PENDAHULUAN
Artikel ini
ditulis untuk membincangkan secara umum pembangunan harta wakaf di beberapa
negara terpilih. Ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada umum tentang
pendekatan dan program-program pembangunan hartawakaf di negara-negara tersebut.
Pendedahan ini memberikan kita peluang untuk melihat apakah strategi-strategi,
halangan dan pendekatan yang digunakan oleh negara tersebut bagi memantapkan
pembangunan harta wakaf di negara mereka. Harta wakaf tidak boleh dilihat
semata-mata dari sudut kerohanian atau keagamaan semata-mata tetapi juga mesti
dilihat dari perspektif yang lebih meluas. Malah, peranan wakaf juga perlu
dilihat dari aspek potensinya kepada ummah terutama dalam hubungannya dengan
pembasmian kemiskinan, penjanaan ekonomi umat Islam, kebajikan, pendemokrasian
pendidikan,meningkatkan taraf hidup, meningkatkan syiar agama dan lain-lain
tujuan. Di negara-negara Islam hari ini, terdapat kecenderungan baru untuk
membangunkan harta wakaf dengan mewujudkan model-model dan pendekatan pembangunan
harta wakaf yang berciri dinamik bagi menterjemahkan peranannya yang sangat
penting dan menyeluruh.
KEPENTINGAN
PEMBANGUNAN HARTA WAKAF
Pembangunan
harta wakaf mempunyai matlamat untuk mengembalikan kebaikannya kepada
masyarakat dengan motif utamanya adalah untuk kebajikan (wakaf am) dan juga
memberi manfaat kepada ahli keluarga atau waris orang yang mewakafkan harta
(wakif) tersebut (wakaf khas). Harta wakaf sudah tidak dinafikan lagi mempunyai
potensi besar untuk membangunkan ekonomi umat slam dan dapat membiayai kegiatan
sosial serta kebudayaan masyarakat Islam. Ia juga mampu menyediakan
peluang-peluang pendidikan, membiayai kegiatan penyelidikan, memperbanyakkan
peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan perbelanjaan pengurusan yang
ditanggung oleh kerajaan dan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan
(M.A. Mannan, 2001).
Potensi tersebut hanya dapat dicapai apabila harta wakaf ditadbir dan
diurus secara profesional dan amanah dengan menggunakan pendekatan-pendekatan semasa
dan berkesan yang berpaksikan kepada hukum syarak. Tetapi malangnya potensi ini
belum dapat digembeling sepenuhnya bagi memberi manfaat kepada umat Islam
akibat dari pelbagai masalah seperti pengurusan yang lemah, penyelewengan,
kekurangan dana, isu-isu fiqh wakaf dan kekurangan inisiatif. Menurut Prof Dr.
Syed Khalid Rashid (2004), kelemahan pengurusan wakaf semacam sudah sinonim
dengan pentadbiran wakaf. Sudah sampai waktunya pengembelingan potensi wakaf
perlu dilakukan sepenuhnya bagi memberikan kesan yang positif kepada umat Islam
sama ada mereka sebagai golongan minoriti atau majoriti di dunia hari ini.
Menurut Shaikh Zarqa, setiap apa yang berkaitan dengan wakaf adalah
merupakan persoalan ijtihad dan kesemua ulamak sebulat suara berpendapat bahawa
tujuan wakaf mestilah membawa kepada kebaikan (birr) (Monzer Kahf, 1999). Oleh kerana ia bersifat ijtihadi, maka
ia bersifat fleksibel, terbuka kepada penafsiran-penafsiran baru, dinamik dan
futuristik yang boleh dikembangkan potensinya sesuai dengan keperluan zaman dan
meningkatkan ekonomi umat. Ia berbeza dengan zakat yang secara jelas dan
berulang-ulang disebutkan dalam al-Qur’an dan Hadis sehingga zakat ditempatkan
sebagai salah satu aspek ajaran slam yang qath’iyyud-dalalah
(hukum Islam yang bersumberkan dalil yang jelas dan mutlak). Namun begitu,
bentuk operasi zakat masih boleh mengalami berbagai pembaharuan supaya ia lebih
maju dan berkesan. Sedangkan dasar hukum wakaf sangat sedikit disebutkan dalam
al-Qur’an dan Hadis bagi memberi peluang kepada ruang ijtihad yang sangat luas
yang sesuai dengan realiti yang ada (Paradigma Baru Wakaf di Indonesia, 2005).
