Wednesday, October 22, 2008

PEMIKIRAN FALSAFAH KLASIK CINA: ALIRAN DAN AJARANNYA

SIRI (1)


Pendahuluan

Secara umumnya sistem kepercayaan, falsafah atau pemikiran Cina banyak dipengaruhi oleh latar belakang geografi , ekonomi dan nilai pertanian Cina. Latarbelakang tempat dan keadaan persekitaran turut mempengaruhi bentuk aliran pemikiran yang berkembang dalam sesuatu tamadun. Umpamanya, pemikiran falsafah Greek lebih menekankan aspek pemikiran spekulatif, alam semulajadi dan metafizik, manakala pemikiran Cina pula lebih menekankan aspek sosiopolitik, etika dan lebih bersifat praktikal. Ahli falsafah Cina banyak memberikan tumpuan mereka kepada persoalan tentang penyesuaian manusia terhadap alam semulajadi dan amat menekankan hal ehwal manusia. Bagi mereka, manusia adalah menjadi kayu pengukur dan tanpa nilai kemanusiaan, falsafah hilang pengertiaan asasnya dan tidak dapat menjustifikasikan kewujudannya. Persoalan metafizik hanya menjadi pemerhatian ahli falsafah Cina setelah kedatangan Buddhaisme ke Cina (Shariff, 1994). Dalam world view China, dua sphere tidak dapat dipisahkan dan kosmos yang dapat dilihat adalah satu, ia adalah langit, bumi dan manusia. Langit di atas, manakala bumi di bawah. Manusia diwakili oleh Maharaja yang bertindak sebagai perantaraan antara langit dengan bumi. Terdapat 100 aliran falsafah di Cina, bagaimanapun banyak yang tidak dapat diketahui disebabkan dasar pemusnahan buku yang dilakukan pada zaman dinasti Chin. Antara aliran falsafah yang dominan ialah Konfusianisme, Taoisme, Legalisme, Mohisme, Yang-Yin dan Ming-Chia.

ALIRAN FALSAFAH DOMINAN CHINA

Konfusianisme

Ia diasaskan oleh Kung-Fu-Tze yang dilahirkan pada tahun 551 S.M. di Tsou dan berasal dari keturunan bangsawan. Beliau menerima pendidikan dalam bidang muzik, penulisan dan ritual. Sewaktu berumur 20 tahun beliau menjadi seorang guru dan mengajar murid-murid cara berkelakuan baik. Beliau dan murid-muridnya sering mengembara dari wilayah ke satu wilayah yang lain. Beliau yakin melalui sistem pendidikan akan wujudnya kesetaraan sejati antara manusia. Beliau merupakan orang pertama dalam sejarah China yang mengajar jumlah pelajar yang ramai iaitu 7000 orang, dan 10 orang dari mereka menjadi pemikir dan sarjana yang terkenal. Beliau merupakan seorang ahli pendidik yang mahukan pengikut-pengikutnya menjadi “rounded man” yang boleh digunakan oleh negara dan masyarakat. Justeru itu, beliau mengajar bermacam-macam jenis ilmu pengetahuan. Falsafahnya mahu mendidik manusia melalui saluran pendidikan bagi menghasilkan manusia yang sempurna yang disebut sebagai Junzi. Junzi merupakan seseorang yang memiliki sepenuhnya hikmah ren. Dalam kitab Lun Yu, Kung Fu Tze telah memberikan beberapa cara untuk menjadi Junzi (budiman). Antara cara untuk menjadi seorang Junzi ialah:

1. tidak merasa resah, pilu atau takut
2. bekerja dengan tegas dan bersungguh-sungguh, tidak membuat kesalahan, melayani orang lain dengan bahasa yang baik dan teliti sesuai dengan adat
3. membantu orang lain untuk menjayakan pekara yang baik dan tidak membantu orang lain untuk menjayakan pekara yang jahat

