Thursday, September 17, 2015

Pembentukan Malaysia 1963


Idea awal pembentukan Malaysia melalui pengabungan Singapura termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei telah dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1955 lagi. Beliau telah mempelawa negeri-negeri tersebut bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk “Tanah Melayu Raya”. (Lihat Hamdard, 25 Dicember 1955, Times, 25 Dicember 1955). Manakala parti PAP (People’s Action Party) semenjak dari tahun 1958 lagi sudah menyuarakan hasrat mereka untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu. Perkara ini telah diutarakan oleh PAP melalui Perlembagaan parti yang akan diperjuangkan oleh PAP sebelum pembentukan Malaysia iaitu “menamatkan penjajahan dan mendirikan sebuah negara kebangsaan Malaya yang merdeka yang mengandungi daerah yang sekarang ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan tanah jajahan Singapura”.[1]
           Pada pandangan PAP, semenjak dari tahun 1954 lagi, Tanah Melayu dan Singapura walaupun dibahagikan kepada dua wilayah, tetapi merupakan satu entiti dan saling memerlukan. Perkara yang menjadi masalah di Tanah Melayu adalah juga menjadi masalah mereka juga. Penggabungan dengan Tanah Melayu penting bagi Singapura untuk mendapat kemerdekaan dari British. Menurut PAP, cadangan penggabungan Singapura dengan Tanah Melayu telah dihalang oleh UMNO yang memimpin kerajaan Persekutuan disebabkan dua faktor utama, iaitu kebimbangan terhadap kuasa imbangan kaum, di mana kaum Cina yang berjumlah satu juta atau 70 peratus dari populasi Singapura akan menegelamkan kuasa kaum Melayu. Kedua, kebimbangan terhadap pengaruh aliran kiri yang banyak didukung oleh kaum Cina di Singapura yang dibimbangi oleh kerajaan Perikatan dipengaruhi oleh komunis.[2]

Walaupun idea pencantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah ditolak oleh UMNO sebelum ini,[3] namun pada bulan Mei 1961 satu perubahan telah berlaku apabila Tunku Abdul Rahman mula bercakap mengenai idea penubuhan Malaysia yang bukan sahaja meliputi Singapura tetapi termasuk Sabah, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei. Perubahan pandangan Tunku mengenai idea pencantuman dengan Singapura telah dinyatakan oleh Tunku Abdul Rahman:

masa telah berubah...dan pandangan kita juga sepatutnya begitu; jadi apa yang tidak dipersetujui semalam mungkin dipersetujui esok apabila kita berfikir dua kali dengan serius; oleh itu terbentuklah idea mengenai Malaysia ini”.[4]

Sebelum Singapura mengambil keputusan untuk bercantum dengan Tanah Melayu, Lee Kuan Yew telah bertemu dengan Tunku pada bulan Ogos 1961 untuk merangkakan perjanjian sementara bagi pencantuman tersebut. Lee berjaya mendapatkan kosensi tertentu seperti pengekalan taraf pelabuhan bebasnya, autonomi dalam bidang pendidikan dan perburuhan selain mendapat sebahagian besar hasilnya dalam kedua-dua bidang tersebut.

Pembentukan Malaysia seperti yang dicadangkan oleh Tunku mempunyai beberapa justifikasinya. Antaranya, di Singapura telah berkembang pengaruh fahaman komunis dan kumpulan radikal yang lain. Pengaruh komunis ini mesti dibendung kerana Singapura terlalu rapat dan berjiran dengan Tanah Melayu. Keselamatan kedua negara ini hendaklah dikira sebagai berkaitan antara satu sama lain (Mohd. Salleh Abas, 1984:202). Sekiranya Singapura dimasukkan ke dalam Malaysia, pengaruh komunis akan dapat dibendung. Tunku Abdul Rahman sendiri telah menyatakan secara terang-terang rasa cemasnya kepada pegawai UMNO bahawa Singapura yang merdeka mungkin diperintah oleh komunis, yang kemudiannya akan menggunakan Singapura untuk membantu rakan sepejuangan mereka di Tanah Melayu. Kebimbangan di kalangan anggota UMNO bahawa dengan masuknya Singapura ke dalam Persekutuan akan membawa pertambahan orang Cina. Kebimbangan ini diredakan dengan keinginan Sarawak dan Borneo Utara untuk menyertai Persekutuan dengan itu akan memulihkan imbangan kaum (Andaya dan Andaya, 1983:316). Tetapi bagi Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, pilihan sebenar mereka ialah sama ada mereka mahukan kemerdekaan melalui Malaysia atau terus menjadi tanah jajahan British (Mohd. Salleh Abas, 1984:202).

