Pengalaman Kuwait
Sejarah
wakaf di Kuwait bermula pada tahun 1695 apabila masjid di bina di atas tanah
yang diwakafkan. Apabila Kuwait mencapai kemerdekaan pada tahun 1962, Menteri
Awqaf telah diwujudkan (Habib Ahmad, 2004). Sistem pentadbiran wakafnya
ditadbir di peringkat pusat iaitu di bawah satu Kementerian yang dikenali sebagai
Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama. Wakaf di Kuwait tidak hanya terhad
kepada masjid-masjid, tetapi diperluaskan kepada makanan, bantuan kepada fakir
miskin/orang yang tidak berkemampuan/bantuan kepada persatuan-persatuan Islam
dan pusat Islam, membina hospital dan pusat-pusat perubatan, memberi bantuan
biasiswa kepada pelajar-pelajar, penerbitan dan pengagihan buku-buku, wakaf
al-Qur’an dan lain-lain samada untuk masyarakat tempatan atau negara-negara
lain. Pada tahun 1993, satu dikri telah dikeluarkan oleh Amir Kuwait bagi menubuhkan
Yayasan Wakaf Am Kuwait atau Kuwait Awqaf Public Foundation (KAPF) yang
mempunyai tujuan khusus untuk wakaf dan pembagunan projek-projek wakaf untuk
masyarakat. KAPF ini dianggotai oleh Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Islam sebagai
pengerusi, Ketua Setiausaha KAPF sebagai ahli, Pengarah Bahagian Zakat dan
lain-lain ahli yang dilantik. Ahli lembaga ini adalah mempunyai autoriti untuk
membuat apa-apa keputusan yang sesuai, membuat polisi umum bagi mengurus dan
melaburkan wang wakaf dan lain-lain tanggungjawab yang ditentukan oleh
kerajaan. Dikri Amir Kuwait telah meletakkan tiga tanggungjawab dasar KAPF,
iaitu:
a. Memberi
galakkan kepada masyarakat untuk berwakaf dengan merancang program-program dan
aktiviti-aktiviti, di dalam negeri atau luar negara bagi meningkatkan kegiatan
berwakaf.
b. Pelaburan
dan penambahan hasil harta wakaf melalui pengawalan, pelaburan dan pembangunan
aset wakaf melalui polisi bebas rasiko bagi menambahkan hasil.
c.
Membelanjakan hasil dan membangunkan masyarakat supaya harta wakaf tersebut
menjadi satu kebajikan dan membiayai projek-projek pembangunan seperti yang
dikehendaki oleh wakif.
Dalam usaha merealisasikan, tanggungjawab tersebut KAPF telah membentuk pelan
strategiknya selama 5 tahun iaitu dari tahun 2003 hingga 2007. Hasil dari pelbagai
kampen yang dijalankan oleh KAPF melalui media seperti TV, radio, pengiklanan,
khutbah jumaat dan lain-lain, terdapat peningkatan wakaf baru, iaitu dari
591,195 KD (1995), meningkat kepada 3,229,657 KD (1999) dan 1,671 016 KD
(2002). Dalam aspek pelaburan dan penambahan hasil harta wakaf, aktiviti KAPF
berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti kriteria syariah bagi meminimakan
faktor rasiko untuk mengawal modal wakaf, kriteria ekonomi iaitu menyediakan
kajian terhadap kebolehlaksanaan sesuatu projek, kriteria geografi berasaskan
kepada kepelbagaian lokasi pelaburan, kepelbagaian instrument pelaburan dan
kepelbagaian sektor pelaburan. Dengan menggunakan kriteria tersebut, KAPF telah
berjaya memperolehi kedudukan kewangan yang baik dimana 70.4% daripada harta
wakafnya menjana pendapatan.
Dalam usaha KAPF membelanja dan membangunkan masyarakat melalui harta
wakaf, KAPF sentiasa mempastikannya mengikut kehendak syariah dan mengikut
tujuan pewakif melalui pengesahan atau nasihat Lembaga Syariah KAPF. KAPF juga mewujudkan
satu bahagian yang dinamakan sebagai Bahagian Tabung Wakaf yang bersifat
autonomi. Ia diwujudkan berasaskan kepada falsafah untuk membangun satu konsep
wakaf yang berdaya maju. Bahagian ini merupakan mekanisme yang amat penting dan
mempunyai kepentingan strategik dalam proses membangunkan wakaf dan
melaksanakan misi KAPF. Bahagian ini diuruskan oleh lembaga pengarah yang
mempunyai tanggungjawab menentukan polisi, pelan dan program-program bagi
mencapai matlamatnya. Bidang yang di bawah urusan Tabung Wakaf ialah tabung
wakaf al-Qur’an dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, tabung wakaf pengurusan
masjid-masjid, tabung wakaf orang kurang upaya dan istimewa, tabung wakaf alam
sekitar, tabung wakaf pembangunan saintifik, budaya dan pemikiran, pembangunan
kesihatan, pembangunan keluarga dan komuniti, kerjasama Islam dan lain-lain.
