Monday, August 4, 2008

Menurut kajian Merdeka Center (kajian yang dibuat pada 14 hingga 21 Mac 2008, melibatkan 1,000 responden), iaitu sebuah firma penyelidikan pendapat mengenai pengundian dalam Pilihan Raya Umum 2008, undi popular Cina untuk BN merosot lapan peratus menjadi 55 peratus berbanding 63 peratus (pilihan raya lalu). Sokongan pengundi India pula merosot hampir separuh kepada 36 peratus berbanding kira-kira 70 peratus sebelum ini. Sokongan orang Melayu berkurangan 14 peratus untuk menjadi 52 peratus berbanding 64 peratus sebelum ini. Apa yang menarik untuk dibuat kajian lanjut ialah, realiti pengundi muda orang Melayu hampir separuh daripada mereka mengundi parti pembangkang dari Pakatan Rakyat. Justeru itu, menurut Merdeka Center, UMNO perlu membuat pembaharuan yang menyeluruh untuk menarik semula sokongan golongan muda dan membuat pembaharuan terhadap pentadbiran kerajaan, terutama dalam menangani isu penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan yang dianggap menafikan peluang mereka. Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa sejumlah besar orang Melayu sendiri tidak lagi percaya bahawa mengundi bangsa lain adalah tindakan yang mengkhianati bangsa sendiri. Kajian itu menunjukkan, dua daripada tiga pengundi yang disoal selidik percaya semua parti komponen BN sepatutnya bergabung, termasuk parti majoritinya Melayu untuk menjadi satu parti pelbagai kaum (Pengundi mahu BN parti tunggal terajui negara, Berita Harian, 8 April 2008).
Dapatan kajian Merdeka Center tersebut agak bertentangan dengan pemerhatian yang dibuat oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad. Menurut beliau, satu perkembangan yang dapat diperhatikan dalam PRU ke-12, ialah kecenderungan pengundi memilih calon yang dianggap lebih kuat perasaan kaumnya atau lebih menguntungkan bangsanya daripada calon yang dianggap boleh merosakkan kepentingan bangsanya. Umpamanya, DAP telah menggunakan slogan kempen “mengundi MCA bererti mengundi UMNO”. Slogan ini seolah-olah DAP percaya bahawa MCA ialah UMNO dan memilih calon MCA akan merugikan kaum Cina. Pengaruh slogan DAP ini terhadap kaum Cina begitu kuat. Apa-apa pun janji yang ditaburkan oleh BN kepada orang Cina dan kaum India menjelang PRU ke-12 tidak berjaya memikat kaum Cina dan India. Mereka menganggap janji itu sebagai “janji politik” yang tidak jujur. Pada masa yang sama orang Melayu merasa kurang senang janji BN kepada kaum bukan Melayu. BN terutamanya UMNO tidak membuat janji yang jelas untuk memperbaiki keadaan ekonomi orang Melayu yang miskin. Mereka kemudian telah menolak UMNO dengan menggantikannya dengan calon Melayu-Islam dari parti PAS atau PKR (Hassan Ahmad, Yang mengejutkan; yang tidak mengejutkan, Dewan Masyarakat, April 2008).

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...