Wednesday, May 19, 2010

Keghairahan Akademia (3)

Sambungan...



Minat untuk memahami sejarah dan tamadun India menambahkan pengetahuan saya tentang aliran falsafah yang wujud di India seperti Yoga, Sankhya, Nyaya, Vaisesika dan Vedanta. Ia juga menambahkan pengetahuan mengenai agama-agama yang wujud di India seperti Hinduisme, Jainisme dan Buddhisme. Pengetahuan saya terhadap agama-agama ini amat berguna untuk kita membuat perbandingan dengan Islam dan meningkatkan keyakinan kita bertapa indahnya Islam yang ajarannya sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Pengkajian saya terhadap tamadun India membawa saya membaca sebuah buku yang ditulis oleh Dr. Ved Praksh Upaddhayaya et. al., (1998) yang bertajuk Muhamad in the Vedas and Purunas. Buku ini memberikan kita pengetahuan bahawa ramalan pengutusan Nabi Muhamad S.A.W sebagai Nabi akhir zaman bukan sahaja disebutkan di dalam kitab-kitab terdahulu seperti Taurat dan Injil tetapi juga disebutkan dalam kitab Veda. Penulis tersebut telah membuat kajian yang merujuk kepada tradisi, legenda, mitos, dogma ritual, peraturan-peraturan moral, keagamaan bagi menyandarkan hujah mereka bahawa kedatangan Nabi Muhammad sebagai nabi akhir zaman disebutkan dalam kitab-kitab Veda. Menurut penulis buku tersebut, Nabi Muhammad dibentangkan dalam kitab Veda melalui beberapa istilah seperti Narasanghsa (Terpuji), Antim Rishi (Nabi terakhir), Kaiki Avatar (Nabi pada zaman terakhir). Saya tidak berhasrat menghuraikan dengan lanjut perkara tersebut, tetapi persoalannya ialah bagaimana ramalan kedatangan Nabi Muhammad sebagai nabi yang terakhir turut diceritakan dalam kitab-kitab Veda, sedangkan kitab-kitab Veda seperti Rig Veda, Sama Veda, Yajur Veda, Aranyakas, Brahamanas dan Upanisyad bukanlah kitab agama Samawi tetapi mengandungi aspek kepercayaan Hinduisme yang pekat dengan aqidah polytheism yang mencatatkan mengenai sistem kepercayaan Hinduisme terhadap dewa-dewa seperti Agni, Indra, Surya, Rudra, Vayu, Brahma dan sebagainya. Persoalan ini mungkin dapat dijawab apabila kita mengkaji sejarah tentang kedatangan orang Aryan dari Parsi ke India yang menetap di Lembah Sungai Sindhu sekitar tahun 1500 SM yang bertanggujawab membawa kitab Veda, sistem kepercayaan dan sistem sosial mereka (seperti sistem kasta). Berkemungkinan melalui berita-berita yang disebutkan dalam kitab Samawi mengenai pengkhabaran kedatangan nabi akhir zaman turut sampai kepada orang Aryan, lantas menyebutkannya di dalam kitab-kitab mereka. Kenyataan ini adalah pandangan saya semata-mata.
Kesemua perkara tersebut telah saya huraikan dengan lebih lanjut di dalam buku saya yang bertajuk Tamadun Asia, terbitan UPENA, 2005. Buku ini telah membawa saya mendapat pengiktirafan dari Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) dalam Sambutan 25 tahun UPENA dengan dianugerahkan sebagai Penulisan Terbaik Keseluruhan (kategori Penulis Tunggal).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...