Tuesday, October 7, 2008

Buku Terbaru Yang Akan Terbit

Sebagai seorang penulis, saat yang paling indah dan bermakna ialah apabila melihat manuskrip yang dihasilkan, zahir menjadi sebuah buku yang diterbitkan. Untuk menghasilkan sebuah buku bukan tugas yang mudah. Ia dihasilkan melalui kerahan keringat, membaca beratus-ratus buah buku, jurnal, majalah, meneliti laman-laman web dan apa sahaja maklumat yang boleh digunakan bagi menambahkan fakta dan huraian yang berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam manuskrip tersebut. Penulisan sebuah buku menuntut pengorbanan masa, pembacaan yang tekun dan aktif berfikir di samping jiwa yang tenang bagi membolehkan idea dibangunkan menjadi jalinan idea yang bertautan dan berkesinambungan sehingga melahirkan sebuah buku yang boleh memberi manfaat kepada kelayak pembaca. Saat yang mengembirakan bagi seorang penulis apabila maklumat yang diperlukan dengan mudah diperolehi seakan-akan 'bekejaran' mendatangi penulis. Buku saya yang bakal terbit pada bulan Oktober ini, Insyaallah adalah berkaitan dengan Hubungan Kaum di Malaysia, Sejarah dan asas Perpaduan yang dihasilkan khusus untuk menjadi rujukan kepada pelajar IPTA dan semua pihak yang meminati isu hubungan kaum di negara ini. Buku ini telah disiapkan dalam masa satu tahun dan telah disunting oleh Penyunting luar dalam bidang berkaitan dan disemak baca sehingga pruf keempat. Memang banyak tenaga, masa dan fikiran telah dikorbankan bagi menghasilkan buku ini . Buku ini mengandungi 372 halaman dikategorikan sebagai bacaan ilmiah. Ia diharapkan dapat dijadikan rujukan oleh berbagai pihak dan menjadi ilmu yang bermanfaat.


Sinopsis buku:


