Saturday, January 31, 2009

Palestine

(Palestine tahun 1946)


Malam tadi saya telah menghadiri majlis bersama Palestine yang dianjurkan bersama antara ISMA Negeri Sembilan dan Masjid Sikamat. Majlis penerangan mengenai isu Palestine telah dihadiri bersama oleh pelajar-pelajar Palestine yang menuntut di negara ini. Dalam majlis tersebut, wakil Palestine (yang merupakan seorang pelajar PhD di UPM) telah memberikan ucapannya dengan panjang lebar mengenai situasi di Palestine. Penerangannya itu telah dapat memberikan keinsafan kepada umat Islam di negara itu betapa mereka perlu mendokong perjuangan rakyat Palestine yang diterajui oleh Hamas bagi mempertahankan bumi Palestine dari dijajah dan dimusnahkan oleh Israel, kerana di situlah terletaknya Masjidil Aqsa yang merupakan salah satu dari tiga masjid yang paling mulia dalam Islam. Allah sendiri telah menyebutkan dalam permulaan ayat surah al-Israa' bahawa Allah bukan sahaja memberkati Masjidil Aqsa bahkan termasuk di sekitarnya. Tambahan lagi Palestine adalah bumi kelahiran para Nabi yang mempunyai hubungan langsung dan signifikan dengan ajaran Islam. Dari sudut sejarah, Palestine telah dapat dibuka pada zaman Khalifah Umar al-Khatab yang membebaskan daripada Byzantium yang beragama Kristian. Walaupun Saidina Umar dapat membuka mengembalikan Palestine ke tangan agama Allah, tetapi usaha awal telah dilakukan oleh Rasulullah, diteruskan pada zaman Abu Bakar dan disempurnakan oleh Saidina Umar al-Khatab. Apabila Jerusalam telah jatuh ke tangan tentera Islam, ketua paderi Kristian enggan menyerahkan kunci kota kepada khalifah melainkan secara peribadi kepada Khalifah Umar. Saidina Umar telah pergi ke Jerusalem dan telah menandatangani perjanjian yang memperlihatkan tolak ansur dan menterjemahkan Islam sebagai agama kedamaian. Perjanjian tersebut berbunyi:

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, perjanjian ini diperakukan oleh Umar, hamba Allah dan putera bagi orang beriman kepada rakyat Aelia. Beliau memperakui keselamatan bagi penduduk dan harta benda, gereja dan salibnya yang kecil dan yang besar dan bagi penganut agama Kristian. Gereja-gereja mereka tidak boleh dirampas atau dimusnahkan. Begitu juga, bahan-bahan atau kawasan mereka, salib atau sebarang harta benda mereka tidak boleh dikurang dengan apa cara sekalipun. Mereka tidak boleh dipaksa dalam sebarang hal yang bersabit dengan agama mereka dan mereka tidak boleh dicederakan...".



Perjanjian ini memperlihatkan jaminan kedamaian, kebebasan beragama dan perlindungan yang diberikan oleh Islam semasa mereka memerintah bumi Palestine tidak semasa mereka dijajah oleh kuasa imperialis Rom atau Byzantium. Selepas itu, ramai daripada penduduknya telah menganut agama Islam, manakala yang beragama Kristian bebas mengamalkan agama mereka secara aman dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada tempat suci mereka.


Bagaimanapun peta dunia Arab telah berubah apabila negara Israel diwujudkan hasil konspirasi dan perancangan strategi Zionisme yang melibatkan negara-negara Barat melalui tipu daya yang menjijikan. Tanah dan wilayah orang Islam semakin mengecil dan mereka dipecah belah menjadi dua wilayah Ghaza dan Tebing Barat.


Penubuhan sebuah negara Yahudi ini mula diilhamkan melalui Kongres Pertama Yahudi yang berlangsung di Basle, Switzerland pada tahun 1897. Pada tahun 1906, Kongres Yahudi kelima telah memutuskan bahawa tanah air Yahudi mesti didirikan di Palestine. Pada tahun 1917-1918, British telah berjaya merampas Palestine dari pemerintah Uthmaniyyah, Turki dengan bantuan negara Arab jua kerana British telah menjanjikan akan membebaskan negara mereka dari pemerintahan Turki selepas perang berakhir. Tetapi itu adalah tipu helah semata-mata. Sebaliknya British telah memeteri perjanjian sulit Sykes-Pigot pada tahun 1917 yang mahu memecah belahkan negara Arab sesama kuasa koloni Perancis dan Rusia. Kemudian Dekelarasi Balfour dihasilkan pada tahun yang sama yang menyebutkankan bahawa British telah berjanji untuk mewujudkan sebuah negara Israel di bumi Palestine. Di bawah kuasa British, pendatang-pendatang Yahudi telah dibawa masuk secara beramai-ramai dan menduduki secara haram tanah orang Arab. Pada tahun 1948, sebelum British meninggalkan Palestine, mereka telah berjaya mewujudkan sebuah negara Yahudi dengan hanya menyerahkan Semenanjung Ghaza dan Tebing Barat kepada orang Islam.


