Wednesday, April 1, 2009

Maaf...

Saya memohon maaf kepada pembaca blog ini kerana hampir dua bulan tidak dikemaskinikan. Ini tidaklah disengajakan kerana saya baru pindah ke rumah baru yang masih belum mempunyai talian tel. Akhirnya saya bertukar menggunakan celcom broadband dan terus melihat blog ini untuk dikemaskini.
Diam tak diam sudah tiga bulan saya menghabiskan cuti belajar, ada lebih kurang dua tahun sembilan bulan lagi...masa amat pantas berlalu...justeru, saya perlu menggunakan masa sebaik mungkin untuk menyempurnakan kajian
Rutin harian membaca dengan buku, mengadap komputer ada kalanya berjam-jam, menyusun maklumat, mencari maklumat di perpustakaan, Arkib Negara kadang-kadang rasa pitam melihat deretan buku di perpustakaan...
Saya kagum dengan penyelia kedua saya, seorang yang cacat penglihatan tetapi mampu mendapat ijazah PhD dalam bidang sejarah yang memerlukan pembacaan yang cukup banyak, meneliti dokumen-dokumen sejarah, sehingga sanggup pergi ke UK semata-mata untuk mencari bahan kajiannya. Beliau mempunyai mata hati yang cukup terang berbanding mata manusia yang celik. Beliau memberikan saya inspirasi untuk terus mendalami bidang sejarah yang tidak lagi diminati oleh generasi muda hari ini.
Selama tiga bulan saya meneroka sejarah negara banyak maklumat yang saya dapat. Saya meneliti perkembangan sejarah negara, terutama sejarah hubungan kaum sebelum Malaya merdeka. Saya cuba memahami faktor konflik antara kaum pra-merdeka dan bagaimana konsistennya Tan Cheng Lock memperjuangkan agar kaum bukan Melayu mendapat hak kerakyatan negara ini sehingga mereka memperolehi hak kerakyatan tersebut melalui 'political bargain' dan tawar menawar sehingga hak keistimewaan Melayu, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu yang diperjuangkan oleh orang Melayu dapat diinstitusikan dalam Perlembagaan 1957. Saya cuba memahami pemikiran Tan Cheng Lock dengan meneliti surat-surat peribadi dan ucapannya yang masih tersimpan di Arkib Negara.
Saya juga meneliti perjuangan dan pendekatan politik dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Bagaimana Dato' Onn menukar pendekatan politiknya dari komunal kepada non-komunal dan akhirnya berpatah balik menjadi nasionalis Melayu apabila Tan Cheng Lock dan beberapa orang pemimpin bukan Melayu yang kuat mendokong penubuhan parti IMP beralih menyokong Tunku lalu menubuhkan Perikatan.

Saya juga cuba memahami bagaimanakah proses penyediaan Perlembagaan negara dan reaksi berbagai kaum mengenainya. Saya menemui laporan yang dikeluarkan oleh PAS mengenai respon mereka terhadap laporan suruhanjaya Reid yang menolak beberapa aspek dari Laporan itu yang tidak secara jelas mengungkapkan Kebangsaan Melayu, menjaga kepentingan Melayu termasuk hak keistimewaan Melayu, penolakan PAS terhadap prinsip jus soli yang digunakan dalam memberi kerakyatan bukan Melayu, ketegasan PAS untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara yang mesti dikuatkuasakan dengan segera selepas merdeka dan agama Islam mestilah menjadi agama rasmi dalam erti kata yang sebenarnya.

Saya juga menemui fakta bahawa orang bukan Melayu sebelum merdeka lagi sebahagiannya sudah menolak dan merasa bimbang hak keistimewaan orang Melayu dimasukkan dalam Perlembagaan dan isu ini akan terus menerus menjadi polimik dan perdebatan antara kaum.

Saya turut meneliti ucapan Tan Siew Sin dalam Second Legislative Council pada 10 Julai 1957. Dalam Persidangan tersebut, Tan Siew Sin telah menyebutkan bahawa cadangan draf Perlembagaan tersebut merupakan satu kompromi yang adil (a fair compromise), walaupun ia tidak dapat memuaskan hati semua komuniti secara keseluruhannya. Walaupun perlembagaan ada peruntukan untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu yang dilihat oleh sebahagian dari orang Cina sebagai tidak adil dan kontradiksi dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan tetapi Tan Siew Sin mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya;

“I beg to differ from them. In the first place, the principle of the special position of the Malays has already been embodied in the Federation of Malaya Agreement. The Malays thefore cannot be expected to give up what they already have in the same way that they do not expect the other communities to give up their existing rights”[1].

