Thursday, January 22, 2009

Bidang kajian PhD saya adalah hubungan etnik. Kajian ini memerlukan saya membaca dan menyemak buku-buku sejarah dan dokumen-dokumen berkaitannya. Dalam memahami apa yang telah berlaku dalam sejarah negara terutama yang menyentuh hubungan kaum saya telah membaca beberapa buah buku, antaranya memoir yang telah ditulis oleh beberapa orang aktivis politik perjuang kemerdekaan sama ada dari aliran kiri atau kanan. Di kalangan aktivis politik beraliran kiri, saya telah membaca memoir yang ditulis oleh Shamsiah Fakeh (yang mengetuai AWAS cabang PKMM dan kemudiannya menjadi ahli PKM) dan Memoir yang ditulis oleh Abdul Majid Salleh (juga aktivis PKMM dan banyak bergerak dalam kesatuan buruh sebelum kemerdekaan). Kedua-dua buah buku ini (terbitan UKM) amat menarik untuk dibaca untuk memahami sejarah perjuangan politik mereka untuk memerdekakan negara tanpa berkompromi dengan penjajah Inggeris. Menurut Abdul Majid Salleh, dasar perjuangan PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya atau MNP) ialah tidak meminta-minta atau menadah tangan mengharap belas kasihan dari British untuk memberi kemerdekaan kepada kita. Kita menuntut kemerdekaan menerusi politik....kita bukan mahu pemerintahan Inggeris yang adil, juga kita tidak mengharapkan pemerintahan demokrasi. Hanya apa yang kita mahu ialah Merdeka. Merdeka total dan bukannya Merdeka di bawah pengaruh British sebagaimana merdeka yang diperoleh Kanada, India, Austrralia dan negara lain (hal.74). Di akhir memoirnya beliau menulis dan membuat kesimpulan yang sinis, katanya " Sejarah sentiasa mengikut kita dari belakang. Itulah manusia dan alamnya. Ramainya manusia menari di hadapan orang buta. Ramai manusia memberi penilaian kepada ahli perjuang. Tetapi mereka sendiri bukannya ahli perjuangan. Ramai orang alim sejarah, tetapi mereka sendiri tidak mengukir sejarah. Adakah sama orang yang melihat akan orang yang karam di dalam ombak yang beralun temalun dari pantai landai dengan orang yang karam bersama-sama ombak di tengah-tengah lautan samudera?. Dalam memoirnya itu beliau telah menghasilkan beberapa buah sajak yang merakamkan suka duka perjuangannya, harapan, kritikan terhadap anak bangsanya, rakamannya terhadap sejarah negara, ideologi perjuanganya. Antara petikan sajaknya yang memberi pesan kepada anak merdeka:
Di akhir kalam aku bermadah
kepada anak-anakku,
cucu-cucuku dan keturunanku
Ingatlah kamu sekelian!
Kalau kamu kaya raya
jangan sombong jangan bongkak
jangan ingke jangan bangga
Kalau kamu papa kedana
jangan menadah tangan meminta-minta
adat dunia memang begitu
miskin kaya silih berganti
Dunia lapang dijadikan Tuhan
ke mana kita pergi di situ dunia Allah SWT belaka
apabila kaya ataupun miskin
serah diri kepada Allah SWT
Allah SWT saja tempat mengadu
Allah SWT yang kekal abadi
yang lain akan hancur luluh
akan lenyap ranap
akan jadi fatamogana....
(Sebahagian dari petikan sajak dalam Memoirnya (2004), Penerbit UKM).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...