Thursday, June 4, 2009

Sejarah Hubungan Diplomatik Dengan Negara China

Menurut Liang Liji dalam bukunya Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke 15 Masihi, hubungan antara negeri China dengan Alam Melayu sudah lama wujud iaitu sebelum permulaan tahun masihi sejak zaman Dinasti Han (140-117Sebelum Masihi) lagi. Semasa pemerintahan Sun Quan (222-252 Masihi), dua orang utusannya telah melawat Funan[1] dan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu dan mengadakan hubungan diplomatik dengan mereka. Namun pada zaman Srivijaya hubungan China dengan Asia Tenggara menjadi amat pesat dengan kedatangan para pedagang dan juga penuntut agama Buddha yang belajar di Srivijaya sebagai pusat pengajian agama Buddha iaitu pada zaman China di bawah pemerintahan Dinasti Tang (618-907M)[2]. Menurut Tregonning (1962), penemuan arkeologi yang berupa pecahan alat seramik Dinasti Qin (221SM-206SM) yang dijumpai di lembah sungai Johor merupakan satu bukti sudah ada hubungan antara China dengan Tanah Melayu sekitar abad ke 1 M [3]. I-Ching adalah pengunjung pertama China yang merakamkan pengalamannya di Srivijaya pada tahun 671 Masihi dalam perjalanannya ke India tetapi tinggal di Srivijaya selama enam bulan untuk belajar bahasa Sanskrit dan dua bulan mempelajari Bahasa Melayu[4] serta agama Buddha sebelum meneruskan perjalanannya. Beliau menterjemahkan buku agama Buddha dari bahasa Sanskrit ke bahasa China dan menulis dua buah buku tetang tamadun Melayu Srivijaya[5]. Kepentingan Semenanjung Tanah Melayu kepada China ialah kerana kedudukannya yang terletak di jalan perdagangan antara India dengan negeri China. Langkasuka sebuah bandar yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu telah berada di bawah naungan Funan pada abad ke 7 Masihi. Bandar ini menurut keterangan sejarah China merupakan sebuah bandar yang maju dan bertamadun serta mempunyai kekayaan sumber buminya[6]. Negeri ini telah mengadakan hubungan langsung dengan China sehingga tahun 1300 Masihi[7]. Langkasuka menurut catatan China dikenali sebagai Lang-ya-sieu dan Lang-ya-si yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu, iaitu Kedah dan Ligor hari ini.[8]
Orang China yang terawal datang ke Tanah Melayu adalah terdiri daripada sami-sami Budhha, selepas itu barulah golongan pedagang China datang ke Tanah Melayu. Walaupun hubungan antara Alam Melayu dengan China dapat ditelusuri semenjak 2000 tahun yang lalu, tetapi maklumat pertapakan orang China di Semenanjung Tanah Melayu khususnya baru muncul dalam catatan China pada pertengahan abad ke-14 Masihi. Menurut catatan saudagar China bernama Wang Dayuan yang mengunjungi Tamasek (Singapura) pada tahun 1349 Masihi mengatakan bahawa penduduk asli hidup bercampur gaul dengan orang China. Wang tidak menyebutkan berapa ramai orang China tinggal di sana tetapi sekelompok kecil para perdagang China telah menetap secara kekal di beberapa wilayah Asia Tenggara[9].
Bilangan yang ramai orang China tinggal di Tanah Melayu bermula selepas dari penubuhan Melaka. Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1403 Masihi.[10] Melaka dalam buku-buku sejarah China disebut sebagai “Ma La Jia” atau “Ma Liu Jia” [11]. Mengikut catatan Tome Pires, Parameswara memeluk Islam ketika berumur 72 tahun dan mati pada tahun 1424 Masihi (mengikut catatan China). Maharaja Dinasti Ming (1368-1643) telah menghantar Yin Ching sebagai utusan China ke Melaka untuk mewujudkan hubungan persahabatan, perdagangan dan diplomatik dengan Melaka. Pada tahun 1407, Parameswara pula telah menghantar utusannya ke China dan pada tahun 1409, Raja China telah menghantar Laksamana Cheng Ho untuk melawat Melaka dan membawa bersamanya Parameswara, isteri dan anak Parameswara serta para pembesar Melaka bersama 450 orang ke China pada tahun 1411. Maharaja China kemudiannya telah menganugerahkan kepada Raja Melaka sebuah kapal untuk beliau kembali ke Melaka[12]. Rombongan tersebut dianggap sebagai rombongan asing yang terbesar melawat China pada zaman Dinasti Ming. Maharaja Ming telah mengarahkan kerajaan tempatan menjamu tetamu asing selama perjalanan mereka menuju ke Nanjing, ibu kota Dinasti Ming. Maharaja Ming Zhu sendiri telah menerima kunjungan Parameswara dan rombongannya di balairung Feng Tian. Selain diadakan jamuan yang besar, maharaja Ming telah menyampaikan berbagai cenderamata berharga kepada tetamu dari Melaka. Parameswara juga telah dihadiahkan berbagai cenderamata berharga dari maharaja Ming pada 1 haribulan ke-8 di balairung Wumeng. Rombongan Parameswara telah berada di China selama tiga bulan dan mereka telah dilayan dengan penuh penghormatan oleh Maharaja Ming[13] .
Tujuan pengiriman utusan dan tujuan lawatan baginda ke China ialah bagi memperatkan lagi hubungan politik dan meminta perlindungan dari negara China daripada ancaman Siam khasnya. Dasar politik berbaik-baik dengan negara China itu diteruskan oleh anak dan cucunya hingga tahun 1435. Sri Maharaja (Sultan Muhammad Syah) ialah raja Melaka yang terakhir yang datang mengadap maharaja China di Peking pada 26 Mei 1434 dan bertolak pulang ke Melaka dari Canton pada 28 April 1435 [14]. Hubungan antara China dengan Alam Melayu walaupun berlangsung dalam jangka masa 2000 tahun tetapi menurut R.O. Winstedt, China hanya berminat dalam soal perniagaan, dengan itu tidak banyak pengaruh China terhadap agama, kebudayaan, bahasa dan kesusasteraan Alam Melayu berbanding dengan pengaruh India. Menurut R.O. Winstedt (1986); “The Malays have experience many foreign influences, incomparably the greatest being that from India, which gave them three religions, a new magic and medicine, law Hindu and Islamic, the arts of sculpture, gold and silver work and silk weaving, two alphabets and a secular and religious literature, full of Sanskrit word…”[15]. Sebaliknya, menurut Prof. Dr. Hashim Musa (2002), hubungan antara Alam Melayu dengan China tidak banyak membuahkan hasil yang mendalam ke atas tamadun Melayu disebabkan kedatangan orang China ke Alam Melayu tidak didorong oleh perasaan hegemoni dan niat untuk menjajah dan mendominasi negara-negara itu. Sikap mereka ialah saling menghormati dan mengiktiraf kedudukan dan kewibawaan kerajaan dan ciri budaya masing-masing. Pengaruh China ke dalam budaya Melayu yang paling ketara ialah serapan beberapa perkataan Melayu ke dalam Bahasa Melayu dan kemunculan komuniti Baba dan Nyonya di Melaka dan Cina Peranakan di Kelantan. Bagaimanapun menurut R.O. Winstedt, perkataan China yang diserap oleh ke dalam Bahasa Melayu boleh dibilang dengan jari[16] berbanding pengaruh India dan Arab.
Nota Hujung