Apa yang lebih penting lagi ialah hakikat bahawa orang Melayu dari segi faktanya memang ketinggalan dari segi ekonomi berbanding kaum-kaum lain. Justeru itu, objektif utama diadakan peruntukan ini adalah untuk memastikan orang Melayu tidak kehilangan apa yang mereka telah miliki. Peruntukan itu akan menolong orang Melayu supaya mempunyai kedudukan yang sama dari segi ekonomi dengan kaum-kaum lain. Berhubung dengan persoalan mengapa tidak secara eksplisit dalam Perlembagaan menetapkan pembatasan waktu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu tersebut, Tan Siew Sin memulangkan perkara tersebut kepada orang Melayu sendiri untuk menentukan bilakah waktunya yang sesuai untuk kedudukan hak keistimewaan itu dihapuskan, katanya:

“I would remind our critics that the Malays are proud and sensitive race. They also an intelligent race, and I know that they appreciate the significance and implications of this provision far better than most people realise. I have no doubt in my mind whatsoever that when the time comes, the Malays themselves will ask for its abolition, but this is a matter which we must obviously leave to them to decide”.[2]

[1] Tan Siew Sin, The Constitutional Proposals: A Fair Compromise, Ucapan yang dibentangkan dalam Second Session of the Second Legislative Concil pada 10 Julai 1957, dlm. J. Victor Morais (ed), Blueprint For Unity, Selected Speeches of Tun Tan Siew Sin, Malaysia Chinese Association Headquartes, 1972, hal. 153.
[2] Ibid., hal. 154.

