Tuesday, July 31, 2018

Pilihanraya 10 Mei 1969, Isu dan Konflik Kaum

 Pilihan Raya Umum 1969 sedikit sebanyak mempunyai persamaannya dengan PRU 14 (2018) dari sudut parti-parti politik yang terlibat, penubuhan  gabungan parti pembangkang ketika itu yang dikenali sebagai  Malaysia Solidarity National Convention (MSNC) yang ditunjangi oleh DAP tetapi gabungan tersebut hanya melibatkan parti-parti kaum bukan Melayu. Manakala PAS tidak menyertai gabungan tersebut dan kekal sebagai parti yang paling kuat menentang Perikatan. Keadaan ini hampir sama dengan PRU ke 14 apabila PAS tidak menyertai gabungan parti pembangkang (Pakatan Harapan). Perbahasan isu-isu politik yang diperdebatan semasa kempen-kempen pilihan raya 1969 agak berbeza dengan isu yang diperdebatkan dalam PRU 14. PRU 14 berlangsung pada 9 Mei 2018 manakala Pilihan raya tahun  1969 telah diadakan pada 10 Mei 1969. Dalam Pilihan raya 1969, parti PAS menjadi parti Melayu/Islam yang paling kuat menentang UMNO/Perikatan, namun berbeza pada PRU 14. Isu bahasa, kedudukan hak istimewaan orang Melayu, isu pendidikan, hak kesamataan kaum mendominasi kempen-kempen pilihan raya, berbanding PRU ke 14 dimana isu ekonomi, kos sara hidup, isu integriti lebih menjadi topik utama dalam kempen-kempen politik. Jumlah pengundi dalam Pilihan raya 1969 berjumlah 3.3 juta orang manakala PRU 14 seramai 14.9 juta orang. Jika Pilihanraya 1969, memperlihatkan Parti Perikatan yang ditunjangi UMNO telah menyebabkan kemerosotan sokongan orang Melayu dan bukan Melayu kepada Perikatan yang menyebabkan beberapa negeri jatuh kepada pembangkang, namun PRU ke-14 2018 pula menyaksikan Barisan Nasional kehilangan penguasaannya terhadap pemerintahan negara yang didominasinya lebih 60 tahun sehingga menjadi parti pembangkang.

Keputusan Pilihan raya 1969


Apabila kita meneliti suasana  politik di Malaysia pada tahun 1969, ia agak berbeza dengan suasana pilihan raya sama ada pada tahun 1959 atau dan 1964. Ini disebabkan berlaku perubahan sikap dan pendirian politik kaum bukan Melayu terutama berhubung isu bahasa, pendidikan, kedudukan istimewa orang Melayu dan keperihatinan terhadap kedudukan masa depan mereka di negara ini. Satu perubahan yang ketara menurut Vasil (1980)[i] ialah, kaum bukan Melayu agak keberatan untuk menerima kompromi dan persetujuan yang telah mereka buat (terutama semasa proses pembentukan Perlembagaan Merdeka dibuat). Sikap sedemikian semakin berubah terutama setelah People Action Party (PAP)  memasuki arena politik Malaysia dengan memperkenalkan gagasan “Malaysian Malaysia” dan mengasaskan idea penyatuan politik, iaitu dalam kalangan parti politik pembangkang kaum bukan Melayu, iaitu melalui penubuhan Malaysia Solidarity National Convention pada tahun 1965 (PREM 13/480).[ii]


Walaupun PAP berada dalam kancah politik Malaysia dalam masa yang singkat (1963-1965), tetapi kehadiran PAP telah dapat menyatukan kaum bukan Melayu dan tanpa berselindung mencabar persetujuan bersejarah antara kaum dan ketuanan Melayu (Cheah Boon Kheng, 2002).[iii] PAP juga telah menjadi katalis kaum bukan Melayu mempertimbangkan dengan lebih serius tindakan politik yang lebih positif bagi melindungi dan memperjuangkan kepentingan kaum mereka. Pada tahun 1969, buat pertama kalinya, parti politik pembangkang kaum bukan Melayu telah dapat mewujudkan electoral arrangement dalam kalangan mereka yang terdiri daripada DAP, PPP dan Gerakan. Percaturan ini membolehkan mereka tidak bertanding melawan satu sama lain di kawasan pilihan raya yang mereka tandingi. Perkembangan ini telah menimbulkan kebimbangan orang Melayu,  bahawa kerja sama tersebut memberi satu ancaman yang serius terhadap kedudukan istimewa dan penguasaan politik orang Melayu (Vasil, 1980).[iv] 