Menurut Dr.Monzer Kahf
“…..We must
revise our classical Fiqh in areas that promote the establishment of new endowments and improve the benefits derived from existing
one. Many Muslim socities and communities are rich in inherited endowment
properties, but need to improve their capital benefit ratios “ (Monzer Kahf,
1999).
Pembangunan harta wakaf amat perlu dilakukan kerana harta wakaf tidak sepatutnya
dibiarkan beku tanpa memberi sebarang nilai tambah. Ia merupakan tugas dan
tanggungjawab nazir atau mutawwali wakaf untuk memperkembangkan harta tersebut
supaya memberi manfaat kepada benifisari dan masyarakat Islam (Mohd Daud Bakar,
1999). Pembangunan, pengembangan dan pelaburan harta wakaf boleh menggunakan
instrumen kewangan yang diguna pakai dalam sistem kewangan Islam semasa.
Mengikut Dr. Monzer Kahf (1998) terdapat beberapa bentuk pendekatan kewangan
Islam yang boleh diguna pakai khususnya oleh nazir wakaf bagi mencapai matlamat
tersebut, antaranya Murabahah, Istisna’, Ijarah,
Mudharabah, Syarikat al-milk dan lain-lain. Contohnya melalui kontrak dalam
bentuk Murabahah memerlukan nazir
wakaf bertindak sebagai pengusaha yang mengurus proses-proses pelaburan,
membeli peralatan-peralatan dan kelengkapan yang perlu melalui kontrak
Murabahah, sementara bank Islam menyediakan sumber pembiayaan. Pengurus wakaf
menjadi peminjam/pemiutang kepada institusi bank dan hutang ini akan dibayar
melalui pembangunan harta wakaf. (Monzer Kahf, 1998). Pelaburan dan
pengembangan harta wakaf boleh dilakukan melalui pelaburan dalam pasaran saham
secara langsung atau pelaburan melalui amanah saham atau melalui pelaburan di
skim perbankan Islam melalui instrumen sistem kewangan Islam (Mohd Daud Bakar,
1999).
Kajian Habib Ahmad (2004) merumuskan bahawa institusi wakaf boleh diperkasakan
melalui peningkatan kualiti dan kuantiti wakaf. Antaranya dengan membuat
pelaburan dalam membangunkan harta tersebut bagi meningkatkan pulangan
hasilnya. Contohnya, kajian Islamic Research and Traning Institute (IRTI) (2000)
terhadap 46 sample harta wakaf di Kuwait yang berada di bawah pentadbiran KAWF,
hanya 28 telah dibangunkan, manakala 18 darinya tidak dibangunkan. Sedangkan
jika sekiranya dibuat pelaburan sebanyak US$2.8 juta untuk membangunkan
keseluruhan harta wakaf tersebut ia boleh menjana pendapatan tahunan sebanyak
US$0.46 juta. Kajian yang sama dibuat di India, dimana 32 harta wakaf yang
dijadikan sample, hanya 2 dibangunkan, manakala 30 tidak dibangunkan.
Sekirannya dibangunkan ia boleh menjana pendapatan sebanyak US$126.547 (Habib
Ahmad, 2004).
PENGALAMAN SINGAPURA DALAM MEMBANGUNKAN
HARTA WAKAF
Mengikut
bancian tahun 2000, orang Melayu di Singapura hanya berjumlah 453.600 orang
atau mewakili 13.9 % dari jumlah komposisi kaum di Singapura,dimana 99.6%
adalah beragama Islam (lihat www.Singstat.gov.sg). Data ini jelas menunjukkan
umat Islam di sana adalah golongan minoriti dan tinggal di sebuah negara
sekular. Bagaimanapun, kedudukannya itu tidak menghalang umat Islam di
Singapura membangunkan harta wakaf secara inovatif bagi memenuhi kepentingan
mereka. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah ditubuhkan pada tahun 1968 di
bawah Administration of Muslim Law Act (AMLA) memainkan peranan yang utama di
dalam mengurus dan membangunkan harta wakaf. Di bawah AMLA semua harta wakaf
samada diwujudkan sebelum atau selepas 1hb. Julai 1968 hendaklah didaftarkan di
bawah MUIS (Seksyen 64 (1)).