Buku ini membicarakan hubungan kaum di Malaysia yang dilihat dari aspek sejarah, asas serta pendekatan perpaduan yang telah digunakan oleh kerajaan dalam memperkukuhkan hubungan dan perpaduan antara kaum. Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk dari aspek kaum, budaya dan agama penduduknya. Kemajmukan ini sudahpun terbentuk sebelum dari kedatangan penjajahan Barat ke negara ini. Ciri, sifat dan proses pembentukan masyarakat majmuk di negara ini mempunyai perbezaan dengan masyarakat majmuk yang terbentuk sebelum kedatangan penjajah Barat. Buku ini akan melihat dari aspek sejarah bagaimana proses pembentukan masyarakat majmuk tersebut berlaku melewati beberapa tahap sejarah negara. Buku ini juga turut membincangkan hubungan kaum pada zaman penjajahan Inggeris kerana ia memberi kesan kepada pola hubungan antara kaum selepas Malaysia mencapai kemerdekaan,
Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pimpinan tiga kaum terbesar di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India mula membincangkan keperluan perpaduan kaum diperkukuhkan. Permuafakatan antara kaum sebagai asas kepada perpaduan mula diterjemahkan melalui kerjasama politik antara kaum. Orang Melayu telah menerima kemasukan kaum lain ke negara ini sebagai warganegara setelah berlakunya tawar menawar yang dikenali sebagai ‘Persetujuan Bersejarah Tahun 1955’. Apabila Perlembagaan Persekutuan Tahun 1957 terbentuk, persetujuan bersejarah tersebut diperkukuhkan di dalam Perlembagaan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial. Buku ini akan membincangkan perkembangan pemuafakatan politik antara kaum yang diterjemahkan melalui satu pakatan politik iaitu Parti Perikatan sebelum ditukar kepada Barisan Nasional oleh Tun Abdul Razak. Pembentukan pakatan politik ini, walaupun dianggotai oleh parti-parti politik yang berasas kepada kaum tertentu tetapi mampu mencapai kerjasama dan kesefahaman dalam perkara dasar negara walaupun kadangkala terpaksa berhadapan dengan tuntutan kaum masing-masing. Selepas kemerdekaan negara, kerajaan telah merangka beberapa dasar untuk memperkukuhkan hubungan antara kaum terutama selepas berlakunya trajedi berdarah 13 Mei 1969. Buku ini akan membincangkan dasar-dasar tersebut bagi menjadi panduan kepada kita bertapa perlunya hubungan kaum diperkukuhkan di negara ini.
Perlembagaan negara menyediakan asas undang-undang dan panduan bagi negara, bagaimana untuk mengurus sebuah negara yang paling majmuk di dunia. Melalui buku ini, pembaca akan dapat memahami sejarah dan proses pembentukan Perlembagaan negara. Kontrak Sosial seperti yang selalu diperdebatkan oleh semua pihak harus dilihat dari kacamata perlembagaan dan undang-undang itu sendiri bagi mendapat tafsiran yang tepat mengenainya. Untuk itu, buku ini akan membincangkan kandungan Kontrak Sosial tersebut untuk difahami dan dihayati oleh semua pihak. Pemahaman yang sejelas-jelasnya mengenai Kontak Sosial tersebut adalah asas kepada perpaduan antara kaum. Buku ini turut membincangkan hak asasi dalam Perlembagaan Malaysia yang memberi hak kesaksamaan dan kebebasan di dalam perkara-perkara tertentu. Kebebasan itu juga adalah tidak mutlak kerana ia mempunyai sempadan-sempadannya sendiri yang dinyatakankan dalam Perlembagaan.
Buku ini turut membincangkan bagaimana dimensi ekonomi diguna untuk mewujudkan perpaduan antara kaum. Trajedi 13 Mei dilihat oleh kerajaan, sebagai kesan daripada ketidaksamaan pencapaian ekonomi antara kaum, khususnya orang Melayu. Ketidaksamaan ini mempunyai akarnya dengan polisi dan dasar ekonomi yang dilaksanakan semasa zaman penjajahan Inggeris. Selepas peristiwa 13 Mei, kerajaan telah membetulkan ketidakseimbangan itu dengan merangka dasar pembangunan ekonomi sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Kesemua dasar tersebut bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. Dengan itu, perpaduan antara kaum akan dapat dicapai.
Agama sering dilihat terutama oleh Barat sebagai punca kepada keganasan dan kezaliman antara agama dan kaum. Bagaimanapun, di dalam buku ini agama akan dilihat sebagai mempunyai peranan dalam mewujudkan keamanan dan perpaduan. Islam yang sering dimomokan oleh Barat sebagai agama keganasan sebenarnya adalah agama yang menaja keamanan. Sejak berabad-abad lamanya orang Melayu memeluk agama Islam, tetapi tidak pernah terjadi dalam sejarah mereka, agama digunakan untuk menghalalkan kezaliman ke atas penganut agama lain. Buku ini juga mengupas nilai keamanan universal yang dikongsi oleh semua agama. Agama Timur seperti yang dikupas dalam buku ini sebenarnya menyumbang kepada perpaduan kaum sekiranya nilai-nilai tersebut diamalkan dan difahami oleh penganut agama masing-masing. Konsep Islam Hadhari yang mengandungi 10 prinsip, merupakan pendekatan pembangunan yang holistik. Prinsip-prinsip tersebut dihuraikan di dalam buku ini dan dilihat peranannya dalam memupuk perpaduan serta nilainya adalah dikongsi bersama.
Buku ini diakhiri dengan perbincangan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh semua pihak dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum. Cabaran-cabaran tersebut perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan bagi membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu padu pada masa hadapan. Hendak atau tidak, kita hari ini perlu menyediakan asas dan kerangka kepada satu bentuk bangsa Malaysia yang hendak kita lahirkan pada masa hadapan, kerana masa depan bangsa Malaysia bergantung sepenuhnya kepada apa yang kita lakukan hari ini.
Akhir sekali, buku ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha kerajaan dan semua pihak untuk mewujudkan perpaduan antara kaum. Buku ini dihasilkan untuk pembacaan semua peringkat masyarakat, khususnya untuk pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil subjek Hubungan Etnik. Buku ini membolehkan mereka memahami sejarah pembentukan masyarakat majmuk dan asas perpaduan antara kaum di negara ini. Dengan memahami dan menghayati perkara tersebut, diharapkan kita menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu pada hari ini, masa depan dan selama-lamanya.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...