Dalam al-Quran, Allah telah menceritakan kegagalan dan kemusnahan sesuatu
kaum, kerajaan atau pemerintah dalam banyak surah. Tujuan Allah menceritakan
kisah tersebut bukan sahaja untuk membuktikan kebenaran al-Quran tetapi untuk
manusia terutama orang-orang Islam mengambil iktibar dari peristiwa tersebut.
Allah jua yang memberi kekuasaan kepada golongan yang dikehendaki-Nya dan Dia
juga mencabut atau meruntuhkan mana-mana kekuasaan yang dikehendaki-Nya. Tetapi
Allah tidak mencabut atau melemahkan sesuatu kekuasaan secara
sewenang-wenangnya tanpa ada sebab musabab. Jika sebab-musabab yang boleh
meruntuh dan melemahkan sesuatu kekuasaan itu diulangi-ulangi oleh manusia
dalam sejarah dan kehidupan mereka, maka ia pasti berakhir dengan keruntuhan
atau kehilangan kekuasaan mereka. Dengan sebab itu, Allah menyuruh manusia
sentiasa mengambil pengajaran dari sejarah dan apa yang berlaku dalam kehidupan
nyata manusia. Kata pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tiada berguna. Sesal dahulu bermakna, menyesal dan mengaku akan kesalahan kita
dahulu lebih baik, yakni beruntung, daripada tidak berasa kesal dahulu dan
menanggung akibat buruknya kemudian.
Orang Melayu dalam sejarah mereka telah mengalami
peristiwa sejarah yang menyebabkan mereka kehilangan kuasa sehingga dijajah
oleh Barat selama hampir 450 tahun lamanya. Keruntuhan kekuasaan mereka bukan
disebabkan jumlah mereka yang sedikit atau kedunguan mereka, tetapi disebabkan
oleh penyakit lama orang Melayu iaitu PEPECAHAN. Sebenarnya dari fakta sejarah
bahawa orang Melayu tidak dihancurkan oleh musuh luar mereka atau bangsa asing
tetapi kehancuran atau kelemahan bangsa dan negara mereka adalah disebabkan
oleh bangsa Melayu itu sendiri. Tangan-tangan mereka sendirilah yang
menyebabkan bangsa mereka dijajah dan dihina. Pertelagahan sesama sendiri
ketika ketiadaan musuh, merasa lebih selesa, mementingkan keuntungan
diri sendiri dan menjual maruah bangsa adalah faktor kelemahan dan kehilangan
dominasi mereka seperti pantun yang dinukilkan oleh Prof.HAMKA:
Jangan tergesa
menjatuhkan hukuman,
Portugis Belanda
jangan kutuki,
Jangan Inggeris
lekas cemarkan,
Ketahui dahulu
salah sendiri”
Adakah cita-cita
akan tercapai,
Adakah dapat apa
diingini,
Jika berbalik
sebelum sampai,
Mengorbankan
darah tiada berani”
Fikirkan pula
penjual negeri,
Harapkan emas
perak bertimba,
Untuk keuntungan
diri sendiri,
Biar bangsanya
menjadi hamba”
Apabila pertelagahan, perebutan jawatan dan kuasa menjadi prioriti
utama orang Melayu, maka akhirnya maruah agama, bangsa dan negara akan tergadai seperti kisah malang Pak Kaduk:
Ayuhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang
kampung tergadai,
Awang pulang
kebuluran,
Nyaris mati tak
makan,
Mudik menongkah
surut,
Hilir menongkah
pasang,
Masa belayar
kematian angin,
Sauh dilabuh
bayu berpuput,
Ada rumah
bertandang duduk,
Rumah runtuh,
awak menumpang.
Ibnu Khaldun seorang ahli sejarawan dan
sosiologi Islam terkenal abad ke 14 M telah mengingatkan kita bahawa faktor
utama kekuatan sesuatu pemerintahan/kerajaan atau tamadun itu adalah semangat
kekitaan (asabiyah) atau kesetiakawanan atau kecintaan masyarakatnya (patriotisme)
terhadap agama, bangsa dan negaranya. Tetapi jika faktor ini mulai melemah
dalam sesuatu masyarakat, maka lahirlah sifat-sifat pengkhianatan yang lambat
laun pasti membawa kepada kehancuran sesuatu pemerintahan tersebut. Ditambah
lagi apabila mula membiak dalam masyarakat tersebut sifat hasad dengki, adu
domba, fitnah, kepuakan, kemewahan, kemalasan dan lain-lain sifat mazmumah,
maka sifat-sifat ini menjadi pemangkin kepada kelemahan dan keruntuhannya.
Sifat kesetiakawanan, kesetiaan atau
solidariti sosial akan mewujudkan kekuatan kepada sesuatu pemerintahan kerana
ia menumbuhkan semangat pengorbanan harta, benda dan nyawa demi agama, bangsa
dan negara. Sifat ini diperkuatkan oleh nilai-nilai agama yang memandu
sifat-sifat tersebut ke arah sifat-sifat yang positif yang lain. Sifat-sifat
ini kelihatannya semakin menipis dalam masyarakat
Pejuang-pejuang Melayu dahulu, motivasi utama
perjuangan mereka adalah demi survival agama dan bangsa mereka. Hari ini nilai
dan sifat-sifat tersebut telah mulai terhakis. Apa yang menjadi perkiraan utama mereka adalah untuk
mendapat kuasa atau kedudukan. Perhitungan mereka adalah kebendaan, kemewahan hidup, projek
dan prestij, bukannya kehidupan yang sederhana atau kerelaan untuk berkhidmat
kepada masyarakat dengan ikhlas, jujur, mudah didampingi oleh rakyat dan menunjukkan
contoh teladan yang baik kepada masyarakatnya. Tidak hairanlah begitu ramai
yang ghairah melobi kepimpinan tertinggi untuk dipilih sebagai calon walaupun
rekod kepimpinan mereka adalah buruk dan ditolak oleh rakyat. Sekiranya mereka
tidak terpilih, mereka akan merajuk dan tidak membantu calon yang terpilih.
Mereka mengamalkan budaya politik ‘menikam dari belakang’. Mereka juga mengamalkan
budaya “ketam Melayu” (lihat Ibrahim Shah, 2007:7), iaitu menjatuhkan kaumnya
sendiri yang mempunyai potensi untuk naik ke atas kerana perasaan hasad dengki dan
bukan untuk membantunya.
Pemimpin-pemimpin seharusnya menonjolkan
keperibadian yang mulia, hidup dalam kesederhanaan walaupun mampu hidup dalam
kemewahan, mudah didampingi oleh rakyat, mendengar dan menyelesaikan dengan
segera masalah rakyat serta menjadi pemimpin yang efektif. Era pemimpin yang hanya
hadir dan mendampingi rakyat semasa musim kempen pilihan raya sudah berlalu. Rakyat
telah muak dengan hipokrasi ini. Pendekatan sedemikian untuk menarik sokongan
rakyat sudah lapuk. Rakyat hari ini mendambakan pemimpin yang berjiwa rakyat,
memiliki keperibadian yang mithali, berpengetahuan, merendah diri dan bersedia
berkhidmat untuk rakyat. Syarat utama pemimpin atau bakal pemimpin yang
dilantik harus memiliki nilai-nilai kepimpinan yang tinggi dan diterima rakyat.
1 comment:
Salam Prof.,
Tahniah kerana masih aktif menulis. Semoga mendapat keberkatan dari Allah. Selamat berjuang ...
Post a Comment