Thursday, April 2, 2009

Sejarah masih releven

Pagi ini saya berkesempatan membaca tulisan Joseph M. Fernando yang bertajuk History and Constitutional Issues that have not been resolved yang dimuatkan dalam buku Sejarah Masih Releven, terbitan Karisma Publications Sdn. Bhd (2008). Sebelum ini Joseph telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk The Making of the Malayan Constitution (MAMBRAS), 2002. .

Dalam tulisan ini, Joseph memulakan tulisannya dengan isu relevensi sejarah dengan kehidupan hari ini dan bagaimana golongan muda hari ini yang tidak lagi meminati subjek sejarah kerana tiada apa yang dapat dipelajari dari sejarah dan nilai utilitinya berbanding kursus lain. Golongan antagonis sejarah melihat dengan kemajuan moderniti, tiada ada keperluan untuk bersusah payah untuk melihat apa yang telah berlalu. Bagi Joseph pembelajaran subjek sejarah mempunyai signifikannya seperti yang diungkapkan oleh Wilson, katanya "History is more than a wall of facts from the past that is in constant need of repair and expansion. History is a creative process that expands our horizons over time and shows how contingent our condition actually is..." (Joseph M. Fernando 2008, 36-37). Justeru itu, Joseph menyimpulkan bahawa sejarah sebenarnya masih releven berdasar beberapa faktor, antaranya sejarah telah memberikan kita pengetahuan tentang masa lalu dan membantu kita mengenal pasti dan memahami diri kita sebagai individu, keluarga, komuniti atau bangsa.

Joseph sterusnya menyentuh beberapa isu yang berkaitan dengan Perlembagaan yang masih belum selesai. Bagi memahami isu-isu Perlembagaan yang terus menerus dibangkit atau diperdebatkan oleh beberapa pihak, sejarah telah menyediakan panduan, rujukan, fakta atau rekod berhubung dengan persetujuan dan pemahaman yang telah dicapai oleh parti politik menjelang kemerdekaan negara. Rekod sejarah ini membolehkan kita memahami kerangka Perlembagaan. Permahaman tersebut boleh digunakan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Andrew Harding dalam bukunya "Malaysian Constitutional History" menyebutkan bahawa Perlembagaan tidak dapat diterang atau difahami dengan tepat tanpa merujuk kepada sejarah. Justeru, Perlembagaan Persekutuan tidak akan dapat difahami dengan sebenarnya tanpa memahami sejarah kerangka pembentukan perlembagaan tersebut. Beberapa kes yang menjadi pertikaian beberapa pihak dapat diselesaikan apabila rujukan kepada sejarah dilakukan, Umpamanya, kes Lina Joy, rujukan telah dibuat kepada kerja yang telah dilakukan oleh Suruhanjaya Reid yang menyediakan draf Perlembagaan tahun 1957 (hal.38-39).

Menurut penelitian Joseph, terdapat beberapa isu besar Perlembagaan yang masih menjadi sumber pertikaian, antaranya: Isu Kontrak Sosial. Isunya di sini apakah wujud kontrak sosial di antara tokoh-tokoh kemerdekaan negara menjelang kemerdekaan?. Sekiranya wujud, apakah nature dan term sosial kontrak tersebut?.

Dalam kajian yang sedang saya lakukan, saya akan cuba untuk membuktikan berdasarkan fakta-fakta sejarah kewujudan kontrak sosial tersebut di kalangan pimpinan kaum Melayu, Cina dan India menjelang kemerdekaan negara. Walaupun saya mendapati istilah kontrak sosial tersebut tidaklah digunakan secara explisit. Term yang digunakan oleh ahli sejarah bagi menggambarkan persetujuan tersebut berbagai-bagai seperti "historic bargain", "racial bargain", permuafakatan antara kaum, "quid pro guo" dan ada juga yang menggunakan istilah kontrak sosial itu sendiri seperti yang diungkapkan oleh Prof. Cheah Boon Kheng dalam bukunya "Malaysia: The Making of a Nation" halaman 36-39. Istilah kontrak sosial itu sendiri adalah istilah sains politik yang mula dibincangkan oleh ahli falsafah Barat seperti Thomes Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau yang merujukkan istilah tersebut sebagai pemahaman hubungan antara individu dan negara yang dianggap sebagai asas penting dan limitasi kuasa negara yang absah (lihat, Dictionary of the Social Sciences, hal. 444-445). Dalam Sejarah Melayu, istilah itu disebut sebagai waad iaitu kesediaan kedua-dua belah pihak iaitu yang memerintah dan yang diperintah untuk mencapai muafakat dan membuat persetiaan. Waad ini dipanggil hari ini sebagai kontrak sosial (lihat, Abdul Rahman Embong , 2006, hal. 73).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...