Tuesday, September 16, 2008

Sensitiviti Agama

Sememangnya Malaysia sudah ditakdirkan menjadi sebuah negara yang bukan sahaja memiliki kepelbagian kaum tetapi tetapi juga kepelbagaian agama. Agama Islam merupakan agama yang dianuti oleh majoriti penduduk, terutama kaum Melayu dan menjadi agama rasmi negara, dikuti oleh agama Toisme, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya. Kemajmukan agama yang wujud hari ini belum lagi mencetuskan konflik antara agama kerana Perlembagaan Malaysia telah menyediakan kerangka beragama yang amat jelas mengenainya. Selagi semua pihak beragama mengikuti asas dan panduan tersebut, ia berupaya mengelakkan konflik antara agama dari berlaku. Kepelbagaian agama bukan merupakan satu masalah tetapi merupakan satu cabaran untuk kita hidup saling memahami, bertoleransi dan menjadi alat yang penting memupuk perpaduan. Walaupun kemajmukan agama belum mencetuskan konflik tetapi ada masa dan keadaan tertentu ia mencuit juga sensitiviti penganut agama tertentu. Isu murtad, penukaran agama, keputusan yang dibuat oleh mahkamah Syariah terhadap sesuatu isu, pemakanan, pembinaan tempat beribadah, dasar kerajaan mengenai Islam seperti penerapan nilai-nilai Islam, konsep Islam Hadhari dan lain-lain perkara berbangkit sering menjadi pedebatan, kecurigaan dan prejudis sebahagian dari manusia beragama di negara ini.
Perkara 3, Perlembagaan Malaysia telah mengkanunkan bahawa agama Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Peruntukan ini antara lain membawa maksud bahawa kerajaan mempunyai obligasi untuk memertabat dan melindungi kesucian agama Islam di negara ini termasuk sekatan penyebaran agama lain ke atas penganut agama Islam (lihat Ahmad Ibrahim, 1986:51). Hakikat ini sewajarnya sudah difahami oleh semua penganut agama di negara ini dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Penganut agama Islam diajar untuk mereka memahami Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap meliputi semua dimensi kehidupan. Justeru itu, orang Islam akan berusaha untuk melaksanakan semua aspek penghidupan mereka mengikut acuan agama mereka. Dalam agama Islam tidak ada istilah sekular iaitu pemisahan antara agama dengan kehidupan nyata manusia. Justeru itu, orang Islam tidak boleh menerima idea sekularisme. Apabila asas ini menjadi world view umat Islam, mereka akan berusaha mengisi kehidupan mereka dengan nilai-nilai agama kerana itulah hakikat agama mereka. Manakala penganut agama lain, mereka boleh menerima idea sekularisme dan agama bagi mereka adalah semata-mata ritual. Perbezaan world view agama inilah yang selalunya membawa kecurigaan dan salah faham penganut agama lain terutama apabila kerajaan berusaha melaksanakan dasar Islamisasinya yang dilihat oleh kaum bukan Islam mengancam amalan beragama mereka atau dilihat sebagai satu percubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara teokrasi seperti Iran dan sebagainya. Dengan sebab itu, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri pernah mengistiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam pada 29 September 2001 pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan maka ia mendapat tentangan dari sebahagian masyarakat bukan Islam walaupun sebahagian daripada pemimpin parti politik bukan Melayu dari Parti Komponen Barisan Nasional menyokong kenyataan itu. Namun sebahagian dari masyarakat bukan Islam melihat pengistiharan yang dikenali sebagai “pengistiharan 929” sebagai bertentangan dengan kontrak sosial, Perlembagaan Malaysia 1957, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara dan Wawasan 2020 kerana Perlembagaan hanya mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi dalam bentuk adat istiadat dan ritual dan bukannya sebuah negara teokrasi. Mereka sering menyandarkan hujah mereka dengan pernyataan yang pernah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman yang menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dan hakikat penduduk Malaysia kurang dari 60 peratus beragama Islam (lihat Kenyataan Lim Kit Siang bertarikh 24 Mei 2004 dalam http://www.dapmalaysia.org/).

