Wednesday, May 24, 2017

Rusuhan Kaum 1964


Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentangan antara  kaum di Malaysia sepanjang tahun 1968-1969. Dalam fail yang bertajuk Racial antagonism in Malaysia, extremist Malay groups and the potential for revolution mendedahkan bahawa pertentangan antara kaum di Malaysia di antara orang Melayu dengan kaum Cina dan India berkait rapat dengan faktor tekanan ekonomi, perbezaan agama dan ciri budaya. Fail ini mendedahkan bahawa beberapa tahun sebelum merdeka, Sekreteriat Pertahanan British telah memberi komen mereka, bahawa ketegangan hubungan antara Melayu-Cina dilihat semakin meningkat, terutama apabila berlakunya Penang Riot dalam tahun 1957.  Namun selepas merdeka, ketegangan hubungan kaum Melayu dan Cina dilihat masih berlaku secara meluas sehingga ke Singapura.

Dalam laporan Fail FCO tersebut menyebutkan bahawa dalam tahun 1964,Lee Kuan Yew mengadu bahawa propaganda UMNO telah megeksploitasi golongan radikal Melayu di Singapura. Dalam bulan Jun, 1964, Lee Kuau Yew telah mengarahkan Security Liasion Officer di Singapura untuk membuat penilaian bebas mengenai ancaman perkauman di Singapura. Melalui satu persetujuan yang dicapai di antara Pesuruhjaya Tinggi Kuala Lumpur dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Singapura, satu kertas berkaitan ekploitasi terhadap divisive influences di Tanah Melayu dan Singapura telah disediakan dan dihantar kepada Lee Kuan Yew dan pihak keselamatan Malaysia. Kertas ini telah menyimpulkan  wujudnya ancaman atau pengaruh politik Indonesia dan Tanah Melayu ke atas orang Melayu Singapura yang membawa  ancaman perkauman di Singapura. Kertas ini menyebutkan“ …that Indonesian inspired propaganda aimed at inflaming racialist and religious sentiments against the political leaders of Malaysia represented a serious threat to security and could find a response among local Malays in Singapore”. Kertas ini telah menyertakan beberapa bukti mengenai petikan 36 akhbar dari Utusan dan Berita Harian mengenai kritikan mereka terhadap PAP. Lee Kuan Yew telah membangkitkan perkara ini pada bulan Julai 1964 dan mengharapkan pihak keselamatan Malaysia menyedari mengenai bahaya ancaman perkauman. Lee merasa bimbang terhadap UMNO yang berterusan menyerang beliau dan PAP melalui`orang Melayu Singapura. Polis Cawangan Khas Singapura ketika itu tidak berfikir bahawa propaganda golongan radikal Melayu akan membawa  kesan serius terhadap golongan Melayu tempatan. Walau bagaimanapun, telah berlaku pertentangan antara kaum yang serius pada  bulan Julai, 1964 yang membawa kepada terbunuhnya 22 orang di Singapura.[1]

Konflik kaum pada Julai 1964 dikenali dengan beberapa nama seperti Rusuhan Perarakan Maulidur Rasul, Rusuhan Kaum 1964 dan Rusuhan Cina-Melayu 1964.[2] Laporan FCO 24/480 dan akhbar Berita Harian bertarikh 12 Julai 1964 telah memetik kenyataan Lee Kuan Yew dan beberapa pemerhati luar yang menyalahkan UMNO sebagai punca utama berlakunya rusuhan tersebut. Menurut mereka, rusuhan tersebut berpunca daripada sentimen perkauman yang dicetuskan ekoran daripada persidangan yang disertai lebih kurang 150 organisasi Melayu di Singapura pada 12 Julai 1964.[3] Persidangan tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan kedudukan orang Melayu di Singapura.[4] Persidangan tersebut dipengerusikan oleh Syed Ja’afar Hassan Albar, Setiausaha Agung UMNO. Dalam ucapannya, beliau telah mengecam hebat kenyataan  Lee Kuan Yew  yang disifatkan oleh Syed Ja’afar Hassan Albar boleh mencetuskan perselisihan faham antara kaum. Syed Ja’afar Hassan Albar telah menyeru orang Melayu supaya bertenang dan bersabar menghadapi pelbagai masalah di Singapura. Menurut Syed Ja’afar Hassan Albar, persidangan tersebut diadakan “bertujuan untuk menyatukan dan memadukan kita semuanya untuk faedah diri dan keturunan kita di masa akan datang untuk menebus kejatuhan kita dalam bidang ekonomi, pelajaran dan lain-lain lagi”. Beliau juga membuat kesimpulan bahawa orang Melayu di Singapura tidak mendapat layanan yang adil daripada PAP. Beliau seterusnya menggesa orang Melayu supaya bersatu bagi menghadapi layanan yang tidak adil tersebut. Syed Ja’afar menegaskan pertemuan yang diadakan itu bukan bertujuan untuk bermusuh dengan kaum bukan Melayu yang menumpahkan taat setia mereka kepada negara ini. Perkara yang dimusuhi oleh orang Melayu menurut Syed Ja’afar Albar ialah layanan yang tidak adil kepada mereka.[5]

