Pendahuluan
Perjuangan untuk memartabatkan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tunggal seperti yang dimaktubkan dalam
Perlembagaan Malaysia bukanlah satu perjuangan yang mudah. Perjuangan tersebut
sudahpun bermula semenjak tahun 1930-an lagi sejajar dengan kebangkitan
semangat nasionalisme linguistik Melayu. Apabila wujudnya masyarakat
pluralistik di Tanah Melayu dengan kedatangan kaum dagang secara besar-besaran
terutama dalam tahun 1930-an, perjuangan untuk memartabatkan kedudukan Bahasa
Melayu semakin mencabar dan makin mempunyai justifikasi. Perjuangan tersebut
amat penting bagi mempertahankan identiti kemelayuan, nasional dan tradisi yang
telah berakar dalam sejarah Tanah Melayu. Tambahan pula dengan cabaran budaya
dan bahasa kaum dagang yang berusaha mempertahan dan mengekalkan jati diri
mereka melalui penubuhan sekolah vernakular, persatuan budaya, politik,
perniagaan, pendidikan dan lain-lain maka perjuangan memartabatkan kedudukan Bahasa
Melayu semakin penting. Cabaran yang paling getir adalah untuk menyakinkan
semua kaum tentang keperluan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan dan medium kesepaduan kaum. Justeru itu, kompromi atau persetujuan
antara kaum perlu dirintis dan dicapai sekiranya Bahasa Melayu mahu didaulatkan
sebagai Bahasa Kebangsaan tunggal. Walaupun akhirnya kompromi antara kaum dapat
dicapai dalam isu Bahasa Kebangsaan menjelang pembentukan Perlembagaan Merdeka
1957, namun usaha tersebut telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan menimbulkan
reaksi antara kaum.
Usaha Awal Memartabatkan Kedudukan Bahasa
Melayu
Hakikat bahawa Tanah Melayu adalah “negara Melayu” seperti yang diakui oleh kerajaan British seperti yang disahkan melalui Perjanjian Persekutuan 1948, peminggiran sekolah vernakular Melayu dan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan serta perpaduan Melayu yang terbentuk kesan dari penubuhan Malayan Union pada tahun 1946 telah melatarbelakangi perjuangan orang Melayu untuk memartabatkan kembali bahasa Melayu kepada kedudukan asalnya dan sebagai bahasa rasmi di negara ini. Tambahan pula tuntutan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan bukan merupakan tuntutan yang bersifat emosional atau fanatik tetapi didasarkan realiti dan keabsahan sejarah sosiopolitik bahasa Melayu yang kukuh dan peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun supraetnik dan suprawilayah di rantau ini (Hassan, 90-91).
Perjuangan tersebut
dimangkinkan melalui kebangkitan semangat nasionalisme lingustik Melayu pada
tahun 1930-an yang terdiri dari golongan wartawan, penulis dan guru Melayu yang
kebanyakannya lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris atau dikenali juga sebagai Sultan Idris Teaching College (SITC).
Golongan ini mula memperjuangkan nasib orang Melayu yang makin tercabar dalam
aspek pendidikan, ekonomi dan sosial hasil dari pelaksanaan dasar-dasar British
di Tanah Melayu. Lepasan guru SITC ini (seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Hj.
Muhammad) sebahagian mereka merupakan golongan golongan radikal Melayu
(Stockwell, 15). Golongan ini membentuk pertubuhan politik seperti Kesatuan
Melayu Muda (KMM), Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dan Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang memperjuangkan kemerdekaan negara tanpa
kompromi dengan Inggeris dan mempersatukan Tanah Melayu kepada satu ikatan
Indonesia Raya atau dikenali juga dengan Melayu Raya (Mohamed Salleh, 39).[1]
Bahkan Dr. Buhanuddin al-Helmy ketika memimpin PKMM pada 22 Februari 1947 telah
membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang menyatukan pergerakan-pergerakan
Melayu yang tidak sehaluan dengan UMNO (Ramlah, 157-172).[2]
Pada 2 Disember 1947 pula, Pusat Tenaga Ra’ayat (PUTERA) telah bergabung dengan All Malaya Council of Joint Actian (AMCJA). Gabungan ini
dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy dan telah merangka suatu
perlembagaan alternatif yang dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat. Sumbangan
penting gabungan ini kepada kedudukan bahasa Melayu ialah, cadangannya untuk
meletakkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang
tunggal bagi Tanah Melayu yang dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan
Rakyat (Ismail, 18-20). Perlembagaan Rakyat ini telah diterima oleh kaum bukan
Melayu, iaitu dalam kalangan ahli All-Malaya
Council of Joint Action (AMCJA). Di samping itu, titik penting peningkatan
status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah melalui perakuan yang dibuat
oleh Jawatankuasa yang menyediakan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Mereka bersetuju untuk memasukkan Fasal 35 Perjanjian Persekutuan yang
menyatakan bahawa bahasa rasmi Majlis Eksekutif Persekutuan mestilah bahasa
Melayu atau bahasa Inggeris (Hashim Yeop, 95).
Perjuangan untuk
memartabatkan kedudukan bahasa Melayu turut dimainkan oleh Angkatan Sasterawan
‘50 atau ASAS ‘50 yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 oleh golongan penulis muda
yang diketuai oleh Keris Mas, Usman Awang, Abdul Samad Ismail, Asraf, Jimmy
Asmara dan lain-lain di Singapura. Perjuangan ASAS ‘50 dalam konteks
pemartabatan bahasa Melayu ialah memperjuangkan bahawa bahasa dan kesusteraan
adalah alat untuk perpaduan kebangsaan dalam perjuangan kemerdekaan. Pertubuhan
ini juga berpendirian bahawa bahasa dan kesusasteraan adalah juga alat untuk
memajukan fikiran rakyat sesuai dengan cita-cita keadilan, masyarakat,
kemakmuran, keamanan dan perdamaian hidup (Fail 2006/0040503 Arkib). Matlamat
perjuangan ini diserlahkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama
(1952), Kedua (1954) dan Ketiga (1956) yang digerakkan oleh ASAS ‘50 yang
bertujuan mengkaji taraf bahasa Melayu dan hasil persuratan dan cara-cara
membangunkan bahasa tersebut. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama
telah diadakan di Singapura pada 12 dan 13 April 1952. Dalam Kongres ini, ASAS ‘50 mencadangkan
supaya tulisan Rumi dirasmikan. Namun keputusan yang dibuat ketika itu ialah
tulisan Jawi (Harun, 153-154)[3]
dan tulisan Rumi (Harun, 154-155),[4]
kedua-duanya dipakai dalam persuratan Melayu.[5]
Pada tahun 1954, barulah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Sa-Malaya Kedua
yang diadakan di Seremban pada 1-2 Januari 1954 telah mengambil keputusan
bahawa tulisan Rumi dijadikan tulisan rasmi dalam persuratan Melayu dengan
tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa yang menentukannya (Li, 166-167).
Kongres Kedua ini juga
mendesak kerajaan memperluaskan usaha-usaha Biro Terjemahan dengan mencontohi
peranan yang dimainkan oleh Balai Pustaka, Indonesia. Kongres turut mengusulkan
supaya kerajaan Persekutuan memberi bahasa Melayu taraf yang sama dengan bahasa
Inggeris. Usul ini telah mendapat sokongan sebulat suara tanpa banyak
perbahasan (Mitchell, 114). Dalam Kongres Ketiga yang diadakan pada 16 hingga
21 September 1956, ASAS ‘50 telah menghantar memorandum yang mengandungi
cadangannya mengenai Balai Pustaka, di samping cadangannya mengenai penyatuan
bahasa Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia, perkembangan bahasa Melayu
sekarang dan akan datang serta peranan bahasa Melayu di sekolah-sekolah rendah
dan menengah (Memo Asas ‘50, 1956). Usul yang diputuskan melalui beberapa siri
Kongres Bahasa yang telah diadakan turut
mempengaruhi UMNO mengambil langkah yang penting untuk memperkukuhkan kedudukan
bahasa Melayu. Dengan sebab itu, dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-10 pada 25
Disember 1955, Tunku Abdul Rahman (Ketua Menteri Tanah Melayu dan Yang Di
Pertua UMNO) telah memaklumkan langkah
kerajaan Perikatan yang dilaksanakan ketika itu adalah untuk menetapkan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.[6] Kerajaan turut bersetuju menubuhkan Balai
Pustaka bagi mengembangkan bahasa Melayu (Ahmad Fawzi, 377).