[1] Funan adalah bandar yang terawal di Asia Tenggara yang ditubuhkan dan bandar perniagaan yang terawal sekali di Asia Tenggara. Raja-raja Funan menamakan diri mereka “Shailaraja” yang bermakna “Raja di gunung”. Ibu negeri Funan yang mula ialah Vyadhapura dan bandar pelabuhannya ialah Go Oc-Eo yang terletak di kawasan Kemboja (Mohd Dahlan Mansoer, Pengantar Sejarah Nusantara Awal, hal. 49).
[2] Hashim Musa, Pertalian Tamadun India dan China Dalam Kebudayaan Melayu, dalam Peradaban Asia, Mohd Nor Mamat & Mujaini Tarimin (ed), Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam, UKM, 2002, hal. 182.
[3] Kong Yuanzhi, Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu, Bangi: Penerbit UKM,2000, hal. 58.
[4] R.O. Winstedt, A History of Malaya, Kuala Lumpur: Marican & Sons (Malaysia), 1986, hal. 33.
[5] Hashim Musa, Pertalian Tamadun India dan China Dalam Kebudayaan Melayu, dalam Peradaban Asia, Mohd Nor Mamat & Mujaini Tarimin (ed), hal. 182.
[6] Lihat, R.O. Winstedt, A History of Malaya, hal. 30.
[7] Mohd Dahlan Mansoer, Pengantar Sejarah Nusantara Awal, hal.52.
[8] Victor Purcell, The Chinese in Malaya, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1967, hal.13.
[9] Ibid., hal.16; lihat juga Abdullah Dahana, China dan Malaysia dalam Arena Perang Dingin 1949-74, Bangi: Penerbit UKM, hal.36.
[10] Menurut Godino de Eredia, Melaka diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1398 M (Lihat Victor Purcell, The Chinese in Malaya, hal.17); Menurut catatan China Melaka diasaskan pada tahun 1403 M (R.O. Winstedt, A History of Malaya, hal. 46).
[11] Kong Yuanzhi, Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu, hal. 60.
[12] R.O. Winstedt, A History of Malaya, hal. 47 ; Victor Purcell, The Chinese in Malaya, hal. 18.
[13] Kong Yuanzhi, Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu, hal. 67-68.
[14] Mohd Dahlan Mansoer, Pengantar Sejarah Nusantara Awal, hal.
[15] R.O. Winsterdt, A History of Malaya, hal. 263.
[16] Ibid.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...