Monday, June 23, 2008

Perpaduan

Tulisan Dr. Asri, Mufti Perlis yang bertajuk “apa salahnya mereka duduk semeja?” yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22 Jun 2008 sepatutnya disambut dengan tindakan yang positif oleh pimpinan politik di Negara ini bagi merapatkan perpaduan ummah. Dalam tulisan itu, Dr. Mohd Asri telah menyarankan agar keempat-empat tokoh utama negara duduk semeja untuk berbincang atas semangat ukhuwah Islamiyyah tentang masa depan umat Islam di negara ini khususnya dan juga masa depan rakyat keseluruhannya. Mereka ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr. Asri tidak merayu agar mereka merungkai pandangan politik mereka, atau membubarkankan parti mereka, sebaliknya hadir berbincang atas arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al- Nisa’: ayat 114).
Kita harus menyedari sekiranya umat Islam, khususnya orang Melayu dibiarkan berpecah belah disebabkan fahaman politik yang berbeza, dikhuatiri umat ini akan menjadi lemah dan hilang kekuatan serta kekuasaan di bumi mereka sendiri. Kita perlu belajar dari sejarah, betapa pepecahan dari permasalahan politik telah menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan akhirnya tamadun yang memberi cahaya kepada manusia sejagat beransur-ansur menjadi malap serta akhirnya Negara umat Islam dijajah oleh bangsa asing. Perpaduan ummah yang dibentuk dan diperkasa oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat telah menjadikan umat Islam kuat sehingga akhirnya akhirnya dapat meruntuhkan beberapa pemerintahan yang hebat sebelum Islam walaupun bilangan umat Islam adalah kecil. Umpamanya, empayar Romawi yang gagah akhirnya hancur lebur apabila berhadapan dengan tamadun Islam yang dibina atas dasar Islam dan perpaduan. Amir Syakib Arsalan (1899-1946) telah mengatakan “kelahirannya sebagai kesatuan dengan mempersatukan ras-ras dan suku Arab yang bercerai-berai mengangkat mereka dari kebiadaban ke peradaban, dari syirik kepada mengabdikan diri kepada Allah. Dengan kekuatan yang dinamik ini, mereka mengubah diri mereka sendiri sebagai tuan-tuan bagi separuh dunia dalam jangka waktu setengah abad sahaja.
Bagaimanapun, zaman pasca Sahabat, umat Islam telah mula memperlihatkan bibit-bibit perpecahan umat Islam. Perpecahan umat Islam yang terawal adalah disebabkan persoalan politik. Seorang orientalis Barat bernama D’Ohson telah menyebutkan: “sekiranya pengikut-pengikut Muhammad menurut ajaran nabinya dan mencontohi sifat-sifat Khalifah pada masa permulaan tentulah kerajaan mereka menjadi lebih luas dan lebih tahan lama dari kerajaan Romawi, tetapi keserakahan orang Umaiyyah…semangat individualisnya menyebabkan runtuhnya bangunan yang mengkagumkan yang didirikan dengan semangat kepahlawanan dan kesetiaan orang Islam pada mula-mula itu”. Pemerintahan Bani Ummaiyah menurut Afzalur Rahman telah menyebabkan kesatuan agama dan Negara pecah, walaupn kerajaan ini tetap menerima agama sebagai dasar Negara dan menerima syariat sebagai konstitusi tetapi bukan hanya memperalatkan syariah dengan pura-pura menempatkan syariah sebagai dasar hukum pemerintahan mereka, malah mereka memperalatkan Negara untuk memperolehi kekuasaan peribadi. Kezaliman dan penindasan yang berterusan telah melahirkan penentangan yang berpanjangan dari golongan Syiah yang berjuang menegakkan aspirasi politik dan keagamaan mereka. Perpecahan dalam persoalan politik akhirnya menjalar dalam persoalan teologi atau keagamaan dengan lahirnya berbagai aliran yang berbeza fahaman seperti Khawarij, Murjiah, Qadariah, Muktazilah dan lain-lain. Setiap fahaman ini mempunyai fahaman mereka sendiri, dan setengahnya telah melancarkan peperangan atas nama jihad kepada pihak lain. Seperti golongan Khawarij yang berpendapat bahawa pelaku dosa besar tidak boleh disebut Muslim. Justeru itu, mereka telah melancarkan perang jihad kepada pemerintah yang berkuasa dan masyarakat umum. Manakala sebahagian pemimpin umat yang soleh di Madinah yang tidak berdaya menetang pemerintah Umaiyyah perlahan-lahan menyokong pemerintahan Umaiyyah dan mengatakan bahawa iman dalam hati sahaja sudah cukup bagi digelar sebagai seorang Muslim. Bagi mereka “keputusan hanya hak Allah”. Kenyataan ini bermakna kekuasaan politik adalah sesuatu yang diputuskan oleh kehendak Allah dan tidak boleh ditentang. Kelompok ini kemudiannya dikenali sebagai Murjiah (Afzalur Rahman).
