Tuesday, June 23, 2009

Ulasan Buku (2)

Buku R.K. Vasil (1980) yang bertajuk Ethnic Politics in Malaysia pula tertumpu kepada perkembangan politik kaum dalam mayarakat plural semasa kemerdekaan Negara pada tahun 1957 sehingga tahun 1969. Kajian Vasil juga menyentuh perkembangan pembentukan Perlembagaan Negara yang dianggapnya diasaskan kepada prinsip-prinsip multi-rasisme yang tinggi dan menterjemahkan kehendak demokrasi yang dihasilkan oleh sebuah Suruhanjaya yang non-partisan. Vasil membuktikan bahawa pembentukan Perlembagaan Persekutuan Malaya merupakan satu kejayaan yang unik, kerana ia menyeimbangi konflik tuntutan dan kepentingan berbagai kaum yang kemudiannya tuntutan tersebut telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Dengan itu, ia telah diterima sepenuhnya oleh semua kaum sama ada oleh kaum Melayu ataupun kaum imigran bukan Melayu. Penerimaan kandungan Perlembagaan oleh semua kaum adalah menggambarkan sebuah era kerharmonian dan permuafakatan antara kaum yang amat mengkagumkan yang bermula pada tahun 1952, iaitu dengan pembentukan Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO dan MCA bagi mewakili dua kumpulan kaum yang terbesar di Tanah Melayu. Bagaimanapun menurut Vasil selepas kemerdekaan, suasana politik antara kaum berubah. Kebimbangan kaum Melayu terhadap kaum Cina semakin meningkat. Dengan sebab itu, pasca merdeka mendorong kerajaan di bawah pimpinan Melayu menumpukan perhatian membina Negara dan memperkuatkan asas-asas multi-kaum dengan memberi penekanan terhadap pembangunan Negara yang berasaskan Malay Malaysia dan bukannya Malaysian Malaysia. Vasil berpendapat bahawa pemimpin kaum Melayu pasca merdeka sentiasa menekankan dan memperjuangkan bahawa Malaya adalah Negara Melayu-Muslim atau Tanah Melayu atau Negara yang dipunyai oleh orang Melayu dan tidak mendidik orang Melayu untuk melihat Malaya adalah sebuah Negara pelbagai kaum dan dikongsi bersama mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan tahun 1957. Bagaimanapun menurut Vasil, apabila gagasan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, yang mewajarkan parti PAP (People’s Action Party) sebuah parti non-komunal pimpinan Lee Kuan Yew ikut serta dalam arena politik Malaysia, keadaan politik Malaysia telah berubah secara dirastik. Dalam masa dua tahun, PAP telah dapat mempengaruhi pemikiran politik bukan Melayu untuk menyakini bahawa Malaysia adalah sebuah Negara multi etnik berasaskan kepada kehendak Perlembagaan itu sendiri dan bukan semata-mata sebuah Negara yang dimiliki hanya oleh orang Melayu. Perubahan paradigma politik bukan Melayu dan pemikiran lama orang Melayu yang masih melihat Negara ini adalah milik Melayu telah mengundang konflik antara kaum yang akhirnya membawa konflik komunal berdarah pada 13 Mei 1969. Kajian Vasil (1980) sama seperti Ratnam (1965) menghuraikan evolusi sejarah pembentukan Perlembagaan Negara, khususnya Perlembagaan Persekutuan tahun 1957 yang memberi tumpuan kepada peruntukan-peruntukan yang sering menjadi perbahasan antara kaum seperti soal kerakyatan, agama, bahasa dan kedudukan istimewa orang Melayu yang dinyatakan oleh Vasil sebagai quid pro quo atau “persetujuan beri memberi” yang berasaskan kepada kompromi dan political bargain pimpinan antara kaum sebelum merdeka. Perbahasan mengenai peruntukan-peruntukan tersebut (yang dikenali juga sebagai kontrak sosial) mewarnai hubungan antara kaum dan menjadi tema utama perjuangan dan perbahasan politik antara parti-parti politik di Malaysia. Bagaimanapun kajian Vasil lebih melihat peruntukan-peruntukan tersebut sebagai punca utama pertentangan, perbalahan, polarisasi dan pepecahan antara kaum dari menjadi asas perpaduan antara kaum.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...