Thursday, November 7, 2013

Aplikasi Maqasid Syariah dalam Hubungan Etnik


 Maqasid al-Syari`ah ialah suatu disiplin ilmu yang menerbitkan suatu kaedah umum, menjelaskan kaedah-kaedah (qawaid fiqhiyyah) atau methode yang digariskan dalam ilmu usul al fiqh berkaitan dengan nas-nas syarak yang sesuai untuk diaplikasikan di sepanjang masa dan zaman justeru ia perlu difahami oleh setiap individu muslim.   Dengan kata lain maqasid atau objektif Syariah ialah objektif yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum.  Antara istilah popular yang digunakan ialah maqasid al-syariah, maqasid al-Syari' dan al-maqasid al- syar'iyyah. 

Maqasid shariah terdiri daripada dua perkataan iaitu ”maqasid” dan ”syari’ah”.  Kedua-duanya mempunyai pengertian yang berlainan jika ia didefinisikan secara berasingn.  Namun sebagai satu perkataan ”maqasid al Shari’ah” didefinisikan sebagai berikut: Al-Ghazali mengatakan Maqasid syariah sebagai objektif dalam kehidupan manusia mencakupi lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan hartabenda.  Oleh itu apa sahaja yang terkandung dalam penjagaan lima perkara tersebut adalah maslahah (kebaikan) dan pengabaian terhadapnya membawa kepada mafsadah (kerosakan). Dr.Wahbah Zuhaili pula berpendapat maqasid syariah sebagai makna dan matlamat yang dapat diperhatikan di sebalik setiap atau kebanyakan hukum syarak.  Dengan lain perkataan ianya merupakan objektif syariah dan rahsia (hikmah) yang mana Allah SWT letakkan pada setiap hukum yang terdapat dalam syariah.


Para ulamak telah membahagikan maqasid syariah kepada lima:

 

1.     Memelihara agama

2.     Memelihara nyawa

3.     Memelihara kehormatan atau keturunan

4.     Memelihara akal

5.     Memelihara harta benda


Dalam kontek hubungan etnik, kelima-lima maqasid syariah ini boleh diaplikasikan bagi mengukuhkan perhubungan antara etnik.

            Menjaga agama dalam konteks hubungan etnik adalah memastikan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan hendaklah sentiasa terperlihara. Tidaklah boleh sekiranya untuk menjaga hubungan antara etnik, kedudukan dan kepentingan Islam sebagai agama Negara diketepikan bagi mewujudkan faham kesaksamaan antara kaum dan agama. Ataupun atas dasar toleransi beragama, maka kita menerima konsep pluralisme agama/menyamakan semua agama atau melihat bahawa tidak ada mana-mana agama yang mempunyai kebenaran yang final atau not the sole and exlusive source of truth, justeru itu, sebahagian kebenaran itu juga dimiliki oleh agama lain (lihat penerangan mengenai pluralisme agama dalam Budhy Munawar-Rachman, 2010, 3).

Maqasid syariah, bermakna, umat Islam wajib berpegang kepada faham ekslusif (melihat Islam hanya satu-satunya agama yang benar) bukan inklusif (berpendapat semua agama adalah sama) demi menjaga kesucian dan ketinggian agama Islam di Negara ini. Dengan itu, fahaman pluralisme agama yang cuba diketegahkan oleh sesetengah pihak adalah bertentangan dengan kehendak maqasid syariah. Toleransi yang dibenarkan oleh Islam ialah hak anutan dan amalan kepercayaan agama selain Islam dibenarkan dalam konteks penganut agama itu sendiri. Mengikut Perlembagaan dan Enakmen Undang-undang Islam, penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada penganut agama Islam (Perkara 11 (4), Perlembagaan Persekutuan). Umat Islam wajib menyakini bahawa tidak ada agama selain Islam yang diakui benar, melainkan hanya Islam itu satu-satu agama yang hak, tinggi dan akui sah oleh Allah. Adalah menepati maqasid syariah, apabila umat Islam melakukan apa saja tindakan bagi memastikan ketinggian dan kesucian Islam sentiasa terpelihara dan tidak membiarkan mana-mana anasir merobek kedudukan tersebut. Manakala penganut agama lain mestilah menghormati kedudukan yang telah diberi oleh Perlembagaan dan tidak mencabar kedudukan tersebut kerana sebarang cubaan untuk merungkai kedudukan itu akan membawa kepada konflik antara agama dan etnik.

Aplikasi maqasid syariah dalam hubungan etnik dari aspek mengawal nyawa ialah dengan mempastikan Islam sebagai agama keselamatan, kedamaian dan perpaduan dapat direalisasikan. Adalah menepati maqasid syariah apabila dasar-dasar kerajaan yang digubal mengarah kepada perpaduan antara etnik dan mengelakkan permusuhan. Ciri dan matlamat Islam di atas dapat dicapai melalui penyemarakan faham kesederhanaan atau wasthiyah sebagai satu pendekatan dalam apa juga bidang di Negara ini. Segala permasalahan yang berlaku sama ada yang melibatkan hubungan inter etnik atau intra etnik perlu dilakukan melalui mesyuarah, rundingan dan dialog berpaksikan kepada ilmu dan hikmah supaya tercapainya titik pertemuan dan persefahaman. Segala unsur provokatif  hendaklah dielakkan di samping sebarang pertelingkahan tidak harus dipolemikkan. Umat Islam seharusnya menjauhkan diri mereka daripada unsur-unsur yang membawa kepada pertumpahan darah dalam menyelesaikan sebarang pertelagahan inter etnik. Semangat Islam yang lebih menitik beratkan soal keharmonian dan perpaduan terserlah melalui Perjanjian Hudaibiyah yang dipelopori oleh Nabi Muhammad S.A.W. Perjanjian ini yang berlaku pada 6 Hijrah memaparkan sikap Islam yang cintakan keamanan dan berusaha mengelakkan peperangan serta memaparkan sikap toleransi Islam yang sangat tinggi.

Manakala aplikasi maqasid syariah dalam konteks hubungan etnik dalam aspek memelihara keturunan ialah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai usaha untuk membangun, memaju dan membebaskan diri daripada kemiskinan, kemunduran dan kejahilan agar sejajar dengan kedudukan etnik lain. Justeru itu, peruntukan Perlembagaan yang memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu adalah memenuhi maqasid syariah. Peruntukan tersebut bukanlah bermaksud untuk meletakkan etnik Melayu lebih agung daripada etnik lain atau mendiskriminasikan etnik lain. Peruntukan tersebut adalah kaedah yang dirangka dan dipersetujui bersama untuk memajukan etnik Melayu dalam aspek ekonomi apabila data-data ekonomi menunjukkan etnik Melayu jauh ketinggalan daripada etnik lain. Sekiranya peruntukan tersebut tidak ada, nescaya etnik Melayu akan terus berada dalam kemunduran. Walaupun orang Melayu mendapat keistimewaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, namun tidak melalui rampasan harta orang bukan Melayu sebaliknya mendapatkannya dari tambahan kepada ekonomi keseluruhan. Ketidakseimbangan pencapaian ekonomi jika tidak dibetulkan akan menghasilkan mafsadah yang boleh mencetuskan konflik etnik seperti mana yang berlaku di negara-negara lain. Sedangkan mafsadah merupakan perkara yang dituntut oleh Islam untuk menjauhinya.

No comments:

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU

PEMBAHARUAN SISTEM PENDIDIKAN  TRADISIONAL ISLAM DAN GERAKAN ISLAMISASI ILMU                    Oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Ram...