Walau bagaimanapun pada 26.05.2001, Lembaga Hal-ehwal Wakaf, telah
mengurangkan bilangan tabung ini dari 10 kepada 4 sahaja, iaitu tabung wakaf
untuk al-Qur’an dan ilmu-ilmu al-Qur’an, tabung wakaf pengurusan masjid-masjid,
tabung wakaf untuk kegiatan saintifik dan pembangunan sosial dan tabung wakaf
untuk pembangunan kesihatan. Sumber kewangan Tabung Wakaf diperolehi melalui peruntukan-peruntukan
yang diberi kepadanya secara tahunan, pendapatanpendapatan yang dijana melalui
aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Wakaf, sumbangan
dan derma yang tidak bertentangan dengan kehendak wakaf (Ghanim A. Alshaheen,
2004).
Projek-projek yang dijalankan oleh KAPF telah memberi faedah yang
berkesan kepada masyarakat. Antara projek yang dijalankan ialah memberi bantuan
kewangan kepada pelajar miskin. Di mana pada tahun 2002, KAPF telah membelanjakan
KD 603 676 untuk tujuan tersebut. KAPF juga memberi bantuan kepada Pusat
Autistik Kuwait. Pada tahun 2002 sebanyak KD 234 276 telah diperuntukkan kepada
pusat ini. Aktiviti-aktiviti amal lain yang dilakukan oleh KAPF yang mematuhi
syarat-syarat waqif ialah, penyediaan minuman percuma di tempat awam, memberi
bantuan makanan kepada orang susah, memberi bantuan pakaian kepada keluarga
yang susah, menyediakan makanan di bulan Ramadan untuk keluarga yang susah dan
memerlukan dan lain-lain lagi. Pada tahun 2002, KAPF telah membelanjakan KD 211
100 untuk tujan kebajikan dan KD 100 000 untuk fasiliti awam (Ghanim A.
Alshaheen, 2004).
Pengalaman Pakistan
Wakaf di
Pakistan seperti di negara-negara lain juga mempunyai sejarah yang panjang.
Secara tradisinya, harta wakaf diuruskan oleh organisasi sukarela tempatan dan
para ulamak. Apabila wujudnya kelemahan dalam urusan wakaf tersebut, maka
kerajaan Pakistan telah mengubal Ordinan Harta Wakaf 1959.
Dari segi praktikalnya, pengurusan harta wakaf diletakkan di bawah
pentadbiran setiap wilayah dan diberikan kuasa autonomi untuk mengurusnya
(Habib Ahmad,2004). Di wilayah Islamabad, harta wakaf ditadbir oleh Bahagian
Wakaf yang dibahagikan kepada dua unit, iaitu unit masjid dan unit makam. Di
Islamabad terdapat 251 masjid di mana 90 buah masjid diurus oleh Bahagian
Wakaf. Unit Makam pula mengurus 5 buah makam dan 1 bithak (tempat
berzikir/bermeditasi).
Kebanyakan pendapatan harta wakaf datangnya dari sumbangan orang ramai yang
menziarahi makam-makam tersebut. Pada tahun 2002-2003, pendapatan dari
makam-makam tersebut ialah sebanyak Rs.9.873 juta. Kebanyakkan dari pendapatan
tersebut digunakan untuk membayar gaji pekerja-pekerja masjid. Di wilayah
Punjab, pentadbiran harta wakafnya diletakkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Agama
dan Wakaf. Jumlah keseluruhan harta wakaf yang ditadbir oleh Bahagian ini ialah
meliputi tanah seluas 76,130 ekar. Pendapatan daripada harta wakaf pada tahun
2002-2003 adalah sebanyak Rs 356.665 juta. 30% dari hasil pendapatannya datang
dari sewaan tanah wakaf untuk pertanian dan lain-lain tujuan dan 54.5% bersumberkan
dari kutipan tabung sumbangan orang ramai yang datang ke makam-makam (Habib
Ahmad, 2004).
