Friday, August 3, 2018

Konflik Kaum dan Usaha Awal Pengukuhan Hubungan Kaum Sebelum Merdeka:Perspektif Sejarah



Ramai sarjana berpendapat bahawa hubungan antara kaum sebelum merdeka, terutama dalam zaman naungan kolonial Inggeris tidak berada dalam keadaan yang baik. Setiap kaum terpisah di antara satu sama lain, tidak wujud ketika itu asimilasi dan integrasi antara kaum kerana dasar Inggeris sendiri yang memisah-misahkan antara kaum berasaskan kawasan penempatan, pekerjaan dan layanan Inggeris terhadap tiga kaum utama, iaitu India, Cina dan India yang berbeza-beza (Machander, 2007, Gordon, 1968, 27). Polisi Inggeris berkaitan ekonomi, pentadbiran dan pendidikan menjadi punca berlakunya kerenggangan hubungan antara kaum. Umpamanya dasar pendidikan Inggeris terhadap orang Melayu berbeza-beza mengikut taraf sosial masyarakat Melayu. Golongan atasan atau bangsawan Melayu dididik di sekolah Inggeris yang mula ditubuhkan pada tahun 1874, manakala golongan bawahan Melayu hanya mendapat pelajaran di sekolah vernakular Melayu yang menggunakan bahasa pengantar Melayu. Ringkasnya menurut Loh (1975) pendidikan zaman kolonial Inggeris adalah bersifat elitis dan kebanyakannya digunakan oleh masyakat China, Tamil dan segolongan kecil golongan elit  Melayu (Philip Loh Fook Seng, 1975, 50-86).



Sebenarnya, Inggeris  tidak mempunyai agenda yang khusus untuk menyatupadukan pelbagai kaum yang wujud pada waktu tersebut. Kerajaan Inggeris tidak berusaha untuk mengasimilasikan dan mengintegrasikan golongan imigran ke dalam masyarakat tempatan walaupun mereka tahu kewujudan masyarakat berbilang kaum telah menyukarkan perjalanan pentadbiran kerajaan British sendiri. British gagal untuk memandang jauh ke hadapan akibat yang ditimbulkan oleh imigrasi secara besar-besaran. British sepatutnya telah mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas imigrasi atau berbuat sesuatu tindakan untuk membentuk satu sistem politik bagi seluruh masyarakat berbilang kaum (Milne dan Mauzy, 1982, 31-32). Dasar  “pecah” dan “perintah” dalam konteks masyarakat pelbagai etnik amat berguna bagi Inggeris kerana ia menolong penjajah mengekalkan kekuasaan mereka[1]. Dasar yang sama turut digunakan semasa penjajahan Jepun (1941-45) (Ghazali Shafie, 2000, p. 49) sehingga menimbulkan konflik etnik antara kaum Melayu dan Cina terutama selepas Jepun meninggalkan negara ini. Walaupun Jepun menggunakan slogan “Kemakmuran Bersama” dan “Asia Untuk Orang Asia”, namun slogan tersebut merupakan propaganda Jepun semata-mata. Sebaliknya semasa pemerintahan Jepun, Jepun telah memperalatkan orang Melayu untuk kepentingannya dan menindas kaum Cina kerana membalas dendam terhadap mereka. Hal ini berlaku disebabkan semasa Jepun melanggar negara China, kaum Cina Seberang Laut telah memberi bantuan moral dan material kepada negara mereka bagi menentang tentera Jepun (Anwar Abdullah 2005, 115).

Akibat dari dasar penjajahan telah menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu yang terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India telah berpecah belah. Mereka tidak bersatu dalam konteks sebagai sebuah bangsa Malaya atau Malayan yang bersatu. Dengan sebab itu, ahli sejarah telah bersepakat mengatakan bahawa menjelang tahun 1941, ketiga-tiga aliran nasionalisme Melayu, Cina dan India telah bercanggah dan tidak bersatu untuk membentuk sebuah bangsa “Malaya yang bersatu” serta berkongsi inspirasi yang sama. Hal ini disebutkan oleh Ratnam (1965), katanya:

It will thus be clearly seen that such nationalist movements as existed in Malay before the war were communally isolated. There was no common inspiration and there were no common goal. Nationalism thus failed to unite the people in a common cause; it also failed to produce any appreciable effects on the political process within the country(K.J.Ratnam, 1965, p. 16).

Keadaan ini berlaku disebabkan ketiga-tiga kaum mempunyai kepentingan yang bertentangan dan pandangan yang berbeza. Kaum pendatang Cina dan India memperlihatkan sikap tidak pedulikan hal ehwal di dalam Tanah Melayu dan lebih berminat kepada perkara yang berlaku di tanah air asal mereka. Orang Melayu pula mulai bimbang dengan kedatangan golongan imigran yang semakin ramai yang mula mengancam kedudukan dan hak orang Melayu di negara ini. Walaupun Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah menggesa pentadbiran Inggeris menghalang kemasukan golongan imigran Cina dan India, tetapi oleh kerana pentadbiran Inggeris ditekan oleh syarikat-syarikat perdagangan yang berpengaruh, pelombong-pelombong Eropah dan Cina dan kepentingan ladang-ladang getah yang kesemuanya mahukan lebih ramai buruh yang murah, kemasukan imigran terpaksa diteruskan. Apabila parti Kuomintang ditubuhkan pada tahun 1912 di China, pengaruh gerakan itu telah mempengaruhi orang Cina di Tanah Melayu. Parti Kuomintang China telah bergantung kepada orang Cina di seberang laut untuk mendapatkan wang terutama apabila meletusnya perang Sino Jepun. Ia juga berusaha keras untuk mengekalkan taat setia orang Cina seberang laut terhadap negeri China dan mendakwa bahawa semua orang Cina yang dilahirkan di seberang laut adalah warganegara China walaupun mereka dilahirkan di seberang laut.

Pada tahun 1920an, orang Cina telah mengembangkan cawangan parti Kuomintang di Tanah Melayu yang kemudiannya telah mempunyai dua puak iaitu puak kanan dan puak kiri. Golongan puak kiri kemudian telah menjadi cawangan seberang laut Parti Komunis China. Golongan kiri ini telah berkembang menjadi Parti Komunis Malaya pada tahun 1930. Ini merupakan satu pergolakan yang penting kerana buat pertama kalinya sebahagian orang Cina tempatan telah menumpukan perhatian politik mereka ke Tanah Melayu, bukan lagi ke negara China.  PKM mahu menggulingkan penjajah British melalui cara kekerasan dan menubuhkan sebuah Republik Soviet Petani dan Pekerja Malaya. PKM telah berjaya menarik bukan sahaja orang Cina tetapi juga masyarakat Melayu dan India untuk ikut serta dalam perjuangan mereka. Tetapi menjelang tahun 1941, PKM gagal menarik perhatian orang Melayu dan India. Di majlis-majlis Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, keahlian telah diberikan kepada wakil Cina, seperti Tan Cheng Lock, seorang peniaga dari Melaka dan Lim Cheng Yen, seorang peguam dari Pulau Pinang. Kedua-dua mereka telah menaruh minat dalam hal ehwal negeri tempatan serta mempertahankan kepentingan kaum Cina[2].

Sementara itu, pada tahun 1922, kaum India pula telah mula meminta perwakilan yang sama dengan kaum Cina atas alasan pertambahan bilangan kaum India di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan desakan kerajaan India sendiri yang menyokong tuntutan kaum India di Tanah Melayu. Pada tahun 1928, Subbiah Naidu Veerasamy seorang peguam di Kuala Lumpur menjadi wakil India pertama di Majlis Perundangan Persekutuan. Pada tahun 1929, Majlis Negeri Perak melantik ahli India yang pertamanya diikuti oleh Negeri Selangor (1932), Negeri Sembilan. Pada tahun 1941, satu pertubuhan orang India yang dilahirkan di Tanah Melayu telah pun dibentuk dan dinamakan Malayan Indian Association (Cheah 1984, 81-83).

Perkembangan yang berlaku tersebut telah mendorong orang Melayu bangkit untuk membantah apa yang dianggap oleh mereka sebagai ancaman dari kaum pendatang terhadap hak mereka. Sehingga pertengahan tahun 1920an, orang Melayu telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai keadaan dan sosial mereka yang semakin lemah di negara mereka sendiri. Sungguhpun mereka membandingkan kedudukan mereka yang lemah dengan kemajuan pesat yang diraih pendatang Cina dan India, jarang sekali orang Melayu menyuarakan tentangan yang berupa permusuhan terhadap kaum tersebut. Tetapi, menjelang penghujung tahun 1920-an dan tahun 1930-an dan seterusnya, perkembangan politik dan ekonomi yang berlaku telah meradikalkan sikap orang Melayu terhadap kaum lain, khususnya terhadap kaum Cina. Kebimbangan orang Melayu terhadap penguasaan orang Cina bertambah berat lagi dengan hasil banci 1931 yang menunjukkan buat pertama kalinya dalam Malaya, terdapat lebih ramai orang Cina (1,709,392) daripada Melayu (1,644,173). Ditambah lagi, apabila berlakunya zaman kemelesetan ekonomi yang teruk pada tahun 1930 yang membawa persaingan yang lebih hebat di antara berbagai kaum. Menjelang tahun 1920an dan 1930an, surat khabar Melayu menyiarkan beberapa rencana yang mengecam orang Cina, sementara sekumpulan orang Melayu mula menyusun barisan melindungi kepentingan orang Melayu (Andaya & Andaya, 1983:293-294).

Bagaimanapun, pada waktu tersebut orang Melayu belum bersatu sebagai satu bangsa dan belum mencari penyelesaian perbezaan yang wujud di kalangan mereka. Pergerakan politik Melayu pada masa tersebut berpecah kepada beberapa gerakan dan aliran[3]. Antaranya, pergerakan Kaum Muda yang dipengaruhi oleh gerakan Pan Islam yang bertiup di Timur Tengah telah mempengaruhi sebahagian kecil golongan cerdik pandai Melayu yang telah mendapat pendidikan dari Timur Tengah terutama dari Kaherah tetapi tidak dapat memberi kesan kepada rakyat (Cheah Boon Kheng, 1984:83). Gerakan ini lebih fokus kepada pembaharuan Islam atau Islah yang dipelopori oleh pelajar Melayu seperti Syekh Jalaluddin, Syed Syekh al-Hadi dan lain-lain. Gagasan Islah ini telah disalurkan melalui majalah al-Imam yang diterbitkan pada tahun 1906 di Singapura. Walaupun majalah ini hanya bertahan selama dua tahun lima bulan, pengaruhnya telah melewati persoalan agama semata-mata malah mencakupi bidang politik, pendidikan dan sosial (Ahmad Zaki, 2003:97-98). Bagaimanapun menurut Ratnam (1965), kelahiran gerakan Islah ini boleh dianggap sebagai faktor yang utama mempengaruhi kelahiran nasionalisme Melayu dan juga telah menyebabkan orang Melayu berpecah kepada dua kelompok iaitu Kaum Muda (modernis) dan Kaum Tua (tradisionalis) (Ratnam 1965, 13).

