Wednesday, May 26, 2010

Keasyikan terhadap penerokaan ilmu membawa kita merasai keghairahan untuk meneroka bidang ilmu yang bukan sahaja telah menjadi disiplin ilmu kita. Dengan syarat ia dilakukan dengan penuh perasaan minat yang dibentuk kesan dari penghayatan terhadap budaya ilmu. Memang kita akan merasai kesukarannya pada permulaannya, tetapi apabila kita sudah memulakan langkah pertama, kelak akan timbul perasaan keseronokan untuk meneroka dan terus meneroka. Banyak pengetahuan baru akan kita temui menyebabkan pemikiran kita makin menjadi luas dan tidak terkongkong dengan satu pendapat simplistik yang sentiasa diulang-ulangi tanpa penelitian yang mendalam. Pengajian dalam bidang sejarah, mengajar saya melihat sesuatu berdasarkan fakta dan dokumen bagi menyokong idea atau pandangan yang dibangunkan. Jika ada dokumen/fail/fakta, pandangan baru boleh diikuti walaupun bercanggah dengan sesuatu pandangan yang telah sekian lama diterima umum. Oleh kerana itu, pelajar sejarah sentiasa berusaha mencari dokumen tersebut bagi memperkuatkan hujahnya. Kerja ini memang memenatkan. Apa tidaknya, untuk mencari satu fakta saja, kita terpaksa meneliti dokumen lama satu persatu, umpamanya akhbar-akhbar lama sebelum dan selepas merdeka yang tersimpan di Arkib Negara. Ada kalanya jumpa fakta yang dikehendaki, tetapi ada masanya hampa setelah menghabiskan banyak masa di situ. Kesemua ini tidak akan dapat dilakukan tanpa adanya keghairahan untuk meneroka ilmu baru. Sebab itu, kita sentiasa diingatkan, kalau nak buat sesuatu penyelidikan itu, syarat pertamanya mestilah mempunyai minat yang mendalam dengan apa yang hendak kita kaji, kalau tidak ia membuang masa saja. Yang kedua, mesti tahu apa yang hendak dilakukan. Yang ketiga, tidak boleh bergantung kepada penyelia bagi mendapatkan arahan apa yang perlu dilakukan, semuanya dilakukan sendiri. Bagi saya, menulis sebuah buku lebih mudah dari menyiapkan sebuah tesis PhD. Masa terlalu cepat berlalu... Allahua'lam.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...