Wednesday, February 11, 2009

Perkembangan Komunalisme Dari Perspektif Sejarah

Kewujudan masyarakat majmuk selepas kedatangan golongan imigran Cina dan India menyumbang kepada perkembangan komunalisme (perkauman). Menurut Dahana (2002,41), komunalisme mempunyai ciri antaranya ialah setiap kelompok kaum mempunyai saluran sendiri dalam mengungkap pandangan sosial, ekonomi dan politik masing-masing. Saluran itu diwarnai oleh etnisiti yang sangat kuat. Hakikat tersebut diakui oleh Milne & Manzy (1980) yang menyebutkan semua kenyataan hidup masyarakat Malaysia didominasi oleh pertimbangan-pertimbangan kaum. Faktor yang menyebabkan komunalisme dominan antaranya disebabkan sikap Inggeris sendiri yang memperlakukan kaum bukan Melayu sebagai orang asing yang dianggap pedagang, tukang dan pekerja yang bermanfaat kepada kepentingan ekonomi kapitalis Barat. Ditambah lagi dengan penjajahan Jepun yang dasarnya dikatakan pro Melayu dan menindas kaum Cina. Apabila Inggeris meninggalkan negara ini akibat dari serangan Jepun, beberapa organisasi Cina di bawah payung Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kuomintang menjadi elemen terpenting menghadapi tentera Jepun. Kerana itu, ketika Inggeris mengatur serangan bersenjata, mereka memilih Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) sayap militer PKM sebagai sekutunya. Apabila Jepun kalah dalam tahun 1945, orang Cina yang menjadi korban kekejaman Jepun telah membalas dendam terhadap orang yang bekerjasama dengan Jepun. Orang Melayu telah menjadi sasaran balas dendam mereka sehingga mencetuskan konflik perkauman terburuk sejarah negara dalam tahun 1945 (Dahana 2002,44-45). Apabila Inggeris kembali berkuasa di negara ini, beberapa dasar baru yang diperkenalkannya seperti gagasan Malayan Union pada tahun 1946 turut mempertajamkan lagi jurang antara kaum. Orang Melayu melalui UMNO yang ditubuhkan pada tahun yang sama telah menjadi medan gelombong kebangkitan nasionalisme Melayu yang menentang dasar Malayan Union antaranya yang memberi kerakyatan yang mudah kepada kaum bukan Melayu. Inggeris telah memberikan kewargenegaraan kepada sesiapa sahaja yang lahir di Malaya tanpa memandang latar belakang etnik mereka. Pemberiaan hak kewargenegaraan kepada sesiapa saja yang tinggal di Malaya amat mengelisahkan kaum Melayu. Kegelisahan itu mempunyai asas kerana ia akan mengancam kedudukan istimewa orang Melayu di samping kecemasan orang Melayu terhadap jumlah populasi kaum bukan Melayu yang makin bertambah dan perbezaan tipis jumlah kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu (Dahana 2002,46).
Komunalisme yang menjadi ciri masyarakat di Tanah Melayu bukan sahaja disebabkan faktor sejarah, taburan populasi antara kaum, perbezaan antara kaum tetapi disebabkan oleh faktor-faktor lain. K.J. Ratnam (1965) dalam bukunya Communalism And The Political Prosess In Malaya telah memberikan empat faktor wujudnya komunalisme di negara ini. Pertama, ketiadaan kesatuan budaya atau homogeniti budaya kerana setiap kaum memiliki agama, bahasa, tradisi dan kebiasaan masing-masing. Keadaan ini menurut Ratnam menjadi penghalang kepada penyatuan antara kaum. Contohnya, masalah bahasa menjadi satu isu politik yang amat sulit di Malaya ketika itu. Kedua, perbezaan fizikal atau wilayah atau tempat tinggal di antara kaum Melayu dan bukan Melayu. Kebanyakan orang Melayu tertumpu di negeri-negeri pantai timur dan utara yang kurang maju, sedangkan kaum bukan Melayu tertumpu di negeri-negeri pantai barat yang lebih maju. Keadaan ini menimbulkan kecemburuan intra kaum apabila kaum Melayu melihat kaum Cina yang kebanyakannya tinggal di pantai barat lebih menikmati kemajuan hidup berbanding orang Melayu yang tinggal di pantai timur dan utara negara. Ketiga, ketiadaan kesetaraan pemusatan kekuatan politik dan ekonomi antara kaum. Kaum Melayu lebih mendominasi kekuatan politik manakala kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Realiti ini telah menimbulkan tawar menawar kaum yang menjadi ciri penting masyarakat Malaysia sebelum merdeka. Keempat, konflik antara dakwaan kedududukan kaum Melayu sebagai penduduk pribumi yang seharusnya diberikan dan dijaga hak-hak keistimewaan mereka dengan tuntuan kaum bukan Melayu yang kebanyakan daripada yang dilahirkan di negara ini dan menjadi warganegara Persekutuan. Mereka boleh menerima kedudukan istimewa orang-orang Melayu tetapi kedudukan itu adalah sementara sahaja. Justeru itu, mereka mendesak supaya diadakan peningkatan bertahap terhadap hak-hak mereka sebagai warganegara. Terdapat di kalangan kaum Melayu yang mempertahankan kedudukan istimewa mereka sebagai satu yang abadi dan tidak boleh diberikan kepada kaum lain. Manakala terdapat kalangan kaum bukan Melayu yang berusaha untuk menghapuskan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Senario ini menurut Ratnam telah menjadi tema utama hubungan antara kaum Melayu/bukan Melayu dan juga dalam proses politik di Persekutuan Tanah Melayu (Ratnam 1965, 1-3).

Friday, February 6, 2009

Alhamdulillah, kita masih hidup hari ini kerana rahmat dan kJustify Fullasih sayang dari Allah. Tanpa rahmat dan kasih sayangNya mampukah kita hidup hari ini?. Tapi sayangnya, manusia selalu terlupa akan hakikat bahawa satu masa nanti kita akan kembali kepadaNya jua.
Kita juga selalu terlupa bermuhasabah diri, apakah amalan yang telah kita lakukan semasa kita masih hidup ini sudah cukup untuk mendinding diri kita dari azabNya dan meraih rahmat, nikmat dan keampunanNYa?.