Kajian Habib Ahmad (2004) terhadap pengurusan wakaf di Pakistan dan di Negara-negara
lain telah merumuskan bahawa harta wakaf yang mempunyai tujuan yang khusus
untuk aktiviti keagamaan seperti pembinaan masjid tidak banyak boleh dibangunkan
dan berperanan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, pembangunan komuniti dan
sosial. Pendapatan dari harta tersebut hanya sebahagian kecil disalurkan untuk
tujuan kebajikan sosial. Justeru, beliau mengesyorkan untuk menambahkan
bilangan harta wakaf hendaklah dilakukan pembaharuan dalam undang-undang wakaf
agar dapat menghasilkan satu model alternatif wakaf yang bukan semata-mata
berasaskan kepada tanah/hartanah wakaf.
Pengalaman India
Diskripsi
awal tentang wakaf di India ditemui dalam buku yang bertajuk Inshai-Mahru yang
ditulis oleh Aynul Mulk Mutani. Perkembangan wakafnya bermula pada zaman
Kesultanan Delhi yang ditubuhkan pada tahun 1206 M apabila pemerintah Delhi mewujudkan
harta wakaf. Selepas itu, lebih banyak harta wakaf diwujudkan oleh orang-orang
Islam terutama dalam bentuk masjid, makam, madrasah dan lain-lain. India
mempunyai harta wakaf yang paling banyak dan bertaburan di seluruh negara yang
kebanyakkannya diwarisi dari masa lampau.
Kajian yang dibuat oleh Prof. S. Khalid Raseed merekodkan terdapat
100,000 harta wakaf di India yang berdaftar dengan kerajaan India (Hasanuddin
Ahmad, Ahmedullah Khan, 1997). Bagaimanapun kajian Haque (2003) mencatatkan terdapat
297,970 harta wakaf yang berdaftar di India, tetapi bilangan yang sebenar dipercayai
melebihi 300,000. Kajian IRTI (2000) menganggarkan nilai harta wakaf di India
adalah sebanyak US$2,690 juta, kebanyakannya dalam bentuk masjid, makam/tanah
kubur dan tidak banyak dalam bentuk wakaf umum yang boleh menjana pendapatan.
Kebanyakkan daripada harta wakafnya diuruskan secara persendirian, manakala
Lembaga Wakaf Negeri-Negeri hanya mengurus sebahagian kecil df˙i harta
tersebut. (Habib Ahmad, 2004).
Pembangunan harta wakafnya banyak dimainkan oleh Lembaga Wakaf
Negeri-Negeri sama seperti yang dijalankan di Pakistan. Sebagai contoh, di
negeri Karnataka, terdapat 20,939 harta wakaf yang berdaftar dengan Lembaga
Wakaf tetapi Lembaga hanya mengurus secara langsung 42 institusi wakaf,
manakala yang selebihnya diurus oleh Mutawalli wakaf. Program Jamabandi telah
diadakan oleh Lembaga Wakaf Karnataka bagi memberi peluang kepada Mutawalli membentangkan
akaun tahunan wakaf mereka di samping bertukar-tukar pandangan bagi menyelesaikan
masalah yang wujud. Disamping itu diadakan konfrensi Mutawalli di beberapa
daerah bagi menjelaskan peranan mereka sebagai Mutawalli dan menerangkan
program-program yang diadakan oleh Lembaga Wakaf.
Pada tahun 1989 hingga 1990, lembaga telah memberi bantuan sebanyak Rs 70
lakhs kepada 600 institusi wakaf di Kartanaka. Program pembangunan harta wakaf
merupakan aktiviti utama Lembaga. Pembangunan harta wakaf di kawasan bandar
bermatlamatkan supaya institusi wakaf dapat berdikari dalam soal kewangan mereka.
Ia juga bertujuan untuk mempertingkatkan potensi harta wakaf supaya dapat
menyumbang dan membiayai kegiatan kebajikan dan sosial yang memberi faedah
kepada masyarakat yang memerlukan. Majlis Wakaf Pusat telah memberi banyak
pinjaman bagi membiayai banyak projek pembanguan wakaf di Kartanaka. Antara
projek yang berjaya dilaksanakan ialah pembinaan 12 pusat perniagaan, antaranya
shopping complex Hazrath Hameed Shah di Cubbanpet, Banglore, Pasar raya Hazrat
Madar Shah di Facing Ashoka Road di Tumkur dan lain-lain. Disamping itu,
Lembaga Wakaf Kartanaka telah membina Pusat Perubatan percuma khususnya untuk
masyarakat muslim yang miskin yang mempunyai 20 katil, bank darah dan makmal.