Manakala sifat Junzi menurut Kung Fu Tze ialah seseorang yang hidup aman damai, tidak sombong dan tidak menghina orang lain.
Kung Fu Tze mahu menginterprestasikan khazanah warisan silam kepada anak-anak muridnya, dengan sebab itu beliau berkata sesungguhnya beliau hanyalah seorang transmitter dan bukannya originator.
Kung Fu Tze merupakan pengasas kepada aliran Konfusianisme atau Ju Chia adalah merupakan satu aliran pemikiran falsafah atau agama. Schwartz (1971) menyatakan bahawa Konfusianisme mempunyai kedudukan yang unik dalam sejarah China. Doktrinnya dianggap sebagai official philosophy di negara China. Banyak pandangan sarjana tentang Konfusianisme sama ada ianya merupakan sebagai satu agama atau aliran pemikiran falsafah atau etika. Osman Bakar (1997) menyimpulkan, konfusianisme boleh dianggap sebagai satu agama, kerana agama adalah juga falsafah seperti yang dirujuk kepada pemikiran Falsafah al-Farabi, al-Kindi dan lain-lain. Bagaimanapun, Yves Regun (2000) berpendapat bahawa Konfusianisme hanyalah satu falsafah tentang kehidupan yang berpaksikan kepada konsep ren. Konfusius menurutnya tidak mendirikan satu agama.
Didsbury (1994) pula melihat falsafah Konfusianisme tidak berminat dalam soal metafizik, pemikir mereka seperti Konfisius, Mencius (371 S.M-289 S.M) dan lain-lain lebih berminat membincangkan soal sosial, politik dan pendidikan. Mereka lebih peka kepada persoalan etika dan hal-hal praktikal berhubung dengan penyusunan masyarakat berdasarkan kepada prinsip moral yang sesuai. Dengan sebab itu, amat sukar mengkaji pandangan Konfusianisme dalam masalah metafizik, Ketuhanan dan kehidupan selepas mati. Perkara inilah menurut Wang Gungwu (1997) yang membezakan Konfusianisme dengan agama lain, kerana ia amat sedikit menekankan kepada kehidupan spiritual dan menjauhkan diri dari perbincangan mengenai kehidupan selepas mati tetapi lebih banyak menumpukan kepada dunia, sosial, keluarga dan moral. Apabila ditanya tentang kematian oleh muridnya, Konfisius menjawab “jika kita tidak tahu tentang kehidupan, bagaimana pula kita tahu tentang kematian”. Begitu juga beliau pernah berkata “kamu tidak mampu untuk berkhidmat kepada manusia, jadi bagaimana kamu hendak berkhidmat kepada ruh?”.
Prof. Y. King (1997) berpendapat Konfusianisme telah membangunkan satu bentuk etika yang bersifat kemanusiaan dalam dunia yang manusia-sentrik. Bagi Konfusianisme keperihatian yang asas adalah kehidupan sosial pada masa kini dan sekarang. Persoalan bagaimana untuk mengharmoniskan kehidupan di dunia adalah asas teoritikal dan praktikal yang perlu diselesaikan. Konfusianisme memfokuskan kepada hubungan organik antara individu dan masyarakat yang dilihat sebagai saling bertautan dan tidak dapat dipisahkan. Beliau mahu satu masyarakat yang dipimpin atau diatur dengan baik. Asas negara, masyarakat dan individu yang betul adalah “let ruler to be ruler, the minister minister, the father father and the son son “. Konfusius mahu masyarakat berjalan mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing . Mengikut Konfusius segala sesuatu hendaklah bertindak mengikut nama (zhengming) atau kedudukan masing-masing. Perlaksanaan tanggungjawab dan peranan tersebut haruslah pula diasaskan kepada nilai kebaikan (yi) dan nilai kemanusiaan yang berpaksikan kepada kasih sayang (ren). Manusia yang mempunyai ren atau kasih sayang ialah “one who, desiring to sustain himself, sustains others, and desiring to develop himself, develop others”.