Kelemahan kerajaan Perikatan dalam melaksankan dasar-dasar yang memperkukuhkan kepentingan Melayu dalam aspek pendidikan, bahasa, ekonomi, budaya, politik dan agama telah dijadikan modal politik dalam kalangan parti politik pembangkang Melayu khususnya PAS untuk melemahkan UMNO. Semenjak daripada pilihan raya umum 1959 dan 1964, PAS telah menggunakan isu-isu tersebut terutama isu pelaksanaan Islam, dasar bahasa yang liberal dan ketempangan pelaksanaan kedudukan istimewa orang Melayu untuk menyerang UMNO. Umpamanya dalam pilihan raya 1964, UMNO didakwa oleh PAS telah mengorbankan kepentingan Melayu demi menjaga hubungannya dengan kaum bukan Melayu dan menegaskan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu yang diberikan oleh Perlembagaan tidak mencukupi dan ia perlu dipeluas dan dikekalkan (The Straits Times, 8 April 1964).[v] Bahkan pada tahun 1958, Hasan Adli (Ketua Pemuda PAS) telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa PAS akan meminda Perlembagaan Persekutuan sekiranya mereka memanangi pilihan raya agar lebih mementingkan hak-hak orang Melayu (Utusan Melayu, 19 Ogos 1958).[vi] PAS telah menuduh UMNO gagal untuk merapatkan jurang ekonomi, sosial dan budaya antara orang Melayu dan kaum bukan Melayu.

Pada peringkat Parlimen, parti Perikatan telah memenangi 66 daripada 103 kerusi Parlimen dengan 48.5 peratus undi popular. UMNO memenangi 51 daripada 67 kerusi Parlimen yang mereka tandingi, MCA 13 daripada 33 dan MIC 2 daripada 3 kerusi Parlimen. Parti pembangkang, DAP memenangi 13 kerusi Parlimen, PAS 12, Gerakan 8 dan PPP 4. Pada peringkat Negeri (DUN), Perikatan memenangi 162 kerusi daripada 277 kerusi, tetapi gagal menguasai Kelantan, hampir kalah di Terengganu, kalah di Pulau Pinang, dan tidak memperoleh majoriti di Perak (memenangi 19 daripada 40 kerusi) dan Selangor (14 daripada 28 kerusi). Orang Melayu tidak begitu kisah kehilangan kuasa di Pulau Pinang kerana negeri tersebut dilihat sebagai “negeri Cina”, namun kekalahan mereka di Perak dan Selangor telah menimbulkan kebimbangan orang Melayu kerana kemungkinan kaum bukan Melayu akan dilantik menjadi Menteri Besarnya (Mauzy, 1983).[vii] Kemenangan tersebut telah menimbulkan kebimbangan orang Melayu, kerana kaum Cina hampir menguasai tiga buah negeri dari 11 buah negeri. Pada pandangan orang Melayu, sekiranya proses demokrasi ini berlanjutan di Malaysia, kaum Cina berkemungkinan akan menguasai enam  negeri Melayu pantai Barat yang mempunyai 40 peratus penduduk Cina dan berkemungkinan menguasai kerajaan Persekutuan (FCO 24/475/1).[viii]

Pilihan raya 1969, memperlihatkan sokongan terhadap Perikatan jatuh  berbanding pada pilihan raya1964. Sokongan terhadap parti pembangkang yang didominasi kaum Cina telah bertambah disebabkan kejayaan pembentukan gabungan parti pembangkang yang membolehkan undi kaum Cina tidak berpecah bagi menolak kerajaan Perikatan. Laporan British High Commission menyebutkan bahawa faktor utama kekalahan besar UMNO dalam pilihan raya 1969 adalah disebabkan orang Melayu merasakan UMNO telah gagal membuat sesuatu usaha bagi memuaskan hati orang Melayu setelah mereka diberi kuasa selama 12 tahun memimpin orang Melayu. Namun, realitinya kebanyakan orang Melayu masih tinggal di luar bandar (berada dalam kemunduran). Persetujuan kaum yang dicapai semasa merdeka tidak dilaksankan dengan sepenuhnya. Melalui persetujuan tersebut, kaum Cina telah mendapat hak kerakyatan, namun mereka telah mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu yang menjadi sebahagian daripada persetujuan tersebut. Sekiranya UMNO ingin kembali berkuasa, hak orang Melayu mestilah diperkukuhkan.  Laporan itu menyebutkan,