Cadangan mengenai
pemantapan dan penegasan kembali matlamat penubuhan Balai Pustaka telah dikemukakan
oleh ASAS ’50 dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Cadangan
tersebut telah menyebutkan bahawa Balai Pustaka yang sedang dibentuk oleh
kerajaan Persekutuan bukanlah pemberian percuma dari pemerintah kepada rakyat
tetapi hasil dari perjuangan seluruh pencinta bahasa dan kesusasteraan Melayu,
khususnya perjuangan badan-badan yang bergabung dalam Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu. ASAS ’50 berpendapat istilah Balai Pustaka bererti pusat
pengeluaran buku-buku bahasa dan sastera, buku-buku pengetahuan dan pelajaran
serta tempat mempelajari dan menyelidiki segala perkara yang berhubung dengan
bahasa dan kesusteraan sebagai alat kemajuan fikiran rakyat dan alat mencari
ilmu pengetahuan. Manakala tujuan penubuhan Balai Pustaka adalah untuk memaju,
mengembangkan, meninggikan, melayakkan dan memelihara bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan, bahasa kebudayaan dan bahasa ilmu pengetahuan (Memo Asas
’50, 1956).
Hasil perjuangan
pencinta bahasa dan badan-badan yang bergabung di bawah Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu telah membawa kepada penubuhan Balai Pustaka pada bulan Jun 1956 (Mitchell 114-115).[7] Balai Pustaka ditempatkan di bangunan Pejabat
Kerajaan di Johor Baharu. Nama Balai Pustaka kemudiannya telah ditukar kepada
Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai memenuhi rumusan yang dibuat oleh Kongres
Ketiga pada bulan September, 1956 (Khusairi, 60). Pengarah pertama Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) ialah Ungku Aziz. Bagaimanapun, Ungku Aziz telah meletakkan
jawatan sebagai pengarah DBP pada bulan Mei 1957 kerana tidak puas hati dengan
layanan yang diberikan oleh kerajaan mengenai perancangannya terhadap DBP.
Ura-ura peletakan jawatan Ungku Aziz sebagai pengarah pertama DBP telah
menimbulkan perasaan tidak puas hati Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan
Melayu dan mereka telah membuat lawatan ke DBP pada 21 April 1957 bagi membuat
siasatan mengenai apa yang berlaku di DBP dan mendesak supaya kerajaan tidak
menerima perletakan jawatan Ungku Aziz sebagai pengarah DBP. Lembaga Tetap
Kongres Bahasa dan Persuratan telah mengambil keputusan menyampaikan perasaan
tidak puas hati mereka terhadap layanan yang diberi oleh pemerintah Persekutuan
Tanah Melayu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, terutama dalam hal-hal kewangan
dan soal perjalanan pentadbiran.
Perbincangan awal
antara orang Melayu dengan kaum bukan Melayu mengenai kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja diperlihatkan melalui kerjasama antara All Malaya Council of Joint Action dan
Pusat Tenaga Ra’ayat (AMCJA-PUTERA) yang melancarkan Perlembagaan Rakyat pada
Julai 1947, tetapi juga melalui perbincangan antara Jawatankuasa Hubungan Kaum
atau CLC pada 14 hingga 16 September 1949 di Johor Bahru (Mohd. Ashraf,
129-130). Dalam perbincangan mengenai dasar pendidikan yang seragam, ahli CLC
telah bersetuju menerima mata pelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu
sebagai mata pelajaran yang wajib dipelajari di semua sekolah rendah kerajaan
dan bantuan kerajaan. Dalam perbincangan tersebut, wakil Melayu menuntut supaya
bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan baru Malaya. Tetapi cadangan tersebut
telah ditolak oleh ahli MCA (Heng, 156).[8]
Desakan kuat orang Melayu untuk meletakan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan mendorong UMNO dan Perikatan[9]
menjadikan matlamat tersebut sebagai salah satu perjuangan mereka seperti yang
tercatat dalam Manifesto Perikatan dalam pilihan raya 1955. Lebih-lebih lagi,
dalam pilihan raya 1955, isu bahasa dan hak kerakyatan menjadi salah satu
isu yang dimainkan oleh parti-parti
politik yang bertanding dalam pilihan raya tersebut terutama untuk menarik
sokongan rakyat kepada mereka terutama pengundi Melayu yang mewakili 84 peratus
dari jumlah pengundi keseluruhan. Dalam Manifesto Perikatan, disebutkan
perjuangan Perikatan adalah untuk “menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan dalam ertikata yang sebenarnya dalam tempoh 10 tahun dan mendirikan
Majlis Bahasa Melayu”. Walaupun bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa
Kebangsaan, namun ia turut memberi jaminan terhadap kebebasan kepada kaum bukan
Melayu untuk memelihara bahasa dan kebudayaan mereka (Alliance Manifesto, 1955).
Dasar bahasa Melayu
yang diperjuangkan oleh UMNO/Perikatan ketika itu telah dikritik hebat oleh
Dato’ Onn (Ratnam, 158).[10]
Dato’ Onn telah mengkritik dasar ini yang dilihatnya akan merumitkan
pendaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Katanya, “mustahil bahasa
Melayu dapat diterima oleh kaum-kaum lain, sekiranya bahasa dan tulisan lain
diakui oleh undang-undang” (Ramlah, 217). Dato’ Onn sememangnya mempunyai
ketegasan pendirian dalam memperjuangkan bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan
oleh Dato’ Onn apabila pada bulan Mac 1955, Parti Negara (parti ini ditubuhkan
selepas terkuburnya parti IMP pada tahun 1953) telah mencadangkan bahasa Melayu
diterima sebagai Bahasa Kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
Cadangan tersebut telah diterima dan diluluskan oleh Majlis Undangan
Persekutuan (Ramlah, 217). Mohammed Raschid, wakil Parti Negara ketika membuat
cadangan itu dalam Majlis Undangan Persekutuan telah berkata:
By adopting Malay as
the national language of this country, the future Malay as an independent
nation and country will profit by her kinship with Indonesia and other islands
of the Eastern Archipelago, and not pass into uneasy history as an island of
foreign reaction in a sea of Malay culture enriched by Malay tradition and
enlivened by the Malay language (Ratnam, 133).
Manakala Tunku Abdul
Rahman dan UMNO pula walaupun memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu tetapi
dalam masa yang sama mempunyai sikap liberal terhadap perkembangan bahasa kaum
bukan Melayu. Pendirian tersebut diperlihatkan oleh Tunku Abdul Rahman ketika
Ordinan Pelajaran 1952 diperdebatkan di Dewan Undangan Persekutuan pada 20
September 1951. Ordinan Pelajaran 1952 adalah berasaskan Laporan Barnes. Dalam tahun 1950, L.J Barnes, Pengarah
Bahagian Latihan Sosial, Universiti Oxford telah dilantik bagi membuat
penyelidikan mengenai dasar pendidikan Melayu. Laporannya yang diterbitkan pada
tahun 1951 telah mengesyorkan perubahan secara beransur-ansur perlu dilakukan
kepada seluruh sekolah yang wujud supaya dapat diadakan satu sistem pendidikan
di mana para pelajar dari semua kaum hanya diajar melalui bahasa Inggeris atau
Bahasa Melayu. Laporan ini mencadangkan bahawa sekolah rendah perlu digunakan untuk
mencapai matlamat membina bangsa yang sama, dan ia perlu disusun semula
berasaskan kepada asas hubungan antara kaum. Sekolah vernakular untuk bangsa
tertentu perlu dihapuskan dan hanya perlu ada satu sistem pendidikan sekolah
rendah yang seragam iaitu sekolah kebangsaan (Francis dan Ee, 53). Ketika perdebatan dalam
Dewan Undangan Persekutuan, Tunku mengeluarkan kenyataan menyokong hak pelbagai
kaum untuk menggunakan bahasa mereka dalam pendidikan dan tidak menyokong
tindakan pentadbiran kolonial untuk menghapuskan sekolah vernakular Cina dan
India di negara ini, di samping membuat penegasan penting bahawa bahasa Melayu
mestilah menjadi bahasa rasmi di negara ini (Federal Legislative Council
Proceeding 1951, 260).