Gerakan Islah juga telah berjaya membangkitkan gerakan-gerakan Islam yang berbaur politik di Tanah Melayu khususnya di negeri Perak dengan melahirkan parti Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol Perak pada 14 Mac 1948. Gerakan Islah juga melahirkan tokoh-tokoh radikal Melayu pada waktu tersebut seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Tuan Hj. Ahmad Fuad bin Hassan, Ustaz Othman Hamzah dan Ustaz Baharuddin Latif[4]. Bagaimanapun menurut A.J. Stockwell (1979), gerakan islah ini belum berupaya membangkitkan orang Melayu keseluruhannya kerana pergerakannya lebih tertumpu di bandar-bandar sementara di kawasan-kawasan luar bandar masih dipengaruhi oleh pemikiran golongan tradisional atau Kaum Tua[5]

Pergerakan orang Melayu juga berpecah kepada gerakan kenegerian seperti Persatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Negeri Sembilan dan Persatuan Melayu Pahang yang wujud di antara tahun-tahun 1937 dan 1938, serta pemecahan orang Melayu mengikut keturunan seperti orang Melayu DKA (Darah Keturunan Arab) dan DKK (Darah Keturunan Keling). Ada juga percubaan untuk memecahkan orang Melayu mengikut suku-sukunya seperti orang Bugis, Minangkabau, Jawa dan sebagainya. Kesedaran bahawa mereka adalah orang Melayu tidak disuarakan sehingga tahun 1939 apabila Ibrahim Yaacob seorang nasionalis muda telah memperjuangkan gagasan Kesatuan Raya Orang Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia yang dinamakannya sebagai “Melayu Raya” atau “Indonesia Raya”. Tetapi gagasan dapat dianggap sebagai mendahului zamannya. Ibrahim Yaacob merupakan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mempunyai matlamat memperjuangkan kemerdekaan bersama Indonesia. KMM dikelompokkan sebagai gerakan radikal Melayu kerana mengambil pendekatan anti Inggeris, antiraja dan condong kepada nasionalisme Indonesia. Sewaktu pendudukan Jepun di Malaya, KMM telah bekerjasama dengan Jepun. Bagaimanapun pada pertengahan 1942 apabila Jepun mendapati KMM boleh mendatangkan ancaman kepadanya, KMM dibubarkan (Jamaie, 2005, p. 41). 

Ibrahim Yaacob kemudiannya telah menyusun semula KMM dan menubuhkan Pembela Tanah Air (PETA) pada akhir 1943. PETA atau dikenali juga sebagai Giyu Gun adalah pasukan tentera sukarela Jepun yang ditubuhkan untuk membantu Jepun mempertahankan Tanah Melayu. Setelah pasukan ini diberi latihan singkat ketenteraan, Ibrahim dilantik sebagai pemimpinnya dengan pangkat Leftenan Kolonel. Kebanyakan pemimpin Giyu Gun terdiri daripada bekas pemimpin dan anggota KMM. Pasukan ini kemudiannya telah membuat hubungan dengan MPAJA dengan perantaraan Tan Mei Sing yang ada hubungan pula dengan Loi Teck, Setiausaha Agung PKM ketika itu. Walaupun PETA/Giyu Gun menyertai gerakan bawah tanah menentang Jepun bersama-sama MPAJA, namun ia tidak mengubah dasar dan matlamat perjuangan KMM yang asal untuk menuntut kemerdekaan Malaya yang bersatu dengan Indonesia (Mohamed Salleh, 2006, pp. 49-50). Pergerakan KMM sebenarnya tidak banyak mendapat sokongan dari rakyat. Antara sebabnya ialah, para pemimpin KMM tidak turun ke rakyat untuk menarik sokongan mereka terhadap apa diperjuangkan (Ratnam 1965, 15). Di samping itu, KMM juga tidak mendapat sokongan golongan pembesar. Rakyat bawahan pula masih takut berpolitik dan mereka lebih mematuhi pemimpin tradisional sedangkan KMM pula mengambil sikap bermusuhan dengan pembesar-pembesar tersebut (Mohamed Salleh, 2006, 40).

Walaupun menjelang tahun 1941 terdapat berbagai pertubuhan Melayu telah lahir tetapi percubaan untuk mencantumkan semua persatuan-persatuan Melayu Negeri telah gagal dan ditamatkan oleh pendudukan Jepun. Tetapi kesedaran kebangsaan Melayu atau ‘perasaan bersatu’ di antara orang Melayu mula bangkit dalam persidangan Persatuan Melayu Semenanjung Melayu pertama dan kedua pada tahun 1939 dan 1940 (Cheah 1984, 83-84).

Semasa pendudukan Jepun (1941-1945), dasarnya turut menyumbang kepada perpecahan masyarakat dan lahirnya ketegangan antara kaum[6] (Singh, 2008, p. 10). Banyak faktor menyumbang kepada berlakunya konflik antara kaum pada waktu tersebut. Antara faktornya ialah orang Melayu telah diberi tempat yang baik dalam jabatan polis, tentera sukarela dan pentadbiran Jepun. Orang Melayu yang bekerja di bawah pemerintahan Jepun telah digunakan untuk menekan gerakan penentangan, khususnya terhadap orang Cina. Perkara ini telah menanamkan perasaan dendam orang Cina terhadap orang Melayu kerana membantu Jepun memerangi MPAJA yang dianggotai sebahagian besarnya oleh kaum Cina[7]. Bagaimanapun kaum India telah diberi layanan yang sama seperti orang Melayu. Tetapi sebaliknya berlaku kepada orang Cina apabila kira-kira 50,000[8] orang Cina telah dibunuh oleh tentera Jepun di Singapura dan Tanah Melayu serta dikongkong dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Parti Komunis Malaya yang telah diharamkan telah bangkit dan mendapat dukungan yang cukup kuat dari orang Cina dan ramai yang ikut serta di dalam unit gerila MPAJA. Walaupun ada orang Melayu dan India yang menjadi ahli MPAJA tetapi bilangan mereka tidak melebihi sepuluh atau lima belas peratus sahaja. Pendudukan Jepun telah mencetuskan persengketaan perkauman antara orang Melayu dan orang Cina dengan berlakunya pertempuran pertama antara dua kaum tersebut di Batu Pahat, Johor [9](Cheah 1984, 84-85). Ketegangan antara kaum turut berlaku di Perak, Kedah, Kelantan, Perlis, Pahang dan Terengganu yang menyebabkan kedua-dua kaum tersebut mengalami kesengsaraan dan penderitaan (Cheah 1987, 18-175). Menurut Li Chuan Siu, persengketaan kaum juga berlaku di daerah Kuala Pilah (Negeri Sembilan)[10], Lambar Kanan, Telok Anson, Kuala Kangsar (Perak) dan Raub (Pahang)  (Siu 1967, 78).

MPAJA terlibat dalam strategi-strategi sabotaj terhadap Jepun, pegawai daerah dan juga penghulu Melayu. Pegawai-pegawai ini dianggap sebagai pro Jepun kerana mengenakan cukai yang tinggi dan membuat tuntutan material dari penduduk tempatan. Perjuangan MPAJA boleh dianggap berbaur perkauman akibat serangannya yang dilancarkan ke atas pegawai-pegawai Melayu (Balasubramaniam 1998, 94). Serangan ini dilakukan kerana semasa pendudukan Jepun, ramai orang Melayu telah menjadi tali barut Jepun yang dikenali sebagai junsa (mata-mata) atau kempeitai (mata-mata gelap.). Mereka ini telah bertindak mengikut suka hati mereka sahaja. Umpamanya mengambil sesuatu benda daripada orang lain tanpa meminta kebenaran dari tuannya. Sehingga timbul istilah baru ketika itu iaitu cho hap yang bererti “hendak barang ambil sahaja” (Abdul Majid, 2004, p. 91).  Ditambah lagi selepas kekalahan tentera Jepun, orang Melayu enggan berkerjasama dengan komunis untuk menubuhkan sebuah republik yang dikuasai bersama oleh tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Dengan sebab itu, ahli PKM yang majoriti didominasi oleh kaum Cina menggunakan kekerasan dan ancaman bagi mencapai matlamat perjuangan mereka sehingga orang Melayu sukar hendak membezakan antara Cina komunis daripada Cina Malaya yang bukan komunis (Anwar Abdullah, 2004, pp. 142-143). Menurut Abdullah Dahana (2002), memang pada permulaannya lagi PKM telah dikuasai oleh kaum Cina. Akibatnya, kegiatan parti ini selalu dikaitkan dengan kegiatan China perantauan. Seorang sejarawan Taiwan yang mengkaji pergerakan komunis Malaya menjelaskan tentang adanya persepsi keliru bahawa “kerana lebih 84 peratus keanggotaan parti adalah orang Cina, maka menjadi orang Cina bererti komunis, komunis bererti Cina, anti-komunis bererti anti Cina dan anti Cina bererti anti-komunis”. Dengan sebab itu di Malaya ketika itu menjadi Cina hampir sama menjadi komunis. Walaupun majoriti keanggotaan parti terdiri dari kaum Cina namun jumlah mereka merupakan peratusan yang kecil daripada golongan kaum Cina di Malaya (Abdullah Dahana 2002, 63).

Apabila Jepun menyerah kalah secara yang tidak dijangka pada 14 Ogos 1945, ia telah meninggalkan kekosongan politik di Malaya beberapa hari. Keadaan ini telah diambil kesempatan oleh MPAJA (sayap militer PKM) untuk menguasai beberapa kawasan yang ditinggalkan oleh tentera Jepun selama dua minggu. Dalam jangka masa tersebut telah digunakan oleh MPAJA yang ditaja oleh PKM membuat pembersihan ke atas orang yang menyokong Jepun atau bersubahat. Kebanyakan mereka yang menjadi sasaran penyerangan dan pembunuhan MPAJA adalah orang Melayu yang membantu Jepun dan enggan menyebelahi MPAJA semasa perang. Perkara ini telah mencetuskan rusuhan antara kaum Melayu dengan Cina.[11]

MPAJA dan PKM telah merangka strategi untuk bekerjasama dan mengalu-alukan kedatangan semula British ke Malaya. Mereka telah menggunakan beberapa slogan seperti “setiap kaum seharusnya bersatu untuk mendirikan sebuah Malaya yang demokratik” dan mengeluarkan satu kenyataan bersama yang mengharapkan Pentadbiran Tentera British (BMA) akan mentadbir dengan adil dalam usaha mewujudkan kesenangan dan kebebasan. Mereka mengharapkan pentadbiran British dapat memberikan kepada mereka hak dan peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan British. Mereka mengharapkan juga semua parti politik dan kaum bekerjasama dengan mereka untuk mendirikan sebuah “Malaya Baru” di bawah bendera demokrasi (Ching, 2000, pp. 81-82). Bagaimanapun kekalahan tentera Jepun dan kelewatan pihak British menghantar pasukan tentera untuk mengambil alih kuasa di negeri-negeri Melayu telah memberi kesempatan kepada gerila komunis untuk melakukan beberapa perbuatan kejam terhadap penduduk pelbagai kaum. Bagi orang Melayu, kekejaman gerila ini menambahkan perasaan benci mereka terhadap kaum Cina. Perasaan ini juga wujud di kalangan orang Cina terhadap kaum Melayu sehingga mewujudkan beberapa peristiwa berdarah (Mahathir 2006, 162). Bagaimanapun Abdullah C.D dalam Memoirnya (2005) memberikan perspektif yang berbeza apabila beliau memberikan sebab utama berlakunya konflik antara etnik selepas berakhirnya pemerintahan Jepun adalah disebabkan provokasi British yang menggunakan isu kaum dan agama bagi melaga-laga rakyat Malaya sepertimana pengalaman British melaga-lagakan di antara orang Islam dengan penganut Hindu di India. Menurutnya;

 Thus, at the end of the anti-Japanese period, British had taken steps to break up racial unity, such as by provoking interracial and interreligious issues. The British were experts in stirring up interracial conflict in Malaya, based on their experience of pitting the Muslims and Hindus agains each other in India” (Abdullah, 2005, p. 65).