Isu murtad dan penukaran agama sering menjadi isu yang kadang kala membawa kepada ketegangan antara agama dan kaum di negara ini. Orang Islam melihat isu murtad sebagai satu perkara yang serius yang menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan melanggar sekatan Perlembagaan terhadap penyebaran sebarang agama lain ke atas penganut agama Islam dan lain-lain peruntukan dalam Perlembagaan. Manakala orang yang bukan Islam melihat isu tersebut dari aspek kebebasan memilih agama yang didakwa sebagai hak asasi seorang manusia. Isu penukaran agama kerap menjadi isu yang panas dan diperdebatkan oleh kedua-dua pihak, media massa, laman web sehingga ke pesanan ringkas atau SMS. Ketegangan tersebut selalu dileraikan melalui proses undang-undang dengan mahkamah membuat sesuatu keputusan mengenainya. Dalam sebuah masyarakat yang majmuk, sudah menjadi satu kelaziman setiap kaum yang beragama akan cuba untuk mengekalkan identiti masing-masing. Menurut Ghazali Basri (2004), apabila berlaku kecederungan satu-satu kaum menzahir dan memurnikan kehidupan beragamanya, ini akan mempengaruhi kaum lain berbuat perkara yang sama. Keadaan ini akan menimbulkan sikap persaingan yang membentuk pendekatan ekslusivatik keterlaluan dan boleh membawa kepada salah faham dan ketegangan. Ditambah lagi dengan hakikat keharmonian hidup beragama di kalangan kaum di negara ini tidak tulin kerana ia tidak berasaskan kepada ilmu dan keyakinan. Ia hanya berupa selaput nipis yang bersahaja dan bersifat kosmetik. Walaupun terdapat kunjung mengunjung dalam waktu-waktu perayaan akan dapat mengeratkan hubungan kaum berlainan agama tetapi fenomena ini hanya berlaku di bandar. Sebahagian besar masyarakat baik Melayu, Cina, India termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak mungkin banyak tidak terlibat.
Sensitiviti dan ketegangan agama yang boleh menyebabkan ketegangan antara kaum boleh diselesaikan melalui berbagai cara. Antaranya dengan mempopularkan aliran dialog antara agama bagi mencari jalan penyelesaian sesuatu isu berbangkit, memberi kefahaman mengenai sesuatu kepercayaan, membangkitkan semangat toleransi beragama dan mencari titik persamaan walaupun memang terdapat perbezaan dalam aspek doktrin agama. Menurut A. Mukti Ali (1990), dialog merupakan pertemuan hati dan fikiran antara pemeluk agama. Ia adalah komunikasi antara orang-orang yang percaya pada tingkat agama. Ia adalah jalan bersama untuk mencari kebenaran dan kerjasama dalam projek-projek yang melibatkan kepentingan bersama (Shahrom TM Sulaiman, 2004). Jelasnya, dialog agama akan memberikan ruang untuk saling berinteraksi dan memberikan ruang untuk teman dialognya mengetahui mengenai kepercayaan agamanya agar wujud pemahaman, keharmonian dan saling hormat menghormati.
Sensitiviti dan ketegangan antara agama juga akan dapat dikurangkan apabila umat Islam sebagai penganut agama majoriti di negara ini mengambil tindakan proaktif menjadikan masjid bukan sekadar pusat beribadah untuk umat Islam tetapi menjadi pusat berkumpul masyarakat pelbagai agama untuk berkongsi maklumat dan bertukar pandangan. Masjid boleh dijadikan pusat penyebaran maklumat mengenai Islam dan masyarakat Muslim seperti mengadakan dialog, seminar serta projek kerjasama dengan pertubuhan agama lain. Peranan ini telah dibuktikan amat berkesan dalam mengeratkan hubungan antara agama seperti yang berjaya dilakukan oleh Pusat Harmoni, Masjid An-Nahdah, Singapura. Sejak Pusat ini dibuka dengan rasminya pada 7 Oktober 2006, Pusat ini telah berjaya menerima kedatangan 7,000 pengunjung yang datang bertanyakan pelbagai soalan mengenai Islam dan cara hidup masyarakat Islam di Singapura. Sembilan puluh peratus dari pengunjungnya adalah non-Muslim yang merangkumi ketua masyarakat serta pelajar yang datang untuk mengikuti latihan serta sesi pembelajaran secara interaktif. Pusat ini juga telah menubuhkan Kumpulan Muhibah yang antara lain objektifnya ialah membincangkan isu dan mencari penyelesaian untuk dikongsi bersama terutama dalam menangani masalah sosial (Hasliza Hassan, 2007).