Salah satu peranan utama Pusat Perubatan ini adalah mengerakkan program imunisasi
dimana ambulan dari pusat ini akan melawat beberapa daerah untuk memberi
sutikan imunisasi, vitamin dan lain-lain bantuan perubatan khususnya untuk
golongan kanak-kanak dan wanita. Banyak institusi wakaf di negeri ini juga
menyediakan kelas jahitan secara percuma untuk golongan wanita muslim,
menyediakan biasiswa, menganjurkan upacara perkahwinan secara beramai-ramai dan
mendirikan hostel untuk para pelajar (Hasanuddin Ahmad, Ahmedullah Khan, 1997).
Di negeri Punjab, pada tahun 1988-1990 terdapat 35,148 harta wakaf yang berdaftar
di bawah Lembaga Wakaf Punjab. 99% daripada harta wakaf di negeri ini secara
langsung diurus oleh Lembaga Wakaf. Mengikut Akta Wakaf, Mutawalli wakaf
dikehendaki menyumbang 7% kepada Tabung Wakaf. Tabung Wakaf ini digunakan untuk
tujuan membiayai kos penyelengaraan, ubah suai, bil elektrik dan bil air
masjid-masjid dan membayar gaji pekerja yang berkaitan. Lembaga Wakaf Punjab
juga mengurus secara langsung Islamia High School, di Malerkotla, menyediakan
fasiliti pendidikan untuk pelajar muslim termasuk biasiswa. Pada tahun
1990-1991, Lembaga Wakaf Punjab menjadikan pembangunan pendidikan sebagai
aktiviti utamanya dengan membina 2 sekolah menengah, 3 sekolah tinggi, 8
sekolah rendah, 8 pusat latihan vokasional dan 7 pusat computer terutama untuk
kemudahan masyarakat luar bandar yang miskin (Hasanuddin Ahmad, Ahmedullah
Khan, 1997).
Peranan Islamic Development Bank
(IDB)
IDB dalam
usahanya untuk membangunkan potensi harta wakaf telah menubuhkan Awqaf Properties Investment Fund (APIF)
yang ditubuhkan pada tahun 2001. Penubuhan tabung ini dengan misi untuk
mempromosi, membangunkan harta wakaf di seluruh dunia serta membangkitkan
kesedaran umat Islam terhadap kepentingan wakaf. Matlamat utamanya adalah
pelaburan dalam hartanah wakaf yang mempunyai kepentingan sosial dan ekonomi.
Modal permulaan APIF adalah sebanyak US$ 55 juta hasil sumbangan
menteri-menteri wakaf, institusi wakaf, institusi kewangan Islam termasuk IDB
sendiri (APIF Annual Report, 1423H (2002-2003).
Di samping menggunakan bentuk pembiayaan yang diperakui oleh syariah,
APIF pada tahun 2005 telah memperkenalkan panduan pelaburan BOT, sebagai
panduan dalam penyertaan pelaburan hartanah wakafnya bersama
organisasi-organisasi wakaf yang lain. Semenjak tahun 2006, APIF telah meluluskan
8 projek yang keseluruhannya berjumlah sebanyak US$63.88 juta di 8 buah negara.
Secara kumulatif, APIF telah meluluskan 39 projek di lapan buah negara anggota
dan 1 projek di negara bukan anggota yang berjumlah US$198.93 juta. Lebih dari
75% pembiayaan projeknya diasaskan kepada leasing
mode of financing (IDB Annual report 1426H).
RUMUSAN DAN KESIMPULAN
Artikel ini membuktikan harta wakaf mampu
berperanan di dalam masyarakat Islam sama ada mereka sebagai masyarakat
majoriti atau minoriti. Namun kejayaan dan keberkesanan institusi wakaf banyak
bergantung kepada pengurusan wakaf yang dinamik dan sistem perundangan wakaf
yang memberi ruang luas kepada pembangunan harta wakaf tersebut. Walau bagaimanapun,
harta wakaf yang boleh menyumbang kepada pembangunan adalah dalam bentuk wakaf umum.