Pendirian sederhana
Tunku Abdul Rahman terhadap isu bahasa bukan Melayu ada kaitannya dengan
penentangan kaum bukan Melayu terhadap Ordinan Pelajaran 1952, khususnya orang
Cina. Penentangan kuat orang Cina terhadap Ordinan Pelajaran 1952 disebabkan
Ordinan tersebut mencadangkan dua jenis sekolah kebangsaan didirikan, iaitu
sama ada menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar (Sia, 11). Tujuan Rang Undang-Undang Pelajaran 1952 menurut Dato’
Thuraisingham, Menteri Pendidikan ketika itu ialah “untuk mewujudkan satu negara
Malaya yang bersatu yang akan menyempitkan faham perkauman serta mengamalkan
nasionalisme yang progresif”. Justeru itu, beliau menolak sebarang cadangan
untuk mengekalkan sekolah vernakular
dalam sistem persekolahan kebangsaan. Rang undang-undang tersebut ingin
mewujudkan satu sistem pendidikan yang sama berorientasikan Malaya (Sia, 11).
Kaum Cina telah melihat
Ordinan ini secara negatif dengan menganggapnya sebagai satu alat untuk
menghapuskan sekolah dan kebudayaan Cina, menafikan peluang yang sama untuk
pendidikan Cina berkembang serta mendiskriminasikan mereka (Sia, 12). Justeru
itu, ketika pilihan raya 1955, bimbang isu tersebut mengugat pencapaian
Perikatan dalam pilihan raya tersebut, Tunku dalam perundingannya dengan
Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTA) di Melaka pada 12
Januari 1955 telah memberi jaminan bahawa jika parti Perikatan kembali berkuasa
ia akan memastikan orang Cina diberi peluang untuk memelihara sekolah, bahasa
dan budaya mereka. Jaminan Tunku itu dimasukkan ke dalam manifesto Perikatan
yang berbunyi “menggalakkan perkembangan sekolah-sekolah bahasa-bahasa dan
kebudayaan tiap-tiap bangsa yang tinggal dalam negeri. Mengkaji semula
undang-undang pelajaran tahun 1952 dan Kertas Putih tentang pelajaran Dewan Undangan
Persekutuan nombor 67 tahun 1954” (Alliance Manifesto, 1955). Sebagai satu
syarat kepada pemberian konsensi ini, Dongjiaozong[11]
telah berjanji tidak akan membangkitkan isu pengiktirafan bahasa Cina sebagai
satu dari bahasa rasmi negara agar isu ini tidak digunakan oleh parti-parti
politik lain sebagai isu politik (Tan, 76). Penolakan tuntutan Dongjiaozong
untuk menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi kedua Tanah Melayu oleh Tunku
dengan hujah bahawa orang Melayu belum bersedia menerimanya dan UMNO harus
mematuhi kehendak orang Melayu.[12]
Meskipun, Tunku tegas dalam memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan, namun bahasa Inggeris akan terus digunakan sebagai bahasa
utama dalam zaman transisi (10 tahun selepas kemerdekaan) seperti yang
dilakukan oleh India (Sia, 14).
Manifesto Parti Perikatan Pilihan raya 1955
dan Penentangan Pertubuhan Cina
Selepas kejayaan cemerlang
Perikatan memenangi pilihan raya Persekutuan 1955 dan membentuk kerajaan
tempatan yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu, pimpinan politik dalam
Perikatan telah mengalami dilema untuk menunaikan kesemua janji mereka yang
terkandung dalam Manifesto Perikatan Pilihan raya 1955 (Tan, 101).[13]
Hujah ini berasakan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pendidikan Cina yang
diadakan pada 15 Oktober 1955. Dalam mesyuarat tersebut, Tan Cheng Lock
berpendapat bahawa tuntutan orang Cina yang terlalu banyak adalah tidak
realistik dan sukar diterima oleh kerajaan Perikatan yang baru sahaja
ditubuhkan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa sebagai salah sebuah parti
politik komponen dalam Perikatan, MCA terpaksa berhati-hati dalam membuat
tuntutan kerana selain dari tuntutan orang Cina, MCA juga terpaksa peka
terhadap aspirasi golongan etnik lain serta masa depan Negara (Tan, 101).
Iltizam Perikatan untuk
melaksanakan janjinya yang terkandung di dalam Manifesto Perikatan Pilihan raya
1955 mengenai pemartabatan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kajian
semula Ordinan Pelajaran 1952 telah membawa terbentuknya sebuah Jawatankuasa
yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Abdul Razak (Menteri Pendidikan Malaya
ketika itu). Jawatankuasa ini telah ditubuhkan pada bulan September 1955 yang
bertujuan untuk merangka suatu Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dapat diterima
oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Dasar ini membolehkan rakyat menegakkan
suatu bangsa yang bergerak maju di dalam lapangan kebudayaan, ekonomi dan
politik (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956).
Walaupun matlamat utama
Jawatankuasa Pelajaran 1956 bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, namun ia memberi jaminan tidak akan menjejaskan atau
menyekat bahasa dan budaya kaum lain
dari diamal atau dikembangkan (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956).
Cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa ini dikenali sebagai Laporan Razak
1956 dan diluluskan menjadi Ordinan
Pelajaran 1957. Laporan Razak mengemukakan dua cadangan utama yang menjadi
teras pembentukan suatu sistem pendidikan kebangsaan yang berhasrat memupuk
integrasi dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Pertama, ia
mencadangkan sistem persekolahan yang sama bagi kanak-kanak daripada semua
bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang utama. Perkara
ini ditegaskan oleh Laporan Razak:
Kami perchaya juga tujuan dasar pelajaran di dalam negeri
ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di
dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua
bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar,
walau pun perkara ini tiada dapat di laksanakan dengan serta merta melainkan
hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur (Penyata Jawatankuasa Pelajaran
1956).
Kedua, dalam konteks
membina nilai dan semangat perpaduan di kalangan rakyat, penggunaan kurikulum
atau sukatan pelajaran yang seragam, bercorak tempatan dan sistem peperiksaan
yang sama (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956).
Laporan Razak
menyebutkan bahawa sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar disebut sebagai sekolah Umum, manakala sekolah-sekolah Jenis Umum
adalah sekolah yang menjadikan bahasa pengantarnya adalah bahasa Kuo Yu (Mandarin) atau Tamil atau
Inggeris (Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956).[14]
Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akan menjadi subjek wajib untuk semua
peringkat sekolah sama ada rendah atau menengah. Sekolah Rendah Umum juga
menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib dan kemudahan bagi
pengajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil disediakan jika tidak kurang 15 orang
ibu bapa kanak-kanak di sekolah memintanya. Sementara itu, Sekolah Rendah Jenis
Umum, bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris adalah mata pelajaran wajib,
manakala kemudahan untuk pengajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil diberikan di
Sekolah Rendah Jenis Umum (Inggeris) jika terdapat permintaan tidak kurang dari
15 orang ibu bapa kanak-kanak di sekolah tersebut (Laporan Jawatankuasa
Pelajaran 1956).
Laporan Razak juga
telah menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan bahasa
Melayu. Antara cadangan Laporan Razak (Tan, 7):
i)
Mewujudkan Sekolah atau Institut Bahasa bagi
menyediakan latihan kepada guru guru bagi mengajar bahasa Melayu dan
bahasa-bahasa lain.
ii)
Kelayakan pelajar untuk memasuki sekolah menengah yang
dibiayai sepenuh atau sebahagiannya oleh kerajaan, perlu mengetahui bahasa
Melayu.
iii)
Bahasa Melayu dijadikan syarat untuk mendapat Sijil
Rendah dan Sijil Pelajaran Kebangsaan.
iv)
Memberi kelebihan kepada mereka yang menguasai bahasa
Melayu untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan, pemilihan pelajar ke sekolah
menengah, syarat untuk mendapatkan biasiswa, bantuan kepada sekolah dan latihan
guru.
v)
Penggunaan tulisan Rumi atau Jawi di dalam bahasa
kebangsaan.