Sementara itu, orang keturunan India lebih asyik dengan perjuangan kemerdekaan di India sehingga mereka terkeluar dari arus politik Tanah Melayu, seolah-olah mereka tidak berada di Tanah Melayu (Mahathir 2006, 162). Ini kerana penumpuan politik mereka adalah di India semata. Hakikat ini dibuktikan oleh Balasubramaniam (1998) yang menyebutkan, di kalangan kaum India tumpuan terhadap pergolakan politik di negara India jelas terbukti apabila merujuk kepada bilangan pemuda India (iaitu kira-kira 30,000 buruh India) yang menyertai Liga Kemerdekaan India di bawah tajaan Jepun semasa pemerintahan Jepun (1942-1945). Masyarakat India di Tanah Melayu hanya melibatkan diri secara aktif dalam politik India dengan menganggotai Liga Kemerdekaan India dan Tentera Kebangsaan India di bawah pimpinan Subhasbose. Sebelum itu kesedaran politik kaum India juga diinspirasikan oleh lawatan Nehru ke Tanah Melayu pada tahun 1937 yang membawa kelahiran Central Indian Association (CIAM) yang bersikap India sentrik dan objektif utama penubuhannya adalah untuk menjaga kebajikan serta memperbaiki keadaan pekerjaaan dan perekrutan buruh India (Balasubramaniam 1998, 80-81). Justeru, Ratnam (1965) telah merumuskan semasa penjajahan Jepun ketiga-tiga kaum tidak mempunyai kepentingan atau asas perjuangan yang dikongsi bersama. Menurutnya, kaum Cina mengambil sikap menentang Jepun, kaum India pula sibuk menumpukan perhatian mereka terhadap kemerdekaan India, manakala kaum Melayu pula mengambil sikap membantu Jepun dengan hasrat untuk mengembalikan kedaulatan politik Melayu di negara ini (K.J.Ratnam, 1965, p. 19).

Selepas dua bulan tentera Jepun menyerah kalah dan sebulan selepas British kembali memerintah Malaya Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM telah ditubuhkan di Ipoh, Perak pada 17 Oktober 1945. Ia ditubuhkan oleh ahli PKM dari bangsa Melayu bersama-sama dengan tokoh-tokoh KMM dan tokoh nasionalis Melayu lainnya. Antara mereka yang menghadiri mesyuarat penubuhan PKMM ialah Mokhtaruddin Lasso, Arshad Ashaari, Baharuddin Tahir, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. dari golongan komunis. Sementara Ahmad Boestamam dan Dahari Ali dari golongan bukan komunis.[12] Tujuan penubuhan PKMM adalah untuk mencapai kemerdekaan penuh atau seratus peratus bagi Malaya. Parti ini ingin menjadi sebuah parti persis Parti Nasional Indonesia di bawah pimpinan Soekarno dan Hatta. Pada awal penubuhannya, PKMM telah dipimpin oleh Moktaruddin Lasso sebagai Yang Dipertu Agung, Dahari Ali sebagai Setiausaha Agung, Bendahari disandang oleh Arshad Ashari, manakala Dr. Burhanuddin al-Helmy dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung [13]. Dalam masa tiga bulan dari tarikh mesyuarat penubuhan itu, PKMM telah mendapat sokongan yang menggalakkan dari seluruh negara. Sokongan itu menjadi jelas apabila PKMM mengadakan kongresnya yang pertama, iaitu pada 30 November hingga 3 Disember 1945, di Ipoh. Kongres pertama meluluskan sebulat suara bahawa merdeka menjadi slogan parti dan benderanya ialah merah putih serta mengeluarkan lapan resolusi yang menjadi matlamat perjuangan parti. Lapan resolusi ini menurut Victor Purcell (1967) mirip dengan lapan perkara yang menjadi perjuangan PKM. Lapan perkara tersebut ialah: (1) menyatukan hak bangsa Malaya bagi semua bangsa; (2) kebebasan bercakap, akhbar, bersidang dan lain-lain ; (3) meningkatkan ekonomi rakyat; (4) meningkatkan kegiatan pertanian dan tiada cukai yang dikenakan ke atas tanah pertanian; (5) layanan yang baik ke atas warga buruh, memperbaiki taraf hidup dan membataskan masa mereka bekerja; (6) memberi kebebasan penuh kepada orang Melayu mendirikan sekolah kebangsaan mereka, iaitu tempat mereka dapat belajar dengan bahasanya secara percuma; (7) memperkasa hubungan yang baik antara kaum, dan (8) menyokong Gerakan Nasionalis Indonesia dengan segala matlamat dan sumbernya [14] . Wujudnya persamaan antara lapan perkara yang menjadi matlamat perjuangan PKMM dengan lapan teras perjuangan PKM disebabkan kepimpinan awal PKMM adalah terdiri daripada ahli PKM seperti Mokhtaruddin Laso[15], Taharuddin, Arshad dan Khatijah Ali yang mempunyai pengaruh terhadap PKMM. Bahkan menurut Mokhtaruddin Laso, PKM telah memberi sokongan moral, politik dan ekonomi yang penuh terhadap PKMM[16].

Walaupun PKMM sebuah pertubuhan politik Melayu yang menggabungkan tokoh-tokoh Melayu PKM dan para pejuang nasionalis Melayu yang beraliran kiri, namun parti ini tidak menyifatkan diri mereka sebagai sebuah parti perkauman. Parti ini tidak melihat kaum Cina dan India sebagai ancaman kepada kaum Melayu. PKMM menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah mewujudkan negara Malaya yang demokratik di mana kaum Melayu hendaklah bekerjasama dengan kaum lain yang tinggal di negara ini. PKMM berbeza dengan UMNO yang memperjuangkan nasionalisme Melayu, manakala PKMM pula memperjuangkan nasionalisme Malaya yang mengandungi kaum Cina dan India. Musuh utama PKMM adalah kuasa penjajah British tetapi malangnya PKMM tidak mendapat sokongan dari kaum tani yang masih kuat berpegang kepada tradisi feudal. Oleh itu, kempen PKMM menentang Malayan Union tidak mendapat sokongan yang luas berbanding dengan gerakan penentangan yang dilancarkan oleh UMNO[17]. Di samping itu, sifat militan PKMM dan faktor PKMM dikuasai oleh tokoh Melayu PKM turut menjadi sebab utama orang Melayu tidak meluas memberi sokongan mereka terhadap parti tersebut. Tambahan pula, PKMM cuba membuang kedudukan raja (anti-feudal) dan menggantikan kepimpinan pembesar dengan rakyat biasa dalam konteks totalitarian. PKMM cuba melaksanakan suatu pembaharuan dalam politik apabila ia cuba menonjolkan kuasa rakyat sebagai struktur dasar dalam pemikiran politik partinya[18]. Bagaimanapun, Ahmad Boestamam dalam Memoirnya (2004) menafikan bahawa PKMM tidak mendapat sokongan yang kuat dari orang Melayu[19].

Apabila Inggeris kembali berkuasa di Tanah Melayu, terdapat beberapa usaha yang dilakukan untuk menyatupadukan rakyat Malaya yang terdiri dari berbilang kaum dengan memperkenalkan polisi baru. Keinginan Inggeris untuk mewujudkan satu polisi yang baru terhadap Malaya mula ditimbulkan dalam Parlimen British pada 10 Oktober 1945, apabila Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris telah memberikan jawapannya terhadap polisi baru British di Malaya. Menurutnya, pertimbangan yang sewajarnya diberikan kepada masa depan Malaya dan mewujudkan rasa kesatuan serta kewarganegaraan yang sama bagi membangunkan kekuatan negara dan pemerintahan sendiri dalam lingkungan Komanwel British. Justeru itu, polisi pemerintahan British mestilah mengarah kepada pengwujudan perlembagaan kesatuan Malaya dan penginstitusian kerakyatan bangsa Malaya yang memberi hak yang sama kepada semua kaum yang mendakwa Malaya sebagai tanahair mereka. Bagi mencapai matlamat ini, maka satu persetujuan yang baru perlu dirangka dengan Raja-raja negeri-negeri Melayu, iaitu dengan menubuhkan Malayan Union yang mengandungi sembilan buah negeri-negeri di Tanah Melayu dan dua buah Negeri Selat. Manakala Singapura berkedudukan terasing dari pentadbiran Malayan Union dan mempunyai perlembagaannya sendiri [20].

Perisytiharan penubuhan Malayan Union ini tidak lama kemudian telah menyebabkan berlakunya ketegangan antara kaum. Di bawah rancangan ini, Inggeris ingin menubuhkan sebuah negeri yang bersatu padu dan mengadakan satu kewarganegaraan yang sama rata untuk semua kaum. Orang Melayu akan menjadi warganegara secara automatik, manakala orang bukan Melayu yang ingin menjadi warganegara perlu memenuhi kelayakan-kelayakan seperti dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura. Mereka juga boleh diberikan hak kewarganegaraan apabila tinggal 10 daripada 15 tahun di negeri-negeri Melayu atau lima tahun di Singapura [21]. Penubuhan Malayan Union ini akan disahkan dengan perjanjian-perjanjian baru antara Raja-raja Melayu dan kerajaan Inggeris, di mana Raja-raja Melayu diminta menyerahkan kedaulatan di negeri masing-masing kepada Baginda Raja Inggeris. Penubuhan Malayan Union ini dilihat oleh orang Melayu sebagai satu ancaman terhadap hak orang Melayu dan sebaliknya berfaedah kepada orang bukan Melayu. Orang Melayu telah bangkit menentang Malayan Union[22] dan kemuncaknya apabila Mesyuarat Kongres Seluruh Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Kongres tersebut telah dihadiri oleh 125 wakil dan 49 pemerhati yang mewakili berbagai pertubuhan Melayu seluruh Malaya. Mesyuarat tersebut telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO[23] yang bertujuan untuk melancarkan kempen seluas-luasnya bagi membantah Malayan Union. Kongres juga telah mengambil keputusan untuk menghantar taligram ke Menteri Jajahan Inggeris yang mengandungi isi bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union dan mengesa kerajaan Inggeris berfikir panjang sebelum melaksanakan gagasan tersebut  (Siu 1967, 82). Sekiranya gagasan Malayan Union ini berjaya dilaksanakan, maka raja-raja Melayu akan kehilangan kedaulatan mereka, British akan dapat memerintah secara langsung di negara ini dan akan wujud hak kewargenegaraan yang sama untuk semua kaum. Menurut Cheah Boon Kheng, jika Malayan Union dapat dilaksanakan secara keseluruhannya ia akan menjadikan Malaya sebagai “Malayan” nation-state dari “Malay” nation-state (Kheng, Malaysia The Making of a Nation, 2002, p. 2).