Sebenarnya, pada 19 Julai 1964, lebih daripada 1000 orang pemimpin pertubuhan bukan politik Melayu telah berjumpa dengan Lee Kuan Yew bagi mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu yang telah dinafikan oleh Lee melalui perjanjian pencantuman antara Singapura dengan Malaysia. Dalam pertemuan tersebut, walaupun Lee Kuan Yew berjanji bahawa kerajaan Singapura akan melakukan beberapa usaha untuk melatih orang Melayu menjawat jawatan penting kerajaan, namun kerajaan Singapura tidak akan membenarkan sistem kuota dilaksanakan dalam pekerjaan, pemberian lesen perniagaan dan tanah rizab yang dikhaskan untuk orang Melayu. Semua itu menurut Lee, telah dibincangkan dengan baik dan telah dimaktubkan dalam perlembagaan sebelum Singapura bercantum dengan Malaysia. Semua perkara tersebut tidak akan diadakan semula. Menurut Lee Kuan Yew, “kami akan mengadakan setiap kemudahan latihan, semua pelajaran yang perlu bagi orang Melayu bertanding dengan orang bukan Melayu, tetapi tidak akan surut kembali kepada apa yang telah dipersetujui dalam rundingan Perlembagaan”.[6]

Perasaan tidak puas hati mengenai penafian kedudukan istimewa orang Melayu oleh kerajaan pimpinan Lee telah mewujudkan suasana tegang di Singapura.. Walau bagaimanapun, Tun Abdul Razak menafikan bahawa ketegangan hubungan kaum di Singapura pada Julai, 1964 disebabkan oleh faktor politik dan kesan daripada perhimpunan orang Melayu pada 12 Julai 1964 di Pasir Panjang, Singapura.[7] Syed Ja’afar Hassan Albar juga menafikan beliau ialah seorang ultra-Melayu sebagaimana tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan gambaran salah yang diberikan oleh wartawan asing mengenai pergaduhan kaum di Singapura yang cuba mengaitkan beliau sebagai punca berlakunya konflik tersebut.[8]