UMNO could continue to make concessions to the non Malays only so long as their own strength was unimpaired. Now their leaders, who had been to some extent out of touch with grass roots feeling-the Tunku above all-had to listen to the rank and file’s view that the Independence bargain was no longer being applied. The Chinese still had their citizenship but were questioning the Malay’s special rights which were the other half of the agreement. Those Malay rights had now to be reaffirmed or UMNO were lost (FCO 24/475/1). [ix]

Surat sulit yang dihantar oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur bertarikh 18 Jun 1969 kepada W.A. Ward Esq, South West Pacific Department, telah mendedahkan bahawa sokongan penuh kaum Cina terhadap parti DAP dan Gerakan disebabkan kebimbangan mereka terhadap pelaksanaan bahasa Melayu (terutama setelah pelaksaaan Akta Bahasa 1967) dan kemungkinan berlakunya perubahan terhadap sistem pendidikan. Pelaksanaan ini dilihat akan memberi kesan kepada ahli keluarga mereka untuk mendapatkan pekerjaan (FCO 24/475/1).[x]

Dalam pilihan raya 1969, sokongan orang Melayu terhadap PAS semakin bertambah, bukan sahaja di negeri-negeri pantai Timur tetapi juga di Kedah dan Perlis. Peningkatan sokongan orang Melayu terhadap PAS disebabkan dasar perjuangan PAS yang menekankan agama dan mempertahankan kepentingan Melayu. UMNO dilihat tidak “cukup Melayu”. Ditambah lagi sokongan kaum bukan Melayu terhadap gagasan “Malaysian Malaysia” boleh mengancam kedudukan orang Melayu telah menyebabkan orang Melayu mahu mencari penyelesaian terhadap permasalahan tersebut. Kaum Melayu  telah hilang kepercayaan kepada UMNO dengan beralih menyokong idea radikal PAS (Vasil, 1980).[xi] Di samping itu, perubahan ketara sikap dan orientasi politik kaum bukan Melayu telah mendorong kelahiran golongan radikal di dalam UMNO sendiri. Tunku Abdul Rahman telah berhadapan dengan satu tekanan yang hebat dari golongan radikal tersebut yang mahu mengubah kepimpinan UMNO. Corak pentadbiran dan kepimpinan Tunku telah dipersalahkan di atas kehilangan kuasa Melayu.

Satu kesan yang nyata daripada kempen-kempen politik yang dijalankan sepanjang pilihan raya 1969 ialah mewujudkan ketegangan hubungan kaum (FCO 24/475/1).[xii] Tambahan pula, selepas keputusan pilihan raya diumumkan, parti Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO telah kehilangan banyak kerusi. Keadaan ini menimbulkan perasaan cemas dalam kalangan orang Melayu, terutama di Selangor kerana parti Perikatan dan pembangkang sama-sama memperoleh 14 kerusi. Situasi ini mendorong Dato’ Harus Idris, Menteri Besar Selangor ketika itu memujuk satu-satunya wakil parti Bebas, Lim Tuan Sion, iaitu bekas ahli parti Buruh untuk menyertai parti Perikatan bagi membolehkan beliau membentuk kerajaan negeri di Selangor (Paridah Abdul Samad, 2009).[xiii]
  Isu Utama Pilihan raya

Pilihan raya 1969 memperlihat isu kedudukan istimewa orang Melayu telah menjadi antara isu kempen. DAP dengan dasar perjuangannya yang berteraskan gagasan Malaysian Malaysia, telah mengkritik kedudukan istimewa orang Melayu dalam pilihan raya umum 1969. Serangan parti tersebut terhadap kedudukan hak istimewa orang Melayu adalah bertujuan untuk menarik sokongan sebanyak mungkin kaum bukan Melayu terutama generasi muda bagi menyokong perjuangan mereka bagi memenangi pilihan raya umum 1969. Justeru itu, dalam kempen-kempen pilihan raya 1969, DAP telah  menggunakan isu kesamarataan bagi menarik sokongan kaum bukan Melayu, terutama kaum Cina terhadap parti mereka. Perkara ini telah dinyatakant DAP dalam manifesto pilihan raya mereka pada tahun 1969 dengan menegaskan:

 In a political democracy, all citizens, regardless of race, language or religion, enjoy equal political status, rights and opportunities. But Alliance policies tend to divide Malaysians into two unequal classes of citizens- “bumiputras” and “non-bumiputras”. This must be opposed if a firm basis is to be laid for genuine unity. All Malaysias must have an equal place under the Malaysian sun. Hence our plea for ‘A Malaysian Malaysia” (Arkib Negara Malaysia, 2002/0010781).[xvii]

Manifesto di atas jelas menunjukkan DAP secara tegas mengkritik kedudukan istimewa orang Melayu secara explicit yang dianggap sebagai penghalang kepada perpaduan kaum. Bukan saja DAP mengemukakan manifesto mereka yang menolak kedudukan istimewa orang Melayu, bahkan parti PPP lebih secara terang-terangan ingin meminda Perlembagaan bagi menghapuskan kedudukan tersebut dengan menyatakan; “It will be the determined object of the PPP to continue to strive to have the Constitution amended to abolish privilege granted to any particular race” (Vasil, 1980). [xviii] Manakala parti Gerakan yang ditubuhkan pada tahun 1968 yang ditubuhkan atas dasar non-communalism, sosialisme moderate dan demokrasi tidaklah secara terang-terangan menentang kedudukan istimewa orang Melayu. Bagi Gerakan, perhatian utama perlu diilakukan untuk memperbaiki kelemahan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera dan mereka perlu dilindungi daripada eksplotasi serta dibantu untuk bersaing dengan kaum lain di atas dasar keadilan dalam bidang perniagaan, perdagangan dan pekerjaan (Vasil, 1980).[xix]

Parti Perikatan ketika berhadapan dengan cabaran DAP tersebut telah “menyerang” kembali DAP dengan menyifatkannya sebagai sebuah parti yang anti Melayu dan dikawal oleh parti PAP di Singapura demi menjaga kepentingan mereka di Persekutuan. Tunku telah memberi amaran bahawa DAP akan menghancurkan kedudukan istimewa orang Melayu yang menyebabkan kekayaan negara akan dipegang oleh kaum bukan Melayu. Sekiranya mereka merebut hak yang diberikan kepada orang Melayu, maka orang Melayu terpaksa melarikan diri ke dalam hutan (Vasil, 1980).[xx] Persamaan yang wujud antara ideologi PAP dan DAP di Malaysia telah menyebabkan pemimpin parti Perikatan membuat tuduhan bahawa PAP mencampuri pilihan raya Malaysia dengan menyokong parti DAP, iaitu dengan menyalurkan bantuan kewangan kepada DAP. Bagaimanpun, kerajaan Singapura telah menafikan tuduhan tersebut (FCO 24/485).[xxi]

 Dalam ucapan Tunku di Kuala Pilah pada 15 April 1969, Tunku memberi amaran kepada DAP supaya tidak mencabar Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan (kedudukan hak istimewa oang Melayu) sekiranya perkara ini dilakukan pasti akan berlaku huru hara dan kesejahteraan negara akan hancur (RNOC, 1969).[xxii] Wujudnya ancaman terhadap kedudukan hak istimewa orang Melayu telah didedahkan oleh laporan yang dikeluarkan oleh National Operation Council (NOC) atau MEGERAN pada 9 Oktober 1969 yang menyebutkan:

During the long election campaign, several irresponsible candidates took racialist lines. Blatant incitement of racial feelings was evident in their speeches as they courted the support on racial grounds. These opportunists ranged from one extreme, those who misrepresented and attacked Article 153 of the Constitution, to the other, that exploited fears among the Malays that they would be overwhelmed by the non-Malays. Even more extreme were those who questioned the historic right of the Malays to regard themselves as indigenous people of Malaya (RNOC, 1969).[xxiii]

Di samping isu kedudukan istimewa orang Melayu, isu pendidikan terutama cadangan penubuhan Universiti Merdeka telah digunakan oleh DAP  dalam kempen politik mereka bagi meraih sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya umum 1969.  Justeru itu, DAP telah menggunakan isu ini sebagai salah satu matlamat perjuangannya seperti yang dimaktubkan melalui manifesto parti tersebut di bawah tajuk “Cultural Democracy”. Menurut DAP, Universiti Merdeka wajar disokong oleh kerajaan kerana di bawah “Cultural Democracy” semua kaum mempunyai hak yang sama. Menurut DAP konsep “demokrasi budaya” ialah “an equal multi-racial society presupposes that no one race exercises political, social or cultural hegemony over the others...” (Arkib Negara Malaysia, 2002/0010781).[xxiv]