Dalam menjalankan hubungan dengan orang lain, Konfusius mengajarkan supaya seseorang itu menggunakan ukuran diri sendiri sebelum membuat kebaikan atau kejahatan kepada orang lain. Justeru itu, Konfusius mengingatkan “do not to do others what you do not wish yourself”. Konfusius juga berpegang kepada konsep ming atau takdir. Seseorang yang mengetahui ming, bermakna dia mengetahui pekara-pekara yang tidak tidak dapat dielakkan di dunia ini. Dengan itu, dia akan bebas dari kebimbangan dan duka nastapa, dan dia akan memperolehi kegembiraan. Kata Konfusius; “the superior man is always happy, the small man sad
Pemikiran etika Konfusianisme dapat digali melalui kitab-kitab yang dikarangnya seperti kitab Madah, Muzik, Adat, kitab Tentang Perubahan maupun melalui susunan anak-anak murid beliau seperti Kitab Analect atau Lun Yu, The Great Learning dan lain-lain. Mengikut Schwartz (1985), kitab Analect banyak mengandungi oder sosio-politik yang normatif, perlakuan-perlakuan yang baik, ritual, perayaan dan etika. Aturan etika Konfusianisme adalah berpaksikan kepada Tian (Heaven) atau Dao .Penekananya yang utama adalah konsep terhadap keluarga, social propriety dan solidariti.
Konfusianisme menekankan lima bentuk hubungan atau wulun iaitu antara pemerintah dengan rakyat, ayah dengan anak, abang dengan adik, sahabat dengan sahabat dan suami dengan isteri. Bagi Konfusianisme, dari keluarga akan berkembang menjadi masyarakat, seterusnya negara dan dunia. Kesemua konsep etika yang dikembangkannya diasaskan kepada ren atau kemanusiaan. Bagi Konfusius, nilai hubungan antara anak dengan bapa, ialah bapa harus berbaik hati dan anak harus berkewajiban terhadap orang tua, Hubungan suami isteri ialah suami harus jujur terhadap isteri dan isteri harus tunduk dan patuh dengan suami, hubungan saudara tua dengan saudara muda, iaitu yang tua harus bermurah hati dan membantu, manakala yang muda harus tunduk dan hormat. Hubungan raja dengan rakyat, ialah rakyat mesti bersifat kemanusiaan dan rakyat harus taat. Hubungan antara sahabat ialah kejujuran menjadi pendoman.
Dalam persoalan pemerintahan negara, Konfusianisme mengemukakan konsep pemerintahan berdasarkan akhlak kemanusiaan. Konfusius menekankan pemerintahan berdasarkan zhen ming (nama yang betul), pendidikan akhlak, kepimpinan teladan, mengawal keinginan nafsu, mematuhi prinsip social dan undang-undang negara, meringankan hukuman dan memperkasa system pendidikan (Ubaidullah Mohd Nasir, 2000). Pemerintah yang menggunakan kekerasan dalam pemerintahannya adalah seorang yang gagal sebagai pemerintah. Menurut Konfusius; “tugas kamu adalah untuk metnadbir, bukannya untuk membunuh” (Lun Yu). Pemerintah yang memerintah melalui contoh teladan yang baik (de) dan akhlak terpuji akan dapat mengawal diri mereka sendiri dan rakyat (Ross, 2000) serta dapat mempengaruhi rakyat dan menanamkan kesetiaan rakyat kepada pemerintah. Kata Konfusius:

