Tuesday, July 8, 2008

Dakwah

Menurut almarhum Prof Ismail al-Faruqi, dakwah merupakan perlaksanaan terhadap perintah Tuhan (Al-Faruqi, 1982:33), iaitu menyeru manusia ke arah ajaran Islam yang meliputi semua persoalan kehidupan. Dakwah juga merupakan satu usaha untuk mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai, membawa berita yang baik tentang nikmat dunia dan nikmat syurga , memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan kesengsaraannya. Melaksanakan tugas dakwah merupakan puncak kebaikan dan kebahagiaan (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187), sepertimana Firman Tuhan yang bermaksud:

"Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah?" (Al-Qur'an, Fusilat 41:33).

Memandangkan bahawa kepatuhan kepada Tuhan merupakan intisari Islam, maka memenuhi perintah Tuhan dalam menyeru manusia ke jalan-Nya merupakan perkara yang paling hampir kepada intisari itu. Dakwah adalah tanggungjawab yang dipikul oleh semua orang Islam dengan penuh bangga dan tabah (al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187) menyebarkan Islam kepada orang lain supaya orang lain juga dapat berkongsi bersama dengan intisari Islam tersebut (Al-Faruqi, 1987:167). Dakwah merupakan satu usaha untuk mengingati semula fitrah kejadian manusia yang muslim , dimana setiap manusia telah dibekalkan dengan fakulti yang membolehkannya menyedari kewujudan Tuhan dan kehendak-Nya (Ibid., 168).

Dakwah adalah satu usaha "memberi hadiah" yang paling berharga kepada orang lain, kerana ia berupa menyampaikan kebenaran kepada orang yang diseru dan menjemput orang supaya menggunakan kebenaran itu (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187). Dakwah merupakan seruan kepada kebebasan, iaitu kebebasan dari semua tuhan-tuhan, berhala dan kuasa tirani (kezaliman) ( Al-Faruqi, 1987:169). Dakwah juga bermakna mengajak orang lain berbincang secara rasional, kritikal dan intelektual bagi menegakkan kebenaran agama Islam yang merupakan agama yang terakhir dan pembaharu definitif bagi seluruh agama Nabi-Nabi Allah sebelum Islam, khususnya agama Yahudi dan Kristian. Dakwaan-dakwaan Islam merupakan penegasan-penegasan yang bertentangan dengan dakwaan yang dibuat oleh agama lain. Oleh itu, orang lain dijemput untuk berhujah dan orang Islam secara epistemologinya adalah bertanggungjawab untuk membuktikan kebenaran dakwaan Islam dan mendapatkan persetujuan dari lawanya. Dakwaan kebenaran agama tanpa membenarkannya untuk dibincangkan secara intelektualisme akan hanya mendedahkan agama kepada relativisme, iaitu benar bagi penganut-penganutnya sahaja dan dakwaan yang bertentangan mungkin benar bagi orang lain (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:187-188).

Al-Faruqi telah menggariskan beberapa ciri dakwah Islam.
Ciri dakwah Islam yang pertama ialah, tiada paksaan. Metodologi ini diasaskan kepada Firman Tuhan yang bermaksud: "Tiada paksaan dalam agama" ( Al-Qur'an, al-Baqarah 2:256). Seruan terhadap Islam merupakan satu jemputan dan objektifnya hanya dapat dicapai melalui kerelaan orang yang diseru itu. Oleh kerana objektif dakwah adalah untuk menyakinkan orang yang diseru bahawa Allah adalah Pencipta, Penguasa, Tuhan dan Hakim, maka suatu pertimbangan yang dipaksakan merupakan suatu kontradiksi, melanggar tatasusila dan tarafnya hampir sama dengan perbuatan membunuh. Seruan terhadap Islam harus dilakukan secara bujukan atau dengan cara yang baik. Jika golongan sasar masih tidak mahu menerimanya, maka mereka harus dibiarkan mengikut pilihannya, atau terus berusaha berdakwah kepada mereka dan akhirnya menyerahkan perkara tersebut kepada Tuhan (Al-Faruqi, 1982:33). Dakwah Islam bukan berbentuk paksaan diasaskan kepada keunikan kejadian manusia, sepertimana Firman Tuhan yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?", Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui" (Al-Qur'an, al-Baqarah 2: 30).

