Friday, August 3, 2018

Kompromi Kaum dalam Proses Pembentukan Perlembagaan Merdeka 1957




Persetujuan kaum yang dicapai dalam Perlembagaan Merdeka adalah bertunjangkan kepada kompromi kaum yang diasaskan oleh parti Perikatan. Kompromi kaum telah membawa kepada persetujuan untuk menerima kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan hak kerakyatan yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Merdeka untuk diakuri. 

Pembentukan persetujuan yang bertunjangkan  kompromi antara kaum mula dicapai pada tahun 1955 yang dimanifestasikan melalui Manifesto Perikatan dalam pilihan raya Persekutuan 1955. Persetujuan pada tahap ini dianggap sebagai asas atau tapak kepada persetujuan yang lebih konkrit dicapai pada tahun-tahun berikutnya. Manifesto Parti Perikatan dianggap sebagai persetujuan bertulis yang awal dapat dicapai oleh tiga komponen Parti Perikatan yang mewakili kaum Melayu, Cina dan India terhadap empat perkara di atas. Walaupun terdapat bantahan kecil daripada kaum Cina (umpamanya pertubuhan Jiaozong) terutama berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, namun Tunku Abdul Rahman telah dapat menyelesaikan bantahan tersebut dengan jaminan perlindungan terhadap survival bahasa dan kebudayaan kaum lain.

Persetujuan kaum yang dicapai kemudiannya diperkukuhkan lagi pada tahun 1956 melalui penyediaan satu memorandum yang disepakati bersama oleh Parti Perikatan yang mewakili kaum masing-masing sebelum diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Reid. Di samping memorandum Parti Perikatan, pihak Suruhanjaya Reid turut menerima memorandum daripada pelbagai pihak yang memaparkan bahawa pembentukan Perlembagaan Merdeka adalah mengambil kira pandangan pelbagai kaum. Suruhanjaya Reid telah menjadikan memorandum Parti Perikatan sebagai rujukan utama mereka dalam penyediaan laporan mereka disebabkan Parti Perikatan dianggap lebih mengutarakan kehendak semua kaum di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, sebelum keputusan bersama dapat dicapai, beberapa isu komunal yang berkaitan dengan soal kerakyatan, bahasa, agama dan hak keistimewaan orang Melayu menjadi bahan perbincangan dan perdebatan yang hebat di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.

Parti Perikatan telah berjaya mengharungi cabaran dan menyelesaikan tuntutan kaum sehingga dapat menyediakan sebuah memorandum yang disepakati bersama setelah dibuat penyelarasan dan kompromi. Walaupun persetujuan dan kompromi antara kaum telah dapat dicapai, namun setelah laporan Suruhanjaya Reid dikeluarkan pada 21 Februari 1957, kebimbangan antara kaum terhadap implikasi laporan tersebut terhadap survival bangsa tetap wujud. 

            Tahap terakhir pembentukan Perlembagaan Merdeka ialah apabila Laporan Suruhanjaya Reid dinilai oleh Badan Kerja (Working Party) yang diwakili oleh wakil-wakil daripada Raja-raja Melayu, kerajaan Perikatan dan kerajaan British. Peranan Badan Kerja ini adalah untuk memastikan Perlembagaan baru yang ingin digubal adalah selaras dengan bentuk pemerintahan di Tanah Melayu dan turut membincangkan empat perkara utama. Terdapat beberapa perubahan yang dilakukan terhadap Laporan Suruhanjaya Reid berhubung kedudukan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan hak istimewa orang Melayu tanpa sempadan masa dan penolakan multi-lingualisme dalam Dewan Perundangan Persekutuan. Walaupun perubahan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan orang Melayu namun sebagai kompromi terhadap tuntutan kaum bukan Melayu, UMNO telah mengugurkan cadangannya untuk mewajibkan calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya mesti menguasai bahasa Melayu dan Inggeris serta perlindungan terhadap penggunaan bahasa kaum bukan Melayu dalam urusan awam dan bukan rasmi.