Pernahkah kita bayangkan, saat ketika diri ini menempuh sakaratu maut iaitu ketika roh mahu berpisah dari jasad?.
Syukur alhamduillah, kita masih diberi oleh Allah masa sebelum detik itu berlaku. Marilah kita mempertingkatkan amal ibadat dan membuat sebanyak mungkin kebaikan walaupun kebaikan itu sebesar zarrah sekalipun.
Hakikatnya, tiada peluang kali kedua atau ketiga takala manusia sudah menempuh detik tersebut, kerana Allah menyebutkan apabila datang ajal seseorang itu tidaklah Dia mendahulukan atau menangguhkan walau sesaat juapun.
Kita amat bersyukur, kerana Allah masih meminjamkan masaNya kepada kita. Allah juga masih menempatkan roh dalam jasad kita untuk membolehkan kita meneruskan kehidupan ini.
Sementara usia yang masih berbaki, gunakan tempoh masa tersebut dengan melibat ganda amalan soleh, mengasihi orang yang terdekat, saudara kita, mensyukuri nikmat yang diberikan, bertaubat dan sebagainya.
Kematian adalah rahsia Allah bagi menguji manusia, siapkah yang terbaik amalannya. Maut akan datang juga menjenguk kita, entah bila....hari ini...esok ...lusa ...tetapi yang pasti ia akan datang jua...ia tetap menjadi rahsia Allah...Allahua'lam.

Saturday, January 31, 2009

Palestine

(Palestine tahun 1946)


Malam tadi saya telah menghadiri majlis bersama Palestine yang dianjurkan bersama antara ISMA Negeri Sembilan dan Masjid Sikamat. Majlis penerangan mengenai isu Palestine telah dihadiri bersama oleh pelajar-pelajar Palestine yang menuntut di negara ini. Dalam majlis tersebut, wakil Palestine (yang merupakan seorang pelajar PhD di UPM) telah memberikan ucapannya dengan panjang lebar mengenai situasi di Palestine. Penerangannya itu telah dapat memberikan keinsafan kepada umat Islam di negara itu betapa mereka perlu mendokong perjuangan rakyat Palestine yang diterajui oleh Hamas bagi mempertahankan bumi Palestine dari dijajah dan dimusnahkan oleh Israel, kerana di situlah terletaknya Masjidil Aqsa yang merupakan salah satu dari tiga masjid yang paling mulia dalam Islam. Allah sendiri telah menyebutkan dalam permulaan ayat surah al-Israa' bahawa Allah bukan sahaja memberkati Masjidil Aqsa bahkan termasuk di sekitarnya. Tambahan lagi Palestine adalah bumi kelahiran para Nabi yang mempunyai hubungan langsung dan signifikan dengan ajaran Islam. Dari sudut sejarah, Palestine telah dapat dibuka pada zaman Khalifah Umar al-Khatab yang membebaskan daripada Byzantium yang beragama Kristian. Walaupun Saidina Umar dapat membuka mengembalikan Palestine ke tangan agama Allah, tetapi usaha awal telah dilakukan oleh Rasulullah, diteruskan pada zaman Abu Bakar dan disempurnakan oleh Saidina Umar al-Khatab. Apabila Jerusalam telah jatuh ke tangan tentera Islam, ketua paderi Kristian enggan menyerahkan kunci kota kepada khalifah melainkan secara peribadi kepada Khalifah Umar. Saidina Umar telah pergi ke Jerusalem dan telah menandatangani perjanjian yang memperlihatkan tolak ansur dan menterjemahkan Islam sebagai agama kedamaian. Perjanjian tersebut berbunyi:

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, perjanjian ini diperakukan oleh Umar, hamba Allah dan putera bagi orang beriman kepada rakyat Aelia. Beliau memperakui keselamatan bagi penduduk dan harta benda, gereja dan salibnya yang kecil dan yang besar dan bagi penganut agama Kristian. Gereja-gereja mereka tidak boleh dirampas atau dimusnahkan. Begitu juga, bahan-bahan atau kawasan mereka, salib atau sebarang harta benda mereka tidak boleh dikurang dengan apa cara sekalipun. Mereka tidak boleh dipaksa dalam sebarang hal yang bersabit dengan agama mereka dan mereka tidak boleh dicederakan...".