Apabila Malayan Union diisytiharkan pada 22 Januari 1946, kaum Cina pula mulanya tidak memperlihatkan sokongan mereka terhadap gagasan tersebut tidak seperti yang dijangkakan oleh Inggeris. Akhbar-akhbar Cina tidak memberikan komen mereka terhadap Malayan Union sehinggalah pada 31 Januari 1946[24]. Kaum Cina lebih bimbang kepada permasalahan ekonomi dan gangguan sivil terhadap mereka pada waktu tersebut. Majoriti kaum Cina melihat cadangan perlembagaan Malayan Union tidak membawa apa makna kepada mereka kecuali jika ia memberi kesan kepada kehidupan peribadi mereka sendiri. Manakala di kalangan ahli politik yang mempunyai kesedaran untuk memperjuangkan nasib kaum Cina juga berbeza pendapat. Ahli Kuomintang dan kaum Cina yang dilahirkan di China tidak menunjukkan minat mereka terhadap Kertas Putih cadangan Malayan Union. Kesetiaan politik mereka hanyalah kepada negara asal mereka[25]. Bagi mereka penerimaan terhadap kewarganegaraan yang dicadangkan melalui Malayan Union hanya akan menimbulkan masalah terhadap status kewarganegaraan mereka sebagai warganegaraan China. Menurut akhbar  Chung Hwa sekiranya kaum Cina inginkan hak kewargenegaraan Malaya, mereka harus secara terbuka mengisytihar atau secara diam menyatakan bahawa mereka sudah terpisah dari negara asal mereka. Keadaan ini agak menyukarkan orang-orang Cina untuk menerima kewarganegaraan Malayan Union sedangkan mereka ingin terus mengekalkan kewarganegaraan China. Manakala akhbar Cina yang lain seperti Modern Daily telah menentang peranan sultan-sultan Melayu sebagai pemimpin tradisional dan ketua  agama bagi Malayan Union. Akhbar Sin Min Chu dalam laporannya bertarikh 24 Januari 1946  secara tegas mengkritik Malayan Union yang disifatkannya masih jauh dari memperkasa status politik rakyat Malaya dan hanya mengukuhkan kedudukan British di Malaya dan Singapura (Ching, 2000, pp. 97-98). Manakala golongan radikal kaum Cina yang diwakili oleh PKM telah menolak Malayan Union kerana ia tidak menyediakan pilihan raya yang menyebabkan kuasa Gabenor dianggap berlebihan dan pemisahan Singapura dianggap tidak logik dari sudut politik dan ekonomi. Golongan radikal Cina ini memperjuangkan penubuhan sebuah negara sosialis. Manakala golongan Cina yang moderat tidak begitu menentang Malayan Union kerana tertarik dengan peluang untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui gagasan tersebut  (Ampalavanar, 1981, p. 80).

Manakala kaum India juga tidak banyak memberikan respons mereka terhadap gagasan Malayan Union. Editor akhbar kaum India tidak menyentuh cadangan Malayan Union sehinggalah pada 1 Februari 1946. Ini kerana penumpuan akhbar Tamil pada waktu tersebut adalah terhadap isu kekurangan makanan, peningkatan harga barangan dan industri. Bagaimanapun isu Malayan Union mula menjadi tumpuan komuniti India apabila akhbar Jananayagam (akhbar golongan sayap kiri kaum India) pada 23 Mac 1946 telah mengkritik Malayan Union dengan menyifatkannya sebagai satu metode untuk memperteguhkan pentadbiran British dan menjarah negara ini. Ia adalah satu rancangan untuk memecah belahkan Malaya mengikut kehendak kaum imperialis.  Akhbar India lain yang turut mengecam Malayan Union ialah The Tamil Press, Malaya Nanban, Tamil Murasu dan lain-lain. Sikap komuniti India yang berpecah dalam isu Malayan Union berlaku disebabkan penumpuan politik kaum India sehingga pertengahan tahun 1946 adalah terhadap perkembangan politik yang berlaku di India. Bagaimanapun mulai pertengahan tahun 1946, majoriti kaum India telah mengalu-alukan rancangan untuk memberikan kewarganegaraan Malaya yang sama kepada semua kaum dan pemusatan kerajaan. Apabila MIC ditubuhkan pada bulan Ogos 1946, barulah kaum India melalui MIC membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perlembagaan dan kesan Malayan Union terhadap kaum India di negara ini (Ampalavanar, 1981, pp. 79-80). MIC seperti UMNO juga telah menentang Malayan Union kerana ia dilaksanakan dengan paksaan tanpa persetujuan rakyat asal negara ini. Pandangan umum di kalangan komuniti India ketika itu ialah Malaya adalah negara Melayu dan hakikat ini mestilah dikekalkan. Kaum India juga tidak menerima sebarang pembaharuan perlembagaan yang tidak diterima oleh orang Melayu sendiri. Justeru itu, John Thivy (Presiden MIC) dalam ucapannya pada 7 Jun 1947 ketika Mesyuarat Tahunan MIC di Kuala Lumpur telah menyakinkan orang Melayu bahawa kaum India;  would never appeal over the heads of the Malays to the British for any particular right or privilege in the task of establishing a constitution for Malaya; if we do so we would be sowing the seeds of communal dissensions  (dipetik dlm. Ampalavanar 1981, 83).

Pada bulan Disember 1946, satu perjanjian telah dicapai untuk membubarkan Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diwujudkan pada 1 Februari 1948. Raja-raja Melayu yang telah mendapat kembali kedaulatan mereka juga bersetuju menawarkan kewarganegaraan kepada 300,000 orang bukan Melayu yang layak menjadi warganegara (Cheah 1984, 85-87). Menurut Comber (1985), Persekutuan Tanah Melayu merupakan asas kepada Perlembagaan Malaysia hari ini dan penubuhannya merupakan kejayaan kepada orang Melayu. Ini kerana Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu menyatakan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Inggeris akan bertanggungjawab menjaga hak istimewa orang-orang Melayu dan kepentingan sah kaum bukan Melayu[26]. Perjanjian Persekutuan merupakan tolak ansur orang-orang Melayu dan Cina. Sungguhpun orang-orang Cina tidak dimasukkan dalam Jawatankuasa Kerja tetapi pandangan mereka telah diperoleh sebelum Perjanjian itu menjadi undang-undang. Menurut Comber lagi, orang-orang Melayu bersetuju memberi kerakyatan Persekutuan kepada mereka yang mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara ini mengikut syarat yang telah disebutkan dalam Perjanjian tersebut. Orang Melayu kebanyakannya telah berpuas hati dengan perlembagaan baru ini tetapi tidak berapa mendapat sambutan dari orang-orang Cina disebabkan undang-undang kerakyatan yang ketat (Comber 1985, 43-44).

Menurut Laporan Tahunan (1948) yang dikeluarkan oleh Department of Chinese Affairs, memperlihatkan bahawa tahun 1948 merupakan tahun yang sukar bagi komuniti Cina di Persekutuan Tanah Melayu. Pertama, disebabkan ketidaktentuan masa hadapan mereka disebabkan polisi kerajaan Persekutuan yang memberikan Sultan dan wakil-wakil Melayu menguasai perundangan dan mengenakan hak kewarganegaraan yang ketat terhadap kaum Cina. Kedua, disebabkan Parti Komunis Malaya telah melancarkan pemberontakan menentang pemerintah Malaya. PKM pula telah mendapat sokongan dari kaum Cina. Tindakan kerajaan melancarkan gerakan memburu gerila komunis telah memberi kesan terhadap kaum Cina. Sebahagian daripada usaha kerajaan memerangi komunis meliputi kawasan yang luas dan menangkap kaum Cina yang disyaki. Ia juga turut melibatkan pemusnahan perkampungan Cina seperti kampung Kachau di Selangor. Orang Cina juga menjadi sasaran komunis kerana sebahagian mereka yang menyokong Kuomintang ataupun keengganan sebahagian daripada mereka memberi sokongan dan bantuan kepada gerila komunis (Ching, 2000, pp. 139-140.).

Berdasarkan latar belakang di atas, Department of Chinese Affairs yang ditubuhkan oleh British merasakan amat penting diwujudkan satu dasar atau polisi mengenai kaum Cina yang baru. Dasar ini mungkin akan dapat meningkatkan keyakinan kaum Cina terhadap kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap kehidupan mereka dan meningkatkan hubungan di antara kerajaan dengan kaum Cina. Henry Gurney yang menggantikan Edward Gent sebagai Persuruhjaya Tinggi Malaya telah menulis surat kepada Creech Jones, Setiausaha Tanah Jajahan pada 5 Julai 1949. Beliau telah menyatakan bahawa Inggeris perlu mewujudkan satu polisi yang khusus terhadap kaum Cina dan mengingatkan bahawa proses “Malayanisasi” kaum Cina di negara ini akan mengambil masa yang lama dan melalui proses yang sukar. Justeru itu, ia memerlukan langkah yang bijaksana dan sokongan pada setiap tahap atau tindakan yang diambil (Ching, 2000, pp. 140-141). Kerajaan British menyedari untuk menarik sokongan dan “Malayanisasi” kaum Cina memerlukan British memperuntukan hak kewarganegaraan Persekutuan yang terhad kepada kaum Cina. Keadaan ini tentulah akan menimbulkan tentangan dari kaum Melayu. Justeru itu, British perlu menggalakkan kaum Melayu mengambil satu sikap akomodatif terhadap tuntutan kaum Cina. Dalam waktu yang sama, kerajaan British juga menyedari kegusaran pemimpin Melayu terhadap kuasa ekonomi yang dimiliki oleh kaum Cina. Justeru itu, kerajaan telah menggalakkan pemimpin Melayu dan Cina menyelesaikan masalah mereka melalui perundingan dan permuafakatan di antara mereka (Ching, 2000, pp. 142-143).

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 sebagai satu strategi British untuk mengawal negeri-negeri Melayu secara berpusat dan menjaga hak politik dan hak keistimewaan orang Melayu telah menimbulkan tentangan dari sebahagian pemimpin dan komuniti Cina. Mereka tidak berpuas hati dengan cadangan Persekutuan disebabkan syarat-syarat kerakyatan Persekutuan yang ketat. Pemimpin-pemimpin yang menjadi jurucakap kaum Cina telah membentuk gerakan anti-Persekutuan. Persekutuan menurut Dixon (1991, 143), “represented a victory for the Malays and causes great dissent amongst the other ethnic groups, particularly the Chinese(Mohammad Agus, 2006, pp. 54-55). Di Kuala Lumpur, All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang diketuai oleh Tan Cheng Lock telah menentang cadangan Persekutuan. Mereka telah menganjurkan aktiviti yang membantah cadangan tersebut dengan mengadakan tunjuk perasaan dan pemulauan terhadap Cheesemen Consultative Comitte yang ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan dari kaum bukan Melayu mengenai cadangan Persekutuan. Golongan saudagar Cina dalam satu persidangan mereka telah bersetuju mengadakan hartal satu hari di seluruh Tanah Melayu yang diorganisasi oleh AMCJA. Tarikh hartal yang ditetapkan ialah pada 20 Oktober 1947 (Mohammad Agus, 2006, p. 56). Tarikh tersebut dipilih kerana ialah hari pembukaan Parlimen British[27]. Bagaimanapun, hartal yang dilakukan tidak berjaya kerana bukan sahaja Parlimen Inggeris tidak bersidang pada tarikh tersebut tetapi juga disebabkan wujudnya propaganda Inggeris menentang hartal yang disiarkan melalui akhbar harian Straits Times dan radio Malaysia oleh Malcom MacDonald sehingga semangat mereka dapat dilemahkan (Siu, 1967, p. 95). Bagaimanapun mengikut pandangan Albert Lau (1991), hartal yang telah diadakan di seluruh Malaya pada 20 Oktober tersebut telah melumpuhkan hampir semua bandar-bandar di Malaya tetapi British masih tidak berganjak dengan posisinya yang tidak berkompromi dengan sebarang gerakan anti-Persekutuan[28]. Akhbar Straits Times pada 21 Oktober 1947, melaporkan:

Hunderds of thousands of dollars were lost by goverment, industry, and business today when the hartal kept labour away from the ports, rubber estates, tin mines, business houses and streets. Industry in Selangor almost entirely took a forced holiday...”[29].

