Friday, May 14, 2010

Keghairahan Akademia

Sebagai seorang akademia ia mempunyai keghairahannya sendiri. Sama seperti keghairahan seorang golfer, di mana-mana mereka berjumpa, mereka akan bercerita tentang golf sehingga saya terlopong mendengarnya, namun saya tidak mempunyai passion seperti yang dirasi oleh mereka. Keghairahan saya semenjak dari zaman belajar di universiti adalah meneroka ilmu baru. Penerokaan ilmu baru, walaupun bermula dengan kesukaran kerana kita belum mengetahui dengan mendalam ilmu tersebut, tetapi lama-kelamaan timbul keghairahan untuk mengetahui dengan lebih lanjut ilmu tersebut, sehingga persoalan-persoalan yang timbul kesan dari penerokaan itu sentiasa bermain dalam minda untuk mencari fakta demi fakta, penyelesaian, bukti dan kefahaman yang menyeluruh serta mendalam.
Semasa pengajian saya di peringkat Sarjana Muda, keghairahan saya adalah untuk meneroka pemikiran falsafah Barat yang ditunjangi oleh dua aliran pemikiran utama, sama ada liberalisme-kapitalisme atau sosialisme-komunisme. Lalu saya menumpukan penerokaan ilmu untuk memahami pemikiran ahli-ahli falsafah Barat seperti Charles Robert Darwin, Thomes Hobbes, John Locke, Mecheavelli dan membaca buku yang ditulis oleh Karl Marx bagi memahami falsafah materialisme yang menunjangi pemikiran mengenai historical materialism dan dialektical materialism yang bermula dengan pembentukan ideologi sosialisme dan berakhir dengan komunisme, membawa penafian tentang kewujudan Tuhan iaitu fahaman atheisme dan slogan agama adalah candu masyarakat. Dalam memahami pemikiran ahli-ahli falsafah sekular/materialis dan mulhid Barat tersebut membawa saya meminati penulisan Muhammad al-Bahi, Muhammad Asad dan ilmuan yang saya kagumi keilmuannya tentang falasafah Barat,Timur dan Islam iaitu Seyyed Hossein Nasr. Saya membaca buku-buku yang ditulis oleh S.H. Nasr walaupun tulisannya sangat sukar untuk difahami seperti "Islam and The Plight of Modern Man (1975)", "Man and Nature: The Spiritual Crisis of Modern Man (1968), dan lain-lain. Penerokaan saya dalam memahami falsafah materialisme Barat membawa kepada kesimpulan bahawa ideologi yang bertunjangkan materialisme lambat laun akan runtuh. Kenyataan ini telah dibuktikan melalui keruntuhan Kesatuan Soviet Union (KSSR) apabila rakyatnya menolak Komunisme melalui dasar pembahruan ekonomi dan politik yang dikenali sebagai glasnost dan prestorica. Saya kongsikan penerokaan ilmu mengenai Materialisme dengan menerbitkan tulisan yang pertama sekali diterbitkan oleh Dewan Budaya (1993) bertajuk "Materialisme: Sejarah dan Perkembangannya di Barat".
Keghairahan kedua dalam penerokaan ilmu ialah apabila saya mengkaji pemikiran Islam Prof. Ismail Raqi al-Faruqi dan gagasan beliau mengenai Islamisasi ilmu. Saya meminati Prof. Ismail al-Faruqi semenjak di bangku sekolah lagi. Ketika itu, al-Faruqi merupakan seorang pemikir dan ilmuan yang terkenal di dunia Islam dan Barat. Keilmuannya sangat mendalam dalam bidang falsafah Barat dan Islam serta agama-agama lain khususnya Kristian dan Yahudi. Tulisan-tulisan beliau sangat banyak dalam bidang-bidang tersebut, bertaburan terdapat dalam Jurnal-jurnal terkenal antarabangsa. Saya menekuni pemikiran dan perkembangan intelaktual beliau dengan bersungguh-sungguh, membawa saya membaca dan memahami beberapa buah buku dan tulisannya yang utama seperti di bawah:
1. On Arabism : Urubah and Religions: An Analysis of the Fundamental Ideas of Arabism as Its Highest Moment of Conciousness (Amsterdam: Djambatan, 1962).
2. Christian Ethics: A Historical and Systematic Analysis of Its Dominant Ideas (Montreal: McGill Universiti Press, 1967)
3. Al-Tawhid: Its Implications For Thought and Life (Virginia: International Institute of Islamic Thought, 1982 edisi pertama, 1992 edisi kedua).
4. Islam and Culture (Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), 1980).
5. Islam (Illionis: Argus Communication, 1984).
6. "Islam" dalam The Great Asian Religions: An Anthology, suntingan bersama al-Faruqi dengan Wing-tsit Chan, Joseph M.Kitagawa dan P.T. Raju (New York: Macmillan Publishing Co., Inc, 1969).
7. Historical Atlas of the Religions of the World, karya bersama dengan David E.Sopher (New York: Macmillan Publishing Co., Inc, 1974).