Konflik tersebut bermula semasa perarakan sambutan Maulidur Rasul di Singapura pada 21 Julai 1964 yang dihadiri kira-kira 25 ribu umat Islam. Semasa perarakan tersebut melewati Lorong 12, Geylang, seseorang yang tidak dikenali telah membaling botol ke arah perarakan tersebut.[9] Apabila seorang anggota polis FRU meminta mereka yang berarak supaya menggunakan laluan berdekatan dengan kawasan kerja petrol Kallang sekitar pukul lima petang, mereka telah diserang. Dalam sekelip mata, keadaan telah bertukar menjadi kacau bilau. Pada pukul enam petang, perbuatan jenayah membakar bangunan telah berlaku di kawasan Geylang. Pada pukul 6.30 petang, pertelingkahan dilaporkan berlaku di Chinatown dan Tanjung Pagar. Pada pukul 6.45 petang, beberapa pertentangan juga berlaku di Arab Street dan persimpangan North Bridge Road. Kekacauan tersebut terus merebak ke kawasan-kawasan lain di Singapura selama beberapa hari berikutnya. Golongan keluarga Melayu yang tinggal di Queenstown telah meninggalkan rumah mereka kerana bimbang dengan keselamatan mereka. Perintah berkurung telah dikenakan di seluruh Singapura pada 23 Julai 1964 dan ditarik balik sepenuhnya pada 2 Ogos 1964, iaitu setelah 11 hari dikuatkuasakan.[10] Pertelingkahan antara kaum Melayu dengan Cina telah berlaku selama lima hari yang akhirnya mengorbankan 22 orang dan 461 orang telah cedera.[11]
Lee Kuan Yew dan beberapa pemerhati luar cuba mengaitkan punca berlakunya kekacauan tersebut dengan tindak tanduk yang dilakukan oleh Syed Ja’afar Albar dan beberapa tokoh “ultra-Malay” dalam UMNO sepertimana yang telah dihuraikan. W.B. Pritchett (Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia) telah menyatakan, “...there can be no doubt that UMNO was solely responsible for the riots. Its members ran the communal campaign or allowed it to happen”. Lanjutan kekacuan tersebut, sebuah jawatankuasa keamanan antara kaum yang dianggotai oleh berbagai-bagai kaum telah dibentuk bagi memulihkan keamanan di Singapura.[12]
Penentangan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu juga mewujudkan ketegangan hubungan antara Singapura dengan Kuala Lumpur. Ketegangan tersebut berakhir dengan penyingkiran Singapura daripada Malaysia pada Ogos 1965. Ketegangan hubungan tersebut semakin jelas berlaku pada tahun 1965. Misalnya, semasa Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada Mei 1965, terdapat desakan daripada perwakilan UMNO supaya Tunku menahan Lee Kuan Yew dan mengambil alih pentadbiran Singapura.[13] Begitu juga semasa persidangan Parlimen pada 26 Mei 1965, beberapa orang ahli Parlimen Melayu telah mengambil kesempatan daripada persidangan tersebut untuk mengecam PAP kerana penentangannya terhadap kedudukan istimewa orang Melayu. Penentangan PAP tersebut dilihat oleh ahli Parlimen Melayu sebagai sesuatu yang sangat berbahaya dan boleh membawa kepada persengketaan kaum. Misalnya, Dato’ Abdullah Abdul Rahman (Parlimen Kuala Terengganu Selatan) menyatakan:
“Baru-baru ini kita dapati sesetengah puak dari Singapura menimbulkan perkara-perkara yang membangkitkan hal-hal seperti hak istimewa orang Melayu, membilang-bilang angka peratus kaum yang ada di Malaysia ini dan memperkecilkan penganjur-penganjur Melayu serta bertanya-tanya siapa dia Bumiputera di Malaysia dan siapa yang bukan Bumiputera di Malaysia ini. Di sini Tuan Yang di-Pertua, patutlah kita beri amaran dan beri ingatan kepada mereka ini, iaitu inilah satu-satunya tajuk yang sangat berbahaya yang mungkin menyebabkan pepecahan perpaduan yang ada di antara kaum di Malaysia...”[14]
Sememangnya Lee Kuan Yew menyedari konsep multi-racial Malaysia yang diperjuangkannya akan mewujudkan ketegangan hubungan kaum dan mencabar dominasi Melayu. Walaupun beliau menyedari wujudnya ketegangan hubungan kaum tersebut, namun bagi Lee Kuan Yew, “if we must have trouble, let us have it now instead of waiting for another 5 ot 10 years”. Bahkan Lee dilaporkan berkata, “if we find Malaysia cannot work now, we can make alternative arrangements”. Ketegangan kaum yang wujud ekoran daripada beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Lee Kuan Yew sebenarnya membolehkan beliau mengancam Tunku dan kerajaan Pusat supaya memberikan lebih kuasa kepada Singapura.[15]
Walaupun pada mulanya Tunku cuba bersabar dan berlembut dengan tindakan yang dicetuskan oleh Lee, namun akhirnya Tunku mula hilang sabar. Perkara ini dapat dilihat melalui tindakan yang dilakukan oleh Tunku semasa berada di London pada Jun 1965 bagi mendapatkan rawatan bengkak sendi di sana.[16] Tunku  telah mengeluarkan kata-kata yang berbunyi, “The more pain I got the more I directed my anger on him (Lee Kuan Yew) and pitied Singapore for all its self-imposed probleams”.[17] Ketika berada di London (selama sebulan), maka pada 29 Jun 1965, Tunku telah mengambil keputusan sendiri untuk menyingkirkan Singapura daripada Malaysia.[18] Tunku kemudiannya menulis surat kepada Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, supaya membincangkan pemisahan Singapura daripada Malaysia dengan menteri-menteri kabinet yang kanan. Tun Abdul Razak juga diminta bertemu dengan Lee Kuan Yew untuk mencari kemungkinan menyelesaikan pertelagahan tersebut. Tun Abdul Razak telah bertemu dengan Lee Kuan Yew pada 20 Julai 1965, namun pertemuan tersebut telah menemui jalan buntu.[19]
Pemisahan Singapura daripada Malaysia menjadi kenyataan apabila Parlimen Malaysia yang bersidang pada 9 Ogos 1965 meluluskan pindaan Perlembagaan 1965 bagi mengeluarkan Singapura daripada Malaysia. Semasa membentangkan cadangan perlembagaan tersebut, Tunku Abdul Rahman telah menjelaskan bahawa tindakan tersebut merupakan satu keputusan yang menyedihkan. Keputusan tersebut dibuat kerana wujudnya banyak masalah antara Singapura dengan Malaysia, terutama pada tahun 1965. Tunku menjelaskan masalah yang utama adalah masalah perkauman yang ditimbulkan oleh pemimpin Singapura, penyebaran propaganda menentang Kerajaan Pusat dalam kalangan pelajar di luar negara dan tuduhan terhadap Kerajaan Pusat yang didominasi oleh kaum Melayu melakukan ketidakadilan kepada kaum lain serta melakukan diskriminasi kepada kaum Cina dalam semua perkara. Tunku turut menjelaskan faktor lain adalah disebabkan kecenderungan beberapa buah negara yang melihat Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura mempunyai equal partner dalam kerajaan Malaysia.[20] Sedangkan menurut Tunku, dalam sesebuah negara hanya perlu ada seorang sahaja yang mempunyai ketua eksekutif, iaitu Perdana Menteri, bukannya dua orang. Tunku menjelaskan,  there can only be, as I said, one Prime Minister for the nation and there cannot be two, and so the best course we can take is to allow Mr. Lee Kuan Yew to be the Prime Minister of independent Singapore in the full sense of the words”.[21]