Perdebatan dan perbahasan terhadap isu-isu di atas berlangsung dalam semua peringkat, iaitu dari rakyat, media massa, parti-parti politik di luar Perikatan, di kalangan ahli-ahli parti Perikatan, Jawatankuasa ad-Hoc Perikatan, ahli Majlis Tertinggi Parti Perikatan, Majlis Kebangsaan Parti Perikatan, ahli Suruhanjaya Reid, ahli Working Party, Konferensi London 1957 dan diakhiri melalui perbahasan dalam Dewan Undangan Persekutuan pada bulan Julai 1957 sebelum draf Perlembagaan diterima dan diluluskan sebagai Perlembagaan negara yang sah dan diterima oleh semua kaum pada 11 Julai 1957.  Walaupun persetujuan tersebut lebih tertumpu dalam konteks parti politik yang menganggotai Parti Perikatan, namun ketiga-tiga parti politik, iaitu UMNO, MCA dan MIC dianggap telah mewakili pandangan tiga kaum terbesar di Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka.

Isu yang diperdebatkan

Antara isu yang paling panas diperdebatkan antara kaum ialah kedudukan hak istimewa orang Melayu. Orang Melayu sebelum merdeka telah berjuang untuk mempertahankan kedudukan hak tersebut dan memastikan kedudukan tersebut terpasak kukuh dalam Perlembagaan. Orang Melayu mempunyai alasan sejarah untuk mewajarkan penerimaan kedudukan tersebut sebagai asas persetujuannya dengan beberapa tuntutan kaum bukan Melayu. Kedudukan istimewa orang Melayu bukan sahaja telah diiktiraf secara sah oleh British melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (di bawah Perkara 19 (1) (d)), tetapi juga berdasarkan hakikat sejarah bahawa orang Melayu adalah kaum Bumiputera yang memerlukan perlindungan bukan sahaja daripada aspek politik tetapi juga ekonomi. Bahkan sebelum kedudukan istimewa orang Melayu dimaktubkan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, beberapa perkara yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu seperti Tanah Rezab Melayu dan sistem kuota dalam Malayan Civil Service (MCS) telah diwujudkan oleh British sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.


Berdasarkan hakikat tersebut, kedudukan istimewa orang Melayu kemudian diakui melalui persetujuan yang dicapai melalui Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) 1949, dijadikan Testamen Politik Perikatan dalam Manifesto mereka pada pilihan raya 1955, diperincikan dalam Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid, diperakukan oleh Laporan Suruhanjaya Reid dengan menjadikannya sebagai salah satu daripada terma rujukan dan dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu melalui Perkara 153.


Begitu juga dengan kewajaran penerimaan pelbagai kaum terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi tunggal dalam Perlembagaan Merdeka mempunyai justifikasinya dari sudut sejarah. Penerimaan kedudukan tersebut berkait rapat dengan kedudukan, peranan dan taraf bahasa Melayu sebagai lingua franca sebelum kedatangan penjajah Barat ke negara ini. Begitu juga selepas kedatangan British, terutama sebelum Perang Dunia Kedua, bahasa Melayu telah digunakan secara meluas dengan tujuan rasmi di negeri-negeri Melayu sebelum secara beransur-ansur digantikan oleh bahasa Inggeris melalui pelaksanaan sistem pendidikan Inggeris dengan nilai ekonomi yang diberikan ke atas sistem pendidikan tersebut.


Menjelang Tanah Melayu mencapai kemerdekaan beberapa perbincangan telah dilakukan di antara pemimpin Melayu dengan pemimpin kaum bukan Melayu untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu. Kaum bukan Melayu tidak menunjukkan penentangan mereka terhadap cadangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan rasmi. Namun wujud juga kecenderungan daripada beberapa pertubuhan sosial Cina yang memperjuangkan dasar multi-lingualisme yang menuntut supaya bahasa ibunda mereka diiktiraf sama sebagai bahasa rasmi. Walau bagaimanapun, keinginan golongan ini mendapat bantahan daripada orang Melayu.  Tunku Abdul Rahman walaupun mengakuri desakan daripada orang Melayu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal tetapi masih berpegang kepada dasar liberalisme bahasa, terutama penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan Tamil dalam sistem pendidikan vernakular serta mengiktiraf bahasa tersebut dalam urusan bukan rasmi. Pendekatan ini dilaksanakan Tunku bagi mengimbangi antara desakan orang Melayu dengan tuntutan kaum bukan Melayu mengenai isu bahasa.