“jikalau kelakuan pemerintah itu mulia, maka rakyat akan menurut arahannya tanpa paksaan; jikalau kelakuan seseorang pemerintah tidak suci walaupun mengarahkan rakyatnya membuat sesuatu tetapi rakyatnya juga tidak akan menurutnya” (Lun Yu).

“jikalau kelakuan seseorang itu adil dan jujur, maka dia tidak akan menghadapi sebarang masalah ke atas pemerintahannya; jikalau tidak boleh menyempurnakan kelakuan sendiri, bagaimana hendak membetulkan kelakuan rakyat” (Lun Yu).

Kung Fu Tze juga mengigatkan pemerintah supaya berhati-hati memilih pegawainya iaitu dengan tidak mengambil mereka yang hanya pandai bermain lidah dan berpewatakan memikat dan mengampu.
Kung Fu Tze melihat peranan pendidikan adalah untuk membentuk cendikiawan dan Jun Zi. Peranan Jun Zi ialah mempelajari ilmu, memperbaiki diri dan mentadbir manusia. Peranan Shi (bakal Jun Zi) adalah pembantu kepada Jun Zi dan penglibatan dalam pelajaran serta kerja-kerja lain. Dalam proses pembelajaran ada empat ciri utama yang ditekankan oleh Kung Fu Tze iaitu banyak mendengar, banyak melihat, banyak bertanya dan banyak mengenali. Beliau turut menekankan sifat jujur dalam pembelajaran, beliau berkata dalam Lun Yu “ketahui katakan ketahui, tidak ketahui katakan tidak ketahui, itu adalah ilmu pengetahuan” (Ubaidullah Mohd Nasir, 2000). Orang budiman (Jun Zi) menurut Kung Fu Tze adalah mereka yang hidup aman damai, tidak sombong dan tidak menghina orang. Orang yang hina, sombong dan menghina orang hidup mereka tidak akan senang (Lun Yu).


Keselarasan Etika Konfusianisme dengan Islam

Banyak pengkaji menyimpulkan, terdapat keselarasan etika Konfusianisme dengan Islam. Prof.Tu Weiming (1997) berpendapat idea tentang kerajaan yang rahmah dan pertautan yang intim antara moral dengan kepimpinan adalah dikongsi oleh kedua-dua tradisi tersebut. Mereka juga berkongsi idea tentang perbezaan yang mendasar antara manusia dengan makhluk lain dan antara tamadun dengan babarianisme. Mereka turut berkongsi pandangan dari sudut pengagihan keadilan, kepimpinan dan persamaan. Dr.Ubaidullah Mohd Nasir (2000) turut menyimpulkan bahawa memang wujud persamaan di antara etika Konfusianisme dengan Islam dalam beberapa aspek seperti aspek pendidikan, kepimpinan, hubungan sesama manusia, kasih sayang dan hidup yang berlandaskan adat. Kung Fu Tze sendiri pernah menegaskan bahawa dia bukannya originator tetapi hanyalah sebagai “pemindah” kebijaksanaan silam kepada masyarakatnya. Beliau turut mengakui kewujudan ramai ahli hikmah di sebelah Barat. Schwartz (1971) menyimpulkan sumbangan Kung Fu Tze adalah sebagai presever kepada monumen klasik, contoh dan pengasas kepada zaman keemasan China dan beau idea of humanity.
Lee Cheuk Yin (1997) menyatakan, dalam sejarah China sudah wujud penulis-penulis Cina yang beragama Islam menulis tentang keselarasan antara etika konfusianisme dengan nilai-nilai Islam seperti yang dilakukan oleh Wang Daiyu (1573-1619 M) melalui bukunya Zhenjiao Zhenquan. Buku ini cuba mencari persamaan dalam aspek etika seperti konsep Yang dan Yin, hubungan suami isteri,bertanggungjawab, hubungan antara sahabat sambil merujuk kepada buku Konfusianisme iaitu analect. Penulis China Muslim lain seperti Jin Tianzhu melalui bukunya Qingzhan Shiyi (18M) menegaskan bahawa tidak wujud kontradiksi antara etika Konfusianisme dengan etika Islam bahkan kedua-duanya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ringkasnya, penulis muslim China yang awal adalah sumber yang penting untuk memahami kewujudan hubungan yang harmonis antara Islam dan Konfusianisme. Ini membuktikan kedua-dua agama ini boleh wujud secara harmonis dan saling memahami.


1 comment:

Monara Fernandes said...

saya ambik maklumat dari sini yer..tq :)