Walaupun Laporan Razak
menterjemahkan aspirasi orang Melayu untuk memartabatkan kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan alat perpaduan antara kaum serta memenuhi
tuntutan kaum bukan Melayu untuk menyemak kembali Ordinan Pelajaran 1952 bagi
menambah baik sistem pendidikan, namun
ia tidak terlepas daripada kritikan dari semua pihak. Misalnya, Yan Yuan Zhang,
penasihat United Chinese School Teachers’ Association (UCSTA/Jiao Zong) mendakwa Laporan Razak
merupakan satu bentuk ancaman budaya. Persatuan ini bersama Persatuan Guru-Guru
Tamil Selangor pada 9 September 1956 telah mengeluarkan deklarasi bersama yang
menolak bahasa Melayu dijadikan ajen penyatuan di negara ini dengan hanya
menganggap bahasa Melayu sebagai satu alat komunikasi bersama (Tan, 79). Sementara
itu, Lim Lian Geok, pengerusi UCSTA menganggap matlamat akhir Laporan tersebut
boleh membawa penghapusan sekolah Cina yang menggunakan bahasa Cina sebagai
bahasa pengantar (Sia, 19).
Manakala pemimpin
atasan MCA dalam menghadapi tentangan pemimpin pertubuhan Cina terhadap dasar
bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan telah memberi jaminan untuk
memasukkan cadangan menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi dan multilingualism (dasar pelbagai Bahasa)
dalam Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Reid (Heng, 241-241). Dalam
kalangan orang Melayu terdapat juga perasaan tidak puas hati mereka terhadap
ketegasan kerajaan Perikatan dalam melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar yang tunggal di semua sekolah. Misalnya, dalam perbahasan Laporan
Razak dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, terdapat dari kalangan ahli Dewan
Undangan Persekutuan ketika itu menuduh Laporan Razak masih mengekalkan sistem
persekolahan pelbagai bahasa pengantar. Mereka mendesak kerajaan supaya
menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang tunggal di semua
sekolah (Sia, 18).
Walaupun terdapat usaha
dari pemimpin golongan konservatif Cina (pemimpin pertubuhan-pertubuhan Cina
dan berlatarbelakangkan pendidikan Cina) cuba untuk memperjuangkan supaya
bahasa Mandarin turut diiktiraf sebagai bahasa rasmi yang sama taraf dengan
kedudukan bahasa Melayu. Namun pemimpin Cina yang berlatarbelakangkan
pendidikan Inggeris tidak mahu mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi Negara yang tunggal. Perkara ini diperlihatkan melalui undian yang dibuat
dalam Jawatankuasa Pusat MCA (MCA Central
Committee) semasa membahaskan Memorandum Perikatan yang dihantar kepada
Suruhanjaya Reid[15] pada
bulan Ogos 1956. Undian Jawatankuasa tersebut memperlihatkan majoriti ahli
Jawatankuasa Pusat MCA menyokong kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,
manakala hanya minoriti yang menyokong bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi
(Fernando, 82). Hasilnya, Memorandum Perikatan telah berjaya meletakkan bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang tunggal. Walau bagaimanapun, bahasa
Inggeris hendaklah dipakai sebagai satu bahasa rasmi di dalam tempoh 10 tahun
selepas merdeka (sebelum digantikan sepenuh oleh bahasa Melayu pada tahun
1967). Pada masa itu, Dewan Parlimen adalah bebas menetapkan sama ada
penggunaan bahasa Inggeris itu patut diberhentikan (Ibrahim, 563). Bagi
mengimbangi tuntutan kaum bukan Melayu terhadap isu bahasa dan menghilangan
kebimbangan mereka, Tunku Abdul Rahman turut menekankan bahawa budaya dan
bahasa kaum bukan Melayu turut diiktiraf. Menurutnya:
…it would be suicidal
to ignore or deny others the teaching or use of their own languages in their
own schools or business house. We must accept as a reality the existing state
of affairs in regard to the plurality of our society and use of their
languagues. By recognising Malay as the principal and national language in our
Constitution, and at the same time prescribing and upholding the right of
others the use of their languages, script and culture, I feel we shall be doing
right thing (Fernando, 86).
Isu Bahasa dalam Suruhanjaya Reid
Suruhanjaya Reid telah
dibentuk hasil dari perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditandatangani di
Lancaster House pada 8 Februari 1956. Kesan dari perjanjian tersebut maka satu
Suruhanjaya bebas telah dibentuk oleh kerajaan Inggeris pada bulan Mac 1956
bagi membuat cadangan merangka perlembagaan masa depan Tanah Melayu. Penubuhan
satu suruhanjaya bebas ini telah disebutkan dalam Kertas Putih Persekutuan
Tanah Melayu No. 15, 1956 yang
menyebutkan:
The approval of Her
Majesty the Queen and The Conference of Rulers has now been signified to the
recommendations of the Constitutional Conference for the appointment of an independent
Commission to make recommendations for a form of constitution for a fully
self-governing and independent Federation of Malaya within the Commonwelth.
Dalam usaha merangka cadangan
sebuah perlembagaan Tanah Melayu merdeka, pihak Suruhanjaya telah menerima
banyak memorandum dalam pelbagai isu dan cadangan. Dalam aspek Bahasa,
memorandum yang dihantar oleh Perikatan
dan pihak lain mengenai kedudukan bahasa Melayu telah mempengaruhi keputusan
Suruhanjaya Reid untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
menolak bahasa lain sebagai bahasa rasmi. Ahli Suruhanjaya telah mengambil satu
keputusan bahawa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa kebangsaan, namun dalam
jangka masa 10 tahun selepas kemerdekaan, bahasa Inggeris akan terus digunakan
sebagai bahasa rasmi. Selepas 10 tahun, Parlimen akan membuat keputusan bagi
menentukan kedudukan bahasa Inggeris
tersebut (Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957, 74).
Walaupun tempoh 10 tahun
ditetapkan untuk bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi tunggal negara, namun Tun
Abdul Razak Razak telah memberi jaminan kepada orang Melayu bahawa bahasa
Melayu akan menjadi bahasa rasmi lebih awal dari tempoh tersebut. Dalam
ucapannya kepada 300 ahli persatuan bahasa Melayu, beliau sebagai Menteri Pelajaran
ketika itu menyatakan kerajaan sedang berusaha lebih kuat melalui penubuhan
Dewan Bahasa Pustaka bagi membangun dan memperkaya bahasa Melayu bagi
merealisasikan matlamat tersebut (The Malay Mail, 14 February 1957).
Berhubung dengan isu multi-bahasa
(multilingualism) yang digunakan
dalam Dewan Perundangan (Parlimen), terdapat perbezaan pendapat antara UMNO
dengan MCA dan MIC. MCA dan MIC mencadangkan supaya bahasa Cina dan Tamil patut
dibenarkan digunakan dalam Dewan Perundangan. Walau bagaimanapun, UMNO
menghadapi tekanan dari golongan radikal Melayu yang tidak bersetuju dengan
dasar multi-bahasa dalam Dewan Perundangan. Jawatankuasa Perikatan telah
mengambil keputusan untuk menyebutkan perbezaan pandangan antara UMNO dan MCA
mengenai isu tersebut dan membiarkan isu tersebut diputuskan oleh Suruhanjaya
Reid (Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957, 87).
Oleh kerana itu, dalam Memorandum
Perikatan kepada Suruhanjaya Reid mengenai isu multi-bahasa telah menyebutkan
“kelayakan-kelayakan bahasa bagi calon-calon hendaklah dihapuskan dan di dalam
tempoh 10 tahun seseorang ahli Dewan Undangan yang tiada boleh bertutur di
dalam bahasa Melayu atau Inggeris dengan fasihnya adalah berhak bertutur di
dalam bahasanya sendiri dengan syarat bahawa ada seorang pengerusi yang
mengetahui bahasa itu serta boleh pula menyalin pertuturan itu” (Ibrahim, 563)
.