Ketegangan antara kaum yang dicetuskan oleh isu-isu agama boleh dielakkan apabila kita kembali berpegang kepada nilai toleransi. Nilai ini bukan sahaja menjadi nilai utama Islam tetapi juga turut diajarkan oleh agama lain sekiranya mereka memahami secara mendalam kandungan agama tersebut. Sikap keterbukaan Konfusianisme umpamanya telah menjadikan tradisinya tetap bertahan kerana keterbukaannya terhadap tradisi spiritual lain. Pada asalnya, Konfusianisme merupakan budaya tempatan China, kemudiannya menjadi arus utama budaya China. Dari budaya China ia menjadi manifestasi spiritual Asia Timur dan kemudian menyebar luas ke Asia Tenggara, Asia Selatan dan Amerika Latin (Tu Weming, Kompas, 23 Mei 2005). Nilai toleransi dalam ajaran Konfusianisme dapat dikesan melalui konsep ren (kemanusiaan). Konsep ren ditunjangi pula oleh nilai shu (altruisme/mengutamakan orang lain/memaafkan) dan zhong (dedikasi). Nilai shu membawa makna mengawal perasaan dan keinginan supaya tidak melakukan kepada orang lain perkara yang kita tidak ingin orang lain lakukan pada kita (Lun Yu, 15.24). Sifat ini membawa kepada sifat mulia hati, toleransi dan belas kasihan (Cheng Gek Nai, 1997:214). Ajaran Konfusianisme mengandungi empat etika iaitu etika diri, etika keluarga, etika bangsa dan etika komuniti dunia. Dalam etika mengenai komuniti dunia, Konfusius memperkenalkan pemikiran tentang datong (大同, dàtóng) atau Great Unity atau Kesatuan Agung (kesatuan sejagat) di mana dunia dikongsi oleh semua bangsa (tianxia wei gong). Datong menekankan sepuluh nilai, iaitu nilai demokrasi, cinta dan penyayang, saling mempercayai, solidariti sosial (kerjasama/kejiranan), baik hati (peka kepada kekurangan orang lain/alturisme), kesamaan dan keadilan, berjimat cermat, keselamatan, aman dan harmoni serta oder sosial (kadar jenayah yang kurang) (Cheng Gek Nai, 1997:218-219).
Agama Buddha juga turut mengakui bahawa ia merupakan satu agama yang berpegang kepada nilai toleransi. Hakikat ini telah disebutkan oleh Ken dan Visakha dalam tulisan mereka yang bertajuk Tolerance in Buddhism. Mereka menyatakan bahawa etika agama Buddha menggariskan sikap toleransi kepada agama lain dan pengikutnya. Pengajaran Buddha tidak membenarkan sebarang kekerasan dalam segala bentuk sama ada percakapan, tindakan atau pemikiran. Konsep Dhamma dalam Buddha disebut sebagai ehipassiko iaitu, yang mengajak seseorang untuk melihat ke dalam diri mereka sendiri. Menurut Ken dan Visakh, tidak ada konsep paksaan dalam agama Buddha. Pengasas agama tersebut iaitu Gautama Buddha telah mengajarkan pengikutnya mengenai jalan untuk mencapai pembebasan (iaitu pembebasan dari kesengsaraan apabila mencapai nirvana). Buddha mengajarkan tentang kepentingan mengenai kesabaran, toleransi dan tanpa kekerasan. Buddha pernah mengatakan “He who abuses his abuser is the worse of the two. To refrain from retaliation is to win a battle hard to win. If one knows that the other person is angry but refrain from anger oneself, one does what is best for oneself and the other person also. One ia healer of both”. Agama Buddha juga mengajarkan tentang toleransi kepada bangsa lain dan menentang diskriminasi perkauman serta sifat prejudis. Kehormatan atau kemuliaan seseorang itu tidak ditentukan oleh bangsanya tetapi ditentukan oleh perbuatannya. Menurut Buddha dalam kitab Sutta Nipata : “One is not low because of birth, nor does birth make one noble. Deeds alone make one low, deeds alone make one nobles” (dipetik oleh Ken dan Visakha, http://earthlink.net/).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...