Saturday, May 15, 2010

Keghairahan Akademia (2)

Sambungan....
Saya bukan sahaja mengajar kepada para pelajar untuk memahami apakah sejarah, nilai dan pandangan hidup Asia, tetapi saya bertindak memahami sendiri nilai-nilai tersebut dengan penuh kesungguhan. Saya meneladani bagaimana Abu Rayhan al-Biruni (1048M) seorang ahli sejarah dan astronomi Islam yang berasal dari Asia Tengah, mengembara beribu batu datang ke India untuk mengkaji ilmu dan tamadun India dengan penuh kesungguhannya, walaupun Tamadun India dibina di atas dasar kepercayaan dan nilai hidup Hinduism sendiri. Al-Biruni telah mengkaji mengenai agama dan kebudayaan India dengan menggunakan kaedah fenomenologi iaitu satu kaedah yang memerlukan seorang pemerhati berlaku jujur terhadap sesuatu fenomena seolah-olah membiarkan fenomena itu berkata sendiri tanpa sekali-kali menampakkannya ke dalam kerangka idea prajangkaan (al-Faruqi 1992). Samalah seperti yang dilakukan oleh ahli Falsafah Islam seperti al-Farabi, al-Kindi, Ibn Sina dan Ibn Rushd yang menekuni ilmu falsafah dan ilmu perubatan Greek sehinggakan al-Farabi membaca karya Aristotle bertajuk De Anima sebanyak 200 kali dan Physics sebanyak 40 kali. Pemahaman yang mendalam yang dirangsang dengan semangat keghirahan untuk mendalami ilmu, termasuk mendalami disiplin ilmu dari luar tersebut telah membolehkan ahli falsafah Islam melakukan comentator atau pengulas tersohor ke atas karya-karya dari Greek/Yunani. Melaluinya lah, ahli falsafah dan ilmuan Islam silam mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi bagi melakukan analisis, sintesis, penyaringan dan seterusnya memadukan di antara ilmu-ilmu tradisional Islam dengan ilmu-ilmu dari Greek sehingga ilmu tersebut menjadi ilmu-ilmu Islam yang nilai-nilainya tidak lagi mengandungi nilai mulhid, agnoistik, pagan, sekularism, materialism dan sebagainya. Tentunya sikap dan kesungguhan ilmuan Islam silam yang terbuka terhadap ilmu-ilmu yang datang dari warisan asing itu dirangsang oleh pandangan mereka terhadap kebenaran. Kebenaran itu sendiri telahpun wujud di dalam tamadun-tamadun manusia terdahulu kerana wahyu pernah diturunkan melalui perantaraan Nabi dan Rasul kepada manusia terdahulu. Tambahan pula sifat primordial di dalam wahyu ialah ia sentiasa mengarah kepada kebenaran. Keyakinan yang sedemikian menyebabkan agama Islam membenarkan untuk menyerap idea-idea yang datang dari pelbagai sumber sama ada Greek, Parsi, Chaldean, India atau China. Ditambah lagi, ilmu itu sendiri adalah bersifat universal dari segi naturenya. Ia melangkau batas bangsa, negara dan kepercayaan. Pengetahuan menurut Osman Bakar (1996) tidak dimili oleh sebarang budaya atau tamadun tertentu tetapi ia diilhamkan oleh Allah untuk dimiliki oleh semua manusia walaupun ia ia berasal dari geografi tertentu. Sikap untuk mendalami seterusnya menguasi dan kemudiannya melakukan penyaringan tergambar melalui kata-kata Ibn Rushd dalam kitabnya Fasal al-Maqal (hlm. 31-32) yang menyebutkan, "orang Islam harus merujuk kepada buku-buku mereka (contohnya Greek) dalam usaha untuk melihat apakah yang diperkatakan mereka terhadap sesuatu subjek (seperti falsafah). Sekiranya sesuatu subjek itu betul maka hendaklah diterimanya dan sekiranya sesuatu subjek itu salah maka hendaklah dilupakan saja perkara tersebut".

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...