Memorandum Perikatan mengenai kedudukan bahasa Melayu merupakan satu kompromi yang telah dicapai antara pemimpin Melayu dan bukan Melayu dalam Perikatan. Justeru itu, Memorandum Perikatan hanya mencadangkan supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan tunggal namun bahasa Inggeris masih dipakai di Tanah Melayu dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka. Suruhanjaya Reid telah mengambil cadangan daripada Perikatan mengenai kedudukan bahasa Melayu dan bahasa bukan Melayu yang lain. Kompromi kaum tersebut telah mengangkat kedudukan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa Kebangsaan dan dinyatakan dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghalang kaum lain dari mengguna, mengajar atau belajar bahasa lain.



Kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan 1957 turut mempunyai justifikasinya dari sudut sejarah. Negeri-negeri Melayu sama ada sebelum atau selepas kedatangan British telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi bagi negeri secara bertulis atau tidak bertulis. Walaupun wujud beberapa triti antara Sultan Melayu dengan pihak British seperti Perjanjian Pangkor 1874, namun British mengekalkan dasarnya yang tidak campur tangan dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu.


Dasar tidak campur tangan tersebut sentiasa diikuti oleh British sehinggalah British memperkenalkan gagasan Malayan Union pada tahun 1946 yang membolehkan Gabenor Malayan Union campur tangan dalam perkara tertentu berhubung agama Islam. Orang Melayu bangkit menentang aturan tersebut yang boleh menyebabkan Sultan Melayu kehilangan kuasa pertuanan dan melemahkan kedudukan mereka. Kedudukan Sultan Melayu sebagai ketua agama bagi negeri-negeri Melayu telah dikembalikan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Kedudukan agama Islam seperti yang sedia ada tidak dibantah oleh kaum bukan Melayu yang bukan beragama Islam. Kefahaman inilah yang mendorong wujudnya kompromi di antara pemimpin Parti Perikatan untuk mencadangkan dalam Memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid agar agama bagi Malaysia hendaklah agama Islam. Walaupun pada mulanya wujud bantahan daripada Raja-raja Melayu dengan cadangan tersebut tetapi akhirnya Raja-raja Melayu telah menerima cadangan tersebut setelah diyakini bahawa kuasa mereka sebagai ketua agama bagi negeri-negeri Melayu tidak akan terjejas.


Kaum bukan Melayu tidak membantah peruntukan tersebut bukan sahaja disebabkan mereka memahami peranan Islam dalam sejarah dan kehidupan orang Melayu tetapi kerana wujudnya jaminan dalam perundingan pembentukan Perlembagaan bahawa hak warganegara bukan beragama Islam untuk menganut dan mengamalkan kepercayaan masing-masing akan dilindungi. Walau bagaimanapun, yang menimbulkan kebimbangan kaum bukan Islam ialah implikasi peruntukan tersebut yang boleh membawa makna bahawa Tanah Melayu adalah sebuah negara teokratik. Pemimpin UMNO khususnya Tunku Abdul Rahman telah menyakinkan mereka, bahawa peruntukan tersebut adalah sekadar satu simbol dan membawa makna bahawa Tanah Melayu adalah sebuah negara sekular. Kefahaman inilah yang melatarbelakangi beberapa siri perbincangan dalam Working Party sama ada di Tanah Melayu atau di London pada tahun 1957 walaupun wujud desakan daripada sebahagian orang Melayu khususnya Parti PAS bahawa kedudukan tersebut bukan sekadar simbol tetapi harus bererti pelaksanaan Islam secara menyeluruh.  