Isu penubuhan Universiti Merdeka sebenarnya telah dicetuskan oleh Dongjiaozong atas alasan bersesuaian dengan dasar kepelbagaian bahasa namun kemudiannya dijadikan modal politik oleh DAP bagi meraih sokongan kaum Cina menggusarkan MCA.  Justeru itu, MCA telah mencadangkan penubuhan TAR College sebagai satu langkah untuk menentang gerakan penubuhan universiti tersebut. Dalam Mesyuarat Agung MCA pada 6-8 Mac 1969, MCA telah mengumumkan kejayaannya menubuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) (FCO 24/475/1),[xxv] di mana kelulusan penubuhan kolej tersebut telah diperolehi pada 14 Julai 1968, iaitu sebelas hari selepas permohonannya dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (Thock Ker Pong, 2005).[xxvi] TAR College telah memulakan operasinya pada bulan Februari 1969 di atas tapak sementara dengan mengambil buat permulaannya sebanyak 350 orang pelajar. Penubuhan TAR College adalah hasil dari sumbangan kaum Cina melalui kempen yang diadakan oleh MCA. Manakala kerajaan turut berjanji memberi bantuan kewangan kepada TAR College. Penubuhan TAR College telah disaingi dengan cadangan penubuhan Universiti Merdeka. Kam Woon Wah, Setiausaha Agung MCA pada 17 Mac 1969, telah mengeluarkan kenyataan bahawa projek penubuhan Universiti Merdeka akan mengakibatkan “salah faham” yang besar dalam kalangan masyarakat Cina, kerana isu tersebut telah dieksploitasi oleh parti politik (terutama DAP). Polisi MCA tidak menentang Universiti Merdeka, namun MCA tidak akan memberi sokongan terhadap penubuhan universiti tersebut kerana TAR College telah berjaya ditubuhkan (FCO 24/475/1).[xxvii]

Isu bahasa yang telah sedia menjadi isu yang paling kontraversi di sepanjang tahun 1967 ketika pembentangan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 di Parlimen, kembali menjadi isu utama dalam pilihan raya 1969. DAP melalui manifesto mereka telah berikrar untuk memperjuangkan supaya bahasa Cina, Tamil dan Inggeris menjadi bahasa rasmi di samping bahasa Melayu. Di samping itu, mereka turut memperjuangkan supaya ketiga-tiga bahasa tersebut bebas digunakan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. PPP semenjak sekian lama menjuarai perjuangan menuntut dasar multi-lingualisme, turut memperjuangkan matlamat yang sama melalui manifesto mereka dalam pilihan raya 1969 (Vasil, 1980).[xxviii]

Bagi menghadapi cabaran dari PAS yang menjuarai isu agama dan kepentingan Melayu dalam pilhan raya 1969, Perikatan telah menggunakan dua strategi. Pertama cuba mengaitkan PAS dengan pengaruh Parti Komunis Malaya di sempadan Thailand. Strategi ini dapat dilihat apabila, En. Ahmad bin Yatim seorang ahli  PAS yang juga ahli Dewan Undangan Rantau Panjang, Kelantan, telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam operasi serbuan besar-besaran polis ke atas anasir-anasir pro-komunis pada tahun 1968. Ibu Pejabat PAS Kuala Lumpur telah menafikan tokoh-tokoh PAS menjadi alat Komunis. Dakwaan tersebut menurut PAS adalah bertujuan untuk melumpuhkan PAS dalam menghadapi pilihan raya 1969 (Berita Harian, 12 November 1968).[xxix] Manakala Tunku Abdul Rahman telah mengeluarkan kenyataan pada 19 November 1968, bahawa Parti Komunis Malaya mungkin melancarkan semula pemberontakan bersenjata pada bila-bila masa sahaja. Justeru itu, tindakan kerajaan melaksanakan operasi menangkap golongan yang disyaki pro-Komunis adalah untuk mempertahankan demokrasi (Berita Harian, 20 November 1968).[xxx]  Strategi kedua yang digunakan oleh Perikatan ialah, menekankan bahawa kerajaan PAS telah gagal membuat pembangunan di Kelantan semenjak PAS memerintah dari tahun 1959. UMNO telah mengeluarkan satu manifesto khas untuk Kelantan pada 10 April 1969 yang mengandungi janji kerajaan untuk memperuntukkan RM550 juta bagi tujuan pembangunan Kelantan (Vasil, 1980).[xxxi]

