Friday, September 12, 2008

The Art of War Sun Tzu dalam realiti politik

Dalam persaingan dan keghairahan parti-parti politik bagi mendapatkan sokongan, pengaruh dan kuasa, saya teringat kepada satu pemikiran strategi telah wujud dan terkenal di dalam sejarah negara China, iaitu seni peperangan Sun Tzu. Saya merasakan strategi yang telah dirangka oleh Sun Tzu dalam peperangan bila diamati-amati telah digunakan secara langsung atau tidak langsung dalam merangka strategi politik bagi mencapai matlamat perjuangan politik yang didukung. Apatah lagi politik adalah juga sama dengan peperangan yang memerlukan strategi licik bagi mengalah dan melemahkan kekuatan musuh. Pemikiran strategi Sun Tzu dapat dilihat melalui bukunya yang terkenal iaitu The Art of War. Buku ini amat kecil dan hanya mengandungi 6000 perkataan yang terdiri dari 13 bab. Dalam buku ini, Sun Tzu menekankan hal ehwal dao atau alasan moral dalam strategi-strateginya. Alasan moral yang ditekankan oleh Sun Tzu adalah untuk mewajarkan peperangan dan satu tindakan bagi menarik dokongan rakyat kepada peperangan tersebut. Tanpa alasan dao atau moral, maka misi peperangan tersebut tidak akan mencapai kejayaan. Jika kita lihat alasan moral yang dikemukakan oleh Sun Tzu bagi mewajarkan sebarang strategi dan tindakan adalah sama dengan strategi yang digunakan oleh ahli politik bagi menarik sokongan rakyat kepada perjuangannya. Lazimnya isu moral merupakan modal utama serangan parti politik kepada pihak lawan bagi menyungguhkan bahawa perjuangan mereka adalah benar, justeru itu rakyat perlu mendokong perjuangan mereka, kerana perjuangan mereka adalah murni bagi membuat perubahan terhadap kerosakan yang berlaku. Jika tidak Negara akan terjerumus dari kancah kehancuran.

Sun Tzu menyebutkan bahawa dalam peperangan yang penting adalah kemenangan dan bukannya masa yang lama dalam peperangan. Justeru itu, bagi mencapai matlamat peperangan, Sun Tzu memfokuskan cara-cara atau strategi bagaimana untuk memanipulasi musuh bagi mencapai kemenangan. Strategi yang digunakan oleh Sun Tzu ini juga sangat lazim digunakan hari ini, apabila ahli-ahli politik akan memanipulasi apa juga perkara yang boleh menonjolkan kelemahan pihak lawan dan memaparkan kehebatan mereka melalui ceramah, media massa dan sebagainya. Tujuannya adalah satu iaitu untuk meraih sokongan rakyat kepada perjuangan mereka.

Sun Tzu juga menggunakan tipu muslihat dalam strategi peperangannya. Petua peperangan baginya adalah penting kerana pasukan yang gagah mestilah diperdaya supaya ia kelihatan tidak berdaya. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan ejen-ejen prisikan yang berusaha mendapatkan maklumat mengenai kekuatan musuh dan memisahkan musuh daripada sekutunya. Tindakan lain yang perlu dilakukan ialah menyebarkan khabar-khabar angin dan menyebarkan maklumat yang mengelirukan pihak musuh, merasuah para pegawai lawan dan mewujudkan keadaan tidak puas hati dan tidak aman. Melalui tindakan ini, pasukan tersebut akan dapat mencapai kemenangan dengan mudah. Strategi yang digariskan oleh Sun Tzu ini mudah dapat dikesan dalam amalan politik hari ini terutama menjelangnya sesuatu pilihan raya. Kita akan mendapati berbagai berita angin dan spekulasi bertiup kencang mengenai berbagai perkara menyentuh soal peribadi, moral dan sebagainya sehingga orang ramai menjadi keliru, tidak dapat membezakan antara fakta dengan autar dan membuat pernilaian secara rasional serta berasaskan ilmu kadang-kadang lebih banyak emosi.

Akhirnya Sun Tzu turut menggariskan bahawa untuk memperolehi pasukan yang kuat dan berdisiplin, elemen semangat iaitu qi atau kebolehan dari semua aspek adalah elemen yang amat penting. Ini kerana qi adalah asas keberanian iaitu elemen yang digerakkan oleh niat dan kemahuan. Jika seseorang itu dimotivasikan dan dijaga dengan rapi, maka ia akan lebih bersemangat untuk berkhidmat. Jika tidak ada semangat, maka ia akan mudah dikalahkan oleh musuh. Elemen qi atau semangat atau kebolehan adalah factor penentu kepada kejayaan sesuatu perjuangan atau peperangan. Tidak kira apa juga strategi yang dirangka, jika elemen semangat ini tidak wujud dalam pendukung-pedukung perjuangan politik ia akan mudah dikalahkan oleh pihak musuh. Begitu juga jika elemen ini wujud dalam diri pendukung-pendukung perjuangan, maka apapun stategi yang direncana oleh pihak musuh untuk melemahkan mereka tidak akan berhasil. Semangat qi ini agaknya samalah seperti yang disebut oleh Ibn Khaldun sebagai asabiyyah yang menentukan kekuatan atau keruntuhan sesuatu kekuasaan, kerajaan atau bangsa itu.

2 comments:

Hamdan said...

Hello saudara member lama,

Selalu juga mengunjung laman web saudara. Syabas kerana tulisan yg begitu bernas...

Muhammad Khalid said...

Salam, Ustaz! Terima kasih atas ilmu dalam tulisan ni. Dulu saya dihadiahkan oleh boss saya buku The Art Of War, sebelum berpindah ke UiTM Johor. Malas rasanya nak menghabiskan membaca buku tu, ! Bila baca artikel ustaz terbit perasaan ingin tahu kesudahan dan kesimpulan buku ni. TQ

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...