Menurut kajian Ramlah Adam, pengumuman yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman pada bulai Mei 1962 sebenarnya adalah hasil daripada mesyuarat yang telah dianjurkan oleh Lord Selkirk (Gabenor Jeneral Borneo) pada tahun 1960 dan telah dipersetujui bersama oleh pegawai-pegawai British di rantau ini. Pembentukan Malaysia dipengaruhi oleh keadaan politik di wilayah-wilayah tersebut seperti di Borneo Utara kerana terdapat pelawaan Indonesia untuk Borneo Utara bergabung degannya. [5] Sedangkan idea pencantuman dengan Singapura Tunku Abdul Rahman tidak membuat perundingan dan perbincangan yang sepenuhnya dengan ahli-ahli UMNO dan tidak membuat kajian mendalam mengenainya terlebih dahulu.[6]

Perdana Menteri British, Harold MacMillan telah mengundang Tunku untuk menghadiri satu persidangan mengenai perkara tersebut di London pada 20 hingga 23 November 1961. Kedua pihak bersetuju untuk menyiasat lebih lanjut tentang rancangan untuk menubuhkan Malaysia. Satu jawatankuasa telah dibentuk yang diketuai oleh Lord Cobbold untuk menyiasat kehendak penduduk di Sabah dan Sarawak. Jawatankuasa ini telah menjalankan tugasnya pada akhir bulan Februari 1962 dan telah tamat menulis laporannya pada 21 Jun 1962 (Mohd. Salleh Abas, 2003:23). Apabila Laporan Cobbold diserahkan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan British pada 1 Ogos 1962, kedua-dua kerajaan telah bersetuju menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Mengikut perjanjian Malaysia, Parlimen British akan meluluskan satu undang-undang untuk memberi kemerdekaan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak dan setiap negeri akan mempunyai perlembagaan baru. Bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu, Parlimen Persekutuan akan meluluskan satu undang-undang dipanggil Akta Malaysia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang ada supaya disesuaikan dengan konsep dan struktur penubuhan Malaysia. Akta Malaysia ini telah diluluskan pada 26 Ogos 1963. Walaupun akta ini pada mulanya dijangka akan berkuat kuasa pada 13 Ogos 1963, tetapi disebabkan bantahan kerajaan Indonesia dan Filipina, kelahiran Malaysia ditangguhkan sehingga 16 september 1963 (Mohd. Salleh Abas, 2003:24-25).

Satu pungutan suara perlu dibuat di Singapura untuk menentukan sama ada rakyat bersetuju atau tidak bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu. Hal yang sama dilakukan di Sabah dan Sarawak. Sebelum Singapura mengambil keputusan untuk bercantum dengan Tanah Melayu, Lee Kuan Yew telah bertemu dengan Tunku pada bulan Ogos 1961 untuk merangkakan perjanjian sementara bagi pencantuman tersebut. Lee berjaya mendapatkan kosensi tertentu seperti pengekalan taraf pelabuhan bebasnya, autonomi dalam bidang pendidikan dan perburuhan selain mendapat sebahagian besar hasilnya dalam kedua-dua bidang tersebut. Referendum yang telah dibuat di Singapura menyaksikan 71.7 peratus, rakyatnya menyokong percantuman tersebut. Bagi Sabah dan Sarawak yang pada mulanya enggan menyertai pencantuman tersebut, Tanah Melayu telah bersetuju untuk memberikan beberapa kosensi kepada mereka. Dalam pilihanraya Municipal 1963, Perikatan Sabah yang pro-Malaysia dan Perikatan Sarawak telah menang dalam pilihanraya tersebut. Keadaan ini memberikan mereka madat untuk merundingkan syarat-syarat kemasukan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu (Andaya dan Andaya, 1983:316-318).



[1] CO 1030/702, People’s Action Party, 4th Anniversary Celebration Souvenir, 1958.
[2] Ibid.
[3] Misalnya pada tahun 1959, Tunku Abdul Rahman telah mengkritik keras PAS kerana menganjurkan penggabungan Singapura dengan Malaya kerana dikhuatiri pengaruh Komunis yang kuat di Singapura akan menghancurkan Tanah Melayu. (Lihat The Straits Times, 10 Mac 1959). Bagaimanpun idea awal pengabungan Singapura termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei telah dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1955 lagi. Beliau telah mempelawa negeri-negeri tersebut bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk “Tanah Melayu Raya”. (Lihat Hamdard, 25 Dicember 1955, Times, 25 Dicember 1955).
[4] B. Simandjuntak, Federalisme Tanah Melayu 1945-1963, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, hlm. 139.
[5] Ramlah Adam, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004, hlm. 327.
[6] Mahathir Mohamad, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad, Petaling Jaya: MPH Distributors Sdn. Bhd., hlm. 170.
 

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...