Kaum India pula melalui MIC turut membantah cadangan syarat kewarganegaraan yang dinyatakan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1948, MIC telah menyuarakan pandangan mereka bahawa Malaya adalah sebuah negara majmuk bukan hanya negara bagi orang Melayu semata-mata. Oleh kerana itu, hak kewarganegaraan yang sama rata perlu diberikan kepada semua kaum. Pada tahun 1947, MIC melalui keahliannya dalam AMCJA telah membuat kempen untuk menentang cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada April 1948, MIC telah memulaukan keanggotaan mereka dalam Majlis Persekutuan dan Negeri yang diwujudkan melalui Perjanjian Persekutuan. Bagaimanapun terdapat beberapa ahlinya yang menerima pencalonan mereka sebagai ahli dalam Majlis tersebut. MIC telah meluluskan satu resolusi pada bulan Mac 1948 untuk memulaukan Perlembagaan Persekutuan dan memecat mana-mana ahlinya yang menganggotai Majlis yang diwujudkan oleh kerajaan ketika itu. Bagaimanapun pemulauan tersebut telah mendapat tentangan dari beberapa cawangan penting MIC. Dalam bulan Mac 1948, Regional Indian Congress telah menasihatkan MIC meninggalkan gabungan AMCJA dan menghadkan kerjasama mereka dengan kerajaan (Ampalavanar 1981, 91).

Bantahan sebahagian dari kaum Cina dan India terhadap cadangan Perjanjian Persekutuan tidak menghalang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan secara rasmi pada 1 Februari 1948. Sejurus penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengumumkan kempen penentangannya terhadap kerajaan secara gerila dan bersenjata bagi mendapatkan kuasa memerintah[30]. Dianggarkan terdapat 4,000 atau 5,000 gerila komunis yang berada di dalam hutan di mana lapan puluh hingga lapan puluh lima peratus adalah bangsa Cina, manakala yang lain terdiri dari bangsa Melayu, India dan lain-lain[31]. Kekacauan dan keganasan yang pertama PKM dilakukan di Perak (Sungai Siput)[32] pada bulan Jun 1948 dan akhirnya merebak ke seluruh Tanah Melayu sehingga mendesak kerajaan Inggeris mengumumkan pemerintahan darurat di seluruh Persekutuan pada 12 Julai 1948. Pemberontakan PKM telah menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan nyawa sehingga membawa kerajaan Inggeris mengharamkan pergerakan PKM. PKM telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Pengharaman PKM telah membawa pemimpin kaum Cina memikirkan alternatif lain bagi menyalurkan aspirasi perjuangan mereka yang membawa kepada penubuhan MCA pada 27 Februari 1949 (Mohammad Agus, 2006, p. 56) .

Pemerintahan darurat yang dilaksanakan oleh Inggeris pada tahun 1948 bagi membendung pemberontakan Komunis telah membawa berbagai implikasi. Antaranya Inggeris terpaksa menggunakan peruntukan yang banyak untuk membiayai kos operasi ketenteraan[33]. Ia juga menyebabkan kehidupan rakyat bertambah susah, sistem pengangkutan yang terganggu akibat serangan hendap komunis (Duncanson, 1951, pp. 62-63) dan memperluaskan jurang antara kaum di Tanah Melayu. Ia juga meneruskan lagi konflik perkauman antara orang Cina dengan orang Melayu seperti yang terjadi pada zaman pemerintahan Jepun. Ini kerana darurat didominasi oleh kelompok kaum Cina yang sebahagian besarnya menganggotai PKM yang ditentang oleh pasukan bersenjata Tanah Melayu kebanyakan terdiri daripada orang Melayu. Justeru itu, konfrontasi yang sebenarnya terjadi antara pemerintah Inggeris dengan gerila komunis menurut Zainal Abidin (1983) bagaikan perang komunal antara kelompok Melayu melawan kelompok Cina (Abdullah Dahana 2002, 51, (Ching, 2000, p. 140). Menurut Abdullah Dahana (2002), statistik yang dikumpulkan oleh pemerintah China sejak Jun 1948, ketika Darurat dilaksanakan hingga akhir Ogos 1950, Inggeris telah menangkap 10,857 orang keturunan Cina di Malaya serta menghantar pulang sekitar 35,000 orang Cina ke negara China. Penangkapan dan pemulangan tersebut telah menyebabkan Kementerian Luar China menghantar nota bantahan dan menyifatkannya sebagai sebahagian dari “perlakuan keterlaluan terhadap warga Republik Rakyat China yang tinggal di Malaya” oleh Inggeris. Nota bantahan China itu juga mencatatkan tentang bermacam kekejaman terhadap “warga China” dalam bentuk memenjarakan mereka di berbagai kem tahanan, penjara rahsia dan penempatan secara paksa ke pendalaman (Abdullah Dahana, 2002, p. 88). Apa yang disebutkan oleh Abdullah Dahana itu telah disebutkan oleh Duncanson (1951). Menurutnya:

...and the biggest number of casualities, after those in the security Forces, has been, socially and economically, amongst the prominent Chinese population. They have suffered very badly indeed...(Duncanson 1951, 63).

Menurut Stockwell (2006), apabila Setiausaha Negeri Koloni datang ke Malaya pada penghujung tahun 1951, terdapat 200,000 telah ditahankan kurang dari 28 hari, 25,000 orang telah ditahan lebih dari 28 hari dan 6,000 yang ditahan tanpa dibicarakan (Stockwell 2006, 281). Pada awal darurat diperkenalkan dianggarkan seramai 1,129 orang awam telah dibunuh di mana 759 daripadanya adalah orang Cina, 183 Melayu, 72 India, 50 Eropah, 49 orang Asli, 10 Indonesia, 2 Siam dan 4 orang dari bangsa-bangsa lain[34]. Fakta ini membuktikan bahawa bukan sahaja kaum Cina sahaja mengalami penderitaan ketika Darurat dilaksanakan tetapi juga penderitaan turut dirasai oleh kaum Melayu dan kaum-kaum lain. Kenyataan ini juga diperkukuhkan oleh Abdul Majid Salleh (bekas aktivis PKMM terutama dalam Seksi Buruh) di dalam Memoirnya menyatakan:

“Apabila darurat diisytiharkan, tangkapan pun bermula terhadap mereka yang difikirkan berbahaya kepada keselamatan umum. Kebanyakan orang yang menangkap itu adalah orang Melayu dan kebanyakan yang kena tangkap itu pun orang Melayu juga. Orang Melayu yang berjuang menuntut kemerdekaan ditangkap oleh orang Melayu yang berjuang menyebelahi Inggeris menentang pejuang kemerdekaan. Jumlah tahanan Darurat itu semuanya lebih kurang seramai 87,000 orang termasuk orang Cina dan India. Orang Cina dan India ini mungkin lapan puluh peratus daripadanya dibuang negeri, ini kerana mereka bukannya rakyat asal Malaya” (Abdul Majid, 2004, p. 88).


Semasa Darurat diisytiharkan, tokoh-tokoh dan anggota PKM, PKMM, API, AWAS, BATAS, Hizbul Muslimin dan lain-lain lagi telah menjadi sasaran penangkapan beramai-ramai Inggeris. Mereka juga dituduh sebagai komunis atau bersimpati dengan pergerakan komunis. Menurut Cheah (2003) pula, dianggarkan 1,000 orang Melayu telah ditangkap termasuk kader-kader Melayu dalam PKM seperti Kamarulzaman Teh, Rashid Maidin dan  Abdullah C.D (Mohamed Salleh, 2006, p. 100) termasuk juga Ahmad Boestamam[35]. Fakta ini menyokong pendapat Zainal Abidin Wahid dan Nik Anuar Nik Mahmud yang menyatakan bahawa Darurat mengandungi matlamat tersurat dan tersirat. Matlamat tersurat adalah untuk membendung kegiatan komunis manakala matlamat tersirat ialah membendung dan menangkap golongan radikal Melayu. Keadaan ini telah melumpuhkan gerakan kebangkitan gerakan radikal Melayu dari mendapat sokongan terus dari orang Melayu[36].

Darurat juga mendorong kerajaan Inggeris menggunakan komunikasi massa secara meluas bagi menyebarkan konsep “bangsa Malayan” yang menaungi semua kaum. Namun usaha bagi menyatupadukan semua kaum pada waktu itu tidak berapa berhasil apabila melihat kepada penolakan kaum Cina dan India terhadap National Service yang diperkenalkan oleh Inggeris pada tahun 1951. Keengganan kaum Cina dan India menyertai Khidmat Negara terserlah apabila ramai di kalangan kaum Cina dan India telah meninggalkan negara apabila skim ini diperkenalkan. Kira-kira 6,000 orang Cina telah memohon visa dari kerajaan untuk kembali ke negara Cina[37]. Alasan mereka ialah kerana pelajaran mereka terganggu, untuk menziarahi keluarga dan lain-lain. Fakta ini dikuatkan lagi dengan jumlah kaum Cina yang menganggotai pasukan keselamatan untuk menentang komunis adalah amat sedikit (K.J.Ratnam, 1965, pp. 20-21). Sebahagian orang Cina termasuk akhbar Cina begitu lantang menentang National Service yang mewajibkan belia-belia berumur 18 tahun hingga 24 tahun menganggotai perkhidmatan tentera. Tan Cheng Lock sendiri telah menerangkan bahawa orang Cina dari segi tradisinya mencurahkan taat setia yang utama kepada keluarga mereka dari negara. Beliau memohon pengecualian diberikan kepada anak lelaki yang sulung dan tunggal daripada menganggotai National Service. Sikap kaum Cina terhadap National Service telah menimbulkan kritikan dari akhbar Melayu. Keadaan ini telah menyemarakkan lagi syak wasangka kaum Melayu terhadap kaum Cina walaupun di bantah oleh pemimpin Cina seperti Tan Cheng Lock. Beliau telah menjelaskan bahawa orang Cina di Tanah Melayu telah menganggap Tanah Melayu sebagai negara mereka sendiri serta mencurahkan taat setia mereka yang tidak berbelah bagi terhadap negara ini (Comber 1985, 50). Bagaimanapun terdapat juga akhbar Cina yang mengkritik tindakan pemuda Cina melarikan diri dari menyertai Khidmat Negara. Umpamanya akhbar Chung Shing bertarikh 1 Mei 1951 telah menyifatkan tindakan mereka yang melarikan diri daripada tanggungjawab mempertahankan negara adalah satu perbuatan yang memalukan. Tindakan mereka juga menunjukkan belia Cina diracuni propaganda komunis.[38]

Henry Gurney cuba untuk menggalakkan lebih ramai lagi kaum Cina menyertai pasukan keselamatan tetapi berakhir dengan kegagalan. Pada 27 Man 1952 Gurney telah berkata:

“... I am calling on the Chinese community, to show their loyalty to the country in which they live and to the cause of freedom. This call particularly to the young men...to express their loyalty by volunteering to join the federation Police Force. I ask parents to put aside prejudice and fear and to co-operate to this end. I am asking for 2,000 young Chinese volunteers to come forward...2,000 is a small number to ask from among three million Chinese living this county...(dipetik oleh Oong Hak Ching 2000, 180).