[1] Lihat “Racial antagonism in Malaysia, extremist Malay groups and the potential for revolution” dlm. FCO 24/480, Malaysia: internal affairs: West Malaysia: internal situation
[2] Lihat Lai Ah Eng, 2004. Beyond Rituals and Riots: Ethnic Pluralism and Social Cohension in Singapore. Singapore: Eastern Univesity Press. Lihat juga “1964 Race Riots in Singapore” dlm. http://reference.findtarget.com.
[3] Berita Harian, 12 Julai 1964.
[4] Ibid.
[5] Berita Harian, 13 Julai 1964.
[6] Berita Harian, 20 Julai 1964.
[7] Berita Harian, 23 Julai 1964. Terdapat beberapa pemimpin kerajaan Singapura seolah-olah menuduh kerajaan pusat menyembunyikan sesuatu berhubung punca kekacauan tersebut (lihat Berita Harian, 17 Ogos 1964).
[8] Berita Harian, 17 Ogos 1964.
[9] Berita Harian, 23 Julai 1964.
[10] Lihat Lee Kuan Yew, 1998. The Singapore Story: Memoirs of Lee Kuan Yew. Singapore: Times Editions Pte Ltd, hlm. 558; Albert Lau, 1998. A Moment of Anguish: Singapore in Malaysia and Politics in Disemgagement. Singapore: Times Academic Press. Lihat juga “Rusuhan Kaum 1964 Malaysia-Singapura” dlm. http://lamankm2b.tripod.com/cgi-bin/m/KM2A1/4564.html.
[11] Lay Yuen Tan, “Communal Riots of 1964” dlm. http://infopedia.nl.sg/articles/SIP_45_2005-01-06.html.
[12] Berita Harian, 25 Julai 1964.
[13] R.K. Vasil, Ethnic Politics in Malaysia, hlm. 157.
[14] Parlimentary Report, Dewan Rakyat Official Report, Second Session of the Second Parliament of Malaysia, Vol. II, No. 1, 26 Mei 1965, hlm.132.
[15] FCO 374/181454, Resume of Centre/Singapore Relation in 1965.
[16] Ramlah Adam, Biografi Politik Tunku, hlm. 399.
[17] D.K. Mauzy, Barisan Nasional, hlm. 32.
[18] Ramlah Adam, Biografi Politik Tunku, hlm. 400.
[19] Ibid., hlm. 400-401; lihat juga D.K. Mauzy, Barisan Nasional, hlm. 32.
[20] Pada tahun 1964, telah lahir cadangan yang dikemukakan oleh Encik Ahmad bin Haji Taif, seorang Senator di Dewan Negara supaya nama jawatan Perdana Menteri Singapura ditukar kepada Ketua Menteri kerana nama jawatan tersebut telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan negara luar. Beliau berkata, adalah ganjil bahawa di negara ini mempunyai dua orang Perdana Menteri. Penukaran tersebut selaras dengan amalan yang dilakukan oleh negara-negara lain (lihat Berita Harian, 21 Mei 1964).
[21] “Teks Ucapan Tunku Abdul Rahman di Parlimen pada 9 Ogos 1965” dlm. Surat Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Kuala Lumpur, P.M. 13220, 12 Ogos 1965, Arkib Negara Malaysia.

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...