Alasan yang digunakan oleh MCA
dan MIC terhadap penggunaan bahasa Cina dan Tamil dalam Dewan Undangan ialah
terdapat calon-calon yang berpotensi tidak mempunyai keupayaan untuk
menyampaikan hujah mereka dengan baik sama ada dalam bahasa Melayu atau
Inggeris. Sekiranya mereka dihalang menggunakan bahasa sendiri, maka ini
menghalang mereka dari menceburi bidang politik arus perdana. Bagaimanapun,
Reid sendiri pun tidak menyetujui dasar tersebut, kerana perkara ini akan
mengundang pelbagai kesukaran terutama kepada Speaker Perlimen yang terpaksa
menterjemahkan setiap perkataan yang diucapkan dalam bahasa selain bahasa
Melayu atau Inggeris. Suruhanjaya Reid
telah menerima kompromi antara UMNO dan MCA, bahawa bahasa Cina dan Tamil
dibenarkan digunakan dalam Dewan Perundangan hanya “dalam keadaan tertentu”
untuk tempoh 10 tahun sahaja dan membiarkan Parlimen untuk menentukan
penggunaan bahasa tersebut selepas itu (Fernando, 74). Di samping itu,
Suruhanjaya Reid juga berpendapat adalah tidak praktikal untuk menghapuskan
penggunaan bahasa Inggeris sebelum sepuluh tahun berlalu. Alasan yang
dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid ialah terdapat ramai warganegara Persekutuan
pada masa lalu yang tidak mempunyai peluang untuk belajar bercakap dalam bahasa
Melayu dengan fasih, justeru itu, ahli Suruhanjaya merasakan adalah tidak adil
untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara
mendadak (Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957, 74).
Isu multi-bahasa dalam
Dewan Perundangan telah dibangkitkan kembali dalam perbincangan Jawatankuasa Working Party. Resolusi yang diputuskan
dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac 1957 yang mempertahankan dasar bahasa
Melayu hendaklah dijadikan satu-satunya bahasa rasmi dan mengkritik multilingualism telah dijadikan asas
oleh wakil UMNO dalam Working Party[16]
untuk mempertahankan dasar tersebut (The Malay Mai, 4 Mac 1957).[17]
Tambahan pula, wakil MCA dan MIC dalam Working
Party iaitu Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan turut merasakan adalah tidak
munasabah untuk membenarkan multilingualism
dalam Dewan Undangan Persekutuan. Sebagai balasan sikap kompromi tersebut,
dalam Perlembagaan dimasukkan peruntukan yang menjamin penggunaan dan
pembelajaran bahasa lain (Cina dan Tamil) selain daripada tujuan rasmi dan UMNO
menggugurkan cadangannya bagi calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya
mesti mempunyai keupayaan untuk bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris (Fernando,
164-165).
Isu multi-bahasa dalam
Dewan Undangan dibangkitkan sekali lagi dalam perbahasan di Dewan Undangan
Persekutuan pada 10 Julai 1957 bagi meluluskan rang undang-undang Perlembagaan
Persekutuan 1957. S.M. Yong (wakil MCA)
telah menimbulkan isu multilingualism walaupun
isu tersebut telah diselesaikan melalui perundingan dalam Working Party. Yong telah mengemukakan tiga alasan untuk
menjustifikasikan multilingualism dalam
Dewan Undangan. Pertama, dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka, bahasa Melayu
dan bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam Dewan. Justeru itu, dalam periode
transisi ini, keistimewaan ini boleh dipanjangkan kepada wakil bukan Melayu menggunakan bahasa
mereka sendiri dan tiada masalah besar untuk menggunakan khidmat penterjemah.
Kedua, terdapat dalam kalangan bukan Melayu yang berbakat tetapi tidak dapat
bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Sekiranya mereka dibenarkan
bertutur dalam bahasa mereka dalam Dewan, maka bakat dan perkhidmatan mereka
akan dapat dimanfaatkan. Ketiga, di Parlimen Singapura, mereka membenarkan
empat bahasa digunakan di dalam Dewan iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan
Tamil (Federal Legislative Debates, 10 July 1957, 2883-2884).
Cadangan-cadangan yang
telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid mengenai kedudukan bahasa Melayu telah
ditolak oleh parti Islam SeMalaya (PAS) (ditubuhkan pada tahun 1951) yang
merupakan parti pembangkang Melayu ketika itu yang memperjuangkan Islam dan
kebangsaan Melayu (Funston, 87-96). PAS dalam ulasannya mengenai isu bahasa
telah mencadangkan supaya Suruhanjaya Reid menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan yang tunggal dengan serta merta, tanpa
menunggu tempoh tertentu. Dengan adanya peruntukan seperti itu maka bahasa lain
selain dari bahasa Melayu tidak akan ada kesempatan dan ruang untuk dijadikan
sebagai bahasa rasmi di Tanah Melayu. PAS juga menolak cadangan multilingualism dalam Dewan Undangan.
Sekiranya dasar ini diterima, maka perkara tersebut akan membuka ruang kepada
bahasa lain untuk diangkat sebagai bahasa rasmi. Lanjutan dari menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka hak untuk mendapatkan kerakyatan
mestilah mengetahui bahasa Melayu dengan baik. PAS juga membantah penggunaan
bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka
kerana dianggap oleh PAS sebagai “hendak membina sesuatu, dan dalam membina itu
meruntuhkannya sendiri”. Justeru itu, PAS menuntut supaya penegasan dibuat
dalam Suruhanjaya Reid bahawa “bahasa rasmi Tanah Melayu dan bahasa
KEBANGSAAN Tanah Melayu yang TUNGGAL
ialah BAHASA MELAYU” . Ahmad Boestamam yang mengetuai Parti Rakyat (Ishak, 180)[18]
turut mengkritik pemakaian bahasa Inggeris dalam masa 10 tahun lagi selepas
merdeka. Beliau berpendapat bahasa Melayu seharusnya dijadikan Bahasa
Kebangsaan dengan serta merta tanpa menunggu tempoh 10 tahun lagi (Kritik, 20
Mac 1957).
Apabila rang
undang-undang Perlembagaan Persekutuan diluluskan dengan sebulat suara pada 11
Julai 1957, maka kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah
dinyatakan dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152(1)
menyatakan yang bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa kebangsaan tetapi “tiada
siapapun boleh dilarang atau dihalang dari menggunakan (bagi apa-apa tujuan
selain dari tujuan rasmi) atau mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain...”.
Menurut Mohd. Salleh Abas, dengan
memberikan taraf kebangsaan kepada bahasa Melayu, ia sebenarnya memberi satu
tafsiran yang lebih luas dan memberi banyak kesan daripada pengiktirafannya
sebagai bahasa rasmi semata-mata (Mohd Salleh, 51) seperti mana yang termaktub
dalam Perkara 343 (1) Perlembagaan India yang menyebutkan bahasa Hindi sebagai
bahasa rasmi India (kerajaan pusat). Perkataan Kebangsaan lebih luas maksudnya
iaitu “mengenai atau berhubung kepada sesuatu negara secara keseluruhan”,
berbanding perkataan rasmi yang lebih merujuk kepada bahasa yang digunakan oleh
kerajaan dalam pentadbirannya (Hashim, 114-115). Salah satu daripada kesan
meletakkan bahasa Melayu ke taraf bahasa kebangsaan ialah bahasa ini secara
automatik menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi
dan bahawa semua bahasa lain, walaupun boleh diajar dan dipelajari, hanya boleh
digunakan untuk tujuan “selain daripada maksud rasmi”. “Maksud rasmi” telah
ditakrifkan oleh fasal (6) dalam Perkara 152 Perlembagaan dengan makna “apa-apa
jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan
termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam” (Mohd Salleh, 51).
Perkara 152, fasal (2) Perlembagaan Persekutuan
menyatakan selama tempoh sepuluh tahun selepas hari kemerdekaan (31 Ogos 1957)
dan selepas tempoh itu sehingga waktu lain diperuntukkan oleh Parlimen, bahasa
Inggeris digunakan dalam Dewan Negeri tiap-tiap negeri dan bagi segala maksud
rasmi yang lain. Perkara 152(2) ini menjelaskan bahawa kedudukan bahasa
Inggeris akan dikaji semula kedudukannya selepas 10 tahun kemerdekaan, iaitu
pada tahun 1967. Peruntukan mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan seperti yang diluluskan oleh Dewan Undangan Persekutuan adalah
menjangkau cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid .[19]
Laporan Reid memberi jaminan khusus kepada setiap individu tidak dihalang untuk
menggunakan dan mempelajari bahasa-bahasa lain serta hak kerajaan Persekutuan
dan Negeri untuk menjaga dan membenarkan penggunaan dan pelajaran apa juga
bahasa komuniti lain (Vasil, 39).