Jeneral Templer juga mengambil tindakan yang sama untuk menggalakkan kaum Cina terutama generasi mudanya menyertai pasukan keselamatan dengan menubuhkan satu unit baru dikenali sebagai “Federation Regiment” yang anggotanya terbuka untuk pelbagai kaum termasuk kaum Melayu. Templer juga membuat perancangan untuk menubuhkan sebuah Akademi Ketenteraan yang juga terbuka untuk semua kaum. Di bawah Templer, semua unit di bawah tentera Malayan menjadi unit yang multi-etnik, kecuali Rejimen Askar Melayu. Bagaimanapun hanya sebilangan kecil dari kaum Cina menganggotai pasukan keselamatan Malaya ketika itu (Oong Hak Ching 2000, 180-181).

Bagi memerangi ancaman komunis, Inggeris telah menggunakan pelbagai pendekatan seperti yang telah disebutkan. Inggeris memahami usaha mereka untuk memerangi ancaman komunis tidak akan berjaya jika Inggeris tidak berjaya memenangi hati orang Cina dan mendapat kerjasama dari mereka. Hakikat ini memang tidak dapat dinafikan kerana 90 peratus anggotai PKM adalah terdiri dari kaum Cina. Kaum Cina juga perlu disedarkan bahawa PKM bukanlah satu tempat pergantungan yang baik dan boleh dipertanggungjawabkan untuk mereka. Tambahan pula, PKM telah melakukan keganasan terhadap semua kaum dalam rangka mencapai matlamat perjuangan mereka. Justeru itu, kerajaan Inggeris telah menggalakkan pemimpin Cina menubuhkan sebuah pertubuhan bagi mengalih pandangan orang Cina daripada PKM dan kegiatan komunis (Ling, 2002/2003, p. 54). Tambahan lagi apabila PKM diharamkan pada tahun 1949 telah melahirkan political vacuum di kalangan kaum Cina. Oleh itu, British telah menggalakkan supaya MCA ditubuhkan sebagai satu kekuatan baru yang berorientasikan tempatan di kalangan masyarakat Cina di Malaya (Oong Hak Ching 2000, 143). Perkara ini disebutkan oleh Henry Gurney yang menjadi Persuruhjaya Tinggi British (dari tahun 1948 hingga 1951) yang menginginkan MCA menjadi sebuah pertubuhan yang lebih kuat dari PKM dan menjadi alternatif utama kaum Cina (K.J.Ratnam, 1965, p. 153). Hal yang sama disebutkan dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, 15 Januari 1949. Menurut akhbar ini;

Pesuruhjaya Tinggi British menyambut baik berita penubuhan sebuah persatuan di Tanah Melayu. Persatuan ini bertujuan untuk memupuk kerjasama antara kerajaan dengan seluruh lapisan masyarakat, mengembalikan keamanan dan peraturan di Tanah Melayu. Pesuruhjaya berharap penubuhan persatuan itu dapat menjadi kenyataan dan menjadi satu tenaga penggerak yang berkesan dalam melawan komunis” (dipetik dlm. Ling 2002/2003, 55).

Idea penubuhan MCA telah disuarakan oleh Tan Cheng Lock dan melalui beberapa tahap sebelum penubuhannya menjadi kenyataan. Evolusi sejarah penubuhan MCA bermula apabila Tan Cheng Lock telah memaklumkan Setiausaha Negeri Koloni pada September 1943 tentang hasratnya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan Cina Malayan. Namun hasratnya itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai sumber organisasi dan dukungan untuk mencapai hasratnya itu. Pada 5 Disember 1948, sekali lagi Tan Cheng Lock menimbulkan hasratnya itu dalam ucapannya kepada Pertubuhan Saudagar Cina Melaka. Ideanya itu telah disokong oleh Federal Council (Majlis Undangan Persekutuan) dan Department of Chinese Affairs (DCA). Dalam laporan tahunan DCA yang dikeluarkan pada tahun 1948 telah menyatakan “ support for the proposed Malayan Chineses Affairs was undoubtedly the most important features...(of Britain’s new)..policy” (dipetik dlm. Oong Hak Ching 2000, 144).

Pada 29 Disember 1948, perbincangan antara Cina dan kaum Melayu telah diadakan di Johor Bahru yang dihadiri oleh Tan Cheng Lock, Dato’ Onn dan beberapa orang lagi pemimpin Melayu dan Cina. Thio Chan Bee yang turut hadir dalam perbincangan itu telah menyebutkan bahawa Tan Cheng Lock ingin mendapat sokongan dari pemimpin Melayu tentang penubuhan MCA. Tan Cheng Lock telah memaklumkan bahawa penubuhan MCA adalah “untuk bekerja sama dengan orang Melayu bagi membina negara bangsa baru” (MacDonals Kertas No.221/154&22/55 dipetik dlm. Oong Hak Ching 2000, 145). Akhirnya di bawah tajaan 16 peniaga Cina yang mewakili kaum Cina dalam Majlis Undangan Persekutuan (Federal Council)  dan Majlis Eksekutif, MCA telah ditubuhkan pada 27 Februari 1949. Dalam Mesyuarat Tahunan MCA itu, Tan Cheng Lock telah dipilih sebagai Presiden, Yong Shook Lin sebagai Setiausaha Kehormat dan Khoo Teik Ee sebagai Bendahari Kehormat (Oong Hak Ching 2000, 147, Ling 2002/2003, 57). Menurut Vasil (1980), para pemimpin Cina yang terlibat dalam penubuhan MCA seperti Tan Cheng Lock, Leong Yew Koh, Yong Shook Lin, H.S. Lee, Khoo Teik Ei dan lain-lain adalah  dari golongan ahli perniagaan yang kaya-raya atau yang mempunyai hubungan dengan perniagaan. Kebanyakan dari mereka adalah berpendidikan Inggeris dan mempunyai hubungan yang rapat dengan pentadbiran British (R.K.Vasil, 1980, p. 78). Kebanyakan daripada mereka juga dilahirkan di Malaya (Heng Pek Koon 1988, 59).

Pada 27 Februari 1949, dalam Mesyuarat Tahunan MCA, Tan Cheng Lock semasa mengumumkan penubuhan MCA telah menyebutkan matlamat penubuhan MCA mempunyai dua matlamat penting iaitu untuk mewujudkan perpaduan dan menyatukan kaum Cina dari berbagai lapisan dan memperjuangkan keharmonian antara kaum. Selanjutnya Tan Cheng Lock menegaskan, “...it is a matter of supreme significance and an indispensable necessity that a basic purpose of this organization must be the attainment of inter-communal understanding and friendship, particularly between the Malays and the Chinese...” (The Starits Times, 28 Februari 1947 dipetik dlm. R.K. Vasil 1980, 79). Apa yang disebutkan oleh Tan Cheng Lock tersebut telah dimasukkan ke dalam objektif penubuhan MCA yang telah diterbitkan pada 18 Mac 1949 iaitu untuk memperjuang dan menjaga kesejahteraan dan keharmonian antara kaum, untuk menggalak dan menjaga sosial, politik, budaya dan kebajikan ekonomi kaum Cina Malaya yang sah dari segi undang-undang atau Perlembagaan. Menggalak dan membantu dalam menjaga kedamaian, supaya keamanan dapat dicapai dan kemajuan dapat berjalan dengan baik di Malaya (Chin 2002/2003, 57).

Pada mula MCA ditubuhkan, ia bukan sebuah organisasi politik tetapi merupakan sebuah organisasi kebajikan untuk menjaga kepentingan setinggan Cina yang dipindahkan ke kampung-kampung baru dan sumber kewangannya diperoleh dari derma dan hasil jualan loteri. MCA kemudiannya telah menjadi wahana penting bagi Inggeris bagi membantu mereka mengatasi ancaman dan melemahkan pengaruh komunis terutama ke atas orang Cina. Bagi melemahkan pengaruh dan ancaman komunis, Inggeris telah mewujudkan kira-kira 440 (sehingga penghujung tahun 1952) kampung baru yang diasaskan oleh Lt. Jeneral Harold Briggs (pengurus operasi ) pada pertengahan tahun 1950. MCA pula telah menggunakan hasil keuntungan dari jualan loteri yang diwujudkannya dalam menjaga kebajikan dan memberi perkhidmatan sosial (R.K. Vasil 1980, 80) kepada 500,000 orang Cina di kampung baru. Misalnya, pada tahun 1951, MCA telah menyumbang kira-kira $1,266, 205.75 kepada penduduk yang terlibat dalam skim penempatan semula tersebut (Chin 2002/2003, 60, Oong Hak Ching 2000, 149). Pada penghujung tahun 1951, Tun Tan Cheng Lock telah menetapkan supaya MCA menjadi sebuah organisasi politik (Milne & Mauzy, 1982:161-162).

Bagaimanapun, penubuhan kampung-kampung baru atau penempatan semula kaum Cina sebenarnya dianggap sebagai faktor penyumbang kepada kerenggangan hubungan kaum dan menebalkan lagi perasaan kecurigaan. Ini disebabkan dengan menempatkan kaum Cina di tempat yang terasing dengan kaum Melayu telah menyebabkan pergaulan antara kaum menjadi terbatas. Perasaan saling mengerti tidak mungkin timbul disebabkan pergaulan yang terbatas. Penempatan semula juga mengakibatkan kemarahan di kalangan orang Melayu kerana kemudahan dan perkhidmatan sosial disediakan kepada orang Cina di kampung baru tetapi tidak diberikan kepada kampung Melayu. Ini kerana pihak British ingin memisahkan penduduk Cina daripada PKM, dengan harapan dapat memenangi sokongan dan kerjasama penduduk Cina atau sekurang-kurangnya mereka berhenti daripada membantu komunis. Oleh itu, mereka diberikan pelbagai kemudahan. Orang Melayu di kampung merasakan mereka tidak diberikan layanan yang saksama dan ini membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Orang Melayu, sebagai penduduk setia, sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan negara, tetapi kampung mereka tidak diberikan sebarang kemudahan asas seperti yang terdapat di kampung baru. Kerenggangan hubungan kaum terus meningkat apabila orang Melayu menyedari bahawa pemberian hak milik tanah kepada setinggan Cina boleh dilakukan walaupun mereka belum menjadi warganegara Tanah Melayu. Keadaan ini timbul kerana sultan terpaksa menyerahkan tanah untuk rancangan perkampungan baru kerana Peraturan 17F, Undang-undang Darurat 1948. Menurut Akta Tanah, 1948, kerajaan berhak meminta atau meminjam tanah di sesuatu kawasan yang dirasakan sesuai dan perlu untuk tujuan Darurat seperti rancangan menempatkan semula setinggan tanpa sebarang bayaran pampasan. Peraturan ini mula dikuatkuasakan pada 7 Julai 1948 (Ho Hui Ling, 132-134).