Pepecahan memang akan menatijahkan keruntuhan sama ada cepat atau lambat. Dengan sebab itu terlalu banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menyeru umat bersatu padu dan mengecam pepecahan.
“Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agamanya dan mereka menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah (terserah) kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat” (al-Quran, al-An’am: 159).
Menurut Ibnu Katsir ayat tersebut adalah berbentuk umum bagi setiap orang yang memecah belahkan agama Allah dan menentangnya (al-Qardawi, 1995: 28).
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa yang memisahkan diri dari jemaah sejengkal, kemudian dia mati, maka matinya adalah jahilliyah” (Muttafaq alaih).
“Tidaklah beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” (Mutaftafaq alaih).
“Jauhkanlah diri kamu sekelian dari tindakan merosak hubungan persaudaraan kerana tindakan sedemikian adalah pencukur (agama)” (Hadis Riwayat at-Tarmizi).
Pepecahan umat yang berterusan selepas zaman pasca Sahabat dan mengabaikan ajaran Islam supaya bersatu padu akhirnya menyebabkan mereka dihukum. Kota Baghdad telah diserang oleh tentera Jenghiz Khan selama tiga hari yang menyaksikan bandar ini dibakar, dirompak dan penduduknya dibunuh dengan kejam. Serangan tentera Tartar ke atas Baghdad telah membawa keruntuhan pemerintahan Bani Abbasiah dan memusnahkan segala kemajuan keilmuan yang dibina bertahun-tahun pada zaman Abbasiah dan zaman sebelumnya hanya dalam masa tiga hari sahaja!.
Ibnu Khaldun telah memberi amaran bahawa kehancuran sesebuah negara atau pemerintahan akan berlaku apabila hilangnya dari umat ini kekuatan dan semangat perpaduan masyarakatnya. Pemerintahan Abbasiah runtuh disebabkan Bani Abbas bertindak keras terhadap Bani Hashim dan membunuh serta mengasingkan keturunan Abu Talib. Akibatnya, solidariti sosial (perpaduan) Abdi Manaf lenyap dan hancur. Orang-orang Arab kemudiannya bangun menentang Bani Abbas dan akhirnya membawa kehancuran kerajaan Abbasiah di tangan tentera Tatar (Ibn Khaldun, Muqaddimah).
Peristiwa sejarah yang dipaparkan di atas adalah untuk kita renungkan dan mengambil iktibar bahawa betapa perlunya kita bersatu padu. Hari ini kita memerlukan seorang pemimpin yang berjiwa besar dan mampu untuk menyatupadukan umat Islam, khususnya orang Melayu di negara ini. Masih belum terlambat lagi bagi pimpinan politik Melayu di negara ini mengenepikan kemarahan, kebencian, ketidakpuasan hati dan fahaman politik dan kepompong pemikiran mereka bagi menyatukan bangsa mereka sendiri supaya kita nanti tidak menjadi bangsa dagang di bumi sendiri. Agak mendukacitakan apabila melihat perkembangan politik di negara ini yang dihiasi dengan kemabukan sesetengah pihak untuk merebut kuasa tetapi apabila sudah mendapat kuasa tidak mampu membangunkan ummah mereka supaya menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Banyak masa dan tenaga mereka digunakan untuk mewujudkan pertentangan antara satu sama lain dan politiking yang meleret-leret sedangkan pemikiran, kekuatan dan semangat yang dimiliki sewajarnya digunakan secara optimum untuk memperkasa ummah sehingga ummah ini menjadi kuat dan berdaulat.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...