Kesimpulan
Perbincangan di atas menunjukkan
bahawa perjuangan untuk memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan sebelum merdeka telahpun dilakukan lebih awal dengan penglibatan
dari berbagai golongan, pertubuhan bahasa dan politik serta desakan yang kuat
dari orang Melayu. Desakan yang kuat dari orang Melayu telah mendorong Parti
Perikatan menjadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu daripada manifesto mereka
dalam pilihan raya 1955 bagi menarik sokongan orang Melayu terhadap Perikatan
yang ditunjangi oleh UMNO. Perjuangan orang Melayu termasuk UMNO dalam
memartabatkan Bahasa Melayu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada kaum
bukan Melayu, terutama kebimbangan mereka terhadap masa depan bahasa ibunda
mereka sendiri terutama sebagai medium pendidikan serta penghakisan jati diri
kaum kesan dari pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Untuk
melindungi survival kaum, kaum bukan Melayu bersungguh-sungguh memperjuangkan
dasar multi-bahasa yang ditentang oleh orang Melayu. Penentangan tersebut menyebabkan
perjuangan mengiktiraf bahasa selain Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
dalam Perlembagaan Merdeka tidak berjaya meskipun tidak melemahkan sebahagian
daripada kaum bukan Melayu untuk terus memperjuangkannya sebagai agenda politik
mereka selepas merdeka. Sebahagian dari kaum bukan Melayu yang berpendirian
sederhana dalam politik telah melakukan kompromi dengan mengiktiraf kedudukan
Bahasa Melayu setelah diberi jaminan bahawa bahasa kaum lain tidak dilarang
atau dihalang, diajar atau mengajar untuk tujuan bukan rasmi seperti yang
termaktub dalam Perkara 152(1)
Perlembagaan Merdeka.
Nota
[1] Dasar perjuangan KMM seperti yang dijelaskan
dalam Manifesto KMM ialah “menentang penjajah Inggeris, menuntut kemerdekaan
Malaya, membangunkan pemerintahan yang berdasarkan demokrasi dan direncanakan
agar Malaya bersatu dalam lingkungan Indonesi-Raya. Dalam usaha ini Kesatuan
Melayu Muda dapat menyetujui gerakan PKM yang mempunyai tujuan yang sama iaitu
menentang penjajah” (Lihat, “Manifesto Malaya Nasionalist Party” dlm. Suara Malaya Merdeka, No. 1, Vol. 1,
Ogos 1956, Arkib Negara Malaysia).
[2] UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Johor
Bahru. Yang Di Pertua UMNO yang pertama ialag Dato’ Onn bin Jaafar seorang
pemimpin Melayu dari Johor yang terlibat secara langsung menganjurkan Kongres
Melayu 1946 yang menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan Melayu seluruh Malaya bagi
menentang Malayan Union yang mahu diwujudkan oleh Inggeris selepas Perang Dunia
Kedua (Lihat, Ramlah Adam, Dato’ Onn
Jaafar, Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005,
hlm. 157-172.
[3] Tulisan Jawi adalah
tulisan yang menggunakan huruf Arab. Tulisan ini telah digunakan di Alam Melayu
selepas kedatangan Islam yang mengambil alih tulisan Sanskrit yang
beransur-ansur hilang selepas kedatangan Islam ke rantau ini. Tulisan ini telah
menggunakan huruf Arab tetapi ditambah dengan enam huruf Parsi seperti nga, ga,
nya, za dan cha bagi
memudahkan mengeja perkataan Melayu. Tulisan yang menggunakan huruf Arab ini
kemudian dikenali sebagai tulisan Jawi (Lihat, Harun Aminurrashid, Kajian sejarah Perkembangan Bahasa Melayu,
hlm. 153-154).
[4] Tulisan Rumi pula mula
diperkenalkan setelah kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris ke Alam Melayu.
Tulisan ini telah dikembangkan melalui sekolah-sekolah yang didirikan oleh
Inggeris dan sekolah-sekolah Melayu (Ibid., hlm. 154-155).
[5] Drs. Li Chuan Siu, Iktisar Sejarah Pergerakan dan Kesusteraan
Melayu Moden 1945-1965, hlm. 166-167.
[6] Parti Perikatan ialah gabungan parti politik yang dianggotai
oleh parti UMNO, Malayan Chinese
Association (MCA) dan Malayan Indian
Congress (MIC) yang memerintah Malaya bermula dari Pilihan Raya Federal
1955.
[7] Carol Mitchell,
“Daripada Nasionalisme Sastera Kepada Perancangan Sastera”, dlm. Abdullah
Hassan (penterjemah), Perancangan Bahasa
di Asia Tenggara, hlm. 114-115. Tujuan utama Dewan Bahasa dan Pustaka
mengikut Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959, Seksyen 5(1) dan (IV) ialah:
(a) Berusaha memaju dan
mengembangkan peristilahan bahasa Malaysia sesuai dengan keperluan kemajuan
pentadbiran dan urusan Negara, keperluan sistem pendidikan pengajian tinggi,
kemajuan ilmu pengetahuan dalam semua bidang dan keperluan masyarakat umum;
(b)
Bertanggungjawab
menyelaraskan penggunaan istilah ejaan dalam bahasa Malaysia serta berusaha
mengadakan kerjasama dengan Pusat Pegembangan Bahasa Nasional Indonesia khasnya
di bidang peristilahan;
(c)
Bertanggungjawab
menyalurkan atau menyebarkan istilah-istilah baru dengan berkesan kepada semua
pihak yang memerlukannya;
(d)
Berusaha
mengawasi penggunaan bahasa, khasnya penggunaan istilah dan ejaan di sector
awam dan swasta;
(e)
Menyusun
kamus am dan kamus istilah dalam berbagai bidang ilmu;
(f)
Menjalankan
penyelidikan asas atau penyelidikan yang praktis untuk membantu usaha-usaha
untuk memperkayakan Bahasa Kebangsaan di samping usaha untuk memperluaskan
bidang pengetahuan masyarakat terhadap penggunaan dan perkembangan Bahasa
Malaysia;
(g)
Menerbitkan,
menggalakkan dan menyelaras penerbitan buku-buku dan penerbitan yang berkaitan
dengan kajian dan pembinaan Bahasa Malaysia; dan
(h)
Menjadikannya
sebagai pusat dokumentasi pembinaan dan pengembangan Bahasa Malaysia dengan
tujuan supaya segala bahan yang penting tentang aktiviti dan perkembangan
Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan dapat dikumpul
secara sistematik unntuk kemudahan penyelidikan, analisa dan sebagainya (Lihat,
Hj. Khusairi Hj. Abdullah, Perlaksanaan
Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pengantar Pelajaran, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1983, hlm. 61).
[8] Heng Pek Koon, Chinese
Politics in Malaysia, hlm. 156. Idea penubuhan MCA telah disuarakan oleh Tan Cheng Lock
dan melalui beberapa tahap sebelum penubuhannya menjadi kenyataan. Evolusi
sejarah penubuhan MCA bermula apabila Tan Cheng Lock telah memaklumkan
Setiausaha Negeri Koloni pada September 1943 tentang hasratnya untuk menubuhkan
sebuah pertubuhan Cina Malayan. Namun hasratnya itu tidak dapat dilaksanakan
kerana tidak mempunyai sumber organisasi dan dokongan untuk mencapai hasratnya
itu. Pada 5 Disember 1948, sekali lagi Tan Cheng Lock menimbulkan hasratnya itu
dalam ucapannya kepada Pertubuhan Saudagar Cina Melaka. Ideanya itu telah
disokong oleh Federal Council (Majlis
Perundangan Persekutuan) dan Department of Chinese Affairs (DCA).
