Friday, October 16, 2009

Penguasaan Ilmu

Penguasaan Ilmu Pengetahuan

Islam merupakan satu agama dan tamadun yang diasaskan dan dibina di atas dasar ilmu. Wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah berkaitan dengan suruhan membaca[1]. Pertama, suruhan membaca apa yang terkandung dalam teks wahyu Allah (al-Quran dan Hadis). Kedua, suruhan membaca apa yang terkandung dalam ayatullah[2] atau ciptaan Allah atau alam tabie dengan mengkaji law of nature atau hukum alam[3] dan hukum sosial melalui penyelidikan, pemerhatian dan pencerapan bagi membangunkan pelbagai disiplin ilmu. Di dalam al-Quran terdapat kira-kira 750 ayat (berbanding 250 ayat hukum) yang menggesa umat Islam memahami alam, iaitu dengan cara memikirkannya melalui penggunaan taakulan supaya sains menjadi aspek penting dalam kehidupan (Mohammad Ilyas, 2003:12). Menurut Malik Ben Nabi, kalimat “Iqra’” dalam surah al-Alaq memperlihatkan Islam telah meletakkan posisi akal pada tahap tertentu yang mewujudkan kebebasan berfikir dan memberi kesempatan berkembangnya ilmu melalui pendekatan pendidikan yang berbagai (Ali al-Quraisyiy, 1996:36). Bagaimanapun, dalam penerokaan ilmu, Islam telah menggabungkan ilmu dengan iman. Menurut al-Qardawi, iman menjaga ilmu dari penyelewengan dan membentenginya dari kejahatan dan kerosakan. Ilmu yang dibimbing oleh iman akan memakmur, membangun, membersih, membahagia dan berkhidmat untuk manusia (al-Qardawi, 1999:184-185).
Suruhan Islam terhadap penerokaan ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah atau ilmu wahyu atau ilmu keduniaan, bukan sekadar mengetahui dan mempelajari tetapi sampai ke tahap “menguasai” secara mendalam bidang ilmu tersebut sehingga menghasilkan “kekuasaan” atau “kekuatan”[4]. Tanpa penguasaan secara menyeluruh ilmu pengetahuan pula, tidak mungkin sesorang Muslim itu dapat melakukan penyucian (mengislamisasikan ilmu) di dalam bidang yang ia ketahui. Apa yang mereka berupaya lakukan hanyalah sekadar menciplak atau menterjemahkan sebahagian kecil dari keseluruhan ilmu yang mereka perolehi (al-Faruqi 1982: 7-8).
Di samping itu, umat Islam harus bersikap terbuka menerima pelbagai jenis ilmu yang datang dari luar tamadunnya dengan membuat penyesuaian agar sesuai dengan pandangan alam Islam (world view). Sepertimana yang dicontohkan oleh ilmuan Islam lampau yang berjaya meletakkan tamadun Islam sebagai paksi ketamadunan dunia. Umpamanya al-Kindi dalam pendahuluan karyanya Fi al-Falsafah al-Ula telah mengatakan "kita perlu menerima kebenaran dengan sepenuh hati, walaupun dari mana sumbernya, tidak ada yang lebih berharga bagi pencari kebenaran daripada kebenaran itu sendiri". Bagaimanapun al-Kindi menekankan bertapa perlunya kebenaran yang diambil dari sumber asing itu harus disesuaikan dengan norma, bahasa dan zaman umat Islam sendiri, dengan erti kata lain dengan tidak menerima bulat-bulat ilmu-ilmu tersebut tanpa membuat sebarang tapisan. Pandangan al-Kindi ini banyak dipetik oleh pengkaji sejarah falsafah Islam, antaranya Nasr (1969), Walzer (1962) dan Majid Fakhry (1989) (Abdul Halim Ramli, 1997:98). Begitu juga Ibnu Rusyd, seorang tokoh falsafah Islam yang terkemuka juga ada menyebutkan: “melihat dan merujuk kepada apa yang ada pada orang lain adalah satu kefarduan syar’i”, tetapi beliau menasihati kita agar melihat dengan pandangan yang kritis, yang boleh membezakan antara yang mendatangkan manfaat dengan yang boleh mendatangkan kemudaratan. Kata beliau: “Kita melihat apa yang mereka katakan dan apa yang dituliskan, kiranya bertepatan dengan kebenaran kita terima dan kita bergembira serta berterima kasih kepada mereka, tetapi kiranya berlawanan dengan kebenaran kita hendaklah berwaspada darinya” (Mahmoud Hamdi Zaqzuq, 2006).
Nota Hujung

[1] Lihat al-Quran, al-Alaq:1-5.
[2] Firman Allah yang bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar” (al-Quran, Fushshilat:53).
[3] Hukum alam dalam Islam bukanlah merupakan sebagai hukum yang bebas atau yang berjalan dengan sendirinya. Hukum tersebut adalah refleksi kebijaksanaan Allah dan juga pewujudan kehendakNya. Seluruh alam adalah Muslim kerana mereka tunduk sepenuh dirinya kepada kehendak Allah (Seyyed Hossein Nasr, 1994:48-49).
[4] Allah mencabar manusia agar dapat menembusi penjuru langit dan bumi. Manusia tidak akan dapat menembusi kedua-duanya melainkan dengan kekuatan, yakni kekuatan ilmu dan keizinan dari Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Hai jamaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya melainkan dengan kekuatan” (al-Quran, surah ar-Rahman:33).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...