   Kesimpulan
Pilihan raya 1969 secara jelas menunjukkan peralihan sokongan orang Melayu terhadap UMNO/Perikatan disebabkan parti tersebut dilihat oleh sebahagian daripada orang Melayu sebagai gagal memenuhi aspirasi orang Melayu yang mahu melihat kepentingan orang Melayu dijaga dan sosioekonomi mereka ditingkatkan. Manakala peralihan sokongan kaum bukan Melayu daripada menyokong MCA kepada parti-parti pembangkang disebabkan kebimbangan mereka terhadap penghakisan kepentingan hak-hak kaum bukan Melayu oleh kaum Melayu, keperihatinan terhadap pengekalan jati diri, tuntutan terhadap pelaksanaan hak bahasa, politik dan pendidikan yang lebih luas dan kejayaan electoral arrangement dalam kalangan parti-parti pembangkang bukan Melayu. Walau bagaimanapun, kempen-kempen yang dijalankan oleh beberapa parti politik telah meningkatkan ketegangan hubungan kaum dan kegembiraan merayakan kemenangan parti-parti politik pembangkang telah menguris perasaan orang Melayu, ditambah dengan kebimbangan orang Melayu terhadap penghakisan penguasaan politik mereka telah meledakkan konflik kaum berdarah pada 13 Mei 1969. Di samping itu, faktor penyusupan elemen komunis ke dalam parti politik tertentu dan mengeksplotasi ketegangan yang wujud antara kaum kesan dari rasa tidak puas hati dalam berbagai isu turut menjadi faktor utama yang membawa kepada tercetusnya konflik kaum berdarah 13 Mei 1969. Hikmah dari pilihan raya 1969 perlu dijadikan iktibar supaya apa-apa keputusan pilihan raya perlu dihormati dan diterima secara rasional oleh semua kaum. Hikmah dari peristiwa itu juga telah membawa parti Perikatan membuat transformasi sosioekonomi dan politik yang berpaksikan rakyat multi-etnik bertunjangkan matlamat perbentukan perpaduan kaum sebagai agenda negara.