Perjanjian ini memperlihatkan jaminan kedamaian, kebebasan beragama dan perlindungan yang diberikan oleh Islam semasa mereka memerintah bumi Palestine tidak semasa mereka dijajah oleh kuasa imperialis Rom atau Byzantium. Selepas itu, ramai daripada penduduknya telah menganut agama Islam, manakala yang beragama Kristian bebas mengamalkan agama mereka secara aman dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada tempat suci mereka.


Bagaimanapun peta dunia Arab telah berubah apabila negara Israel diwujudkan hasil konspirasi dan perancangan strategi Zionisme yang melibatkan negara-negara Barat melalui tipu daya yang menjijikan. Tanah dan wilayah orang Islam semakin mengecil dan mereka dipecah belah menjadi dua wilayah Ghaza dan Tebing Barat.


Penubuhan sebuah negara Yahudi ini mula diilhamkan melalui Kongres Pertama Yahudi yang berlangsung di Basle, Switzerland pada tahun 1897. Pada tahun 1906, Kongres Yahudi kelima telah memutuskan bahawa tanah air Yahudi mesti didirikan di Palestine. Pada tahun 1917-1918, British telah berjaya merampas Palestine dari pemerintah Uthmaniyyah, Turki dengan bantuan negara Arab jua kerana British telah menjanjikan akan membebaskan negara mereka dari pemerintahan Turki selepas perang berakhir. Tetapi itu adalah tipu helah semata-mata. Sebaliknya British telah memeteri perjanjian sulit Sykes-Pigot pada tahun 1917 yang mahu memecah belahkan negara Arab sesama kuasa koloni Perancis dan Rusia. Kemudian Dekelarasi Balfour dihasilkan pada tahun yang sama yang menyebutkankan bahawa British telah berjanji untuk mewujudkan sebuah negara Israel di bumi Palestine. Di bawah kuasa British, pendatang-pendatang Yahudi telah dibawa masuk secara beramai-ramai dan menduduki secara haram tanah orang Arab. Pada tahun 1948, sebelum British meninggalkan Palestine, mereka telah berjaya mewujudkan sebuah negara Yahudi dengan hanya menyerahkan Semenanjung Ghaza dan Tebing Barat kepada orang Islam.


Bermula dari detik tersebut bermulanya konflik Palestine-Israel, terutama apabila Israel melihat Palestine sebagai ancaman utama ke atas kewujudan negara Israel dan perancangan mereka untuk merampas Baitulmuqadis dan meruntuhkan masjidil Aqsa bagi membina kuil suci mereka yang telah runtuh yang mereka dakwa dibina di atas tapak Masjidil Aqsa. Israel terus menerus melakukan kekejaman termasuk perancangan sulit mereka membunuh pemimpin Islam Palestine. Perancangan mereka telah berjaya membunuh beberapa pemimpin Hamas seperti Syekh Ahmad Yasin pada 21 Mac 2004, Dr. Abdul Aziz al-Rantisi pada 17 April 2004, dan Yasser Arafat, Presiden PLO yang mati diracun pada 11.11.2004.


Apabila kepimpinan Palestine berjaya dikuasai oleh Hamas melalui proses demokrasi pada tahun 2006, negara-negara Barat termasuk Amerika telah menghentikan bantuan mereka ke Palestine dan menyekat segala bantuan kepada penduduk Gaza. Ini kerana Hamas merupakan sebuah parti politik bertunjangkan Islam yang didakwa menjadi ancaman utama kepada Israel dan dituduh sebagai sebuah gerakan teroris oleh Barat. Israel menggunakan kekuatan kecanggihan teknologi ketenteraan mereka yang dibantu oleh Amerika untuk melumpuhkan Hamas dan menakluk Semenanjung Gaza. Tetapi usaha mereka itu tidak berhasil kerana diberi tentangan yang hebat oleh Hamas. Rancangan untuk menyerang Gaza sudah dibuat sejak dari tahun 2007 lagi. Pada 27 Disember 2008, Israel telah menyerang dan mengebom Ghaza dengan dahsyat sekali menggunakan bom fosforus sehingga membunuh 1300 rakyat Palestine, kebanyakannya adalah kanak-kanak dan golongan wanita. Pada 21 Januari 2009, Israel mengumumkan tenteranya keluar dari Ghaza dan mengumumkan gencatan senjata dari sebelah pihak.