Dalam laporan tahunan DCA yang dikeluarkan pada tahun 1948 telah menyatakan “ support for the proposed Malayan Chineses
Affairs was undoubtedly the most important features...(of Britain’s
new)..policy” (Oong Hak Ching, Chinese
Politics in Malaya 1942-55: The Dynamic of British Policy, Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 144). Pada 29 Disember 1948,
perbincangan antara Cina dan kaum Melayu telah diadakan di Johor Bahru yang
dihadiri oleh Tan Cheng Lock, Dato’ Onn dan beberapa orang lagi pemimpin Melayu
dan Cina. Thio Chan Bee yang turut hadir dalam perbincangan itu telah
menyebutkan bahawa Tan Cheng Lock ingin mendapat sokongan dari pemimpin Melayu
tentang penubuhan MCA. Tan Chen Lock telah memaklumkan bahawa penubuhan MCA
adalah “untuk bekerja sama dengan orang Melayu bagi membina negara bangsa baru”
(MacDonals Kertas No.221/154&22/55 dipetik dlm. Ibid., hlm. 145). Akhirnya
di bawah tajaan 16 peniaga Cina yang mewakili kaum Cina dalam Majlis
Perundangan Persekutuan (Federal Council) dan Majlis Eksekutif, MCA telah ditubuhkan
pada 27 Februari 1949. Dalam Mesyuarat Tahunan MCA itu, Tan Cheng Lock telah
dipilih sebagai Presiden, Yong Shook Lin sebagai Setiausaha Kehormat dan Khoo
Teik Ee sebagai Bendahari Kehormat (Ibid.)
[9] Selepas pakatan
AMCJA-PUTERA gagal mendapat sokongan dari pelbagai kaum dan kerajaan British,
kerjasama dan pakatan politik seterusnya telah diwujudkan oleh UMNO, MCA, MIC.
Penubuhan Perikatan ini bermula ketika berlakunya pilihanraya Bandaran Kuala
Lumpur tahun 1952. Dalam piliharaya tersebut parti Perikatan telah mencapai
kejayaan cemerlang. Penubuhan Perikatan pada mulanya adalah merupakan satu
strategi pilihanraya sahaja bagi mengalahkan Idepandence of Malaya Party (IMP) yang diterajui oleh Dato’ Onn
Jaafar dalam pilihanraya Bandaran Kuala
Lumpur . Asas kepada kerjasama adalah kekhuatiran terhadap parti IMP yang
bertanding atas platform politik tanpa perkauman yang dianggap berpotensi
mencapai kemenangan dalam pilihanraya tersebut. Perkara ini disebutkan oleh
Gordon Means, katanya:
“Dato’ Onn
and the IMP had charted a course that threatened to undermine the political
support of UMNO among Malays. The new President of UMNO-Tengku Abdul
Rahman-lost no time in trying to purge the party of the elements that still
supported Dato Onn. He realized that if the IMP to expand its power, UMNO would
suffer proportionately. Consequently UMNO was looking for a means to deal the
IMP a decisive blow” (Dipetik dlm.
Khong Kim Hoong, Merdeka: British Rule
and The Struggle for Independence in Malaya, 1945-57, Kuala Lumpur: INSAN,
1984, hal. 170 ). Walau bagaimanapun kemenangan parti Perikatan tersebut telah merubah
sikap ad hoc Perikatan kepada sebuah
pakatan politik yang kekal dalam sejarah politik Malaysia. Pendekatan Perikatan
ialah membenarkan UMNO dan MCA bertanding di dalam kawasan kaum masing-masing
dengan membuat persetujuan bersama mengenai perkongsian kerusi yang
dipertandingkan telah memberi kejayaan kepada Perikatan berdepan tentangan
parti IMP. Perkara ini ditegaskan oleh Ratnam (1965, 160) katanya;
“This system
of agreeing to share the elected seats to their mutual advantage proved to be a
windfall for both parties. In the face of the IMP’s non-communal platform, the
UMNO and the MCA was sucessful because they were practical enough to realize
that at least for the first few elections to be held in the country, voting
would almost certainly be communal”.
[10] Dato Onn telah keluar dari UMNO pada tahun 1950. Pada
tahun 1951 beliau telah menubuhkan sebuah parti yang dikenali sebagai
Independence of Malaya Party (IMP) sebuah parti yang bersifat non-komunal.
Bagaimanapun IMP gagal meraih sokongan pelbagai kaum kerana rakyat Malaya ketika itu
masih menyenangi parti politik yang berasaskan kaum yang dibuktikan melalui
makin kuatnya UMNO mendapat sokongan dari kaum Melayu ketika itu. IMP
kemudiannya telah dibubarkan pada tahun 1953. Gagal meraih sokongan melalui
parti politik non-komunal, Dato’ Onn kemudian telah menubuhkan pula Parti
Negara pada Februari 1954 yang lebih kepada memperjuangkan kedualatan Melayu
dan memperjuangkan tuntutan kaum Melayu (K.J.Ratnam, Communalism
and the Political Process, hlm. 158).
[11] Dongjiaozong merupakan satu nama singkatan yang digunakan untuk
mewakli gabungan dua pertubuhan utama Cina yang memperjuangkan kepentingan
pendidikan vernacular Cina, iaitu United
Chinese School Commitees’ Association (UCSCA atau Dongzong) dan United Chinese Schools’ Teachers’
Assosiation (UCSTA atau Jiaozong) (Lihat Tan Yao Sua, Politik Dongjiaozong dalam Pendidikan Vernakular Cina di Semenanjung
Malaysia (1960-1982, hlm. 4).
[12] Sia Keng Yek, SRJK (Cina) Dalam Sistem Pendidikan
Kebangsaan: Dilema dan Kontraversi, hlm. 14. Menurut Tan
Cheng Lock, orang Cina melihat Ordinan Pelajaran 1952 memberi kesan kepada kedudukan sekolah
vernakular Cina yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama dan
dianggap sebagai salah satu tindakan diskriminasi perundangan yang menentang
orang Cina di negara ini (Lihat Ucapan Tan Cheng Lock, The Annual General Committe
Meeting of the MCA, 27 Disember 1953, Singapore, Arkib Negara
Malaysia).
[13] Hujah ini berasakan
kepada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pendidikan Cina yang diadakan pada 15
Oktober 1955. Dalam mesyuarat tersebut, Tan Cheng Lock berpendapat bahawa
tuntutan orang Cina yang terlalu banyak adalah tidak realistik dan sukar
diterima oleh kerajaan Perikatan yang baru sahaja ditubuhkan. Beliau seterusnya
menegaskan bahawa sebagai salah sebuah parti politik komponen dalam Perikatan,
MCA terpaksa berhati-hati dalam membuat tuntutan kerana selain dari tuntutan
orang Cina, MCA juga terpaksa peka terhadap aspirasi golongan etnik lain serta
masa depan Negara (Lihat Tan Yao Sua, Politik
Dongjiaozong, hlm. 101).
[14] Lihat Perenggan 54-58, Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956.
[15] Suruhanjaya Reid dibentuk hasil dari perjanjian Kemerdekaan
Malaya yang ditandatangani di Lancaster House pada 8 Februari 1956. Kesan dari
perjanjian tersebut maka satu Suruhanjaya bebas telah dibentuk oleh kerajaan
Inggeris pada bulan Mac 1956 bagi membuat cadangan merangka perlembagaan masa
depan Tanah Melayu. Penubuhan satu suruhanjaya bebas ini telah disebutkan dalam
Kertas Putih Persekutuan Tanah Melayu
No. 15, 1956 yang menyebutkan:
The approval of Her Majesty the
Queen and The Conference of Rulers has now been signified to the
recommendations of the Constitutional Conference for the appointment of an
independent Commission to make recommendations for a form of constitution for a
fully self-governing and independent Federation of Malaya within the
Commonwelth.