Masih banyak harta wakaf yang terdapat di negara-negara umat Islam yang masih
belum dibangunkan kerana ciri khususnya, lokasi, kekurangan dana, pentadbiran
dan pengurusan yang lemah dan lain-lain masalah yang menghambat pembangunannya.
Terdapat kecenderungan di sesetengah negara Islam memperkembangkan potensi
wakaf tunai kerana ciri dinamik, mudah diurus, partisipasi masyarakat yang
lebih meluas dan penjanaan pendapatan melalui aktiviti pelaburan yang mudah
dihalakan untuk tujuan yang lebih meluas. Kejayaan sesebuah negara membangunkan
potensi wakafnya, kerana peranan yang dimainkan oleh badan/yayasan atau lembaga
wakaf/mutawalli/nazir yangmemberikan perhatian khusus kepada aktiviti-aktiviti
dan program-program pembangunan harta wakaf.
Pembangunan harta wakaf berkait rapat dengan sumber pembiayaannya sama ada
sumber tersebut dating dari orang ramai atau penggunaan instrumen atau mod
kewangan Islam. Pengalaman WARESS di Singapura boleh dijadikan model bagaimana
ia mampu menggunakan instrumen kewangan Islam dan pengurusan profesional untuk membangunkan
harta wakaf walaupun ia hanya mempunyai 100 harta wakaf di seluruh Singapura
dimana 65 diurus secara langsung oleh MUIS dan bakinya diurus oleh pemegang
amanah yang dilantik oleh MUIS (jumlah aset harta wakafnya dianggarkan
berjumlah S$250 juta). Pengalaman Bangladesh dalam memperkenalkan Wakaf Tunai
yang dikendalikan secara profesional oleh SIBL dan Bank Islam sebagai satu
sektor baru dalam sistem perbankannya juga harus dicontohi dan dikembangkan di
Malaysia. Perbankan Islam di Malaysia perlu mewujudkan sector voluntary iaitu
sektor non-formal bank yang memberi tumpuan khusus kepada penawaran dan
pembangunan wakaf tunai melalui prinsip mudarabah bagi memperluas dan memperkembangkan
wakaf di negara ini, supaya manfaatnya bertambah meluas bukan sahaja dari
perspektif keagamaan, kebajikan tetapi turut menyumbangkan kepada pembangunan
ekonomi umat Islam. Dengan mengambil semangat dari pelaksanaan wakaf tunai di
Bangladesh, artikel ini mencadangkan supaya kajian dibuat untuk melihat
kemungkinan penubuhan dan pelaksanaan Bank Wakaf di Malaysia. Bagi mencapai
tujuan-tujuan di atas, dicadangkan supaya ditubuhkan satu Pusat Kajian Wakaf
Malaysia (IKWAM) yang dikendalikan oleh pihak universiti dengan kerjasama
pihak-pihak lain yang berkaitan seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji serta
Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, bagi membuat penyelidikan berkaitan wakaf
dengan mengembelingkan semua kepakaran bagi menyediakan input-input berguna untuk
pembangunan harta wakaf di negara ini khasnya dan negara-negara yang lain amnya.
NOTA
Artikel ini
merupakan Kertas Kerja yang telah dibentangkan di Konvensyen Wakaf Kebangsaan
2006 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri dengan
kerjasama UiTM Johor, UTM, UM, UIAM, YPEIM, IKIM, JAKIM dan YADIM, The Legend
Hotel, Kuala Lumpur, 12-14 September 2006.
RUJUKAN
Awqaf Propeties Investment Fund, Annual Report 1423H.
Al-Auqaf Fi Daulah al-Arabiah 1998, Artikel Pelajar Universiti
Al-Azhar.
Dian
Masyita, Muhammad Tasrif, Abdi Suryadinata Telaga. 2005. A Dynamic Model for Cash Waqf Management as One of The Alternative
Instruments for The Poverty Alleviation in Indonesia. The 23th
International Conference of The System Dynamics Society Massachussets Institute
of Technology (MIT), Boston, July 17-21, 2005.
Fazlur
Rahman Kamsani dan DTZ Debenham Tie Leung. 2005. Islamic Real Estate Finance and Middle East Opportunities.
Presentation at REDAS Seminar ‘Construction and Property Prospects 2005,
Orchard Hotel, Singapore, 11 Jan 2005.
Ghanim A.