Sementara itu, kaum Cina telah menyambut baik penubuhan MCA. Dalam jangkamasa 10 bulan selepas penubuhannya, MCA telah berjaya mengumpul 100,000 orang ahli. Pada April 1951, keahlian MCA telah meningkat kepada 159,229 orang dan pada akhir tahun 1952, keahliannya telah mencecah kepada 200,000 orang sehingga mencapai 250,000 pada Februari 1953 (Chin 2002/2003, 57). Walaupun kaum Cina memberikan reaksi yang positif kepada penubuhan MCA, tetapi Parti Komunis Malaya tidak menyenangi penubuhan MCA. Ini kerana penubuhan MCA telah menyatupadukan kaum Cina dan menyekat matlamat perjuangan PKM. Oleh yang demikian, PKM telah mengatur rancangan untuk menunjukkan tentangan dan mengagalkan perjuangan MCA. Antaranya, komunis menggunakan sabotaj bom tangan (seperti yang terjadi pada Tan Cheng Lock dalam satu pertemuan MCA pada bulan April 1949), menembak pemimpin MCA dan menggelarkan MCA sebagai ‘a British bandit-supported organ of puppets and running dogs” (Chin 2002/2003, 63-64).

Semasa menerajui MCA, Tan Cheng Lock selalu menekankan betapa perlunya MCA memainkan peranan untuk mendidik kaum Cina di Tanah Melayu untuk melihat Tanah Melayu sebagai satu-satunya negara yang perlu ditumpahkan kesetiaan mereka kepadanya. Pada tahun 18 Januari 1951 ketika berucap di Seremban, Tan Cheng Lock telah menyebutkan bahawa MCA mestilah secara politik mendidik orang-orang Cina menjadi warga Tanah Melayu yang tulen dan  bekerja sama dengan kaum-kaum lain. Justeru itu, menurutnya, “one Malayan Nationality animated by Malayan consciousness and Malayan patriotism would be realized in the near future”. Perkara yang sama ditegaskan kembali ketika beliau berucap di mesyuarat MCA pada 21 April 1951 dengan menyebutkan bahawa penubuhan MCA adalah:

“...foster and engender a truly Malayan outlook, consciousness and patriotism among the domiciled Chinese in order to forge and fortify their ties with this country and unity as an intergral part and parcel of the Malayan people, and to help develope their sense of civil responsibility, duty and obligation to their country of adoption” (dipetik dlm. Heng Pek Koon 1988, 86).

Pada 27 Disember 1953, ketika berucap dalam Mesyuarat Tahunan Komiti MCA di Singapura, Tan Cheng Lock sekali lagi menegaskan bahawa kaum Cina di Malaya mestilah menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka yang kekal dan objek kesetiaan mereka. Menurutnya lagi, “we must become wholeheartedly Malayans first and combine and unite with the Malays and others to constitute a truly United Malayan Nation with which we must completely identify ourselves...”[39]. 

Dalam usaha mengurangkan kecurigaan orang Melayu terhadap penglibatan orang Cina dalam menghapuskan komunis di Tanah Melayu, MCA berusaha memujuk orang Cina supaya menyertai pasukan keselamatan. Dengan itu, jurang hubungan antara kaum dapat dirapatkan. MCA juga turut memberi insentif kepada pemuda Cina yang menyertai pasukan polis dengan memberi mereka elaun khas, pemberian hak kerakyatan kepada belia Cina setelah tiga tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan bonus $200 kepada setiap ahli baru yang mendaftar menjadi anggota polis (Ho Hui Ling, 149). Di samping itu, MCA juga menggalakkan penyertaan orang Cina dalam pasukan Home Guard bagi menjaga kampung mereka daripada ancaman komunis. Untuk tujuan itu, MCA menggerakkan jentera publisiti dan propaganda ke seluruh Persekutuan untuk menyeru orang Cina mendaftarkan diri meyertai Home Guard. Hasil dari usaha berterusan MCA ini berlaku pertambahan bilangan orang Cina menganggotai Home Guard, iaitu dari 3,500 pada tahun 1950 meningkat kepada 79,587 orang pada pertengahan tahun 1953 daripada jumlah 244,645 keseluruhan  Home Guard yang ada (Ho Hui Ling, 150).




[1] Chandrasekaran Pillay, Protection of the Malay Community: A Study of UMNO’s Position and Opposition Attitudes. Tesis M.A. Universiti Sains Malaysia, 1974, hal.28.
[2] Orang Cina pada 1930an, khususnya The Straits Chinese atau keturunan Baba telah mula menuntut hak keistimewaan yang sama diberikan kepada orang Melayu kerana mereka beranggapan bahawa mereka adalah sebahagian dari rakyat tempatan yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara ini (Ratnam 1965, 14). Menerusi Tan Cheng Lock, kumpulan ini telah menyuarakan bantahan terhadap dasar pro Melayu yang diamalkan oleh kerajaan British pada 1920an dan 1930an seperti yang telah dimanifestasikan menerusi dasar pengagihan kuasa kepada negeri Melayu (Mohd Ashraf Ibrahim 2004, 54).

