Monday, November 3, 2008

Aliran kerohanian Islam seperti yang dibincangkan dalam buku-buku menggunakan beberapa istilah seperti sufisme, tassawuf dan mystism. Penulis Barat umpamanya selalu menggunakan istilah Mystism. Perkataan mystic berasal dari perkataan Greek myein bermaksud "membuka mata". Antara difinisinya ialah, " kesedaran terhadap Satu Realiti yang dipanggil hikmah, cahaya, cinta dan tiada apa-apa, cinta terhadap yang Mutlak", di mana yang membezakan antara mistikisme dengan asketisme adalah cinta (Annemarie Schimmel, 1975:4.). Bagaimanapun R.A. Nichoon berpendapat istilah tersebut tidak begitu sinonim dengan istilah sufi, kerana sufi lebih terbatas kepada agama Islam berbanding mistikisme (R.A. Nichoon, 1974:3.) Bagaimanapun, pengkaji Islam Barat selalu mendifinisikan sufisme sebagai mistikisme Muslim (Titus Burckhardt,1976:21). Oleh kerana itu, mistikisme lebih merujuk kepada fenomena kerohaniaan agama-agama secara umum, manakala sufi atau tasawwuf lebih merujuk kepada fenomena spritual Islam.


Menuruty Prof. Ismail al-Faruqi, tasawwuf adalah nama yang diberi sempena dengan pakaian bulu yang lazim dipakai oleh golongan sufi. Menurut Hujwiri (pertengahan abad ke 11 M), sesetengah memanggil sufi kerana dia memakai sejenis pakaian yang berbulu. Ada yang berpendapat istilah itu merujuk kepada orang yang berada di saf hadapan (saff al- awwal) atau ashabi suffa iaitu mereka yang duduk pada satu tempat di Masjid Nabi. Pendapat lain mengatakan ia adalah satu nama yang diambil dari perkataan safa yang bermaksud kesucian atau kebersihan. Mengikut definisi Barat, sufi berasal dari perkataan Greek iaitu sophos iaitu bijaksana (Annemarie Schimmel, 1975:14). Peranan Sufisme pula adalah dalam bentuk memberi santapan rohani, menyucikan hati dan memenuhi keinginan golongan sufi terhadap ketakwaan, kemuliaan, keadilan dan juga untuk menghampiri Tuhan ( Al-Faruqi dan Lamya' al-Faruqi, 1992: 295). Menurut al-Junaid (meninggal pada 910 M), sufi bukan (dicapai) dengan banyak sembahyang dan berpuasa, tetapi dengan mengawal hati dan menteluskan jiwa (Annemarie Schimmel, 1975:14-15).

Tujuan dan matlamat kehidupan sufi adalah Tuhan semata-mata, dia mencintai Allah sahaja, pemikiran, meditasi dan sembahyangnya hanya semata-mata untuk Allah. "He is ever ignorant of everything save God" dan apabila ia memikirkan Tuhan semata-mata, fikirannya dibersihkan dan melalui perasaan ini dia mendapati dirinya berhubung dengan Tuhan dan dia tidak berhubung dengan segala sesuatu melainkan Tuhan (Mir Valilmuddin, 1959: 8).

Antara tokoh sufi yang terkenal dan kontraversi ialah Al-Hallaj. Beliau merupakan seorang tokoh sufi yang paling kontraversi dalam sejarah sufisme Islam. Nama sebenarnya ialah Abu'l Moghith al-Hosain ibn Mansur al-Hallaj, dilahirkan pada 244H(858M) berhampiran al-Baiza' dalam wilayah Fars. Beliau telah mengembara ke merata tempat, pertama ke Tostar dan Baghdad, kemudiannya ke Mekah dan selepas itu ke Khuzestan, Khorasan, Transoxiana, Sistan, India dan Turkestan. Akhirnya beliau telah kembali ke Baghdad di mana kemudiannya ditangkap kerana fahaman Wahdatu wujudnya. Beliau telah dihukum bunuh pada 29 Zulkaidah, 309H (28 Mac, 913M). Hallaj telah dihalau dari lima puluh buah bandar kerana mengajar orang ramai mengenai kebenaran yang sukar difahami. Dia dibunuh disebabkan dia mengatakan "Aku adalah al-Haqq". Menurut al-Jonaid, hakim yang mengadili kes Hallaj, "kita menghukum berdasarkan luaran, adapun kebenaran batin, maka hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui"(lihat, Farid al-Din al-'Attar, 1966: 264-266).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...