Friday, May 15, 2009

Genap setahun

Hari ini genap satu tahun blog ini wujud di alam siber bagi memberi sedikit sumbangan kepada pembaca bagi menambahkan pengetahuan mereka. Blog ini lebih bersifat akademik, kadang kala menghidangkan bacaan ringan yang dipaparkan sebegitu untuk bacaan santai yang mengandungi unsur pengajaran. Namun saya lebih suka menulis berasaskan fakta-fakta yang diambil dari pembacaan dari pelbagai sumber yang boleh digunakan oleh kelayak dalam pencarian maklumat mereka. Apa yang saya tulis dalam Blog ini tidaklah semestinya mengambarkan ideologi saya. Fakta-fakta sejarah yang saya tulis dalam Blog ini terpulanglah kepada kelayak pembaca untuk membuat interprestasi mereka sendiri. Namun kecederungan saya menulis banyak mengenai sejarah negara berkait rapat dengan bidang pengajian PhD saya. Sebenarnya banyak perkara yang hendak saya kongsi dengan pembaca hasil dari pembacaan dan kajian terhadap dokumen-dokumen sejarah yang saya perolehi dari Arkib Negara Malaysia, tetapi ia tidak boleh saya muatkan dalam blog ini. Akhirnya, saya berdoa kepada Allah agar terus memberi kekuatan dan ilham untuk saya terus menulis dalam Blog ini untuk berkogsi ilmu dan memperkasa akal budi...

Monday, May 4, 2009

Salah satu perkara penting yang perlu saya lihat dalam kajian saya ialah sejarah perkembangan pembentukan Perlembagaan Persekutuan tahun 1957 yang diasaskan kepada Laporan Suruhanjaya Reid yang dibentuk pada tahun 1956. Suruhanjaya Reid dalam usaha untuk menyiapkan laporan tersebut telah mengambil kira pandangan semua pihak di Malaya ketika itu, sama ada pandangan individu atau organisasi politik dan bukan politik. Sehingga dicatatkan terdapat 131 memorandum yang telah diterima oleh Suruhajaya Reid, namun memorandum yang penting datangnya dari Parti Perikatan yang dianggotai ketika itu oleh tiga parti utama iaitu UMNO, MCA dan MIC yang menjadi asas utama penyediaan Laporan Reid. Manakala Memorandum yang dibentuk hasil dari permuafakatan dan tolak ansur di kalangan parti Perikatan dibentuk melalui beberapa proses perundingan sehingga diterima beberapa perkara dasar yang mempunyai hubungan yang rapat dengan isu-isu komunal. Sebelum persetujuan dapat dicapai dalam isu-isu komunal seperti agama, bahasa, hak istimewa dan kerakyatan terjadi perbahasan yang kritis di kalangan kaum Melayu dan bukan Melayu mengenai isu-isu tersebut. Majoriti orang Melayu ketika itu menolak penggunaan prinsip jus soli dalam soal kerakyatan bukan Melayu, manakala kaum bukan Melayu menuntut penggunaan prinsip tersebut sebagai alat penting kaum bukan Melayu mendapat hak kerakyatan Malaya. Parti politik Melayu di luar UMNO telah menolak dengan tegas pemakaian prinsip tersebut didorong dengan kekhuatiran mereka terhadap nasib masa depan orang Melayu di tanah airnya sendiri, apatah lagi apabila melihat keterbelakangan orang Melayu ketika itu dalam aspek ekonomi dan pendidikan. Justeru itu, mereka telah mengadakan Kongres Melayu pada 4-7 Mei 1957, di Kuala Lumpur. Kongres ini telah memutuskan empat perkara, iaitu: 1) Hak kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli tidak boleh diberikan kepada bukan Melayu, 2) hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipersoalkan, 3) bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan dan rasmi yang tunggal, dan 4) dasar negara-bangsa Malayan yang baru mestilah diasaskan kepada kebudayaan Melayu dan warisan politik Melayu.
Sementara itu, kaum bukan Melayu pula telah menentang hak istimewa orang Melayu dan menuntut kepelbagai bahasa. Mereka turut menuntut bahasa ibunda masing-masing diiktiraf sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Melayu. Orang Cina pada 27 April 1956 telah mengadakan satu konfrensi Pan-Malaya Chinese Associations di Kuala Lumpur. Perhimpunan ini telah dihadiri lebih 1000 orang delegasi dari 711 pertubuhan Cina. Mereka menuntut empat perkara; (1) Penggunan prinsip jus soli dalam soal kerakyatan (2) Mereka yang dilahirkan di Malaya tanpa mengira kaum dan mereka yang tinggal di negara ini selama lima tahun dan setia pada negara ini layak mendapat kerakyatan ; (3) Kesaksamaan- tanggungjawab dan keistimewaan warganegara Malaya yang merdeka mestilah sama, dan (4) Kepelbagaian bahasa seharusnya diterima dan setiap bahasa dari pelbagai bangsa mestilah dijadikan sebagai bahasa rasmi.
Suasana tegang yang ditimbulkan akibat dari tuntutan kaum masing-masing telah menyebabkan Tunku Abdul Rahman mebuat ucapan ke seluruh Malaya melalui radio pada 22 April 1956. Melalui ucapannya itu Tunku telah menegaskan bahawa orang Melayu bersedia memberikan apa juga hak mereka kepada orang lain yang taat setia mereka curahkan seluruhnya kepada negara ini. Namun Tunku meminta orang bukan Melayu supaya bersikap adil, bertimbang rasa dan tuntutan mereka biarlah berpatutan. Tunku menegaskan;

“Saya harap janganlah hendaknya dilupakan bahawa tidak ada putera bumi mana-mana negeri pun di dunia ini yang telah menyerahkan banyak haknya kepada orang lain seperti yang telah dilakukan oleh orang-orang Melayu. Tidak ada putera bumi negeri lain yang menunjukkan sikap berbaik-baik kepada orang-orang yang masuk ke negerinya sebagai yang ditunjukkan oleh orang Melayu”
Kepada orang Melayu pula, Tunku telah merayu:
“Tidak ada sebuah negeri pun di dunia ini yang telah mencapai kemerdekaannya dengan tidak memberikan banyak pegorbanan. Saya tidak menyangkal sedikit pun bahawa saudara-saudara semua akan sanggup berkorban dan terus menjaga nama baik saudara-saudara sebagai satu bangsa yang bersopan santun, bertimbang rasa dan sentiasa ingin bersahabat..Saya menyeru kepada semua rakyat supaya mengamalkan sifat toleransi dan menjaga semangat saling bekerjasama yang telah diamalkan oleh Perikatan dengan jayanya dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan”.

Rusuhan Kaum 1964

Laporan dari salah satu Fail British, Foreign and Commonwelth Office iaitu FCO 24/480 1968/1969 telah menganalisis berkaitan pertentang...