Bermula dari detik tersebut bermulanya konflik Palestine-Israel, terutama apabila Israel melihat Palestine sebagai ancaman utama ke atas kewujudan negara Israel dan perancangan mereka untuk merampas Baitulmuqadis dan meruntuhkan masjidil Aqsa bagi membina kuil suci mereka yang telah runtuh yang mereka dakwa dibina di atas tapak Masjidil Aqsa. Israel terus menerus melakukan kekejaman termasuk perancangan sulit mereka membunuh pemimpin Islam Palestine. Perancangan mereka telah berjaya membunuh beberapa pemimpin Hamas seperti Syekh Ahmad Yasin pada 21 Mac 2004, Dr. Abdul Aziz al-Rantisi pada 17 April 2004, dan Yasser Arafat, Presiden PLO yang mati diracun pada 11.11.2004.


Apabila kepimpinan Palestine berjaya dikuasai oleh Hamas melalui proses demokrasi pada tahun 2006, negara-negara Barat termasuk Amerika telah menghentikan bantuan mereka ke Palestine dan menyekat segala bantuan kepada penduduk Gaza. Ini kerana Hamas merupakan sebuah parti politik bertunjangkan Islam yang didakwa menjadi ancaman utama kepada Israel dan dituduh sebagai sebuah gerakan teroris oleh Barat. Israel menggunakan kekuatan kecanggihan teknologi ketenteraan mereka yang dibantu oleh Amerika untuk melumpuhkan Hamas dan menakluk Semenanjung Gaza. Tetapi usaha mereka itu tidak berhasil kerana diberi tentangan yang hebat oleh Hamas. Rancangan untuk menyerang Gaza sudah dibuat sejak dari tahun 2007 lagi. Pada 27 Disember 2008, Israel telah menyerang dan mengebom Ghaza dengan dahsyat sekali menggunakan bom fosforus sehingga membunuh 1300 rakyat Palestine, kebanyakannya adalah kanak-kanak dan golongan wanita. Pada 21 Januari 2009, Israel mengumumkan tenteranya keluar dari Ghaza dan mengumumkan gencatan senjata dari sebelah pihak.


Walaupun, Gaza dengan hebat sekali diserang oleh Israel tetapi mereka gagal menakluk Gaza. Hamas tetap terus wujud dan akan memberi tentangan hebat kepada Yahudi. Bagi mereka, Israel perlu dihapuskan. Yahudi tidak boleh dipercayai. Justeru, perjanjian damai yang ingin mereka wujudkan adalah tipu helah semata-mata. Walaupun Israel berjaya menghancurkan infrastruktur Gaza, tetapi mereka tidak mampu membunuh semangat jihad rakyat Palestine. Semangat jihad itu akan terus subur dalam dada-dada rakyat Palestine walaupun fizikal mereka menderita. Bagi rakyat Palestine, Gaza adalah simbol kekuatan Islam. Sekiranya Gaza jatuh, maruah umat Islam akan tercemar. Mereka berikrar, bendera Palestine akan terus berkibar. Mereka tidak akan membiarkannya dirampas dan dihina oleh Yahudi. Walaupun mereka serba kekurangan, keimanan dan semangat jihad mereka telah membolehkan mereka mendapat pertolongan dari Allah. Allah telah menghantar "tentera yang tidak dapat dilihat" untuk menolong perjuangan mereka. Banyak kisah yang diceritakan oleh wakil Palestine malam tadi yang membuktikan bahawa "tentera yang tidak dapat dilihat" membantu perjuangan mereka. Bantuan tersebut akan memperkukuhkan semangat perjuangan, tekad dan jihad mereka. Mereka akan terus berjuang menentang Yahudi dan para sekutu mereka sehingga hari kiamat. Mereka menyakini janji Allah adalah benar. Mereka menyakini firman Allah yang menyebutkan bahawa bilangan yang kecil (yang beriman) adalah mampu meruntuhkan kekuatan bilangan yang besar (kufur). Mereka memahami firman Allah yang bermaksud:


"Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan?) " (Qaaf: 36).


Rakyat Palestine mengharapkan sokongan dan dokongan umat Islam sejagat dari segi spiritual dan material. Bersama kita membantu mereka!.



No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...