Friday, October 17, 2008

Semalam dalam satu kenyataan khas yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat ke-215 dan dibacakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah menyebutkan beberapa perkara berkaitan dengan kontrak sosial. Antaranya, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain. Bagaimanapun, kandungan kontrak sosial tersebut telah dipertikai oleh pihak tertentu sehingga ia menjadi kegusaran dan keresahan rakyat. Majlis Raja-Raja berpendapat, sebab berlakunya perkara tersebut ialah kedangkalan pihak berkenaan terhadap latarbelakang sejarah, mengapa peruntukan itu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini serta kepentingan politik sempit. Jika gejala tersebut tidak ditangani, ia boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara. Majlis Raja-Raja telah memberi ingatan supaya kontrak sosial tersebut tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan, lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia asas utama pembentukan Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu memperingatkan supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar. Majlis Raja-Raja menegaskan bahawa institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlaku kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku. Majlis Raja-Raja juga meminta orang Melayu bersatu padu mempertahankan kandungan kontrak sosial tersebut dan memperjuangkan agenda yang lebih penting dan utama daripada kepentingan politik atau kelompok. Majlis Raja-Raja juga berharap supaya kaum bukan Melayu tidak perlu khuatir dan bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (Lihat kenyataan akhbar Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Berita Harian, 17 Oktober 2008). Dengan adanya kenyataan Khas yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja mengenai Kontrak Sosial ini, kita berharap tidak ada mana-mana pihak lagi yang cuba mempertikaikannya atau cuba untuk membentuk gagasan 'Malaysia Baru' sebagai satu percubaan untuk merungkai persetujuan antara kaum sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Keharmonian antara kaum akan wujud apabila semua pihak menghormati kandungan kontrak sosial dan tidak mengungkit-ungkitnya kembali. Kita berharap semua pihak menumpukan perhatian ke arah usaha memajukan negara ini dari asyik mencari titik perbezaaan, tidak menghabiskan masa dengan polimik, jatuh menjatuhkan dan pedebatan. Mereka sepatutnya menggunakan kekuatan intelek dan tenaga yang ada bagi menyediakan solusi praktikal menyelesaikan masalah agama, bangsa dan negara.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...