnostic iaitu menafikan adanya wahyu Ilahi dan kewujudan Tuhan. Syed Hosein Nasr menganggap teori evolusi Darwin merupakan satu isme yang amat merbahaya kepada umat Islam. Teori ini dari aspek metafizik adalah satu yang amat mustahil dan dari segi logikal sebagai sesuatu yang sukar untuk difahami (Nasr, 1975:138-139).
Karl Marx yang pemikirannya juga dipengaruhi oleh Darwin dan Ludwing Feuerbach (ahli falsafah Jerman) berpendapat bahawa hanya benda atau material sahaja yang wujud manakala tuhan baginya adalah tidak wujud (Feiblemen, 1975:165). Pemikiran materialisme Karl Marx adalah kemuncak aliran materialisme yang muncul sebelum ini. Ia bukan sahaja menjadikan material sebagai kayu ukur dalam sesuatu perkara malahan lebih dari itu menafikan terus Tuhan dalam kehidupan manusia. Kalau kita meninjau kembali aliran materialisme yang dibangunkan oleh Hobbes, walaupun beliau digelar sebagai atheis tetapi ia masih mengakui kewujudan Tuhan cuma naturenya yang tidak dapat diselidiki. Pemikiran materialisme Karl Marx adalah bercorak dailektikal berbanding aliran sebelumnya yang bersifat mechanistik. Engel, Marx dan Lenin semuanya menentang pandangan mechanistik tentang dunia dengan alasan bukan semua gerakan bersifat mechanistik dan bergantung semata-mata kepada perubahan tempat atau kedudukan (Tatarkiewwics, 1973:104). Falsafah materialisme yang dibangunkan oleh Karl Marx telah dianuti oleh berjuta-juta manusia yang kemudiannya dikenali sebagai Komunisme yang dikembangkan oleh Lenin pada abad ke 20M.
Falsafah materialisme Marx melihat tujuan penting dan pokok dalam kehidupan manusia ialah keperluan material dalam kehidupan. Sesuatu peribadi itu akhirnya ditentukan oleh mode of production atau ragam pengeluaran sama mode itu adalah feudalisme, kapitalisme, sosialisme atau komunisme. Mode of production merupakan cara di mana manusia menghasil dan mengubah matlamat hidup mereka. Matlamat hidup itu ialah seperti makanan, pakaian dan rumah. Dengan itu, sebelum manusia membuat sesuatu perkara, mereka seharusnya memenuhi keperluan hidup mereka seperti yang disebutkan (Maurice Cornforth:35). Marx juga menyimpulkan bahawa ekonomilah yang menentukan kewujudan sosial, politik, pemikiran dan sebagainya dalam kehidupan manusia. Menurut Ali Shariati dengan menjadikan mode of production sebagai penentu kehidupan dan aktiviti manusia, ini bererti menjadikan manusia tidak lebih dari sejumlah wang dan kemanusiaan bertukar menjadi produksi yang dihasilkan oleh mode of material production (Ali Shariati, 1980:35). Marx juga mengambil prinsip triangle Hegel (iaitu theses, anti-theses dan synthese) dalam membuat pentafsiran mengenai sejarah manusia secara materialisme dengan pandangannya bahawa Komunisme sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Marx menafsirkan sejarah sebagai pertentangan kelas iaitu Kapitalisme (theses), kediktatoran proletar (anti-these) dan Komunisme (syntheses).
Ringkasnya, falsafah materialisme Marxisme adalah falsafah mulhid yang menentang agama dan tidak mengakui kewujudan Tuhan. Marx sendiri mengakui beliau membenci Tuhan (Ali Shariati, 1980:54). Marx melihat agama sebagai satu perkara yang hanya dicipta oleh manusia. Marx juga melihat agama sebagai satu ilusioner dan menjadi candu bagi rakyat. Marx melalui manifestor of the communis party menyebutkan bahawa matlamat komunisme adalah untuk menghapuskan kebenaran yang abadi, menghapuskan seluruh agama dan moral, seterusnya membina satu asas baru yang berlainan sekali dengan pengalaman sejarah yang telah berlalu (On Historical Materialisme:101).
Kesimpulannya, falsafah materialisme akan membawa implikasi ke arah kehancuran sistem masyarakat, moral dan kepercayaan agama. Ia membawa manusia semakin jauh dari agama dan Tuhan, menolak metafizik dan hanya bergantung kepada kuasa benda semata-mata dalam semua perkara. Oleh kerana itu, umat Islam seharusnya memahami sejarah perkembangan sains, falsafah dan tamadun Barat moden yang amat pekat dengan materialisme, sekularisme dan agnositik dan tidak menelan bulat-bulat apa yang datang dari barat kerana ia boleh menghancurkan umat Islam dan terkandung racun yang amat berbisa.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...