8. Islamic Thought and Culture, karya suntingan (Virginia: International Institute of Islamic Thought, 1982).
9. Trialogue of The Abrahamic Faiths, karya suntingan (Virginia: Al-Sa'dawi Publications, 1991).
10. Social and Natural Sciences, suntingan bersama dengan Abdullah Omar Naseef (Jeddah: King Abdul Aziz Universiti, 1981).
11. Islamization of Knowledge: General Principles and Workplan (Virginia: International Institute of Islamic Thought, 1982).
12. Al-Milal al-Mu'asira Fi al-Din al-Yahudi (Cairo:Ma'had al-buhuth Wal-dirasat al-Arabiyya, 1968).
13. The Culture Atlas of Islam, karya terakhir al-Faruqi bersama Lamya' (Virginia: International Institute of Islamic Thought, 1992).
14. The Hijrah: The Necessity of Its Iqamat or Vergegenwartigung (Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), 1981).
15. Usul al-Sahyuniyyah fi al-Din al-Yahudi, (Cairo: Ma'had al- Dirasat al- Arabiyah al- Aliyah, 1963).
16. Essays in Islamic and Comparative Studies, karya suntingan, (Virginia: International Institute of Islamic Thought, 1982).
17. Toward Islamic English, (Virginia: International Institute of Islamic Thought, 1986).
Sama seperti karya Seyyed Hossein Nasr, karya al-Faruqi sarat dengan pemikiran falsafah dan pemikiran aras tinggi yang perlu pembacaan yang mendalam. Untuk memahami tulisan dan pemikiran beliau, membawa saya merujuk berbagai dictonary seperti Dictionary of Philosophy, Dictionary of Religion, ensklopedia dan beratus buah buku bagi mendapatkan pemahaman yang jelas mengenai analisis dan tulisannya. Semuanya saya lakukan dengan perasaan keghairahan untuk meneroka dan terus meneroka tanpa rasa jemu, walaupun berbagai halangan ditempohi. Kesabaran dalam menekuni pemikiran beliau, membawa saya menamatkan kajian saya dengan jayanya. Prof Madya Dr. Mohd Nor Manuty semasa beliau menilai kajian saya telah menyatakan
"Kesimpulan dan rumusan pengkaji adalah tepat dengan pandangan majoriti sarjana-sarjana semasa mengenai pemikiran al-Faruqi. Dari segi penyampaian, keseluruhan corak persembahan tesis amat memuaskan. Tiada kesilapan-kesilapan besar ejaan. Bahasanya adalah jelas, tepat dan ilmiah...penulis begitu mampu menyampaikan hasil penyelidikannya dengan sempurna. Saya turut berpuas hati dengan format tesis ini-susunan persembahan, penggunaan tajuk-tajuk kecil dan teknik persembahan. Saya mencadangkan tesis ini diterbitkan kerana nilai keilmiahannya adalah tinggi..."
Laporan penuh penilaian tersebut masih saya simpan hingga kini. Ia sepatutnya tidak diberikan kepada saya, tetapi entah macam mana, pegawai terbabit memberikannya kepada saya..untuk saya simpan dan pembakar semangat untuk terus meneroka ilmu.
Berdasarkan cadangan tersebut, saya telah menerbitkan hasil kajian saya dalam dua buah buku yang diterbitkan pada tahun 2002 dan 2007 dan beberapa buah artikel yang saya tulis dalam Jurnal. Buku Islamisasi Ilmu Dari Pemikiran al-Faruqi yang diterbitkan oleh UPENA (2207) telah memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Penulisan Terbaik (karya Islam), Majlis Sanggar Buku UPENA 2008 dan Anugerah Kualiti Penerbitan Terbaik 2008 dalam Sambutan Hari Kualiti Peringkat UiTM, 2008. Buku ini juga menjadi 3 Finalis dalam Anugerah Media Islam Negara (2008) atau AMIN anjuaran JAKIM.
Minat dan keghairahan intelektual saya adalah meneroka bidang baru sama ada bidang keilmuan Islam atau sebaliknya. Ia telah membawa saya meneroka tamadun Asia yang tidak pernah saya pelajari di peringkat universiti dahulu. Keghairahan tersebut membawa minat saya meneroka dan memahami pemikiran Kung Fu Tze atau aliran Konfusianisme yang juga dikenali sebagai aliran Ju Chia. Saya membaca buku analect atau Lun Yu karya Kung Fu Tze yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Melalui penerokaan ini saya cuba memahami nilai-nilai ETIKA yang menjadi asas penting ajaran Kung Fu Tze sehingga ada yang menyimpulkan wujud keselarasan etika Konfusianisme dengan Islam seperti yang dinyatakan oleh Prof.Tu Weiming (1997), Dr.Ubaidullah Mohd Nasir (2000, Osman Bakar (1997), Wang Daiyu (1573-1619 M), Prof. HAMKA dan lain-lain seperti aspek pendidikan, kepimpinan, hubungan sesama manusia, kasih sayang dan hidup yang berlandaskan adat.
Bersambung lagi.....

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...