Pembentukan satu Suruhanjaya bebas tersebut telah dipersetujui bersama oleh
Majlis Raja-raja, bahawa ia hendaklah dalam sebuah badan yang kecil, di mana
Pengerusi dan satu daripada ahlinya dipilih oleh United Kingdom, manakala ahli
yang lain masing-masing satu dipilih oleh Kanada, Australia, India dan
Pakistan. United Kingdom telah memilih Lord Reid dan Sir Ivor Jennings,
manakala kerajaan Australia telah memilih Sir William McKell, India memilih
Hakim B. Malik dan Hakim Hamid dipilih oleh kerajaan Pakistan. Terma rujukan
suruhanjaya ini dalam menjalankan tugas mereka ialah “untuk memeriksa aturan
perlembagaan yang wujud di seluruh Tanah Melayu, mengambilkira kedudukan dan
martabat Ratu Inggeris dan Raja Melayu” dan “untuk memberikan cadangan terhadap
perlembagaan berbentuk persekutuan untuk seluruh negara sebagai unit tunggal,
bebas dan bekerajaan sendiri dalam lingkungan Komanwel berdasarkan demokrasi
berparlimen dengan dua dewan perundangan yang turut merangkumi beberapa
peruntukan lain lagi (Lihat Federation of
Malay Constitutional Commission, 1956-1957 Report, hlm. 1-2.
[16] Working Party ahlinya terdiri dari wakil kerajaan Inggeris, Majlis
Raja-Raja dan wakil parti Perikatan. Peranan Working Party ialah membuat semakan terhadap kandungan Laporan Reid
(Lihat Malayan Constitutional Documents,
Second Edition, Federation of Malaya: The Government Press, hlm xii).
[17] Isu multilingualism dalam Majlis Undangan
Persekutuan tidak memuaskan hati UMNO seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Malay Mail, 4 Mach 1957. UMNO
menyifatkannya penggunaan bahasa Cina dan India dalam Majlis Undangan tidak
mendatangkan faedah kepada pewakilan India dan Cina. Ia hanya akan mewujudkan
kecurigaan di kalangan orang Melayu tentang keikhlasan dua kaum tersebut (The Malay Mail, 4 Mac 1957).
[18] Parti Rakyat Malaysia
telah ditubuhkan pada tahun 1955 oleh Ahmad Boestamam selepas beliau dibebaskan
dari kem tahanan politik. Parti ini bersifat anti-British dengan memperjuangkan
beberap prinsip antaranya, menerima kewarganegaraan kepada semua kaum yang
memberikan taat setia mereka kepada Negara tetapi menolak prinsip jus soli,
menolak diskriminasi terhadap mana-mana kaum (Lihat, Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran,
Shah Alam: Karisma Publications Sdn.
Bhd., hlm 180).
[19] Cadangan Suruhanjaya
Reid mengenai bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 140 yang
menyatakan “that Malay should be
established as the national language; since a very substantial portion of the
non-Malay population was not fluent in Malay, English was to continue as an
official language for a period at least ten years. At the end of that period,
Parliament was to decide when any change with regard to this matter should be
brought into effect. Concerning the other languages in the country, the
Commission did not feel thar any of them should be given an official status;
this had not been found necessary in the past, and the establishment of any of
them as an official language would have led to great inconvenience (Report of the Constitutional Commission,
hlm. 74).
Rujukan
Ahmad
Fawzi Basri et. al., 1991. Bumi Dipijak Milik Orang. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang
Sariyan, 2008. “Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad Mendatang:
Upaya Pemerkasaannya” dlm. Abdullah Hassan (ed.), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII (2006). Kuala Lumpur: Persatuan
Penterjemah Malaysia.
Awang
Sariyan, 2008. “Mempertahankan Bahasa Negara di Malaysia” dlm. Zainal Kling (ed.),
Kemerdekaan & Perhambaan. Kuala
Lumpur: GAPENA.
Federation
of Malaya, 1951. Federal Legislative Council Proceeding, 20 September 1951. Kuala Kumpur: Government Printers.
Federation of Malaya,
1956. Report of the Federation of
Malay Constitution Conference. London,
Januari-Februari 1956.
Federation
of Malaya, 1957. Federation of Malay
Constitutional Commission, 1956-1957. Kuala Lumpur: Government Printers.
Funston,
N.J., 1980. Malay Politics in Malaysia: A
Study of UMNO & PAS. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia)
Ltd.
Harun
Aminurrashid, 1966. Kajian Sejarah
Perkembangan Bahasa Melayu. Singapura: Pustaka Melayu.
Hashim Yeop A.
Sani, 1980. Our Constitution. Kuala
Lumpur: The Law Publishers (M) Sdn. Bhd.
Hashim
Yeop A. Sani , 1983. Perlembagaan Kita.
Kuala Lumpur: Malaysian Law Publishers Sdn. Bhd.
Hassan
Ahmad, 2008. “Masalah Bahasa atau Masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap
dan Persepsi Manusia terhadap Bahasa Melayu” dlm. Abdullah Hassan (ed.), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII.
Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.
Heng Pek Koon,
1988. Chinese Politics in Malaysia.
Singapore: Oxford University Press.
Ibrahim
Mahmood, 1981. Sejarah Perjuangan Bangsa
Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Antara.
Kritik,
20 Mac 1957.
Laporan Jawatankuasa Mengkaji
Penggunaan Bahasa Malaysia, 1982. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Laporan Ulasan PAS terhadap Penyata
Perlembagaan Reid, 1957. Sidang Mesyuarat Agung Khas PAS
pada 2 Mei 1957 di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Laporan
UMNO Sepuloh Tahun 1946-1956. Kuala Lumpur: Ibu Pejabat UMNO.
Laporan
Pertemuan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan dengan Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman, 4 Oktober 1965. Kuala
Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Li
Chuan Siu, 1967. Iktisar Sejarah Pergerakan
dan Kesusteraan Melayu Moden, 1945-1965. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
Manifesto Pilihan
raya Dewan Ra’ayat 1959. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Malayan
Constitutional Documents. 1962. Vol. 2. Kuala Lumpur: The
Government Printer.
Malayan Press
Digest,
No.64, 1947, Department of Public Relations Malayan Union and Singapore.
Manifesto Perak Progressive
Party, Federal Flection 1955,14 Jun 1955. Kuala
Lumpur: Arkib Negara Malaysia..
Manifesto
Perikatan Pilihan raya 1955. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Manifesto
Perikatan Pilihan raya 1969. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Memorandum
Angkatan Sasterawan ’50 kepada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Ketiga
pada 16-21 September 1956. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia
Merdeka, 15
Disember 1954.
Mitchell, C., 1999. “Daripada Nasionalisme Sastera kepada
Perancangan Sastera” dlm. Perancangan
Bahasa di Asia Tenggara. Diterjemah oleh Abdullah Hassan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka,.
Mohd
Ashraf Ibrahim, 2004. Gagasan Bangsa Malayan
yang Bersatu 1945-1957. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd.
Salleh Abas, 2003. Prinsip Perlembagaan
& Pemerintahan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penyata
Jawatankuasa Pelajaran 1956, 1956. Kuala Lumpur: Government Press.
Perihtiharan
Oleh Jawatan Kuasa Perhubungan Kaum (CLC), Arkib Negara
Malaysia.
Persatuan
Islam Sa-Malaysia (PAS), 1957. “Ulasan terhadap Penyata Perlembagaan
“Suruhanjaya Reid”. Sidang Menyuarat Agong Khas Persatuan Islam Sa-Malaysia di
Kuala Lumpur pada 2 Mei 1957. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Ramlah
Adam, 2005. Dato’ Onn: Pegasas
Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ratnam,
K.J., 1965. Communalism and the Political Process in Malaya. Kuala Lumpur:
University of Malaya Press.
Sia
Keng Yek, 2005. SRJK (Cina) dalam sistem
Pendidikan Kebangsaan: Dilema dan Kontoversi. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
Stockwell,
A.J., 1979. British Policy and Malay
Politics during the Malayan Union Experiment 1942-1945. Monograph No. 8. Kuala
Lumpur: Malaysia Branch Royal Asiatic Society.
Surat
Lembaga Tetap Kongres Bahasa & Persuratan Melayu Tanah Melayu kepada Datok
Abdul Razak, 23 April 1957, Arkib Negara Malaysia.
Tan
Yao Sua, 2005. Politik Dongjoaozong dalam
Pendidikan Vernakular Cina di Semenanjung Malaysia (1960-1982). Pulau
Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
The Malay Mail, 14
February 1957.
Warta Negara, 6
Julai 1955.
Vasil,R.K., 1980. Ethnic
Politics in Malaysia. New Delhi: Radiant Publishers.
Zulkifli
Muhammad, 1957. “Perkembangan Bahasa Melayu”. Mastika. Mei 1957.
No comments:
Post a Comment