Pendaftaran harta wakaf tersebut mestilah dibuat dalam masa 6 bulan oleh
mutawalli wakaf (pemegang amanah/pengurus wakaf) tersebut setelah wakaf itu
dibuat (Seksyen 64(8)). Sekiranya gagal berbuat demikian maka ia boleh dikenakan
denda tidak melebihi $5,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau
kedua-duanya sekali (Seksyen 64 (11)). Di bawah MUIS, Pengurusan dan pembangunan
harta wakaf di letakkan di bawah The Assets Management Cluster yang mempunyai
empat bahagian iaitu Zakat & Wakaf Strategic Unit, Disbursement &
Empowerment Strategic Unit, Halal Certification Strategic Unit dan Haji Service
Strategic Unit.
Sebagai pemegang amanah atau mutawwali, MUIS mempunyai peranan untuk mengurus
harta wakaf dengan baik, mempunyai kecekapan dalam mengurus dana-dana wakaf dan
memaksimakan pontensi wakaf untuk faedah benefisari. Sebagai pemegang amanah,
fungsi biasa MUIS adalah dalam bentuk pengemaskinian rekod wakaf, pendokumenan
harta wakaf, menjaga akaun dan melakukan audit ke atas harta wakaf, perlantikan
mutawwali wakaf serta mentadbir dan menguruskan harta wakaf di Singapura. Dalam
soal pembangunan atau pengembangan harta wakaf bagi menjana dana atau
memastikan harta wakaf tersebut dapat dibangunkan potensinya, maka satu anak
syarikat telah ditubuhkan yang dikenali sebagai WARESS Investment Pte Ltd.
Dengan penubuhan WARESS ini, terdapat pemisahan peranan kedua-duanya, iaitu
MUIS hanya berperanan dalam bentuk yang telah disebutkan, manakala WARESS lebih
berperanan dalam bentuk komersial. Pemisahan peranan ini telah memberikan banyak
faedah, antaranya MUIS dapat memberikan tumpuan khusus kepada fungsi terasnya
manakala WARESS memberikan penumpuan dalam aspek komersial. Ia juga akan
meningkatkan keanjalan, keberkesanan dan kecekapan mengurus dan membangunkan
harta wakaf di Singapura. Pemisahan ini juga menjadi penghadang kepada pemegang
amanah wakaf dari sebarang risiko perniagaan dan boleh juga meningkatkan
keuntungan
WARESS telah ditubuhkan pada 26 September 2001 dan memulakan operasinya
pada bulan Januari 2002. Pengurusannya terdiri dari ahli Lembaga Pengarah,
Pengurus Besar dan Pengurus Operasi. Perniagaan utamanya adalah hartanah dan
pengurusan projek,pengurusan sewaan dan pemasaran serta pelaburan hartanah.
Dalam aspek pengurusan projek, peranan WARESS adalah untuk mengurus semua
projek-projek yang dijalankan oleh MUIS termasuk rekabentuk, kontrak,
pengurusan projek dan belanjawan. Manakala dalam pengurusan harta pula, peranan
WARESS pula ialah mengurus semua harta-harta yang dimiliki oleh MUIS termasuk
69 buah masjid di Singapura. Semenjak dari penubuhannya, WARESS telah Berjaya membina
27 buah masjid, 25 projek penempatan komersial dan madrasah. WARESS juga
terlibat dalam pengubahsuaian dan penjagaan masjid, mengurus Warisan Melayu
(Malay Heritage) serta mengistibdalkan tanah-tanah wakaf yang kecil dan tidak
ekonomikal kepada tanah atau bangunan yang berpotensi.
WARESS sentiasa mempastikan semua aktiviti hartanahnya adalah menepati kehendak
syariah. Bentuk aset yang diakui oleh syariah adalah seperti perumahan/apartmen,
ruang pejabat, taman industri/perniagaan dan kedai runcit. Bertitik tolak dari
asas ini, WARESS membangunkan kegiatan hartanah dan pelaburannya. Salah satu
dari kejayaan besar WARESS adalah menerbitkan S$25 juta Bon Musyarakah bagi
membeli sebuah bangunan di 11 Beach Road bagi menggantikan 20 tanah wakaf MUIS
yang berada di kawasan yang tidak berpotensi dan berada di luar zon perdana
pembangunan. Majlis Fatwa Singapura telah membenarkan penukaran tanah wakaf
yang tidak berpotensi kepada wakaf yang lebih berpotensi tinggi dilakukan. Bon
ini merupakan bon Islam pertama diwujudkan di Singapura bagi membeli bangunan
pejabat 6 tingkat yang berharga S$31.5 juta atau S$919 kaki persegi. Bon ini
menggunakan dua prinsip iaitu Musyarakah (partnership) dan Ijarah (leasing).