Walaupun, Gaza dengan hebat sekali diserang oleh Israel tetapi mereka gagal menakluk Gaza. Hamas tetap terus wujud dan akan memberi tentangan hebat kepada Yahudi. Bagi mereka, Israel perlu dihapuskan. Yahudi tidak boleh dipercayai. Justeru, perjanjian damai yang ingin mereka wujudkan adalah tipu helah semata-mata. Walaupun Israel berjaya menghancurkan infrastruktur Gaza, tetapi mereka tidak mampu membunuh semangat jihad rakyat Palestine. Semangat jihad itu akan terus subur dalam dada-dada rakyat Palestine walaupun fizikal mereka menderita. Bagi rakyat Palestine, Gaza adalah simbol kekuatan Islam. Sekiranya Gaza jatuh, maruah umat Islam akan tercemar. Mereka berikrar, bendera Palestine akan terus berkibar. Mereka tidak akan membiarkannya dirampas dan dihina oleh Yahudi. Walaupun mereka serba kekurangan, keimanan dan semangat jihad mereka telah membolehkan mereka mendapat pertolongan dari Allah. Allah telah menghantar "tentera yang tidak dapat dilihat" untuk menolong perjuangan mereka. Banyak kisah yang diceritakan oleh wakil Palestine malam tadi yang membuktikan bahawa "tentera yang tidak dapat dilihat" membantu perjuangan mereka. Bantuan tersebut akan memperkukuhkan semangat perjuangan, tekad dan jihad mereka. Mereka akan terus berjuang menentang Yahudi dan para sekutu mereka sehingga hari kiamat. Mereka menyakini janji Allah adalah benar. Mereka menyakini firman Allah yang menyebutkan bahawa bilangan yang kecil (yang beriman) adalah mampu meruntuhkan kekuatan bilangan yang besar (kufur). Mereka memahami firman Allah yang bermaksud:


"Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan?) " (Qaaf: 36).


Rakyat Palestine mengharapkan sokongan dan dokongan umat Islam sejagat dari segi spiritual dan material. Bersama kita membantu mereka!.



Thursday, January 22, 2009

Bidang kajian PhD saya adalah hubungan etnik. Kajian ini memerlukan saya membaca dan menyemak buku-buku sejarah dan dokumen-dokumen berkaitannya. Dalam memahami apa yang telah berlaku dalam sejarah negara terutama yang menyentuh hubungan kaum saya telah membaca beberapa buah buku, antaranya memoir yang telah ditulis oleh beberapa orang aktivis politik perjuang kemerdekaan sama ada dari aliran kiri atau kanan. Di kalangan aktivis politik beraliran kiri, saya telah membaca memoir yang ditulis oleh Shamsiah Fakeh (yang mengetuai AWAS cabang PKMM dan kemudiannya menjadi ahli PKM) dan Memoir yang ditulis oleh Abdul Majid Salleh (juga aktivis PKMM dan banyak bergerak dalam kesatuan buruh sebelum kemerdekaan). Kedua-dua buah buku ini (terbitan UKM) amat menarik untuk dibaca untuk memahami sejarah perjuangan politik mereka untuk memerdekakan negara tanpa berkompromi dengan penjajah Inggeris. Menurut Abdul Majid Salleh, dasar perjuangan PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya atau MNP) ialah tidak meminta-minta atau menadah tangan mengharap belas kasihan dari British untuk memberi kemerdekaan kepada kita. Kita menuntut kemerdekaan menerusi politik....kita bukan mahu pemerintahan Inggeris yang adil, juga kita tidak mengharapkan pemerintahan demokrasi. Hanya apa yang kita mahu ialah Merdeka. Merdeka total dan bukannya Merdeka di bawah pengaruh British sebagaimana merdeka yang diperoleh Kanada, India, Austrralia dan negara lain (hal.74). Di akhir memoirnya beliau menulis dan membuat kesimpulan yang sinis, katanya " Sejarah sentiasa mengikut kita dari belakang. Itulah manusia dan alamnya. Ramainya manusia menari di hadapan orang buta. Ramai manusia memberi penilaian kepada ahli perjuang. Tetapi mereka sendiri bukannya ahli perjuangan. Ramai orang alim sejarah, tetapi mereka sendiri tidak mengukir sejarah. Adakah sama orang yang melihat akan orang yang karam di dalam ombak yang beralun temalun dari pantai landai dengan orang yang karam bersama-sama ombak di tengah-tengah lautan samudera?. Dalam memoirnya itu beliau telah menghasilkan beberapa buah sajak yang merakamkan suka duka perjuangannya, harapan, kritikan terhadap anak bangsanya, rakamannya terhadap sejarah negara, ideologi perjuanganya. Antara petikan sajaknya yang memberi pesan kepada anak merdeka:
Di akhir kalam aku bermadah
kepada anak-anakku,
cucu-cucuku dan keturunanku
Ingatlah kamu sekelian!
Kalau kamu kaya raya
jangan sombong jangan bongkak
jangan ingke jangan bangga
Kalau kamu papa kedana
jangan menadah tangan meminta-minta
adat dunia memang begitu
miskin kaya silih berganti
Dunia lapang dijadikan Tuhan
ke mana kita pergi di situ dunia Allah SWT belaka
apabila kaya ataupun miskin
serah diri kepada Allah SWT
Allah SWT saja tempat mengadu
Allah SWT yang kekal abadi
yang lain akan hancur luluh
akan lenyap ranap
akan jadi fatamogana....
(Sebahagian dari petikan sajak dalam Memoirnya (2004), Penerbit UKM).

