Monday, May 24, 2010

Kalau kita memahami epistemologi ilmu Islam sudah pasti kita mendapati kepelbagaian takrifan, dapat memahami maratib ulum atau urutan keutamaan ilmu, klasifikasi ilmu, sumber ilmu dan konsep kesepaduan ilmu. Ilmu adalah sesuatu yang luas sehingga tidak ada satu definisi yang kongkrit mengenainya. Franz Rosenthal seorang orientalis Barat telah menumpukan kajiannya terhadap persoalan ilmu dalam Islam melalui bukunya yang terkenal bertajuk Knowledge Triumphant, kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh DBP pada tahun 1992. Franz Rosenthal telah mengumpulkan bermacam-macam takrifan ilmu mengikut ulama Islam silam sama ada dari perspektif ahli sufi, ahli teologi, ahli falsafah, feqah dan lain-lain. Namun, bagi al-Ghazali dan al-Amidi, pengetahuan tidak boleh dapat ditakrifkan melalui pertuturan, kerana ia terlalu sukar dan rumit untuk satu takrifan yang ringkas, ia hanya boleh ditakrifkan melalui kata pengubung dan contoh. Bagaimanapun terdapat juga ulama yang cuba untuk membuat takrifan ilmu berdasarkan disiplin atau aliran masing-masing seperti yang telah diklasifikasikan oleh Franz Rosenthal di dalam bukunya itu. Rosenthal telah mengklasifikasikan takrifan ilmu kepada 10 bahagian, di mana setiap bahagian dipecah-pecahkan kepada beberapa difinisi yang dikutip dari ulama'-ulama' Islam terkenal. Antaranya ilmu adalah "proses mengetahui dan bersamaan dengan orang yang mengetahui dan apa yang diketahui, atau ia adalah satu sifat yang membolehkan orang yang mengetahui untuk mengetahui", "ilmu adalah ma'rifah", "ilmu adalah proses "memperoleh" atau "mencari" menerusi persepsi mental", "pengetahuan ialah ingatan, imaginasi, suatu bayangan, suatu pandangan, suatu pendapat" dan lain-lain lagi (Lihat Franz Rosenthal 1992, 51-68).
Berdasarkan keluasan dan kerencaman takrifan ilmu ini, dapat kita katakan bahawa ilmu itu adalah satu proses mengetahui hakikat sesuatu perkara itu dengan menggunakan segala potensi aqal, pacaindera dan qalbu bagi mengetahui hakikat sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah di atas alam ini sama ada bersifat zahir atau batin, sama ada apa yang terdapat dalam wahyu atau dalam ayatullah (ciptaan Allah atau makhluk) seperti law of nature (hukum alam) atau hukum sosial yang mendasari setiap sistem alam/fenomena yang dijadikan oleh Allah untuk manusia membangunkan ilmu melalui kajian, pencerapan, taakulan dan lain-lain metode yang dibangunkan dari masa ke semasa. Justeru itu, penerokaan ilmu tidak akan ada noktahnya. Semakin kita mendalam sesuatu perkara itu, maka semakin terserlah kejahilan diri kita. Maka semakin diri merasa tawaduk, bukannya bertambah keegoan dirinya. Dengan sebab itu, seorang Muslim dididik dengan mengatakan Allahu'lam. Maknanya dia hanya mengetahui hakikat sesuatu itu berdasarkan takat pengetahuan yang dia miliki dan Allahlah yang mengetahui hakikat sebenar segala sesuatu atau masih wujud pandangan lain di luar kotak pengetahuannya yang belum dia temuinya.
Pemahaman tentang persoalan ilmu membawa seseorang itu sifat ghairah untuk meneroka sesuatu perkara. Tugasnya mencari fakta demi fakta bagi memahami hakikat sesuatu itu sebelum sesuatu kesimpulan dibuat. Pendapat atau pandangannya bukannya berasaskan sentimen, agakan atau taqlid buta tetapi berdasarkan dalil atau fakta bagi memperkuatkan kenyataannya itu. Dengan sebab itu, Islam mencela taqlid buta atau blind acceptance. Setiap sesuatu perkara yang dibuat atau dilakukan mestilah berasaskan ilmu. justeru itu, Islam mewajibkan penganutnya mencari ilmu tanpa syarat atau batasan atau perbezaan gender, dari rahim ibu sehingga ke liang lahad. Mencarinya di mana saja ilmu itu berada, hatta ke negara China, dalam apa jua kesempatan sama secara formal atau informal. al-Jahiz memetik sebuah nazam yang bermaksud "ilmu adalah sesuatu yang tidak memberikan sebahagian daripada dirinya kepada kamu sehinggalah kamu sendiri memberikan keseluruhan dari kamu kepadanya..." (al-'imu shay'un la yu'tika ba'dahu hatta tu'tiyahu kullaka..."). Sebab itu, pencarian ilmu merupakan salah satu cabang jihad, kerana ia menuntut kesungguhan, kecekalan, pengorbanan dan kesabaran. Ia tidak memberikan dirinya kepada orang yang malas atau melalui cara yang luar biasa.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...