Thursday, June 18, 2009

Buku Joseph M. Fernando (2002) yang bertajuk The Making of the Malayan Constitution adalah adaptasi dari kajian Ph.Dnya di University of London (1995) yang diterbitkan oleh The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) pada tahun 2002. Kajian ini secara khusus menumpu kepada evolusi sejarah pembentukan kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957. Kajian ini berasakan dua pendekatan iaitu pendekatan sejarah/politik dan pendekatan legalistik yang memberikan maklumat yang mendalam mengenai sejarah dan proses pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang banyak diasaskan kepada dokumen bertulis Laporan Suruhanjaya Reid. Kajian Fernando amat siginifikan, kerana ia memberikan input yang amat penting pembentukan persetujuan antara kaum yang terbentuk melalui penubuhan Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC sebelum merdeka. Fernando melihat parti Perikatan memainkan peranan yang dominan dalam proses pembentukan perlembagaan. Fernando juga mengakui bahawa prinsip persetujuan dan kompromi yang melandasi pembentukan perlembagaan bermula dari kerja sama yang terjalin antara UMNO dan MCA dalam Pilihan raya Bandaran 1952-53, konfrontasi bersama dengan pentadbiran British pada tahun 1954 mengenai elected majority dalam Majlis Perundangan dan Pilihan raya Persekutuan yang pertama tahun 1955. Dalam kajiannya, Fernando menyimpulkan bahawa Perikatan memberi kesan yang besar terhadap bentuk atau kerangka Perlembagaan Negara. Perlembagaan sebahagian besarnya adalah refleksi dari idea-idea Perikatan dan hasil kompromi antara mereka, walaupun ia juga melibatkan penglibatan kerajaan British dan Raja-raja Melayu, tetapi penglibatan mereka adalah bersifat subsidiary. Manakala asas struktur dan elemen-elemen Perlembagaan tidak jauh berbeza dengan draf perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, walaupun terdapat beberapa perubahan dalam perkara-perkara tertentu. Dominasi Perikatan dalam proses penggubalan perlembagaan begitu jelas dalam peruntukan-peruntukan mengenai isu-isu komunal yang menjadi pilar penting dalam Perlembagaan Negara. Menurut Fernando, peruntukan mengenai kerakyatan, bahasa, agama dan kedudukan istimewa orang Melayu, dari aspek sejarah menjadi perkara yang menimbulkan perselisihan dan menjadi isu-isu utama yang diperdebatkan secara intensif dalam rundingan pembentukan Perlembagaan negara. Pendirian Perikatan dalam isu tersebut dibentuk oleh sekumpulan pemimpin dari parti UMNO, MCA dan MIC yang membentuk satu memorandum bersama yang diserahkan kepada Suruhanjaya Reid. Manakala Suruhanjaya Reid telah bertindak mengimbangi tuntutan-tuntutan kaum, di samping mengambil sebahagian besar dari proposal Perikatan mengenai perlembagaan yang dibentuk melalui kompromi politik antara UMNO, MCA dan MIC. Sementara itu, cadangan-cadangan yang terdapat dalam Suruhanjaya Reid terdapat sedikit perbezaan dengan cadangan yang dikemukakan oleh Perikatan seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan peruntukan mengenai kepelbagaian bahasa dalam Majlis Perundangan. Bagaimanapun, cadangan mengenai kerakyatan dan kedudukan hak istimewa orang Melayu telah diambil keseluruhannya dari cadangan yang dikemukakan oleh Perikatan. Pemimpin UMNO dalam Perikatan tidak berpuas hati dengan peruntukan mengenai agama dan dasar pelbagai bahasa yang dikemukakan oleh Suruhanjaya. Pemimpin UMNO kemudiannya telah berjaya dalam hujah mereka untuk membuat perubahan mengenai dua peruntukan tersebut dalam Working Party yang bertindak membuat review terhadap Laporan Reid. UMNO telah berjaya mendesak Working Party untuk memasukkan peruntukan mengenai Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan menggugurkan dasar multilingualism dalam Majlis Perundangan Persekutuan. UMNO juga berjaya menyakinkan Working Party untuk mengugurkan limitasi masa bagi menilai semula hak istimewa orang Melayu. Kajian Fernando membuktikan persetujuan antara kaum wujud dan perbincangan yang rancak berlaku sehingga melahirkan kesepakatan antara kaum dan akhirnya persetujuan dalam isu-isu komunal (bahasa, agama, kerakyatan, hak istimewa) dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai asas penting perpaduan dan lambang sikap toleransi serta iltizam pelbagai kaum untuk membentuk sebuah Negara-bangsa baru selepas merdeka. Bagaimanapun dalam soal kontrak sosial, Fernando dalam satu tulisannya bertajuk History and Constitutional Issues That Have Not Been Resolved (2008) telah menimbulkan persoalan berikut:

What precisely does the term ‘social contract’ mean in the context of the reference to the 1957 federal constitution, when it is said that leading parties, UMNO, MCA and MIC, had agreed to a social contract? It must also be noted that some scholars contend that there was no social contract. While politicians often refer to the social contract of the founding fathers, there are varying interpretations of what precisely the terms of the contracts are, if at all there was one…

Manakala Cheah Boon Kheng, seorang ahli sejarah Malaysia dalam bukunya bertajuk Malaysia: The Making of a Nation (2002), telah merujukkan kontrak sosial kepada “persetujuan bersejarah” yang dicapai oleh UMNO, MCA dan MIC yang dimanifestasikan melalui penghasilan sebuah Memorandum Perikatan yang diputuskan secara bersama kepada Suruhanjaya Reid. Memorandum tersebut adalah rakaman persetujuan bersama dicapai mengenai ciri sebuah Negara Melayu, iaitu kedudukan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja-raja Melayu sebagai “Raja Berpelembagaan” serta kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli yang tidak mutlak, iaitu seseorang yang dilahirkan “semasa” dan “selepas” merdeka, bukan “sebelum” merdeka diterima sebagai warganegara Malaya. Cheah turut menyimpulkan bahawa “persetujuan bersejarah” tersebut telah berjalan dengan baik pada dekad pertama kemerdekaan yang bertunjangkan kepada asas kompromi, kosensus dan bertolak ansur.
Sebaliknya tulisan Puthucheary yang bertajuk Malaysia’s “Social Contract”: The Invention & History Evolution of an Idea (2008) lebih memberikan analisis yang kritis terhadap istilah kontrak sosial. Kontrak sosial menurutnya merupakan teori yang lahir di barat dan digunakan dalam konteks Malaysia bagi merujuk kepada “persetujuan” yang dicapai oleh Perikatan yang dijenamakan kembali dan diabsahkan. Pemimpin UMNO menurut Puthuchery telah berusaha untuk menjaga kepercayaan bahawa kontrak sosial adalah sesuatu yang kekal, tidak berubah dan suci. Kontrak sosial menjadi alat yang amat berguna untuk menjustifikasikan kedudukan bahawa Malaya adalah tanah bagi orang Melayu, dan kaum bukan Melayu seharusnya memahami hakikat tersebut serta mengiktiraf kedudukan istimewa mereka. Analisis Puthuchery mengenai kontrak sosial berbeza dengan pandangan ahli sejarah dan ahli politik apabila beliau merujukan istilah tersebut sebagai satu istilah yang pertama kalinya digunakan oleh Abdullah Ahmad pada tahun 1986. Setelah itu, istilah kontrak sosial telah digunakan dengan lebih kerap dan semakin menyerlah pada tahun 2007 di dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO. Dalam perhimpunan itu, wakil Pemuda UMNO menyebutkan bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui sejak 50 tahun lalu dan bukan Melayu tidak ada alasan untuk mempersoalkannya atau takut dengan konsep Ketuanan Melayu. Puthucheary memetik kata-kata Abdullah Ahmad dalam akhbar The Star bertarikh 31 Ogos 1986. Menurut Abdullah Ahmad:
The political system of Malay dominance was born out of the sacrosanct social contract which preceded national independence. Let us never forget that in the Malaysian political system the Malay position must be preserved and that Malay expectations must be met. There have been moves to question, to set aside and to violate this contract that have threatened the stability of the system…”

Abdullah Ahmad turut menyebutkan bahawa pergaduhan kaum 13 Mei adalah akibat dari mencabar dan tidak memenuhi dasar-dasar kontrak yang telah dipersetujui. Justeru itu, Dasar Ekonomi Baru atau DEB adalah satu program yang dilaksanakan selepas peristiwa 13 Mei bagi memenuhi tuntutan-tuntutan kontrak yang telah dipersetujui pada tahun 1957..

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...