Wednesday, April 1, 2009

Maaf...

Saya memohon maaf kepada pembaca blog ini kerana hampir dua bulan tidak dikemaskinikan. Ini tidaklah disengajakan kerana saya baru pindah ke rumah baru yang masih belum mempunyai talian tel. Akhirnya saya bertukar menggunakan celcom broadband dan terus melihat blog ini untuk dikemaskini.
Diam tak diam sudah tiga bulan saya menghabiskan cuti belajar, ada lebih kurang dua tahun sembilan bulan lagi...masa amat pantas berlalu...justeru, saya perlu menggunakan masa sebaik mungkin untuk menyempurnakan kajian
Rutin harian membaca dengan buku, mengadap komputer ada kalanya berjam-jam, menyusun maklumat, mencari maklumat di perpustakaan, Arkib Negara kadang-kadang rasa pitam melihat deretan buku di perpustakaan...
Saya kagum dengan penyelia kedua saya, seorang yang cacat penglihatan tetapi mampu mendapat ijazah PhD dalam bidang sejarah yang memerlukan pembacaan yang cukup banyak, meneliti dokumen-dokumen sejarah, sehingga sanggup pergi ke UK semata-mata untuk mencari bahan kajiannya. Beliau mempunyai mata hati yang cukup terang berbanding mata manusia yang celik. Beliau memberikan saya inspirasi untuk terus mendalami bidang sejarah yang tidak lagi diminati oleh generasi muda hari ini.
Selama tiga bulan saya meneroka sejarah negara banyak maklumat yang saya dapat. Saya meneliti perkembangan sejarah negara, terutama sejarah hubungan kaum sebelum Malaya merdeka. Saya cuba memahami faktor konflik antara kaum pra-merdeka dan bagaimana konsistennya Tan Cheng Lock memperjuangkan agar kaum bukan Melayu mendapat hak kerakyatan negara ini sehingga mereka memperolehi hak kerakyatan tersebut melalui 'political bargain' dan tawar menawar sehingga hak keistimewaan Melayu, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu yang diperjuangkan oleh orang Melayu dapat diinstitusikan dalam Perlembagaan 1957. Saya cuba memahami pemikiran Tan Cheng Lock dengan meneliti surat-surat peribadi dan ucapannya yang masih tersimpan di Arkib Negara.
Saya juga meneliti perjuangan dan pendekatan politik dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Bagaimana Dato' Onn menukar pendekatan politiknya dari komunal kepada non-komunal dan akhirnya berpatah balik menjadi nasionalis Melayu apabila Tan Cheng Lock dan beberapa orang pemimpin bukan Melayu yang kuat mendokong penubuhan parti IMP beralih menyokong Tunku lalu menubuhkan Perikatan.

Saya juga cuba memahami bagaimanakah proses penyediaan Perlembagaan negara dan reaksi berbagai kaum mengenainya. Saya menemui laporan yang dikeluarkan oleh PAS mengenai respon mereka terhadap laporan suruhanjaya Reid yang menolak beberapa aspek dari Laporan itu yang tidak secara jelas mengungkapkan Kebangsaan Melayu, menjaga kepentingan Melayu termasuk hak keistimewaan Melayu, penolakan PAS terhadap prinsip jus soli yang digunakan dalam memberi kerakyatan bukan Melayu, ketegasan PAS untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara yang mesti dikuatkuasakan dengan segera selepas merdeka dan agama Islam mestilah menjadi agama rasmi dalam erti kata yang sebenarnya.

Saya juga menemui fakta bahawa orang bukan Melayu sebelum merdeka lagi sebahagiannya sudah menolak dan merasa bimbang hak keistimewaan orang Melayu dimasukkan dalam Perlembagaan dan isu ini akan terus menerus menjadi polimik dan perdebatan antara kaum.

Saya turut meneliti ucapan Tan Siew Sin dalam Second Legislative Council pada 10 Julai 1957. Dalam Persidangan tersebut, Tan Siew Sin telah menyebutkan bahawa cadangan draf Perlembagaan tersebut merupakan satu kompromi yang adil (a fair compromise), walaupun ia tidak dapat memuaskan hati semua komuniti secara keseluruhannya. Walaupun perlembagaan ada peruntukan untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu yang dilihat oleh sebahagian dari orang Cina sebagai tidak adil dan kontradiksi dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan tetapi Tan Siew Sin mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya;

“I beg to differ from them. In the first place, the principle of the special position of the Malays has already been embodied in the Federation of Malaya Agreement. The Malays thefore cannot be expected to give up what they already have in the same way that they do not expect the other communities to give up their existing rights”[1].

Apa yang lebih penting lagi ialah hakikat bahawa orang Melayu dari segi faktanya memang ketinggalan dari segi ekonomi berbanding kaum-kaum lain. Justeru itu, objektif utama diadakan peruntukan ini adalah untuk memastikan orang Melayu tidak kehilangan apa yang mereka telah miliki. Peruntukan itu akan menolong orang Melayu supaya mempunyai kedudukan yang sama dari segi ekonomi dengan kaum-kaum lain. Berhubung dengan persoalan mengapa tidak secara eksplisit dalam Perlembagaan menetapkan pembatasan waktu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu tersebut, Tan Siew Sin memulangkan perkara tersebut kepada orang Melayu sendiri untuk menentukan bilakah waktunya yang sesuai untuk kedudukan hak keistimewaan itu dihapuskan, katanya:

“I would remind our critics that the Malays are proud and sensitive race. They also an intelligent race, and I know that they appreciate the significance and implications of this provision far better than most people realise. I have no doubt in my mind whatsoever that when the time comes, the Malays themselves will ask for its abolition, but this is a matter which we must obviously leave to them to decide”.[2]

[1] Tan Siew Sin, The Constitutional Proposals: A Fair Compromise, Ucapan yang dibentangkan dalam Second Session of the Second Legislative Concil pada 10 Julai 1957, dlm. J. Victor Morais (ed), Blueprint For Unity, Selected Speeches of Tun Tan Siew Sin, Malaysia Chinese Association Headquartes, 1972, hal. 153.
[2] Ibid., hal. 154.

2 comments:

AnDeH said...

salam ustaz,,,
selamat menulis blog kembali..
entry yg menarik unt d baca...

-Andeh-

Fauzan Razak said...

Salam Tuan...

Saya ada membaca post tuan yang bertajuk Perkembangan Komunalisme Dari Perspektif Sejarah. Saya ingin tahu apa sebenarnya komunalisme itu. Apa yang saya faham komunalisme itu politik perkauman. Bolehkah tuan jelaskan dengan lebih terperinci apa itu komunalisme dan situasinya di Malaysia. Dan bagaimanakah tuan melihat kerajaan Malaysia mengikis komunalisme ini… mohon pandangan…Kalau tuan punyai maklumat yang lebih lanjut dan panjang bolehlah email ke saya di alamat fauzanrazak@gmail.com

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...