Wednesday, August 13, 2008

Toleransi

Dalam suasana masyarakat majmuk yang wujud di negara ini, ketegangan hubungan antara kaum kaum dapat dielakkan dari berlaku sekiranya kita mengamalkan sikap toleransi. Sikap ini membawa setiap penganut agama menghormati pegangan agama lain, membenarkan mereka mengamalkan kepercayaan agama dan budaya serta tidak menghinanya. Sikap toleransi akan mengubah sikap konfrantasi dan tuduh menuduh antara penganut agama kepada kerjasama dalam perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan bersama. Allah menyuruh orang Islam bertoleransi seperti yang disebutkan dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil".

Sikap toleransi yang diajarkan oleh Allah bagi dihayati oleh umat Islam telah menjadikan mereka manusia yang paling bertoleransi dalam sejarah. Apabila umat Islam menjadi golongan majoriti dan memerintah sesebuah negara, mereka menghormati penganut agama lain dan tidak memaksa penganut agama lain mengamalkan cara hidup Islam atau mengasimilasikan mereka secara paksa bahkan diberikan kebebasan untuk mereka mengamalkan agama dan cara hidup mereka sendiri. Semasa keagungan pemerintahan Uthmaniyyah, Turki yang menguasai banyak wilayah bukan Islam, pemerintah Turki telah melaksanakan contoh sikap toleransi Islam yang cukup tinggi. Hal ini diakui oleh Richard Peters seorang ahli sejarah Eropah yang mengakui pemerintah Turki tidak pernah berusaha untuk megasimilasikan golongan bukan Islam, tetapi mereka diberi kebebasan dan membenarkan mereka hidup dengan mengamalkan agama dan budaya sendiri (Harun Yahya, http://www.harunyahya.com/).
Islam juga telah membentuk masyarakat Melayu menjadi bangsa yang mempunyai sikap toleransi yang tinggi. Dari perspektif sejarah, keagungan dan kemasyuran kerajaan Melayu Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari India, China, Parsi, Arab, Indonesia, Filipina datang ke Melaka dan sebahagian dari mereka menjadikan Melaka sebagai tanah air baru mereka. Mereka diberikan layanan yang baik oleh Sultan-sultan Melayu dan orang Melayu Melaka dan diberikan penempatan di kawasan tertentu di Melaka. Kemajuan Melaka telah menjadikan penduduk Melaka berbilang etnik sehingga dicatakan oleh Tome Pires terdapat 84 bahasa pertuturan yang dapat dikesan dalam sehari di Melaka.
Islam yang dianuti menjadikan bangsa Melayu mempunyai nilai toleransi yang paling tinggi. Tidak pernah ada satu catatan dalam sejarah bangsa Melayu yang menunjukkan bangsa ini pernah melakukan 'pembersihan etnik' atau menganut fahaman etnosentrisme yang keterlaluan sehingga membenci kaum dan agama lain. Tidak pernah ada catatan dalam sejarah bangsa Melayu yang menunjukkan kaum Melayu memusnahkan tempat-tempat ibadah agama lain atau menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan yang mereka anuti. Sikap toleransi yang menebal di kalangan bangsa Melayu sewajarnya dihormati oleh semua kaum dan di atas nikmat tersebut, negara ini terus aman damai tanpa diwarnai oleh persengketaan yang menghancurkan.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...