Selepas Perang Dunia Kedua, peningkatan pertambahan bilangan kaum migran bukan Melayu, penguasaan mereka dalam bidang ekonomi dan perjuangan mereka untuk menuntut hak kerakyatan dan kesaksamaan hak telah meningkatkan kesedaran politik orang Melayu. Orang Melayu telah bangkit mempertahankan hak mereka terutama setelah British melaksanakan gagasan Malayan Union pada tahun 1946 yang memberi kesan besar kepada penghakisan dan ancaman terhadap hak ketuanan orang Melayu. Penentangan tersebut bukan sahaja disebabkan Sultan Melayu akan kehilangan kuasanya tetapi kedudukan istimewa orang Melayu tidak disebutkan dalam gagasan tersebut. Momentum penentangan orang Melayu bukan sahaja membawa orang Melayu menubuhkan UMNO pada Mac 1946, tetapi menyebabkan British membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 memberi makna yang besar kepada pengiktirafan kedudukan istimewa orang Melayu dengan Pesuruhjaya Tinggi British bertanggungjawab dari segi Perlembagaan menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. Bagaimanapun, kaum bukan Melayu telah menentang kuat Persekutuan Tanah Melayu 1948 bukan sahaja disebabkan syarat kerakyatan diperketatkan tetapi wujud kebimbangkan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu yang dilindungi oleh Perlembagaan yang akan menghalang kaum bukan Melayu mendapat hak yang sama, terutama dalam perkhidmatan kerajaan. Ternyata kedudukan istimewa orang Melayu sudah mula menimbulkan bibit-bibit rasa tidak puas hati di kalangan kaum bukan Melayu yang mahukan layanan yang sama ke atas semua kaum yang sah menjadi warganegara melalui peruntukan Perlembagaan yang ada. Walaupun wujud penentangan daripada kaum bukan Melayu terhadap Persekutuan Tanah Melayu yang dianggap sebagai pro-Melayu, namun Persekutuan Tanah Melayu telah mengiktiraf kaum bukan Melayu sebagai rakyat Tanah Melayu melalui syarat kerakyatan yang bermatlamat untuk membentuk common citizenship dan rakyat yang setia terhadap negara ini. 

Walaupun disedari wujud rasa tidak puas hati kaum bukan Melayu terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, namun orang Melayu tetap mahu hak tersebut diiktiraf dan diterima oleh semua kaum. Menjelang Tanah Melayu menuju ke arah kemerdekaan, kedudukan istimewa orang Melayu telah menjadi tawar menawar di antara orang Melayu dengan kaum bukan Melayu. Parti MCA dan MIC dalam Perikatan tidak banyak menyanggah kedudukan istimewa orang Melayu kerana UMNO telah bersetuju dengan syarat kerakyatan yang liberal bermula dengan pembentukan Testamen Politik Perikatan 1955.

Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid tidak menyebutkan batasan masa untuk pelaksanaan kedudukan istimewa orang Melayu. Penyemakan kedudukan istimewa orang Melayu  selepas 15 tahun merdeka mula ditimbulkan oleh Tun Razak pada 27 September 1957 ketika sesi perbincangan dengan ahli Suruhanjaya Reid berlangsung.  Justeru itu, dalam Laporan Suruhanjaya Reid telah dinyatakan bahawa kedudukan tersebut akan disemak selepas 15 tahun merdeka. Batasan masa tersebut ternyata telah menimbulkan kemarahaan orang Melayu sama ada di dalam UMNO atau di luar UMNO. UMNO terpaksa akur dengan desakan orang Melayu untuk menghapuskan tempoh masa tersebut dengan mengemukakan cadangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Ad Hoc Perikatan pada 5 Mei 1957 supaya kedudukan istimewa orang Melayu menjadi satu peruntukan yang kekal dalam Perlembagaan dalam masa yang sama memberi perlindungan dan jaminan terhadap hak kaum bukan Melayu. Perubahan tersebut telah disokong oleh pemimpin Parti Perikatan walaupun terdapat segelintiran pemimpin MCA tidak meyetujuinya. Bagaimanapun kaum bukan Melayu dinasihatkan untuk menerima hakikat tersebut dan bersikap toleransi demi untuk mencapai kemerdekaan.