NOTA HUJUNG

[i] Lihat R.K.Vasil, Ethnic Politics in Malaysia, hlm. 163.
[ii] Pada tahun 1965, PAP mula mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pakatan pembangkang bagi menentang Perikatan. Lee Kuan Yew, pemimpin PAP telah mengadakan mesyuarat dengan pemimpin parti pembangkang Cina di Tanah Melayu termasuk dari Sarawak dan Sabah  pada 12 Februari 1965 di Singapura. Matlamat daripada perjumpaan tersebut adalah untuk membincangkan cara bagaimana untuk memberi tekanan kepada golongan radikal Melayu yang terdapat dalam Perikatan. Mesyuarat tersebut telah mencadangkan penubuhan Malaysia Solidarity National Convention yang berpaksikan kepada dasar “Malaysian Malaysia”. Dalam mesyuarat tersebut menyebutkan kumpulan yang mendukung dasar “Malaysian Malaysia” mestilah bersatu dan memimpin kumpulan masing-masing untuk “lead their people away from contending militant communalism, which could only lead to disaster”. (PREM 13/480, Relation Between Kuala Lumpur and Singapore). PAP telah menyertai United Democratic Party (UDP) di bawah pimpinan Dr. Lim Chong Yu, PPP dan Sarawak United People’s Party (SUPP) membentuk Malaysian Solidarity Convention
[iii] Cabaran PAP terhadap persetujuan antara kaum yang telah dicapai dapat dilihat melalui pilihan raya umum Malaysia pada tahun 1964. Walaupun Lee Kuan Yew dilihat secara berhati-hati tidak menyerang secara langsung kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, tetapi beliau telah mempersoalkan asas pemerintahan Melayu atau ketuanan Melayu. Beliau memperjuangkan dasar kesamaan status orang Melayu dengan kaum bukan Melayu dengan mengenegahkan slogan “Malaysian Malaysia”, bukanya “Malay Malaysia”. Lee Kuan Yew telah menolak “persetujuan bersejarah” yang meletakan ketuanan  Melayu dalam pemerintahan dan pentadbiran sebagai imbangan kepada kuasa ekonomi dan perniagaan kaum Cina. (Cheah Boon Kheng, Malaysia: The Making of a Nation, Singapore: Institute of Southest Asian Studies, 2002, hlm. 53).
[iv] R.K. Vasil, Ethnic Politics in Malaysia, hlm. 164.
[v] The Straits Times, 8 April 1964.
[vi] Utusan Melayu, 19 Ogos 1958.
[vii] D.K. Mauzy, Coalition Government in Malaysia, hlm. 36-37. Pada peringkat DUN, Perlis-Perikatan memenagi 11, PAS 3; Kedah,-Perikatan 14, PAS 8, Gerakan 2,:Kelantan-Perikatan 11, PAS 19; Terengganu, -Perikatan 13, PAS 11; Pulau Pinang,-Perikatan 4, Gerakan 16, DAP 3 dan Parti Ra’ayat 1; Perak- Perikatan 19, PAS 1, Gerakan 2, PPP 12, dan DAP 6; Pahang- Perikatan 20, Gerakan 1, Parti Ra’ayat 2, Bebas, 1; Selangor-Perikatan 14, Gerakan 4, DAP 9 dan Bebas 1; Negeri Sembilan- Perikatan 16, DAP 4, Gerakan 1; Melaka-Perikatan 15, DAP 4, Gerakan 1; Johor-Perikatan 30, DAP 1 dan Bebas 1. (Lihat Siaran Akhbar Jabatan Penerangan Malaysia, 11 Mei 1969).
[viii] FCO 24/475/1, The Malaysia Election: May 1969, 29 May 1969.
[ix] FCO 24/475/1, The Malaysia Election: May 1969, 29 May 1969.
[x] FCO 24/475/1, Malaysia Situation-Conversation with Yeo Beng Poh, 18 June 1969.
[xi] R.K. Vasil, Ethnic Politics in Malaysia, hlm. 176.
[xii] FCO 24/475/1, Kuala Lumpur Telegram N0. 484 to FCO.
[xiii] Paridah Abd. Samad, Tun Abdul Razak, hlm. 77-78.
[xiv] Lihat Sharifah Zawiyah Hanoun Syed Kabeer , Mahani Mohammad, Transkripsi Wawancara Dengan Y.B. Datuk Senu bin Abdul Rahman, Arkib Negara Malaysia, 1984, hlm. 162-163).
[xv] Lihat The May 13 Tragedy: A Report the National Operation Council, 1969, hlm. 29-35). Laporan yang sama disebutkan dalam fail FCO 24/475/1, Kuala Lumpur Telegram N0.484 to FCO).
[xvi] Lihat Tunku Abdul Rahman, 13 Mei Sebelum dan Selepas, hlm. 65-83.
[xvii] Lihat 2002/0010781, “Democratic Action Party, 1969 General Election Manifesto”, Arkib Negara Malaysia.
[xviii] R.K. Vasil, Ethnic Politics in Malaysia, hlm. 171.
[xix] R.K. Vasil, The Malaysian General Election of 1969, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1972, hlm. 33.
[xx] R.K. Vasil, The Malaysian General Election of 1969, hlm. 29.
[xxi] Lihat FCO 24/485, Telegram from Kuala Lumpur to Exter 647, 8 May 1969.
[xxii] The May 13 Tragedy: A Report The National Operations Council, Kuala Lumpur, 9 October 1969, hlm. 24.
[xxiii] Ibid., hlm. 21.
[xxiv] Lihat Democratic Action Party, 1969 General Election Manifesto “Our Appeal to All Malaysians”.
[xxv] FCO 24/475/1, MCA 19th Annual General Meeting, 6-8th March 1969.
[xxvi] Thock Ker Pong, Ketuanan Politik Melayu, hlm. 51-52.
[xxvii] FCO 24/475/1, MCA 19th Annual General Meeting, 6-8th March 1969.
[xxviii] R.K. Vasil, The Malaysian General Election of 1969, hlm. 33.
[xxix] Berita Harian, 12 November 1968.
[xxx] Berita Harian, 20 November 1968.
[xxxi] R.K. Vasil, Ethnic Politics in Malaysia, hlm. 167.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...