MUIS telah mengadakan perjanjian perkongsian dengan pihak pelabur bon untuk
membeli bangunan tersebut dengan berkongsi untung dan rugi. Pihak MUIS
menyumbang sebanyak S$9 juta, manakala pihak pelabur bon sebanyak S$25 juta,
iaitu sumbangan modal dan perkongsian untung mengikut ratio 26.5% (MUIS) dan
73.5% (pelabur) (Fazlur Rahman Kamsani, DTZ Debenham Tie Leung, 2005).
Kejayaan tersebut diteruskan melalui penerbitan bon S$35 juta-Bencoolen
Street (semuannya telah dilanggan oleh pelabur institusi) dengan menggunakan
konsep yang sama. Penerbitan bon ini dilakukan bagi membangunkan kembali sebuah
masjid lama untuk dijadikan sebuah kompleks mixed-use yang mengandungi sebuah
masjid yang moden, 3 tingkat bangunan komersial dan 12 tingkat apartmen yang
mengandungi 84 unit apartment yang lengkap dengan berbagai kemudahan. Terdapat
tiga pihak yang terlibat dalam perjanjian Musyarakah ini iaitu MUIS, Dana Wakaf
dan WARESS sendiri. Masjid dan 3 tingkat bangunan komersial adalah dipunyai
oleh Dana Wakaf, iaitu bernilai S$8.44 juta (11.9%) manakala 12 tingkat
apartment dipunyai oleh MUIS dan diurus oleh WAREES bernilai S$62.62 Juta
(88.1%). Sumbangan modal adalah dari tiga pihak ialah MUIS sebanyak S$35 juta
(88.8%), Dana Wakaf sebanyak S$4.719 juta (11.9%), iaitu S$4.2 juta nilai tanah
dan ekuiti S$519,000 dan WAREES menyumbang kepada pengurusan sumber dan S$1.00
nominal cash.
WAREES yang mewakili MUIS telah mengadakan perjanjian Ijarah dengan
Ascott bagi menguruskan apartment tersebut selama 10 tahun dengan jaminan pendapatan
serendah S$1.3 juta pada tahun pertama dan S$1.8 juta untuk tahun kedua
sehingga 10 tahun dengan perkongsian untung. Keuntungan dari Ijarah ini akan
dibayar kepada pelabur bon sebanyak S$1,060,500 atau 3.3% setahun (Fazlur
Rahman Kamsani, DTZ Debenham Tie Leung, 2005). WAREES juga terlibat sebagai
pemaju bagi membangunkan tanah-tanah wakaf. Contoh kejayaan besar WAREES ialah
membangunkan projek perumahan mewah The
Chancery Residence. Pembangunan ini hasil kerjasama WARESS dengan pemegang
amanah wakaf, iaitu Wakaf Yahya Lukmanji Saif. Keseluruhan dari 34 unit rumah
ini telah habis dijual bagi menjana keuntungan dan mengembangkan aset wakaf
MUIS. Projek mutakhir WAREES adalah membina semula sekolah wakaf Madrasah
al-Maarif yang dipindahkan dari tapak asalnya tanah wakaf di Ipoh Lane ke
lorong 39 Geylang dengan membangunkan sebuah madrasah yang mempunyai kemudahan
fasiliti yang lengkap setinggi 8 tingkat. Bangunan baru ini hampir siap dibina
dan akan digunakan pada tahun 2007. (www.muis.gov.sg).
Secara keseluruhannya, hasil dari pendekatan dan pengurusan yang
professional, pada tahun 2004, Tabung Wakaf MUIS memperolehi pendapatan
sebanyak S$6,886,523, S$9,486,653 (2003) dan S$4,584,408 (2000) melalui hasil sewaan
(sumber utama), sumbangan orang ramai, dividen dan lain-lain sumber. Pada tahun
2004, S$804,340 telah diagihkan kepada benefisiari tempatan iaitu 48% untuk
masjid, 34% pendidikan, 11% Madrasah, 2% untuk golongan yang susah, 2%
organisasi dan 3% lain-lain (MUIS Annual Report 2004). Pada bulan Ogos 2006,
Presiden MUIS telah mengumumkan pendapatan sewaan dari harta wakaf telah
meningkat sebanyak 11%. Pengagihan dari pendapatan harta wakaf tahun 2006
adalah sebanyak S$1,230,840 meningkat dari S$1,131,620 pada tahun 2005. 90%
(S$1,102,565) dari pendapatan ini diagihkan kepada benefisiari tempatan
manakala 10% (S$128,275) kepada benefisiari luar (www.muis.gov.sg).
No comments:
Post a Comment