Tuesday, November 4, 2008

Allah Yang Maha Suci

Tuhan di dalam Islam bersifat mutlak transenden atau Maha Suci. Agama Yahudi dan Kristian walaupun berasal dari tradisi 'Semit', telah melakukan kesalahfahaman mengenai sifat transendensi (kesucian) Tuhan yang tidak boleh diampunkan seperti memberikan sifat manusia kepada Tuhan (agama Yahudi), Tuhan yang ramai dan konsep tiga tuhan atau triniti (agama Kristian). Kesalahfahaman tersebut berlaku bukan semasa agama itu diturunkan, tetapi dalam sejarah perkembangan agama-agama tersebut, melalui teks-teks agama yang mereka terima sebagai kitab dan ungkapan atau petikan-petikan yang berkaitan dengan konsep kepercayaan yang mereka ajarkan kepada manusia.

Berdasarkan kepada keterangan yang diambil dari kitab Taurat orang-orang Yahudi yang telah diselewengkan, agama Yahudi apabila membincangkan Tuhan mereka, mereka telah menggunakan dalam bentuk plural atau jamak kepada tuhan "Elohim" mereka. Mereka mengatakan bahawa "Elohim" telah mengahwini puteri- puteri manusia (Genesis 6:2-4), Yaacob dan isterinya telah mencuri 'tuhan-tuhan' Laban kerana mereka memuja tuhan-tuhan tersebut (Genesis: 31:32), Tuhan adalah roh suci yang dijumpai oleh Yaacob secara berdepan dan telah bergelut dengan tuhan-tuhan tersebut dan ia hampir menggalahkan mereka (Genesis 33: 24-30), Tuhan adalah bapa kepada Raja Yahudi (Psalms 2:7; 89-26). Yahudi telah mengikat Tuhan kepada bangsanya sendiri, supaya menjadikan bangsa Yahudi sebagai bangsa pilihan Tuhan atau anak emasnya walaupun mereka bertindak bertentangan dengan moral, keras kepala dan degil (Deuteronomy 9: 5-6). Berdasarkan kepada keterangan ini, membuktikan Tuhan dalam pengertian yang diberikan oleh Yahudi bukanlah Tuhan yang transenden atau suci kerana ia telah merendahkan martabatnya sebagai Tuhan (al-Faruqi, 1992:21).


Agama Kristian juga telah melakukan perlanggaran yang besar terhadap sifat transendensi Tuhan. Kristian telah memperluaskan konsep non-transenden atau ketidaksucian Tuhan melalui dogma "kebapaan Tuhan", kesatuan subtansi Tuhan dengan Isa. Dogma ini bukanlah warisan Yahudi kepada agama Kristian, tetapi kesan atau berpunca dari 'agama-agama misteri' (lihat al-Faruqi, 1985:27-30). Ahli teologi Kristian seperti Augustine dan Tertullian telah menyandarkan konsep kejamakan Tuhan ( Genesis 1:2), yang menyebutkan: "Let 'us' create man according to 'our' image" (marilah 'kita' ciptakan manusia sesuai dengan imej 'kita'). Perkataan 'us' dan 'our' dalam ayat tersebut ditujukan sebagai bukti wujudnya tiga oknum (tuhan Bapa, Jesus dan ruh suci) dalam diri Tuhan. Walaupun begitu, orang-orang Kristian menurut al-Faruqi menyakini tentang konsep trensenden Tuhan. Namun bahan yang mereka gunakan untuk mengungkapkan trensenden Tuhan adalah penuh dengan kecelaruan. Perkara ini dapat dilihat ketika mereka membicarakan Jesus, mereka mensifatkannya sebagai manusia, yang boleh mengalami kesakitan semasa menghadapi mati. Orang-orang Kristian tidak pernah menyatakan pendapat mereka secara konsisten mengenai kemanusiaan atau ketuhanan Jesus. Setiap orang Kristian akan terpaksa mengaku bahawa Tuhannya adalah trensenden dan immanen (lawan kepada trensenden/ tidak suci/ menyerupai makhluk) sekaligus, tetapi pernyataan tentang trensenden tuhan mereka secara ipso facto adalah tidak mempunyai asas dan bertentangan dengan logik akal (al-Faruqi, 1992:22-23).
Islam adalah satu- satunya agama yang menegak dan mempertahankan sifat transenden Tuhan. Islam telah menyatakan bahawa konsep transendensi Tuhan merupakan urusan setiap orang Islam. Islam menegaskan bahawa Tuhan telah menciptakan semua manusia dalam keadaan mampu mengenal Tuhan dalam transendensiNya. Ini merupakan anugerah semulajadi manusia yang telah dibekalkan dengan sensus numinis atau fitrah semenjak manusia dilahirkan. Keadaan semulajadi fakulti ini mampu membawa manusia mengenal keEsaan, kemutlakan dan transenden Tuhan. Pengakuan transendensi Tuhan ini merupakan sesuatu yang melekat dalam diri manusia. Justeru itu, penyimpangan yang berlaku adalah akibat dari faktor pendidikan, sejarah, kealpaan, hawa nafsu dan kepentingan peribadi .
Sifat transendensi Tuhan di dalam Islam dikuatkan melalui pengakuan La Illaha Illa Allah yang bermaksud "Tidak ada Tuhan melainkan Allah". Pengakuan ini merupakan pengingkaran terhadap setiap bentuk pensekutuan Tuhan dalam Kepenguasaan dan Kehakiman Tuhan ke atas alam semesta dan juga penafian terhadap kemungkinan setiap makhluk untuk menggambarkan atau menjelmakan Tuhan dalam bentuk berhala atau sebagainya. Al-Qur'an juga telah mensabit dan mengukuhkan sifat transendensi Tuhan (lihat al-Baqarah, 2:117). Dalam menghayati pandangan ini, orang-orang Islam sangat berhati-hati untuk tidak menyegutukan Tuhan dengan apa cara sekalipun dan mereka tidak pernah menggunakan bahasa lain kecuali bahasa, istilah dan ungkapan al-Qur’an yang telah digunakan oleh Tuhan untuk mengungkapkan Diri-Nya, seperti Tuhan bersifat Esa, Berdiri Sendiri, tidak ada sesuatupun menyerupai-Nya dan lain-lain (al-Faruqi, 1992:24).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...