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa hak kerakyatan kaum bukan Melayu merupakan satu persetujuan yang diberikan oleh orang Melayu terhadap penerimaan mereka terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Persetujuan yang diberikan oleh orang Melayu setelah kaum bukan Melayu terutama pemimpin kaum Cina seperti Tan Cheng Lock semenjak dari tahun 1944 berterusan mendesak dan memperjuangkan agar kaum bukan Melayu diberikan hak kerakyatan sama seperti yang dinikmati oleh orang Melayu. Tan Cheng Lock begitu bersungguh-sungguh menyakinkan British bahawa kaum bukan Melayu, khususnya kaum Cina merupakan bangsa yang sangat setia dan telah menunjukkan pengorbanan mereka terhadap British. Justeru itu, British cuba membalas pengorbanan kaum Cina tersebut dengan mewujudkan satu dasar kerakyatan Tanah Melayu yang baru bagi mengiktiraf kaum bukan Melayu sebagai rakyat negara ini yang sah. Manifestasi dari rasa terhutang budi tersebut, British telah menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 dengan mewujudkan satu undang-undang kerakyatan yang liberal. Matlamat dasar kerakyatan Malayan Union adalah untuk memastikan bahawa hak politik diperluaskan kepada sesiapa sahaja yang menganggap Tanah Melayu sebagai tanah air mereka sendiri.

Persetujuan kaum yang dicapai dalam soal kerakyatan bukan merupakan satu perkara yang mudah. Persetujuan tersebut dicapai selepas melewati beberapa detik sejarah yang membawa setiap kaum mengamalkan sikap toleransi, penyesuaian dan “give and take” yang membawa setiap kaum tidak boleh hanya memikirkan kepentingan kaum masing-masing. Bibit-bibit persetujuan kaum mula dicapai dalam soal kerakyatan setelah Jawatankuasa Hubungan Kaum atau CLC ditubuhkan. Wakil kaum bukan Melayu dalam Jawatankuasa tersebut berterusan mendesak supaya syarat-syarat kerakyatan dalam Perjanjian Persekutuan 1948 diliberalkan bagi membolehkan lebih ramai kaum bukan Melayu mendapat hak kerakyatan Tanah Melayu. Walaupun wakil kaum Melayu dalam CLC pada mulanya membantah namun akhirnya mereka telah bersetuju menerima prinsip jus soli bagi digunakan dalam soal pemberian kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu.

Titik penting persetujuan yang diberi oleh wakil orang Melayu dalam CLC mengenai penggunaan prinsip jus soli dalam soal kerakyatan adalah pada mesyuarat CLC yang diadakan pada 10 dan 11 Februari 1950 di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, persetujuan yang diberi oleh wakil orang Melayu dalam CLC setelah wakil kaum bukan Melayu bersetuju terhadap pelaksanaan hak istimewa orang Melayu yang tidak dapat dipisahkan daripada kemajuan Tanah Melayu. Walaupun persetujuan itu telah dapat dicapai, namun persetujuan itu lebih dalam lingkungan kepimpinan Melayu yang menganggotai CLC yang diketuai oleh Dato’ Onn Ja’afar. Manakala orang Melayu di peringkat bawahan, terutama ahli UMNO menentang keras syarat-syarat hak kerakyatan yang liberal seperti yang dicadangkan oleh CLC. Walaupun Dato’ Onn secara bersungguh-sungguh dalam Persidangan Agung UMNO pada 10 hingga 11 Jun 1950 memberikan justifikasi kenapa perlu satu undang-undang baru kerakyatan Tanah Melayu diwujudkan, namun orang Melayu belum dapat menerima satu dasar kerakyatan yang liberal. Penolakan orang Melayu tersebut telah membawa perletakan jawatan Dato’ Onn sebagai Presiden  UMNO pada tahun 1951 dan menubuhkan  Parti Malaya Merdeka atau IMP.

Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, persetujuan mengenai hak kerakyatan kaum bukan Melayu semakin mencapai titik penyelesaiannya. Pemimpin kaum bukan Melayu, terutama MCA berkali-kali ingin meyakinkan orang Melayu bahawa soal kerakyatan kaum bukan Melayu perlu diselesaikan, terutama tuntutan mereka terhadap penggunaan prinsip jus soli dalam pemberian hak kerakyatan. Pemimpin UMNO telah membuat perjanjian sulit dengan pemimpin MCA pada tahun 1954 bagi menyelesaikan tuntutan tersebut. Para pemimpin UMNO masih belum berani menzahirkan sokongan mereka secara berterus terang terhadap tuntutan kaum bukan Melayu tersebut disebabkan tentangan kuat ahli UMNO akar umbi dan ingin mendapatkan sokongan orang Melayu terutama menjelang berlangsungnya pilihan raya Persekutuan 1955. Justeru itu, Manifesto Perikatan dalam pilihan raya 1955 tidak membuat janji yang khusus mengenai soal  kerakyatan, tetapi secara tegas pula mempertahankan hak istimewa orang Melayu. Namun kaum bukan Melayu dalam Perikatan berpuas hati dengan jaminan Perikatan untuk menyelesaikan soal kerakyatan melalui penubuhan satu suruhanjaya bebas. 

Penubuhan suruhanjaya bebas yang diterajui oleh Lord Reid pada tahun 1956 merupakan titik penting tercapainya kompromi kaum dalam soal kerakyatan. Keadaan ini dapat dilihat apabila wujudnya kompromi antara pemimpin UMNO, MCA dan MIC dalam Perikatan dalam penyediaan sebuah memorandum yang dipersetujui secara bersama yang mengandungi cadangan mengenai hak kerakyatan walaupun terpaksa mengharungi tuntutan dan tentangan kaum masing-masing. Untuk meredakan kemarahan orang Melayu dan meraikan tuntutan kaum bukan Melayu, satu jalan tengah telah dicapai di mana UMNO di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman bersetuju dengan pemakaian prinsip jus soli tetapi pemakaiannya tidaklah secara total. Ini bermakna, mereka yang dilahirkan pada dan selepas daripada tarikh pengisytiharan kemerdekaan akan menjadi warganegara secara automatik. Manakala yang lahir sebelum merdeka, mereka akan mendapat taraf kerakyatan melalui cara pendaftaran dengan memenuhi syarat-syarat tertentu. Persetujuan yang diberikan oleh UMNO terhadap tuntutan MCA dan MIC disebabkan UMNO ingin mendapatkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan bagi dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang ingin dibentuk. Persetujuan tersebut memperlihatkan UMNO telah mempersetujui penggunaan prinsip jus soli secara berterus terang yang selama kini ditentang hebat oleh orang Melayu.

Suruhanjaya Reid telah menggunakan Memorandum Perikatan sebagai asas penting penyediaan cadangan mereka mengenai soal kerakyatan. Bagi mereka, Memorandum Perikatan merupakan manifestasi hasrat, toleransi dan kompromi antara kaum serta memberi keadilan kepada semua. Cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid walaupun bertitik tolak dari matlamat di atas, namun setelah Laporan Suruhanjaya Reid diterbitkan, laporan tersebut tetap mengundang kritikan daripada sebahagian kaum bukan Melayu yang masih menuntut ahli Suruhanjaya Reid melaksanakan pemakaian prinsip jus soli secara mutlak bagi membolehkan lebih ramai kaum bukan Melayu memperoleh hak kerakyatan dengan lebih mudah. Manakala orang Melayu di luar UMNO, seperti Parti PAS dan Parti Negara yang diterajui oleh  Dato’ Onn tetap menentang pemakaian prinsip jus soli kerana kebimbangan mereka terhadap potensi kehilangan hak dan kedudukan orang Melayu sebagai masyarakat peribumi kesan daripada peningkatan kaum bukan Melayu memperoleh hak kerakyatan melalui syarat-syarat kerakyatan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid. Walaupun wujud tentangan dari pelbagai pihak, syarat kerakyatan seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid telah diikuti setelah melalui proses rundingan yang intensif daripada pelbagai peringkat dan wujudnya perlindungan terhadap beberapa hak orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan secara sebulat suara di Dewan Undangan Persekutuan pada Julai 1957 yang berlindung di bawah Perkara 153.





No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...