Perlantikan manusia sebagai khalifah adalah disebabkan mereka mempunyai kebebasan sehingga mereka dapat melaksanakan tanggungjawabnya bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Oleh itu, pemaksaan merupakan perlanggaran terhadap kebebasan dan tanggungjawabnya serta bertentangan pula dengan fitrah semulajadinya (Al-Faruqi, 1982:34).

Ciri dakwah kedua ialah rasionaliti, iaitu ajakan untuk berfikir, berdebat, berhujah dan menilai sesuatu perkara. Ini disebabkan hak untuk berfikir merupakan milik semua orang dan tidak ada manusia yang boleh menghalang hak tersebut. Sekirannya dakwah Islam tidak mengambil kira asas tersebut, maka dakwah dengan sendirinya akan rosak (Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:188). Dakwah tidak boleh dilakukan melalui dasar luahan emosi dan Psychopathic induction,iaitu pengaburan kesedaran manusia melalui alat mistik atau kimia yang membawa kepada ketidakbebasan memilih secara sedar ( Al-Faruqi, 1982:35). Ini disebabkan dakwah berusaha untuk mencari persetujuan yang ikhlas mengenai apa yang didakwahkannya. Jika kesedaran orang yang didakwahkan itu dilemahkan, maka dakwah yang dilakukan akan kehilangan kesedaran dan kehilangan taakulannya. Dakwah bukannya kerja silap mata atau tarikan terhadap emosi sehingga tindak balasnya bersifat perasaan dan bukannya pernilaian. Dakwah adalah satu proses kritis tentang daya fikir. Ia tidak bersifat dogmatik, seruannya sentiasa terbuka kepada bukti-bukti dan alternatif yang baru. Ia menerima penemuan-penemuan baru dalam sains kemanusiaan atau persekitaran manusia. Oleh itu, pendakwah-pendakwah Islam bukanlah wakil kepada sistem autoritarian atau kuku besi, tetapi mengajak berfikir secara bersama antara pendakwah dengan golongan sasar dalam usaha untuk memahami dan menghargai wahyu Tuhan ( Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992:189).

Ciri dakwah Islam yang ketiga ialah universalisme. Semua manusia sama ada Muslim atau Non-Muslim merupakan objek kepada dakwah Islam (Ibid). Ini berasaskan kepada hakikat bahawa semua manusia adalah makhluk Tuhan, sama di sisi Tuhan dan mempunyai kewajiban yang sama untuk melaksanakan kehendak Tuhan dalam ruang dan waktu. Dakwah kepada Muslim adalah sebagai usaha mengarahkan mereka kepada jalan yang benar, manakala bagi Non-Muslim pula adalah untuk mengajak mereka bersama-sama ke arah menerima pola Ketuhanan yang agung (Islam) (Al-Faruqi, 1982:35).

Ciri Dakwah Islam yang keempat adalah Anamnesis. Iaitu mengajak manusia untuk kembali kepada fitrahnya dan mengakui Allah adalah Tuhan mereka. Oleh itu, dakwah bukannya satu perkara yang baru. Manakala Juru dakwah harus bertindak melebihi fungsi "bidan" yang tugasnya hanya sekadar merawat tetapi mesti berfungsi seperti fungsi para nabi, iaitu untuk mengendali dan mengarahkan intelek mad'u atau orang yang diseru ke arah apa yang telah diketahuinya semenjak ia dilahirkan lagi, iaitu fitrah ( Ibid., 37).

Ciri dakwah yang terakhir ialah ecumenical par excellence, iaitu perbincangan atau dailog antara agama mengenai kebenaran agama berdasarkan analisa dan kritikan terhadap teks wahyu agama masing-masing bagi memastikan sejauhmana berlakunya penyelewengan dari din al-fitrah (Ibid.,38). Oleh itu, dakwah merupakan ecumenical par excellence kerana ia melihat hubungan antara muslim dengan non-muslim sebagai satu hubungan domestik antara karabat. Menurut al-Faruqi, orang-orang Islam datang kepada Non-Muslim dan berkata: "Kita adalah satu; kita dari satu keluarga di hadapan Tuhan, dan Tuhan telah menganugerahkan kepada kamu kebenaran yang tidak sahaja ada di dalam diri kamu tetapi juga ada di dalam tradisi agama kamu yang de jure atau sah, kerana sumbernya ialah dari Tuhan" (Ibid).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...