Alshaheen (Dr.). 2004. Kuwait Awqaf
Public Foundation’s Experience. Kertas Kerja Seminar Pembentukan Muamalah
Dan ekonomi Berteraskan Islam, Anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, IKIM dan
Johor Corperation, pada 12-13 Oktober 2004.
Habib Ahmad.
2004. Role of Zakaf and Awqaf in Poverty
Alleviation. Jeddah, Islamic Development Bank.
Hasanuddin
Ahmed, Ahmedullah Khan. 1997. Strategies
To Develop Waqf Administration in
India. Jeddah, Islamic Development Bank.
Husnayadi
Herlisa SH MH. 2004. Aspek Hukum
Pendaftaran Tanah Wakaf. Dalam Banjamasin Post. Jumaat, 9 Julai 2004.
Islamic Development Bank Annual
Report, 1426H.
M.A.Mannan.
2001. Sertifikat Wakaf Tunai: sebuah
Inovasi Instrumen Keuangan Islam (trj). CIBER, Gedung Rektorat Kampus Baru
UI Depok.
______________.
1999. Fiqh Issues in the Revival of Awqaf.
Paper presented at the Harvard
Forum on Islamic Finance and
Economic, Harvard
University, October 1, 1999
Majalah Al-Ahkam al-Syari’ah 1995, Maktabah wahbah Misr
Majalah Al-Ahkam Wa Adilah 1995, Maktabah wahbah Misr
Mohd Daud
Bakar. Amalan Institusi Wakaf Di beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan dalam
Konsep Dan Perlaksanaan Wakaf Di Malaysia,
Nik Mustapha Nik Hassan (Pnyt.). Kuala Lumpur, IKIM.
Mohd Ridzuan
Awang 1987, Konsep Undang-Undang Tanah
Islam – Pendekatan Perbandingan. Kuala Lumpur : Al Rahmaniah
Monzer Kahf
(Prof.Dr.) 1998. Financing The Development of Awqaf Property. Seminar On
Development of Awqaf. IRTI. Kuala Lumpur, March 2-4, 1998.
Mustafa
E.Nasution. 2002. Wakaf Tunai: Strategi
Untuk Memyejahterakan dan Melepas Ketergantungan Ekonomi. Kertas Kerja
Pemberdayaan Ekonomi Umat Melalui Wakaf Produktif, IIIT, Ditjen Bimas Islam dan
Penyelengaraan haji, Deparment Agama RI pada 7-8 Januari 2002, Batam.
MUIS Annual
Report 2004.
MUIS 2003,
Khutbah Wakaf di Singapura.
Nik Mustafa
Nik Hassan 1999 (penyunting), Konsep dan
perlaksanaan wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: IKIM.
Paradigma
Baru Wakaf di Indonesia. 2005. Direktorat Pengembangan Zakat dan Wakaf,
Direktorat Jenderal Bimbingan Masyarakat Islam dan Penyelenggaraan Haji,
Jakarta.
PMERAM,
2000. Waziratul Auqaf baina Al-Azhar wa
Mujtami’ Misr.
Shamsiah
Abdul Karim 2004, Wakaf Administration
& Management In Singapore, Seminar Pembentukan Sistem Muamalah dan
ekonomi berteraskan Islam.
Strategi Pengembangan Wakaf Tunai di
Indonesia. 2004.
Direktorat Pengembangan Zakat dan Wakaf, Direktorat Jenderal Bimbingan
Masyarakat Islam dan Penyelenggaraan Haji, Jakarta.
Syed Khalid
Rashid (Prof. Dr,). 2004. Certain
Problems In The Administration Of Awqaf And What Future Hold For Waqf.
Kertas Kerja Seminar Pembentukan Muamalah Dan ekonomi Berteraskan Islam,
Anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, IKIM dan Johor Corperation, pada 12-13
Oktober 2004.
http://www.islamic-world.net/economic/waqf/waqaf_mainpage.html
http://www.islamic-world.net/economic/waqf/economic_mainpage.html
http://www.geocities.com/alazhar_mirc/index.htm
http://kuwait
auqaf. Com
http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Egypt
http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Qatar
http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Jordon
http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/Turki
http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/South
Africa
The
Independent, Independent-bangladesh.com
www.Bangladeshjournal.com
www.siblbd.com
www.tabungwakaf.com
www.Singstat.gov.sg
www.muis.gov.sg
www.dompetdhuafa.org
No comments:
Post a Comment