Monday, January 19, 2009

Setiap hari di awal pagi selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya akan menumpukan kepada pembacaan dan penulisan tesis saya. Walaupun saya dinasihatkan oleh penyelia supaya menggunakan masa satu tahun untuk mengumpul bahan, tetapi saya tidak menunggu selama itu untuk memulakan penulisan. Kadang kala saya merasa cemas, timbul dalam kotak pemikiran apakah saya mampu menyempunakan kajian ini ataupun apakah saya berada di atas landasan yang betul untuk menyiapkan kajian tersebut. Tambahan pula bidang kajian ini adalah bidang baru yang bukan dari disiplin asal saya. Kadang kala disibukkan pula dengan urusan-urusan lain yang menganggu proses pembelajaran. Apapun keadaannya saya perlu mendispilinkan diri, mengurus waktu dengan baik dan bermohon kepada Allah supaya memudahkan urusan ini. Saya agak bernasib baik kerana tidak memulakan tesis saya dengan kosong. Sebelum ini saya sudahpun mula menulis dan membuat kajian berkaitan tajuk yang hendak diselidiki.
Selepas hampir sebulan bercuti, rasa rindu pula kepada kawan-kawan di Segamat. Sekali sekala melawati blog kawan-kawan khususnya blog Prof. Muhd Kamil melihat perkembangan perjalanan hidupnya dan berita dari UiTM Segamat. Setiap waktu maghrib dan Insyaa' ke Masjid berhampiran mendengar kuliah-kuliah ilmu untuk menambahkan pengetahuan sambil beriktikaf.
Isteri dan anak-anak sudah mula ceria ke sekolah. Beransur-ansur menyesuaikan diri dengan suasana baru.
Hari sabtu yang lepas, saya menerima berita yang kesahnya pernah saya tulis dalam blog ini kembali ke rahmatullah. Beliau seorang pengidap down sindrom yang hidup dengan penuh kasih sayang dari ibunya yang sekarang ini uzur dan tua. Tetapi Allah mentakdirkan dirinya dahulu dipanggil oleh Allah sebelum ibunya walaupun beliau sebelum ini tidak pernah sakit. Itulah perancangan Allah Yang Maha Mengetahui dan bersifat Pengasih dan Penyayang. Sebelum ajalnya datang, beliau menyuruh ibunya solat, ketika itulah dia mengadap Allah untuk selama-lamanya tanpa ibu di sisi. Mungkin dia tidak mahu ibunya kesedihan...selepas ini si ibu tua tidak lagi rungsing memikirkan nasibnya selepas ketiadaannya kerana Allah terlebih dahulu menjemputnya kembali. al-Fatihah untuk Allahyarham.

Thursday, January 15, 2009

Memulakan penghidupan baru di Seremban...