[3] Terdapat tiga aliran atau gerakan yang muncul di kalangan orang Melayu ialah pertama, gerakan pembaharuan yang berpunca dari kebangkitan Islam di Timur Tengah pada akhir kurun ke 19 Masihi. Ramai yang pulang dari Kaherah membawa idea pembaharuan yang melihat pembaikan (islah) Islam sebagai melengkapkan orang Melayu untuk berhadapan dengan perubahan-perubahan radikal yang dibawa oleh orang Eropah, Cina dan India. Kedua, kelompok pentadbir yang berpendidikan Inggeris dan pegawai-pegawai am dari kalangan bangsawan Melayu. Mereka ini berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan Inggeris sebagai pegawai rendah dan menanamkan perasaan bersaing dengan kaum Cina dan India. Mereka merasakan bahawa mereka berhak memperolehi hak kerana mereka adalah golongan bumiputera. Ketiga, golongan yang muncul pada awal kurun ke 20, golongan cendikiawan sekular berpendidikan Melayu, kebanyakannya adalah guru-guru dan wartawan. Mereka menyarankan pembentukan “Malaysia Raya” atau “Indonesia Raya”. Mereka kebanyakan berasal dari kaum tani, dengan sebab itu mereka bersifat kritikal terhadap kerajaan Inggeris atau pemerintahan tradisional Melayu (Andaya dan Andaya, 1983:289-290).
[4] Lihat Nabir Haji Abdullah, Maahad II Ihya AsSyarif Gunong Semanggol 1934-1959, Bangi: Penerbit UKM, 1976, hal.74-75.
[5] A.J. Stockwell, British Policy and Malay Politics During The Malayan Union Experiment 1942-1948, hal. Xv.
[6] Pandangan yang melihat dasar Jepun yang menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum Melayu dan Cina telah ditolak oleh Willan seperti yang dipetik oleh K.O.L. Burridge. Katanya; “assertion that Japanese policy was to stir up racial trouble in Malaya. I found no evidence to support this assertion and none of the locals I spoke to raised this”, tetapi konflik kaum antara Melayu dan Cina yang berlaku di Johor disebabkan oleh persekitaran bukan disebabkan oleh konspirasi (dipetik dlm. A.J. Stockwell, British Policy and Malaya Politics During The Malayan Union Experiment 1942-1948, Kuala Lumpur: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Monograph No.8, 1979, hal. 9.
[7] Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 Keadaan social di Tanah Melayu, hal.128.
[8] Menurut Andaya dan Andaya, pemerintah Jepun telah membunuh 5,000 dan 25,000 orang Cina terutama kaum lelaki dalam minggu pertama setelah menduduki Tanah Melayu (Andaya dan Andaya, 1983:292).
[9] Salah satu contoh  konflik perkauman yang berlaku menjelang tamatnya pendudukan Jepun yang melibatkan kaum Melayu dengan kaum Cina berlaku di Batu Pahat Johor. Konflik ini bermula apabila segerombolan PKM dari sayap Bintang Tiga (MPAJA) telah menyerang dan membunuh orang Melayu di daerah tersebut kerana membalas dendam. Mereka menuduh orang Melayu bersubahat dengan Jepun dan khianat hingga membunuh orang Cina. Mereka turut  membunuh pegawai Daerah Batu Pahat yang bernama Ismail bin Dato Abdullah. Berita tentang perbuatan komunis menangkap orang Melayu, mencampakkan mereka ke dalam kawah yang penuh dengan air yang menggelegak, mencurahkan air ke badan mangsa, menyelamkan mereka ke dalam air hingga mati dan menikam dan menembak mereka sesuka hati telah membangkitkan kemarahaan orang Melayu di seluruh Batu Pahat dan seluruh Tanah Melayu. Peristiwa ini telah mendorong Kiai Salleh memimpin orang Melayu Batu Pahat melancarkan gerakan membalas dendam dan melancarkan perang jihad menentang komunis yang anti tuhan dan ingin memerintah Tanah Melayu menggunakan kekerasan. Di kalangan kaum bukan Melayu, golongan komunis telah menyebarkan berita angin kononnya sekumpulan orang Melayu telah membunuh orang Cina dan India di Batu Pahat di satu kawasan terletak berhampiran sebuah stor makanan yang dikawal rapi tentera Jepun. Dalam keadaan berlakunya ketegangan antara kaum tersebut, Jepun telah mengarahkan Dato’ Onn berpindah ke Batu Pahat menjadi pegawai Daerah dan mengambil tindakan untuk menghentikan konflik perkauman yang semakin tegang. Beliau kemudiannya telah mengatur pertemuan dengan ketua komunis bagi mencari jalan perdamaian dan menghentikan pertempuran yang meletus (lihat Anwar Abdullah 2005, 115-125). Menurut Chin Peng, konflik antara Melayu dengan Cina di Batu Pahat telah mengorbankan kira-kira 1,000 orang, di mana MPAJA telah dituduh sebagai sebab utama berlakunya trajedi tersebut (Lihat , Chin Peng, My Side of History, hal. 127).
[10] Di Batu Kikir, Negeri Sembilan konflik antara orang Melayu dengan Cina yang membawa kepada pertumpahan darah berlaku pada bulan Jun 1945. Abdullah C.D. dalam Memoirnya telah membuat catatan mengenai peristiwa yang berlaku tersebut. Menurutnya, beliau sendiri telah pergi ke Batu Kikir untuk menyiasat kenapa berlakunya konflik antara kaum tersebut. Abdullah C.D. telah membuat rumusan bahawa pertumpahan darah yang melibatkan kaum Melayu dan Cina berlaku kesan dari perasaan yang diapi-apikan oleh British yang ingin kembali semula ke Tanah Melayu dan melemahkan pengaruh PKM. Di Batu Kikir, semasa penjajahan Jepun, gerakan anti-Jepun begitu kuat yang menyatukan berbagai bangsa di bawah berbagai gerakan untuk menentang pendudukan Jepun. Pada penghujung bulan Jun 1945, guerila British Troop 136 telah menjatuhkan bekalan senjata kepada MPAJA. Seorang pegawai informasi tentera British bernama Lt.Kol. C.H. Fenner telah dihantar bertugas dengan MPAJA untuk menentang Jepun. Bagaimanapun, British mempunyai agenda tersembunyi. Walaupun beliau cuba untuk mengawal guerila MPAJA, beliau juga kerap melawat Jempol, Tanjung Ipoh dan tempat-tempat lain untuk berjumpa dengan sesiapa saja yang boleh dipengaruhi dan menyebarkan propaganda menentang Komunis dan menimbulkan perbalahan antara orang Melayu dan Cina. Apabila tentera Jepun menyerah kalah, guerila MPAJA dengan cepatnya mengambil alih mengawal bandar-bandar  termasuk bandar kecil. British dengan segera telah menghantar pengintip dan tentera mereka, termasuk tentera India Muslim dari India ke Negeri Sembilan. Mereka telah memasuki kampong-kampong Melayu dan mengapi-apikan orang kampong untuk menentang komunis. Untuk menjadikan suasana bertambah buruk, British dengan sulit telah mengarahkan salah seorang dari agennya yang berbangsa Cina membunuh seekor babi dan bangkainya diletakkan di sebuah Masjid berhampiran Batu Kikir. Perkara ini telah menimbulkan kemarahaan dari orang Melayu kerana tindakan tersebut dianggap mencemari kesucian Islam. Akibatnya, sekumpulan orang Melayu yang menggunakan parang dari Juaseh telah menyerang perkampongan Cina di Batu Kikir. Mereka telah membunuh orang Cina yang mereka jumpai sama ada lelaki, perempuan, tua atau muda kerana menganggap mereka telah mencemari kesucian Islam dan menghina orang Melayu (lihat Abdullah C.D. 2005, 116-118). Di kampung Padang Lebar (berhampiran Batu Kikir) juga berlaku pertelingkahan antara orang Melayu dengan Cina. Pada 6 November 1945, sekumpulan orang Melayu telah menyerbu kawasan penempatan orang Cina di Padang Lebar dan membunuh 35 wanita, kanak-kanak dan lima lelaki (Lihat Victor Purcell, The Chinese in Malaya, Kuala Lumpur: Oxford University Press, hal.268-269.
[11] Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 Keadaan Sosial di Tanah Melayu, hal.129; Lihat juga, A.J. Stockwell, British Policy and Malay Politics During the Malayan Union Experiment 1942-1948, hal. 15-16.
[12] Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, hal.61.
[13] Ahmad Boestamam, Memoir Ahmad Boedstamam, hal. 135.
[14] Victor Purcell, The Chinese in Malaya, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1967, hal.277.  Lihat juga Mohemad Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu, hal.62-63.
[15] Mokhtaruddin Laso adalah bekas anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) yang lari ke Tanah Melayu.
[16] Abdullah C.D., The Memoir of Abdullah C.D., Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre, hal.52-53.
[17] Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan,  hal.66-67.
[18] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1998, hal. 188.
[19] Ahmad Boestamam,  Memoir Ahmad Boestamam, hal. 138.
[20] Victor Purcell, The Chinese in Malaya, hal. 282.
[21] Ibid., hal. 284.
[22] Umpamanya kunjungan Sir Harold MacMicheal ke negeri-negeri Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan-sultan Melayu agar menerima gagasan Malayan Union telah disambut dengan tentang kuat orang-orang Melayu. Di Kelantan kedatangan MacMicheal telah menyebabkan kira-kira 10,000 orang Melayu berarak di hadapan istana Sultan bagi menunjukkan penentangan mereka terhadap Malayan Union  (Siu 1967, 80). Menurut Anwar Abdullah, pelaksanaan Malayan Union telah menyebabkan hampir-hampir mencetuskan pemberontakan bersenjata kalau tidak disebabkan kesabaran dan kebijaksanaan Dato’ Onn. Dato’ Onn pernah didatangi oleh beberapa orang perjuang Melayu yang telah melahirkan kepadanya hasrat mereka hendak membunuh MacMicheal, tetapi Dato’ Onn menyejukan hati mereka dan menerangkan kepada mereka bahawa perjuangan orang Melayu pada masa itu adalah perjuangan secara perlembagaan dan tindakan ganas akan hanya merugikan orang Melayu sendiri (Anwar Abdullah, 2004, p. 141). Malayan Union juga telah ditentang PKMM dengan mengadakan rapat umum dan mogok yang dilancarkan seluruh Malaya. Bantahan terhadap Malayan Union telah membawa tertubuhnya satu badan yang diberi nama PUTERA-AMCJA. PUTERA adalah gabungan pertubuhan politik dan bukan politik yang menentang Malayan Union. Manakala AMCJA terdiri daripada badan bukan Melayu yang dipengerusikan oleh Tan Cheng Lock. Hasil dari perjumpaan yang diadakan di Kuala Lumpur, PUTERA-AMCJA telah membuat deraf Perlembagaan yang dikenali sebagai People’s Constitution atau Perlembagaan Rakyat (Abdul Majid, 2004, p. 72).
[23] UMNO telah ditubuhkan dengan rasminya di Istana Besar Johor, Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Terdapat 29 pertubuhan Melayu yang telah menandatangani piagam UMNO di Istana Besar, Johor Bahru. Manakala 7 pertubuhan lagi menandatangani piagam UMNO di Persidangan Agung UMNO ke dua yang diadakan di Ipoh, Perak pada 29 dan 30 Jun 1946 (Laporan 10 Tahun UMNO 1946-1956, 33).
[24] Menurut Victor Purcell, akhbar-akhbar Cina hanya menunjukkan minat yang kecil terhadap isu Malayan Union. Kritikan awal akhbar Cina terhadap Malayan Union dibuat oleh akhbar komunis, iaitu The New Democracy (Sin Min Chu) pada 12 Oktober 1945. Akhbar ini telah mengkritik pemisahan Singapura dari Malaya lanjutan dari dasar “pecah” dan “perintah” Inggeris. Akhbar ini juga pada 3 Mei 1946 menyebutkan tidak ada gunanya dibuat perdebatan mengenai hak  kewarganegaraan dan pilihanraya sekiranya masalah yang asas tidak diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang penting ialah gangguan terhadap hak-hak sivil bukannya kesaksamaan kerakyatan (Lihat Victor Purcell, The Chinese in Malaya, hal. 286-287).
[25] Ibid. hal. 286.
[26] Menurut Perjanjian Persekutuan Tanh Melayu 1948, Persuruhjaya Tinggi diberi “satu tugas istimewa” untuk melindungi hak negeri-negeri Melayu atau sebarang petempatan dan hak-hak, kuasa dan kedaulatan Sultan serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain (lihat The Federation of Malay Agreement, 1948, Government Press, Kuala Lumpur, hal.10.
[27] Khong Kim Hoong, British Rule and the Struggle for Independence in Malaya, 1945-1957, Petaling Jaya: Institute for Social Analysis, 1984, hal. 116.
[28] Albert Lau, The Malayan Union Controversy 1942-1948, Singapore: Oxford University Press, 1991, hal. 241.
[29] Dipetik dlm. Khong Kim Hoong, British Rule and The Struggle for Independence in Malaya, 1945-1957, hal.116.
[30] Beberapa orang penulis tentang gerakan komunis di Negara ini sependapat bahawa PKM telah mengambil keputusan untuk melancarkan perjuangan bersenjata terhadap Inggeris sebelum penjajah Inggeris mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada pertengahan Jun 1948. Misalnya menurut Barber (1971, 28) antara pertengahan Mei hingga awal Jun 1948, Politburo PKM yang mengadakan mesyuarat sulit di hutan Pahang telah memutuskan untuk melancarkan perjuangan bersenjata terhadap Inggeris (Mohamed Salleh, 2006, p. 97). Dalam usaha PKM mencapai matlamat perjuangannya, mereka telah melakukan kegiatan sabotaj dan tindakan ganas. Di antara bulan Oktober 1945 hingga bulan Disember 1947, sebanyak 191 kejadian culik dan pembunuhan dilakukan oleh PKM. Dalam masa enam bulan pertama 1948, sejumlah 107 penculikan dan pembunuhan telah dilakukan oleh PKM (Lihat, R.Thompson, Defeating Communist Insurgency, New York: F.A. Preager, 1966, hal. 26-27.
[31] Ucapan Tan Cheng Lock mengenai Keadaan darurat di Malaya pada 13 November 1950, dlm. Arkib Negara Malaysia.
[32] Menurut Chin Peng di dalam Memoirnya, pembunuhan tiga peladang kulit putih di Sungai Siput dilakukan bukan dari arahan beliau tetapi dilakukan oleh sepasang suami isteri yang membalas dendam terhadap Inggeris. Peristiwa di Sungai Siput itu merupakan kesalahan serius PKM yang mengagalkan usaha PKM untuk mengundurkan kader-kader PKM secara sulit ke dalam hutan dan menyusun jaringan gerakan bawah tanahnya dengan baik. Peristiwa ini telah digunakan oleh Inggeris untuk menguatkuasakan perintah darurat pada 18 Jun 1948 dan pada 20 Jun 1948 dilakukan tangkapan beramai-ramai terhadap orang yang disyaki komunis dan PKM diharamkan (Chin Peng, My Side of History, Singapore: Media Masters, 2003 ).
[33] Menurut Stockwell (2006), dari bulan Jun 1948 sehingga Ogos 1957, Inggeris telah membelanjakan sebanyak 700 juta Pound Sterling semasa Darurat di mana 520 juta Pound Sterling  datangnya dari wang  pembayar cukai British (Stockwell, 2006, p. 281).
[34] Ucapan Tan Cheng Lock mengenai keadaan darurat di Malaya pada 13 November 1950, dlm Arkib Negara Malaysia.
[35] Ahmad Boestamam telah menceritakan suka duka pengalamannya berada di bawah tahanan Inggeris dalam Memoirnya.
[36] Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, Shah Alam: Karisma Publication Sdn. Bhd., 2007, hal. 149.
[37] Perkara ini dapat dibuktikan melalui pembatalan 6,000 kad pengenalan belia dalam umur Khidmat Negara di Tanah Melayu berikutan pengeluaran kad pengenalan Singapura. Antaranya, pada 28 Mac 1951, 500 Cina belayar dengan kapal Mei Ann dan pada 4 April 1951, 400 Cina menggunakan kapal See Chuang pulang ke China (Kwong Wah Yit Poh & Penang Sin Poe, 25 Mac 1951 dipetik dlm. Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 Keadaan Sosial di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004, hal.134)
[38] Dipetik dlm. Ho Hui Ling, Darurat 1948-1960 Keadaan Sosial di Tanah Melayu, hal.135.
[39] Ucpan Tan Cheng Lock di Annual General Committee  Meeting of The Malayan Chinese Association di Singapura pada 27 Disember 1953, dlm. Arkib Negara Malaysia.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...