Blog ini sudah sebulan lebih tidak diselenggara. Baru seminggu dapat sambungan internet setelah berpindah ke Seremban bermula pertengahan Disember lalu. Kini menumpukan perhatian untuk menyempurnakan thesis PhD. Hampir sebulan memulakan hidup baru di tempat yang baru dan memasuki semula alam sebagai pelajar sudah tentu banyak cabaran yang bakal ditempuhi dan perlu diselesaikan mengikut kebijaksanaan dan rahmat dari Allah. Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dari Segamat ke Seremban supaya dekat dengan akses ilmu dan memudahkan saya mencari maklumat yang diperlukan bagi menyempurnakan kajian. Berjumpa dengan penyelia PhD saya iaitu Prof. Dr. Redzuan pertama kali di rumah kediamannya di Sungai Ramal, Kajang. Beliau memberikan beberapa nasihat dan panduan untuk saya. Beliau amat sibuk kerana menyelia 40 orang pelajar post graduate.
Saya mengambil keputusan untuk membawa bersama keluarga berpindah ke Seremban. Dengan itu, akan memudahkan saya menumpukan perhatian kepada belajar. Saya dan keluarga pada mulanya amat gembira tinggal di rumah kami sendiri di Seremban yang telah dibeli sejak tahun 2002. Inilah pertama kali dapat tinggal di rumah sendiri setelah berkhidmat selama 18 tahun. Bagaimanapun minggu pertama sesi persekolahan semuanya berubah. Keghairahan untuk memulakan hidup baru di Seremban bermula dengan kesedihan dan kesuraman. Hari pertama memulakan persekolahan saya nampak anak-anak dan isteri tidak ceria. Nampak kemurungan di wajah mereka. Semua merasakan kehidupan di Jementah lagi baik. Tiada kesesakan jalan raya, suasana yang tenang dan tidak tergesa-gesa. Maklumlah mereka terpaksa memulakan penghidupan yang baru, tiada kawan dan gurupun tidak mengenali mereka, tidak seperti di Jementah.
Paling tertekan adalah Isteri saya yang terpaksa pergi awal ke sekolah, kerana jarak rumah kami dari sekolah iaitu 30 KM. Pergi balik sejauh 60 KM. Sekolahnya terletak di daerah PD. Terpancar di wajahnya keletihan dan tidak ceria setiap kali balik dari sekolah. Kemurungannya bertambah apabila rayuannya untuk bertukar ke daerah Seremban ditolak oleh Jabatan. Setiap kali balik dari sekolah saya memberi kata-kata perangsang kepadanya dan saya mengambil keputusan untuk menghantar beliau ke sekolah setiap hari. Terlintas dari pemikirannya untuk membatalkan semula perpindahannya dan kembali mengajar ke sekolah lama. Tetapi saya membantah. Saya menyatakan kepadanya, apabila kita telah buat sesuatu keputusan, jangan pandang ke belakang lagi. Apa yang penting ialah mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
Saya dan isteri tidak berputus asa sambil berdoakan kepada Allah dan bersolat hajat setiap malam supaya membuka hati pihak berkenaan mempertimbangkan rayuan kami. Kami menyakini bahawa Allahlah yang Maha Mendengar dan menentukan segala-galanya. Dialah 'kabel' kita Yang Maha Besar. Akhirnya, Allah telah melorongkan dan memudahkan kami berjumpa sendiri dengan Tuan Pengarah Pelajaran Negeri. Tidak disangka-sangka kedatangan kami disambut dengan amat baik sekali. Saya tidak menyangka beliau sudi mendengar masalah isteri walaupun amat sibuk dengan aturcaranya sendiri.Beliau berjanji untuk mempertimbangkan rayuan isteri dan akhirnya semalam isteri telah menerima surat dari jabatan untuk ditukarkan ke Seremban, di sebuah sekolah yang tidak jauh dari rumah.
Minggu pertama kehidupan kami di Seremban, bermula dengan cabaran dan masalah. Minggu kedua, permasalahan mula dapat dileraikan dengan berkat doa, usaha dan solat malam bermunajat kepadaNya. Dialah sebaik-baik tempat kita mengandu dan mengantungkan pengharapan....Allahu latiful ibade yarzuqul mayasaa', hasbullah nimal wakil.... Dialah 'kabel' kita Yang Maha Memahami'

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...